Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Kurikulum dan Perkaedahan Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

1.1 PENGENALAN Konsep 5P adalah strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia di peringkat sekolah. Terdapat lima elemen yang terkandung dalam konsep 5P iaitu strategi penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, program pengayaan dan pemulihan. Konsep ini merupakan satu saranan agar bidang-bidang kemahiran atau bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran disampaikan secara bersepadu. Setiap elemen ini penting untuk membantu guru merancang satu proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia yang efektif. Semua elemen dalam konsep 5P dijalankan secara bersepadu dan tidak secara berasingan. Penggabungjalinan adalah proses dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyarankan supaya bidang-bidang kemahiran yang berkait rapat atau bahan-bahan pengajaran yang mempunyai urutan yang baik tidak disampaikan secara berasingan. Menurut Juriah Long (1992), strategi ini berhasrat untuk menjadikan aspek-aspek kemahiran saling memperkukuh dan bahan-bahan pengajaran saling melengkapi. Dalam hal ini, sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih bererti. Penyerapan bertujuan untuk memenuhi elemen pengisian kurikulum dalam mata pelajaran bahasa Malaysia. Menurut Kamarudin (1998), penyerapan merupakan proses penyebatian dan menyatupadukan pengetahuan atau unsur pengetahuan daripada satu mata pelajaran lain sebagai isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Terdapat empat aspek yang terkandung dalam proses penyerapan iaitu aspek pembelajaran, aspek komunikasi, pengetahuan atau isi pelajaran dan nilai murni. Proses penyerapan diaplikasikan secara terancang oleh guru dan diserap pula oleh murid-murid secara tidak langsung semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi. Menurut Koh Boh Boon (1989), dalam KBSR, penilaian merupakan satu proses untuk menguji, mengukur dan membuat pertimbangan mengenai kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif

pengajaran dan pembelajaran. Terdapat tiga jenis aktiviti penilaian iaitu penilaian mengesan penguasaan, penilaian mengesan kemajuan dan penilaian mengesan pencapaian. Program pengayaan merupakan aktiviti pembelajaran yang menarik dan mencabar untuk memberi peluang kepada murid-murid mengembangkan sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya kreativiti dan semangat kepimpinan. Menurut Abd. Aziz (2000), program pengayaan boleh dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti iaitu pembelajaran akses kendiri, kerja projek, bacaan tambahan, permainan dan rekreasi serta pembelajaran menggunakan komputer. Program pemulihan dikaitkan dengan kanak-kanak yang menghadapi kesulitan pembelajaran. Pengajaran pemulihan merupakan langkah khas yang guru lakukan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Sebaik sahaja masalah pembelajaran dikesan dan dikenal pasti, program ini dilaksanakan. Menurut Abd. Aziz (2000), murid-murid pemulihan perlu diberikan pengajaran pemulihan yang sesuai supaya jurang antara mereka dengan murid lain dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali.

1.2 Konsep dan Strategi Penggabungjalinan Konsep strategi penggabungjalinan boleh ditakrifkan sebagai suatu pengolahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa yang melibatkan pengajaran beberapa aspek kemahiran bahasa yang dihimpun dan diajar serentak dan berkait rapat antara satu dengan lain dalam satu sesi pengajaran. Penggabungjalinan juga meliputi penggabungan beberapa mata pelajaran, aktiviti, pendekatan dan media. Menurut Juriah Long (1992), strategi penggabungjalinan mempunyai beberapa tujuan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa. Antara tujuan tersebut ialah membantu murid-murid menguasai kemahiran berbahasa secara serentak. Kemahiran-kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh murid dalam mata pelajaran bahasa Malaysia ialah kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Strategi penggabungjalinan juga akan membantu guru untuk merangka dan

membentuk sebuah sesi pengajaran yang lebih menarik dan efektif kerana guru mempunyai kebebasan untuk mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Antara kaedah dan teknik yang boleh diguna pakai oleh guru ialah kaedah terus, kaedah oral-aural, kaedah linguistik, teknik permainan bahasa, teknik main peranan, teknik sumbangsaran dan sebagainya. Sebelum mengaplikasikan strategi penggabungjalinan dalam pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru perlu memahami dan mematuhi prinsipprinsip yang terkandung di dalamnya. Prinsip utama strategi penggabungjalinan ialah, ia mestilah bersifat boleh ubah dan perlu selaras dengan matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang ingin dicapai. Seterusnya, guru perlu tahu dan menetapkan jumlah kemahiran yang ingin digabungjalinkan dalam sesebuah pengajaran. Guru perlu menggabungjalinkan sekurang-kurangnya dua kemahiran dalam sesebuah pengajaran. Guru juga mestilah merancang kemahiran fokus dan kemahiran sampingan dengan baik. Prinsip terakhir ialah, penggabungjalinan yang ingin dilakukan oleh guru perlu diseimbangkan dengan kebolehan, pencapaian dan keperluan murid-muridnya. Strategi penggabungjalinan mempunyai tiga bentuk. Bentuk-bentuk tersebut ialah: a. Penggabungjalinan Kemahiran Terdapat tiga kemahiran utama dalam pengajaran bahasa Malaysia yang perlu dikuasai oleh murid-murid. Kemahiran-kemahiran tersebut ialah kemahiran lisan, membaca dan menulis. Dalam sesebuah pengajaran yang menggunakan strategi penggabunjalinan, guru perlu menggabunjalinkan sekurang-kurangnya dua kemahiran tersebut dalam pengajarannya. Ini bermakna murid-murid akan memperoleh dan menguasai dua atau lebih kemahiran dalam masa yang sama. Kemahiran tersebut boleh dibahagikan kepada fokus utama dan fokus sampingan. Selain daripada kemahirankemahiran bahasa, guru juga boleh menggabungjalinkan kemahirankemahiran daripada mata pelajaran lain ke dalam mata pelajaran bahasa Malaysia. Kemahiran-kemahiran tersebut seperti Muzik, Pendidikan Seni, Sains, Sastera dan sebagainya boleh digunakan oleh guru ketika menyampaikan pengajarannya. Aktiviti-aktiviti seperti nyanyian, pergerakan, melukis, mendeklamasikan sajak, lakonan dan sebagainya boleh membantu

merangsang minat murid untuk melibatkan diri dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

b. Penggabungjalinan Aktiviti Guru boleh menggabungjalinkan sekurang-kurangnya dua aktiviti atau lebih mengikut keperluan dan kesesuaian pengajarannya. Aktiviti-aktiviti yang ingin dilaksanakan perlu merangkumi aspek-aspek seperti lisan, bacaan dan tulisan. Penggabungjalinan aktiviti perlu dirancang dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai urutan yang baik, misalnya aktiviti membaca disusuli dengan mengesan isi-isi utama, kemudian membuat ulasan dan seterusnya menulis ulasan dalam buku latihan. Aktiviti lisan seperti perbincangan boleh digabungjalinkan dengan aktiviti membaca, iaitu memahami sesuatu isu yang dibincangkan dan diikuti oleh aktiviti penulisan berdasarkan isu yang telah dibincangkan.

c. Penggabungjalinan Bahan Penggabungjalinan bahan pula memberikan tumpuan kepada bahan-bahan atau tema pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajarannya di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku teks, papan tulis, gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid. Bahan-bahan itu boleh terdiri daripada bahan utama atau bahan sokongan. Guru perlu merancang agar bahan yang dipilih sesuai dengan keperluan, pengalaman dan tahap pencapaian murid. Bahan-bahan tersebut boleh digabungjalinkan mengikut keperluan masa dan mempunyai pertalian dan urutan yang baik. Misalnya keratan akhbar yang memuatkan isu-isu semasa boleh digabungjalinkan dengan bahan lisan, iaitu murid-murid boleh membuat ulasan, perbincangan dan sebagainya terhadap bahan tersebut.

RUMUSAN Tugas seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang disangkakan kerana ia bukan sahaja bertugas untuk menyampaikan isi pengajaran secara berkesan, tetapi dalam masa yang sama ia juga berperanan untuk menyemai dan memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa murid-murid. Guru adalah pendidik dan pengasuh generasi muda yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan negara pada masa hadapan. Oleh itu, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, professional dan sosial yang baik dan murni. Penggabungjalinan merupakan strategi pengajaran yang mampu untuk menghasilkan sebuah sesi pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkualiti. Guru perlu mempertimbangkan kemahiran-kemahiran, unsur-unsur daripada mata pelajaran lain, serta bahan-bahan yang sesuai untuk digabungjalin dalam sesebuah pengajaran dan pembelajaran. Dengan itu bahan pengajaran yang disampaikan akan menjadikan murid-murid memahaminya dan boleh dimanfaatkan dalam kehidupannya (Omardin Ashaari, 1999). Strategi yang menggabungjalinkan kemahiran, bahan dan aktiviti dapat digunakan oleh guru di dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk memperkaya, memperjelas dan menimbulkan keseronokan dalam mempelajari subjek bahasa Malaysia. Strategi penggabungjalinan membolehkan murid-murid melihat perkaitan di antara disiplin diri. Isi-isi pelajaran yang dipelajari oleh murid-murid tidak terpisah dan dengan itu proses pembelajaran akan menjadi lebih mudah, luas dan bermakna bagi diri mereka. Hasil daripada gabungan yang mantap di antara proses penggabungjalinan dan kemahiran seorang guru mengolah isi pelajaran dengan bantuan bahan bantu mengajar yang bersesuaian, maka terhasillah satu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan objektif yang telah disasarkan oleh guru akan dapat dicapai. Hanya guru yang mempunyai komitmen, iltizam dan kompetensi yang tinggi terhadap tugasnya serta mempunyai akhlak, budi pekerti dan tatasusila yang tinggi sahaja mampu untuk mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Ia juga akan berjaya menjalankan tugas sebagai seorang pendidik dengan sempurna dan efektif.

RUJUKAN Abd. Aziz Abd. Talib. (2000). Pedagogi Bahasa Melayu, Prinsip, Kaedah dan Teknik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Faridah Nazir. (2010). Kurikulum dan Perkaedahan dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Selangor Darul Ehsan: Open University Malaysia.

Johnson & Johnson. (1991). Learning Together and Alone: Cooperative, Competitive and Individualistic Learning. Upper Saddle River: Prentice Hall.

Juriah Long, et al. (1992). Perkaedahan Pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Kamarudin Haji Husin, et al. (1998). Pedagogi Bahasa: Perkaedahan. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Koh Boh Boon. (1989). Perspektif-perspektif Dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mahzan Arshad. (2003). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd:

Marohaini Yusoff. (1999). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mook Soon Sang, Lee Shok Mee. (1986). Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Tahap I.

Siri Maktab Perguruan. Kuala Lumpur: Heineman Malaysia Sdn. Bhd

Nik Safiah Karim et. al. (2009). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Omardin Ashaari. (1999). Pengajaran Kreatif Untuk Pembelajaran Aktif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2003). Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tahun Lima, Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

S. Nathesan. (1999). Pendekatan dan Teknik Pendidikan Bahasa Melayu. Selangor Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yahya Othman. (2003). Mengajar Membaca Teori dan Aplikasi. Pahang Darul Makmur: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.

You might also like