Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 22

TAJUK : MASA HADAPAN BAHASA MELAYU

1.0 PENDAHULUAN Polemik tentang status dan penggunaan bahasa Melayu sering kali berlaku dan tidak putus-putus dilanda badai mengikut cakna pemimpin tertinggi. Hal ini telah menjadi isu perbualan hangat pelbagai pihak. Di Malaysia bahasa Melayu atau dikenali sebagai bahasa Malaysia merupakan bahasa Kebangsaan seperti yang jelas termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini telah menimbulkan pelbagai kecelaruan dan kekeliruan kerana penggunaan istilah Bahasa Malaysia menggantikan istilah bahasa Melayu telah memberikan pelbagai tanggapan kepada para cendekiawan, para pejuang bahasa dan orang ramai umumnya. Namun, setelah 50 tahun merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi isu perbahasan dan perdebatan pelbagai pihak yang tidak berkesudahan. Paling menyedihkan apabila ada kajian yang dijalankan menunjukkan generasi muda dari kaum Cina dan India masih tidak tahu atau fasih berbahasa Melayu. Malah lebih banyak pengisian jawatan-jawatan kosong dalam sektor swasta yang mementingkan bahasa lain seperti bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Walaupun populasi masyarakat Cina tidaklah besar jika dibandingkan dengan populasi masyarakat Melayu yang merangkumi 67% dari keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 28.3 juta orang dan rata-rata mereka menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

2. SEJARAH RINGKAS BAHASA MELAYU 2.1 Asal-usul. Beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan masyarakat Austronesia yang datang dari daerah Yunan dan bergerak ke selatan dan mendiami wilayah Asia Tenggara sejak tahun 2500 Sebelum Masihi dengan golongan pertama iaitu, Melayu Proto; kemudian muncul pula kumpulan kedua, iaitu Melayu Deutro dalam tahun 1500 Sebelum Masihi. Mereka ini telah menduduki daerah pantai dan lembah di Asia Tenggara, dan telah menguasai ilmu pelayaran dan pertanian. Mereka bertutur atau berkomunikasi dengan menggunakan keluarga Bahasa Austris yang dapat dikelaskan kepada tiga kelompok utama; iaitu pertama, Rumpun Bahasa Austroasia, kedua Rumpun Bahasa Tibet-China dan ketiga Rumpun Bahasa Austronesia. Bahasa Melayu itu sendiri termasuk dalam kelompok bahasa Nusantara dalam keluarga Austronesia dan mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200-300 bahasa.

2.2 Asal Istilah Melayu. Asal-usul perkataan ataupun istilah Melayu dikatakan berasal dari bahasa Parsi yang disebut Mula yang bermaksud para guru kerana merujuk kepada pengertian seseorang yang menguasai ilmu pengetahuan yang lengkap. Maka, Mula yang paling hebat diberi gelaran Maulana. Tugas Maulana yang menyebarkan ilmu menyebabkan bahasa yang digunakan itu disebut bahasa Mula dan akhirnya dikenali sebagai Mulaye. Selanjutnya, istilah ini disebutkan sebagai Melayu dalam kitab Sejarah Melayu. Hal ini telah dibuktikan melalui tulisan I-Tsing yang menyatakan kerajaan Mo-La-You mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja China pada tahun 644-645 Masihi.

2.3 Perkembangan Bahasa Melayu Perkembangan Bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada empat peringkat atau bahagian, iaitu bahasa Melayu Lama, bahasa Melayu baharu, bahasa Melayu moden dan bahasa Melayu merdeka. Bahasa Melayu Lama dikatakan bermula pada Tahun Masihi 680 Masihi yang merujuk prasasti-prasasti bertulis di batu-batiu bersurat seperi di Kota Kapur, Bangka Barat 686 Masihi, karang Brahi 686 Masihi, Kedukan Bukit 683 Masihi dan Talang Tuwa 684 Masihi yang menggunakan bahasa Sanskrit. Seterusnya, bahasa Melayu Baharu bermula pada tahun 1400 Masihi apabila bertapaknya pengaruh Islam di Melaka. Banyak perkataan Arab dan huruf Arab diserap dalam bahasa Melayu. Selain itu, sebelum kedatangan pengaruh Islam terdapat juga pengaruh Parsi dan India. Hal ini terbukti dalam penulisan kitab Sejarah Melayu 1612 Masihi, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-raja Pasai. Manakala, cerita-cerita hikayat seperti Hikayat Mesa Panji Kesuma, Hikayat Panji Semirang dan sebagainya menerima pengaruh Arab dan Hindu berasal dari zaman Majapahit pada tahun 1294 Masihi. Selanjutnya, bahasa Melayu Moden bermula pada kurun ke XIX dengan penulisan Hikayat Abdullah pada tahun 1840 oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Peranan ini diteruskan oleh Raja Ali Haji bin Raja Ahmad yang banyak menceritakan kisah pemerintahan raja-raja Riau dan Johor. Perjuangan beliau ini telah diteruskan oleh anaknya, iaitu Muhamad Ibrahim Munsyi. Akhirnya, bahasa Melayu pada Zaman Melayu Merdeka yang bersifat futuristik kerana berlakunya merangkumi peredaran zaman dan perubahan yang pesat sejajar dengan peranan yang dimainkan oleh bahasa itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi Tanah Melayu yang menjadi bahasa penyatuan tunggal bagi masyarakatnya yang berbilang bangsa dan agama, kemajuan daripada bahasa Melayu oleh tokoh-tokoh bahasa

Melayu, peranan Dewan Bahasa dan Pustaka yang diberi tanggungjawab merancang pembentukan tatabahasa, ejaan, istilah dengan menghasilkan sebuah buku tatabahasa yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa. Seterusnya, melakukan proses pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun, ketiga pula menilai terhadap hasil dan kesan aktiviti perancangan dan membaiki kelemahan-kelemahan yang sedia ada. Selanjutnya, dilakukan proses pengekodan iaitu penyeragaman dengan menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dari aspek tatabahasa (Tatabahasa Dewan), ejaan, makna (Kamus Dewan), dan sebutan (Bahasa Melayu Baku). Akhir sekali melaui proses pemupukan bahasa Melayu, iaitu menumpukan perhatian terhadap usaha-usaha mengembangkan bahasa sesuai dengan peredaran zaman.

3. FUNGSI DAN PERANAN BAHASA MELAYU Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang amat cerah . Hal ini dapat dilihat atau dikaji melalui fungsi dan peranan bahasa Melayu itu sendiri.

3.1 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh parlimen : dengan syarat bahawa : (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa asing. (b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan.

Mengikut undang-undang Malaysia Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Bahasa Kebangsaan 1963-1967 (disemak 1971) dan Akta Bahasa Kebangsaan (Pindaan dan Perluasan) 1983 yang menegaskan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud-maksud rasmi. Dari segi undang-undang Malaysia, bahasa Melayu diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara itu juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

3.2 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi. Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan telah termaktub bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan dan perlu digunakan dalam semua urusan rasmi. Untuk meyelesaikan masalah ini Dewan Bahasa Dan Pustaka telah ditubuhkan pada tahun 1956 sebagai ejen utama yang merancang penerimaan bahasa Melayu oleh masyarakat. Perkara ini sewajarnya telah berjaya dilaksanakan dalam semua urusan di pelbagai peringkat pentadbiran, pengurusan, badan-badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pelbagai sektor lain kerana usia kemerdekaan negara kita telah menjangkau lebih 50 tahun. Oleh hal yang demikian, sudah sepatutnya penggunaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan negara Malaysia telah mantap.

3.3 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan. Lipatan sejarah tragedi 13 Mei 1969 telah menjadi igauan buruk rakyat negara kita kerana isu perkauman telah dipolitikkan dan hal ini telah membangkitkan perasaan permusuhan dan anti-perkauman antara rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum yang

menyebabkan pertumpahan darah. Ekoran dari peristiwa itu, Rukun Negara telah diwujudkan dan mana-mana individu atau parti-parti politik tidak boleh mempertikaikan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan dan tidak boleh dipersoalkan kerana telah dipersetujui oleh semua pemimpin kaum-kaum lain semasa menandatangani kontrak sosial sebelum negara mencapai kemerdekaan. Penubuhan bahagian pengembangan bahasa pelbagai kaum yang dilakukan oleh DBP merupakan satu langkah awal dan bijak. Dengan adanya bahagian ini, usaha mengembangkan bahasa Melayu, khususnya kepada masyarakat bukan Melayu dapat diperhebatkan.

3.4 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar. Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] memperuntukkan bahawa: (i) Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidiksn lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini. (ii) Jika bahasa pengantar utama di suatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu. Seksyen 41 Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] pula memperuntukkan bahawa: (i) Semua institusi pendidikan swasta hendaklah mengendalikan kursus pengajian dalam bahasa kebangsaan. (ii) Kursus pengajian di bawah subseksyen (1) adalah termasuk mata pelajaran yang dikehendaki diajar di bawah Seksyen 43.

Dalam Laporan Razak yang menjadi dasar Pelajaran Kebangsaan adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu melalui sistem persekolahan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Oleh hal yang demikian, Dasar Pelajaran Kebangsaan telah mencadangkan supaya sebuah Maktab Perguruan iaitu Maktab Perguruan Bahasa ditubuhkan untuk melatih dan melahirkan guru-guru yang mengajar bahasa Melayu dan menjalankan penyelidikan terhadap bahasa Melayu. Laporan Razak juga menyokong penubuhan DBP pada tahun 1956. Walaupun banyak pihak yang memperakui kedudukan perkara 152 para(1) Perlembagaan Persekutuan, masih ada segelintir individu terutamanya pemimpin-peminpin negara mempersoalkan kredibiliti perundangan tertinggi negara yang tersimpul rapi. Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan digunakan dalam semua urusan rasmi. Oleh hal yang demikian, dalam sistem pelajaran pelajaran kebangsaan yang jelas merupakan urusan rasmi kerajaan, maka bahasa pengantar utama ialah bahasa Melayu. Yang paling menarik adalah tentang kedudukan bahasa lain, selain bahasa Melayu dalam Perlembagaan tersebut. Perkara 152 menyatakan selain maksud rasmi, tiada seseorang boleh dihalang mengajar atau belajar bahasa lain. Hal ini jelas menunjukkan bahawa semua bahasa selain bahasa Melayu, sentiasa diberikan perhatian sewajarnya selagi fungsinya tidak mengambil alih kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam semua urusan rasmi. Malangnya bermula tahun 2003, seperti ingin menyongsang arus, kerajaan telah menukar fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi apabila menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik (PPSMI) di semua peringkat. Namun setelah bangkangan demi bangkangan dibuat dan mengambil kira fakta yang menunjukkan peratusan kegagalan dasar tersebut, akhirnya Menteri Pelajaran iaitu, Tan Sri

Muhyiddin Yassin telah mengumumkan PPSMI dimansuhkan pada tahun 2012 dan digantikan dengan dasar baru iaitu MBMMBI.

3.5 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Menuruf Prof. Dr. Awang Sariyan tokoh bahasa dan Penyandang Pertama Kerusi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China di Universiti Beijing, China, di Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat hanya merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan pembelajaran kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam pelbagai bidang. Hal ini dapat dibuktikan sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakkannya ditulis dalam bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu pada peringkat pengajian tertinggi.

3.6 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi. Bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam penghidupan manusia, sudah tidak dapat dinafikan lagi. Sarjana-sarjana bahasa mengatakan bahawa bahasa adalah alat pernyataan rasa dan fikiran. Oleh hal yang demikian, bahasa bagi sesuatu bangsa samalah dengan jiwa bagi sesuatu tubuh hingga lahirlah idiom Bahasa Jiwa Bangsa dan ini dengan sendirinya menunjukkan betapa bahasa mempunyai hubungan yang erat sekali dengan pertumbuhan dan perkembangan jiwa dan fikiran. Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana mempunyai pelbagai kaum, agama dan budaya tetapi masih hidup dalam keadaan harmoni. Hal ini kerana mereka dapat berkomunikasi dengan satu bahasa yang dimiliki oleh rakyat Malaysia iaitu bahasa Melayu yang mampu meyatupadukan rakyat yang pelbagai kaum. Melalui komunikasi yang baik

mereka dapat memahami serta menerima asimilasi budaya dan adat antara kaum dengan hati yang terbuka tanpa ada perasaan curiga dan mementingkan diri sendiri.

3.7. Bahasa Melayu sebagai Lambang Jati Diri. Dan Membangkitkan Semangat Patriotik. Bahasa merupakan nilai dan budaya bangsa. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda mempunyai hubungan emosional dengan penuturnya dan berkait rapat dengan kalbu dan sanubari rakyat. Bahasa Melayu pada zaman pasca merdeka mampu membangkitkan semangat nasionalisme. Pada masa tersebut penulis-penulis seperti Pak Sako (Ishak Haji Muhammad) novelis menghasilkan Anak Lela Gila yang mengkritik penjajah dan pada masa sama memartabatkan bangsa dan bahasa. Dalam usaha negara mencapai status negara maju, adunan bahasa kebangsaan yang mampu membina jati diri bangsa perlu diacukan serentak malalui peranan hasil-hasil karya sastera berunsur patriotik kerana dapat menyemarakkan semangat patriotik terutama kepada golongan muda.1 Satu Bahasa, Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato Sri Mohd. Najib tun Razak merupakan satu langkah yang menyakinkan untuk mengembalikan era kegemilangan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu. Jepun, sebagai contoh yang paling berjaya membentuk negaranya sehingga menjadi sebuah negara kuasa besar dunia yang digeruni dengan acuan sendiri melalui bahasa dan budaya. Tidak mustahil Malaysia juga mampu mengikut langkah negara Jepun sekiranya rakyat Malaysia yang berbilang bangsa bersatu memulihara budaya dan memartabatkan bahasa Melayu itu sendiri sebagai hak bersama.

Petikan ucapan oleh Datuk Devamany S. Krishnasamy, Timbalan Menteri Pendidikan sewaktu dijemput oleh DBP bagi memberikan syarahan tentang usaha memartabatkan bahasa Melayu dari kaca mata ahli politik pada 15 Julai 2010. Beliau juga pernah menjadi guru yang mengajar Kesusateraan Melayu pada pertengahan tahun 80an di S.M.K. Dato Kamaruddin, Batu Kurau, Perak.

4. PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA 4.1. Sejarah Nama asalnya Balai Pustaka dan ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bharu, Johor sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran. Penubuhan DBP adalah untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Di peringkat awal itu, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bharu. Hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bharu pada 16-21 September 1956, kerajaan telah menerima cadangan kongres yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka. Di samping itu juga, DBP dinaik taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri. Pada tahun 1957, DBP telah berpindah ke Kuala Lumpurdan ditempatkan di bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan ini bagi memudahkan segala pelaksaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.

4.2. Perkembangan DBP Pada tahun 1959, DBP telah dinaik taraf menjadi sebuah badan berkanun melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959. Dengan ini, DBP diberi kuasa autonomi, iaitu; 3.2.1. Menggubal dasarnya yang khusus. 3.2.2. Menyusun program pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera. 3.2.3. Menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku secara kompetetif menurut prinsip dan amalan profesion penerbitan. Pada 31 Januari 1962, DBP telah berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa). Pada Tahun 1977, DBP telah

10

mengembangkan nsayapnya ke Malaysia Timur dengan membuka pejabat di Kota Kinabalu (Sabah) dan di Kuching (Sarawak) dan diikuti dengan pejabat di Wilayah Utara di Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Wilayah Selatan di Johor Bharu (Johor), dan Wilayah Timur di Kota Bharu (Kelantan).

4.4. Sumbangan DBP Akur dengan peruntukan 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan serta Akta DBP 1956 (Pindaan dan Peluasan 1995), DBP mengorak langkah seawall penubuhannya untuk meningkatkan kecekapan dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Dari segi pembinaan korpus, pelbagai langkah dan strategi telah dilaksanakan telah dilaksanakan oleh DBP bagi menjadikan bahasa Melayu bahasa moden yang berupaya mengungkapkan pelbagai perkara dan ilmu terkini, sama ada dalam sistem pendidikan mahupun dalam konteks yang lebih umum, seperti dalam pentadbiran negara dan sebagainya. Kejayaan paling ketara yang memberikan impak cukup besar terhadap bahasa Melayu pada peringkat kebangsaan dan juga serantau agar bahasa ini menjadi bahasa yang besar dan luas sasaran penggunaannya ialah penyelarasan sistem ejaan yang dilakukan dengan kerjasama MABBIM, iaitu Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia 1972. Kini pengguna bahasa Melayu mencecah lebih 250 juta orang. Dari segi penggubalan istilah, DBP telah menghasilkan lebih sejuta istilah dalam pelbagai bidang ilmu sebagai prasarana mengungkapkan ilmu tinggi secara ekspresif dalam bahasa Melayu. Tidak kurang daripada 80 buah kamus dan glosari istilah pelbagai bidang sudah diterbitkan. Di samping itu, tidak kurang 400,000 istilah sudah berjaya diselaraskan pada peringkat MABBIM bagi meningkatkan hubungan politik, sosiobudaya dan ekonomi antara negara serantau.

11

Ejaan, sebutan dan tatabahasa yang dibukan, istilah yang digubal, dan kamus-kamus umum (ekabahasa dan dwibahasa) yang disusun, semuanya telah menjadi rujukan umum dan pegangan kepada masyarakat pengguna bahasa, terutamanya dalam sistem pendidikan negara. Sesungguhnya, korpus bahasa yang dibina sejak 1956 telah banyak membantu sistem pendidikan negara yang mengutamakan bahasa kebangsaan. Korpus bahasa yang dibina disebarluaskan kepada masyarakat ke seluruh negara melalui penerbitan. Sehingga kini, tidak kurang 10,000 judul buku dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat, kamus dalam PC dan laman sesawang, buku-buku digital, termasuk tatabahasa digital juga dihasilkan. Tidak hairanlah ada pihak yang membuat kenyataan bahawa sistem pendidikan yang berteraskan bahasa kebangsaan telah berjaya melahirkan tidak kurang daripada lima juta professional yang seterusnya memacu pembangunan negara.

5. PERANAN KONGRES BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU (KBPM) 5.1. Sejarah Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu (KBPM) merupakan satu majlis yang menghimpunkan ahli-ahli kongres yang terdiri dari para penulis, peminat sastera, pencinta bahasa dan budaya Melayu serta para cendekiawan Melayu yang mewakili bahasa dan persuratan Melayu dan seluruh Malaysia. Kongres ini juga mengeluarkan keputusankeputusan yang mendapat persetujuan dari ahli-ahli kongres menerusi cabutan undian, di mana keputusan-keputusan yang dicapai merupakan hasrat sebenar ahli kongres dalam mengembalikan hak-hak keutamaan bahasa dan persuratan Melayu sebagai agenda utama pemartabatan bahasa rasmi di Persekutuan Tanah Melayu yang kini dikenali sebagai Malaysia setelah kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963, tetapi Singapura menarik diri.

12

5.2 Perkembangan Kongres Bahasa Dan Persuratan (KBPM) Setakat ini, kira-kira 9 sidang kongres telah dilaksanakan di pelbagai tempat iaitu; 5.2.1 Kongres KBPM pertama 12-13 April 1952 di Hotel sea View, Singapura. Kongres ini telah dihadiri para cendekiawan Melayu dan 21 badan bahasa dan persuratan Melayu di seluruh Tanah Melayu. Dalam kongres tersebut satu keputusan telah dicapai iaitu kedua-dua tulisan Rumi dan Jawi hendaklah digunapakai dalam persuratan Melayu pada masa tersebut sehingga suatu keputusan lain pada kongres yang kedua kelak. 5.2.2 Kongres KBPM kedua 1-2 Januari 1954 di Sekolah King George V, Seremban. Kongres ini telah dihadiri oleh 24 perwakilan dari pelbagai badan bahasa dan persuratan Melayu di seluruh Tanah Melayu Dalam kongres tersebut dua keputusan penting telah dicapai, iaitu tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya dan meminta Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu supaya membesarkan lagi Jabatan Penterjemahan menjadi sebuah Balai Bahasa yang lengkap. 5.2.3 Kongres KBPM ketiga 16-21 September 1956 di Johor Bharu dan Singapura. Kongres ini telah dihadiri lebih kurang 500 orang perwakilan dan pemerhati dari 59 buah badan bahasa dan persuratan Melayu dari seluruh Malaya. Beberapa orang wakil rasmi dari Indonesia yang diketuai oleh Menteri Pendidikan Pengajaran dan Pendidikan Indonesia. Terdapat beberapa keputusan penting telah dicapai dalam kongres tersebut Antaranya; 5.2.3.1 Penubuahan Dewan Bahasa dan Pustaka. 5.2.3.2 Bahasa Melayu diakui sebagai bahasa kebangsaan dan diamalkan sebagai bahasa rasmi negara. 5.2.3.3 Membentuk jawatankusa kecil yang dianggotai ahli seni lukis Melayu dan pakar bahasa Melayu untuk membentuk istilah dalam bidang seni lukis.

13

5.2.3.4 Lembaga tetap kongres mendesak Jabatan tertentu di DBP supaya menyusun kamus khas. 5.2.3.5 Bahasa Melayu hendaklah diperluaskan penggunaanya dalam pelbagai bidang. 5.2.3.6 Membincangkan cara mengembangkan bahasa kebangsaan menerusi persekolahan dan pendidikan. 5.2.4 Kongres KBPM Keempat 7-10 Disember 1984 di DBP. Kongres ini diadakan bertujuan menilai prestasi pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan secara menyeluruh. Kongres ini ditaja bersama oleh 14 buah badan dan agensi yang terlibat dalam perjuangan bahasa seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), GAPENA, Persatuan Linguistik Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan seumpamanya. Kongres ini turut disertai perwakilan dari negara Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand dan beberapa orang lagi perwakilan asing. Sebanyak 13 buah kertas kerja dibentangkan. Antara usul-usul penting yang dibincangkan, iaitu; 5.2.4.1 Hendaklah mengutamakan dan memperbanyakkan penulisan dalam bahasa Melayu. 5.2.4.2 Kegiatan menghasilkan buku tatabahasa baku hendaklah dipergiatkan. Kekurangan kamus juga hendaklah diberi perhatian. 5.2.4.3 Tradisi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu hendaklah diperkukuhkan dengan memperbanyakkan usaha menterjemah karya ilmu ke dalam bahasa Melayu. 5.2.4.4 Pindaan peruntukan tambahan hendaklah dibuat bagi melicinkan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 5.2.4.5 DBP bertanggungjawab mendorong kegiatan intektual dan pembaharuan kebudayaan dalam bahasa Melayu di samping pembinaan dan perkembangan bahasa dan sastera Melayu. 5.2.4.6 Usaha penyebaran karya sastera antara negara berbahasa Melayu perlu digiatkan. 5.2.4.7 Sistem dan strategi pengedaran bahan bercetak hendaklah disusun utuh supaya bahan bacaan bahasa Melayu dapat disebarkan seluas-luasnya.

14

5.2.4.8 Para cendekiawan, ahli bahasa, sasterawan, seniman dan budayawan disarankan supaya menagadakan pertemuan lebih kerap untuk memenuhi fungsi intelektual bahasa Melayu. 5.2.5 Kongres KBPM kelima 2 Mei di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Ketika kongres sedang berlangsung suatu Sumpah Setia Bahasa telah ditandatangani oleh kerabat kongres. Kami, kerabat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu V, 1998, bersumpah akan terus setia memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai: Bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa, kesatuan politik, budaya, ekonomi dan pendidikan yang menjamin kelangsungan bangsa Malaysia. Bahasa yang menjaga dan memupuk kebebesan intelektual serta memerdekakan pemikiran bangsa; dan Bahasa yang membawa, memelihara, mencipta, menyalurkan serta mengembangkan ilmu dan kebudayaan di negara dan di dunia. Sesungguhnya, kami bertekad tidak akan berganjak daripada perjuangan ini. 5.2.6 Kongres KBPM keenam di UPSI pada tahun 2002. Dr. Awang Sariyan dan Kamal Shukri Abdullah Sani dari Persatuan Linguistik Malaysia telah membentangkan kertas kerja bertajuk Kesan Penggunaan PPSMI di Institut Pendidikan di Malaysia. Dalam kongres ini keputusan telah dicapai untuk mendesak kerajaan supaya tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah-sekolah dan pelbagai isu lagi demi mengembalikan semula martabat bahasa Melayu di negara ini. 5.2.7 Kongres KBPM ketujuh 6-8 November 2006 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur. Dalam kongres tersebut< Datuk Dr. Abd. Latif Bakar yang merupakan pengarah KBPM kali ke-7 merasa kesal dengan kerenah birokrasi sesetengah kementerian yang berdolak dalik dalam menjayakan kongres tersebut. Dalam kongres tersebut Prof. Dr. Awang

15

Sariyan telah membentangkan kertas kerja bertajuk Bahasa Melayu Setengah Abad Lalu dan Setegah Abad Mendatang Upaya Pemerkasaannya. Ketetapan kogres pada kali ini menetapkan bahawa kongres ini akan bersidang secara berkala, iaitu sekurang-kurangnya dua tahun sekali dan meminta kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensinya supaya dapat mendidik masyarakat sentiasa menghormati setinggi-tingginya bahasa Melayu sebagai bahasa yang dapat mengungkapkan kecanggihan pemikiran, penanggapan, pengembangan serta pengayaan ilmu, sains dan kesusasteraan agung bagi bangsa Malaysia. 5.2.8 Kongres KBPM kelapan 28-30 Oktober 2011 di DBP. Kongres tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin bin Mohd. Yassin. Antara resolusi yang diputuskan oleh 500 orang peserta yang mewakili 200 pertubuhan bahasa dan persuratan Melayu, ialah; 5.2.8.1 Pendidikan. Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia hendaklah bertegas, dengan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai akta yang berkaitan, untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara dalam semua urusan rasmi dan secara rasmi melarang segala gagasan dan desakan untuk amalan selain daripada peruntukan undang-undang itu. Semua cadangan bertentangan seperti PPSMI adalah merupakan tindakan melanggar undang-undang dan wajar dilarang serta dikenakan hukuman. Maka kongres menyokong penuh pemansuhan PPSMI sebagai dasar pengajaran dan pembelajaran. 5.2.8.2 Kerajaan Tempatan. Kerajaan-kerajaan negeri perlu menyeragamkan semua peruntukan undang-undang berkaitan Pihak Berkuasa Tempatan tentang dasar Bahasa Kebangsaan supaya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk mengawal penamaan jalan raya dan bangunan serta pengiklanan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

16

5.2.8.3 Ekonomi dan Kewangan. Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara melaksakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dalam semua urusan serta menjadikan bahasa kebangsaan sebagai penggerak utama system ekonomi negara. 5.2.8.4 Pengajian Tinggi. Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Pengajian Tinggi hendaklah melaksanakan sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. 5.2.8.5 Perkhidmatan Awam. Kerajaan Malaysia, melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah sentiasa memperkasakan penggunaan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dalam semua urusan pentadbiran. 5.2.8.6 Media, Komunikasi dan Penyiaran. Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hendaklah sentiasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dalam penyiaran berita dan pengucapan para pemimpin negara sebagai kaedah penyampaian maklumat kepada masyarakat Malaysia. 5.2.8.7 Perlembagaan. Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perdana Menteri hendaklah sentiasa memastikan penghakiman dan penulisan penghakiman di semua mahkamah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. 5.2.8.8 Pemasyarakatan Persuratan Melayu. Kerajaan Malaysia, melalui pelbagai Kementerian dan Jabatan hendaklah memperbanyak penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Ikrar Kongres: Pertama, bahawa kami yang bersidang dalam kongres bahasa dan persuratan Melayu kelapan ini akan memantau pemartabatan dan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dalam negara melalui sebuah majlis pemantauan dan tindakan bahasa

17

Kebangsaan demi kemajuan, perpaduan dan keutuhan bangsa dan negara Malaysia di sepanjang zaman. Kedua, Kami mendesak semua kementerian, agensi kerajaan dan badan swasta supaya menubuhkan jabatan pemantau untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan negara kita. Ketiga, kami menyeru semua pihak daripada para pemimpin negara, masyarakat awam dan pihak swasta wajib sentiasa yakin serta menjadi peneraju utama dalam bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Keempat, Kami menyeru kerajaan supaya kembali kepada perlembagaan Malaysia dengan menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan bukan bahasa Malaysia. Maka inilah ketetapan dan ikrar kami, Wallahu alam.

6. PERJUANGAN MENDAULATKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN. 6.1 Keranda 152 Merujuk kepada perarakan para penjuang bahasa Melayu terutama ahli-ahli DBP pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, DBP. Perarakan ini adalah simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman. Mereka mahu berarak dengan membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen. Namun, kerajaan tetap bertegas menggunakan bahasa Inggeris. Peristiwa 13 Mei telah menjadi detik penting yang membawa perubahan kerana hanya bahasa Melayu dapat menyatupadu rakyat Malysia yang berbilang kaum, agama dan budaya. Menteri Pelajaran pada ketika itu, iaitu Tun Abdul Rahman Yaakub dari Sarawak telah bersetuju menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia yang memperjuangkan bahasa Melayu.

18

6.2 Perarakan Keranda Mac 2009. Gabungan Persatuan Penulis Nasional atau GAPENA merancang mengadakan perarakan dari DBP ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan PPSMI di sekolah-sekolah kerana kerajaan melalui Kementerian Pelajaran masih mahu meneruskan dasar pelajaran yamg dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

7. PENUTUP Sepatutnya, selepas lama Malaysia merdeka, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan menjadi semakin mantap dan bukan lagi menjadi isu yang memeningkan kepala semua pihak. Hakikatnya, keadaan ini berpunca dan bertitik tolak akibat sikap dan persepsi kerajaan dan masyarakat terhadap bahasa Kebangsaan. Dalam bidang sosiolinguistik, sikap terhadap bahasa dianggap sebagai pendorong kepada keupayaan seseorang menguasai dan menggunakan bahasa itu. Sesungguhnya, harapan Bahasa Jiwa Bangsa terus menjadi agenda utama para cendekiawan, para pejuang bahasa, sasterawan dan budayawan yang tidak jemu-jemu memperjuangkan kedaulatan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi utama negara. Walaupun pada hakikaktnya, para pemimpin, golongan atasan dan pihak pengurusan masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi bagi semua urusan terutamanya ahli-ahli politik Malaysia lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Campuran termasuk ketika diwawancara media tempatan, majlis bersama rakyat, persidangan dan seumpamanya. Namun yang paling menyedihkan hati apabila rata-rata orang yang menghadiri majlis atau mereka yang berada di

19

situ ialah orang Malaysia dan sepatutnya bahasa Melayu menjadi bahasa yang dapat merapatkan hubungan. Tuntasnya, semua rakyat Malaysia harus dapat menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan memartabatkan kedudukannya tanpa ada kesangsian dan keraguan.

20

BIBLIOGRAFI Buku 1. Mohamaed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz. (2009). Evolusi Bahasa Melayu 2000 Tahun Dari Zaman Purba Ke Budaya Elektronik. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris. 2. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain. (1992). Pembinaan Bahasa Melayu Perancangan Bahasa Di Malaysia. Kuala Lumpur: DBP. 3. S. Othman Kelantan. (1992). 100 Tahun Pergerakan Bahasa Dan Sastera Melayu 1888 -1988. Kuala Lumpur: DBP 4. Drs. Ismail Hussein. (1996). Sejarah Pertumbuhan Bahasa Kebangsaan Kita, Kuala Lumpur: DBP. 5. Asmah Haji Omar. (1992). Kajian Dan Perkembangan Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: DBP Bab dalam buku 1. Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood. (2011). Sejarah Ringkas Bahasa Melayu. Tatabahasa Dewan, hlm 3-27, Kuala Lumpur: DBP. 2. Prof. Dr. Asmah Haji Omar. (1993). Bahasa Melayu dan Pelajaran Tinggi. Dlm Kump. Karangan Drpd. Majalah Dewan Bahasa. Di Sekitar Persoalan Bahasa Melayu 19571972, hlm 223-230, Kuala Lumpur: DBP. 3. Tan Ta Sen. (1993) Bahasa Sebagai Alat Perhubungan Fikiran. Dlm Kump. Karangan Drpd. Majalah Dewan Bahasa. Di Sekitar Persoalan Bahasa Melayu 1957-1972, hlm 30-36, Kuala Lumpur: DBP. 4. Prof. Dr. Syed Hussein Alatas. (1993). Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan. Dlm Kump Karangan Drpd. Majalah Dewan Bahasa Di Sekitar Persoalan Bahasa Melayu 1957-1972, hlm 183-193, Kuala Lumpur: DBP Risalah 1. Kementerian Pelajaran Malaysia, Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.

21

22

You might also like