Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 17

Sekolah Sains Sosial: Hubungan Industri (HA12) Gangguan Seksual dalam Sektor Pekerjaan di Malaysia Jeffica Jaihon 17 Mac

2011

1.0

Pendahuluan Dalam bidang hubungan industri, gangguan seksual bukanlah lagi isu yang baru.

Hampir kesemua organisasi terutamanya organisasi besar mengalami masalah ini. Dalam konteks hubungan industri, gangguan seksual akan mengganggu hubungan di antara majikan dengan pekerja dan mewujudkan konflik yang memerlukan penyelesaian segera untuk menjamin hubungan yang baik serta tidak mengganggu perjalanan industri dalam mencapai matlamat organisasi.Sabitha & Rusimah (2003) dalam kajiannya ke atas isu ini di Institusi Pendidikan menyatakan bahawa gangguan seksual boleh menggugat pencapaian matlamat Institusi pendidikan tersebut. Pengamal industri juga turut menyedari akan isu ini yang walaupun terlihat ringan namun sebenarnya telah menjadi duri yang boleh menghancurkan sesebuah organisasi. Dalam hal ini, pekerja wanita merupakan kaum yang mempunyai peratusan diganggu yang tinggi. Tidak dinafikan bahawa pekerja lelaki turut menjadi mangsa gangguan seksual di dalam sesebuah organisasi namun berbanding dengan wanita, kaum lelaki yang menderita akibat gangguan seksual adalah jauh lebih sedikit. Menurut Balakrishnan & Rosazman (2007:97), berikutan pembangunan ekonomi yang pesat di dunia pada hari ini, maka isu-isu sosial seperti ini tidak begitu diberi perhatian yang serius. Ishak bin Mad Shah et. al. (2004) berpendapat bahawa masalah ini berkemungkinan menjadi satu wabak dalam masyarakat jika langkah-langkah pencegahan tidak diambil oleh organisasi atau mana-mana pihak yang terlibat. Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) 1 telah merangka satu garis panduan mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam sebagai langkah mengatasi masalah ini. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada tahun 1985 telah memberi perhatian dalam isu
1

JPA telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan yang menggariskan tentang garis panduan mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam, bilangan 22, 2005.

15

ini yang mana ILO telah memberi cadangan agar pihak majikan, kerajaan dan Kesatuan Sekerja mewujudkan satu enakmen berkaitan dengan peluang samarata dan layanan adil antara kaum wanita dan lelaki, (Balakrishnan & Rosazman, 2007:97).

2.0

Gangguan Seksual: Definisi Sukar untuk mendapatkan definisi yang mutlak tentang gangguan seksual.

Kesukaran mendapatkan satu definisi yang boleh diterima oleh semua pihak adalah kerana kekaburan jenis tingkah laku yang boleh dilabelkan sebagai berunsur seksual (Ishak bin Mad Shah et. al., 2004). Polis Diraja Malaysia mendefinisikan gangguan seksual sebagai apa-apa perbuatan, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi, membuat apa-apa isyarat dan menunjukkan apa-apa benda dengan tujuan untuk mengganggu kesantunan atau kehormatan seseorang (Balakrishnan & Rosazman, 2007:98). Sabitha & Rusimah (2003), dalam kajiannya terhadap persepsi gangguan seksual di Institusi pendidikan berpendapat gangguan seksual boleh dibahagikan kepada bentuk ancaman dan persekitaran tidak selesa. Beliau menyatakan bahawa sesuatu tingkah laku akan dianggap ancaman atau Quid Pro Quo apabila ianya tidak diingini, berunsur seksual dan dijadikan sebagai syarat untuk apa-apa keputusan yang akan berunsur berkepentingan contohnya sebagai penentu kenaikan pangkat seseorang itu. Persekitaran tidak selesa pula adalah apabila tingkah laku seseorang itu mengganggu prestasi pekerjaan orang lain. Manakala Rohani Binti Abdul Rahman (Mei, 2005) dalam tesis beliau tentang gangguan seksual ke atas pekerja perkeranian wanita pula mendefinisikan isu ini melalui persepsi mangsa iaitu tingkah laku yang tidak dikehendaki, bersifat seksual dan sensitif serta berkaitan gender. Sementara itu, Ishak bin Mad Shah et. al. (2004) dalam kajian mereka ke atas mangsa dan pelaku gangguan seksual di Johor Bahru mengatakan bahawa gangguan seksual juga boleh diertikan sebagai salah satu bentuk diskriminasi yang berbentuk penghinaan, penganiayaan dan kelakuan yang mengancam pihak yang terlibat oleh seseorang atau sekumpulan orang 15

kerana hendak memenuhi keinginan seksual mereka. Mereka turut mendapati gangguan seksual berbentuk Quid Pro Quo. Quid Pro Quo dalam buku Balakrishnan & Rosazman (2007:98) adalah apabila individu ingin mendapat faedah seksual daripada pekerjanya sebagai syarat untuk bekerja. Dalam kajian Dr. Azizi Hj. Yahaya (2010) terhadap gangguan seksual di kalangan pekerja wanita sektor industri di Johor Bahru, mendefinisikan gangguan seksual sebagai gangguan yang berunsur seks sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal, boleh dianggap sebagai syarat berbentuk seksual yang dikenakan ke atas pekerjanya dan boleh juga dianggap sebagai pencabulan maruah atau penghinaan atau ancaman terhadap pekerja itu tanpa mengaitkan pekerjaannya. Gangguan secara lisan bermaksud kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi-bunyian dan soalan-soalan yang lucah dan berbentuk ancaman manakala perlakuan seperti pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkah laku mengurat yang berterusan boleh diklasifikasikan sebagai gangguan secara isyarat atau bukan lisan. Gangguan secara visual pula diertikan sebagai menyatakan perlakuan seperti menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya. Gangguan secara psikologi pula adalah berbentuk perlakuan mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak, memujuk rayu secara berterusan untuk keluar bersama atau bercumbu. Gangguan secara fizikal merupakan bentuk perlakuan seperti sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap dan menggesel badan, memeluk, mencium dan membuat serangan seksual seperti meraba. Kesemua jenis gangguan seksual ini merupakan maksud yang diberikan oleh kebanyakan pengkaji yang mengkaji masalah sosial di tempat kerja ini.

3.0

Faktor-faktor berlakunya kes gangguan seksual Menurut Balakrishnan & Rosazman (2007:101), faktor utama yang menyebabkan

berlakunya kes gangguan seksual adalah kegagalan pihak majikan memberi penerangan yang jelas tentang isu gangguan seksual kepada golongan pekerja, setiap pekerja haruslah diberi penjelasan dan penerangan bahawa setiap perkataan yang berunsur lucah, perbuatan mengganggu dengan niat seksual, persentuhan fizikal, penampilan gambar-gambar porno 15

dan sebagainya adalah melanggar peraturan organisasi. Di Malaysia, masalah ini bukanlah tidak berlaku malah boleh dikatakan kes ini berlaku hampir di setiap organisasi namun individu yang terlibat lazimnya tidak berani tampil ke hadapan untuk membuat laporan (Balakrishnan & Rosazman ,2007:101). Faktor lain adalah si pelaku itu merupakan seseorang yang mengalami tekanan jiwa, mereka yang mempunyai masalah mental seperti ini biasanya akan melakukan perkaraperkara yang diluar kebiasaan manusia tanpa mempertimbangkan tentang implikasi yang akan berlaku, (Balakrishnan & Rosazman ,2007:101). Kejadian-kejadian seperti ini bukan sahaja mengganggu ketetenteraman orang lain malah boleh membahayakan keselamatan mereka kerana si pelaku yang melakukan gangguan ini adalah berada dalam keadaan tidak waras yang mana mereka boleh sahaja melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang apabila si mangsa ingin melawan. Yusof Montak (2000), (dipetik dalam Balakrishnan & Rosazman, 2007:101) mengatakan bahawa terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan isu ini berlaku iaitu yang pertama adalah faktor majikan yang tidak bertanggungjawab dengan tidak mempedulikan aduan-aduan yang dibuat oleh para pekerja. Majikan sendiri turut sesuka hati memperlakukan pekerjanya dan menawarkan kenaikan pangkat kepada pekerja yang menuruti kehendak seksualnya. Faktor yang kedua menurut Yusof Montak (2000) pula adalah faktor kuasa. Faktor ini merujuk kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak pengurusan. Sebagai contoh, pihak pengurusan sering kali menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menindas pekerja terutamanya wanita untuk memenuhi kehendak seksual mereka. Faktor yang ketiga pula dikaitkan dengan sikap individu pekerja itu sendiri. Sesetengah pekerja menjadikan masalah ini sebagai batu loncatan untuk mereka mencapai kejayaan dengan segera. Pekerja itu sendiri tidak menolak gangguan seksual yang dilakukan oleh majikannya kerana dengan cara ini dia berpeluang untuk dinaikkan pangkat dengan cepat berbanding pekerja lain. Kes gangguan seksual yang kedengaran tidak bermoral dan sering kali menjadi dilema pekerja wanita pastinya mempunyai jawapan, setidak-tidaknya faktor ataupun punca mengapa perkara ini boleh berlaku terutamanya di organisasi atau syarikat-syarikat besar yang ahlinya terdiri daripada mereka yang rata-ratanya merupakan pemegang ijazah yang 15

dilihat sebagai orang yang berpendidikan dan tertib tingkah lakunya. Sama seperti apa yang dikatakan oleh Yusof Montak (2004), menurut Ahmad Shamsul Abd Aziz, (2004:34) gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja biasanya dikaitkan dengan percubaan seseorang untuk menunjukkan kuasa. Benarkah sebegitu? Clark (1991) ( dipetik dalam Ishak bin Mad Shah et. al, 2004) mengatakan bahawa bahawa pergerakan wanita, revolusi seksual dan penggunaan pil perancangan keluarga adalah antara faktor yang didapati sebagai penyumbang besar kepada berkembangnya masalah sosial ini. Pertambahan jumlah wanita yang bekerja di industri pekerjaan adalah faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya masalah ini, ditambah pula dengan pengambilalihan jawatan di syarikat oleh wanita yang selama ini didominasi oleh kaum lelaki (Clark, 1991), (dipetik dalam Ishak bin Mad Shah et. al, 2004). Farley (1978), (dipetik dalam Ishak et. al, 2004) dalam kajiannya mendapati bahawa Pekerja wanita semakin terdedah sebagai mangsa gangguan seksual sekiranya didapati pekerja wanita itu mahu bersaing dengan pekerja lelaki. Dalam kebanyakan hal, pekerja lelaki tidak boleh menerima yang wanita itu sebagai pesaingnya dan sama taraf dengan mereka. Dalam kenyataan Clark (1991) dan Farley (1978), mereka mempunyai jawapan yang sama tentang punca berlakunya kes gangguan seksual iaitu penerimaan pekerja lelaki yang rendah terhadap penglibatan pekerja wanita menyebabkan mereka sengaja mengganggu pekerja wanita untuk menunjukkan bahawa mereka lebih berkuasa dalam organisasi tersebut dan sebagai cara mereka memandang rendah terhadap pekerja wanita yang dianggap lemah. Faktor personaliti juga dikatakan merupakan faktor yang menjurus kepada berlakunya kejadian gangguan seksual dalam sesebuah organisasi. Personaliti adalah merujuk kepada ciri-ciri atau tret-tret yang dipunyai oleh seseorang individu termasuklah dari segi mental, emosi dan spiritual yang mana dapat membezakan seseorang individu dengan individu yang lain (Ishak bin Mad Shah et. al, 2004). Dalam hal ini, wanita yang dikatakan mempunyai sifat-sifat yang lebih menonjol dalam banyak aspek menyebabkan mereka menjadi sasaran utama dalam gangguan seksual dan lelaki pula majoritinya berada di pihak si pelaku. Walaubagaimanapun, menurut Carpenter & DeFrancisco (1998) dan Mona Amin Kalhor (2000) (dipetik dalam Ishak bin Mad Shah et. al, 2004) jika seseorang wanita itu mempunyai personaliti yang menunjukkan mereka yakin terhadap diri sendiri maka mereka boleh mengelakkan diri daripada menjadi mangsa gangguan seksual. Kajian 15

oleh Dr. Azizi Hj. Yahaya et. al (2010) mendapati cara berpakaian antara salah satu faktor penyumbang masalah ini. Pekerja wanita dilihat lebih cenderung menjadi mangsa gangguan seksual adalah kerana gaya pemakaian mereka yang terlalu terdedah dan menjolok mata. Tetapi, persoalannya adakah wanita yang bekerja di sektor perkilangan yang memakai pakaian seragam rasmi kilang tersebut berpakaian menjolok mata? Bagaimana pula dengan wanita yang bekerja di syarikat yang sememangnya dikehendaki untuk berpakaian formal ke pejabat? Jika cara pemakaian pekerja wanita itu mengundang kejadian ini, bukankah pihak pengurusan yang menyediakan pakaian seragam dan tersebut juga harus dipersalahkan?

4.0

Gangguan seksual dalam sektor pekerjaan di Malaysia: Contoh kes Di Malaysia, kes gangguan seksual yang mana pekerja menjadi mangsa kepada

majikan mereka bukanlah suatu perkara yang berlaku. Contohnya dalam kes pekerja hotel di Tanjong Bunga, Pulau Pinang 2 . Kes ini melibatkan seorang daripada enam kakitangan hotel berkenaan dipaksa berhenti kerja dan empat lagi digantung kerja kerana telah membuat pendedahan mengenai gangguan seksual oleh pengurus besar hotel tersebut yang berbangsa Jerman. Mangsa telah mengemukakan aduan kepada Pusat Krisis Wanita Pulau Pinang (Women Crises Centre-WCC) tentang kelakuan pengurus tersebut yang sering memperlakukan mereka mengikut kehendaknya seperti mencium, memeluk, mengusap rambut, mencubit pipi dan punggung serta sering kali mengeluarkan kata-kata lucah kepada mereka. 41 orang pekerja yang lain turut menandatangani petisyen membantah tindakan pengurus tersebut namun malangnya, sumbangan besar pengurus tersebut dijadikan alasan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadapnya. Kajian dalam persekitaran tempatan telah dilakukan oleh Kesatuan Sekerja Bayan Lepas, Pulau Pinang (dalam Zaiton, 1990) (Dipetik dalam Ishak bin Mad Shah et. al, 2004). Keputusan sama diperolehi yang mana mendapati bahawa daripada 130 orang pekerja kilang wanita yang ditemuduga oleh Pegawai Kesatuan Sekerja, 80 peratus daripadanya mengaku bahawa pernah mengalami gangguan seksual daripada pihak pengurusan atau
2

Sorotan akhbar daripada Utusan Malaysia (15 Februari 2000) p.103, dipetik dalam Balakrishnan & Rosazman, Isu-isu pekerjaan dalam Organisasi Industri dan Perindustrian (UMS, 2001,2007).

15

pegawai atasan. Masalah ini lebih kerap berlaku dalam sektor perkilangan dan perladangan. Daripada ciri-ciri latar belakang subjek pula, dapatan kajian menunjukkan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual boleh terdiri daripada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, rupa fizikal, taraf pendidikan dan status perkahwinan. Walau bagaimanapun, kumpulan pekerja wanita yang menghadapi risiko tinggi untuk menjadi mangsa gangguan seksual ialah wanita yang berumur 30 tahun ke bawah, belum berkahwin, balu atau janda. Kajian kes tentang gangguan seksual di sektor awam telah dijalankan oleh Sabitha Marican (1999) (dipetik dalam Balakrishnan & Rosazman, 2007:104) yang mana beliau telah memilih seramai 586 responden yang 72% terdiri daripada pentadbir lelaki dan selebihnya ialah pentadbir wanita. Kajian mendapati gangguan seksual berlaku tanpa mengira kaum yang mana 43.2% melibatkan kaum Melayu, Kaum Cina adalah yang paling tinggi peratusnya iaitu sebanyak 50%, manakala kaum India sebanyak 42.8% dan selebihnya pula lain-lain kaum (Sabitha Marican, 1999:35). Secara total, kajian mendapati 65.9% kes gangguan seksual dilakukan oleh teman sekerja, 13.6% oleh pekerja bawahan, ketua atau penyelia sebanyak 5.7% dan yang paling sedikit iaitu 4.5% adalah gangguan seksual daripada pelanggan. Satu kes yang melibatkan pekerja wanita yang dalam kes ini bukan menjadi mangsa tetapi telah melakukan gangguan seksual terhadap pelanggannya telah diberhentikan kerja. Menurut Ahmad Shamsul Abd Aziz (2004:91), pekerja yang bernama Jenny itu bekerja di sebuah hotel antarabangsa di Malaysia sebagai tukang urut dan sering kali menawarkan pelanggannya perkhidmatan tambahan secara berbayar. Pada 12 April 1989, seorang pelanggan rakyat Amerika telah mengadu kepada pihak pengurusan hotel apabila pekerja itu cuba menawarkan perkhidmatan tambahan secara berbayar kepadanya. Pada 23 Mei, pelanggan berbangsa Jepun turut mengadu tentang hal yang sama dan seterusnya oleh seorang wanita berbangsa Itali pada 14 Julai 1989. Pekerja itu telah diberi amaran sebanyak dua kali oleh pihak pengurusan namun apabila aduan yang ketiga diterima, akhirnya pekerja telah diberhentikan pada 21 Julai 1989. Pekerja cuba menafikan tuduhan itu dengan mengatakan perkhidmatan tambahan yang dimaksudkannya adalah memotong kuku dan mencuci rambut, walaubagaimanapun alasan ini telah ditolak oleh mahkamah perindustrian kerana mahkamah mendapati bahawa sekiranya apa yang dikatakan oleh pekerja itu adalah benar, pelanggan yang berbeza tidak mungkin membuat aduan yang sama terhadapnya. 15

Mahkamah juga berpuas hati bahawapara pelanggan membuat aduan mengenai perkhidmatan seks secara berbayar dan bukanlah satu tindakan yang jujur seperti memotong kuku ataupun mencuci rambut (Ahmad Shamsul Abd Aziz, 2004:93). Pemecatan tehadap pekerja dianggap sah.

5.0

Kesan-kesan gangguan seksual Gangguan seksual yang berlaku dalam bidang pekerjaan di Malaysia tidak boleh

dianggap remeh kerana percaya atau tidak masalah sosial ini mampu memberi kesan yang serius bukan sahaja terhadap individu malah turut memberi kesan terhadap organisasi dan kesihatan. Ishak bin Mad Shah et. al. (2004) menegaskan bahawa gangguan seksual merupakan tingkah laku yang tidak bermoral yang mana boleh merendahkan kehormatan keduadua mangsa dan pelaku dan berpendapat bahawa lelaki dan perempuan haruslah menjaga akhlak masing-masing bagi mengelakkan masalah gangguan seksual ini semakin menjadi-jadi. Balakrishnan & Rosazman (2007:104) mendapati gangguan seksual dalam sektor pekerjaan akan memberi kesan yang buruk kepada sesebuah organisasi. Menurut mereka, kesan utama gangguan seksual menyebabkan sesebuah syarikat mengalami kerugian yang besar. Utusan Malaysia (19 Ogos 1998) (dipetik dalam Balakrishnan & Rosazman, 2007:104) telah menerangkan bahawa sebuah syarikat besar yang tersenarai dalam Fortune 500 mengalami kerugian sebanyak AS$6.7 juta setahun termasuklah bayaran ganti rugi dan kos mahkamah kerana isu gangguan seksual. Dalam hal ini, kes gangguan seksual bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang ringan kerana perkara ini mampu mempengaruhi jatuh bangunnya sesebuah organisasi tidak kiralah sama ada organisasi itu besar mahupun yang baru mulai bertapak di bidang ini. Pekerja yang berada di bawah tekanan dan ketidakselesaan sudah tentu tidak dapat melakukan pekerjaan dengan sepenuh penumpuan kerana sering dibayangi oleh masalah ini. Mereka mungkin akan sering mengelak untuk datang bekerja kerana bimbang akan gangguan daripada majikan ataupun rakan sekerja sendiri. Walaupun mereka datang bekerja seperti biasa, prestasi kerja mereka tidak sebaik sebelumnya kerana persekitaran kerja yang semakin tidak selesa mempengaruhi 15

profesionalisme mereka. Keadaan ini akhirnya sudah tentu akan menjejaskan organisasi itu sendiri sama ada dari segi ekonomi mahupun imej organisasi tersebut. Gangguan seksual juga akan memberi kesan terhadap psikologi pekerja. Kajian yang dilakukan oleh Dr. Azizi Hj. Yahaya et. al. (2010) mendapati terdapat kesan psikologi ke atas mangsa yang pernah berhadapan dengan salah satu daripada tingkah laku yang disenaraikan di dalam soalan-soalan edaran. Dapatan kajian beliau mendapati bahawa responden menghadapi perasaan tertekan, marah, sugul, bimbang dan mereka mengakui tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap tugas akibat daripada tingkah laku seksual rakan sekerja. Berikutan dengan perasaan takut, marah dan terancam ini, masalah serius seperti mangsa yang pernah melalui gangguan ini akan mengambil keputusan untuk tidak bekerja di mana-mana syarikat lagi kerana takut peristiwa sebegini akan berulang lagi di tempat yang baru (Balakrishnan & Rosazman, 2007:105). Emosi mereka yang sering tertekan pula akan mengakibatkan produktiviti kerja mereka merosot dan mereka mungkin akan berhadapan dengan tindakan pemecatan oleh pihak majikan. Selain itu, mangsa juga akan merasa tidak selamat untuk menceburi bidang pekerjaan kerana mereka sering dinilai berdasarkan daya tarikan berbanding dengan kebolehan dan kualiti kerja mereka. Justeru itu ada dikalangan mangsa sanggup kehilangan kerja, ponteng kerja, ketidakpuasan kerja dan kegagalan hubungan interpersonal di tempat kerja. Tekanan perasaan akan dialami oleh pekerja yang mana masalah ini merupakan masalah yang serius yang boleh mempengaruhi masa depan pekerja itu kelak. Balakrishnan & Rosazman (2007:105) menegaskan bahawa masalah-masalah ini akan menghalang seseorang pekerja untuk memperkembangkan kerjayanya. Mungkin perkara ini jarang didengar di kalangan masyarakat namun gangguan seksual didapati boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap kesihatan pekerja yang menjadi mangsa. Masyarakat mungkin tidak percaya bagaimana dengan mengganggu secara seksual sahaja boleh menjejaskan kesihatan mereka yang menjadi mangsa tetapi hal ini terbukti benar setelah dibuat kajian dengan lebih mendalam. Beberapa pengkaji yang menjalankan kajian ke atas gangguan seksual telah menyatakan bahawa gangguan seksual membawa kesan negatif ke atas kesihatan mangsa seperti gangguan dalam perut, masalah berkaitan dengan pergigian, sakit kepala, sukar untuk tidur, kelesuan dan rasa loya (Sabitha Marican, 2000) (dipetik dalam Balakrishnan & Rosazman, 2007:106). Bukan itu sahaja, 15

mangsa gangguan seksual juga akan berhadapan dengan masalah pengurangan berat badan yang tidak mustahil boleh menjadi masalah yang serius apabila berat badan mangsa jauh merosot daripada berat ideal seseorang individu. Gangguan yang dirasai secara berterusan membuatkan pekerja sentiasa merasai gangguan walaupun pada saat ia bersendirian, kebimbangan sebegini akan membuatkan selera makan mangsa semakin berkurang, gaya hidupnya turut berubah dan sedikit demi sedikit mangsa mulai menjalani cara kehidupan yang tidak sihat. Mereka yang melalui tempoh sulit seperti ini amat kasihan lebih-lebih lagi apabila tidak terdapat sebarang pembelaan yang dilakukan untuk melindunginya. Kehidupan mereka yang mengalami perubahan negatif bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan tetapi juga telah mengubah mereka menjadi seseorang yang jauh berbeza dari sifat asalnya.

6.0

Langkah mengatasi masalah gangguan seksual Masalah gangguan seksual kadangkala masih dianggap sebagai kes terpencil di

dalam masyarakat kita. Ini mungkin disebabkan oleh rasa malu, takut dan bimbang mangsa untuk mengadukan kes mereka ke pihak yang berkuasa atau juga kerana persepsi tipikal yang ada pada para pekerja di Malaysia yang menganggap ianya hanyalah gurauan dan usikan semata-mata dan tidak yakin akan menang walaupun kes ini dilaporkan. Selain itu, pekerja juga mempunyai pemahaman yang terbatas tentang isu gangguan seksual ini yang mana mereka kurang pasti tentang hak dan tindakan yang boleh dilakukan sekiranya berhadapan dengan situasi ini. Fenomena ini menyebabkan usaha membantu mangsa yang teraniaya sukar dilakukan. Berikutan itu, mangsa mengalami penderaan berterusan tanpa mendapat perhatian masyarakat dan perlindungan sewajarnya sekaligus menyebabkan mereka mengalami gangguan mental, emosi dan masalah kesihatan. Justeru, bagi mengelakkan masalah ini semakin membengkak, langkah-langkah mengatasi haruslah diambil denga segera. Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan pelaksanaan undang-undang yang menggariskan dengan jelas larangan terhadap perbuatan gangguan seksual dalam sektor pekerjaan. Dalam hal ini, pihak yang berperanan penting dalam mencari penyelesaian adalah Kementerian Sumber Manusia. Kod Amalan mencegah dan membasmi gangguan 15

seksual di tempat kerja yang dilancarkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia merupakan langkah yang sistematik bagi mengatasi masalah yang semakin meruncing ini. Kod ini diwujudkan untuk memastikan persekitaran pekerjaan berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada sebarang masalah gangguan seksual. Kod ini memberi panduan tentang tindakan-tindakan yang boleh diambil sekiranya peraturan didalamnya dilanggar. Kod ini juga bertujuan untuk memberi garis panduan kepada para majikan mengenai penubuhan mekanisme dalaman di peringkat organisasi bagi mencegah dan membasmi gangguan seksual di tempat kerja (Balakrishnan & Rosazman, 2007:106). Jabatan Perkhidmatan Awam juga telah mengeluarkan Pekeliling tentang garis panduan mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dalam perkhidmatan awam pada tahun 2005. Matlamat utama garis panduan ini adalah bersifat untuk mendidik, memberi kefahaman dan sebagai tindakan pencegahan bagi mengelakkan perbuatan serta salah laku yang boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual. Melalui usaha ini ia diharapkan dapat memelihara perhubungan di tempat kerja agar lebih harmoni, saling hormat menghormati dan meningkatkan nilai budi bahasa serta integriti pegawai dan mengandungi huraian lanjut berhubung kategori dan jenis perlakuan gangguan seksual, kesan-kesannya, tindakan untuk mengendalikan gangguan seksual di tempat kerja dan langkah-langkah pencegahan 3 . Walaubagaimanapun, bagi memastikan masalah sosial di persekitaran tempat kerja dapat diatasi secara menyeluruh, undang-undang rasmi daripada pihak kerajaan amat diperlukan. Utusan Online (09 Julai 2010) menerangkan bahawa pindaan Akta Kerja 1955 yang telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan menyebut aduan gangguan seksual boleh dibuat membabitkan pekerja terhadap pekerja, pekerja terhadap majikan, majikan terhadap majikan dan majikan terhadap pekerja. Pekerja boleh dipecat tanpa notis, diturunkan pangkat malah digantung kerja tanpa gaji tidak melebihi dua minggu sekiranya didapati melakukan gangguan seksual ke atas rakan sekerja yang lain. Dalam pindaan ini menyatakan kes-kes gangguan seksual yang dilakukan majikan terhadap pekerja, aduan boleh dilakukan terus kepada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK). JTK boleh menamatkan kontrak kerja majikan tersebut dan pekerja bawahannya yang menjadi mangsa akan dibayar ganti rugi. Dr. Azizi Hj. Yahaya et. al (2010) pula berpendapat
3

Pekeliling Perkhidmatan, Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam, (Perkhidmatan Awam) Bilangan22, 2005.

15

bahawa satu undang-undang khusus berkaitan dengan gangguan seksual agar masalah ini dapat diberi fokus yang khusus supaya kes ini dapat diadili dan dibendung. Selain kerajaan, badan bukan kerajaan (Non-Governmental Organisations-NGOs) juga sebenarnya berperanan penting dalam mengatasi masalah gangguan seksual di tempat kerja. Contohnya, Pertubuhan Pergerakan Awam (AWAM) yang boleh menerima aduan daripada pekerja wanita dan mengajukan kepada pihak yang berkuasa (Balakrishnan & Rosazman, 2007:106). Ishak bin Mad Shah et. al. (2004) dalam kajian mereka mendapati bahawa belum ada satu undang-undang khusus yang berkaitan dengan gangguan seksual dan inimenimbulkan masalah kepada mangsa untuk membuat laporan kerana tidak ada prosedur yang jelas untukdijadikan panduan kepada mangsa tentang di mana dan bagaimana untuk membuat aduan. Mereka mencadangkan agar satu undang-undang yang khusus berkaitan dengan gangguan seksual diwujudkan supaya kes yang berkaitan dengan masalah gangguan seksual dapat diadili dan dibendung. Pusat Kesedaran Wanita atau yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Krisis Wanita (WCC) juga turut aktif membantu mangsamangsa gangguan seksual untuk memfailkan kes mereka dan menyediakan siri risalah yang bertujuan untuk melengkapi mangsa pengetahuan tentang hak-hak mereka. Selain itu, WCC melalui Joint Action Group Against Violence Against Women (JAG) juga telah mencadangkaan satu rang undang-undang gangguan seksual. Langkah seterusnya adalah dengan mengadakan khidmat kaunseling di tempat kerja. Dengan adanya khidmat ini, sekurang-kurangnya tekanan para pekerja dapat dikurangkan dan merasa lebih lega. kemudahan khidmat kaunseling perlu diwujudkan di setiap industri dan organisasi bagi membolehkan mangsa gangguan seksual mengadu masalah mereka dan mendapatkan bantuan pakar kaunseling, mangsa perlu dibantu untuk mengembalikan keyakinannya serta menghilangkan rasa takut akibat dari masalah ini. Peranan kaunseling dalam membantu dan menangani masalah gangguan seksual amat penting dalam masyarakat moden yang mana keadaan hidup dan masalah yang dihadapi begitu rumit dan tidak dapat diselesaikan dengan sendiri (Ishak bin Mad Shah et. al, 2004). Menurut Dr. Azizi Hj. Yahaya et. al. (2010), setiap organisasi perlu menubuhkan pusat kaunseling di kawasan masing-masing kerana ia dirasakan perlu bagi memberi nasihat dan motivasi kepada para pekerja yang mungkin menghadapi pelbagai masalah yang boleh menjurus kepada perilaku gangguan seksual. Khidmat kaunseling boleh juga diberikan kepada si pelaku jika mereka 15

datang untuk meminta pendapat atau nasihat. Mungkin dengan ini alasan sebenar mengapa mereka berkelakuan tidak baik dapat diketahui dan mereka juga dapat dibantu. Kaunseling dalam bentuk seminar dan bengkel tentang gangguan seksual boleh juga dijalankan. Motif utama mengadakan perhimpunan dalam bentuk bengkel dan seminar adalah bertujuan untuk membincangkan sesuatu isu dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian bagi menghasilkan satu memorandum yang boleh berguna untuk semua manusia (Sabitha & Rusimah, 2003). Ishak bin Mad Shah et. al. (2004) mencadangkan pengkaji mencadangkan supaya setiap organisasimenganjurkan seminar khas yang berkaitan dengan gangguan seksual bagi memberi kesedaran kepadapekerja mengenai masalah ini. Langkah tersebut sesuai dilaksanakan terutamanya kepada pekerja kilang yang bekerja mengikut syif yang mudah terdedah kepada masalah ini di tempat kerja. Di samping itu, masyarakat awam termasuk pekerja-pekerja perlu diberi pendidikan bagi tujuan menyedarkan mereka tentang pelbagai masalah gangguan seksual yang wujud. Pendidikan serta latihan khas perlu diberikan kerana menurut pandangan pengkaji-pengkaji dalam isu ini, masih kurang pengetahuan dan pemahaman masyarakat tentang gangguan seksual. Mereka kurang pasti tentang tindakan-tindakan yang boleh dilakukan untuk membantu mereka. Mereka juga tidak begitu tahu tentang apakah perkara yang boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual dan sebagainya. Menurut Sabitha & Rusimah (2003), haruslah ada pernyataan polisi terhadap gangguan seksual yang tegas, sistem laporan yang jelas dan program latihan dan pendidikan mengenai gangguan seksual. Menurut Balakrishnan & Rosazman (2007:107), Kesatuan Sekerja juga boleh memainkan peranan mereka sebagai wakil pekerja bagi sama-sama mengatasi masalah ini. Kesatuan Sekerja perlu bersemuka dengan para majikan dan membuat rundingan dengan pihak majikan dan sama-sama mencari penyelesaian. Kesatuan Sekerja boleh menjalankan satu aktiviti atau apa-apa program yang dapat memberi maklumat yang berguna kepada ahlinya serta memastikan ahlinya bukan pihak yang cenderung melakukan gangguan seksual. Kesatuan Sekerja sebagai sebuah Kesatuan yang mempunyai watak yang penting serta boleh dikatakan berpengaruh di kalangan ahlinya iaitu para pekerja boleh menganjurkan program-program promosi dan pendidikan bagi mewujudkan budaya kerja yang menjamin suasana yang selamat dan sihat, yang mana setiap pekerja tanpa mengira jawatan atau status dihormati maruahnya dan bebas dari sebarang bentuk gangguan, 15

penghinaan dan ancaman yang berbentuk seksual (Balakrishnan & Rosazman, 2007). Selain itu, kesatuan sekerja sendiri boleh menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pekerja dengan cara mendengar aduan daripada mereka, memahami masalah dan memberi sokongan serta nasihat dan seterusnya mereka boleh berunding dengan organisasi tempat individu itu bekerja. Dengan campur tangan pihak Kesatuan Sekerja, sudah tentunya dapat membantu menyelesaikan masalah ini di tempat kerja kerana jika seseorang majikan itu tidak mengambil peduli tentang masalah pekerjanya ataupun yang lebih teruk lagi adalah majikan itu sendiri adalah pelaku gangguan seksual, pastinya majikan tersebut bimbang andai berlaku ketidaksefahaman dengan Kesatuan Sekerja kerana Kesatuan Sekerja merupakan wakil daripada beribu orang pekerja dan mereka boleh membawa perkara ini ke tengah. Walau bagaimanapun, langkah-langkah yang mengambil kira kepentingan dan perspektif mangsa juga harus diambil kira. Gangguan seksual sukar untuk diatasi kerana pihak yang terlibat iaitu mangsa tidak semestinya akan tampil untuk membuat aduan. Tindakan mereka ini dipengaruhi oleh banyak perkara dan yang paling utama tentunya kerana diselubungi perasaan takut dan malu. Oleh itu, untuk menggalakkan mangsa gangguan seksual membuat aduan, maklumat yang diterima hendaklah seboleh-bolehnya diklasifikasikan sebagai sulit untuk menjaga maruah mangsa terutamanya semasa membuat aduan dan pada masa penyiasatan terhadap aduan itu dijalankan. Jika aduan yang dilakukan oleh mangsa terbukti betul, mangsa haruslah dibayar ganti rugi kerana telah dianiaya dan jawatannya juga perlulah dipulihkan sekiranya dia dipecat disebabkan masalah ini.

7.0

Kesimpulan Kesimpulannya, terdapat banyak jenis gangguan seksual yang boleh terjadi di

persekitaran tempat kerja. Majikan dan pekerja merupakan aktor utama yang terlibat yang mana pekerja sering kali menjadi mangsa gangguan seksual sama ada oleh majikan ataupun rakan sekerja pekerja itu sendiri. Lazimnya, gangguan seksual diantara pekerja melibatkan pekerja lelaki sebagai pelaku dan pekerja wanita sebagai mangsa. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes terdapat juga keadaan di mana pekerja lelaki turut 15

menjadi mangsa gangguan seksual dan kemungkinan dalam kes ini pelakunya adalah majikan wanita. Gangguan seksual dilakukan dengan pelbagai motif yang berbeza. Ada pihak yang melakukannya hanya sekadar suka-suka dan ada juga yang memang berniat untuk mengambil kesempatan malah ada sesetengah pihak melakukan gangguan seksual dengan niat untuk memalukan pekerja tersebut. Penerimaan lelaki terhadap pertambahan kakitangan wanita di tempat kerja dijadikan faktor yang mendorong berlakunya masalah ini. Di samping itu, personaliti wanita yang dikatakan sebagai pihak yang paling kerap menjadi mangsa turut dikatakan sebagai faktor penyebab. Gangguan seksual di tempat kerja banyak memberikan kesan yang negatif terhadap organisasi, pekerja dan kesihatan pekerja tersebut. Si pelaku sebenarnya turut menerima kesan yang buruk kerana apabila identitinya terdedah dia bukan sahaja akan mendapat malu tetapi turut mengalami kerugian kerana perlu membayar ganti rugi dan berkemungkinan besar akan dipecat dan akan dikenakan tindakan tatatertib. Sebagai sebuah negara yang sedang beralih ke status negara maju, Malaysia seharusnya tidak tidak dijatuhkan dengan hal-hal seperti ini. Kes gangguan seksual terutamanya di organisasi-organisasi besar akan memburukkan imej negara, orang luar sebagai contoh pelabur dan pelancong asing akan mempunyai pandangan yang negatif terhadap tingkah laku orang Malaysia umumnya dan pekerja yang melakukan gangguan seksual itu. Dari sudut pandangan lain, perkara ini turut akan mempengaruhi pembangunan ekonomi negara kerana prestasi dan produktiviti kerja mangsa akan merosot dan mereka juga mungkin akan meletak jawatan dan berkeputusan untuk tidak bekerja di mana-mana syarikat lagi. Seandainya masalah gangguan seksual semakin bertambah tentunya lebih ramai pekerja yang terganggu prestasi kerjanya dan lama-kelamaan tidak mustahil sesebuah organisasi itu akan kehilangan produktiviti kerja yang cemerlang dan ini bukan sahaja akan memberi kesan ke atas organisasi itu malah turut mempengaruhi ekonomi negara. Oleh yang demikian, langkah-langkah mengatasi perlulah dilakukan dengan segera agar masalah ini dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Cadangan tanpa pelaksanaan yang segera dan efektif hanyalah seperti tin kosong kerana sebanyak mana cadanga yang dikemukakan tanpa ada pelaksanaan hanyalah membuang masa semua pihak.

15

8.0

Rujukan

Ahmad Shamsul Abd. Aziz. Februari 2004. Undang-undang Gangguan Seksual Di Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Bisnes Dan Pengurusan. Balakrishnan Parasuraman & Rosazman Hussin. 2007. Isu-isu Pekerjaan Dalam Organisasi Industri Dan Perindustrian, Gangguan Seksual Di Persekitaran Pejabat. Universiti Malaysia Sabah, hlm. 97-109. Sabitha Marican. 2005. Membentuk Suasana Kerja Positif, Sikap Terhadap Wanita Dan Kesannya Ke Atas Persepsi Gangguan Seksual Di Tempat Kerja. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Dr. Azizi Hj Yahaya et al. 2010. Gangguan Seksual Di Kalangan Pekerja Wanita Sektor Industri Di Johor Bahru: Sejauh Manakah Kebenarannya. Diakses pada 15 Februari 2011 dari http://www.eprints.utm.my/10419/1.pdf Ishak bin Mad Shah et al. 2004. Gangguan Seksual Di Tempat Kerja: Kajian Ke Atas Mangsa Dan Pelaku Di Sekitar Johor Bahru, Johor. Diakses pada 15 Februari 2011 dari http://www.eprints.utm.my/2702/1/71958.pdf Sabitha Marican dan Rusimah Sayuti. 2003. Persepsi Gangguan Seksual Di Institusi Pendidikan: Kejadian Dan Strategi Penyelesaian. Kertas Kerja yang dibentangkan di Seminar Kebangsaan Penyelidiikan Pendidikan Guru,Kuching Sarawak 19-20 Ogos, 2003. Diakses pada 15 Februari 2011 dari http://www.ipbl.edu.my/inter/penyelidikan/seminarpapers/2003/sabithaUUMkk.pdf Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 22. 2005. Pelaksanaan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat. Diakses pada 15 Februari 2011 dari http:// www.eghrmis.gov.my/wp.../pekeliling/PP05/PP05Bil22/pp0522.pdf 15

15

You might also like