Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Badan Perundangan Badan Perundangan (Parlimen Malaysia) memiliki kuasa menggubal undang-undang persekutuan dan juga negeri-negeri di dalamnya.

Parlimen terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dua Dewan, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen adalah badan kuasa perundangan untuk persekutuan yang membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh persekutuan. Parlimen juga mengawal kewangan kerajaan. Cukai-cukai dan kadar-kadar persekutuan boleh dinaikkan hanya dengan kuat kuasa Parlimen seperti yang dinyatakan dalam undang-undang persekutuan. Semua hasil yang diperoleh hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Persekutuan Yang Disatukan dan semua wang hanya boleh dibelanjakan dengan kuasa Parlimen. Parti yang memenangi kerusi majoriti dalam pilihan raya umum dan dapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan. Pemimpin parti majoriti yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Agong Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara yang mengambil keutamaan mengatasi semua orang dalam persekutuan dan tidak boleh dikenakan dakwaan dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut peraturan yang termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. Yang diPertuan Agong akan memegang jawatannya selama lima tahun kecuali baginda meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatannya oleh Raja-Raja Melayu.

Sebagai ketua utama negara, baginda mempunyai kuasa eksekutif. Baginda berkuasa memanggil, membatalkan dan membubarkan Parlimen. Dalam melaksanakan kuasa, baginda mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan tiga perkara mengikut budi bicara baginda sendiri iaitu melantik Perdana Menteri, tidak mempersetujui pembubaran Parlimen dan meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis RajaRaja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Baginda juga mempunyai kuasa pengampunan bagi semua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Baginda adalah Ketua Agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain memegang tampuk tertinggi dalam Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan menentukan rizab orang Melayu dan bumiputera, jawatan perkhidmatan, biasiswa, bantuan keistimewaan pendidikan atau latihan, kadar permit atau lesen dan juga mengisytiharkan darurat.

Dewan Negara Dewan Negara adalah Majlis Tertinggi yang berperanan membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih terperinci. Ia juga bertanggungjawab membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum. Mengikut Perkara 68, Perlembagaan Persekutuan, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat

sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Walau bagaimanapun, Dewan Negara boleh menangguhkan pelaksanaan sesuatu rang undang-undang itu.

Dewan Negara mempunyai 70 orang ahli yang mana 44 orang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong daripada warganegara yang pada pendapat baginda telah berbakti dengan cemerlangnya atau telah mencapai taraf gemilang dalam perkhidmatan awam, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan, perkhidmatan masyarakat atau wakil-wakil kaum yang terkecil bilangannya atau yang boleh mewakili kepentingan Orang Asli. Wilayah Persekutuan dianggotai oleh empat orang ahli iaitu dua orang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya juga dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Sebanyak 26 orang lagi dipilih oleh Dewan Undangan Negeri dari 13 buah negeri di Malaysia, iaitu tiap-tiap sebuah negeri mengemukakan dua orang Senator. Seorang Yang di-Pertua Dewan dan Timbalannya dipilih terlebih dahulu bagi mengendalikan Persidangan Dewan dari kalangan ahli-ahli sendiri. Keanggotaan Dewan ini dihadkan kepada warganegara yang berumur 30 tahun ke atas. Tempoh jawatan seseorang Ahli Dewan Negara ialah tiga tahun dan Ahli Dewan Negara boleh dilantik untuk kali kedua dan memegang jawatan Senator bagi tempoh tiga tahun lagi. Hanya dua penggal sahaja dibenarkan bagi setiap Senator memegang jawatannya. Tempoh memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Negara ini tidaklah terjejas dengan pembubaran Parlimen. Parlimen diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk mengubah keahliah Dewan Negara, seperti menambah bilangan ahli-ahli dewan yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri menjadi tiga orang, memperuntukkan supaya ahli-ahli Dewan Negara itu dipilih oleh pengundi-pengundi, atau mengurangkan jumlah ahli-ahli Dewan Negara yang dilantik.
Dewan Rakyat Dewan Rakyat merupakan majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil mereka. Ahli-ahli Dewan Rakyat dipilih secara langsung oleh rakyat keseluruhannya dalam pilihan raya umum. Yang di-Pertua dan Timbalannya dipilih oleh Dewan Rakyat. Namun demikian, terdapat pula satu syarat dalam perlembagaan yang membolehkan Yang di-Pertua dipilih dari luar Dewan Rakyat. Orang yang dipilih seperti ini dianggap sebagai ahli tambahan Dewan dan satu tambahan kepada ahli yang dipilih. Keanggotaan Dewan Rakyat dihadkan kepada warganegara yang berumur 21 tahun ke atas dan tidak boleh menjadi ahli Dewan Negara. Tempoh Dewan ini ialah lima tahun. Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa, menurut kebijaksanaannya, untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh tersebut iaitu setelah memperoleh nasihat dari Perdana Menteri.

Ahli Dewan Rakyat pada masa ini ialah 222 orang yang mewakili kawasan pilihan raya di seluruh Malaysia. Pecahan kerusi Dewan Rakyat adalah 153 kerusi untuk negeri-negeri di Semenanjung, 25 kerusi untuk Sabah dan 31 kerusi untuk Sarawak, sementara Wilayah Persekutuan pula 13 kerusi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kerusi), Wilayah Persekutuan Labuan (1 kerusi) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 kerusi).

You might also like