Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

KARANGAN RESPONS TERBUKA FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN MALAYSIA POPULAR SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN SERANTAU

Memang tidak dapat kita nafikan bahawa pertumbuhan ekonomi yang mapan menjadi kayu pengukur untuk menilai tahap kemajuan yang dialami oleh sesebuah negara.Sehubungan dengan itu, sektor pelancongan dikenal pasti sebagai satu daripada sektor yang menyumbang terhadap ekonomi kebanyakan negara.Bagi nusa tercinta kita, Malaysia, sektor pelancongan merupakan penjana ekonomi yang kedua terbesar selepas sektor perindustrian kerana saban tahun jutaan pelancong asing memasuki Malaysia terus-menerus, seperti peribahasa yang berbunyi, ada gula, ada semut. Malaysia sudah tidak memerlukan pengenalan kepada mereka kerana Malaysia sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan yang unggul di rantau Asia Tenggara.Pada dasarnya, terdapat pelbagai faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang tersohor di rantau ini. Antara faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang tersohor ialah keindahan alam semula jadi yang melatari bumi bertuah ini.Hal ini demikian kerana kicauan unggas yang berlagu riang, lambaian angin yang segar dan nyaman daripada pepohon hijau serta bunga yang beraneka warna mampu mendamaikan deria yang memerlukan istirahat daripada keadaan hiruk-pikuk di kota.Pada hakikatnya, terdapat pelbagai tempat menarik yang menghiasi Malaysia, baik dari utara ke selatan mahu pun dari barat ke timur seperti kawasan tanah tinggi yang dingin, hutan hujan Tropika yang menghijau, pantai yang jernih dan gugusan pulau yang bebas daripada pencemaran.Sebagai contoh, tempat-tempat seperti Cameron Highlands, Taman Negara, Gunung Kinabalu, Pantai Desaru dan Pulau Perhentian memiliki keindahan alam semula jadi yang tersendiri.Oleh itu, memang jelas bahawa keindahan panorama alam yang terdapat di Malaysia mampu menggamit hati para pelancong untuk bertandang ke negara kita. Selain itu, kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia turut menjadi daya tarikan pelancong asing.Sesungguhnya, nusa tercinta kita ini dihuni oleh masyarakat majmuk yang berlatarbelakangkan kumpulan etnik yang berbeza.Hal ini secara tidak langsung membuka ruang untuk kewujudan pelbagai perayaan, makanan, tarian dan pakaian mengikut tradisi masingmasing.Masyarakat asing akan melihat kepelbagaian budaya ini sebagai sesuatu yang unik kerana mereka mungkin tidak dapat melihat perkara tersebut di negara asal mereka.Sebagai contoh, masyarakat Melayu terkenal dengan makanan seperti

ketupat dan rendang , masyarakat Cina terkenal dengan tarian singa dan naga , masyarakat India pula terkenal dengan pakaian tradisional seperti sari dan dhoti.Pokok pangkalnya, pelancong asing gemar berkunjung ke Malaysia untuk menghayati kepelbagaian budaya yang terdapat di sini , bak kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta. Tambahan pula, bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita berupaya untuk merangsang minat pelancong asing untuk melawati negara kita..Kewujudan bangunan-bangunan bersejarah menjadi antara faktor bandar raya Melaka dan Georgetown menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO).Sehubungan dengan itu, sekiranya masyarakat antarabangsa meneliti senarai Tapak Warisan Dunia, sudah tentu mereka tidak terlepas untuk melihat nama Malaysia dalam senarai tersebut.Bangunan-bangunan tersebut juga melambangkan seni bina dan identiti masyarakat luar yang mendiami negara kita pada masa lampau.Sebagai contoh, bangunan A Famosa dan Stadthuys mencerminkan identiti masyarakat Portugis dan Belanda. Bangunan-bangunan tersebut masih utuh kerana bangunan-bangunan tersebut dipulihara dengan baik Konklusinya, selagi bangunan-bangunan tersebut berdiri teguh, maka selagi itulah pelancong akan melawati Malaysia untuk menyingkap rahsia di sebalik setiap bangunan yang terbina itu. Di samping itu, penganjuran sukan bertaraf antarabangsa memberikan suntikan dalam perkembangan sektor pelancongan di negara kita.Dalam hal ini, negara kita pernah menjadi tuan rumah Sukan komanwel yang ke-16 pada tahun 1998.Bahkan, negara kita juga menganjurkan perlumbaan kereta Formula 1 yang terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa setiap tahun. Apabila negara kita menganjurkan kejohanan sukan yang sebegini rupa, masyarakat asing akan berkunjung ke negara kita untuk menyaksikan kejohanan tersebut secara langsung supaya mereka dapat memberikan sokongan kepada atlet yang mewakili negara mereka.Pada masa yang sama, mereka juga akan mengambil kesempatan untuk melawat tempat-tempat menarik yang terdapat di negara kita, bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Pendek kata, sektor pelancongan negara kita semakin berkembang kerana negara kita menganjurkan temasya sukan pada peringkat antarabangsa. Secara tuntas, memang jelas bahawa industri pelancongan mempunyai potensi yang besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara kita.Walaupun pihak kerajaan mengatur pelbagai langkah untuk menarik pelancong asing datang ke negara kita seperti kempen Tahun Melawat Malaysia , namun usaha murni ini

tidak akan mencapai matlamatnya tanpa kerjasama daripada semua pihak.Selain kemudahan prasarana yang lengkap, tahap keselamatan di negara kita juga wajar dipandang serius. Hal ini amat penting untuk memastikan bahawa para pelancong berasa selesa apabila berada di negara kita dan tidak pulang ke negara asal mereka dengan perasaan hampa setelah bercuti di negara kita.Tidak ketinggalan juga, masyarakat umum perlulah melayan pelancong asing dengan senyuman yang manis agar dapat mencerminkan imej yang positif kepada mereka seperti peribahasa yang berbunyi,di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Mudah mudahan, segala persiapan untuk memenuhi cita rasa pelancong asing akan membolehkan mereka mengalami satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan membuatkan mereka kembali ke Malaysia, bukan sekali, bukan dua kali , tetapi berkali-kali.

You might also like