Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

KEBAIKAN PENGANJURAN SUKAN ANTARABANGSA

Negara kita pernah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada sukan bertaraf dunia. Tahun 1998 merupakan detik bersejarah kepada Malaysia dan Asia kerana Sukan Komanwel yang ke-16 telah berlangsung dari 11 hingga 21 September di negara kita. Sukan SEA juga dianjurkan di Malaysia pada tahun 2001. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan langkah ke arah merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang merupakan inspirasi dan wawasan pembangunan negara yang dapat melahirkan masyarakat yang maju, penyayang, demokratik dan sejahtera. Negara kita amat bertuah kerana telah terpilih menjadi tuan rumah bagi acara sukan yang bertaraf dunia. Hal ini merupakan satu peluang keemasan bagi negara kita untuk menonjolkan imej dan kewibawaan Malaysia di arena antarabangsa. Selain Sukan Komanwel, negara kita juga pernah menjadi penganjur perlawanan bola sepak, Piala Thomas, Le Tour de Langkawi, dan sebagainya. Persoalannya sekarang apakah faedah penganjuran sukan bertaraf dunia kepada rakyat dan negara kita? Kemaslahatan penganjuran sukan bertaraf dunia kepada negara ialah pendapatan negara akan meningkat sekiranya berjaya menjadi tuan rumah sukan antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan sukan seumpama ini akan membawa pelancong dan peminat sukan yang banyak untuk melawat ke negara kita. Secara tidak langsung, kedatangan mereka ini akan memajukan industri pelancongan dan perhotelan negara. Industri pelancongan dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara. Biar kita imbas kembali Sukan Olimpik yang diadakan di Atlanta. Negara Amerika telah mendapat keuntungan sebanyak US20 bilion dalam penganjuran temasya sukan berprestij ini. Memang benar kata mantan Perdana Menteri Malaysia, iaitu penganjuran Sukan Komanwel dapat membantu negara mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang semakin melarat pada masa itu. Para pelancong dan peminat sukan bukan sahaja membeli tiket sukan, tetapi mereka turut membeli cenderamata dan hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia. Maka, industri kecil dan industri hiliran dapat berkembang dengan lebih maju lalu ekonomi negara dapat dijana. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan instrumen perpaduan yang berkesan untuk mencapai integrasi nasional. Perpaduan yang dipupuk bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi juga mendorong rakyat yang berbilang bangsa, etnik dan budaya menggemblengkan semangat berbakti dan berkorban untuk negara. Sebagai contoh, pihak badan bukan kerajaan berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk menjayakan Sukan Komanwel secara sukarela. Bukan itu sahaja, hal ini juga dapat mengukuhkan nilai perpaduan seperti toleransi, kerjasama, meletakkan kepentingan kebangsaan melebihi kepentingan peribadi. Dengan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, mereka akan memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara kita untuk memenangi sesuatu perlawanan. Penganjuran sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam sesuatu pasukan untuk meraih kejayaan kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, tanpa muafakat amat sukar untuk sesuatu pasukan itu mencapai kejayaan. Jadi, perpaduan antara kaum dapat dilahirkan melalui penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

Dengan menganjurkan sukan seumpama ini, mutu sukan negara kita pasti bertambah baik. Melalui sukan bertaraf antarabangsa, kita dapat meniru teknik-teknik latihan yang digunakan dan kelengkapan yang disediakan oleh negara tersebut. Tamsilnya, dalam sukan badminton dan bola sepak, kita boleh mempelajari teknik pengurusan dan melihat kelengkapan prasarana sukan. Dengan cara ini, atlet kita akan mengetahui punca kegagalan mereka dan membaiki kelemahan mereka. Oleh itu, mereka akan berlatih dengan lebih giat lagi demi mencapai tahap yang diharapkan. Mereka juga akan berlatih dengan berdisiplin demi mencapai prestasi yang diharapkan. Pendek kata, prestasi sukan dan atlet negara akan meningkat jika kita sering menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa. Sebagai konklusinya, penganjuran sukan yang bertaraf dunia akan membawa negara kita ke era kecemerlangan yang lebih membanggakan. Semua pihak sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun rakyat jelata yang lain harus berganding bahu dan menggembleng tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menjayakan pertandingan sukan yang diadakan dan menolong membuat persiapan sepenuhnya. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, acara sukan yang diadakan di negara kita akan dapat berjalan dengan lancar. Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan salah satu cara pemodenan sukan yang dapat memperbaik prestasi sukan yang diidamkan oleh setiap negara. Dengan ini, diharapkan agar manfaat-manfaat yang tidak ternilai harganya semasa penganjuran sukan bertaraf dunia harus dihayati dan dapat dinikmati oleh semua rakyat di nusa yang tercinta ini.

Isi-isi i. kedatangan pelancong asing semakin meningkat ii. mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia iii. dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama iv. wadah untuk perpaduan v. meningkatkan mutu sukan negara Karangan Contoh Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat seluruh warga dunia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sukan juga merupakan suatu instrumen untuk menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah memberikan imej yang positif kepada negara kita pada peringkat antarabangsa. Hal ini telah membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan positif terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek. Kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara

dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, Di mana ada gula, di situ ada semut. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan antarabangsa perlu diteruskan kerana banyak memberikan manfaat kepada ekonomi negara kita. Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang meluas dari seluruh dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej Malaysia ke seluruh dunia. Selain itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek. Di samping itu, kita sentiasa mendengar bahawa sukan merupakan wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia. Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi bagai aur dengan tebing. Selain agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini demikian kerana, ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan negara sendiri yang bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mreka akan mendapat

suntikan semangat yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Hal ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia Boleh. Konklusinya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti mendatangkan pelbagai kesan positif terhadap perkembangan Malaysia. Di samping itu, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa. Pihak kerajaan terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia akan lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu menjana ekonomi negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan seperti serampang dua mata. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa akan menjadi kenyataan. Jika dilihat dari segi ekonomi pula, negara mampu mengaut keuntungan yang lumayan melalui penganjuran sukan Komanwel pada tahun 1998. Hal ini sedemikian kerana, pengaliran wang dari seluruh negara-negara ke Malaysia menyebabkan pertukaran wang asing yang seterusnya memberi kelebihan kepada kita. Sementelahan lagi, jualan tiket bagi setiap acara dalam kejohanan juga mampu membawa kepulangan yang lumayan kepada negara dan boleh digunakan sebagai dana untuk pembagunan sosial dan mempertingkatkan lagi mutu sukan negara agar dapat bersaing dengan negara luar. Jesteru , pelaburan yang dilakukan untuk menganjurkan acara sukan yang lebih banyak memberi kesan yang positif terhadap sesebuah negara.

TAJUK : SUKAN SKOP : Lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan RORMAT : Ulasan pendapat Memang tidak dapat dinafikan bahawa sukan memang boleh mendatangkan banyak faedah kepada kita. Namun begitu terdapat juga beberapa keburukan atau mudarat yang menimpa ahli sukan terutamanya dalam bidang sukan yang agresif atau lasak. Sesetengah aktiviti sukan boleh dianggap mencabar, berbahaya serta berisiko tinggi. Lantaran itu, pelbagai kesan buruk akan timbul akibat bergiat dalam bidang sukan. Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar tentang kecederaan dan kemalangan yang menimpa para atlet sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Saya berpendapat masalah ini seharusnya tidak dipandang ringan oleh semua pihak sekiranya kita ingin melihat bidang sukan terus diminati ramai. Kita sedar bahawa sesetengah acara sukan amat berbahaya dan mengancam nyawa. Hal ini terbukti apabila para atlet mengalami kecederaan yang serius selepas sesuatu pertandingan. Keadaan ini jelas kelihatan dalam sukan tinju dan gusti. Walaupun sukan ini dapat meningkatkan daya tahan para peninju dan ahli gusti, namun mereka menghadapi risiko yang tinggi untuk mendapat kecederaan akibat terkena tumbukan dan pukulan daripada pihak lawan. Kecederaan yang didapati mungkin menyebabkan mereka cacat seumur hidup. Nasib malang seperti ini telah menimpa seorang bekas juara tinju dunia yang terkenal pada suatu ketika dahulu iaitu Mohamed Ali. Penyakit yang dideritainya sekarang adalah akibat kecederaan pada otaknya kerana terlalu kerap menerima tumbukan. Menurut perangkaan yang pernah dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara, ahli sukan yang yang terlibat dengan jenis sukan seperti tinju, gusti, karate, tae-kwon-do, dan ski, mempunyai 80 peratus kemungkinan untuk mendapat kecederaan yang parah. Kemalangan yang berlaku mungkin akan mengakibatkan kecederaan yang teruk dan kekal atau sekali gus membawa maut walaupun mereka mengambil langkah-langkah keselamatan dengan memakai jeket keselamatan, topi tahan hentakan, dan sebagainya.

Walaupun mereka akan menerima ganjaran yang lumayan hasil penglibatan mereka dalam bidang ini, ganjaran tersebut masih tidak setimpal dengan kecacatan yang harus mereka tanggung seumur hidup mereka. Para peminat sukan tentu masih ingat lagi nama Arton Senna, pelumba kereta formula one dari Brazil yang telah menemui ajal di litar perlumbaan akibat terbabas dan berlanggar dengan kereta lumba yang lain. Arton Senna hanyalah seorang daripada beratus-ratus ahli sukan yang telah menjadi mangsa akibat menyertai bidang sukan yang berisiko tinggi. Selain beliau, kita juga pernah mendegar kemalangan yang meragut nyawa pelumba gocart di Kuala Lumpur beberapa tahun dahulu, begitu juga dengan seorang pelumba motobot laju, pelumba motosikal, dan banyak lagi. Jelaslah bahawa sukan juga mempunyai implikasi yang buruk terutamanya bagi jenis sukan yang agresif. Pada hemat saya sampailah ketikanya peminat sukan menilai semula jenis-jenis sukan yang tidak patut diteruskan demi mengurangkan kemalangan yang tidak diingini.

Di samping itu, aktiviti sukan yang lain seperti payung terjun, lumba motobot, dan menunggang kuda juga boleh membawa akibat yang sama. Setiap ahli sukan berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup menggadai nyawa untuk mencapai kemenangan dan kemasyhuran. Kemalangan memang sesuatu yang berlaku tanpa diduga dan tidak dapat dielakkan. Terdapat peserta perlumbaan ini yang mengakhiri kemelut pertarungan mereka di dalam kereta ambulans. Sukan payung terjun merupakan jenis sukan yang berisiko tinggi. Kemungkinan besar terjunan yang dijangka menarik perhatian ramai bertukar menjadi satu tragedi yang menyedihkan. Ahli-ahli sukan sanggup menggadaikan nyawa demi nama dan wang ringgit. Sukan seperti bola sepak, hoki, gimnastik, dan ragbi boleh berakhir dengan kecelakaan dan kemalangan. Mokhtar dahari yang menjadi pemain lagenda negara akhirnya mengidap penyakit misteri sehingga membawa maut. Ahli sukan yang menyertai acara berkayak melawan arus jeram pula menggadai nyawa mereka ketika menentang arus yang deras itu umpama telur di hujung tanduk kerana mereka mungkin ditenggelami arus itu bila-bila masa sahaja. Hakikatnya, sukan memang membawa keburukan kepada ahli sukan sendiri.

Di samping pernyataan di atas, sukan juga menyebabkan permusuhan. Lazimnya orang mengatakan sukan mengeratkan persahabatan. Namun pernyataan itu tidak dapat diterima lagi pada hari ini. Hal ini demikian kerana sukan juga boleh membawa permusuhan, pergaduhan , dan perkelahian. Biasanya pihak yang menang dalam sesuatu pertandingan akan dipuja manakala pihak yang kalah akan dikritik. Keadaan ini akhirnya menimbulkan perasaan dendam dan pergaduhan mungkin tidak dapat dielakkan kerana masing-masing ingin melepaskan kemarahan. Keadaan akan menjadi lebih buruk lagi apabila penonton atau penyokong turut serta dalam persengkitaan yang berlaku. Hal ini boleh mencetuskan satu rusuhan yang besar. Peristiwa pergaduhan seperti ini telah beberapa kali kita lihat dipaparkan melalui media massa seperti yang sering terjadi di negara-negara barat malah di negara kita juga kita pernah melihat pengadil bola sepak dipukul kerana penyokong tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil tersebut. Walaupun terdapat pasukan keselamatan mengawal keadaan pada sepanjang perlawanan, namun jumlah penonton yang terlalu banyak itu menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal. Semua ini berpunca daripada sukan. Satu lagi gejala buruk yang timbul akibat sukan ialah perjudian. Ketika sesuatu pertandingan sukan diadakan di gelanggang sukan, perjudian pula berlaku di luar gelanggang. Masing-masing akan bertaruh wang ringgit untuk menentukan pihak yang bakal menjadi pemenang. Bukan sekadar itu sahaja, terdapat pihak yang merasuah dan mengatur perlawanan yang dilangsungkan. Para pemain menjadi boneka sindiket perjudian. Terdapat `bookie yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit jika pemain sanggup mengikut telunjuk mereka. Hal ini jelas terbukti apabila terdapat berita tentang pemain-pemain bola sepak yang didakwa di mahkamah kerana menerima rasuah. Ada pemain yang digantung permainan mereka, dan ada juga yang dibuang daerah.

Hakikatnya, kerana sukan mereka menjadi tamak dan sanggup membiarkan diri mereka diperalat oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Keadaan seperti ini telah mencemarkan nama baik dan tujuan asal sukan tersebut diadakan. Selain itu, isu pengambilan dadah oleh para atlit sukan untuk menguatkan otot juga merupakan satu tindakan yang melanggar undang-undang. Ahli-ahli sukan ini sanggup menggunakan dadah yang mengandungi bahan steroid demi wang ringgit dan kemasyhuran. Ahli-ahli sukan yang terkenal seperti Ben Johnson merupakan bekas ahli sukan yang pernah disingkirkan dari arena sukan akibat penggunaan dadah steroid; begitu juga dengan atlet tempatan iaitu Azmi Ibrahim. Oleh sebab terlalu ghairah untuk mendapat sanjungan peminat, atlet kadang-kadang sanggup melakukan apa-apa sahaja asalkan cita-cita mereka tercapai walaupun tindakan mereka itu melanggar peraturan dan undang-undang. Walaupun kegiatan sukan banyak menimbulkan implikasi yang buruk, namun kebaikannya tetap mengatasi keburukan. Terpulanglah kepada ahli sukan dan masyarakat sama ada hendak menjadikan sukan sebagai sesuatu yang baik atau sebaliknya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa sukan itu sendiri sebenarnya bersih dan murni namun kemurniannya itu dicemari oleh ahli sukan dan peminat sukan itu sendiri. Segala sesuatu yang baik di dunia ini, jika disalahgunakan tentu akan menimbulkan perkara yang buruk. Perlu juga kita ingat pepatah yang mengatakan , Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Sekian.

You might also like