Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 9

MAJLIS AMANAT YB MENTERI KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA PADA 4 JULAI 2013

Terima kasih, saudara dan saudari Pengacara Majlis. Salam sejahtera, salam bahagia dan salam 1 Malaysia, saya ucapkan kepada saudara saudari, semua warga kerja Kementerian Kesihatan yang saya dapat berjumpa secara rasminya di perhimpunan bulanan pertama saya. Saya berharap saudara-saudara berada dalam keadaan baik pagi ini. Saya tahu ada yang belum bersarapan pagi lagi. Jadi, saya akan cuba meringkaskan ucapan saya. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memperkenalkan YB Dato Seri Dr. Hilmi bin Hj. Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. Beliau adalah seorang yang lebih berpengalaman daripada saya di dalam bidang politik. Beliau pernah bertugas di Kerajaan Negeri termasuk sebagai Timbalan Ketua Menteri. Kami berdua dilantik sebagai Setiausaha Parlimen pada tahun 2004. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kewangan, manakala saya sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. YBhg Datuk Farida Mohd Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia juga boleh dikatakan baru di Kementerian ini. Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan di Jabatan Perkhidmatan Awam. Semasa beliau bertugas di JPA, saya banyak berurusan dengan beliau dari segi permohonan biasiswa dan pekerjaan oleh orang ramai.

YBhg Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, Timbalan-timbalan Ketua Pengarah Kesihatan,

Pengarah-pengarah Kesihatan Negeri, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian, Tuan-tuan, Puan-puan dan saudara saudari yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu, saya ingin memperkenalkan diri saya sendiri. Seperti saudara saudari maklum, saya bermula sebagai warga Kementerian Kesihatan juga. Selepas tamat pengajian dalam bidang perubatan di University Singapore pada tahun 1978, saya bertugas sebagai houseman di Hospital Daerah Taiping. Selepas itu, saya telah bertugas di beberapa hospital lain termasuk Hospital Kuala Kangsar, Hospital Tangkak dan Hospital Melaka. Saya telah mendapat kepakaran dalam bidang perubatan dalaman (internal medicine) sebelum mengambil kepakaran sub-speciality dalam bidang dermatologi. Secara keseluruhannya, saya telah berkhidmat selama lapan (8) tahun dengan Kerajaan. Saya juga pernah menjadi pensyarah di sebuah institusi perubatan di Melaka. Latar belakang saya yang luas ini dapat membantu saya menjalankan tanggungjawab sekarang, termasuk memahami dan menangani isu-isu semasa yang dihadapi oleh Kementerian. Saya mempunyai satu pendirian bahawa kita semua patut berasa bangga kerana berpeluang bertugas di Kementerian Kesihatan, berbanding dengan kementerian-kementerian yang lain. Ini adalah kerana di Kementerian ini, kalau kita meningkatkan tahap perkhidmatan kita, ia akan diterima dengan baiknya oleh rakyat jelata dan akan memberi kepuasan kepada semua pihak. Kita semua akan mendapat berkat hanya dengan menjalankan tugas kita sendiri. Kita tidak perlu buat apa-apa lebih daripada itu. Itu adalah satu kelebihan di Kementerian Kesihatan. Selain daripada itu, Kementerian ini adalah bebas daripada politik. Sebaliknya, kementerian-kementerian lain mempunyai ciri-ciri politik di mana apa-apa tindakan yang diambil tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak. Contohnya, di Kementerian Sumber Manusia, jika sesuatu dasar yang dilaksanakan dihargai oleh pihak majikan, pihak pekerja akan membantah. Sebaliknya, jika sesuatu dasar memihak kepada pihak
2

pekerja, pihak majikan pula akan merasa kurang puas hati. Dalam pada itu, usaha untuk mengimbangi keadaan supaya kedua-dua pihak berpuas hati bukan satu perkara yang mudah.

Keadaannya adalah berbeza di Kementerian ini di mana harapan semua orang, tidak kira dari PKR, DAP, PAS, UMNO, MIC mahupun MCA adalah sama, iaitu Saya Mahu Sihat. Dan di dalam penyampaian perkhidmatan itu, kita tidak pilih-memilih. Semua orang adalah sama-rata. Keadaan Kementerian ini yang bebas daripada politik adalah satu perkara yang sangat baik untuk kita. Kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita, iaitu menjaga kesihatan 28 juta rakyat Malaysia sejak lahir hingga meninggal dunia dengan lebih berkesan. Penyampaian perkhidmatan yang baik ini akan membawa kepada kepuasan rakyat, termasuk Tuhan. You can actually reach God through your work. Rakyat jelata, seramai 28 juta orang ini mempunyai harapan yang tinggi dan besar daripada kita. Walaupun kadang-kadang mereka mempunyai rintihan, tetapi, kita perlu menerima rintihan ini secara positif. Kadangkadang, kita lihat kepada segala teguran yang kita terima daripada perspektif kita sendiri. Tuan-tuan dan puan-puan perlu ubah dan cuba lihat daripada sudut pandangan mereka. Kalau kita berupaya untuk berbuat sedemikian, kita akan dapat menghayati sesuatu perkara berkenaan dari perspektif yang jauh berbeza. Dalam satu surat khabar Tamil, tersiar satu berita berkenaan dengan aduan seorang ibu yang membawa anaknya ke satu Klinik Kesihatan di Kapar dimana beliau terpaksa menunggu dari pukul 2.30 petang sampai 5.30 petang sebelum dapat berjumpa dengan doktor. Selepas menunggu selama berjam-jam, rawatan yang diberi cuma mengambil masa 2 hingga 3 minit sahaja. Dalam kes ini, perspektif pesakit ialah, seorang rakyat miskin yang tidak mampu mendapat rawatan di klinik swasta terpaksa menunggu berjam-jam di klinik awam hanya untuk mendapat rawatan untuk beberapa minit sahaja. Dari perspektif kita pula, pesakit terlalu ramai, kita perlu kerja kuat, doktor tidak cukup dan jururawat tidak cukup. Perspektif dari kedua-dua
3

pihak ini adalah jauh berbeza. Untuk menyelesaikan masalah ini, kalau kita lihat daripada perpektif diri kita sendiri sahaja, kita tidak akan cuba untuk mengatasi isu yang dihadapi kita. Satu penyelesaian hanya dapat dicapai kalau kita lihat dari perspektif mereka. Sebagai seorang ahli politik, perkara ini sering dihadapi, di mana setiap masa, akan ada rakyat yang datang mengadu dan kadang-kadang dalam keadaan marah. Permintaan rakyat sekarang adalah lebih demanding jika dibanding dengan zaman dahulu, dan kita perlu menghadapi keadaan ini dengan penuh kesabaran. Sistem perkhidmatan kesihatan di Malaysia merupakan salah satu sistem yang terbaik di dunia dan kita harus berbangga dengan reputasi ini. Di dalam sistem ini, kita mempunyai satu rangkaian fasiliti kesihatan yang menyeluruh, daripada hospital, pejabat kesihatan, klinik kesihatan hingga ke klinik desa. Dalam rangkaian yang menyeluruh ini, setiap rakyat dapat memperolehi perkhidmatan kesihatan dalam lingkungan 4 kilometer dari tempat tinggal masing-masing. Lebih kurang 95 hingga 97 peratus daripada populasi Malaysia boleh mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi, kemudahan yang canggih pada keseluruhannya serta penjawat awam yang diberi latihan yang mencukupi. Selain itu, sebahagian besar anggota kesihatan juga telah diberi latihan yang mencukupi dan mempunyai kepakaran dalam melaksanakan tugas. Ini semua kelebihan yang terdapat di dalam sistem kesihatan di Malaysia. Keadaan ini tidak wujud di semua negara. Di rantau ini, tidak ada negara yang mempunyai sistem seperti ini, kecuali Singapura. Walaupun Malaysia mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang terbaik, tetapi beberapa isu yang disuarakan oleh rakyat perlu diselesaikan supaya kemudahan infrastruktur yang sedia ada boleh memberi perkhidmatan yang mencukupi. Berhubung perkara ini, pegawai-pegawai di ibu pejabat, terutamanya, Ketua-ketua Jabatan boleh diibaratkan sebagai celebral cortex kepada sistem kesihatan di Negara ini. Ini bermakna sesuatu dasar diwujudkan di ibu pejabat, manakala pelaksanaannya adalah di peringkat agensi pelaksana seperti di Klinik-klinik Desa. Begitu juga dengan keputusan-keputusan lain yang dibuat di ibu pejabat seperti bilangan doktor dan jururawat, peruntukan serta pengagihan aset.
4

Sehubungan itu, tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan adalah amat besar bagi merealisasikan matlamat tersebut. Di peringkat Ibu Pejabat Kementerian, kita ada pegawai kanan dan juga pegawai sokongan. Walaupun pegawai kanan memainkan peranan penting dalam memutuskan perkara dasar, pegawai sokongan memainkan peranan yang lebih penting sebagai pelaksana. Kita boleh keluar satu arahan atau dasar yang terbaik, tetapi jika pelaksanaannya lemah, keputusan yang diharapkan tidak akan tercapai. Justeru itu, kita harus memberi penghormatan dan penghargaan kepada kumpulan sokongan ataupun kumpulan pelaksana ini. Sebagai analoginya, kita boleh lihat kepada sesuatu pasukan bola sepak. Kalau pemain tengah (midfielder) tidak memainkan peranan, maka, penyerang tidak mampu menjaringkan gol. Begitu juga sekiranya pemain tengah telah memainkan peranannya dengan baik tetapi penyerang tidak menjaringkan gol, maka, pasukan tersebut tidak akan berjaya untuk mencapai kemenangan. Sehubungan itu, kerjasama itu sangat penting untuk mencapai sesuatu matlamat. Kita perlu sedar bahawa sesuatu keputusan akan memberi implikasi yang besar kepada 28 juta rakyat di negara ini. Tuan/puan sebagai ketua mempunyai tanggungjawab yang besar kerana tuan/puan akan mempengaruhi kesihatan rakyat. Oleh itu, kita tidak boleh melakukan sebarang kesilapan kerana risiko dan kesan daripada kesilapan yang dibuat mempunyai implikasi yang besar. Sistem di KKM adalah berbeza daripada sistem di kementeriankementerian yang lain di mana sebahagian daripada warga KKM terdiri daripada golongan profesional. Di sini ada kebaikan dan keburukannya. Kebaikannya ialah golongan professional mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas. Keburukannya ialah golongan professional kadangkadang adalah agak degil (stubborn). Ini adalah berdasarkan pengalaman saya selama satu setengah bulan sebagai Menteri Kesihatan. Di KKM, terdapat dua kumpulan penjawat awam utama yang berbeza iaitu golongan teknikal dan pengurusan. Mereka perlu bekerjasama dan menerima (accept) kewujudan masing-masing dalam satu pasukan.
5

Sekiranya berlaku pertelingkahan, maka, sesuatu matlamat atau dasar tidak akan dapat dicapai. Setiap golongan mempunyai kepakaran, kelebihan serta keistimewaan masing-masing dan saling bergantung di antara satu sama lain demi mencapai matlamat, visi dan misi Kementerian. Contohnya, kita tidak boleh mengharapkan Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) untuk memandu ambulans kerana kemahiran tersebut adalah dikhususkan kepada pemandu ambulans, sedangkan kepakaran KPK adalah sebagai penggubal dasar kesihatan. Oleh itu, kita tidak boleh membuat perbandingan di antara kemahiran pemandu ambulans dengan kemahiran KPK atau seorang pakar kerana mereka mempunyai kemahiran dan tanggungjawab yang berbeza tetapi sama penting. Sehubungan itu, setiap kumpulan perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing. You cannot run a ministry without the professional group. Neither can you run a ministry without the administrative group. Pada masa yang sama kita perlu menyedari bahawa kita semua bergerak ke arah satu matlamat yang sama. Dalam proses menjalankan tugas, kita perlu menilai diri sendiri. Why am I here? Kita harus menghayati peranan dan tanggungjawab kita sebagai salah seorang anggota KKM. Sebagai contoh, saya menerima hakikat bahawa tempoh perkhidmatan saya sebagai Menteri Kesihatan adalah terhad iaitu lebih kurang empat tahun setengah sahaja. Maka, saya harus menetapkan matlamat yang boleh dicapai dalam tempoh tersebut. Adalah tidak realistik bagi saya untuk menetapkan sesuatu perancangan bagi tempoh 20 tahun. Selain daripada itu, saya juga boleh menjalankan tugas sebagai Menteri secara biasa dan sambil lewa sahaja dengan melakukan tugas-tugas seperti mempengerusikan mesyuarat atau merasmikan majlismajlis tertentu. Namun, saya perlu tanya diri sendiri. Adakah ini yang saya mahu capai sebagai Menteri Kesihatan? Jika saya ingin meninggalkan satu legasi di KKM, saya harus mempunyai matlamat yang lebih positif dan bermakna. Tuan-tuan dan puan-puan juga perlu bertanyakan soalan yang sama dalam diri masing-masing. Seperkara lagi, tuan-tuan dan puan-puan juga perlu cuba melihat sesuatu perkara dari pelbagai aspek. Bak kata seorang ahli falsafah, the husband is happy if he looks at his wife from a different perspective everyday.

Pendekatan yang sama juga perlu diamalkan dalam kehidupan harian kita. Jangan sesekali kita terjerat dengan pemikiran atau pendekatan business as usual kerana ia akan memudaratkan mutu perkhidmatan kita. Oleh kerana itu, kita perlu bertekad untuk do things differently. Oleh itu, setiap daripada kita perlu melihat sesuatu perkara itu secara menyeluruh dan bagaimana kita boleh membuat penambahbaikan terhadap perkara tersebut. Menetapkan matlamat yang kita mahu capai juga adalah sangat penting. Sekiranya pada mulanya matlamat seseorang itu tidak jelas, sudah tentu sukar untuk mempunyai hala tuju yang betul. Dengan kata lain, matlamat yang tidak jelas sudah pasti akan membawa kepada jalan buntu. All the GPS wont help you because you dont know your direction and you dont know where you are heading for. Sebahagian besar daripada penjawat awam cenderung menjalankan tugas mereka secara rutin dan berulang-ulang. Malangnya dalam perkhidmatan awam, kita tidak dibayar gaji berasaskan output. Kerajaan telah cuba melaksanakan ke arah tersebut melalui Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), namun pelaksanaannya tidak dapat diteruskan. Dalam tempoh empat setengah tahun saya berkhidmat di Kementerian ini, saya ingin melihat penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat dipertingkatkan. Kita perlu meningkatkan prestasi dan mempunyai indikator yang baru seperti masa menunggu untuk pesakit luar di klinik-klinik seluruh Malaysia. Untuk mewujudkan indikator baru, sudah semestinya kita perlu mempunyai rancangan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Pengarah Kesihatan perlu berbincang bagaimana sasaran ini dapat dicapai. Boleh kita rumuskan bahawa, sekiranya kita hendak memuaskan hati semua pihak, kita perlu mengenalpasti kekangan yang menjadi penghalang untuk mencapai matlamat tesebut. Persoalan kenapa pesakit perlu menunggu sehingga dua jam perlu diteliti kerana kita semua tidak suka menunggu. Jadi, kita perlu mencari jalan bagaimana kita boleh mengurangkan masa menunggu ini. Perkara yang sama juga berlaku di hospital-hospital di mana, terdapat pesakit yang terlantar di atas troli, katil dan sebagainya. Sudah tentu pesakit berasa tidak selesa jika terlantar di atas troli. Kita perlu mencari
7

jalan penyelesaian bagi memastikan perkara ini tidak berlaku di fasiliti kesihatan kita. Kita juga perlu meningkatkan prestasi profesionalisme di setiap peringkat. Keberkesanan komunikasi di setiap kalangan individu yang terlibat dalam proses penyampaian juga adalah penting khususnya bila berurusan dengan pesakit. Komunikasi yang berkesan termasuk menunjukkan kasih sayang dan belas ihsan kepada pesakit. Sekiranya kita hendak memberi ubat kepada pesakit, ia hendaklah diberikan dengan cara yang baik. Sekiranya ubat diberi dengan cara yang kasar tanpa hormat dan kasih sayang, ubat yang terbaik dan paling mahal sekalipun tidak akan mendatangkan manfaat kerana badan pesakit akan menolak ubat tersebut. Dengan erti kata lain, ciri-ciri profesionalisme adalah sangat penting. Dalam pada itu, para profesional perlu dilatih dan dilatih semula (retrained) supaya mereka dapat kekalkan tahap profesionalisme yang terunggul. Saya juga ingin tegaskan di sini, penyakit-penyakit tidak berjangkit mula menimbulkan kebimbangan kita. Masalah ini adalah akibat cara hidup kini yang kurang sihat. Dengan itu, kita perlu berusaha dengan bersungguhsungguh bagi mentransformasikan cara pemikiran masyarakat kita ke arah cara hidup yang sihat. Tindakan yang perlu diambil tidak boleh lagi merupakan tindakan yang biasa tetapi perlu mengambil tindakan yang luar biasa termasuk thinking out of the box. Mesej ini nampak mudah tetapi ia sebenarnya susah untuk dicapai. Ini adalah cabaran yang kita perlu hadapi bersama-sama demi membawa kepada kesejahteraan rakyat Malaysia. Satu perkara yang ingin saya sentuh ialah berkenaan dengan persekitaran yang sihat (healthy environment). Jika kita dapat mewujudkan persekitaran yang sihat, perjuangan kita untuk mewujudkan satu masyarakat yang sihat telah tercapai separuh. Sehubungan dengan ini, pendekatan baru perlu diambil, termasuk bagai mana meningkatkan kesedaran di kalangan pemilik-pemilik premis makanan. Walaupun usaha atau kempen telah diambil untuk meningkatkan kesedaran pemilik premis makanan, saya mahu ia dipertingkatkan dan dilaksanakan secara besar-besaran supaya kita boleh mencapai tujuan
8

kita. Kita tidak perlu risau bahawa segelintir pemilik kedai akan marah terhadap tindakan kita kerana sebahagian besar rakyat biasa akan menghargai tindakan kita. Akhir kata, boleh dirumuskan di sini bahawa dalam empat setengah tahun ini, apa yang saya ingin lihat tercapai ialah dengan usaha gigih kita bersama-sama, kita akan dapat mewujudkan satu persekitaran yang sihat, rakyat yang sihat dengan cara hidup yang sihat. Selain daripada itu, saya juga ingin lihat, kita dapat menghasilkan satu sistem perkhidmatan kesihatan di mana masa menunggu dapat diminimakan, perkhidmatan kesihatan serta kemahiran kerja adalah pada tahap yang tertinggi. Tuan-tuan dan puan-puan, itulah yang saya ingin capai dalam masa empat setengah tahun ini. Dalam proses untuk mencapainya, anda adalah keluarga saya yang akan membantu saya. Saya harap saudara-saudari dapat memikirkan perkara ini dengan sedalam-dalamnya, dan selepas itu, memperolehi satu keputusan yang sewajarnya.

You might also like