Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 6

Esei perbezaan sistem kerajaan pusat dan kerajaan wilayah Soalan: Jelaskan perbezaan kerajaan pusat dengan kerajaan

wilayah yang diamalkan kerajaan Khulafa al Rasyiddin dan kerajaan Turki Uthmaniyah. Pengenalan Selepas pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w., umat Islam diperintah oleh para khalifah yang digelar Khulafa al Rasyidin yang meneruskan dasar pemerintahan dan pentadbiran baginda. Namun, terdapat juga penambahan dasar ekoran negara dan wilayah Islam yang semakin luas. Misalnya, pemerintahan terbahagi kepada kerajaan pusat dan kerajaan wilayah. Penggubalan dasardasar pada peringkat wilayah adalah selari dengan dasar peringkat pusat dan diamalkan sehingga zaman kerajaan Uthmaniyah. Kerajaan Khulafa al Rasyidin terbentuk secara rasmi pada 632M setelah Khalifah Abu Bakar al Siddiq dipilih oleh umat Islam sebagai khalifah pertama. Kerajaan Turki Uthmaniyah pula diasaskan Uthman bin Ertughrul Sulaiman Shah pada 1280M. Pentadbiran kerajaan pusat mendominasikan kuasa pemerintahan dan pentadbiran manakala kerajaan wilayah miliki kuasa autonomi yang terbatas. Pada zaman Khulafa al Rasyidin, pentadbiran pusat berpusat di kota Madinah manakala untuk kerajaan Turki Uthmaniyah berpusat di Istanbul. Antara kerajaan wilayah zaman Khulafa al Rasyidin ialah Makkah, Baghdad dan Damsyik manakala kerajaan wilayah zaman Turki Uthmaniyah ialah Madinah, Makkah, Baghdad, Damsyik, Andalus dan Mamluk. Kuasa tertinggi kerajaan pusat zaman Khulafa al Rasyidin ialah khalifah manakala Amir mengetuai kerajaan wilayah. Khalifah dipilih melalui syura dan mereka memerintah berdasarkan hukum syariah berpandukan al Quran dan Sunnah. Pada zaman kerajaan Turki Uthmaniyah, kuasa tertinggi kerajaan pusat dipegang oleh Sultan manakala Gabenor atau Wazir mengetuai kerajaan wilayah. Sultan dipilih secara warisan manakala Gabenor wilayah dilantik oleh Sultan tanpa berdasarkan keturunan. Seperti khalifah, sultan memerintah berlandaskan syariah Islam manakala Gabenor memerintah berasaskan panduan yang ditentukan oleh sultan. Bagi kedua-dua kerajaan ini, kerajaan pusat bertanggungjawab dalam segala aspek pentadbiran termasuk pentadbiran wilayah. Kerajaan pusat akan membantu perbelanjaan kerajaan wilayah dan sebagai balasannya, kerajaan wilayah akan memberi pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan kerajaan pusat. Misalnya, urusan berkaitan cukai dan bekalan tentera semasa peperangan. Kerajaan pusat akan memberi arahan kepada kerajaan wilayah seperti pembayaran cukai serta bantuan ketenteraan. Kerajaan wilayah tidak boleh bertindak sendirian tetapi harus mematuhi segala arahan kerajaan pusat. Khalifah dan Sultan berkuasa melantik dan memecat Amir dan Gabenor/Wazir. Khalifah dan Sultan akan memerintah sehingga meninggal dunia. Aspek ekonomi, politik dan sosial diuruskan oleh kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, kerajaan wilayah yang merupakan bandar-bandar kecil perlu berganding bahu dengan kerajaan pusat demi menjamin keamanan, kemajuan dan keharmonian rakyat serta negara. Penutup Kesimpulannya, kerajaan pusat dan kerajaan wilayah mempunyai perbezaan dari pelbagai aspek. Namun kedua-dua bentuk kerajaan ini perlu saling bekerjasama bagi memastikan pemerintahan dan pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan selamat.

Esei Sistem Pemilihan Khalifah Soalan: Huraikan kaedah-kaedah pemilihan khalifah yang diamalkan bagi memilih khalifah dalam Khulafa/Khalifah al Rasyidin. Pengenalan Khalifah merupakan satu jawatan memerintah negara Islam menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat. Perkataan khalifah berasal daripada perkataan khulafa yang bermaksud pengganti. Tugas dan tanggungjawab khalifah sama seperti seorang rasul, cuma khalifah tidak diperlengkapkan dengan mukjizat dan wahyu. Dalam sejarah Islam, terdapat empat orang khalifah yang menerajui Khulafa al Rasyidin dan cara pemilihan mereka adalah berbeza. Kaedah pelantikan terawal yang digunakan ialah perundingan beramai-ramai atau lebih dikenali sebagai musyawarah. Nabi Muhammad s.a.w. tidak meninggalkan sebarang wasiat mahupun pesanan tentang calon pengganti sebelum baginda wafat. Baginda memberi kebebasan kepada umat Islam memilih calon khalifah sendiri bagi meneruskan pemerintahan negara Islam. Oleh itu, umat Islam telah mengadakan rundingan dan persetujuan tanpa menetapkan calon terlebih dahulu. Berpandukan pelantikan Saidina Abu Bakar al Siddiq yang pernah mengimamkan sembahyang sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. sedang uzur, para sahabat seolah-olah dapat meneka calon khalifah yang pertama. Kaum Muhajirin dan Ansar telah mewakili umat Islam berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk berbincang dan melantik khalifah. Bagi mengelak perselisihan antara Muhajirin dan Ansar, Saidina Abu bakar al Siddiq mencalonkan Saidina Umar al Khattab mewakili Muhajirin dan Abu

Ubaidah mewakili Ansar sebagai khalifah. Namun, kedua-duanya menarik diri malah mereka mencalonkan Saidina Abu Bakar al Siddiq sebagai khalifah. Akhirnya, Saidina Abu Bakar al Siddiq telah dibaiah dalam syura sebagai khalifah pertama. Cara pemilihan seterusnya ialah mengusul atau mencadangkan seorang calon. Khalifah sebelumnya mengusulkan nama calon dan akan dibawa ke musyawarah dalam Majlis Syura dan dibaiah umat Islam. Cara ini digunakan dalam proses pelantikan khalifah kedua iaitu Khalifah Umar al Khattab. Bagi mengelakkan berulang kembali Gerakan Al Riddah, Khalifah Abu Bakar al Siddiq yang sedang gering telah mencalonkan Saidina Umar al Khattab sebagai penggantinya. Pencalonan ini telah dipersetujui umat Islam dan setelah bermusyawarah bersama para sahabat dan ahli lembaga Majlis Syura, Saidina Umar al Khattab telah dibaiah oleh umat Islam tanpa bantahan. Cara ini bukan berasaskan keturunan atau warisan. Kaedah seterusnya ialah mengusulkan beberapa orang calon. Khalifah terdahulu akan mencadangkan nama beberapa orang calon dalam kalangan para sahabat untuk dipilih salah seorang daripada mereka. Khalifah Umar al Khattab yang sedang tenat akibat tikaman seorang keturunan hamba Parsi telah menyebut nama Saidina Uthman bin affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Zubair al Awwam dan saad bin Abu Waqas. Puteranya sendiri iaitu Abdullah bin Umar al Khattab tidak dicalonkan. Musyawarah diadakan di rumah Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan tiga hari selepas kewafatan Khalifah Umar al Khattab, Abdul Rahman bin Auf dipilih mempengerusikan musyawarah memilih pengganti khalifah. Undian telah dibuat dan akhirnya Saidina Uthman bin Affan mendapat kelebihan undi setelah empat orang calon menarik diri. Khalifah Uthman bin Affan memerintah sebagai khalifah ketiga dalam Khulafa al Rasyidin. Kaedah terakhir yang digunakan ialah pengusulan oleh sekumpulan masyarakat. Setelah kewafatan Khalifah Uthman bin Affan pada 656M, berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan bakal khalifah seterusnya. Madinah ketika ini dikuasai pemberontak. Penduduk Mesir mencadangkan Saidina Ali bin Abu Talib sebagai pengganti khalifah sedangkan penduduk Basrah mencadangkan Talhah bin Ubaidillah manakala penduduk Kufah mencadangkan Zubair al Awwam. Musyawarah terpaksa diadakan dan keputusannya Saidina Ali bin Abi Talib dibaiah sebagai khalifah. Walaupun pada awalnya beliau menolak pelantikan itu, namun atas desakan para sahabat, akhirnya beliau menerima cadangan itu. Penutup Pemilihan dan perlantikan khalifah dijalankan dengan pelbagai cara. Walaupun begitu, terdapat persamaan dalam setiap cara tersebut iaitu kesemuanya berasaskan musyawarah dan persetujuan ramai. Ciri demokrasi ini amat ketara ditambah dengan kriteria pemilihan yang tidak berlandaskan keturunan.

Jan 22, 2013 Pemerintahan Nabi Muhammad di Madinah Soalan: Terangkan sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di kota Madinah. Pengenalan Nabi Muhammad s.a.w. merupakan pemerintah pertama di negara Islam Madinah. Baginda memerintah berteraskan wahyu Allah SWT selain mengamalkan konsep musyawarah dengan para sahabat dan menggubal Piagam Madinah. Baginda amat menegaskan perasaan taat setia dalam kalangan umat Islam bagi menggantikan semangat assabiyah dalam kabilah-kabilah. Pemerintahan di Madinah bersifat negara kota. Nabi Muhammad s.a.w. telah meletakkan asas pemerintahan mengikut pengurusan dan pentadbiran Islam yang sebenar. Piagam Madinah yang digubal mengandungi 47 fasal yang menjelaskan perkara-perkara berkaitan umat Islam dan bukan Islam. Piagam ini telah menjadi teras peraturan hidup masyarakat Madinah yang berbilang kaum . Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga telah menubuhkan Majlis Syura bagi menggubal dasar pemerintahan negara yang berteraskan al Quran dan Sunnah . Majlis ini dianggotai sebilangan sahabat paling kanan yang pakar dalam bidang tertentu. Baginda juga mengamalkan sistem perundangan yang berteraskan al Quran dan sunnah. Bagindalah hakim yang dilantik pada peringkat suku kaum. Seterusnya baginda membentuk satu dasar diplomatik dengan menjalin hubungan dengan negara luar. Memandangkan wilayah Islam semakin meluas, para amir telah dilantik untuk mentadbir kawasan yang dipertanggungjawabkan. Sebagai contoh, Uthman ibn Abi al-As dilantik sebagai amir di Taif. Nabi Muhammad s.a.w. juga membentuk pentadbiran berasaskan empat dasar iaitu mengukuhkan semangat akidah bagi menggantikan semangat assabiyah , menjadikan Islam sebagai landasan peraturan masyarakat, mengamalkan kaedah musyawarah dalam pentadbiran dan memperkenalkan Piagam Madinah. Dasar ini menjadi panduan masyarakat Islam untuk memperoleh kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan. Penutup Kebijaksanaan pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. telah berjaya membina sebuah masyarakat yang bersatu serta mewujudkan kestabilan politik selain membina negara Islam yang kukuh, aman dan berdaulat.

Jan 18, 2013 Perkembangan Masyarakat Islam di Makkah dan Madinah Soalan: Jelaskan perkembangan masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Pengenalan: Perkembangan masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Arab telah melalui pelbagai tahap yang mencabar seawal perkembangan penyebaran Islam di Makkah sehinggalah terbentuknya negara Islam Madinah. Tahap di Makkah lebih sesuai dianggap dalam proses pembinaan masyarakat Islam manakala di Madinah lebih kepada tahap pembentukan dan penyatuan ummah. Isi: Di Makkah, usaha pembinaan masyarakat Islam oleh Nabi Muhammad s.a.w. berlangsung selama 13 tahun melalui aktiviti dakwah. Setelah berdakwah secara sulit selama tiga tahun, hanya beberapa orang sahaja memeluk Islam termasuk isteri baginda, Siti Khadijah. Dakwah secara terbuka dijalankan setelah baginda menerima wahyu agar berbuat demikian. Bapa saudara baginda iaitu Abu Lahab merupakan orang pertama menentang secara tegas. Pelbagai usaha dilakukan kaum Quraisy Makkah untuk menghalang usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Contohnya, mereka meminta Abu Talib menasihati baginda agar menghentikan dakwahnya tetapi gagal. Kaum Quraisy Makkah kemudiannya mula bertindak ganas terhadap umat Islam Makkah. Bagi menangkis penindasan tersebut, Nabi Muhammad s.a.w mengarahkan umat Islam berpindah ke Habsyah secara sulit. Kaum Quraisy telah menghantar wakil menemui Raja Habsyah agar menghantar pulang umat Islam namun tidak diendahkan oleh Raja Habsyah. Tindakan Umar al Khattab memeluk Islam, memberi tamparan hebat kepada kaum Quraisy sehingga mereka mula memulaukan Bani Hasyim dan Bani Mutalib. Terdapat beberapa faktor kaum Quraisy menentang usaha dakwah Nabi Muhammad s.a.w. Antara faktor tersebut ialah mereka ingin mengekalkan kuasa dan pengaruh serta menganggap persamaan taraf yang disyorkan Islam bertentangan dengan amalan tradisi mereka . Selain itu, mereka juga ingin mempertahankan warisan nenek moyang mereka iaitu mengukir patung berhala. Kaum Quraisy juga sebenarnya takut dengan hari kiamat, hari pembalasan selain berasa iri hati dengan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. Usaha membentuk masyarakat Islam di Madinah amat mencabar kerana penduduknya terdiri daripada bangsa Arab dan bukan Arab. Penduduk asal berbangsa Arab iaitu kaum Aus dan Kahzraj. Bangsa bukan Arab pula ialah orang Yahudi seperti Bani Quraizah, Bani Nadhir dan Bani Qainuqa. Kemuncak permusuhan antara Aus dan Khazraj ialah tercetusnya Perang Buath yang mengorbankan banyak jiwa. Perbalahan antara mereka telah melemahkan ekonomi dan politik sehinggakan kaum Yahudi mengambil kesempatan di atas mereka. Aus dan Khazraj telah pergi ke Makkah untuk menyelesaikan pertelagahan mereka. Pertemuan dengan Nabi Muhammad s.a.w. telah melahirkan Perjanjian Aqabah 1 pada 621M dan Perjanjian Aqabah II pada 622M. Perjanjian Aqabah II telah merintis jalan ke arah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dan umat Islam ke Madinah. Penyatuan golongan Ansar dan Muhajirin berasaskan iman, taqwa dan persaudaraan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Baginda juga berusaha menyelesaikan isu sosial dan ekonomi Muhajirin. Golongan Ansar telah membantu Muhajirin dengan penuh keikhlasan. Konsep satu ummah yang disebut dalam Piagam Madinah juga diperkukuhkan. Piagam ini mewajibkan setiap umat Islam bekerjasama menegakkan amal kebaikan, mencegah kemungkaran, tidak

membiarkan saudara seagama terbeban hutang serta menegah berpihak kepada orang kafir untuk memusuhi Islam. Penutup: Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang unggul dan bijaksana telah berjaya mengembangkan masyarakat Islam sehingga menjadi ummah yang berjaya membentuk negara Islam Madinah. Negara Islam akhirnya mampu menghadapi pelbagai cabaran musuh sama ada dari dalam atau luar negara. Tidak hairanlah jika ramai yang berpendapat bahawa baginda merupakan seorang negarawan yang unggul.

You might also like