Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 16

2009

PERSATUAN HAKKA TAWAU, SABAH.


P.O. BOX NO. 354,
91007 TAWAU, SABAH, MALAYSIA
Tel No. 089-772126
Fax No. 089-751373
Email: tawauhakka@yahoo.com.hk

Daripada Pengerusi Persatuan Hakka Tawau, Sabah,


Datuk Lim Yen Ngiap JP
kepada
Ybhg. Dr. Oh Ei Sun,
Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia

MEMORANDUM
Memorandum Persatuan Hakka Tawau kepada Ybhg. Dr. Oh Ei Sun, Setiausaha Politik Kepada Perdana
Menteri Malaysia, sempena Dialog Bersama Masyarakat Cina Tawau, Sabah pada 20hb. Ogos 2009
Memorandum 2009

Kandungan
1. Letrik 4
2. Air 5
3. Sungai Tawau 5
4. Pengangkutan Darat 5
5. Pengangkutan Awam 6
6. Pengangkutan Udara 7
7. Pengangkutan Laut 7
8. Kesihatan 8
9. Keselamatan 9
10.Peluang Pekerjaan 9
11. Pekerja Asing 10
12. Pelancongan 11
13. Pemuliharaan Alam Sekitar 11
14. Pendidikan 12
15. Perumahan 12
16. ICT 13
17.Amanah Saham Sabah 13
18. Kebersihan 14
19. Permohonan Status Penduduk Tetap 15
20. Peningkatan Taraf Hidup 15

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 2


Memorandum 2009
20 hb. Ogos 2009

Yang Berbahagia Dr. Oh Ei Sun,


Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
PUTRAJAYA.

Yang Berbahagia Dr.,

MEMORANDUM PERSATUAN HAKKA TAWAU, SABAH


KEPADA DR. OH EI SUN,
SETIAUSAHA POLITIK PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA DIALOG DENGAN MASYARAKAT CINA TAWAU, SABAH

Kami terlebih dahulu mengalu-alukan kedatangan Dr. Oh ke Tawau serta sudi


meluangkan masa untuk bermesra dan memahami suara hati masyarakat Cina
Tawau.

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah


dan syabas atas perlantikan Dr. Oh sebagai Setiausaha Politk Perdana Menteri
Malaysia. Ini merupakan julung-julung kalinya perlantikan seperti ini dibuat dan
Persatuan Hakka Tawau serta masyarakat Tawau turut merasa bangga atas
perlantikan Dr. Oh.

Untuk makluman Dr. Oh, Persatuan Hakka Tawau merupakan salah satu persatuan
yang terbesar di daerah ini. Selain daripada menjaga kebajikan ahli-ahli persatuan
kami, persatuan ini turut perihatin terhadap pelbagai isu dan masalah yang
dihadapi oleh masyarakat pelbagai kaum in daerah Tawau ini.

Kami turut menghargai peluang yang diberikan kepada kami untuk mengemukakan
serba sedikit berkenaan dengan pelbagai masalah di daerah Tawau ini. Adalah
menjadi harapan kami masalah yang kami hadapi ini akan mendapat perhatian
yang lebih khusus dan serius daripada sama ada pihak kerajaan Negeri mahupun
kerajaan Persekutuan.

Masalah dan harapan kami adalah seperti berikut:

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 3


Memorandum 2009
1. Letrik

Masalah letrik yang berlaku di Tawau sudah berlanjutan sehingga 2 abad


lamanya tanpa ada perubahan dan perkembangan yang menggembirakan.
Saban hari ada saja tempat-tempat tertentu di Tawau yang terpaksa
berhadapan dengan gangguan letrik.

Biar apapun alasan dan jaminan yang telah diberikan sama ada oleh pihak
Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) atau Kerajaan Negeri Sabah, masalahnya
terus berulang dan bertambah teruk.

Penduduk Tawau seolah-olah sudah menjadi begitu serasi dengan masalah


letrik dan sudah lali dengan pelbagai alasan dan janji yang diberikan.
Malahan penduduk Tawau akan merasa hairan jika tidak berlaku gangguan
letrik.

Apabila tempat-tempat lain di Malaysia, terutama sekali Semenanjung


Malaysia, berlaku gangguan letrik selama satu atau dua jam, ia heboh
dilaporkan dalam media massa. Banyak pihak akan segera memberikan
jaminan dan masalah diselesaikan dengan cepat.

Akan tetapi gangguan letrik yang sudah menjadi sebahagian daripada


kehidupan penduduk Tawau tidak lagi dihiraukan oleh mana-mana pihak dan
kami sudah buntu jalan dan ikhtiar untuk mengadu nasib.

Belum pernah berlaku dalam sejarah negara apabila masalah buatan


manusia tidak dapat diselesaikan dalam masa 2 abad lamanya. Ini
merupakan satu perkara yang cukup memalukan bagi sebuah syarikat besar
seperti Sabah Elektricity Sdn. Bhd. Mahu tidak mahu kita terpaksa meragui
kepakaran dan kebolehan mereka dalam mengendalikan pembekalan letrik
negeri Sabah. Mahu tidak mahu kita terpaksa meragui kesungguhan dan
keikhlasan mereka untuk menyelesaikan masalah seperti yang dijanjikan
sekian lama.

Demi semangat dan aspirasi 1 Malaysia Perdana Menteri, kami


mengharapkan masalah letrik di Tawau akan dapat diselesaikan dan
perkhidmatannya ditingkatkan setaraf dengan negeri-negeri lain di
Semenanjung Malaysia. Jika SESB tidak lagi berupaya maka ia harus
dirombak digantikan dengan orang lain yang lebih mapu dan mahir untuk
menyelesaikan masalah yang berlanjutan berpuluhan tahun.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 4


Memorandum 2009
2. Air

Mendapatkan bekalan air yang mencukupi dan bersih di daerah Tawau


merupakan satu lagi masalah yang dihadapi oleh penduduk Tawau sekian
lama. Masalah ini berpunca daripada Sungai Tawau yang merupakan sumber
air utama, terlalu kecil dan diancam pencemaran. Dua loji pembersihan air di
Jalan Utara dan Cinta Mata masih tidak mencukupi untuk menampung
keperluan air di daerah Tawau. Ini mengakibatkan banyak berlaku catuan air
dari semasa ke semasa.

Masalah ini ditambah pula dengan pengurusan air oleh pihak swasta yang
tidak dapat menyediakan bil bulanan menyebabkan tunggakan besar kepada
pengguna. Tunggakan bil ini bukan sahaja membebankan tetapi juga
meragukan. Kegagalan syarikat konsesi bekalan air dan Jabatan Air Sabah
menyediakan satu sistem kutipan bil yang kemas dan terkini menambahkan
lagi tanggungan dan bebanan penduduk Tawau.

Kerajaan diharapkan dapat mencari atau membina sumber air yang baru
atau menggunakan pendekatan baru bagi menampung keperluan penduduk
yang semakin bertambah.

3. Sungai Tawau

Berkait rapat dengan masalah air Tawau, Sungai Tawau yang menjadi
sumber perolehan air kepada penduduk Tawau mengalami ancaman
pencemaran yang teruk. Ini berlaku disebabkan pembinaan rumah dan kilang
di tebing sungai tanpa sebarang kawalan dan pantauan lebih-lebih lagi
rumah setinggan haram yang masih begitu banyak di kiri-kanan sungai
terutama sekali di hilir sungai.

Satu usaha yang teliti harus dilakukan untuk membersihkan Sungai Tawau
daripada pencemaran, sama ada dengan meluas dan mendalamkan sungai
sedia ada atau membina tembok dan benteng pada kawasan yang berlaku
hakisan. Pembinaan di tepi sungai yang tidak mengikut peraturan sedia ada
harus diroboh dan dipindahkan untuk menjaga kebersihan Sungai Tawau.

4. Pengangkutan Darat

Tawau yang merupakan salah satu Bandar utama dalam BIMP-EAGA (Brunei,
Indonesia, Malaysia, Phillipines East ASEAN Growth Area) seharusnya
mempunyai jalinan sistem pengangkutan darat, laut dan udara yang mantap.
Tawau juga merupakan pintu masuk utama Kalimantan Timur, Indonesia.

Sayangnya peningkatan taraf jalanraya di daerah Tawau tidak sejajar dengan


peningkatan pendudukan dan kemajuan. Ini menjadikan banyak jalanraya

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 5


Memorandum 2009
menjadi begitu sesak pada waktu sibuk. Di antara jalan yang terlibat ialah
Jalan Sin On, Jalan Bunga Raya, Jalan Kabota, Jalan Air Panas, Jalan Utara
dan Jalan Tanjung Batu.

Kadar penggunaan jalan yang begitu tinggi juga menyebabkan jalanraya


cepat rosak. Bukan itu sahaja banyak lagi jalanraya yang menghubungkan
jalan utama di Tawau belum lagi dinaik taraf. Ini menyebabkan ramai
penduduk terpaksa menggunakan kenderaan pacuan 4 roda.

Di samping itu, pengurusan aliran lalulintas yang kurang cepat dan perihatin
menyebabkan banyak kawasan Bandar Tawau menjadi sesak. Antaranya
ialah kawasan Fajar, Pasar Tanjung dan Pasar Ikan, Sabindo dan Jalan
Chester.

Jalanraya yang menghubungkan Tawau dengan Bandar dan daerah lain di


negeri Sabah juga masih belum dinaiktaraf terutama sekali Jalan Kalabakan
Sapulut.

Adalah diharapkan agar peruntukan untuk meningkatkan sistem


pengangkutan juga melibatkan Tawau dan tidak tertumpu di Bandar-bandar
besar sahaja. Sudah tiba masanya juga jalan lingkaran luar (outer link roads)
dibina untuk mengalihkan aliran lalulintas.

5. Pengangkutan Awam

Dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan pengangkutan seharian


penduduk Tawau, cara yang terbaik ialah meningkatkan kemudahan
pengangkutan awam. Tanpa satu rangkaian pengangkutan yang baik yang
menghubungkan semua tempat komersil, kerajaan, agensi kerajaan,
kawasan kediaman dan kemudahan awam yang lain, rakyat tidak akan dapat
menikmati taraf hidup yang lebih baik, seperti yang diutamakan dalam
konsep 1 Malaysia ilham Perdana Menteri Kita.

Tawau juga merupakan kawasan yang tidak menggalakkan pejalan kaki


kerana kekurangan ruang pejalan kaki, kawasan pejalan kaki berteduh dan
lintasan jalan yang mesra pejalan kaki. Ini disebabkan oleh perancangan
bandar yang kurang menyeluruh dan jalanraya sempit yang tidak
diperluaskan.

Oleh yang demikian, adalah diharapkan agar sistem pengangkutan awam di


Tawau dapat dipertingkatkan dan pejalanan kaki diberikan keutamaan dan
keselesaan.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 6


Memorandum 2009
6. Pengangkutan Udara

Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya cadangan kami untuk
mewujudkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Tawau menjadi
kenyataan. Pada waktu ini bukan sahaja AirAsia membuat 3 perbangan terus
pada setiap hari, Malaysia Airlines juga melakukan dua penerbangan setiap
hari.

Bandar Tawau juga dihubungkan melalui penerbangan udara dengan Kota


Kinabalu, Sandakan dan Singapura (yang akan bermula dalam bulan
September 2009).

Adalah menjadi harapan kami agar lebih banyak lagi penerbangan terus dari
Tawau dapat diusahakan bagi meningkatkan kemasukan pelancong dan
mengukuhkan ekonomi Tawau. Penerbangan yang ingin kami cadangkan
ialah dari Tawau ke Tarakan, Kalimantan Timur Indonesia dan dari Tawau ke
Pulau Pinang.

Sehubungan dengan itu, pandangan jauh syarikat penerbangan yang


melakukan penerbangan terus dari Tawau menunjukkan Tawau
sememangnya berpotensi besar dalam bidang pelancongan. Oleh yang
demikian adalah diharapkan lebih banyak tempat pelancongan yang menarik
dapat diwujudkan atau yang sedia ada ditingkat tarafnya. Jika tidak
kemudahan yang ada akan disia-siakan.

7. Pengangkutan Laut

Pengangkutan laut merupakan perhubungan utama antara Tawau dengan


Pulau Sebatik, Nunukan dan Tarakan di Kalimantan Timur, Indonesia.
Pelabuhan penumpang yang kecil bersebelahan dengan Pasar Ikan Tawau
merupakan pintu keluar dan masuk ke Indonesia. Beribu penumpang
menggunakan laluan ini setiap hari sama ada untuk urusan perniagaan
mahupun pelancongan.

Pelabuhan penumpang yang sebesar sebuah kedai biasa ini juga


menempatkan pejabat imigresen. Berbanding dengan pelabuhan di Nunukan
dan Tarakan di Kalimtan Timur Indonesian, pelabuhan penumpang Tawau
amat memalukan. Keadaannya begitu sesak dan tidak selesa. Peniaga dan
pelancong dari luar terpaksa menunggu kadang-kadang sehingga berjam-
jam lamanya untuk passport mereka diperiksa.

Keadaan ini langsung tidak mencerminkan pelabuhan ini mengalu-alukan


kedatangan pelancong atau peniaga asing malahan memaksa mereka
memilih jalan lain dan mengelakkan Tawau.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 7


Memorandum 2009
Untuk makluman Tawau banyak bergantung kepada perniagaan dan sistem
pertukaran barang dengan Indonesia. Jika kemudahan ini tidak dinaik taraf
lama kelamanya Tawau akan ditinggalkan jika ada jalan lain yang lebih baik
ditemui. Yang rugi nanti pasti penduduk Tawau dan juga negeri Sabah
dengan berkurangnya pendapatan.

8. Kesihatan

Sekalipun dengan pembinaan bangunan Hospital yang baru untuk Hospital


Besar Tawau, kesesakan masih lagi berlaku. Kawasan hospital yang
sememangnya sempit dihimpitkan lagi dengan pelbagai landscape dan tali
penghalang pejalan kaki yang tidak praktikal, menjadikan laluan kenderaan
ke hospital bertambah rumit. Malahan ia menghalang kenderaan ambulans
pada waktu kecemasan.

Tempat letak kereta yang disediakan tidak dapat menampung kenderaan


pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan. Ini belum lagi termasuk
kenderaan petugas hospital itu sendiri yang juga begitu ramai. Pihak hospital
seharusnya dapat berunding dengan pemilik sebidang tanah berhadapan
dengan hospital untuk dijadikan tempat letak kereta sementara.

Di samping itu juga, satu-satunya mesin apheresis di Bank Darah telah


terlalu uzur. Walaupun banyak janji dibuat oleh pelbagai Menteri Kesihatan
untuk menghantar mesin apheresis yang baru tetapi tidak ada berita selepas
janji dibuat.

Untuk makluman Tabung Darah di Tawau selain daripada menyediaan


keperluan darah kepada hospital Tawau sendiri ia terpaksa juga membantu
hospital-hospital di semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Persatuan Hakka Tawau yang menganjurkan kempen menderma darah


setiap tahun amat mengharapkan perkhidmatan dan keselesaan Hospital
Tawau dapat ditingkatkan.

Di samping itu, kemudahan kesihatan dan pemeriksaan lain di hospital juga


diharapkan akan dapat bertambah agar pesakit di Tawau tidak perlu
berbelanja lebih untuk mendapatkan rawatan sama ada di Kota Kinabalu
atau Kuala Lumpur. Kami percaya kemudahan kesihatan yang baik
seharusnya dapat dinikmati oleh semua pihak tanpa perlu menghabiskan
masa dan wang ringgit yang banyak.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 8


Memorandum 2009
9. Keselamatan

Sebagai sebuah bandar yang menerima begitu ramai kemasukan pendatang


tanpa izin, jelas sekali kami amat bimbang dengan keselamatan kami.
Penduduk Tawau terkenal dengan sikap mewujudkan kerjasama yang baik
dengan pihak polis. Sekalipun demikian kami masih berharap agar anggota
polis dan kemudahan polis ditambah agar lebih banyak rondaan dapat
dilakukan sama ada pada waktu siang atau malam.

Adalah juga diharapkan agar masalah pertikaian milik pulau Ambalat dapat
diselesaiakn dengan cepat dan aman. Ini akan memberikan ketenangan
kepada penduduk Tawau yang lebih banyak berhadapan dengan rakyat
Indonesia, sama ada yang berada di negeri ini mahupun yang berada di
kawasan sempadan.

Ucapan dan kenyataan yang boleh menyinggung hubungan baik di antara


kedua-dua Negara harus dielakkan supaya penduduk Tawau tidak menjadi
mangsa kepada kemarahan akibatan kenyataan yang berbau provokasi.

Adalah juga diharapkan agar pihak berkuasa yang menjalankan tugas


memeriksa dan menangkap pendatang asing tanpa izin dapat lebih
bertimbang rasa dan berhati-hati supaya tidak menimbulkan kemarahan. Ini
disebabkan perasaan marah ini boleh menyebabkan mereka membalas
dendam terhadap orang awam dalam kes-kes jenayah.

10. Peluang Pekerjaan

Dengan adanya kemudahan pengangkutan udara yang lebih murah diganda


pula dengan tarikan kota, ramai belia sanggup meninggalkan daerah Tawau
untuk mencari pekerjaan dan kehidupan di tempat lain. Jika keadaan ini
beterterusan, suatu hari nanti sama ada Tawau akan menjadi sebuah bandar
orang tua atau bandar yang dipenuhi dengan pendatang asing.

Adalah diharapkan agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan di


Tawau melalui pembinaan kilang dan penyedian perkhidmatan lain. Makanan
laut merupakan salah satu bidang yang boleh diterokai dan dimajukan ke
peringkat yang lebih tinggi.

Dengan adanya peluang pekerjaan yang lebih baik dan terjamin golongan
muda akan memilih untuk menetap di Tawau dan turut membantu
membangunkan Tawau.

Sehubungan dengan itu, infrastruktur asas haruslah diperbanyak dan


ditingkatkan mutunya. Masalah letrik dan air haruslah diselesaikan dengan
segera. Jika tidak jangankan pelabur baru takut untuk datang pelabur sedia
ada juga mungkin memikirkan untuk berpindah ke tempat lain.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 9


Memorandum 2009
11. Pekerja Asing

Sabah merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia. Hakikat ini


telah menarik begitu ramai pekerja asing datang untuk bekerja di ladang-
ladang kelapa sawit dan sektor lain di negeri ini. Kemasukan pendatang
asing yang diakui sukar dikawal oleh pihak berkuasa ada baik dan buruknya.

Dari segi ekonomi ia menawarkan tenaga kerja yang lebih murah dan banyak
berbanding dengan tawaran tenaga kerja tempatan. Hasilnya adalah
perkembangan sektor perladangan yang begitu pesat di negeri Sabah.

Sebaliknya ramai pekerja asing ini juga memasuki Negara ini secara haram
dan bekerja di ladang-ladang atau bidang lain tanpa permit. Ini menjadikan
mereka sukar dikawal dan sering terlibat dalam kes-kes jenayah sehingga
mengancam keselamatan rakyat tempatan.

Usaha kerajaan untuk mendaftarkan pekerja tanpa izin ini memang dipuji.
Akan tetapi usaha ini digagalkan dengan pelbagai prosidur yang
menyusahkan serta bayaran levi yang terlalu tinggi sehingga pekerja dan
majikan sanggup mengambil risiko untuk menggaji pekerja tanpa izin.
Pemeriksaan kesihatan FOMEMA adalah salah satu contoh bayaran
perkhidmatan yang terlalu tinggi berbanding dengan pemeriksaan biasa.

Memang bayaran levi daripada pekerja asing ini merupakan satu pendapatan
Negara yang lumayan berdasarkan kadar tinggi yang ditetapkan, tetapi
kadar yang begitu tinggi, prosidur yang rumit dan syarat yang rigid
menambahkan beban majikan dan bukan sebaliknya. Lagipun kerajaan
mendapat cukai yang lumayan daripada sektor perladangan kelapa sawit dan
sepatutnya tidak mendapat keuntungan daripada pembayaran levi pekerja
asing. Tindakan ini dilihat sebagai pencukai berganda (double taxation).

Jika prosidur dan bayaran levi pekerja asing dapat dikaji semula dan
ditetapkan pada satu kadar yang lebih munasabah, tidak ada sebab kenapa
pekerja dan majikan akan mengambil risiko didenda, disebat dan
dipenjarankan. Pekerja asing tanpa izin sendiri akan tampil ke hadapan
untuk mendaftarkan diri. Dengan ini kita bukan sahaja dapat membantu
perkembangan sektor perladangan kelapa sawit yang dianggap sebagai
tanaman emas (golden crop) tetapi pada masa yang sama juga dapat
menyelesaikan masalah sosial dan keselamatan yang dibawa oleh pendatang
tanpa izin.

Keselamatan dan kesejahteraan rakyat tempatan seharusnya diberikan


keutamaan dalam hal ini.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 10


Memorandum 2009
12. Pelancongan

Umum diketahui bahawa pelancongan merupakan salah satu penyumbang


pendapatan Negara yang penting. Ia juga memberikan peluang pekerjaan
kepada penduduk tempatan. Dua Bandar utama di negeri Sabah iaitu Kota
Kinabalu dan Sandakan telah dapat mengembelingkan sektor pelancongan
bagi membantu meningkatan pendapatan penduduknya.

Tawau sebaliknya amat ketinggalan dalam bidang pelacongan. Ini


disebabkan hakikat bahawa Tawau tidak mempunyai tempat-tempat menarik
yang dimaju atau dipopularkan dalam usaha penarikan pelancongan.

Suatu ketika dahulu ramai pelancong asing yang pergi ke Pulau Sipadan di
Semporna akan singgah bermalam di Tawau sebelum pergi atau balik dari
Sipadan. Namun dengan perpindahan lapangan terbang Tawau ke kawasan
sejauh 30 km dari Bandar Tawau, pelancong tidak lagi singgah di Tawau.
Mereka akan beredar terus ke Semporna. Ini menafikan satu-satunya
peluang baik bagi daerah Tawau untuk memajukan bidang pelancongan.

Adalah diharapkan tempat-tempat tarikan pelancong seperti Bukit Gemok


dan Taman Bukit Tawau dapat dipopularkan untuk dijadikan destinasi
pelancong.

Insentif juga harus diberikan kepada pengusaha restaurant untuk


memperkenalkan masakan makanan laut sebagai satu lagi tarikan
pelancong.

13. Pemuliharaan Alam Sekitar

Tawau sepatutnya merupakan kawasan yang mempunyai banyak kawasan


hutan simpanan semulajadi dan kawasan tadahan hujan. Akan tetapi
disebabkan pembangunan yang tidak dirancang dengan baik dan
penguatkuasaan yang tidak bersungguh-sungguh menyebabkan banyak
berlaku pencemaran.

Pembukaan ladang-ladang kelapa sawit secara meluas dan penggunaan baja


kimia serta racun serangga yang tidak terkawal, ditambah pula dengan sisa
buangan kilang kelapa sawit menambahkan lagi pencemaran sungai yang
sudah begitu kecil dan terhad.

Adalah diharapkan agar kawalan yang lebih ketat diberikan terhadap


penebangan hutan, pengusahaan ladang kelapa sawit dan pengilangan
kelapa sawit agar alam sekitar tetap terjaga dan terpelihara.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 11


Memorandum 2009
14. Pendidikan

Perkembangan pendidikan di dearah Tawau boleh dikatakan memuaskan.


Pembinaan sekolah rendah dan menengah dalam Rancangan Malaysia ke 8
dan 9 amat dihargai.

Disebabkan kebanyakan penduduk Tawau masih tertumpu di kawasan yang


berdekatan dengan Bandar, ia menjadikan sekolah-sekolah yang berdekatan
dengan bandar menjadi begitu sesak sehingga ibu bapa terpaksa berebut-
rebut untuk memasuki sekolah tertentu yang dirasakan lebih memudahkan
mereka.

Walaupun terdapat sekolah lain dibina tetapi dalam kebanyakan keadaan


tempatnya adalah terlalu jauh sehingga ibu bapa menghadapi masalah untuk
menghantar dan menjemput anak-anak mereka dari sekolah. Pelajar yang
menggunakan perkhidmatan bas sekolah juga terpaksa menanggung
bayaran tambang yang tinggi dan kembali ke rumah pada waktu lewat
malam. Ini merupakan fenomena yang tidak sihat yang bukan sahaja boleh
mengganggu kesihatan, mental dan minat pelajar ia juga mengancam
institusi kekeluargaan sehingga menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Maka adalah diharapkan bahawa pihak kerajaan dapat meningkatkan


kemudahan bagi sekolah yang sedia ada, mengawal tambang bas sekolah,
menyediakan lebih banyak pengangkutan awam dan memilih tempat yang
lebih sesuai dalam pembinaan sekolah baru pada masa hadapan.

Dari segi tenaga pengajar, sekolah-sekolah di Tawau masih lagi menghadapi


kekurangan guru terlatih. Ini menyebabkan ramai guru sandaran tidak
terlatih diambil untuk mengajar. Keadaan ini sekali lagi menjadikan pelajar
sekolah mangsa kepada keadaan.

15. Perumahan

Pembangunan perumahan yang pesat satu petanda yang baik kepada


masyarakat Tawau. Akan tetapi harga rumah yang begitu tinggi, sehingga
lebih mahal daripada harga rumah di Kota Kinabalu dan Sandakan,
menjadikan ia tidak realistik atau munasabah. Sama ada pemaju perumahan
cuba mengaut keuntungan yang banyak dengan cepat atau cuba
memindahkan kos pembinaan yang tinggi kepada pembeli.

Kawalan harga bahan pembinaan dan harga rumah seharusnya diperketat


dan diperkemaskan supaya pembeli rumah tidak menjadi mangsa.

Pembinaan rumah yang lebih terancang juga harus dilaksanakan supaya


tidak menyumbang kepada kesesakan lalulintas. Kerajaan tempatan
seharusnya lebih peka terhadap keperluan dan kesejahteraan rakyat dan

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 12


Memorandum 2009
bukannya lebih cenderung untuk menerima cadangan pemaju dan kontraktur
tanpa kajian yang teliti.

Projek Perumah yang dibina di atas tapak rumah setinggan Jalan Damai
(panggilan Ice Box untuk penduduk tempatan) umpamanya walaupun telah
beberapa tahun disiapkan tetapi sehingga kini belum ada penghuni ini
mencerminkan ada sesuatu yang tidak kena pada perancangan.

16. ICT

Perkembangan ICT (Information & Communication Technology) di Negara


kita amatlah menggalakkan. Namun begitu jurang digital di antara bandar
besar dengan bandar kecil seperti Tawau amatlah ketara.

Contoh yang paling jelas ialah setelah diperkenalkan sekian lama, saluran
televisyen 7, 8 dan 9 belum lagi sampai ke Tawau kecuali bagi pelanggan
Astro. Dalam konsep 1 Malaysia, rakyat Malaysia sepatutnya diberi peluang
sama rata untuk menikmati kemudahan yang ada tanpa kira di mana mereka
berada.

Perhidmatan jalur lebar atau broadband internet belum lagi meliputi


kebanyakan tempat di daerah Tawau. Hanya tempat-tempat tertentu sahaja
yang dapat menerima perkhidmatan ini. Sekalipun begitu kelajuan
broadband di Tawau masih terlalu perlahan jika dibandingkan dengan
tempat-tempat yang lain.

Dalam zaman ICT ini kita mengharapkan banyak maklumat dapat disebarkan
dengan tepat, cepat dan meluas melalui internet. Oleh yang demikian
perkhidmatan broadband talian tetap atau mudah alih harus dipertingkatkan
dan kadar bayaranya dikurangkan. Ini akan member peluang kepada lebih
ramai rakyat Malaysia menggunakan teknologi baru ini, agar tidak
ketinggalan.

Kami juga ingin mencadangkan agar pembekal perkhidmatan internet yang


lain dibenarkan beroperasi di negeri Sabah agar dapat menambahkan pilihan,
saingan dan pada masa yang sama meningkatkan mutu perkhidmatan.

17. Amanah Saham Sabah

Dalam usaha menggalakkan tabiat menabung, melabur dan simpanan untuk


masa tua, Kerajaan Negeri Sabah pernah menggalakkan rakyat negeri ini
untuk melabur dalam Amanah Saham Sabah. Sambutannya begitu hangat
sehingga semua saham habis dijual.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 13


Memorandum 2009
Akan tetapi seperti kata orang, indah khabar dari rupa, apa yang berlaku
pada Amanah Saham Sabah pada hari ini amat memalukan. Bukan sahaja
kerajaan negeri belum menyelesaikan masalah ini setelah sekian lama,
pelbagai janji daripada pelabgai pihak hanya tinggal janji kosong semata-
mata.

Demi rakyat negeri Sabah yang telah melaburkan sebahagian besar


simpanan hari tua mereka dalam Amanah Saham Sabah, adalah diharapkan
agar masalah ini dapat diselesaikan tanpa melengahkan masa lagi. Kami
percaya jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk menyelesaikan masalah ia
cukup mampu. Rakyat tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada pihak-
pihak tertentu yang mempunyai kepentingan diri. Rakyat tidak seharusnya
dihukum akibat kecuaian pemimpin kerajaan, jika ada.

18. Kebersihan

Kebersihan merupakan satu lagi masalah yang dihadapi oleh penduduk


Tawau. Walaupun ada kontraktor dilantik untuk menguruskan pengutipan
sampah di kawasan Tawau namun banyak kerenah dan alasan yang
diberikan sehingga ada sampah yang tidak dikutip sehingga berminggu
lamanya. Ada pula yang tidak dihiraukan langsung.

Tong sampah yang disediakan kepada kawasan perumahan yang agak lama
sudah terlampau uzur dan tidak dapat digunakan lagi. Akan tetapi tidak ada
usaha untuk menggantikan tong sampah tersebut.

Di samping itu, tong sampah yang disediakan di tempat-tempat awam juga


tidak mencukupi. Dalam banyak keadaan sampah melimpah dan tertumpah
ke kawasan sekeliling pembuangan sampah. Ini menjadi tarikan kepada
pelbagai binatang dan serangga.

Selain daripada itu, kontraktur pengutip sampah juga menjalankan kerja


sambilan untuk memilih bahan-bahan yang boleh dijual seperti besi dan
plastik. Mereka seolah-olah lebih berminat dengan pendapatan sampingan
yang akan mereka perolehi daripada pekerjaan asas mereka. Perbuatan
mereka ini juga turut menyumbang kepada pengutipan sampah yang tidak
bersih dan sempurna.

Banyak juga longkang sama ada di kawasan perumahan atau komersil yang
tersumbat dan tidak dibersihkan. Tempat ini telah menjadi tempat
pembiakan tikus, lalat, nyamuk dan serangga lain. Malah ia menjadi tempat
pembiakan kuman yang unggul.

Adalah diharapkan pihak berkuasa tempatan lebih peka kepada penyelesaian


masalah secara menyeluruh dan bukannya cenderung kepada perojek
gotong-royong yang lebih menjurus kepada publisiti.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 14


Memorandum 2009
19. Permohonan Status Penduduk Tetap

Adalah dimaklumkan bahawa ramai rakyat Indonesia keturunan Cina lari


mendapatkan perlindungan di negeri Sabah di antara tahun-tahun 60an dan
70an, berpunca daripada masalah politik dan dasar Negara asal mereka.
Mereka telah menetap di sini untuk lebih 30 tahun lamanya dan memohon
untuk mendapat status penduduk tetap. Akan tetapi, setelah mencuba
berpuluh tahun permohonan mereka masih lagi belum berjaya.

Golongan ini dianggarkan berjumlah sekitar 400 orang. Persatuan Hakka


Tawau pernah menyuarakan masalah ini kepada Perdana Menteri ketika itu
Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sehingga kini masalah tersebut belum lagi
dapat diselesaikan dengan baik dan diharap mendapat perhatian dan
pertolongan lanjut untuk menyelesaikan masalah ini.

20. Taraf Hidup

Selain daripada dihubungkan dengan Kuala Lumpur secara langsung melalui


pesawat, Tawau merupakan bandar persinggahan terakhir bagi sebarang
penghantaran barang, biar barang keperluan harian, makanan, perubatan,
pakaian dan sebagainya. Barang-barang yang dihantar ke Tawau terpaksa
berhenti di banyak tempat sebelum tiba.

Keadaan ini menyebabkan barangan yang dihantar lewat tiba, kekurangan


dan harganya jauh lebih mahal daripada tempat-tempat yang lain. Yang
menjadi mangsa adalah penduduk di Tawau yang terpaksa berbelanja lebih
untuk mendapatkan barangan keperluan tertentu yang boleh diperolehi
dengan separuh harga daripada tempat-tempat lain di Malaysia.

Ini menyebabkan sara hidup Tawau begitu tinggi berbanding dengan tempat
yang lain di Malaysia. Demi 1 Malaysia yang sebenar, adalah diharapkan agar
harga barangan di kawal dan diselaraskan supaya tidak wujud
ketidakimbangan yang begitu ketara.Rakyat dalam Negara yang sama
seharusnya menikmati kemudahan yang sama.

Demikian adalah antara masalah yang sudah lama dihadapi oleh semua penduduka
Tawau yang kami benar-benar berharap mendapat perhatian dan keutamaan dalam
penyelesaiannya.

Kami merakamkan ribuan ucapan terima kasih kepada Ybhg. Dr Oh kerana sudi
menerima dan menimbangkan memorandum kami dan semoga pelbagai masalah
dan cadangan yang kami ajukan mendapat penyelesaian dalam masa yang
terdekat, demi 1 Malaysia.

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 15


Memorandum 2009

Sekian.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA DEMI 1 MALAYSIA

Yang benar

DATUK LIM YEN NGIAP JP


Pengerusi
Persatuan Hakka Tawau

Memorandum ini disediakan oleh Lee Chye Ewe, chyeewe@gmail.com

Persatuan Hakka Tawau, Sabah Halaman 16

You might also like