Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

PENGGUNAAN KAEDAH PEMBELAJARAN STESEN UNTUK MENINGKATKAN PRESTASI DAN MINAT MURID-MURID TAHUN EMPAT DALAM TOPIK FANTASTIC

MATERIALS Oleh: WONG YONG SUN CHIN CHEE KEONG INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TUANKU BAINUN wongyongsun@yahoo.com ABSTRAK Kajian ini bertujuan untuk meninjau sama ada kaedah pembelajaran stesen dapat meningkatkan prestasi dan minat murid-murid Tahun Empat dalam topik Fantastic Materials. Kajian ini melibatkan 6 orang murid kelas 4M Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lay Keow, Permatang Pauh, Pulau Pinang. Ujian pra dan ujian pasca, soal selidik, temu bual, dan pemerhatian merupakan instrumen untuk mengumpul data kajian tindakan ini. Hasil kajian mendapati kaedah pembelajaran stesen berjaya meningkatkan pencapaian murid-murid dalam topik Fantastic Materials. Min markah bagi ujian pra murid ialah 42%, manakala ujian pasca ialah 78%. Nilai min telah meningkat sebanyak 36%. Murid-murid juga memberi maklum balas yang baik kepada kaedah pembelajaran stesen melalui soal selidik. Dalam temu bual, selain dapat menjawab soalan yang dikemukakan dengan tepat, murid-murid juga memberi komen positif terhadap kaedah pembelajaran stesen. Murid-murid mempamerkan lebih banyak tingkah laku positif dalam kaedah pembelajaran stesen berbanding tingkah laku negatif. Oleh itu, boleh membuat kesimpulan bahawa kaedah pembelajaran stesen berkesan dalam meningkatkan prestasi dan minat murid terhadap topik Fantastic Materials. 1.0 REFLEKSI PENGAJARAN & PEMBELAJARAN Semasa praktikum, saya melibatkan semua murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, namun saya mendapati ada beberapa orang murid yang sangat pasif. Saya berbincang dengan pensyarah pembimbing dan guru pembimbing unuk mendapat pandangan mereka terhadap masalah ini. Mereka mencadangkan saya untuk melaksanakan kaedah pembelajaran koperatif. Setiap kumpulan harus merangkumi murid-murid yang aktif dan pasif. Pembahagian tugas boleh dilakukan agar semua ahli kumpulan melaksanakan tugas masing-masing. Saya melaksanakan cadangan-cadangan yang diberikan, namun saya mendapati masalah ini masih tidak dapat diatasi. Tambahan pula, saya berasa sukar untuk memberi tumpuan penuh kepada murid-murid yang pasif kerana pada masa yang sama, saya perlu memberi perhatian kepada murid lain. Selain itu, tahap pembelajaran setiap murid juga berbeza. Perhatian perlu diberi kepada murid-murid yang berprestasi lemah kerana jika tidak, lama-kelamaan mereka akan ketinggalan dalam pelajaran. Selain itu, strategi pengajaran dan pembelajaran juga perlu menepati minat murid. Dengan ada minat yang tinggi, barulah murid-murid melibatkan diri dalam pengajaran secara aktif. 2.0 FOKUS KAJIAN Berdasarkan refleksi pengajaran dan pembelajaran yang lepas, saya memfokuskan kepada meningkatkan prestasi dan minat pembelajaran murid-murid melalui pembelajaran stesen. Segala instrumen yang dibentuk adalah bertujuan khusus kepada menguji sama ada prestasi dan minat murid-murid dapat ditingkatkan melalui pembelajaran stesen. OBJEKTIF KAJIAN Objektif kajian ini ialah: a) meningkatkan prestasi 6 orang murid yang lemah dalam topik Fantastic Materials melalui kaedah pembelajaran stesen . b) meningkatkan minat 6 orang murid terhadap topik Fantastic Materials melalui kaedah pembelajaran stesen.

3.0

4.0

KUMPULAN SASARAN Seramai 6 orang murid terlibat dalam kajian ini, 3 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Murid-murid kumpulan sasaran saya merupakan murid kelas 4M, kelas yang paling cemerlang di Tahun 4. Mereka memperoleh markah yang paling rendah dalam ujian pra topik Fantastic Materials. PROSEDUR TINDAKAN PELAKSANAAN TINDAKAN

5.0 5.1

5.1.1 Langkah Pertama : Pengajaran Kaedah Tradisional Saya akan menerangkan apakah sifat lut sinar, lut cahaya, dan legap. Selain itu, saya juga akan mengajar murid-murid bagaimana mengelas objek mengikut ketiga-tiga sifat di atas. Demonstrasi untuk menunjukkan objek-objek yang lut sinar, lut cahaya, dan legap juga akan dibuat menggunakan lampu suluh. 5.1.2 Langkah Kedua : Mengumpul data awal (Ujian Pra) Selepas pengajaran tradisional, saya menjalankan ujian pra untuk menguji kefahaman murid terhadap topik Fantastic Materials. Ujian pra mengandungi 15 soalan objektif dan 2 soalan struktur. 5.1.3 Langkah Ketiga : Mengenalpasti kumpulan sasaran Berdasarkan keputusan murid-murid dalam ujian pra, saya mengenalpasti kumpulan sasaran saya. 6 orang murid yang memperoleh pencapaian paling rendah dalam ujian pra dipilih untuk menyertai pembelajaran stesen. 5.1.4 Langkah Keempat : Kaedah Pembelajaran Stesen Dalam pembelajaran stesen, sebanyak 2 kumpulan akan dibentuk, yang mana setiap kumpulan mempunyai 3 orang. Sebanyak 3 stesen akan disediakan, iaitu stesen lut sinar, stesen lut cahaya, dan stesen legap. Maklumat dipaparkan di setiap stesen. Murid-murid perlu membaca maklumat, menjawab soalan, dan membuat ujikaji menggunakan bahan-bahan dan lampu suluh. Masa yang diberi untuk menyempurnakan tugas di setiap stesen ialah lima minit. Selepas mengunjungi kesemua stesen, setiap kumpulan dikehendaki membentangkan jawapan. Perbincangan dijalankan untuk membantu murid-murid memperkukuh ilmu yang dipelajari. Sebarang konsep yang salah juga dibetulkan. 5.1.5 Langkah Kelima : Mengumpul data (Ujian pasca, soal selidik, temu bual) Murid-murid mengambil ujian pasca. Keputusan murid-murid dalam ujian pasca menunjukkan sama ada kaedah ini dapat meningkatkan prestasi murid-murid dalam topik Fantastic Materials atau tidak. Ujian pasca mengandungi 15 soalan objektif dan 2 soalan struktur. Semua responden juga menjawab soal selidik untuk menilai pandangan mereka terhadap pembelajaran stesen. Selain itu, saya juga menjalankan temu bual dengan responden saya untuk mendengar pandangan mereka terhadap pembelajaran stesen. 5.2 CARA MENGUMPUL DATA

5.2.1 Ujian Pra dan Ujian Pasca Semua murid 4M menduduki ujian pra. Markah ujian pra akan digunakan untuk memilih 6 orang murid yang memperoleh pencapaian yang paling rendah untuk menjalani kaedah pembelajaran stesen. Ujian pasca pula dapat menentukan sama ada kaedah ini dapat meningkatkan prestasi murid-murid dalam topik Fantastic Materials. 5.2.2 Soal selidik Sebanyak 8 soalan disediakan. Soalan-soalan ini merangkumi dua kriteria. Kriteria pertama meninjau sama ada kaedah pembelajaran stesen dapat meningkatkan prestasi murid-murid, sementara kriteria kedua mengkaji minat murid terhadap kaedah pembelajaran stesen. 5.2.3 Temu bual Saya menyediakan temu bual berstruktur. Bahagian pertama berfokus kepada minat murid-murid terhadap kaedah pembelajaran stesen, manakala bahagian kedua dan ketiga adalah berkaitan dengan ilmu yang dipelajari.

5.2.4 Pemerhatian Pemerhatian terhadap murid-murid dibuat melalui rakaman video menggunakan kamera. Semasa memerhati minat dan tingkah laku murid-murid, saya mencatat tingkah laku murid dalam jadual pemerhatian. 5.3 PEMERHATIAN/PENILAIAN YANG DIJALANKAN Berdasarkan dapatan kajian saya, kaedah pembelajaran stesen dapat meningkatkan pencapaian murid dalam topik Fantastic Materials. Min ujian pra adalah sebanyak 42%, namun dalam ujian pasca, min telah meningkat sebanyak 36% kepada 78%. Semua murid menunjukkan peningkatan markah dalam ujian pasca. Dalam temu bual, murid-murid dapat mengenalpasti sifat penembusan cahaya yang terdapat pada sesuatu objek dengan betul. Mereka juga dapat memberi contoh objek berdasarkan sifat lut sinar, lut cahaya, dan legap. Melalui soal selidik, murid-murid bersetuju bahawa pembelajaran stesen dapat meningkatkan penguasaan terhadap ilmu yang dipelajari. Dapatan kajian juga menunjukkan kaedah pembelajaran stesen dapat meningkatkan minat murid terhadap topik Fantastic Materials. Melalui rakaman video, saya mendapati murid-murid menunjukkan lebih banyak tingkah laku positif berbanding tingkah laku negatif dalam pembelajaran stesen. Dalam temu bual, murid-murid juga menyatakan pembelajaran stesen sangat seronok dan memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari ilmu dengan lebih mendalam. Hasil soal selidik juga menunjukkan murid-murid bersetuju pembelajaran stesen menjadikan pembelajaran Sains lebih menarik. Mereka dapat terlibat secara aktif dalam pembelajaran stesen. Kajian ini menyokong kajian yang dijalankan oleh Sarah (2002) yang telah mengasaskan projek CHILD (Changing How Instruction for Learning is Delivered ). Beliau mendapati projek CHILD yang menekankan pembelajaran stesen berjaya meningkatkan prestasi murid-murid dalam ujian, mengurangkan masalah disiplin murid serta menunjukkan minat pembelajaran yang tinggi. Kajian Sharifah (2006) pula menunjukkan kaedah pembelajaran stesen dapat meningkatkan penguasaan kemahiran membaca 22 orang murid Tahun Dua Bestari di SK Taman Rasah Jaya. Keseluruhannya, dapatan kajian membuktikan bahawa kaedah pembelajaran stesen dapat meningkatkan prestasi dan minat murid-murid Tahun 4 terhadap topik Fantastic Materials. Walaupun kajian ini tidak dapat mewakili semua murid Tahun 4 di Malaysia, namun kajian ini diharap dapat memberi panduan kepada guru-guru lain yang ingin menjalankan kaedah pembelajaran stesen pada masa yang akan datang. Seiring dengan perubahan masa, guru haruslah melengkapkan diri dengan ilmu pedagogi terkini agar dapat menyampaikan ilmu dengan kaedah yang lebih menarik. 6.0 CADANGAN KAJIAN Kajian ini boleh dilaksanakan dalam dua kitaran. Dalam kitaran 1, murid-murid memasuki kumpulan yang ditetapkan untuk memberi peluang kepada mereka belajar bagaimana bekerjasama dengan murid yang lain. Dalam kitaran 2 pula, murid-murid diberi kebebasan memilih ahli kumpulan kerana mereka boleh bekerjasama lebih baik dengan rakan-rakan karib mereka. Bilangan responden yang terlibat dalam kajian juga boleh bertambah. Dalan hal ini, kajian boleh melibatkan semua murid di kelas. Cara ini dapat meningkatkan kebolehpercayaan kajian. Dalam kajian ini, saya menyediakan soalan dalam bahasa Inggeris. Namun, saya mendapati banyak murid tidak memahami soalan ujian yang ditanya. Oleh itu, dalam kajian seterusnya, soalan ujian boleh disediakan secara bilingual, iaitu menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina untuk membolehkan murid-murid memahami soalan yang dikemukakan. Selain itu, soalan juga boleh disediakan berpandukan pecahan aras kesukaran yang sesuai agar dapat mencabar pemikiran murid. Temu bual yang saya jalankan sebelum ini ialah temu bual berstruktur. Bilangan soalan terbuka boleh ditambah dengan meminta murid-murid memberi cadangan bagaimana melaksanakan kaedah pembelajaran stesen dengan lebih baik. Di samping itu, temu bual juga boleh dijalankan sebelum kaedah pembelajaran stesen untuk membandingkan prestasi dan minat pembelajaran murid terhadap sesuatu topik dengan lebih jelas sebelum dan selepas menjalani pembelajaran stesen. Saya mendapati item-item soal selidik yang berkaitan dengan kriteria ilmu tidak begitu sesuai untuk mengesan sama ada murid-murid dapat meningkatkan prestasi mereka dalam topik Fantastic Materials. Oleh itu, soalan berkaitan sifat penembusan cahaya boleh dikemukakan untuk mengenalpasti tahap pemahaman murid terhadap topik ini dengan lebih lanjut. Soal selidik juga boleh dijalankan sebelum

kaedah pembelajaran stesen untuk membandingkan prestasi dan minat pembelajaran murid terhadap sesuatu topik sebelum dan selepas menjalani pembelajaran stesen. 7.0 RUJUKAN Arends, R. I. (2000). Learning to Teach (Fifth edition). USA: McGrawHill Higher Education. Bowman, S. L. (2005). The Gallery Walk: An Opening, Closing, and Review Activity. Dimuatturun 3 April 2013 daripada http://www.bowperson.com/BOWPERSON/ GalleryWalk.pdf Butzin, S. M. (2002). Project CHILD (Changing How Instruction for Learning is Delivered) The Perfect Fit for Multimedia Elementary Schools. Dimuatturun 17 September 2013 daripada http://www.infotoday.com/ mmschools/nov02/butzin. htm Evans, D. N. & Hellmut, R. L. (2006). Models, Strategies and Methods for Effective Teaching. USA: Pearson Education, Inc. Facing History and Ourselves. (2013). Gallery Walk Teaching Strategy. Dimuatturun 2 April 2013 daripada http://www.facinghistory.org/resources /strategies /gallery-walk-teaching-strateg Fauziah binti Ahmad, Parilah binti Mohd Shah & Samsuddeen bin Abdul Aziz. (2005). Choice of Teaching Methods: Teacher-centred or student-centred. Jurnal Penyelidikan Pendidikan, 7, ms 57 63. Gray, S. (2012). Using Gallery Walks in the Classroom. Dimuatturun 18 Ogos 2013 daripada http://www.teachingintheearlyyears.com/2012/09/using-gallery-walks-in-classroom.html Hassan Mohd Noor. (2013, Februari 16). Guru perlu siap siaga tinggi, terus tingkat kualiti pendidikan. Utusan Malaysia, 9. Hu & Jong (2011). Keberkesanan Kaedah Pembelajaran Koperatif terhadap Prestasi dan Sikap Pelajar dalam Topik Pepejal dan Isipadu. Jurnal Penyelidikan Pendidikan IPG, 9, 1 9. Mohd. Fadzly. (2012, Mac 24). Peranan Guru Jana Transformasi Pendidikan. Majalah Pendidik, 7, 53 56. Mohd. Hanafi (2010). Kaedah Pembelajaran Stesen dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Dimuatturun 17 September 2013 daripada http://mohdhanafimy.blogspot.com/2010/10/kaedah-stesen-pembelajaran-dalam.html Sharifah (2006). Mempertingkatkan Kemahiran Membaca Di Kalangan Murid Tahun Dua Melalui Kaedah Stesen. Dimuatturun 17 September 2013 daripada http://lamanbahasa.files.wordpress.com/2010/01/kertas-sharifah-azura-syed-hassan-2006.pdf Tarmizi (2007). Pemantapan Vokal di dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan Kaedah Stesen Pembelajaran Pemulihan Khas. Program Kajian Tindakan Negeri Perak Peringkat Sekolah, 1, 1 - 24.

You might also like