Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

3/11/13

[1995]1 CLJ clxxxix (Mar)

Article:[1995]1 CLJ clxxxix (Mar)

KEPERIBADIAN KORPORAT - SEJAUH MANAKAH MAHKAMAH BERSEDIA MENYINGKAP TABIR KORPORAT? by Nurretina Ahmad Shariff Malaysia oleh Pengenalan Prinsip keperibadian korporat adalah menjadi asas kepada undang-undang syarikat. Prinsip ini sebenarnya meletakkan satu tirai di hadapan orang-orang yang sebenarnya mengawal syarikat tersebut. Terdapat pihak-pihak yang tertentu yang berselindung di sebalik prinsip ini untuk menjalankan perniagaan atau aktivitiaktiviti yang menyalahi undang-undang, tetapi menggunakan nama syarikat. Mereka beranggapan apabila aktiviti mereka dikesan dan dihadapkan ke Mahkamah, mereka tidak akan di pertanggungjawabkan atas nama mereka, sebaliknya syarikat yang akan menjadi mangsa. Tujuan kertas ini adalah untuk mengkaji sejauh manakah Mahkamah bersedia menyingkap tabir korporat, menarik perhatian kepada keadaan-keadaan dan pendekatan yang digunakan dalam menjawab persoalan ini. Kesan Pemerbadanan Sebuah syarikat berdaftar bermaksud sebuah syarikat yang ditubuhkan mengikut segala formaliti-formaliti dan peraturan-peraturan yang dikehendaki oleh Akta Syarikat 1965. Sebaik saja ia di tubuhkan, syarikat akan mendapat status sebagai sebuah perbadanan. Ini bermakna syarikat itu wujud sebagai suatu entiti undang-undang yang khusus dan berasingan dari ahli-ahlinya. Kes yang telah mengiktirafkan prinsip entiti undang-undang yang berasingan ini ialah Salomon v. Solomon Co. Ltd.1 Dalam kes ini House of Lords telah memutuskan bahawa pemerbadanan sesebuah syarikat itu sebenarnya akan mewujudkan seorang baru (mempunyai personaliti tersendiri), walaupun tidak bernyawa tetapi mempunyai hak-hak dan tertakluk kepada kewajipan-kewajipan tertentu. Ini bermakna walaupun syarikat diurus sepenuhnya oleh Solomon, tetapi syarikat dan Salomon adalah dua entiti yang berasingan. Seksyen 16(5) Akta Syarikat 1965 memperuntukan seperti berikut: Pada dan daripada tarikh pemerbadanan yang ditetapkan dalam sijil pemerbadanan tetapi tertakluk kepada Akta ini penandatangan-penandatangan kepada memorandum bersama.sama dengan orang-orang yang lain sebagaimana dari masa ke semasa menjadi ahli syarikat hendaklah merupakan pertubuhan perbadanan dengan nama yang terkandung dalam memorandum yang dengan serta merta boleh menjalankan semua fungsi sesebuah syarikat yang dipermerbadankan dan boleh mendakwa dan didakwa dan mempunyai perwarisan kekal dan suatu meterai biasa dengan kuasa untuk memegang tanah tetapi dengan tanggungan tertentu di pihak ahli-ahli untuk menyumbang kepada aset-aset syarikat sekiranya ia digulungkan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta ini. Ringkasnya, seksyen ini menghuraikan kesan pemerbadanan seperti berikut: i. syarikat mempunyai kuasa untuk berfungsi sebagai sebuah syarikat yang diperbadankan. ii. syarikat bolah mendakwa dan didakwa di atas namanya sendiri.2 iii. syarikat mempunyai perwarisan kekal.3 iv. syarikat boleh memiliki tanah atas namanya;4 dan v. tanggungan ahli-ahli boleh dihadkan. Sifat-sifat di atas akan mewujudkan keperibadian korporat yang tersendiri dan berasingan dari ahli-ahli sesebuah syarikat itu. Prinsip ini sebenarnya meletakkan satu tabir di hadapan orang-orang sebenar yang mengawal syarikat itu dan biasanya undang-undang keberatan untuk menyingkap tabir tersebut. Menyingkap Tabir Korporat Prinsip menyingkap tabir korporat wujud akibat daripada kelemahan dalam prinsip entiti undang-undang barasingan ini. L.C.B. Gower dalam bukunya "Principles of Modern Company Law", menyifatkan prinsip menyingkap tabir korporat ini sebagai "sledgehammer capable of cracking open the corporate shell". Prinsip ini merupakan pengecualian kepada ciri-ciri istimewa sesebuah syarikat iaitu ianya mempunyai keperibadian yang tersendiri atau berasingan daripada ahli-ahli syarikat tersebut. Dalam keadaan ini undang-undang akan menganggap syarikat dan ahli-ahli syarikat sebagai satu entiti yang sama. Tujuannya adalah supaya tidak ada pihak-pihak yang akan mengambil kesempatan ke atas pemerbadanan syarikat untuk tujuan tujuan yang menyalahi undang-undang. Keadaan di mana prinsip menyingkap tabir korporat terpakai boleh di klasifikasikan kepada dua kekecualian iaitu: i. kekecualian statut; dan ii. kekecualian kehakiman Kekecualian Statut: Oleh kerana syarikat di tubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965, maka Akta ini jugalah yang berhak untuk menentukan keadaan di bawah statut yang membolehkan tabir korporat disingkap. Mahkamah akan mengenepikan personaliti undang-undang berasingan dalam keadaan-keadaan berikut: Seksyen 36 Akta Syarikat, 1965 memperuntukan: Jika pada bila-bila masa ahli bagi ahli-ahli sebuah syarikat (selain daripada syarikat yang mana semua syer-syer terbitan adalah dipegang oleh syarikat induk) dikurangkan ke bawah dari dua dan ia menjalankan perniagaan lebih dari enam bulan tatkala ahli dikurangkan sedemikian itu, seseorang yang menjadi ahli syarikat dalam masa ia menjalankan perniagaan dengan kurang daripada dua ahli, adalah bertanggungjawab bagi pembayaran perniagaan selepas tempoh enam bulan itu dan boleh didakwa terhadapnya, dan bahawa syarikat dan ahli itu adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini jika syarikat menjalankan perniagaan sedemikian selepas enam bulan ini. Seksyen 36 ini bermaksud sesebuah syarikat yang mempunyai ahli yang kurang daripada had minima iaitu dua orang, maka ia hanya dibenarkan menjalankan perniagaan untuk tempoh enam bulan sahaja. Selepas enam bulan tersebut, jika seorang ahli yang tunggal itu tidak berupaya untuk memenuhi had minima ahli, maka ia bertanggungan terhadap segala hutang syarikat yang dibuat selepas tempoh enam bulan tersebut. Seksyen ini hanya akan terpakai sekiranya ahli seorang itu menyedari akan fakta bahawa syarikat tersebut beroperasi dalam keadaan jumlah ahli minima yang ditetapkan oleh statut tidak dipatuhi. Keadaan ini adalah merupakan kekecualian kepada kaedah am yang menganggap hutang syarikat adalah hutangnya sendiri dan bukan hutang ahli-ahlinya. Kekecualian statut yang kedua ialah berkenaan dengan penyiaran nama syarikat. Seksyen 121 memperuntukan bahawa jika seseorang pegawai syarikat yang menandatangani, mengeluar atau memberi kuasa untuk mengeluarkan atau menandatangani bagi pihak syarikat sebarang instrumen boleh niaga, surat janji hutang atau pesanan atau pengesahan atasnya di mana nama syarikat tidak tercatit, maka beliau adalah bertanggungan kepada pemegang dokumen atau pesanan tersebut untuk jumlah yang kena dibayar baginya melainkan telah dibayar oleh syarikat. Seksyen 304(1) pula menyentuh tentang tanggungan untuk perdagangan frod. Jika sesebuah syarikat menjalankan perniagaan dengan tujuan untuk menipu pemiutang syarikat, atau pemiutang mana-mana orang lain atau untuk tujuan frod yang lain, maka Mahkamah boleh mengistiharkan bahawa sesiapa yang diketahui terlibat menjalankan perniagaan cara sedemikian, bertanggungjawab secara persendirian untuk hutang-hutang atau tanggungan syarikat tersebut tanpa had.5 Pengistiharan ini boleh di buat oleh Mahkamah atas permohonan penyelesai atau mana-mana pemiutang atau penyumbang syarikat. Seksyen ini bertindih dengan s. 303(3) yang perlu dibaca bersama s. 304(2); iaitu jika suatu pinjaman itu dibenarkan berlaku atas nama syarikat dan pada masa hutang itu diberi, pegawai syarikat yang bertanggungjawab tidak mempunyai alasan munasabah bahawa syarikat dapat menjelaskan hutang itu, maka pegawai tersebut adalah melakukan kesalahan terhadap Akta Syarikat. Menurut s. 304(2) jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan di bawah s. 303(3), dia hendaklah

www.newcljlaw.com/members/DisplayArticle.aspx?ArticleId=130744354&SearchId=1maralib1

1/3

3/11/13

Article:[1995]1 CLJ clxxxix (Mar)

bertanggungjawab secara persendirian tanpa apa-apa had terhadap tanggungan untuk pembayaran kesemua atau mana-mana bahagian dari hutang tersebut. Kekecualian seterusnya ialah di bawah s. 365(2) berkenaan dengan pembayaran dividen. Menurut s. 365(l), tiada dividen boleh dibayar kepada pemegangpemegang syer mana-mana syarikat kecuali dari keuntungan syarikat atau menurut s. 60. Setiap pengarah atau pengurus syarikat yang sengaja membayar atau membenarkan supaya dibayar dividen dan sesuatu yang diketahuinya bukan keuntungan, hendaklah bertanggungan kepada pemiutang pemiutang syarikat untuk amaun yang belum dibayar oleh syarikat kepada mereka setakat dengan mana dividen yang dibayar melebihi dari keuntungan syarikat. Ringkasnya, di bawah kekecualian statut, pendirian Mahkamah adalah jelas. Mahkamah biasanya bersedia untuk menyingkap tabir korporat dalam keadaan yang menyentuh tentang peruntukan tanggungan hutang oleh syarikat yang mana jika prinsip personaliti undang-undang berasingan diaplikasikan secara ketat, mereka yang terlibat ini tidak akan bertanggungan terhadap pemiutang-pemiutang syarikat secara persendirian. Kekecualian Kehakiman: Tiada Mahkamah yang sanggup membantu suatu rancangan yang bertujuan untuk menipu. Jika sesebuah syarikat itu diperbadankan hanya sebagai satu helah untuk mengelak tanggungan kontrak seseorang itu, maka Mahkamah tidak akan membutakan dirinya dari melihat kenyataan. Prinsip ini telah dipakai dalam kes Gilford Motor Co. Ltd v Horne6 yang mana telah diulang dalam kes Jones v. Lipman7. Dalam kes kedua ini defendan yang pada mulanya telah bersetuju untuk menjual tanahnya kepada plaintif, telah kemudiannya menubuhkan syarikatnya sendiri lalu memindahkan tanah itu kepada syarikat tersebut. Walaupun defendan kemudiannya menawarkan gantirugi kerana mungkir kontrak, tetapi plaintif menuntut perlaksaan spesifik. Russell J mengatakan bahawa "the company was the creature of the defendant, a device and a sham, a mask which he holds before his face in an attempt to avoid the eye of equity".Dengan ini Mahkamah mengarahkan defendan dan syarikat tersebut melaksanakan kontrak untuk penjualan tanah tersebut. Mahkamah juga bersedia menyingkap tabir korporat bilamana syarikat bertindak sebagai ejen kepada seseorang di mana syarikat ini digunakan untuk melindungi ego pihak atau orang yang sebenarnya mengawal syarikat. Dalam keadaan ini prinsipal akan bertanggungjawab ke atas tindakan yang telah dilakukan oleh ejennya sepertimana prinsip ejensi yang biasa. Keadaan ini boleh di jelaskan dalam kes Cheong Kim Ko v Kim Bin Realty (Pte) Ltd.8 Plaintif telah memasuki satu perjanjian (perjanjian pertama) pada tahun 1977 dengan Kim Bin Realty Pte Ltd ("Kim Bin") di mana dia bersetuju untuk membeli paras empat sebuah bangunan yang ketika itu sedang dalam pembinaan. Bangunan itu dijual oleh Kim Bin kepada Nonyang Realty Pte. Ltd. (Nonyang), yang menjualnya pula kepada C&E Tours Holdings Ltd. (Holdings). Kesemua transaksi itu dibuat tertakluk kepada hak-hak plaintif dalam perjanjian pertama. C&E Realty Pte. Ltd. (Realty) diperbadankan sebagai anak syarikat Holdings untuk mengambilalih bangunan tersebut. Bangunan itu dipindahkan oleh Nonyang kepada Realty. Suatu pertelingkahan berlaku di antara plaintif dengan Realty mengenai jualan paras empat bangunan itu. Realty telah mengubah pelan tersebut dengan mengurangkan daripada 11 tingkat kepada 6 dan membesarkan kawasan lantai setiap paras. Satu unit baru ditawarkan kepada plaintif tetapi di tolak. Plaintif lalu mendakwa Kim Bin, Nonyang dan Realty kerana mungkir kontrak. Salah satu pembelaan yang telah dikemukakan oleh Realty adalah bahawa ia bukanlah suatu pihak di dalam kontrak tersebut, ia hanyalah penerima pindahan bangunan itu selepas perjanjian di antara Nonyang dengan Holdings. Thean J menolak alasan ini kerana bukti menunjukkan bahawa Realty telah ditubuhkan oleh Holdings semata-mata untuk mengambilalih bangunan tersebut. Oleh itu, ia adalah terikat dengan syarat-syarat perjanjian pertama. Daripada ini dapat di simpulkan bahawa Thean J merasakan bahawa sebenarnya Realty bertindak sebagai ejen atau "alter ego" Holdings. Dalam keadaan-keadaan tertentu, Mahkamah juga sanggup melihat lebih jauh lagi untuk menyingkap tabir korporat. Sekiranya seseorang itu menggunakan syarikat hanya sebagai lanjutan kepada dirinya tanpa membuat perbezaan antara perniagaan syarikat dengan perniagaan sendiri, maka Mahkamah akan menganggap perniagaan syarikat itu ialah perniagaanya sendiri.9 Keadaan ini biasanya beriaku dalam syarikatsyarikat persendirian yang kecil dan mempunyai ikatan yang rapat dengan orang yang sebenarnya mengawal syarikat tersebut. Lord Denning MR menyebut, "where corporations are just puppets of some hidden controller and dance to his bidding, the Court may pull aside the corporate veil and treat them as his creatures". Bagi syarikat-syarikat yang mempunyai perkaitan antara satu sama lain pula, undang-undang akan menganggap setiap syarikat di dalam sesuatu kumpulan itu sebagai suatu entiti yang berasingan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, dalam situasi-situasi tertentu Mahkamah di England dan juga di Malaysia bersedia untuk menyingkap tabir korporat dan menganggap kumpulan syarikat tersebut sebagai satu entiti yang sama. Kes DHN Food Distributors Ltd. v Tower Hamlets London Borough Council12 adalah berkenaan dengan sekumpulan syarikat yang menjalankan perniagaan runcit. Perniagaan itu dimiliki oleh DHN sendiri. Tempat perniagaan dimiliki oleh Bronze Investment Ltd, sebuah subsidiari dalam kumpulan perniagaan tersebut, manakala kenderaan dimiliki oleh syarikat ketiga dalam kumpulan itu iaitu DHN Food Transport Ltd. Pihak "council" telah mengambil tempat perniagaan itu. Mengikut undang-undang, bayaran gantirugi boleh diperolehi daripada pengambilan tanah tersebut, tetapi pihak "council" enggan membayar kepada DHN dan subsidiarinya berasaskan bahawa mereka tidak mempunyai kepentingan di atas tanah tersebut. Mahkamah Rayuan, England enggan menerima alasan ini dan menganggap kumpulan syarikat tersebut sebagai satu entiti perdagangan yang sama. Walau bagaimanapun, kes ini kemudiannya telah dikritik oleh House of Lords dalam kes Woolfson v Strathclyde Regional Council13. Mahkamah-Mahkamah di Malaysia pula nampaknya lebih bersedia untuk menyingkap tabir korporat dalam kes-kes yang melibatkan kumpulan syarikat yang mempunyai perkaitan antara satu sama lain jika dibandingkan daripada Mahkamah-Mahkamah di Australia dan New Zealand. Ini dapat dilihat di dalam kes Hotel Jaya Puri Bhd. v National Union of Hotel, Bar & Restaurant Workers l4, dimana Mahkamah Tinggi Malaysia memutuskan bahawa Jaya Puri Chinese Garden Restaurant Sdn. Bhd. iaitu subsidiari kepada Hotel Jayapuri Bhd, secara teknikalnya adalah entiti yang berbeza dan berasingan daripada Hotel tersebut, namun begitu Mahkamah menganggap bahawa pekerja-pekerja restoran tersebut sebagai pekerja yang bekerja dengan Hotel tersebut. Terdapat satu kesempurnaan fungsi dan satu pentadbiran yang bersepakat antara hotel dan restoran itu. Mahkamah telah mengistiharkan penyatuan yang perlu bagi kumpulan perusahaan ini. Sekiranya sesebuah syarikat ditubuhkan hanya sebagai suatu muslihat untuk menyembunyikan keadaan atau fakta sebenar, Mahkamah juga tidak keberatan untuk menyingkap tabir korporat. Dalam kes Re FG (Films) Ltd.15 isu yang dipertikaikan ialah samada filem yang berjudul "Monsoon" boleh didaftarkan sebagai filem keluaran British di bawah Cinematograph Films Act sedangkan pegangan saham dan individu yang memainkan peranan di dalam syarikat ini ialah orang Amerika? Mahkamah menegakkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pendaftaran Filem British yang enggan mendaftar filem tersebut. Mahkamah berpendapat syarikat itu ditubuhkan hanya untuk menyembunyikan perkara yang sebenarnya sedangkan pada kenyataannya syarikat tersebut dikawal oleh orang Amerika tersebut. Oleh itu filem ini tidak layak untuk didaftarkan sebagai filem keluaran British. Kesimpulan Sejauh manakah Mahkamah bersedia untuk menyingkap tabir korporat? Prinsip keperibadian korporat yang tersendiri dan berasingan dari ahli-ahli syarikat adalah ciri-ciri istimewa sesebuah syarikat. Walter Woon di dalam bukunya "Company Law" menyebut, "the situations in which the veil may be lifted are exceptional. In general, the Courts will respect the company''s modesty and decline to lift the veil"16. Walau bagaimanapun Mahkamah boleh di dalam keadaan-keadaan kekecualian menyingkap tabir korporat. Di sini, kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh Mahkamah untuk menegak keadilan adalah tidak terhad mahupun seragam. Lord Halsbury LC dalam membicarakan tentang kekecualian statut mengatakan bahawa persoalan yang perlu dijawab ialah samada peruntukan berkenaan di dalam Akta Syarikat bermaksud untuk menganggap syarikat sebagai tersendiri dan berasingan dari ahli-ahli syarikat tersebut. Jika Mahkamah berpendapat peruntukan berkenaan tidak bermaksud demikian, maka syarikat dan ahli boleh dianggap sebagai satu entiti yang sama17. Mahkamah juga menggunakan pendekatan yang lebih pragmatik di bawah kekecualian kehakiman. Mahkamah lebih mengutamakan keadilan dari cuba untuk mengembangkan satu doktrin yang seragam dan menyeluruh dalam menyingkap tabir korporat. Penulis berpendapat adalah lebih wajar sekiranya kita mengkelaskan kes-kes ini mengikut klasifikasi kes-kes duluan daripada mengharapkan Mahkamah mengistiharkan satu doktrin yang seragam dalam persoalan ini. Perlu diingat bahawa pengkelasan kes-kes yang dibincangkan di atas adalah tidak lengkap dan masih terbuka untuk Mahkamah mengistiharkan satu kaedah dan pendekatan yang lebih sempurna. Nota penghujung: 1. [1897] AC 22 (House of Lords) 2. Foss v. Harbottle [1843] 2 Hare 461 3. Re Noel Tedman Holdings Pty Ltd [1967] QdR (Supreme Court, Quendsland) 4. Re Application by Yee Yut Ee [1987] 2 MLJ (High Court, Singapore) 5. Re William C. Leicth Bros. Ltd [1932] All ER 892 6. [1933] Ch 935 (Court of Appeal, England) 7. [1962] 1 WLR 832 (High Court, England)

www.newcljlaw.com/members/DisplayArticle.aspx?ArticleId=130744354&SearchId=1maralib1

2/3

3/11/13

Article:[1995]1 CLJ clxxxix (Mar)


8. Cheong Kim Ko v. Kim Bin Realty (Pte) Suite No. 4463 of 1981 (unreported ) (High Court, Singapore); noted in 1987 BLD [De] 953 9. Aspatra Sdn. Bhd. v. Bank Bumiputra Malaysia Bhd. [1988] 1 MLJ 97 10. Wallersteiner v. Moir [1074] 3 All ER 217 11. Seksyen 6 Akta Syarikat 1965 12. [1963] 3 All ER 462 (Court of Appeal , England) 13. [1978] 248 Estates Gazetter 777 14. [1980] 1 MLJ 109 (High Court, Malaysia) 15. [1953] 1 WLR 483 (High Court, England) 16. Walter Woon, Company Law, Longman 1991, pp 31 17. Solomon v. Solomon Co. Ltd. [1897] AC 22 (House of Lords) Disclaimer | Privacy Policy | Terms of Trade | Terms & Conditions of Use | Licence Agreement | FAQ| Sitemap Copyright 2013 CLJ Legal Network Sdn Bhd. Email:enquiries@cljlaw.com Tel: 603-4270 5421 Fax: 603-4270 5402

www.newcljlaw.com/members/DisplayArticle.aspx?ArticleId=130744354&SearchId=1maralib1

3/3

You might also like