Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 19

ULASAN ARTIKEL : CABARAN SEMASA GURU

1.0

PENGENALAN Isu cabaran semasa guru telah diperkatakan dan menjadi bahan perdebatan

hangat terutama dalam kalangan penulis buku, pensyarah,pengkaji pendidikan, surat khabar dan guru-guru. Dalam tugasan ini, saya memilih enam jurnal dan artikel yang berkaitan dengan cabaran semasa guru untuk diulas secara positif dan kritikal. (i) Tajuk : Keberkesanan Pendekatan Berasaskan Kepelbagaian Budaya Terhadap Integrasi Nasional Dalam Mata Pelajaran Sejarah Penulis Sumber Bil. : Ahmad Ali Seman, Zahara Aziz, Abdul Razaq Ahmad : Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah Ukm : 17 muka surat

Kesan pembelajaran berasaskan kepelbagaian budaya yang merangkumi perspektif sejarah budaya, sejarah etnik dan sejarah kebangsaan akan dapat meningkatkan integrasi nasional. Guru merupakan agen perpaduan dan

transformasi budaya kepada pelajar, oleh sebab itu bidang pendidikan dapat menjadi saluran penting bagi mendokong cita-cita perpaduan dan integrasi nasional (Chai Hon Chai 1977). Oleh sebab itu, Sejarah dijadikan mata pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) kerana melalui kefahaman tentang Sejarah bangsa dan Negara, persefahaman budaya, toleransi antara kaum dan identiti Negara dapat diperkukuhkan dalam kalangan pelajar yang berbeza latar belakang lokasi, budaya dan etnik. Menurut Tajul Ariffin Noordin (1993), menjadikan landasan kurikulum sebagai asas penyatuan bangsa dan perpaduan antara etnik merupakan langkah yang paling berkesan, kerana penyampaian mesej sebegini perlu bermula dari peringkat awal iaitu melalui sistem pendidikan dan persekolahan, disebabkan sekolah adalah tapak sosialisasi dan wadah pembentukan jatidiri. Untuk mencapai misi dan visi Falsafah Pendidikan Kebangsaan berdasarkan intipati di atas, tentu sekali mengambilkira kedudukan pelajar daripada pelbagai latar belakang etnik dan budaya. Oleh sebab itu, kesepaduan bermaksud menerapkan nilai-nilai

murni yang wujud dalam semua kepercayaan (Kepercayaan kepada Tuhan) dan unsur-unsur norma-norma masyarakat pelbagai etnik (kepelbagaian budaya).

(ii)

Tajuk

: Pendidikan Sepanjang Hayat: Isu,Cabaran Dan Peranan Sekolah Membangun Modal Insan Dalam Komuniti Setempat

Penulis

: Ramlan Bin Zainal Abidin, Dr. Ahmad B. Esa & Prof. Dr. Wan Mohd. Rashid B. Wan Ahmad

Sumber

: Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidiikan PKPGB 2008, 16 Oktober 2008, UTHM.

Bil.

: 9 muka surat

Artikel ini membincangkan tentang isu dan cabaran yang dimainkan oleh sekolah dalam membangun modal insan komuniti setempat. Perubahan yang berlaku di era globalisasi di mana ekonomi berteraskan ilmu pengetahuan menjadikan pendidikan sepanjang hayat sebagai agenda kerajaan untuk mencorak modal insan mengikut acuan semasa. Banyak institusi yang telah mempelopori kursus pembelajaran sepanjang hayat namun tidak ada perubahan yang ketara untuk mengubah persepsi negatif ini. Cabaran seterusnya ialah bagaimana untuk membudayakan ilmu di dalam komuniti setempat dan tahap pendidikan di negara kita dikatakan kian merosot. Sehubungan itu, rakyat sebagai modal insan di negara ini perlu sentiasa menguasai ilmu. Modal insan yang berkualiti adalah satu kemestian bukan lagi satu kelebihan. Bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, kerajaan dan rakyat harus bersama-sama mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen.

(iii)

Tajuk

: Faktor-Faktor Pendorong Guru-Guru Teknikal Bukan Siswazah Menyambung Pengajian Memiliki Ijazah

Penulis Sumber Bil.

: Muhammad Sukri Saud & Norhisham Monil : Universiti Teknologi Malaysia. : 9 muka surat

Artikel ini membincangkan faktor-faktor yang mendorong guru-guru bukan siswazah teknikal untuk melanjutkan pelajaran dan memiliki ijazah. Pendidikan dapat menyatupadukan masyarakat dan berupaya melahirkan rakyat yang mampu 2

bersaing dengan perkembangan sains dan teknologi masa kini. Pendidikan merupakan suatu usaha yang berterusan pada setiap individu. Oleh itu, kementerian telah berusaha untuk membantu guru-guru yang belum memiliki ijazah agar dapat menyambung pelajaran bagi memperolehinya. selain itu pendidikan juga dapat melahirkan orang perseorangan yang berpengetahuan, terlatih dan mahir untuk memenuhi keperluan tenaga manusia dan sosial yang semakin bertambah (Norshahidahbaiyah Abdul, 1998). Tujuan asas dalam pendidikan ialah untuk mengadakan sepenuhnya pengalaman pendidikan yang dikehendaki, yang

membolehkan seseorang individu menghasilkan perubahan yang optima dari segi fizikal, sosial dan emosi. Penulis membincangkan faktor-faktor tersebut berdasarkan soal selidik yang dibuat ke atas beberapa pelajar yang terdiri daripada para guru.

(iv)

Tajuk

: Peranan Guru Membina Murid Menghadapi Cabaran Wawasan 2020

Penulis Sumber Bil.

: Ismail Abas, Ph.D : Jurnal Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Islam, Selangor,
Jilid 10, 2007

: 8 muka surat

Jurnal ini membincangkan keberkesanan peranan guru pada masa ini akan mempengaruhi kualiti manusia yang akan mewarisi negara ini pada tahun 2020 dan sekaligus menentukan pencapaian matlamat wawasan negara. Perlumbaan ke masa depan menjadi semakin kritikal, kerana jika kita tidak peka dan bersiap sedia, berkemungkinan besar generasi kini akan berhadapan dengan kejutan masa depan yang membawa kepada kesan ke atas peribadi, psikologi dan sosiologi. Oleh itu, adalah amat penting generasi murid masa kini dipersiapkan untuk menghadapi abad futuristik yang penuh dengan pelbagai cabaran yang bersifat global. Bagi menghadapi cabaran ketujuh menjelang tahun 2020, negara memerlukan generasi guru yang benar-benar berwibawa. Guru mempunyai peranan paling penting, khususnya dalam mengawal keseimbangan moral murid, bertanggungjawab dalam mengawasi disiplin murid, agar mereka tidak hanyut dalam arus pembangunan kemewahan kebendaan yang begitu laju sekali.

(v)

Tajuk

: Faktor-Faktor Mendorong Stres Dalam Kalangan Guru-Guru Yang Mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) Sepenuh Masa, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Penulis Sumber Bil.

: Baharin Bin Abu & Hamiza Binti Mohd Salleh @ Yaakob : Universiti Teknologi Malaysia : 8 muka surat

Jurnal ini mengenalpasti lima faktor mendorong stres dalam kalangan guruguru yang mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Lima faktor yang dikaji adalah hubungan kekeluargaan, persekitaran pembelajaran, kewangan, pengurusan masa dan kemahiran belajar. Jurnal ini juga merupakan suatu kajian yang dijalankan ke atas 48 orang guru PKPG. Menurut penulis, Persidangan Perkhidmatan Pendidikan anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang akan berkuatkuasa dari tahun 2006 hingga 2010 telah menggariskan empat perkara utama dalam usaha untuk memartabatkan pendidikan negara. Dua daripada empat perkara tersebut adalah peningkatan kualiti guru sebagai pra-syarat kepada pembangunan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dan semangat yang terkandung dalam Peruntukan 144 (1) Perlembagaan Persekutuan diterjemahkan ke arah menjadikan profesion perguruan lebih perkasa dan berintegriti kearah pembangunan modal insan yang kukuh. Bagi berhadapan dengan cabaran dan tuntutan daripada perubahanperubahan dalam sistem pendidikan, guru-guru telah berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dengan melanjutkan pengajian di institut-institut pengajian tinggi.

(vi)

Tajuk Penulis Sumber Bil.

: Isu Dan Cabaran Terhadap Guru Berkaitan Dengan


Teknologi Instruksional

: Khairuddin Bin Nisa : UPSI : 21 muka surat

Jurnal ini membincangkan Teknologi instruksional pada masa kini sangat mempengaruhi sistem pendidikan negara. Atas kepentingan ini maka isu dan 4

cabaran terhadap guru yang berkaitan teknologi instruksional wajar diperbincangkan dengan teliti. Terdapat enam isu yang akan dihuraikan. Isu pertama, bahan pengajaran menggunakan teknologi instruksional dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Isu kedua, tahap pengetahuan guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Isu ketiga, sikap positif guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Isu keempat, kelengkapan kemudahan komputer di sekolah dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Isu kelima, sokongan pentadbir sekolah dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional dan isu yang keenam penggunaan teknologi instruksional pada masa depan. Berdasarkan perbincangan enam isu ini akan diperoleh pula enam cabaran utama bagi meningkatkan penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru. Cabaran pertama, menggalakkan guru menghasilkan bahan pengajaran berasaskan teknologi instruksional. Cabaran kedua, meningkatkan tahap pengetahuan teknologi instruksional di kalangan guru. Cabaran ketiga, meningkatkan sikap positif di kalangan guru bagi menggunakan teknologi instruksional. Cabaran keempat, kelengkapan dan kemudahan di sekolah akan meningkatkan penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru. Cabaran kelima, peranan pentadbir dalam menggalakkan guru menggunakan teknologi intruksional dan cabaran keenam, persediaan guru menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan.

1.1 (i)

PERBINCANGAN DAN ULASAN KRITIKAL JURNAL Jurnal 1 :

Keberkesanan Pendekatan Berasaskan Kepelbagaian Budaya Terhadap Integrasi Nasional Dalam Mata Pelajaran Sejarah Jurnal ini membincangkan Keberkesanan Pendekatan Berasaskan

Kepelbagaian Budaya Terhadap Integrasi Nasional Dalam Mata Pelajaran Sejarah. Menurut penulis, budaya Malaysia adalah budaya majmuk bukan lagi budaya tunggal oleh golongan majoriti, malahan sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi, konsep majmuk budaya telah difahami dan diterima. Setiap etnik telah memberi warna kepada pembentukan budaya kebangsaan di negara kita, kerana ciri-ciri setiap etnik meskipun kecil bilangannya menjadi aset negara, khazanah warisan

negara dan tinggalan sejarah yang telah berakar umbi sekian lama. Penulis juga bersetuju dengan pernyataan yang ditulis oleh Cheah Boon Kheng (2002) dan Badriyah Salleh (1998) bahawa elemen kesatuan dan pembentukan identiti Malaysia yang diterima pelbagai kaum adalah langkah penting dalam mewujudkan Sejarah Nasional dan budaya kebangsaan, seperti bahasa, sistem persekolahan, kurikulum pengajaran, peraturan-peraturan, adat istiadat negara dan upacara-upacara rasmi seperti majlis kongsi raya dan lain-lain. Pendekatan kepelbagaian budaya adalah berasaskan teori multikultural yang dikemukakan oleh Kymlicka (2002) dan Dworkin (2001) tetapi diubahsuai untuk konteks pengembangan budaya di Malaysia. Pendekatan ini lebih sesuai kerana kepelbagaian budaya dalam konteks Malaysia adalah merujuk unsur penerimaan dan merapatkan jurang hubungan antara kaum yang melibatkan kaum yang dominan dalam situasi sosial iaitu Melayu, Cina dan India. Berdasarkan kenyataan itu, saya juga bersetuju bahawa pendekatan kepelbagaian budaya adalah pendekatan yang telah lama digunakan di negara ini memandangkan negara kita bukan sahaja terdiri daripada tiga kaum utama tetapi juga merangkumi lebih 40 etnik di seluruh Malaysia. Menurut penulis, dalam konteks pengajaran Sejarah, peranan guru bagi membangkitkan kesedaran tersebut dalam kalangan pelajar amatlah penting, kerana pelajar merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat dan akan membentuk komuniti mereka sendiri pada masa akan datang. Dalam masyarakat heterogen seperti di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya, pendidikan dan pengajaran di sekolah seharusnya berupaya menekankan nilai-nilai persefahaman budaya dan toleransi antara kaum serta mengelakkan wujudnya prasangka. Sememangnya perwujudan kebudayaan berasaskan persamaan, kesedaran budaya dan perasaan kekitaan akan menjadi kriteria penting bagi mewujudkan identiti yang dapat dikongsi bersama dan dalam masa yang sama memudahkan usaha untuk membentuk integrasi nasional. Bagi mengesahkan pendekatan keberkesanan kajian ini, penulis telah membuat kajian melibatkan pelajar Tingkatan 2 di sebuah sekolah menengah. Hasil dapatan kajian tersebut telah memberi jawapan kepada keberkesanan mata pelajaran sejarah sebagai subjek perpaduan yang penting di sekolah. Penulis telah membincangkan rumusan dapatan kajian dan mendapati bahawa aspek

persefahaman budaya, toleransi kaum, identiti Malaysia dan integrasi nasional dalam kumpulan kawalan berada pada tahap yang sederhana. Selain itu, terdapat hubungan yang tinggi antara persefahaman budaya, toleransi antara kaum dan identiti Malaysia terhadap integrasi nasional. Kajian yang dibuat oleh penulis hanya melibatkan soal selidik pelajar sekolah aliran Melayu sahaja. Pada pendapat saya, untuk menentukan keberkesanan sesuatu kajian yang melibatkan tajuk pelbagai budaya, penulis atau pengkaji seharusnya melibatkan sekolah aliran cina dan sekolah aliran india agar hasil dapatan itu lebih menunjukkan keseragaman. Walau bagaimanapun, saya bersetuju dengan pendapat penulis pengajaran sejarah adalah suatu subjek yang sangat penting dalam pembentukan perpaduan dan kesedaran terhadap sejarah pembentukan kaum di Malaysia.

(ii)

Artikel 2

Pendidikan Sepanjang Hayat: Isu, Cabaran Dan Peranan Sekolah Membangun Modal Insan Dalam Komuniti Setempat Artikel ini membincangkan isu Pendidikan Sepanjang Hayat, isu, cabaran dan peranan sekolah membangun modal insan menerusi komuniti setempat. Isu ini bukan sahaja melibatkan sekolah tetapi juga melibatkan peranan guru yang meruapakan suatu tugas yang mencabar dan memerlukan usaha yang lebih gigih. Penulis membincangkan pendidikan sepanjang hayat itu sebagai tidak terhad kepada golongan yang bekerja sahaja malah ia perlu melewati semua golongan termasuk suri rumah, pesara, golongan kurang upaya dan warga emas. Pendidikan sepanjang hayat bermatlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan individu dan masyarakat. Tujuannya ialah untuk memberi latihan dan pendidikan kepada semua orang dengan salah satu matlamat untuk membangunkan modal insan. Di alam persekolahan, pembangunan modal insan difokuskan untuk memberi tumpuan kepada sistem nilai, disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi, inovatif, kreatif serta boleh dipasarkan. Dikalangan orang-orang dewasa proses pembelajaran tidak terhenti selepas alam persekolahan malah mesti ada kesinambungan untuk terus belajar hingg keliang lahat.

Menurut penulis, di antara cabaran bagi merealisasikan Pendidikan Sepanjang ini ialah untuk membenteras buta huruf dikalangan orang-orang dewasa. Kumpulan ini tidak berpeluang mengikuti pembelajaran formal diperingkat kanakkanak dan remaja disebabkan oleh faktor penjajahan, kemiskinan dan persekitaran yang jauh dari pembangunan. Saya bersetuju bahawa orang-orang dewasa zaman dahulu amat sukar mendapat pendidikan walaupun untuk belajar menulis dan membaca sahaja memandangkan pergolakan dan peperangan yang berlaku pada zaman sebelum merdeka. Seterusnya, bagaimana untuk membudayakan ilmu di dalam komuniti setempat. Membudaya di sini membawa maksud supaya menjadi amalan dalam hidup. Natijahnya akan berlaku sesuatu perubahan dalam kehidupan hasil dari pemerolehan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Inilah budaya yang hidup subur dan berkembang di negara maju. budaya masyarakat yang mengutamakan ilmu pengetahuan terelak daripada menerima gelaran masyarakat primitif atau andaian katak di bawah tempurung. Budaya ilmu juga memungkinkan kewujudan sebuah masyarakat yang mempunyai world-view yang lebih luas, iaitu pemikiran yang lebih terbuka. Dari persfektif yang lain pendidikan semestinya dijadikan satu proses yang berterusan dalam kehidupan setiap insan. Pendidikan memainkan peranan yang besar dalam pembentukan generasi akan datang serta pencapaian objektif negara. Isu menarik dikupas penulis ialah tentang mutu pendidikan di negara kita merosot. Kemerosotan ini dilihat melalui senarai kedudukan universiti di dunia. Disamping itu, sebilangan besar tanggapan masyarakat terhadap mutu pendidikan di negara kita. Malaysia ialah kegagalan mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Seterusnya, Peranan Sekolah Dalam Pelaksanaan Program

Pembelajaran Sepanjang Hayat. Menurut penulis, memberikan perkhidmatan yang paling rapat dan berpanjangan kepada hampir semua golongan masyarakat dalam komuniti setempat. Sekolah mempunyai potensi yang besar untuk memainkan peranan menyuburkan kursus-kursus pendek dan sepanjang hayat kepada komuniti setempat asalkan tidak menggaggu kelangsungan pembelajaran formal yang sedia ada. Dalam konteks ini, penulis hanya menggunakan peranan yang perlu dimainkan oleh pihak sekolah tetapi tidak melihat kepada cabaran guru untuk merealisaikan perkara ini. Penulis seharusnya menerangkan dengan lebih lanjut peranan guru di sekolah dalam membantu masyarakat dan bukan hanya bertumpu kepada peranan 8

sekolah kerana pembaca akan tercari-cari siapakah yang perlu menggerakkan peranan itu di sekolah kalau bukan guru-guru dan pihak pentadbir. Artikel juga membincangkan kekangan dan halangan menjayakan aktiviti tersebut. Antaranya tedapat jurang yang besar dari segi pergaulan dan memahami keperluan komuniti setempat. Manakala Sekolah dilihat sangat bersesuaian jika sekadar mengendalikan kursus-kursus pendek sahaja. Kekangan dan halangan yang utama adalah disandarkan kepada kepimpinan sekolah kerana kunci pelaksanaannya terletak ditangannya iaitu guru besar atau pengetua sekolah. Saya bersetuju dengan pendapat penulis bahawa guru perlu menjadi pelopor kepada penghayatan pendidikan sepanjang hayat. Ia adalah kerana guru adalah individu yang penting untuk membangunkan komuniti seiring dengan peranan ketua kampung dan penghulu mukim. Mereka dilihat lebih memahami keperluan masyarakat malah lebih dekat dengan ibu bapa dan penjaga murid sekolah. Kepimpinan sekolah tidak perlu mengorbankan peranan sekolah terhadap pendidikan formal. Kesimpulannya, Pembelajaran Sepanjang Hayat sangat dialualukan oleh semua masyarakat tetapi sedikit sebanyak ia merupakan cabaran baru kepada peranan guru untuk memperjuangkan masalah buta huruf dalam kalangan orang dewasa.

(iii)

Artikel 3

: Pendorong Guru-Guru Teknikal Bukan Siswazah

Faktor-Faktor

Menyambung Pengajian Memiliki Ijazah Artikel ini membincangkan tentang beberapa faktor yang mendorong guruguru teknikal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Artikel ini merupakan suatu kajian yang dibuat kepada beberapa orang guru di Universiti Teknologi Malaysia. Menurut penulis, Melanjutkan pelajaran adalah suatu beban yang amat berat bagi guru-guru teknikal terutama yang telah berkeluarga, menangggung beban hutang yang banyak, merasakan keupayaan ingatannya yang telah berkurangan, persediaan pendidikan asas yang berkurangan dan sebagainya. Dalam keadaan yang sedemikian, namun masih ramai guru-guru teknikal yang terpaksa bersaing sesama sendiri dan tidak melepaskan peluang untuk memohon apabila tawaran dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dalam pelbagai program pengajian. Saya

bersetuju dengan pendapat penulis kerana menyambung semula pelajaran bagi guru-guru yang sudah bekeluarga terutamanya wanita memang sangat

membebankan dan memerlukan kekuatan mental yang tinggi. Seterusnya penulis membincangkan faktor-faktor tersebut berdasarkan kajian yang telah dijalankan. Faktor pertama yang mendorong guru-guru bukan siswazah teknikal untuk melanjutkan pelajaran dan memiliki ijazah ialah ahli-ahli keluarga sebagai pendorong kuat kepada responden untuk menyambung pengajian. Penulis juga menyatakan bahawa kebanyakan responden yang menyambung pengajian adalah mereka yang beristerikan atau bersuamikan guru kerana faktor kesefahaman dalam kerjaya tersebut. Faktor kedua adalah kerana melihat rakan-rakan yang berjaya

menamatkan pengajian dan mendapat pangkat yang lebih tinggi. Ketiga, motivasi yang ada pada diri sendiri menjadi dorongan kepada responden untuk menyambung pengajian. Selain itu, faktor sumber kewangan yang mencukupi juga merupakan motivasi kepada diri responden dimana mereka yakin telah mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk digunakan sepanjang tempoh pengajian. Faktor yang mendapat respon juga adalah disebabkan bosan dengan situasi sekolah. Keadaan ini biasanya berlaku apabila perkhidmatan seseorang guru yang begitu lama dalam sesebuah sekolah serta faktor persekitaran dalaman dan luaran sekolah. Mohd Salleh (2000) menyatakan guru tidak berpuas hati untuk berkhidmat lebih lama dengan kerjaya perguruan kerana keadaan sekolah dan persekitarannya yang tidak memuaskan. Mereka kecewa dan membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Menurut penulis, guru yang bermotivasi belajar juga adalah mereka yang merasakan ada kelemahan dan kekurangan ilmu pada diri mereka. Guru perlu berubah, membaiki kelemahan diri menjadi orang yang berilmu dan menyampaikan ilmu-ilmu yang terbaru. Ini bertepatan dengan kajian Hadzri Harun (1999), mendapati guru-guru sanggup melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan ilmu bagi memajukan diri dan menjadi lebih profesional dalam bidang perguruan. Mereka datang untuk membaiki segala kekurangan dan kelemahan ilmu supaya menjadi lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan, membaiki kecekapan diri dan untuk memberi kemanfaatan kepada bidang pendidikan. Cabaran-cabaran ini patut disahut

10

oleh semua insan yang bergelar guru. Dalam usaha untuk berfungsi sebagai role model kepada murid, kaum guru sendiri harus lebih maju dari muridnya. Berdasarkan hasil dapatan penulis, saya kurang bersetuju dengan faktor utama yang diperolehi iaitu kerana dorongan keluarga. Pada masa sekarang, kementerian telah mewajibkan semua guru yang belum memiliki ijazah untuk menyambung pengajian dimana-mana universiti yang mengambil bahagian. Pada pendapat saya, faktor utama seharusnya kerana tuntutan kementerian pendidikan untuk mewajibkan guru-guru dan bukan kerana dorongan keluarga. Dorongan keluarga adalah faktor kedua. Walau bagaimanapun, faktor-faktor lain yang dibincangkan adalah bersesuaian sebagai faktor-faktor lain yang menggalakkan guru-guru melanjutkan pengajian. Kesimpulannya, tugas utama guru adalah sebagai pendidik maka tidak perlu dipersoalkan jika kementerian mewajibkan semua guru sekolah rendah wajib memiliki ijazah kerana selain untuk memartabatkan profesion keguruan ia juga adalah untuk meningkatkan lagi kemahiran guru dalam bidang yang diceburinya.

(iv)

Jurnal 4

Peranan Guru Membina Murid Menghadapi Cabaran Wawasan 2020 Jurnal ini membincangkan peranan Guru Membina Murid Menghadapi Cabaran Wawasan 2020. Saya mendapati isu yang dibangkitkan adalah sangat menarik kerana penulis telah menyedarkan kita bahawa sekolah dan semua anggota termasuk guru besar, pengetua, guru, murid dan kakitangan adalah sebagai sebuah rumah tangga dan sebuah keluarga besar. Asas yang menjadi citra dan intipati sebuah rumah tangga yang pertama dan utama ialah kasih sayang. Bagi menjayakan sekolah penyayang yang penuh dengan perasaan kemanusiaan, kebajikan, kerjasama, hormat menghormati, ikram, berbudi bahasa dan seterusnya, guru-guru perlu mempunyai tanggapan yang betul dan positif tentang setiap anak didik yang berada di sekolah. Jika para pendidik melihat anak-anak dengan cara positif atau memikirkanya dengan cara positif, hasilnya akan jadi positif (Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin, 1993). Penulis banyak menyatakan peranan sekolah sebagai sebuah tempat yang, sekolah yang penuh kasih sayang dan tempat yang sesuai untuk menimba ilmu. Itu memang tidak dinafikan. Malah ada yang menganggap

11

sekolah adalah sebuah institusi keluarga yang lebih berkesan berbanding rumah sendiri. Jurnal ini juga membincangkan peranan lain selain peranan guru dalam membina murid yang dapat menghadapi Wawasan 2020. Antaranya ialah peranan subjek pendidikan Islam dan pengaruh keluarga. Pada pendapat saya, penulis perlulah membincangkan peranan guru sahaja dan bukannya peranan mata pelajaran atau keluarga. Dua perkara itu boleh diketengahkan sebagai faktor sampingan sahaja tetapi bukan sebagai peranan utama bagi artikel ini. Walau bagaimanapun, artikel ini masih menarik dan berilmu pengetahuan untuk dibaca selain sumber rujukan kepada mereka yang ingin mengkaji peranan guru dalam usaha membina anak bangsa. Menurut penulis, sekolah yang diwakili oleh guru dipertanggungjawabkan oleh masyarakat untuk membantu, memupuk dan

mengukuhkan sahsiah anak mereka. Pada masa yang sama sekolah hendaklah memberi mereka pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi berbagai cabaran hidup dengan berkesan dan seterusnya dapat menyesuaikan diri, memperbaiki lagi sahsiah, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang akhirnya akan dapat menyumbang kepada keharmonian dan pembangunan masyarakat dan negara. Guru juga perlu menyedari bahawa keluarga mempunyai pengaruh yang besar terhadap ciri rohani, intelek, emosi dan jasmani setiap murid. Oleh itu, guru perlu mengenal pasti ciri atau potensi muridnya secara terperinci, memotivasikan mereka untuk mengembangkan ciri atau potensi yang positif ketahap maksimum dan secara beransur-ansur mempengaruhi mereka untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan ciri negatif warisan keluarga mereka. Manakala dari segi peranan mata pelajaran Pendidikan Islam pula, penekanan kepada moral dan nilai direalisasi dengan menjadikan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai mata pelajaran wajib adalah selaras dengan Wawasan 2020. Penekanan ini diharapkan masyarakat Malaysia dalam abad ke-21 bukan sahaja mampu berdaya saing dalam negara perindustrian, tetapi juga mempamer ciri-ciri sahsiah yang cemerlang. Penerapan nilai-nilai murni dibuat melalui pendekatan pendidikan nilai merentasi kurikulum, termasuk kurikulum tersirat.

12

Penulis juga membincangkan peranan guru yang dapat membina watak anak bangsa. Menurut mereka, guru perlu sentiasa menyedari bahawa teori dan ilmu pengetahuan hanya akan berfaedah kepada muridnya apabila ia diseimbangkan dengan amalan. Latihan yang mencukupi diperlukan memastikan sesuatu praktis atau amalan muridnya mencapai tahap cemerlang. Saya menyokong pendapat penulis apabila mereka merumuskan bahawa Sesuatu ilmu dan amalan itu akan bermakna kepada murid apabila mereka memahami faedah ilmu dan amalan ilmu dalam kehidupan seharian mereka dan kesan buruk jika tidak mempunyai ilmu dan amalan berkenaan. Manakala semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan potensi mereka dari segi rohani, intelek, emosi dan jasmaninya dilibatkan secara aktif. Selain itu, murid mampu atau berupaya menerima ilmu dan melakukan amalan yang disediakan oleh guru. Kesan kepada guru ialah guru dapat mengekalkan pengaruhnya terhadap muridnya melalui kemantapan ilmu dan kemahiranya juga mempunyai ciri sahsiah yang boleh dicontohi, dan maklumat, pengetahuan dan ilmu yang disampaikan dapat difahami isi kandunganya tanpa keraguan dan pada masa yang sama memahami cara atau kaedah dan kemahiran untuk mengaplikasikan maklumat, pengetahuan dan ilmu tersebut dalam pelbagai situasi kehidupan sebenar mereka. Jurnal ini turut membincangkan kualiti peribadi guru yang pada pendapat saya memang merupakan peranan utama dalam membina modal insan. Menurut penulis, apabila kita ingin memperbaiki akhlak murid, perbincangan secara serius tentang akhlak / kualiti peribadi guru juga adalah perlu. Ini kerana guru merupakan sumber kepada murid dalam semua perkara untuk mendapatkan ilmu dan semangat, juga sumber untuk dicontohi dalam pembinaan akhlak yang baik. Guru perlu mempunyai kebersihan peribadi daripada segala kejelekan sama ada dari segi percakapan, tindakan atau perasaan. Guru juga perlu memiliki budi pekerti yang bebas daripada perasaan dengki, takabur, riya, tamak, pemarah dan sebagainya. Hatinya hendaklah sentiasa ikhlas dalam menjalankan tugas kerana keikhlasan seseorang itu sering kali jelas tergambar melalui cara ia bertindak. Perbuatan pula haruslah dapat menggambarkan apa yang diucap, di samping sentiasa mempunyai keinginan untuk menambah dan mendalami ilmu. Kesimpulannya, guru perlu ada kemampuan untuk menilai kecenderungan dan kegemaran seseorang murid supaya dapat memudahkannya membentuk murid dengan menggunakan cara dan bahan 13

yang sesuai selain mempunyai sifat amanah dalam menjalankan tugas dan terhadap ilmu. Dengan adanya sifatsifat ini akan terhasillah tugas kerja yang sempurna, prestasi yang sentiasa meningkat dan pencampaian yang memuaskan sama ada terhadap dirinya, murid, pihak pentadbir atau pengurus.

(v)

Jurnal 5

Faktor-Faktor Mendorong Stres Dalam Kalangan Guru-Guru Yang Mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) Sepenuh Masa Jurnal ini membincangkan tentang faktor-faktor yang menyebabkan stres dalam kalangan guru yang melanjutkan pelajaran secara sepenuh masa. Jurnal ini merupakan cabaran seseorang yang bergelar guru kerana terpaksa menyambung pelajar demi untuk memantapkan pengetahuan dan pendidikan. Menurut penulis, guru PKPG terpaksa menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan seperti terpaksa meninggalkan keluarga, mendapat separuh gaji setiap bulan, menghabiskan masa untuk belajar dan membuat tugasan serta pelbagai lagi cabaran lain. Cabaran ini akhirnya menjurus kepada stres. Stres yang melebihi tahap tertentu sekiranya tidak dikawal akan mewujudkan pelbagai masalah kepada setiap. Saya bersetuju bahawa guru-guru perlu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kerana guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajui negara. Sejajar dengan itu, kemahiran dan pengetahuan mengenai kaedah-kaedah pendidikan harus diperkemaskan dari semasa ke semasa. Namun, stres akan dialami dalam pelbagai keadaan seperti rasa kesunyian, kurang tidur, keresahan serta kebimbangan yang tinggi. Oleh itu, stres boleh menyebabkan kehidupan dan pergaulan seharian seseorang guru PKPG terjejas sehingga memberikan impak yang negatif. Kaedah kajian yang digunakan oleh penulis/pengkaji adalah soal selidik kerana ia lebih mudah, menjimatkan masa dan dapat menyimpan maklumat bertulis dengan lebih lama. Seterusnya, penulis membincangkan hasil dapatan kajian penulis berdasarkan lima faktor utama punca stres guru yang belajar sepenuh masa iaitu faktor hubungan kekeluargaan, faktor persekitaran pembelajaran, faktor kewangan, faktor pengurusan masa, faktor pengurusan pelajar, faktor kemahiran belajar. Menurut penulis, guru-guru berasa tertekan kerana mereka tinggal

14

berjauhan dari keluarga. Mereka terpaksa menjalankan kehidupan seharian tanpa keluarga dan rasa keseorangan tanpa anak-anak dan suami/isteri. Selain itu, stres juga berlaku kerana mereka terbeban di antara komitmen di rumah dan komitmen sebagai pelajar. Bagi faktor persekitaran pembelajaran pula, stres tejadi kerana

mereka menghadapi masalah apabila menjalankan tugasan secara berkumpulan. Mereka juga tertekan dengan sikap segelintir rakan sekelasnya manakala selebihnya berasa tempat tinggal mereka kurang selesa untuk mengulangkaji pelajaran. Dari segi faktor kewangan, didapati stres berpunca kerana mereka hanya mendapat pendapatan separuh gaji dan merunsingkan mereka untuk memenuhi kehendak diri dan keluarga. Kebanyakan mereka banyak menanggung beban hutang rumah, kereta dan keperluan keluarga. Faktor pengurusan masa pula memberikan mereka suatu tekanan, penat dan rungsing akibat kekurangan masa rehat. Saya bersetuju dengan masalah itu kerana guru-guru mungkin sudah terbiasa membahagikan masa kerja mengikut jadual iaitu semasa dirumah dan di sekolah tetapi apabila beralih kepada dunia baru, mereka mungkin berasa masa itu terlalu pantas sedangkan mereka perlu menyiapkan tugasan, mengikuti kuliah dan menjalankan kajian di tempat lain. Kemahiran belajar amat penting bagi mereka yang tidak mahu dibebani dengan bahan bacaan. Namun, kemahiran belajar itu merupakan sutu beban kepada guru-guru ini kerana mereka mempunyai masalah dalam Kemahiran Belajar. Menurut penulis, guru-guru itu risau dengan gaya pembelajaran mereka yang kurang berkesan. Manakala ada yang berasa rendah diri apabila membandingkan keputusan dengan rakan-rakan dalam peperiksaan atau ujian. Saya bersetuju dengan perasaan rendah diri yang akan dialami oleh guru-guru ini kerana mungkin masalah mereka ialah tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kuliah. Perkara yang dibincangkan penulis sungguh jelas bahawa faktor-faktor mengakibatkan stres memang banyak dialami oleh guru-guru yang belajar sepenuh masa berbanding separuh masa. Pada pandangan saya, pembelajaran sepenuh masa tidak relevan untuk ditawarkan kepada mereka yang telah berkeluarga atau menampung perbelajaan keluarga kerana ia bukan hanya memberikan stres kewangan tetapi juga stres dalam pembelajaran. Tiada gunanya guru-guru ini menyambung pelajaran sekiranya mereka tidak dapat memberi perhatian

sepenuhnya kepada pelajaran dan hanya mengundang kesihatan mental. Secara 15

keseluruhannya faktor kemahiran belajar berada ditahap stres sederhana. Rumusan yang dapat dibuat berdasarkan dapatan kajian adalah faktor kemahiran belajar merupakan faktor sampingan yang mendorong stres dalam kalangan guru PKPG yang menyambung pengajian sepunuh masa di Universiti Teknologi Malaysia.

(vi)

Artikel 6 Isu Dan

: Cabaran Terhadap Guru Berkaitan Dengan Teknologi

Instruksional Artikel ini membincangkan kepentingan ini maka isu dan cabaran terhadap guru yang berkaitan teknologi instruksional wajar diperbincangkan dengan teliti. Terdapat enam isu yang akan dihuraikan. Saya tertarik dengan isu yang dikemukakan penulis iaitu tentang bahan pengajaran menggunakan teknologi instruksional dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Menurut penulis, terdapat tiga bahan pertama dihasilkan oleh Habibah Hj. Lateh dan Arumugam Raman. Bahan kedua dihasilkan oleh Baharuddin Aris, Maizah Hura Ahmad, Kok Boon Shiong, Mohamad Bilal Ali, Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2006. Bahan ketiga dihasilkan oleh Ahmad Fauzi Mohd Ayub, Tengku Mohd Tengku Sembok dan Wong Su Luan dari Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengkaji keberkesanan pembelajaran kalkulus menggunakan koswer Mastering Calculus Computer Courseware (MACCC) berbanding kaedah tradisional. Penggunaan koswer MACCC yang lebih mengutamakan pembelajaran masteri iaitu melibatkan ekplorasi pelajar seperti bermain sambil belajar telah menyebabkan penggunaan koswer MACCC mencapai keputusan jauh lebih baik berbanding kaedah tradisional. Selain itu juga koswer MACCC mempunyai modul bagi membuat diagnostik terhadap pelajar. Isu kedua ialah tahap pengetahuan guru sememangnya boleh mempengaruhi penggunaan teknologi instruksional. Saya bersetuju dengan pernyataan penulis bahawa semakin meningkat ilmu pengetahuan komputer guru, akan meningkatkan juga penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran guru. Penulis juga telah mengkaji artikel yang dikeluarkan oleh penulis sebelum ini dan membuktikan keputusan kajian adalah seperti yang diperolehinya. Isu ketiga ialah sejauh manakah sikap positif guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi intruksional dalam

16

proses pembelajaran dan pengajaran. Hasil analisis data mendapati sikap positif guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional dalam pengajaran dan pembelajaran (Abdul wahab et al., 2006, p. 218). Berdasarkan jurnal yang dibuat oleh Habibah Lateh dan Vasugiammai Muniandy mengenai cabaran dan potensi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam pendidikan di Malaysia telah mendapati kekuatan bagi menggalakkan penggunaan GIS di sekolah sangat dipengaruhi oleh kemudahan makmal komputer yang lengkap, bilangan komputer yang semakin meningkat di sekolah-sekolah dan teknologi VSAT iaitu kemudahan internet di kawasan pendalaman (Habibah dan Vasugiammai, 2011, p. 50). Perbincangan seterusnya ialah untuk melihat pengaruh sokongan pentadbir sekolah dalam meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Menurut penulis, beliau

mendapati bahawa peluang bagi meningkatkan penggunaan GIS di sekolah sangat dipengaruhi oleh sokongan pentadbir sekolah pendalaman (Habibah dan

Vasugiammai, 2011, p. 50). Jelasnya di sini, sokongan pentadbir sekolah amat berpengaruh dalam menjayakan penggunaan teknologi instruksional di sekolah. Isu terakhir ialah pada masa akan datang teknologi instruksional akan mendominasi bukan sahaja bidang pendidikan, malahan akan turut mempengaruhi sektor perdagangan dan industri. Perubahan dunia yang mahukan segalanya cepat dan mudah sangat memerlukan penggunaan teknologi instruksional yang efisien. Malahan menurut Merrill dan Wilson (2007, p. 336) di universiti tempatnya bekerja mengambil profesor kimia bukan berdasarkan pengalamannya bekerja atau ilmu pedagogi yang dimilikinya tetapi sebaliknya mengambil profesor kimia itu berkerja berdasarkan bagaimana cara mengajar dan mereka bentuk teknologi instruksional tentang apa yang hendak diajar. Perbincangan artikel ini sebenarnya adalah berkaitan dengan penggunaan teknologi komputer. Penggunaan teknologi tersebut merupakan cabaran guru pada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran pada hari ini. Namun, leboh menarik jika penulis membincangkan penggunaan teknologi Instruksional pada masa pengajaran akan datang. Ia mungkin akan dapat melihat perbandingan yang lebih ketara tentang isu dan cabaran guru mengenai penggunaan teknologi. Walaupun saya kurang arif dengan penggunaan teknologi, tetapi apabila membaca isu yang diketengahkan penulis, saya terdorong untuk memastikan saya juga dapat memahirkan diri untuk menggunakan teknologi Instruksional dalam sesi pengajaran saya di kelas. 17

RUJUKAN Ahmad Ali Seman, Zahara Aziz, Abdul Razaq Ahmad. Keberkesanan Pendekatan Berasaskan Kepelbagaian Budaya Terhadap Integrasi Nasional Dalam Mata Pelajaran Sejarah (The Effectiveness Of Multicultural Based Approach On National Integration In History Subject) . Prosiding Seminar Penyelidikan Siswazah UkmAzizi Yahaya et al. (2007). Menguasai Penyelidikan dalam Pendidikan. Johor: Universiti Teknologi Malaysia. Aziz Nordin dan Mohamad Arif Abdul Rani (1995). Cabaran Kepada Guru Yang Memasuki Universiti Teknologi Malaysia Secara Terus Dan Melalui Program Kembar. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Teknik Dan Kejuruteraan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia,. 115 126. Baharin Bin Abu & Hamiza Binti Mohd Salleh @ Yaakob. Faktor-Faktor

Mendorong Stres Dalam Kalangan Guru-Guru Yang Mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru (Pkpg) Sepenuh Masa, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia. Cheah Boon Kheng, (2002). Malaysia : The Making of a Nation. Singapore: Institute of Southeast Asian Studies. Badriyah Salleh, (1998). Dari Komuniti Etnik Kepada Satu Bangsa. Jurnal Ilmu Kemanusiaan, 5:1-21

Dworkin, Ronald. (2001). Menganggap Serius Masalah Hak. Dlm Larry May dan Shari Colins-Chobanian, Etika Terapan: Sebuah Pendekatan Multikultura, Terjemahan: Sinta Carolina dan Dadang Rusbiantoro, Yogyakarta: Tiara Wacana. Habibah Hj. Lateh., & Arumugam Raman. (2005). Web-based map reading in Geography. Diperoleh pada 10 Januari 2011, sumber dari http://pppjj.usm. my/mojit/articles/pdf/Dec05/12- A_STUDY_ON_THE_USE_OF_ INTERACTIVE_WEB_BASED_1-final.pdf Habibah Hj. Lateh., & Vasugiammai Muniandy. (2011). GIS dalam pendidikan geografi di Malaysia : Cabaran dan potensi. Diperoleh pada 14 Februari 2011,

18

sumber

dari

http://pkukmweb.ukm.my/geografia/images/upload/4.2011-1-

habibah lateh-melayu-4.pdf Ismail Abas, Ph.D. Peranan Guru Membina Murid Menghadapi Cabaran Wawasan 2020 .Jabatan Pengajian Islam Dan Moral. Kulanz Salleh, 2010. Perbezaan Individu http://kulanzsalleh.com/perbezaanindividu/ Accesed on 10 Ogos 2010. Kymlicka , W. (1999). Education for citizenship. Dlm. Halstead dan T.H. McLaughlin, (pnyt.) Education and Morality, London:Routledge. Mahmood Nazar Mohamed. 2001. Pengantar psikologi: satu pengenalan asas kepada jiwa dan tingkah laku manusia. Kuala Lumpur: Dewan Bahsa dan Pustaka. Mayer, J. D. & Salovey, P. 1993. The intelligence of emotional intelligence. Manual Promosi Kesihatan Mental: Kempen Cara Hidup Sihat 2000. Kementerian Kesihatan Malaysia. Muhammad Sukri Saud & Norhisham Monil.Faktor-Faktor Pendorong Guru-Guru Teknikal Bukan Siswazah Menyambung Pengajian Memiliki Ijazah Universiti Teknologi Malaysia. Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), Murid dan Alam Belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd. Ramlan Bin Zainal Abidin, Dr. Ahmad B. Esa & Prof. Dr. Wan Mohd. Rashid B. Wan Ahmad. (2008). Pendidikan Sepanjang Hayat: Isu,Cabaran Dan Peranan Sekolah Membangun Modal Insan Dalam Komuniti Setempat .Fakulti Pendidikan Teknikal Tajul Ariffin Mohd. Noordin & Nor Aini Dan (1992). Pendidikan dan wawasan 2020. Kuala Lumpur : Arena Ilmu Sdn. Bhd. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. (1993). Wawasan pendidikan: Agenda pengisian. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

19

You might also like