Bruner and Konstruktivisme

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 1

Pendekatan induktif dimulakan dengan sesuatu sebab atau contoh dan bergerak ke hadapan kepada satu generalisasi (John,

M. Kierzek dan Walker Gibson, 1960). Pendekatan ini memerlukan pelajar untuk melakukan proses penaakulan yang tinggi di mana pelajar menafsir maklumat yang dikumpul untuk membuat kesimpulan. Pendekatan induktif sangat praktikal untuk diaplikasikan dalam konteks pembelajaran sains kerana membantu meningkatkan pemikiran pelajar secara produktif dan kreatif. Pendekatan induktif membolehkan pelajar membuat kesimpulan daripada satu urutan pemikiran. Pertamanya, pelajar didedahkan dengan contoh yang khusus, sesuai dan beraneka konteks dan situasi yang mempunyai prinsip yang sama. Kemudian, guru membantu membina kefahaman pelajar dengan menyoal pelajar ke arah membuat kesimpulan. Pengetahuan pelajar dibina melalui dialog di antara pelajar dan guru serta pengorganisasian maklumat yang sedia ada. Akhirnya, pelajar berkeupayaan menggunakan pengetahuan baru yang telah dibina dalam situasi yang berbeza. Guru boleh menggunakan pendekatan ini dalam pembelajaran topik-topik sains yang memerlukan pelajar untuk membuat pengelasan berdasarkan ciri-ciri yang dihuraikan. Sebagai contoh, guru boleh mengemukakan contoh khusus seperti tumbuhan yang mempunyai urat daun jejala, berakar tunjang dan kebiasaannya batang berkayu. Pelajar boleh menafsir data ini dengan mengkategorikan tumbuhan tersebut sebagai kumpulan tumbuhan dikotiledon. Pelajar seterusnya boleh membuat generalisasi bahawa tumbuhan berbunga dapat dikelaskan kepada dua kumpulan utama, iaitu dikotiledon dan monokotiledon. Selain daripada itu, pendekatan induktif menggalakkan pelajar untuk menjalankan aktiviti bagi memperoleh pengalaman dan pengetahuan dalam pembelajaran. Penglibatan pelajar secara aktif dengan memaksimakan penggunaan deria seperti mendengar, membaca, melihat dan berkomunikasi sangat digalakkan. Melalui kaedah ini, pelajar diberi peluang untuk membina pengetahuan baru dengan membuat hubungkait dengan pengetahuan sedia ada dan melalui penglibatan pelajar sendiri dengan situasi kehidupan yang sebenar. Tambahan lagi, penglibatan pelajar secara aktif dapat ditingkatkan dengan melakukan aktiviti di luar bilik darjah. Sebagai contoh, guru boleh membuat lawatan sambil belajar ke zoo. Peluang yang diberikan ini boleh digunakan oleh pelajar untuk membuat pemerhatian terhadap haiwan yang terdapat di dalam zoo tersebut dan mengambil peluang untuk menyoal pegawai zoo bagi memperoleh maklumat lebih tentang haiwan tersebut. Dengan itu, pelajar dapat membina pengetahuan baru secara tidak langsung dan menyeronokkan.

You might also like