Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

4. Pendahuluan Saya memilih tajuk perniagaan runcit (Pasar Tani) di Bandar Kapit, Sarawak.

Saya memilih kawasan ini untuk dikaji kerana kawasan ini merupakan kawasan tumpuan penduduk tempatan dan pasar tani merupakan kegiatan ekonomi yang penting di bandar Kapit. Saya menjalankan kajian ini selepas waktu persekolahan. Saya menulis laporan kajian ini secara individu berdasarkan data dan maklumat yang dikumpulkan di lapangan secara berkumpulan. Laporan kajian ini berjaya disiapkan dalam masa 3 bulan. 6. Kawasan kajian Kajian ini dijalankan di Bandar Kapit. Bahagian Kapit meliputi kawasan pedalaman selepas bahagian Sibu. Luas kawasannya adalah 38,934 km persegi. Kawasan pentadbiran bahagian Kapit merangkumi daerah Kapit, Belaga dan Song. Ketigatiga daerah ini ditadbir oleh Majlis Daerah Kapit. Majoriti penduduk Kapit terdiri daripada kaum Iban diikuti kaum Cina dan Melayu. Kapit amat terkenal dengan hasil buah dabai dan durian. Bandar Kapit terletak di tepi sungai Rajang. Ia boleh dihubungi melalui sungai menggunakan perkhidmatan bot ekspres. Bandar Kapit terletak di tengah-tengah antara pekan Song dan Belaga. Jarak pasar tani dari sekolah saya adalah kira-kira 3km. Tambangnya adalah RM 1.00 dengan mengambil masa lebih kurang 10 minit. 7. Kaedah kajian Saya menggunakan pelbagai kaedah untuk menjalankan kajian ini. Antaranya ialah A) Pemerhatian Saya menggunakan kaedah ini untuk mengenal pasti kepentingan pasar tani dan faktor yang mempengaruhi kewujudan pasar tani di Kapit. B) Soal selidik Seramai 25 orang responden daripada kalangan penduduk tempatan yang terlibat dalam kegiatan yang berkait dengan pasar tani dipilih untuk melengkapkan borang soal selidik. 8. Dapatan kajian 8.1: Konsep dan jenis perniagaan runcit Pasar tani merujuk kepada pasar yang khusus menjual barang-barang hasil pertanian seperti sayursayuran, ayam, dan daging segar. Pasar tani berkonsepkan jualan langsung, di mana petani atau penternak berpeluang menjual barangan mereka secara langsung kepada orang ramai tanpa melalui orang tengah / pemborong. Dengan itu pada kebiasaannya harga yang ditawarkan adalah lebih murah berbanding harga di pasar biasa.

8.2: Kepentingan perniagaan runcit di bandar Kapit Pasar tani mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di bandar Kapit. Terdapat _____ gerai di pasar tani dengan menjual pelbagai jenis barangan seperti sayur-sayuran, daging, ikan dan sebagainya. Pasar tani dapat meningkatkan taraf hidup atau pendapatan penduduk. Dengan adanya peluang pekerjaan, pendapatan penduduk akan meningkat. Peningkatan pendapatan akan meningkatkan kuasa beli penduduk dan seterusnya dapat memenuhi keperluan hidup mereka. Pasar tani membolehkan penduduk tempatan memasarkan hasil jualan mereka. Petani dan penternak dapat menjual barangan mereka di pasar tani dengan kos yang rendah. Pasar tani menyediakan barangan yang segar kepada penduduk di Kapit. Contoh barangan yang segar adalah seperti sayur-sayuran, ikan, ayam dan sebagainya. Saya berasa bersyukur kerana pasar tani ini mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan meningkatkan taraf hidup mereka. 8.3: Faktor mempengaruhi perniagaan runcit di Kapit Dengan adanya kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan, penduduk tempatan dapat menjalankan perniagaan runcit mereka di pusat bandar Kapit. Contoh kemudahan infrastruktur adalah seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. Faktor yang kedua ialah darjah ketersampaian penduduk adalah tinggi. Penduduk tempatan mudah bergerak dari rumah ke pasar tani dengan adanya kemudahan jalan raya dan van sewa. Contohnya, dari sekolah saya ke pasar tani hanya memerlukan 10 minit dengan bayaran van sewa RM 2. Faktor ketiga adalah pertambahan penduduk melalui migrasi. Perpindahan penduduk dari daerah lain telah meningkatkan permintaan mereka terhadap barangan yang dijual di pasar tani. Permintaan yang semakin meningkat daripada penduduk akan meningkatkan bilangan peniaga di pasar tani. Faktor keempat adalah penduduk tempatan mengalami masalah kekurangan modal atau kewangan. Mereka tidak mampu untuk menyewa atau membuka kedai runcit. Jadi, mereka terpaksa menjalankan perniagaan mereka di pasar tani dengan sewa yang murah. Saya berasa bersyukur kerana dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan, penduduk tempatan yang kurang pendidikan boleh menjalankan perniagaan mereka di pasar tani yang dilengkapi oleh pelbagai kemudahan dengan kos yang rendah.

8.4: Kesan negatif perniagaan runcit di bandar Kapit Kesan negatif yang pertama adalah pencemaran. Pencemaran berlaku akibat daripada pembuangan sampah-sarap secara merata-rata selepas kegiatan jual-beli di pasar tani. Tambahan lagi, sampah-sarap tersebut juga akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan dan mengganggu keselesaan penduduk yang tinggal di sekelilingnya. Kesan negatif yang kedua adalah kesesakan lalu lintas. Kesesakan lalu lintas berlaku kerana pasar tani terletak di pusat bandar Kapit. Sebab yang lain adalah kerana van-van sewa berhenti di tepi bangunan pasar tani menyebabkan jalan raya yang kecil menjadi semakin sempit. Kesan yang seterusnya adalah pasar tani mewujudkan persaingan dengan kedai runcit tempatan. Penduduk lebih suka membeli barang di pasar tani kerana harganya yang lebih murah. Harga barangan di pasar tani lebih murah adalah kerana sewa gerainya yang murah jika berbanding dengan sewa kedai runcit. Kawasan pasar tani yang kecil dan sempit menyebabkan ketidakselesaan pengguna. Pengguna tidak dapat membeli barang dengan selesa kerana sentiasa berlanggar antara satu sama lain, terutamanya pada hujung minggu. Nilai yang harus dipupuk oleh peniaga dan penduduk tempatan adalah saling membantu dan bekerjasama untuk menjaga kebersihan di pasar tani. 8.5: Cadangan untuk mengurangkan kesan negatif perniagaan runcit di bandar Kapit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus sentiasa memantau keadaan pasar tani untuk memastikan peniaga menjaga kebersihan pasar tani. Selain itu, PBT boleh menyediakan lebih banyak tong sampah untuk mengelakkan peniaga membuang sampah di meratarata tempat. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. Pemandu van sewa dinasihatkan agar tidak meletakkan kereta mereka di tepi bangunan pasar tani. Sesiapa yang melanggar undang-undang akan dikenakan kompaun atau saman. Pihak berkuasa juga harus mengawal harga barangan dengan menetapkan harga yang standard antara peniaga di pasar tani dengan peniaga di kedai runcit. Ini adalah untuk mengurangkan persaingan antara peniaga di pasar tani dengan peniaga di kedai runcit. Pihak kerajaan harus mewujudkan kawasan pasar tani baru untuk mengurangkan kesesakan orang di pasar tani yang ada. Dengan pembinaan kawasan pasar tani yang baru, sesetengah penduduk tempatan akan membeli barangan mereka di sini dan akan dapat mengatasi masalah kawasan pasar tani yang kecil dan sempit.

Nilai yang dapat dipupuk oleh saya ialah semua orang harus mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditentukan tanpa mengira sesiapa dan di mana seseorang itu berada. Rumusan Secara kesimpulannya, perniagaan runcit (pasar tani) di bandar Kapit merupakan kegiatan ekonomi utama bagi penduduk tempatan. Antara kepentingan perniagaan runcit (pasar tani ) ialah menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan taraf hidup atau pendapatan, membolehkan penduduk tempatan memasarkan barangan jualan dan menyediakan barangan segar. Terdapat juga beberapa masalah yang dihadapi seperti pencemaran, kesesakan lalu lintas, persaingan dengan kedai runcit tempatan dan ketidakselesaan dan keselamatan pengguna. Namun begitu, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini. Antaranya ialah dengan pemantauan Pihak Berkuasa Tempatan, kuat kuasa undang-undang, pengawalan harga dan mewujudkan kawasan pasar tani baru. Melalui kajian ini, saya dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang pasar tani di bandar Kapit. Selain itu, saya juga dapat memupuk hubungan yang erat dengan peniaga-peniaga di pasar tani tanpa mengira kaum dan agama semasa membuat soal selidik saya. Rujukan Internet 1. Latar belakang Kapit

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kapit 2. Konsep perniagaan runcit (Pasar Tani) http://ms.wikipedia.org/wiki/Pasar_tani 3. Peta Kapit http://www.dromoz.com/directory/maps/?epid= 18656
Buku teks 1. Mohd. Jamil Bin Mohamed, Hj. Rodzli Bin Hj. Hashim, Hjh. Mahani Binti Hj. Mahbar, 2004, Geografi Tingkatan 3, Selangor Darul Ehsan. Percetakan: Jiwa Baru Sdn. Bhd. Orang sumber 1. En. Peter Anak Mark, 40 tahun, Lot 253, Jalan Airport, 96800 Kapit, Sarawak. Melawat ke tempat kajian 1. Pasar Tani di Bandar Kapit, Sarawak.

You might also like