Haji Yahya Junaid

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 16

PERAKUAN UNTUK PENDOKUMENTASIAN ABSTRAK/KERTAS KERJA BAGI PERSIDANGAN INTELEKTUAL KEBANGSAAN MALAYSIA 2013. Dengan ini, saya DR.

MOHAMAD MUZAMMIL BIN MOHAMAD NOOR, *bersetuju untuk memberi izin kepada pihak sekretariat Persidangan Intelektual Kebangsaan Malaysia 2013 untuk membuat pendokumentasian abstrak dan kertas kerja saya serta dimuatkan dalam penerbitan berbentuk buku atau prosiding.

Tarikh: 27/02/2013 *Potong/padam jika tidak berkenaan

HJ. YAHYA JUNAID: PERANAN DAN PENDIDIKAN DAN POLITIK DI KEDAH

PENGLIBATANNYA

DALAM

MOHAMAD MUZAMMIL MOHAMAD NOOR Universiti Sains Malaysia Pengenalan Negeri Kedah Darul Aman tidak ketandusan pemimpin serta tokoh-tokoh yang berkaliber dalam pelbagai bidang. Sejak zaman penjajah sehingga mencapai kemerdekaan, negeri ini melahirkan para nasionalis, ahli politik, tokoh masyarakat serta penulis dalam mewarnai sejarah Malaysia. Antara mereka ialah daripada golongan istana sehinggalah kepada golongan rakyat biasa seperti Tunku Abdul Rahman, Mahathir Mohamad, Senu Abdul Rahman, Mohd Khir Johari, Hj. Hussain Che Dol, Hj. Abdullah Abbas Nasution serta tokoh wanita, Cikgu Balkis Hj. Abdullah. Semua mereka ini telah memainkan peranan dalam nasionalisme dan politik serta memimpin masyarakat tempatan dalam perjuangan mencapai kemerdekaan dan membangunkan pemikiran rakyat. Mereka bukan hanya dikenali di negeri Kedah sahaja tetapi juga di peringkat nasional. Dalam pada itu, seorang lagi tokoh yang tidak harus dilupakan dalam sejarah tempatan ialah Hj. Yahya Junaid iaitu pejuang kemerdekaan yang mempunyai semangat yang tinggi dalam usaha memerdekakan tanah air, pejuang ilmu agama, di samping tokoh politik-agama di negeri Kedah. Perjuangannya bukan sahaja di dalam persatuan dan parti politik sahaja tetapi Hj. Yahya turut membangunkan minda masyarakat tempatan dengan menjadi pendidik, mudir dan membuka sebuah sekolah agama bagi memperkembangkan pendidikan agama di sekitar negeri Kedah. Pengalaman Hj. Yahya dalam politik di Kedah cukup luas. Hj. Yahya pernah dilantik Jawatan kuasa Penerangan Persatuan Ulama Kedah (PUK) dari tahun 1946-1947. Kemudian memegang jawatan Penolong Setiausaha hingga tahun 1948. Dalam Kesatuan Melayu Kedah (KMK), beliau memegang beberapa jawatan utama termasuk jawatan kuasa. Kemudian menjadi ahli United Malay's National Organization (UMNO) dan memimpin UMNO di kawasan Yan. Selepas itu keluar dari UMNO dan menganggotai Parti Islam Sa-Tanah Melayu (PAS) dan dilantik menjadi ahli jawatan kuasa pusat PAS sehingga bertanding dalam Pilihanraya Umum 1959, 1974 dan 1978 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sala. Biodata Hj. Yahya Junaid Hj. Yahya Junaid atau dikenali sebagai Pak Ya dilahirkan pada tahun 1911 (bersamaan 1330 Hijrah) di Kampung Selengkoh, Sungai Daun, Yan, Kedah. 1 Beliau berkahwin dengan isterinya yang pertama Zawiyah binti Hashim. Setelah Zawiyah meninggal dunia dalam tahun 1942, beliau kemudiannya dijodohkan pula dengan Mariam Hj. Taib yang merupakan anak saudara kepada Hj. Ahmad Tuan Hussain. Beliau mendapat pendidikan awalnya di dalam lingkungan keluarganya, terutama daripada ibunya, Chik binti Sulaiman yang merupakan guru al-Quran.2 Seterusnya, beliau menuntut ilmu di sekitar utara tanah air iaitu Sekolah Melayu Titi Gajah; Sekolah Pondok
1 2

Mohd Fadli Ghani, Tuan Guru Pak Ya Junid: Ahli PAS no. 12, Harakah, 24 November 2008. Ibid.

Tandop Pengkalan Kundur; Pondok Chegar, Gajah Mati dan Pondok Khairiyah, Pokok Sena di Kepala Batas, Pulau Pinang. Di Pondok Khairiyah, beliau sempat menuntut ilmu dengan Tuan Hussain Yahya, iaitu ulama besar Kedah yang berketurunan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Seterusnya Hj. Yahya melanjutkan pelajarannya di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan, berguru dengan Tok Kenali selama dua tahun dan di tanah suci, Makkah al-Mukaramah pada 1936. Di tanah Arab itu, beliau berguru dengan Sheikh Yasin Isa al-Fadani, Ibrahim al-Khumati Madani dan Syed Amin al-Khutubi. Bila pulang dari Makkah, beliau mengajar di Pondok Tuan Haji Abd. Majid, Guar Chempedak pada tahun 1939. Beliau merupakan seorang ulama yang agak terkenal di Kedah yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan politik dan kemasyarakatan bersamasama dengan Hj. Hussain Che Dol, Haji Abdullah Abbas Nasution serta beberapa orang lagi. Keaktifannya dalam hal ehwal kemasyarakatan telah memberi peluang dan ruang kepadanya dilantik menjadi Naib Pengerusi Persatuan Syarikat Kilang Padi, ahli jawatan kuasa Lembaga Penanam Padi, Pengerusi Syarikat Kilang Padi Batu 18 dan Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah Kebangsaan Padang Lumat. Dalam masa yang sama Hj. Yahya aktif dalam Persatuan Ulamak Kedah (PUK) sejak tahun 1946 lagi sebagai ahli jawatan kuasa dan Setiausaha (1948/49 hingga 1970). Di samping itu beliau juga merupakan seorang ahli Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) sebelum tanah air mencapai kemerdekaan. Dari tahun 1974 hingga 1985, beliau menjadi ahli jawatan kuasa Zakat Negeri Kedah dan ahli jawatan kuasa Majlis Fatwa Agama Islam Kedah bermula sekitar tahun 1983 tetapi telah dipecat selepas peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985. Sebab pemecatannya adalah kerana ketegasannya yang menyatakan mangsa yang terbunuh di dalam peristiwa itu sebenarnya mati syahid tetapi pihak kerajaan negeri menafikannya.3 Dalam politik, Hj. Yahya menjadi Pegawai Penerangan Kesatuan Melayu Kedah (KMK) pada tahun 1946, Bendahari UMNO Kedah (1946-1951), perwakilan UMNO ke Kongres Ulamak Ketiga di Butterworth (1951), Jawatan Kuasa Penaja Penubuhan PAS di Butterworth (1951), Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri (1967), Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sala selama dua penggal dan Naib Yang Dipertua Dewan Ulama PAS Pusat (1988-1991). Beliau turut mengasaskan penubuhan dan pembinaan Masjid Kampung Sungai Dedap dan Masjid Batu 17, Guar Chempedak. Beliau juga mencuba bakat menulis dan tema penulisannya adalah yang bertema keagamaan. Antara hasil karyanya ialah Sejarah Hidup Nabi Muhammad s.a.w, Ibadat Haji, Imam Mahdi dan Saidatina Aishah.4 Pada 6 Ogos 2001, Hj. Yahya telah meninggal dunia dalam usia sembilan puluh tahun di Putra Medical Centre, Alor Setar dengan meninggalkan 28 orang anak dan 101 cucu. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Chempedak dan Presiden PAS, Dato Fadzil Mohd Noor telah mengetuai solat jenazah dan upacara talkinnya. Peranan Dalam Pendidikan Institusi pondok adalah antara sistem pendidikan terawal yang terdapat di Kedah. Negeri ini menjadi tumpuan pembinaan sekolah pondok sehinggakan antara negeri yang
3

http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=129:tuan-guru-yahya-binjunid&catid=36:ulamak-tanah-melayu&Itemid=89. Tarikh capaian pada 14 Januari 2013. 4 Keterangan lanjut, lihat Abdul Khadir Othman, Sejarah Penubuhan dan Perkembangan Madrasah alTaufikiah al-Khairiah 1941-1966, kertas penyelidikan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 1978/1979 (tidak diterbitkan), hlm. 22.

mempunyai sistem pendidikan pondok yang tersendiri. Terdapat beberapa orang tokoh ulama yang menubuhkan pondok sejak dari abad ke-18 dan 19 lagi. Di antara tokoh ulama yang terdapat di Kedah ialah Sheikh Abdul Jalil Wahab berasal dari Palembang telah dilantik sebagai mufti Kedah selepas tahun 1700, Wan Abdul Qadir (anaknya) dan Tuan Masud bin Abdullah al-Banjari (1710-1812). Tuan Masud dikatakan seorang tokoh yang terawal mengasaskan sistem pendidikan pondok di Kedah5. Seterusnya ulama lain ialah Hj. Othman Mohd. Zain, Che Dol Gajah Mati, Hj. Abdullah Hj. Ali, Hj. Masri Langgar, Hj. Hussain Che Dol, Lebai Mat Hutan Palas, Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Merbok, Sheikh Abdul Aziz, Hj. Ahmad Wan Besar, Hj. Yahya Taha, Hj. Abdullah Abbas Nasution dan Hj. Yahya Junaid. Institusi-institusi pondok tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan di merata tempat di Kedah pada awal abad ke-20 iaitu di Titi Gajah, Langgar, Pulau Pisang, Padang Pusing, Guar Kepayang, Kota Kuala Muda, Anak Bukit, Kodiang, Melele, Guar Chempedak, Tanjong Musang, Derga, Tobiar, Pantai Johor dan Selarong Lalang di Alor Setar. Boleh dikatakan Hj. Yahya mempunyai ilmu yang lengkap di dada kerana menerima pendidikan agama yang sempurna di merata tempat di sekitar sekolah agama di Kedah dan Pulau Pinang dan seterusnya melanjutkan pendidikannya di luar negara iaitu di tanah suci Makkah serta mempunyai pengalaman berhijrah ke Madinah. Di Tanah Arab, beliau tidak melepaskan peluang mencari guru-guru pakar agama dalam usahanya mengejar ilmu dan mendalami pendidikan melalui guru-gurunya, iaitu Sheikh Yasin Isa al-Fadani, Ibrahim al-Khumati Madani dan Syed Amin al-Khutubi. Para guru beliau itu mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat sekeliling mereka terutama di dalam ilmu keagamaan serta pemikiran Islam. Dengan sebab itulah dan tidak hairanlah pengaruh pemikiran mereka telah mengalir kepada Hj. Yahya apabila pulang ke tanah air serta berusaha membuka minda masyarakat kampung. Setelah tamat pengajian agamanya bersama guru-guru berbangsa Arab tersebut, beliau tidak membuang masa dan terus mengatur langkah menyebarkan ilmu yang dipelajarinya itu kepada penduduk kampung yang dahagakan ilmu akhirat. Pada tahun 1939, Hj. Yahya mula mengajar di Pondok Tuan Haji Abd. Majid, Guar Chempedak. Sebagai anak muda kampung, tentulah beliau mempunyai semangat dan produktiviti yang tinggi bagi mendidik dan membangunkan minda masyarakat tempatan yang ketika itu dibelenggui penjajah serta diseret dengan keadaan kemiskinan. Setiap ilmu yang disampaikannya itu diselitkan dengan kekejaman penjajahan dan kolonial di dunia Islam terutama di bumi Palestin. Turut diberi perhatiannya ialah pemupukan semangat nasionalisme, serta memberi langkah dan cara bagi mempertingkatkan perekonomian masyarakat Melayu yang terpaksa bersaing dengan kaum pendatang terutama orang-orang Cina. Setelah beberapa bulan menjadi pendidik, beliau bersama-sama penduduk tempatan mengambil inisiatif membangunkan semula sebuah sekolah agama rakyat yang ditinggalkan oleh Tuan Hussain Kedah (nama sebenar Hussain Nasir) yang telah berpindah ke Seberang Perai atas perintah Kerajaan Kedah pada tahun 1921. 6 Dalam
5

Abdul Rahman Hj. Abdullah, 1998, Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah & Aliran, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia, hlm. 30-31. Rujuk juga, Koo Kay Kim, 1980. Perkembangan Pelajaran Agama Islam, dlm. Awang Had Salleh, 1980. Pendidikan Ke Arah Perpaduan Perspektif Sejarah (Kuala Lumpur: Fajar Bakti), hlm. 9. 6 http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php/mengenai-sekolah/sejarah-awal-penubuhan. Dicapai pada 14 Januari 2013.

usahanya itu, beliau dilantik menjadi mudir di Madrasah al-Taufikiah al-Khairiah (Pondok Pak Ya) pada tahun 1941. Madrasah itu kemudiannya dirasmikan oleh anak pengasas pondok itu iaitu Tuan Guru Hj. Ahmad Tuan Hussain pada tahun yang sama. Madrasah itu juga kemudiannya didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Kedah mengikut kurikulum sistem pondok. Pada permulaan beliau menjadi mudir, bilangan pelajar dan guru bertambah dalam tempoh yang singkat. Sebulan selepas madrasah itu dirasmikan, bilangan pelajar meningkat dari lapan belas orang kepada seratus sembilan puluh empat orang di samping tenaga pengajarnya pula ialah seramai tiga orang. Madrasah tersebut yang ditadbir di bawah Hj. Yahya begitu cepat mendapat perhatian masyarakat tempatan. Pada tahun 1948, Madrasah berkenaan telah dikunjungi oleh beberapa pemimpin antaranya ialah seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan dan bekas Menteri Besar Kedah, Dato Syed Omar Syed Shahabuddin. 7 Pada tahun 1956, madrasah tersebut menukar sistem pengajiannya kepada sistem persekolahan formal yang berteraskan keagamaan serta mempunyai nama rasminya tersendiri iaitu Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah setelah dikurniakan oleh Sultan Kedah pada tahun 1966.8 Hj. Yahya memainkan peranan penting dalam usaha mempertingkatkan ilmu agama dan mengasas institusinya itu di samping memberi sumbangan besar kepada semangat nasionalisme Melayu dan politik di Kedah. Beliau adalah salah seorang pemimpin agama dari Kedah yang cukup dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat tempatan, lebih-lebih lagi sekolahnya itu mula mendapat perhatian. Seterusnya, sekolahnya ini telah mengalami perkembangan yang agak pesat apabila beliau memperkenalkan sistem pendidikan yang lebih teratur. Hj. Yahya telah mempelbagaikan cabang ilmu dalam sistem pendidikan Madrasah itu dengan memperkenalkan ilmu duniawi dan seiring dengan ilmu akhirat seperti ilmu kesihatan dan sains awalan, ilmu kira-kira dan ilmu alam serta ilmu tawarikh atau sejarah. Institusi madrasah yang diperkenalkan beliau ini adalah cetusan idea golongan Kaum Muda 9 yang mendapat pengaruh Gerakan Pan-Islamisme dan Gerakan Islah Islamiyyah dari Timur Tengah yang dipelopori oleh Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Syed Muhammad Rashid al-Rida.10 Golongan ini menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap status masyarakat Melayu yang masih lagi mundur dan tidak mahu memajukan diri sendiri. Golongan ini juga mengemukakan idea-idea dan menyuarakan matlamatnya melalui saluran media cetak iaitu al-Imam11 (1906), Neraca (1913), al-

7 8

Ibid. Ibid. 9 Untuk penjelasan lanjut berkenaan perkembangan, pertelingkahan dan perpecahan Kaum Muda dengan Kaum Tua, rujuk Clifford Geertz, Ritual and Social Change, dlm. American Anthropologist, Vol. 59, February 1957, hlm. 32-54, William R. Roff, 1967. The Origins of Malay Nationalism. (Kuala Lumpur: University of Malaya), hlm. 50-90, dan G.P. Means, The Role of Islam in the Political Development of Malaysia, dlm. Comparative Politics, Vol. 1, no. 20, January 1969, hlm. 276-277. Menurut Means, beliau menganggap Kaum Muda memberi nafas baru dalam the old bottles of Islamic orthodoxy, hlm. 276. 10 Keterangan lanjut, rujuk William R. Roff, (terj. Ahmad Boestamam). 1975. Nasionalisma Melayu. (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya), hlm. 189-190. 11 Majalah bulanan agama Islam bertulisan Jawi yang diterbitkan di Singapura pada 23 Julai 1906. Penerbitan majalah ini tidak disenangi oleh golongan Kaum Tua kerana dikatakan pembawa aliran Kaum Muda. Al-Imam hanya mampu bertahan sampai 25 Disember 1908. Keterangan lanjut, lihat Abdul Aziz Mat Ton, 2001. Politik al-Imam. (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka).

Ikhwan dan Saudara12 (1930). Golongan ini juga mendesak agar masyarakat Melayu kembali kepada ajaran al-Quran dan al-Hadis. Untuk mencapai hasrat tersebut, sekolah agama yang moden telah diasaskan dan dikenali dengan panggilan madrasah seperti yang diusahakan oleh Hj. Yahya itu. Penubuhan institusi ini adalah lebih tersusun dan kemas malah hampir setanding dengan sekolah sekular tajaan kerajaan British walaupun terpaksa mencari wang dananya sendiri mengembangkan lagi institusi itu. Situasi sebegini telah memberikan satu tamparan dan persaingan yang hebat kepada institusi pondok di Kedah. Beliau merasakan bahawa untuk menjalankan dakwah dan penyebaran ilmu secara berkesan mestilah melalui saluran sistem persekolahan. 13 Apa yang membanggakan ialah pada zaman pendudukan tentera Jepun, institusi pondok, madrasah dan sekolah Melayu tidak sama sekali dimansuhkan dan tetap wujud sehingga Jepun kalah teruk dalam Perang Dunia Kedua.14 Hj. Yahya mempunyai pandangan luas terhadap perkembangan ilmu. Bagi beliau, sistem pendidikan memberi perubahan yang cukup besar kepada masyarakat Melayu Kedah terutama dalam hal-hal politik dan pentadbiran apabila mereka telah sedar yang tanah air ini boleh diperintah sendiri tanpa campur tangan bangsa asing. Maka sedikit demi sedikit perasaan patriotisme dan semangat nasionalisme telah menular dalam diri masyarakat Melayu. Mereka berkeinginan untuk mengusir penjajah dari Tanah Melayu dan bebas dari pengaruh asing. Lagi pula, dasar pihak pemerintah British telah menindas masyarakat Melayu dalam sektor ekonomi dan sosial. Dengan ini, tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan telah memberi impak yang amat mendalam kepada masyarakat Melayu Kedah sehingga melahirkan golongan anti kolonial yang turut terbabit dalam politik di Kedah. Selepas Perang Dunia Kedua, Hj. Yahya bersama-sama golongan agama ini cukup kuat memainkan peranan penting dan berjuang dalam politik tanah air bersama golongan intelektual lain seperti pegawai tadbir Melayu, golongan ulama dan pengamal undang-undang sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Seiring dengan penglibatan beliau dalam pendidikan, Hj. Yahya juga memperkembangkan bakatnya menulis beberapa karya bercorak keagamaan. Kegiatan penulisannya itu merupakan satu idea yang positif bagi menyebarkan pemikirannya kepada masyarakat tempatan setelah Hj. Yahya mengumpul ilmu di merata tempat termasuk di Makkah dan Madinah. Antara penulisan yang sempat beliau berkarya ialah Sejarah Hidup Nabi Muhammad s.a.w, Ibadat Haji, Imam Mahdi dan Saidatina Aishah.15 Karya-karyanya itu ditulis dalam bahasa Melayu dan bertulisan jawi yang dicatat dalam kertas sebelum dicetak dan diedarkan.

12

Akhbar tulisan jawi yang diterbitkan pada 29 September 1928 di Pulau Pinang oleh Syarikat Jelutung Press. Harga senaskhah akhbar ini ialah 10 sen. Ketua pengarangnya Syed Alwi al-Hadi. Hampir 1/3 daripada ruangan akhbar ini diisi dengan iklan. Bahagian atas muka depan akhbar ini tertera Majulah Kehadapan Wahai Saudara. Akhbar ini diberhentikan penerbitannya pada tahun 1941. Keterangan lanjut tentang karya-karya Syed Syeikh al-Hadi iaitu bapa kepada Syed Alwi al-Hadi, rujuk Talib Samad, 1992. Syed Syeikh al-Hadi: Sasterawan Progresif Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 13 Maktab Pengajian Islam Kedah Sejarah Pertumbuhannya, dlm. Malaysia Dari Segi Sejarah (MDSS), Bil. 15/1986. (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia). 14 Ibid. 15 Keterangan lanjut, lihat Abdul Khadir Othman, Sejarah Penubuhan dan Perkembangan Madrasah alTaufikiah al-Khairiah 1941-1966, hlm. 22.

Penglibatan Dalam Politik Di Kedah, golongan ulama16 adalah di antara yang mula-mula sekali menyedari betapa masyarakat Melayu masih lemah untuk bersaing dengan kaum lain serta sikap dan songsang kerajaan British di Tanah Melayu terhadap masyarakat Melayu. 17 Lulusan institusi pondok dan madrasah ini merintis jalan menyedarkan masyarakat Melayu tentang kedaifan mereka di tanah air sendiri. Mereka mula mengenali dunia politik semasa melanjutkan pelajaran di negara-negara Arab, India serta di Aceh dan Pattani apabila mereka melihat sendiri perkembangan politik di negara-negara itu di samping membaca bahan-bahan penulisan para nasionalis Islam. Pengaruh Gerakan Islah Islam yang diasaskan oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani, Sheikh Muhamad Abduh dan Syed Muhamad Rashid al-Ridha telah memberi pengalaman baru kepada penuntut Melayu di Asia Barat terutama di Mesir.18 Sebelum merdeka, terdapat satu peraturan penglibatan golongan agama dalam politik yang dikeluarkan oleh Sheikhul-Islam Kedah.19 SheikhulIslam telah ditugaskan oleh pihak pemerintah bagi menjaga kewibawaan seseorang ulama daripada dipengaruhi politik masyarakat Melayu. Mengikut pandangan pemimpin agama tradisional, hal berkaitan agama tidak dibenarkan dipengaruhi oleh isu-isu politik kerana dikhuatiri boleh menggugatkan kedudukan pemerintah. Oleh itu, golongan reformasi agama berada di dalam kedudukan dilema kerana kecenderungan mereka untuk bergiat cergas dalam politik dan kemasyarakatan. Oleh itu mereka terpaksa melibatkan diri secara senyap-senyap dengan menganggotai SABERKAS, KMK dan PUK. Di antara mereka ialah Hj. Che Dol yang membuka sekolah pondok di Gajah Mati, Pendang; Hj. Yahya Taha yang telah memimpin Madrasah Al-Khairiah Islamiah dan tokoh yang paling menonjol, Hj. Hussain Che Dol 20 yang pernah menuntut di Makkah dan aktif membuka sekolah agama di Kedah serta menerajui PUK kemudiannya. Selain daripada mereka itu, Hj. Yahya juga tidak ketinggalan yang terlibat dalam PUK sebagai penolong setiausaha pada tahun 1946. Beliau bersama-sama golongan ulama lain menyeru masyarakatnya mengubah pemikiran dengan menyerap konsep baru dalam kehidupan dan dapat bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang sosioekonomi. Hj. Yahya meluahkan rasa tidak puas hatinya tentang penghijrahan kaum asing ke Tanah Melayu. Menurutnya, masyarakat Melayu Kedah menerima tekanan akibat penghijrahan buruh India ke negeri itu. Selepas tentera Jepun mengalami kekalahan dalam Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, pentadbiran tanah air berada dalam keadaan kosong sebelum pihak British datang kembali menjajah. Keadaan ini digunakan oleh pihak komunis mengambil kesempatan membuat huru hara ke atas ketenteraman awam. Gerila Bintang Tiga ini telah mengambil kesempatan membuat kekacauan di beberapa tempat di Kedah. Kegiatan kejam mereka telah membawa kepada penawanan beberapa buah sekolah dan balai polis,
16

Pengertian ulama ialah suatu golongan yang berilmu pengetahuan tinggi. Bagi Abdul Aziz Mat Ton, ulama merupakan sebahagian kakitangan pemerintah. Selain berpengetahuan tinggi, ulama juga biasa disebut cendikiawan atau golongan intelek. Rujuk, Abdul Aziz Mat Ton. Politik al-Imam, hlm. 217. 17 Emerson, 1964. Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule , Kuala Lumpur: University of Malaya Press, hlm. 513. 18 Roff. Nasionalisma Melayu, hlm. 189-190. 19 Baharuddin Abdul Majid, , Wan Mohammad Saman b. Wan Ismail 1870-1898, dlm. KDSS, Jld. 8, Bil. 1, April 1979, Alor Setar: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), hlm. 90. 20 Keterangan lanjut tokoh ini, rujuk Fisol Haji Hussain, Haji Hussain Che Dol (1904-1967) Sebagai Tokoh Ugama dan Politik Melayu Kedah, dlm. Lindungan Bulan, Majalah PSMCK, Jld. 9, November 1981. (Alor Setar, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah), hlm. 25-42.

antaranya Balai Polis Daerah Pendang dan Balai Polis Tanah Merah. 21 Di Alor Setar sahaja mereka mencari pengaruh daripada golongan Cina dalam dewan perniagaan mereka dan cuba menguasai balai-balai polis sekitar bandar termasuk di Alor Janggus. Malah mereka cuba menawan Balai Besar tetapi gagal kerana pihak berkuasa terutama pasukan polis telah bersiap sedia menghadapi serangan mereka. Begitu juga di Bukit Jenun dan Guar Chempedak serangan hendap dan kejam turut berlaku sehingga melibatkan nyawa dan pemusnahan harta benda masyarakat Melayu. Golongan ulama Kedah tidak ketinggalan membantu masyarakat tempatan bagi menangani kekacauan ini dengan tenang. Oleh itu, Hj. Hussain Che Dol bersama Hj. Yahya telah memainkan peranan penting dalam menangani keadaan tegang ini apabila mereka mengarahkan masyarakat Melayu bersatu tenaga menentang kekejaman pihak komunis itu.22 Pada Februari 1945, pentadbiran British Military Administration (BMA) telah mengambil alih sementara Tanah Melayu. Selepas pentadbiran BMA ini, pihak British membuat rancangan yang lebih drastik dengan memperkenalkan Malayan Union. Rancangan ini menyebabkan masyarakat Melayu bersemangat menentang sistem pentadbiran yang baru itu kerana pelbagai sebab, antaranya ialah peranan yang dimainkan oleh Harold MacMichael ketika memaksa Raja-raja Melayu menandatangani persetujuan untuk melaksanakan Malayan Union23; orang-orang Melayu sedar dan insaf akan nasibnya dan sedar kepada wajib dan mustahak mempunyai satu badan politik yang besar dan memberi pelajaran kepada mereka, percaya kepada diri sendiri dan percaya kepada faedah bersatu padu.24 Selain SABERKAS, KMK, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Kedah, PUK dan UMNO memainkan peranan yang penting dalam pergerakan nasionalisme Melayu di Kedah pada era ini. Dalam hal ini, golongan ulama juga terlibat dalam politik agak ketara kerana ramai dalam kalangan mereka menjadi ahli dalam pertubuhan-pertubuhan itu. PKMM ditubuhkan di Ipoh pada 17 Ogos 1945, PUK pula mula aktif pada 19 Januari 1946 iaitu selepas masyarakat Melayu Kedah berarak menentang Malayan Union. Manakala KMK diasaskan menjelang 18 Februari dalam tahun yang sama.25 KMK pula terbentuk dalam bulan Disember 1945 dan mengadakan mesyuarat agungnya yang pertama di Sekolah Melayu Kanchut26, Alor Setar pada 14 Februari
21 22

Fail-fail SUK (K) 622/2488 , dan SUK (K) 647/2438. Azmi bin Saad, Negeri Kedah 1945-1957 Satu Kajian Pergerakan Politik Orang-orang Melayu , Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1979, (tidak diterbitkan), hlm. 64. 23 Selain sebab di atas, orang Melayu menolak Malayan Union kerana menentang kerakyatan jus soli dan tempoh tinggal yang sangat pendek kerana ini akan menghapuskan segala kedudukan dan kuasa politik mereka sebagai kaum bumiputera. Selain itu, Raja-raja Melayu tidak diberi masa yang cukup untuk meneliti kandungan Malayan Union, nasihat para pembesar atau para ahli Dewan Negeri juga tidak diambil kira oleh kerajaan British dan perjanjian itu dibuat dengan kawalan tentera kerana pentadbiran Tanah Melayu pada masa itu di bawah British Military Administration. Semasa MacMichael datang meminta persetujuan perjanjian, beliau diiringi oleh A.T. Newboult yang bergelar Brigedier dengan jawatan Deputy Chief Civil Affair, Tanah Melayu. Rujuk, Ramlah Adam, 2004. Gerakan Radikalisme Di Malaysia. (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka), hlm. 148-152. 24 Petikan dari Suara SABERKAS, Thn. 1, Bil. 4, April 1946, hlm. 10. 25 Fisol Haji Hussain, Haji Hussain Che Dol (1904-1967) Sebagai Tokoh Ugama Dan Politik Melayu Kedah, hlm. 33. 26 Kini sekolah itu dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Dato Wan Mohd. Sidik.

194627. Antara yang menjadi pelopor penggerak kepada penubuhan KMK ialah Sheikh Abdul Halim Othman, Ustaz Ismail Ibrahim dan Hj. Yahya sendiri. 28 Matlamat perjuangan KMK ialah menentang Malayan Union, menyatukan masyarakat Melayu Kedah dalam pertubuhan politik, membangkitkan semangat kesedaran, mengukuhkan kedudukan Sultan sebagai pelindung masyarakat Melayu dan mempertahankan agama Islam serta tanah air supaya tidak dirampas kuasa asing.29 Misalnya, semasa pihak British memperkenalkan gagasan Malayan Union, Hj. Yahya dengan guru-guru agama lain telah menyedarkan keburukan dan ketidakadilan penjajah itu melalui ceramah agama kepada masyarakat Melayu di kawasan luar bandar terutama di Padang Lumat, Sungai Daun, Guar Chempedak dan Gurun. PUK tidak kurang juga memainkan peranan penting dalam pergerakan nasionalisme di Kedah. Persatuan ini dirancang penubuhannya oleh Sheikh Abdul Halim Othman iaitu mudir Maahad al-Mahmud Alor Setar setelah para guru agama, ulama dan pemimpin kampung mengadakan perjumpaan di maahad itu selepas perarakan menentang Malayan Union pada 8 Februari 1946. Kelahiran PUK sebenarnya adalah; kerana mengambil kesempatan baik bagi merakamkan tawarikh hari kebangsaan Melayu dalam perarakan yang dianggarkan lebih dari 50,000 orang daripada sekelian rakyat jelata negeri Kedah, telah ditubuhkan Kesatuan Ulamak-ulamak di sebelah petang.30 Para ulama Kedah yang menghadirkan diri dalam perjumpaan itu telah sebulat suara untuk bersatu membentuk persatuan yang didominasi oleh para guru agama dan ulama. Matlamat perjuangan mereka ialah untuk memartabatkan bangsa Melayu dan agama Islam. Antara yang hadir termasuk Hj. Yahya, Hj. Hussain Che Dol, Hj. Abdullah Abbas Nasution dan Hj. Abdul Rahman Merbok. Pada 9 Februari 1946, PUK ditubuhkan dengan rasminya di Sekolah Pondok Tambak Bunga, Alor Setar.31 Senarai guru-guru agama yang terlibat dalam ahli jawatan kuasa pertama PUK ialah: Ahli Jawatan Kuasa PUK 194632 JAWATAN PENYANDANG Yang Dipertua Hj. Hussain Che Dol Pen. Yang Hj. Abdul Rahman Merbok Dipertua Setiausaha Abdullah Abbas Nasution
27 28

Warta Negara, 21 Januari 1946. Selain itu, antara individu bukan ulama yang turut menggerakkan KMK ialah Mahathir Mohamad, Mohd Zahir Ismail, Syed Ahmad Shahabuddin dan Khalid Awang Othman. 29 Abdullah Zakaria bin Ghazali, Pergerakan Nasionalisme Di Malaysia: Peranan Ulama Kedah, dlm. Mohd. Noor Salleh (Noorjaya) dan Abdul Halim Haji Salleh (Abdul Halim R)(Penyel.), 1998. Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman Kedua: Islam Di Kedah Darul Aman (Alor Setar: Majlis Kebudayaan Negeri), hlm. 81. 30 Warta Negara, 23 Januari 1946. 31 Pada 9 Januari 1953, PUK telah didaftarkan secara sah. Lihat, Penyata Pergerakan Persatuan Ulama Kedah, Persatuan Ulama Kedah, 1974, hlm. 1, dan Sijil Pendaftaran PUK (No. 5 in R.Y.S. 1380/50, ARS/Pg. 789. Lihat juga, Abdullah Zakaria bin Ghazali,Pergerakan Nasionalisme di Malaysia: Peranan Ulama Kedah, kertas kerja Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur, t.t., hlm. 68-94. 32 Fisol bin Hj. Hussain, Hj. Hussain Che Dol (1904-967): Satu Aspek Perjuangan Ulamak Dalam Bidang Agama Dan Politik Melayu Kedah. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1977/78, (tidak diterbitkan), hlm. 60-62.

Pen. Setiausaha Bendahari Pemeriksa Kirakira Pen. Pem. Kirakira Penasihat Am Pen. Penasihat Am AJK

Hj. Yahya Junaid Hj. Abdullah Hj. Mustaffa Mohd. Saad Tuan Sheikh Abdul Halim Lebai Ismail Tn. Hj. Yahya, Sheikh Hj. Abdullah, Ahmad Osman, Hj. Osman, Hj. Ismail, Mahmud, Hj. Mahmud, Hj. Abdul Rahman, Hj. Ibrahim, Hj. Hussain, Hj. Harun dan Hj. Zakaria.

Dalam usaha memperjuangkan nasib masyarakat Melayu dan memastikan kesucian agama Islam terpelihara, PUK membariskan beberapa tujuan utamanya iaitu menekankan interaksi sesama guru-guru agama serta penuntut-penuntut sekolah pondok dan agama, berusaha mencari jalan untuk memperbaiki taraf hidup penuntut aliran agama dan masyarakat Melayu serta berjuang bagi meninggikan maruah agama Islam agar bangsa Melayu berpegang teguh kepada ajaran Islam yang hakiki. 33 Mereka yakin matlamat ini akan tercapai berdasarkan hadis nabi yang membawa maksud Islam itu tinggi dan tidak ada yang tinggi selain daripadanya.34 Walaupun pada dasarnya PUK tidak secara jelas menyatakan penglibatannya dalam politik di Kedah, namun PUK tidak dapat memisahkan dirinya dari nasionalisme Melayu dan kegiatan politik tanah air. Ini terbukti apabila Persidangan Pertubuhanpertubuhan Kedah anjuran PUK pada tahun 1947, PUK mewakilkan Sheikh Saad Said, Sheikh Ahmad Kaplu, Hj. Abdul Latiff Ahmad, Sheikh Hussain Salleh dan Sheikh Abdul Halim Othman membincangkan pergolakan politik negeri Kedah.35 Selain itu, persidangan itu turut dijadikan medan menyatakan rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap pentadbiran British dan masalah sosial masyarakat Melayu. Persidangan lain yang diikuti PUK ialah Kongres Ulama Ketiga di Butterworth tahun 1951, tiga orang
33

Sebenarnya tujuan politik tidak dapat dipisahkan kerana ramai daripada pucuk pimpinannya adalah terlibat di dalam parti-parti politik di Kedah pada masa itu seperti SABERKAS, KMK dan UMNO. Selain tujuan politik dan yang telah dinyatakan, PUK sebenarnya mahu: (i) mengembangkan ajaran Islam sesuai dengan al-Amru bil Ma-aruf Wal Wahyu Ainil Mungkar iaitu menyeru kebaikan kepada ajaran Tuhan; (ii) menyatukan ulama-ulama di Kedah serta tanah air bagi membina dan menyatukan pergaulan umat Islam; (iii) memperkembangkan lagi bidang pendidikan dengan mengadakan sekolah-sekolah rakyat (pendidikan Melayu, Inggeris dan agama) serta menggalakkan pengenalan sekolah perniagaan dan pengurusan; serta, (iv) menjaga kesucian Islam. Fail PUK (Borang Permohonan Menjadi Ahli); Perlembagaan PUK, Artikel VIII-Disiplin, dan Sijil Pendaftaran Pertubuhan No. 304/1953. 34 Dipetik dari Warta Negara, 23 Januari 1946. 35 Rujuk, Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Guru Melayu dan Politik di Kedah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2012, hlm. 74.

wakil telah dihantar iaitu Hj. Yahya, Hj. Abdul Latiff Hj. Ahmad dan Sheikh Hussain Salleh. Kongres ini telah melahirkan Persatuan Islam Sa-Malaya (PAS). Penyertaan para pemimpin PUK dalam aktiviti politik semakin jelas apabila Hj. Hussain Che Dol yang merupakan Yang Dipertua PUK dalam masa yang sama mengetuai KMK yang terbentuk kemudiannya. Begitu juga Hj. Yahya yang dilantik sebagai Penolong Setiausahanya turut menganggotai KMK sebagai ahli jawatan kuasa. Dengan kata lain, PUK dan KMK mempunyai hubungan langsung dalam gerakan politik Melayu Kedah. Hj. Yahya adalah antara individu yang penting dalam penubuhan PAS di Kedah selain Hj. Hussain Che Dol. Sebenarnya, penubuhan PAS ada sebabnya dan mempunyai hubung kait dengan UMNO. Pada mulanya PAS diasaskan oleh golongan ulama yang masih ahli UMNO seperti beliau dan Hj. Hussain. Namun, berlaku persengketaan dalaman antara mereka dengan parti induknya, UMNO berkenaan loteri UMNO iaitu pelaksanaan the Social and Welfare Service Lotteries Bord Ordinance 1950.36 Golongan ulama UMNO tersebut secara terang-terangan menyatakan hukum loteri adalah haram tetapi dinafikan oleh UMNO induk. Apabila berlaku ketidaksefahaman antara dua pihak itu, Badan Agama dan Pelajaran UMNO telah mengambil inisiatif berpecah dengan UMNO dan wujud sebagai pertubuhan yang berdiri sendiri. Pada 21 Februari 1950, tokoh agama UMNO menganjur persidangan bagi pemimpin Islam di Muar, Johor dan bersetuju menukarkan Persatuan Ulama Se-Malaya (PAS) kepada Persatuan Islam SeMalaya (PAS). Nama baru ini bertujuan dapat membincangkan permasalahan umat Islam Tanah Melayu. Lanjutan dari itu, pada 23 Ogos 1951, Persidangan Ulama Malaya Kedua, yang ditaja UMNO telah berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru yang dihadiri dua puluh enam cawangan UMNO, wakil jabatan agama negeri dan dua puluh persatuan agama termasuk Hizbul Muslimin, Gunung Semanggol. Melalui persidangan itu, telah membawa kepada penubuhan PAS secara rasmi pada 24 November 1951. 37 Semasa persidangan ketiga berlangsung di Kelab Melayu Bagan, Butterworth tanpa sebarang tajaan oleh UMNO, Ahmad Fuad Hassan dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS. Mulai tahun 1951, bermulalah perjuangan PAS sebagai gerakan dakwah dan terlibat dalam politik tanah air. Dengan tertubuhnya PAS di peringkat kebangsaan, secara automatik, PAS ditubuhkan juga di peringkat negeri apabila Hj. Hussain dan Hj. Yahya bersama-sama ulama lain mengambil peluang menebarkan sayap parti Islam itu ke negeri Kedah. Hj. Yahya telah menjawat ahli jawatan kuasa bagi kawasan Padang Lumat dan Hj. Hussain pula mengetuai PAS di kawasan utara Semenanjung dan Kedah. ) selain itu, Hj. Yahya turut diberi kepercayaan memegang jawatan dalam parti iaitu Jawatan Kuasa Penaja Penubuhan PAS di Butterworth (1951), Ketua Dewan Ulama PAS Negeri (1967) dan Naib Yang Dipertua Dewan Ulama PAS Pusat (1988-1991). Disebabkan keterlibatan Hj. Yahya sebagai antara pelopor awal penubuhan PAS di Kedah, PAS Kedah telah memberi pengiktirafan kepadanya sebagai Tokoh Pengasas PAS Kedah pada tahun 2001. Penglibatan Hj. Yahya dalam arena politik tempatan pada awal kemerdekaan negara mencapai kemuncaknya apabila bertanding dalam pilihan raya pertama selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, iaitu pada tahun 1959. Beliau bertanding di
36 37

Lihat, UMNO/SG NO. 76/1946 Loteri Kebajikan. PAS didaftarkan dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan di Pulau Pinang. Registrar of Societies/Penang 880, Pejabat Agung PAS bil. (16) DLM. P3/55 berkaitan bil. (2) P/32/55 Pejabat Agung PAS 958 Kepala Batas, Seberang Perai. Pada 14 Jun 1955, PAS didaftarkan dengan nama Inggerisnya Pan Malayan Islamic Party.

kawasan negeri Gurun-Sik yang mewakili parti politik berideologi Islam, PAS. Beliau bukanlah satu-satunya ulama Kedah yang menceburi bidang politik dan bertanding dalam pilihan raya 1959 tetapi ramai lagi para ulama yang bersama-sama berjuang menegakkan Islam dalam politik negara. Mereka ialah Hj. Rejab Darus (kawasan negeri KangkongBukit Raya), Hj. Abdullah Abbas (Kubang Pasu Barat), Malik Abdul Rahman (Parlimen Alor Setar), Lebai Othman Hj. Yunus (Parlimen Kota Star Selatan) dan Hj. Husin Salleh yang melawan calon wanita dari Parti Perikatan, Fatimah Hashim di kawasan parlimen Jitra-Padang Terap. Seorang lagi ulama yang disegani dari Kedah, Hj. Hussain Che Dol memperjudikan nasibnya di Kedah Tengah bagi kawasan parlimen. Beliau bertanding bagi melawan Mohd. Khir Johari dari Perikatan dan seorang lagi, Shariff Babul (Front Sosialis). Hj. Yahya mempunyai pengaruh cukup kuat di Gurun dan Guar Chempedak kerana perjuangan nasionalismenya disanjung tinggi oleh penduduk tempatan seperti mana Hj. Hussain. Hal ini adalah kerana mereka merupakan mudir sekolah agama dan seorang reformis Islam. Pendek kata, Hj. Yahya berjuang dalam nasionalisme dan politik melalui berpersatuan, berceramah, mengadakan kelas agama serta mempunyai hubungan yang rapat dan mesra dengan masyarakat kampungnya. Namun begitu, ceramah beliau yang cukup berapi-api tidak memadai untuknya memenangi pilihan raya tahun 1959 apabila mengalami kekalahan yang tipis bagi menewaskan parti pemerintah, Arshad Ismail dengan hanya majoriti 718 sahaja. Beliau hampir-hampir memenangi pilihan raya itu dan dalam hal ini menunjukkan PAS mempunyai sokongan dan pengaruhnya tersendiri yang mulai menular di Kedah walaupun parti Islam itu baru mengorak langkah dalam persada politik tanah air. Perjuangan Hj. Yahya tidak putus di situ sahaja malah berterusan untuk beberapa tahun kemudian apabila bertanding lagi dalam pilihan raya umum pada tahun 1974 dan 1978 di DUN Sala dan berjaya menawan hati masyarakat tempatan. Kemenangan beliau selama dua penggal bagi mewakili PAS menunjukkan pengaruh parti Islam itu dan penglibatan Hj. Yahya agak berkesan di kawasan majoriti Melayu itu ditambah lagi dengan adanya beberapa sekolah pondok di persekitaran Sala. Rumusan
Golongan ulama Kedah merupakan salah satu golongan Melayu yang aktif berpolitik, bergiat cergas dalam usaha memerdekakan tanah air dan berjuang meningkatkan lagi taraf hidup bangsanya melalui perekonomian, pendidikan dan agama. Perjuangan mereka itu seiring dengan golongan Melayu lain terutama daripada golongan istana atau bangsawan, golongan Melayu yang berpendidikan Barat mahupun berpendidikan Melayu dan berhaluan kiri; cuma yang memperbezakannya ialah golongan ulama mengalas perjuangan agama semata-mata dalam arena politik dan nasionalisme. Oleh itu, Hj. Junaid adalah antara golongan ulama Kedah yang aktif bergerak dalam perjuangan menaikmartabatkan bangsa Melayu Kedah dalam pelbagai sudut seperti yang telah dibincangkan. Jasa beliau cukup besar dalam penyebaran ilmu agama dengan menjadi mudir di sekolah beliau di Guar Chempedak dan kegiatan kemasyarakatannya bagi menyedarkan bangsa Melayu yang ditindas oleh bangsa pendatang secara halus mahupun disedari oleh mereka. Jasanya itu sama besar jasa para reformis Islam yang lain seperti Hj. Hussain Che Dol, Hj. Rahman Merbok, Hj. Abdullah Abbas Nasution dan lain-lain lagi. Segala pengorbanan dan jasanya masih diingati oleh penduduk tempatan di Guar Chempedak, Gurun dan Yan. Di atas jasa-jasanya terhadap penglibatannya dalam parti dan politik, kegiatan kemasyarakatan dan pendidikan, Hj. Yahya telah dinobatkan sebagai Tokoh Ulamak PAS dan Tokoh Pengasas PAS Kedah dalam Sambutan Jubli Emas PAS Peringkat Kedah pada 4-8 Julai 2001 di Dataran Kompleks PAS Kedah di Yan.

Bibliografi Abdullah Zakaria bin Ghazali, Pergerakan Nasionalisme Di Malaysia: Peranan Ulama Kedah, dlm. Mohd. Noor Salleh (Noorjaya) dan Abdul Halim Haji Salleh (Abdul Halim R)(Penyel.), 1998. Dokumentasi Konvensyen Sejarah Negeri Kedah Darul Aman Kedua: Islam Di Kedah Darul Aman (Alor Setar: Majlis Kebudayaan Negeri). Abdullah Zakaria bin Ghazali,Pergerakan Nasionalisme di Malaysia: Peranan Ulama Kedah, kertas kerja Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Kuala Lumpur, t.t. Fail UMNO/SG NO. 76/1946 Loteri Kebajikan. Fail PUK (Borang Permohonan Menjadi Ahli); Perlembagaan PUK, Artikel VIIIDisiplin, dan Sijil Pendaftaran Pertubuhan No. 304/1953. Fail Registrar of Societies/Penang 880, Pejabat Agung PAS bil. (16) DLM. P3/55 berkaitan bil. (2) P/32/55 Pejabat Agung PAS 958 Kepala Batas, Seberang Perai Roff, William R. The Origins of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: University of Malaya, 1967. Fisol bin Hj. Hussain, Hj. Hussain Che Dol (1904-967): Satu Aspek Perjuangan Ulamak Dalam Bidang Agama Dan Politik Melayu Kedah. Latihan Ilmiah Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1977/78, (tidak diterbitkan). Fisol Haji Hussain, Haji Hussain Che Dol (1904-1967) Sebagai Tokoh Ugama Dan Politik Melayu Kedah. Harakah, 24 November 2008. http://taufikiahpondokpakya.edu.my/index.php/mengenai-sekolah/sejarah-awalpenubuhan. Dicapai pada 14 Januari 2013. http://ulamak.pas.org.my/v2/index.php? option=com_content&view=article&id=129:tuan-guru-yahya-binjunid&catid=36:ulamak-tanah-melayu&Itemid=89. Tarikh capaian pada 14 Januari 2013. Mohamad Muzammil bin Mohamad Noor, Burhanuddin al-Helmi dan Muhammad Natsir: Perbandingan Pemikiran Dan Perjuangan, Tesis Doktor Falsafah, Universiti Malaya, 2011. Mohamad Muzammil bin Mohamad Noor, Guru Melayu Di Kedah: Penglibatan Dalam Politik, Tesis Sarjana Sastera, Universiti Sains Malaysia, 2005. Mohamad Muzammil bin Mohamad Noor, Pemikiran Dan Perjuangan Guru Melayu Kedah Sebelum Merdeka: Nasionalisme, Politik Dan Kebajikan, kertas kerja Seminar Kepimpinan Melayu Sime Darby Convention Centre, anjuran INQKA, Universiti Teknologi Mara, 18-19 November 2008. Mohamad Muzammil bin Mohamad Noor, Perjuangan Kebajikan Dan Tuntutan Gaji Guru Melayu Di Kedah Sebelum Merdeka, kertas kerja Persidangan Kebangsaan Mengenai Persekitaran Dan Pembangunan Komuniti 2007 (NECD 2007), anjuran Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Januari 2007.

Mohamad Muzammil bin Mohamad Noor, Suasana Meruncing Di Langkawi Sekitar Tahun-tahun 1941-1945, Kajian Tempatan, Sarjana Muda Sastera Kepujian, Universiti Sains Malaysia, 2000. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, "Sejarah Sistem Pendidikan Masyarakat Melayu Di Kedah, 1900-1950", kertas kerja Simposium Peradaban Kedah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, 12 April 2011. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Pemikiran dan Perjuangan Guru Melayu Kedah Sebelum Merdeka: Nasionalisme, Politik dan Kebajikan, dlm. Isu-isu Terpilih dalam Sejarah Pemikiran Sumbangsih kepada Dr. Abdul Rahman Abdullah , Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd., 2009. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Dasar Pelajaran Kebangsaan 1956: Perselisihan Faham antara Guru Melayu Kedah dengan Kementerian Pelajaran Persekutuan dalam Perjuangan Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan dan Sistem Pendidikan Sekolah Melayu, kertas kerja Seminar Dasar Malaysia sebagai Landasan Pembangunan Bangsa dan Negara, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Kota Kinabalu, anjuran Universiti Teknologi Mara, Cawangan Sabah, 6-8 Oktober 2009. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Sejarah Sosioekonomi dan Pendidikan Masyarakat Melayu Kedah Tahun 1900-1950, dlm. Isu-isu Terpilih dalam Sejarah Politik Dan Perjuangan Sumbangsih kepada Profesor Madya Dr. Mohd Isa Othman, Batu Pahat: Penerbit UTHM, 2010. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Dr., Cikgu Balkis Hj. Abdullah: Penglibatannya Dalam Nasionalisme Di Kedah, kertas kerja dlm. International Conference on Humanities 2011 (INCoH 2011), Universiti Sains Malaysia, di Park Royal Hotel, Batu Feringghi, 14-16 Jun 2011. Mohamad Muzammil Mohamad Noor, Guru Melayu dan Politik di Kedah, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2012. Rupert, E. Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1987. Safie Ibrahim. The Islamic Party of Malaysia: Its Formative Stages and Ideology, Pasir Puteh: Nuawi Ismail Publ., 1981. Suara SABERKAS, Thn. 1, Bil. 4, April 1946. Temubual, Abdul Majid Hj. Hussain (anak kepada guru agama dan tokoh politik tempatan, Hj. Hussain Che Dol), di Yan, Kedah pada 24 Jun 2003. Temubual, Azahari Taib, Dato, di Alor Setar pada 12 Disember 2000. Temubual, Ismail Hj. Hanafiah, bekas mudir Sekolah Pondok Hj. Majid, di Yan, Kedah pada 24 Jun 2003. Temubual, Muhammad Ismail Salleh, Datuk Hj., bekas guru, di Tandop, Alor Setar pada 17 November 2000 dan 7 Mei 2003. Temubual, Othman bin Hanafiah, Hj., bekas guru, di rumahnya di Jalan Pegawai, Alor Setar, pada sekitar bulan Jun 2002. Temubual, Senu Abdul Rahman, (Temubual oleh Mazizah Hashim), Kelolaan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, 1992 (t.t.). Temubual, Shaari Abu Bakar, Datuk Hj., bekas guru, di Lorong Seri, Alor Setar pada 7 Julai 2001.

Temubual, Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, Datuk, Hj., bekas guru, Lorong Maktab, Alor Setar dan di pejabat Muzium Negeri, Alor Setar dalam sekitar bulan November Disember, 2003. Temubual, Zakaria Ahmad, Ustaz Hj. di Kubur Panjang, Pendang pada 12 Disember 2001. Warta Negara, 21 Januari 1946, 23 Januari 1946. Sejarah Perkembangan Sekolah-sekolah Negeri Kedah, Alor Setar: Jabatan Pelajaran Kedah, 1976. Senu Abdul Rahman. Revolusi Mental, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2002. Tokoh Biografi II: Tokoh Guru Kedah 1976-1986, Alor Setar, Kedah: Pusat Sumber Pelajaran Negeri, 1987. Tokoh-tokoh Guru 1975-1985: Jasamu Dikenang, Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia, 1986. Winstedt, R.O., Kedah Laws, dlm. JMBRAS, 6(2), 1928. Winstedt, R.O., History of Kedah, dlm. JMBRAS, No. 81, 1920. Winstedt, R.O.,Notes on the History of Kedah, dlm. JMBRAS, 14(3), 1936.

LAMPIRAN FOTO 1 HJ. YAHYA JUNAID

FOTO 2 Madrasah al-Taufikiah al-Khairiah (Pondok Pak Ya)

BIODATA PENULIS Penulis berasal dari Alor Setar, Kedah dan merupakan orang kelainan upaya berkerusi roda. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah di tempat yang sama. Seterusnya menerima pendidikan tinggi di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sejarah dan Sains Politik. Meneruskan ijazah keduanya di universiti yang sama dalam bidang Sejarah Politik di bawah seliaan Profesor Madya Dr. Mohd Isa Othman dan Profesor Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi. Semasa masih menulis tesis Sarjananya, beliau memperoleh jawatan sebagai Pegawai Penerangan Gred S41 di Kementerian Penerangan Malaysia dan berkhidmat di Jabatan Penerangan Malaysia di Pulau Pinang tetapi beberapa tahun kemudiannya beliau melepaskan jawatannya itu pada tahun 2005 kerana ditawarkan biasa siswa USM bagi melanjutkan pendidikan di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Malaya dalam bidang Sejarah Pemikiran di bawah seliaan Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali. Sekarang beliau berkhidmat di USM sebagai Pensyarah Universiti dalam bidang Sejarah. Bidang yang diminatinya ialah Sejarah Sosiopolitik Malaysia, Sejarah Politik Indonesia Moden, Sejarah Biografi Politik, Sejarah Perbandingan, serta Sejarah Konflik, Peperangan dan Diplomatik. Bidang kedua beliau ialah Pendidikan Dewasa dan Sejarah Pendidikan Jarak Jauh. Penulis ini banyak menulis artikel dan kertas kerja dalam seminar dan persidangan kebangsaan mahupun antarabangsa. Beliau boleh dihubungi melalui e-mail: pfm7615@gmail.com [atau] muzammil@usm.my

You might also like