Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Komik jadi bahan pembelajaran

2010/12/16 - 00:58:29 AM Oleh Rashiqah Ilmi Abd RahimCetakEmel Kawan

Jepun, Korea sudah menggunakan komik untuk pengajaran Sains dan Matematik SARANAN Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) agar komik menjadi wahana pembelajaran sains, matematik bagi memupuk pemikiran kreatif di kalangan pelajar sekolah dilihat sebagai pendekatan lebih fleksibel berdasarkan keberkesanannya komik manga dan manwha yang popular di Jepun dan Korea. Jepun berjaya menggunakan komik dalam pembelajaran sains, matematik, sejarah dan bahasa secara berkesan, menghibur sambil mendidik pelajar, sekali gus mempromosi serta menarik masyarakat antarabangsa mengenali seni tradisi mahupun bahasa mereka. Kehebatan negara matahari terbit itu mempromosikan budaya, gaya hidup dan cara berfikir rakyat negaranya melalui komik Doraeman sebagai kucing robot dari masa depan iaitu watak ciptaan kartunis Fujiko F Fujio, cukup membuktikan keberkesanan komik dalam mengasah kreativiti kanak-kanak dan penyampaian maklumat.

Bagaimanapun, dalam keterbukaan minda masyarakat moden, Malaysia masih menggunakan buku teks sebagai rujukan utama pelajar di sekolah sehingga menyukarkan kelompok terbabit memupuk minat dalam pelajaran terutama Sains dan Matematik, sehingga ia dilihat sebagai beban. Justeru, pendekatan bersifat interaktif seperti penggunaan komik sebagai bahantara pembelajaran, sudah pasti mampu mengubah minda masyarakat kerana ia dilihat lebih terbuka, menghiburkan dan bebas berbanding mentelaah nota apalagi buku tebal dalam kelas. Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, sistem pembelajaran di sekolah negara ini memerlukan pelaksanaan baru bagi mengikis tanggapan generasi muda bahawa subjek Sains dan Matematik sukar untuk dipelajari. Justeru, usaha untuk memperluaskan skop pembelajaran melalui komik dapat membantu pelajar mendekatkan diri dalam bidang sains dan teknologi, selain mendedahkan mereka dengan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Ini kerana karya kreatif seperti kartun dan komik menjadi karakter penting dalam menyerlahkan sesebuah karya. Tanggapan lazim bahawa komik sebagai bahan bacaan tidak berfaedah adalah tidak benar kerana sebahagian besar daripadanya mempunyai ilmu yang boleh diterokai. Di Jepun, bukan saja Matematik dan Sains diajar menggunakan komik, bahkan subjek sejarah juga diajar melalui komik yang menyelitkan dialog patriotik, katanya ketika ditemui di Sungai Ramal, Kajang, baru-baru ini. Kamal Shukri berkata, masyarakat Jepun dan Eropah berjaya melahirkan cendekiawan dalam pelbagai bidang kerana mereka mendidik anak menggunakan bahantara interaktif seperti komik, filem dan dokumentari yang terbukti membawa kesan besar dalam proses pendidikan. Saya yakin sudah tiba masanya kita mencontohi kejayaan mereka dalam aspek ini kerana ia berupaya menarik minat generasi muda khususnya kanak-kanak untuk meminati bidang sains dan teknologi secara santai. Selain itu, penggunaan bahasa yang betul dalam komik turut membantu mereka mempelajari bahasa Melayu secara tidak langsung, katanya. Guru Matematik, Nur Salwa Hashim berkata pembelajaran dengan menggunakan komik dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk lebih

memahami suatu masalah yang diajukan secara santai dan lebih efektif, tanpa menafikan budaya membaca komik di Malaysia masih jauh berbeza daripada budaya komik di Amerika Syarikat dan Jepun. Di negara ini, sebahagian masyarakat menganggap komik sekadar bahan hiburan kanak-kanak, malahan pendekatan komik tempatan dalam mengasah minda pembaca masih jauh ketinggalan berbanding negara lain. Justeru, inilah masanya kita mencontohi budaya cemerlang Jepun dan Amerika yang maju dalam sains dan teknologi. Pelajar sekolah memerlukan pembaharuan dalam kaedah pembelajaran sedia ada yang dianggap serius dan sukar untuk difahami khususnya dalam subjek Matematik dan Sains. Sebagai pendidik, saya percaya penggunaan komik sebagai bahan tambahan pembelajaran perlu disokong, tetapi sistem konvensional tidak boleh dipinggirkan, katanya ketika dihubungi melalui telefon. Meskipun kaedah penggunaan komik dalam pembelajaran dilihat terlalu bebas, tetapi baginya guru sekolah masih dapat membantu pelajar menentukan sama ada betul atau salah sumber maklumat yang diperoleh melalui komik, selain masih bertanggungjawab memastikan pelajar sentiasa menyuburkan minat terhadap subjek Sains dan Matematik. Bagi menyokong usaha ini, ibu bapa wajar membantu membentuk asas pembudayaan membaca komik berfaedah sejak kanak-kanak dan berterusan sehingga remaja. Ibu bapa bukan saja mesti membaca bersama-sama mereka, tetapi juga membimbing anak masing-masing membuat analisis dan klasifikasi bagi memastikan penggunaan komik berkesan, katanya.

Rujukan: http://w1.bharian.com.my/bharian/articles/Komikjadibahanpembelajaran/Article

You might also like