Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Wartawan: Assalamualaikum tuan.

Kami dari unit wartawan redaksi majalah An-Nur ingin mengadakan sedikit wawancara bersama tuan. Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut, bolehkah tuan ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang pendidikan serta pengalaman sepanjang tuan berkhidmat dalam bidang pendidikan? Tn. Hj. Amin: Waalaikumsalam. Saya telah mendapat pendidikan awal di SK Sijangkang, Kuala Langat. Setelah tamat pelajaran di sekolah rendah, saya meneruskan pelajaran di Maahad Hishamuddin Sg. Bertih, Klang. Seterusnya saya memasuki Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) iaitu pada tahun 1973 hingga 1974. Pada tahun 1978, saya meneruskan pengajian di Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dari segi pengalaman bertugas, saya telah bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Victoria yang terletak berhampiran dengan Stadium Merdeka selama 5 tahun (1978-1983). Saya juga telah bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Rajang, Sarawak (1983-1986) dan berpindah ke Maktab Perguruan Islam (MPI) di Lembah Pantai (1987-1988). Kemudian, saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang pendidikan di UKM pada tahun 1988-1990. Seterusnya saya telah berkhidmat sebagai pegawai selama 7 tahun di Institut Perguruan Darul Aman dan berkhidmat di Bahagian Pendidikan Guru (BPG) di Damansara sebagai Penolong Pengarah dalam unit kurikulum selama 2 setengah tahun. Seterusnya saya telah menjadi pengetua di SMKA Miri selama 3 tahun dan pengetua di SMKA Simpang Lima, Sabak Bernam selama 1 tahun 5 bulan. Saya juga telah berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Sabak Bernam selama 1 tahun 8 bulan dari tahun 2004-2006 dan pada bulan April 2006, saya telah diarahkan untuk bertugas sebagai pengarah di Institut Perguruan Islam Selangor(IPIS) sehinggalah kini, yang namanya ditukar kepada Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor. Wartawan: Bagaimana pula mengenai latar belakang keluarga tuan? Tn. Hj. Amin: Sedikit mengenai keluarga saya. Isteri saya merupakan seorang Guru Penolong Kanan 1 di Sekolah Menengah Raja Zarina di Pelabuhan Klang. Kami telah dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu 2 lelaki dan 2 perempuan. Anak saya yang pertama masih belajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Sains Kemanusiaan, yang kedua di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang pergigian. Manakala yang ketiga masih belajar di KISAS dan yang keempat masih berada di Tingkatan 3. Wartawan: Kami berbesar hati ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada tuan kerana telah menyumbang khidmat bakti yang sangat besar di institut ini. Institut ini berada dalam keadaan baik dan sejahtera di bawah kelolaan dan kepimpinan tuan. Pelbagai pembangunan telah dijalankan dan kini institut ini makin dikenali terutama dalam Bahagian Pendidikan Guru (BPG). Apakah prinsip atau pegangan yang tuan ingin kecapi selama tuan berkhidmat di sini? Tn. Hj. Amin: Prinsip kerja saya mudah. Saya ingin memastikan bahawa setiap kerja yang dilakukan mestilah mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua pihak sama ada dalam kalangan pensyarah mahupun staf sokongan, malahan daripada setiap pelajar. Selain itu, saya ingin memastikan bahawa tidak berlaku perselisihan faham antara semua pihak dan seboleh-bolehnya saya ingin cuba mengelakkan daripada berlakunya permusuhan sesama rakan sekerja. Wartawan: Mungkin tuan boleh berkongsi kenangan manis atau pencapaian tertinggi yang pernah dikecapi oleh institut ini? Tn. Hj. Amin: Bagi saya, terlalu banyak kenangan manis. Kita memiliki pelajar yang memiliki bakat yang luar biasa dalam pelbagai bidang contohnya dalam pertandingan debat sehingga sukar ditandingi oleh pelajar-pelajar daripada institut lain. Selain itu, saya amat bersyukur dan berbangga kerana majoriti pelajar-pelajar yang masuk ke institut ini terdiri daripada pelajar-pelajar yang mendapat kelayakan atau keputusan terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang setanding dengan pelajar-pelajar yang memasuki pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta. Di samping itu, dengan adanya Program Ijazah Sarjana Muda (PISMP), bidang sukan dan aktiviti kokurikulum di institut ini semakin meningkat berbanding sebelum ini. Kita juga harus berbangga dengan satu persatuan yang kian melakar warna-warni kejayaan dan menjadi tumpuan ramai iaitu orkestra tradisional Persatuan Kompang Kontemporari (PEKOMPERI) yang dibimbing oleh seorang guru muzik yang hebat dan sangat berdedikasi iaitu En. Mohd Isa b. Ramlan. Beliau merupakan seorang guru yang sangat rajin dan tegas dalam menjalankan kariernya sebagai guru muzik. Saya juga turut berbangga dengan kebolehan pelajar-pelajar kita kerana mereka juga tidak kering menyumbang idea-idea yang cukup bernas dengan program-program ilmiah yang sentiasa diadakan pada setiap minggu dan setiap bulan. Wartawan: Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada tuan yang sudi berkongsi cerita bersama kami dan seluruh warga institut ini. Sampai di sini sahaja wawancara kita pada hari ini. Semoga harapan tuan terus terlaksana. Sehingga kita bertemu lagi. Insya-Allah. Assalamualaikum w.b.t. Tn. Hj. Amin: Sama-sama.

Wartawan: Assalamualaikum puan. Kami dari unit wartawan redaksi majalah An-Nur ingin mengadakan sedikit wawancara bersama puan. Terlebih dahulu, kami ingin mengucapkan selamat datang ke IPG Kampus Pendidikan Islam. Puan sedia maklum, IPG Kampus Pendidikan Islam baru sahaja kehilangan Timbalan Pengarah. Walaubagaimanapun, kehilangan tersebut telah terubat dengan

kehadiran puan. Jadi, kami amat berbesar hati serta mengalu-alukan kehadiran puan di sini bak kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Pn. Hjh. Marinal: Terima kasih. Wartawan: Baiklah. Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut, apakah visi dan misi yang menjadi teras pegangan kerjaya puan? Pn. Hjh. Marinal: Sebagai seorang pendidik, kita seharusnya mempunyai visi dan misi yang tersendiri. Visi saya ialah untuk melahirkan guru-guru yang cemerlang sama ada dari segi pencapaian akademik mahupun sahsiah diri dalam usaha membentuk seorang insan yang kamil. Misi saya pula ialah melahirkan guru-guru yang menjadi model atau ikon yang disegani orang ramai iaitu mereka yang mempunyai tingkah laku yang baik dan menjadi motivator kepada anak didik. Hal ini adalah untuk melahirkan guruguru yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial iaitu JERIS serta guru-guru yang komited dan dedikasi terhadap kerja yang diberikan. Bahkan, saya juga berharap agar dapat melahirkan guru-guru yang berkebolehan dalam pelbagai bidang atau versatile. Wartawan: Apabila puan melangkahkan kaki ke institut ini, apakah pandangan pertama puan terhadap institut ini dan apakah perasaan puan apabila mula berkhidmat di sini? Pn. Hjh. Marinal: Buat petama kalinya saya menjejakkan kaki ke institut ini, saya berasa amat bangga dan bertuah kerana telah dipilih untuk berkhidmat di sebuah institut yang amat dikenali terutama dalam Bahagian Pendidikan Guru di saat-saat akhir perkhidmatan saya sebagai salah seorang warga pendidik. Terus terang saya katakan bahawa saya berasa sangat gembira dan bersyukur berada di sini kerana budaya dan suasana di sini amat berbeza berbanding di institut-institut atau tempat-tempat yang pernah saya berkhidmat sebelum ini. Selain itu, saya amat berpuas hati dengan sokongan daripada staf-staf dan pensyarah-pensyarah di institut ini. Mereka banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya tentang selok belok dan perjalanan institut ini. Wartawan: Seterusnya, apakah kejayaan terbesar yang pernah puan kecapi sebelum ini atau kenangan manis dalam hidup puan yang mungkin boleh dikongsi bersama? Pn. Hjh. Marinal: Bagi saya, kejayaan terbesar dalam hidup ialah menyedarkan seorang guru atau pelajar KDC mengenai tanggungjawab dan peranan sebenar sebagai seorang guru sewaktu saya mengajar beliau mengenai psikologi. Menurut beliau, sebelum ini beliau hanya mengajar untuk makan gaji sahaja tanpa memikirkan tentang pencapaian pelajar-pelajarnya. Setelah saya mengajar beliau dalam subjek psikologi, barulah beliau sedar akan fungsi seorang guru kepada pelajar-pelajarnya. Bagi saya, itulah kejayaan terbesar dalam hidup dan menjadi kenangan manis buat diri saya. Wartawan: Untuk soalan yang terakhir, apakah harapan puan kepada seluruh warga institut khususnya kepada bakal guru yang akan menjadi agen pembina Negara Bangsa kelak? Pn. Hjh. Marinal: Harapan saya kepada seluruh warga institut khususnya kepada semua bakal guru ialah supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada institut ini serta masyarakat sekeliling. Mudah-mudahan semua produk guru kelahiran institut ini adalah guru-guru yang serba boleh dalam pelbagai bidang dan kemahiran. Wartawan: Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada puan yang sudi meluangkan masa bersama kami. Sampai di sini sahaja wawancara kita pada hari ini. Akhir kata, kami mewakili warga IPG Kampus Pendidikan Islam ingin mendoakan kecemerlangan puan di institut ini. Sehingga kita bertemu lagi. Insya-Allah. Assalamualaikum w.b.t. Pn. Hjh. Marinal: Sama -sama. Insya-llah. Waalaikumsalam w.b.t.

Wartawan: Assalamualaikum w.b.t tuan. Kami dari unit wartawan redaksi majalah An-Nur ingin mengadakan sedikit wawancara bersama tuan. Menyingkap kembali sejarah penerbitan majalah An- Nur ini, hampir 13 tahun ia tertangguh dan dua tahun kebelakangan ini baru dicetuskan kembali oleh tuan sendiri. Jadi, persoalan kami siapakah yang menjadi penggerak utama untuk menerbitkan majalah tersebut?

Tn. Hj. Sasman: Sebenarnya, idea untuk mewujudkan kembali majalah ini datangnya dari tuan pengarah kita sendiri iaitu Tuan Haji Amin bin Mohd Rashid. Cuma kesedaran untuk menerbitkan kembali majalah yang sudah sekian lama tertangguh adalah rentetan daripada lawatan saya ke perpustakaan dan seterusnya mendapati bahawa kurangnya buku atau majalah hasil dari keluaran institut. Jadi saya telah mengusulkan kepada tuan pengarah mengenai perkara ini dan beliau telah bersetuju untuk menerbitkan kembali majalah untuk institut yang telah sekian lama tertangguh. Wartawan: Seawal tuan melangkahkan kaki masuk ke institut ini, apakah pandangan pertama tuan terhadap institut ini dan apakah perasaan tuan apabila ingin memulakan khidmat di sini?

Tn. Hj. Sasman: Sewaktu kali pertama saya melangkahkan kaki masuk ke institut ini, saya berasa amat bersyukur, bangga dan gembira kerana adalah menjadi prinsip dan dan misi saya untuk menyumbangkan khidmat bakti untuk meningkatkan lagi pembangunan yang sedia ada di institut ini dan saya perlu melakukan sesuatu bagi penambahbaikan insfrastruktur yang serba kekurangan pada ketika itu. Hal ini kerana ia merupakan prinsip hidup dan kerjaya bahawa saya tidak senang apabila melihat pekara-perkara yang kurang senang. Sebagai contoh, dalam suatu peristiwa terdapat seorang daripada pelajar kita yang terjatuh sehingga terkoyak kulit lututnya disebabkan penutup longkang yang telah pecah. Oleh itu, saya dan beberapa orang rakan telah berusaha membuat penutup longkang yang baru dengan usaha kami sendiri. Wartawan: Siapakah individu yang banyak memberikan dorongan untuk tuan terus tabah menghadapi cabaran? Tn. Hj. Sasman: Setiap kejayaan seorang lelaki itu, pasti ada wanita di sisinya. Sudah tentulah setiap kejayaan yang saya kecapi ada pendorongnya iaitu isteri saya sendiri, Pn. Normala bt. Hj. Saliman. Beliau sentiasa menjadi pendorong dan penyuntik semangat untuk saya terus maju dan cemerlang dalam kerjaya. Bagi saya, beliau merupakan seorang pengurus dan pembentuk rumah tangga yang terbaik kerana bijak dalam segala urusan yang berkaitan kewangan dan pendidikan anak-anak dapat diuruskan dengan baik dan saksama. Beliau juga merupakan seorang isteri contoh kerana sanggup bekorban untuk keluarga dan sanggup berhenti kerja di saat kemuncak kerjayanya demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga. Wartawan: Seterusnya, adakah pertukaran ke IPG Kampus Temenggong Ibrahim ini sesuatu yang dijangkakan dalam tempoh terdekat ini. Maksud kami, adakah sememangnya hajat atau impian tuan sendiri untuk pulang ke kampung halaman atau demi kemajuan pembangunan IPG itu sendiri. Tn. Hj. Sasman: Terus terang saya katakan, pertukaran yang berlaku ini adalah merupakan arahan dari pihak atasan dan bukan kehendak atau permintaan dari saya sendiri. Secara jujurnya, impian saya adalah untuk terus berkhidmat di sini sehinggalah persaraan tuan pengarah kita iaitu Tn. Hj. Amin b. Mohd Rashid. Hal ini kerana masih banyak lagi projek-projek dan perancangan saya yang masih belum dapat dijalankan lagi. Jadi, saya berasa amat sedih dan terkilan apabila mengetahui bahawa saya telah ditukarkan ke institut lain walaupun institut itu berada di kampung halaman sendiri. Wartawan: Sekian sahaja wawancara kali ini. Sayu rasa hati apabila tuan harus pergi. Walaupun tuan jauh dimata, namun tetap dihati. Kami mewakili warga kampus ingin mengucapkan terima kasih atas jasa tuan dan semoga terus cemerlang di tempat baru. Assalamualaikum w.b.t. Tn. Hj. Sasman: Sama-sama. Waalaikumsalam w.b.t.

You might also like