Dunia Buku Kanak

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Dunia buku kanak-kanak bukan suatu yang mudah.

Ia merupakan struktur yang kompleks yang berkaitan dengan dunia penulisan, penggambaran idea, psikologi, sosiologi dan pendidikan kanak-kanak, dan nilai estetikanya. Yang lebih rumit ialah nilai dan perlakuan golongan dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak dan buku. Dunia buku kanak-kanak dihubungkaitkan dengan geografi, bahasa, keagamaan, ekonomi, dan corak komunikasi dan kehidupan sosial.

Buku kanak-kanak merupakan suatu bentuk bahan bacaan yang ditulis dan ditawarkan kepada kanak-kanak dan dibaca (atau digunakan) oleh mereka. Ia selalunya mengandungi apa-apa yang difikirkan oleh golongan dewasa dan boleh difahami oleh kanak-kanak dan apa-apa yang dibenarkan untuk difahami oleh golongan kanak-kanak. Ini bermakna buku kanak-kanakyang juga dirujuk kepada sastera kanak-kanakmengandungi informasi dan perlakuan yang dibenarkan oleh golongan dewasa yang menulis dan menerbitkan bahan bacaan tersebut.

Semua buku kanak-kanak perlu mengajar sesuatu bukan setakat memberitahu kerana khalayak utamanya ialah kanak-kanak, iaitu golongan yang kurang berpengalaman dan kurang berpendidikan. Minda dan anggota badan mereka juga belum mencapai kematangan. Oleh itu, bahan bacaan yang bersesuaian amat diperlukan dalam usaha membentuk keperibadian dan keintelektualannya kerana pada ketika inilah kanak-kanak mula mengenali diri dan keadaan sekeliling mereka. Sifat dan daya berfikir mereka yang jauh berbeza daripada golongan dewasa menyebabkan bahan bacaan untuk mereka juga berbeza. Oleh itu, pihak yang terlibat dalam penghasilan buku kanak-kanak perlu mengetahui keperluansama ada dari segi emosi mahupun fizikalgolongan ini.

Oleh sebab khalayak utama buku kanak-kanak ialah golongan yang kurang berpendidikan dan kurang berpengalaman, penulis perlu menurunkan tahap penulisan mereka dengan memilih atau menggunakan perkataan yang mudah dan ayat-ayat yang pendek untuk memudahkan pemahaman khalayak mereka (Hunt 1994: 3). Penggunaan ayat yang mudah dan ringkas lebih berkesan dalam kebanyakan buku fiksyen seperti mitos, legenda, dan cerita-cerita penglipur lara. Namun, terdapat juga buku-buku tertentu yang memerlukan penggunaan ayat dan perkataan yang panjang untuk menyampaikan mood, scene, dan perbualan. Perkataan yang jarang digunakan kadangkala berupaya mewujudkan suasana humor, menyampaikan maklumat atau menjelaskan makna dalam konteks tertentu.

Selain ayat dan perkataan, kandungan yang terdapat dalam sesebuah buku kanak kanak juga agak berbeza dengan buku untuk bacaan orang dewasa. Walaupun kebanyakan watak atau karektor dalam dunia mitos dan legenda terdiri daripada orang dewasa, jalan ceritanya agak mudah difahami, lebih-lebih lagi jika dibantu dengan ilustrasi, dan penamatnya sering mempunyai unsur teladan. Buku yang

mengandungi watak kanak-kanak juga kini telah banyak di pasaran dan buku yang baik harus berkaitan dengan pengalaman kanak-kanak. Penulis biasanya akan berfikir seperti kanak-kanak untuk menghasilkan plot atau jalan cerita yang berkesan.

Bagi kanak-kanak yang masih muda dan di peringkat awal membaca, ilustrasi atau gambar diperlukan bagi membantu pemahaman mereka tentang kandungan buku yang dimilikinya. Penggunaan warna hitam putih dan warna-warna terang seperti biru, kuning merah, dan hijau digunakan dalam buku-buku ilustrasi kerana kanakkanak amat menggemarinya. Mereka juga gemar mengidentifikasikan warna kepada sesuatu objek seperti kuning untuk matahari dan biru untuk laut.

Menurut McColvin (1983), ukuran buku kanak-kanak boleh dilihat melalui tiga dasar utama: menarik, boleh dibaca, dan tahan lama. Ketiga-tiga ciri ini saling berhubungan antara satu sama lain. Bagi beliau, buku yang baik ialah buku yang menarik dilihat, senang dipegang, sejenis buku yang disukai atau digemari oleh kebanyakan kanak-kanak. Sesebuah buku itu menarikmenurut pandangan McColvinjika ciri-ciri fizikalnya adalah seperti berikut:

Bersifat individu, iaitu kelihatan tersendiri dan tidak kelihatan sama seperti kebanyakan buku lain. Kelihatan terang, segar, dan positif. Mempunyai saiz yang tepat, tidak terlalu besar, berat, tebal atau tidak terlalu kecil atau nipis. Buku itu harus bergambar kecuali ia buku fiksyen untuk orang dewasa. Menggunakan kertas yang baik: yang bermutu, sederhana tebal, agak keras dan tahan lasak atau tahan lama. Muka taip yang digunakan harus terang, cukup besar agar senang dibaca dan mempunyai reka bentuk yang mudah dan sederhana. A Manual of Childrens Librarians pula menyenaraikan kualiti sesebuah buku itu dengan melihat kepada unsur bahasa dan humor. Baginya, sesebuah buku harus mengandungi unsur-unsur sastera atau sekurang-kurangnya bahasa yang baik. Ini kerana tujuan utama pembacaan adalah menyedarkan kanak-kanak tentang kebaikan dan kelebihan bahasa ibundanya sebagai alat perhubungan untuk menyampaikan idea dan maklumat. Bahasa yang baik merujuk kepada bahasa yang terang, jelas, mudah difahami, tepat maknanya dan mengandungi sedikit unsur unsur keindahan.

Dalam manual ini dinyatakan, sesebuah buku harus mempunyai unsur-unsur lucu dan humor yang tepat kerana inilah yang amat digemari oleh kanak-kanak. Dewasa ini, dapat diperhatikan kanak-kanak begitu gemar kepada buku-buku komik dan kartun kerana unsur-unsur lucu yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, buku yang mengandungi unsur ini perlu diberikan kepada mereka untuk mengalihkan perhatian mereka daripada kartun atau komik yang kadangkala mengandungi unsur-unsur yang tidak sihat bagi perkembangan dan tumbesaran mereka.

Oleh sebab itu penulis, ilustrator, editor, penerbit, ibu bapa, guru, dan orang ramai memainkan peranan penting dalam menyediakan dan memilih bahan bacaan yang sesuai untuk golongan muda ini. Namun, ini bukanlah mudah kerana Malaysia kekurangan bahan bacaan terbitan untuk golongan ini. Walaupun permintaan terhadap bahan bacaan ini agak tinggi, penawarannya di Malaysia masih rendah, malah terpaksa bergantung dengan bahan bacaan import. Maka, tidak hairanlah golongan kecil ini lebih mengenali Snow White, Alice, Cinderella, Rapunzel, Prince Charming, Hansel dan Gretel berbanding Pak Pandir, Lebai Malang, Sang Buaya, Sang Kancil dan sebagainya.

You might also like