Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 14

KUPU-KUPU

Kupu-kupu, di dalam bahasa Inggeris disebut butterfly merupakan sejenis serangga terbang daripada kumpulan Lepidoptera, sama seperti rama-rama. Kebanyakan kupu-kupu mempunyai kepak dengan warna yang terang dan menarik. Seperti serangga holometabolisme lain, kitaran hidup kupu-kupu terdiri daripada empat bahagian, telur, larva, pupa dan dewasa. Kebanyakan spesies merupakan diurnal (berjaga siang). Kupu-kupu terdiri daripada kupu-kupu sejati (superfamily Papilionoidea), skipper (superfamily Hesperioidea) dan kupukupu rerama (superfamily Hedyloidea). Semua keluarga yang lain dalam Lepidoptera dipanggil rama-rama. Fosil kupu-kupu yang terawal datang dari pertengahan zaman Eosen, iaitu 40 50 juta tahun dahulu. Ramai orang keliru antara kupu-kupu dan rama-rama. Perbezaan fizikal utama ialah pada sesungutnya. Kebanyakan kupu-kupu mempunyai sesungut berfilamen yang langsing dan berbentuk belantan di hujungnya. Sesungut rama-rama pula lebih berbulu. Perbezaan lain ialah rama-rama akan merentangkan sayapnya apabila berehat, sementara kupu-kupu sayapnya terlipat tegak di atas tubuh pada waktu berehat. Kebanyakan kupu-kupu aktif pada siang hari dan oleh itu berwarna-warni, manakala rama-rama aktif pada malam hari dan tertarik kepada cahaya lampu. Seperti serangga yang lain, mereka juga mempunya tiga bahagian badan. Setiap bahagian badan ini dilindungi oleh kitin iaitu sejenis tulang luar yang mempunyai kepingan bagi membentuk segmen-segmen pada morfologi kupu-kupu. Bahagian-bahagian tersebut iaitu kepala, thoraks dan juga abdomen yang mana bahagian ini dikenali juga sebagai tagma.

Bahagian kepala Bahagian ini mempunyai probosis, dua mata kompoun dan juga sepasang antena.

Antena Mempunyai hujung yang berbentuk bulat, terdiri daripada beberapa segmen dan mempunyai pelbagai fungsi yang berbeza-beza. Salah satu daripada fungsi tersebut ialah sebagai deria untuk mengesan bau. Ciri-ciri bagi sesetengah antena kupu-kupu adalah berbeza dari segi bentuk dan oleh kerana itu, proses pengecaman spesis dilakukan dengan merujuk kepada bentuk antena. Antena juga terletak berhampiran dengan mata kompoun kupu-kupu. Mata ini membantu kupu-kupu membezakan corak dan warna pada kelopak bunga dan juga corak yang

terdapat pada sayap kupu-kupu yang lain. Ini adalah kerana, mata kompoun itu sendiri terdiri daripada beribu-ribu kanta kornea yang berhubung terus ke saraf.

Probosis. Organ khusus yang terletak di bawah kepala untuk menghisap bagi tujuan pemakanan. Organ ini mempunyai sendi berbentuk seperti lutut yang boleh dijumpai ditengah-tengahnya. Ini bertujuan untuk memudahkan kupu-kupu menghisap nektar daripada bunga-bunga yang berhampiran tanpa perlu menggerakan badannya. Ini penting untuk mengelakkan daripada menarik perhatian pemangsa.

Bahagian thoraks Bertindak sebagai tempat menyimpan tenaga dan juga dalam pergerakan kupu-kupu tersebut. Ia boleh dibahagikan kepada tiga segment, iaitu prothoraks, mesothoraks dan metathoraks.

Prothoraks Mempunyai sepasang kaki.

Mesothoraks, Mempunyai sepasang kaki dan juga sayap hadapan.

Metathoraks Mempunyai sepasang kaki dan sayap belakang.

Bahagian abdomen Ia mengandungi pelbagai jenis organ bagi sistem pencernaan, perkumuhan dan pembiakan. Mengandungi sepuluh segmen dan dua segmen yang belakang telah diubahsuai untuk membentuk organ pembiakan.

Peringkat Perkembangan Kupu-Kupu Kebanyakan orang mempercayai bahawa kupu-kupu mempunyai jangka hayat yang amat singkat. Sebenarnya, kupu-kupu dewasa mampu hidup selama seminggu mahupun hampir setahun bergantung pada spesiesnya. Kebanyakan spesies melalui peringkat larva yang agak lama, dan ada yang mampu menjadi dorman (tidak aktif) ketika dalam peringkat pupa atau telur agar dapat mengharungi musim sejuk. Kupu-kupu boleh bertelur sekali atau banyak kali setiap tahun. Bilangan keturunan setahun berbeza-beza atas pengaruh iklim, yang mana kupu-kupu yang tinggal di kawasan tropika mampu bertelur lebih sekali dalam setahun.

1) Telur

Telur kupu-kupu Ariadne merione

Telur kupu-kupu dilindungi oleh kulit berabung keras yang dipanggil korion ditutupi dengan salutan lilin yang melindungi telur daripada terjemur sebelum larva sempat berkembang sepenuhnya. Setiap telur mengandungi liang-liang berbentuk corong yang halus di satu hujungnya, iaitu mikropil yang bertujuan membolehkan kemasukan sperma untuk mensenyawakan telur. Lain spesies lain saiz telurnya, namun semua telur kupu-kupu berbentuk sfera mahupun oval. Telur kupu-kupu dilekatkan pada daun dengan bahan perekat (lendiran) khas yang cepat mengeras. Apabila mengeras, bahan itu mengecut dan mencacati bentuk telur. Perekat ini mudah dilihat membentuk bahan meniskus (melekuk) yang mengelilingi tapak setiap telur. Perekat ini jugalah yang dihasilkan oleh pupa untuk mengikat seta-seta kremaster. Perekat ini sungguh keras sampai lapik sutera yang melekatkan seta-seta tidak boleh dipisahkan. Telur kupu-kupu sentiasa diletakkan di atas tumbuhan. Setiap spesies kupu-kupu mempunyai julat tumbuhan perumah yang sendiri, baik yang hanya satu spesies mahupun pelbagai spesies. Peringkat telur dilalui selama beberapa minggu bagi kebanyakan kupu-kupu, tetapi telur yang keluar tidak lama sebelum musim sejuk, terutamanya di kawasan beriklim

sederhana, perlu melalui peringkat diapaus (rehat) dan hanya menetas pada musim bunga. Terdapat spesies kupu-kupu yang lain yang boleh bertelur pada musim bunga supaya telur boleh menetas pada musim panas.

2) Beluncas

Beluncas Junonia coenia.

Larva kupu-kupu, iaitu beluncas, memakan daun tumbuhan dan menghabiskan seluruh masanya sebagai beluncas untuk mencari makanan. Kebanyakan beluncas adalah maun, tetapi ada beberapa spesies seperti Spalgis epius dan Liphyra brassolis yang memakan serangga. Sesetengah larva, terutamanya yang tergolong dalam Lycaenidae, menjalin perhubungan kesalingan dengan semut. Beluncas berhubung dengan semut dengan menggunakan getaran yang dipancarkan melalui substrat di samping merembeskan isyarat kimia. Semut sedikit sebanyak melindungi larva ini; sebagai balasan, larva menolong semut mengumpulkan rembesan madu. Beluncas membesar melalui serantaian peringkat yang dipanggil instar. Menjelang akhir setiap instar, larva menjalani proses yang dipanggil apolisis, yang mana kulit ari, iaitu lapisan luaran keras yang diperbuat daripada campuran kitin dan protein-protein khusus, dikeluarkan dari epidermis yang lembut di bawahnya, maka epidermis membentuk kulit ari yang baru di bawah. Di akhir setiap instar, larva itu bersalin kulit lamanya, maka kulit baru berkembang lalu mengeras dan menghasilkan pigmen dengan cepat. Proses menyalin kulit ini boleh mengambil masa berhari-hari. Corak kepak kupu-kupu mula berkembang pada tubuh beluncas menjelang instar yang terakhir. Beluncas kupu-kupu mempunyai tiga pasang kaki kekal pada segmen toraks dan tidak lebih enam pasang prokaki yang tumbuh pada segmen abdomen. Pada prokaki ini ada gegelang cangkuk halus iaitu krusye yang membantu beluncas menggenggam substrat. Sesetengah beluncas mampu mengembungkan sesebahagian kepalanya supaya mirip ular

sebagai langkah pertahanan. Ada juga yang dilengkapi dengan mata palsu supaya lebih berkesan. Sesetengah beluncas mempunyai struktur khas bergelar osmeterium yang dibokongkan untuk merembeskan bahan kimia yang busuk atas tujuan pertahanan juga. Tumbuhan perumah selalunya mengandungi bahan toksik di dalamnya yang dapat diasingkan oleh beluncas untuk disimpan sampai peringkat dewasa supaya tidak sedap dimakan oleh burung dan pemangsa-pemangsa yang seumpamanya. Ketidaksedapan ini diperlihatkan dengan warna-warna amaran merah, jingga, hitam atau putih, dalam tabiat yang dikenali sebagai aposematisme. Bahan-bahan toksik dalam tumbuhan sering dikembangkan khusus untuk melindungi tumbuhan daripada dimakan oleh serangga. Bagaimanapun, serangga berjaya mengembangkan langkah balas atau memanfaatkan toksin-toksin ini untuk kemandirian dirinya. "Perlumbaan senjata" ini telah mencetuskan evolusi bersama sesama serangga dan tumbuhan perumahnya.

3) Perkembangan Kepak

Cakera kepak instar akhir, Junonia coenia

Pemerhatian teliti kepak kupu-kupu

Kepak atau anak kepak tidak kelihatan di luar larva, tetapi apabila larva dibedah, kelihatannya cakera kepak yang halus dan berkembang pada segmen toraks kedua dan ketiga di tempat spirakel yang kelihatan pada segmen abdomen. Cakera kepak berkembang seiringan dengan trakea yang terletak di sepanjang tapak kepak, dan dikelilingi oleh membran peripodial yang nipis dan berpaut pada epidermis luaran larva dengan duktus yang halus. Cakera kepak amat kecil sehinggalah instar larva terakhir, apabila ia bertambah besar dengan begitu cepat, dilanda oleh trakea yang bercabang dari tapak kepak yang mendahului pembentukan urat kepak, dan mula mengembangkan corak-corak yang berkaitan dengan beberapa tanda tempat kepak. Menjelang pempupaan, kepak-kepak dipaksa keluar dari epidermis di bawah tekanan dari hemolimfa. Walaupun pada mulanya agak anjal dan rapuh, tetapi ketika pupa memecah

keluar dari kulit ari larva, kepak-kepak itu melekat rapat pada kulit ari luaran pupa (yang obtek). Dalam masa beberapa jam, kepak itu membentuk kulit ari yang sungguh keras dan terikat rapat pada tubuh supaya pupa boleh dipegang tanpa merosakkan kepak.

4) Pupa (kepompong)

Kepompong kupu-kupu.

Apabila beluncas bertumbuh cukup besar, terhasilnya hormon-hormon seperti hormon protorasikotropik (PTTH) yang keluar dari otak untuk untuk memulakan proses pempupaan. Ketika ini, larva berhenti makan dan mula mencari tempat yang sesuai untuk bertukar menjadi pupa, lazimnya di bawah daun. Larva itu bertukar menjadi pupa (atau kepompong) dengan bergantung pada substrat lalu bersalin kulit buat kali terakhir. Dalam kepompong, beluncas merembeskan enzim-enzim yang "mencernakan" hampir seluruh tubuhnya menjadi benda lekit kecuali sel-sel yang penting untuk membentuk tubuh kupu-kupu serta neuron-neuron yang menyimpan kenangannya sebagai beluncas. Kepompong ini lazimnya tidak mampu bergerak, namun sesetengah spesies boleh menggoncangkan segmen-segmen abdomennya atau membuat bunyi untuk menakutkan pemangsa. Transformasi pupa menjadi kupu-kupu secara metamorfosis amat mengagumkan kaum manusia. Untuk menukar bentuk kepak kenit yang kelihatan di luar pupa kepada kepak besar yang sesuai untuk penerbangan, kepak pupa menjalani mitosis yang deras sambil menyerap nutrien yang amat banyak. Jika satu kepak dicabut dari awal lagi, tiga kepak yang tinggal akan tumbuh dengan lebih besar. Dalam pupa, kepak membentuk struktur yang menjadi mampat dari hujung hingga pangkal, dan dilipat dari hujung proksimal hingga distal apabila

tumbuh, supaya ia boleh dibuka dengan cepat hingga mencapai saiz dewasa sepenuhnya. Sempadan-sempadan yang kelihatan pada corak warna dewasa adalah disebabkan oleh perubahan dalam ekspresi faktor-faktor transkripsi yang tertentu pada awal peringkat pupa. 4) Dewasa (imago) Peringkat dewasa yang cukup matang untuk hubungan seks bagi serangga dipanggil imago. Kupu-kupu dewasa mempunyai empat helai kepak yang disaluti dengan sisik-sisik yang halus. Kepak depan dan kepak belakang tidak bercantum agar kupu-kupu boleh terbang dengan cantik. Kupu-kupu dewasa mempunyai enam batang kaki, tetapi bagi spesies-spesies Nymphalidae, kaki depannya amat kecil. Setelah keluar dari kepompong, kupu-kupu tidak boleh terbang sehingga kepaknya dibuka. Kupu-kupu yang baru keluar perlu mengambil masa untuk mengembangkan kepaknya dengan darah sambil menjemurkan kepaknya, baik satu jam mahupun berjam-jam lamanya; pada ketika inilah ia amat terdedah kepada pemangsa. Kebanyakan kupu-kupu mengumuhkan bendalir pewarna lebihan selepas keluar dari kepompong, baik yang putih, merah mahupun jingga. Morfologi luaran

Anggota-anggota tubuh kupu-kupu

Kupu-kupu dewasa mempunyai empat helai kepak, iaitu kepak depan dan kepak belakang di setiap sisi kiri dan kanan tubuh. Tubuh kupu-kupu terdiri daripada tiga segmen, iaitu kepala, toraks, dan abdomen. Kepala kupu-kupu dilengkapi dengan sepasang sesungut, sepasang mata majmuk, dan sebatang probosis (belalai).

Sisik Kupu-kupu bercirikan kepak yang disaluti dengan sisik. Pewarnaan kepak kupu-kupu dihasilkan oleh sisik yang amat halus. Sisik-sisik ini berpigmen melanin yang memberinya warna hitam dan perang, tetapi warna biru, hijau, merah dan lain-lain biasanya tidak dihasilkan oleh pigmen, sebaliknya oleh mikrostruktur sisik itu. Pewarnaan struktur ini

berpunca daripada serakan cahaya secara koheren oleh sifat sisik yang hablur fotonik. Sisik itu melekap pada kepak dengan agak longgar dan mudah tertanggal tanpa mengapa-apakan kupu-kupu.

Imej fotograf dan mikroskop bercahaya

Pandangan zum jauh Inachis io.

Pandangan dekat sisik pada spesimen yang sama.

Pembesaran gambar tinggi bagi sisik yang berwarna (mungkin spesies lain).

Imej mikroskop electron

Sebahagian kepak Kira-kira 50

Pandangan dekat sisik Kira-kira 200

Sekeping sisik Kira-kira 1000

Microstruktur sisik Kira-kira 5000

Pembesaran gambar

Kebanyakan kupu-kupu dewasa mempamerkan polimorfisme, iaitu menunjukkan perubahan pada penampilan, atas faktor-faktor geografi, musim dan sebagainya. Selain itu,

bagi kebanyakan spesies yang betina tampil dalam berbagai-bagai rupa, selalunya dalam bentuk mimetik. Dimorfisme seks dalam pewarnaan dan wajah adalah perkara yang biasa buat kupu-kupu. Selain itu, kebanyakan spesies mempamerkan dimorfisme seks dalam corak kebolehpantulan ultraungu walaupun kelihatan seiras kepada mata kasar manusia. Kebanyakan kupu-kupu mengamalkan sistem penentuan jantina ZW yang mana yang betina ialah jantina heterogamet (ZW) dan yang jantan pula homogamet (ZZ). Kelainan genetik seperti ginandromorfi juga terjadi dari masa ke semasa. Tambahan pula, kebanyakan kupu-kupu dijangkiti oleh bakteria Wolbachia yang boleh menukarkan kupu-kupu jantan kepada betina ataupun pembunuhan jantan secara berpilih pada peringkat telur.

Kemimikan Kupu-kupu sering mempamerkan sifat kemimikan Bates dan Mller. Kemimikan Bates adalah meniru spesies lain untuk menikmati perlindungan dari suatu sifat yang tidak dimilikinya, iaitu aposematisme. Misalnya, kupu-kupu Papilio polytes betina dari India melakukan penjelmaan yang meniru sesetengah kupu-kupu genus Atrophaneura yang tidak boleh dimakan oleh pemangsa. Kemimikan Muller pula berlaku apabila spesies aposematik berevolusi agar mirip sesama sendiri, mungkin untuk mengurangkan kadar pensampelan pemangsa, contohnya kupu-kupu Heliconius dari benua Amerika. Sesetengah spesies mempunyai tompok pada kepak yang dipanggil bintik mata; ciri ini mungkin memainkan peranan automimik ataupun komunikasi intraspesies seperti menarik teman untuk mengawan. Akan tetapi, fungsi bintik mata kupu-kupu kadang-kadang tidak dapat dipastikan, dan mungkin merupakan anomali evolusi yang berkaitan dengan keanjalan nisbi gen-gen yang mengekodkan tompok-tompok berkenaan.

Polifenisme bermusim Kebanyakan kupu-kupu tropika mempunyai rupa-rupa bermusim yang tersendiri. Fenomena ini bergelar polifenisme bermusim dan rupa bermusim kupu-kupu ini terdiri daripada rupa kemarau dan rupa tengkujuh. Pengaruh musim ke atas ekspresi genetik corak masih sedang diselidik. Pengubahsuaian rawatan hormon ekdison untuk uji kaji telah menunjukkan bahawa boleh dikawalnya keselanjaran ekspresi variasi antara rupa musim tengkujuh dan kemarau. Rupa musim kemarau selalunya lebih rumit, hinggakan adalah dipercayai bahawa perlindungan yang diberikan itu merupakan suatu adaptasi. Ada yang juga menunjukkan warna yang lebih gelap pada rupa musim tengkujuh yang mungkin

mendatangkan kelebihan termokawalatur dengan meningkatnya keupayaan menyerap sinaran matahari. Bicyclus anynana merupakan satu spesies kupu-kupu yang menunjukkan contoh polifenisme bermusim yang ketara. Kupu-kupu yang endemik di Afrika ini mempunyai dua rupa fenotip berbeza yang bersilih-ganti mengikut musim. Bentuk musim tengkujuh mempunyai bintik mata ventral yang besar dan ketara sekali, sedangkan rupa musim kemarau pula mempunyai bintik mata ventral yang amat halus ataupun langsung tiada. Larva yang membesar dalam iklim yang panas dan lembap berkembang menjadi dewasa musim tengkujuh sementara yang membesar dalam peralihan dari musim tengkujuh ke kemarau apabila suhu menyusut, berkembang menjadi dewasa musim kemarau. Polifenisme ini memainkan peranan mudah suai dalam B. anynana. Pada musim kemarau, bintik mata yang ketara mendatangkan kepincangan kerana B. anynana lebih mudah berpadu dengan tumbuhtumbuhan yang perang tanpa bintik mata. Tanpa bintik mata pada musim tengkujuh, ia boleh menyamar dengan lebih mudah dalam belukar yang kontang, sekaligus mengurangkan risiko dilihat dengan mudah kerana latar tumbuh-tumbuhannya hijau. Oleh itu, bintik mata menjadi berguna untuk B. anynana mencegah ancaman pemangsa. Tabiat

Bentuk sesungut Lepidoptera oleh C. T. Bingham (1905)

Vanessa kershawi menghisap bunga

Madu bunga daripada bunga merupakan sumber makanan utama kupu-kupu. Kupukupu juga mendapat makanan daripada debunga, sap pokok, buah reput, tahi, daging reput, dan bahan mineral yang terlarut dalam pasir lembap atau tanah. Kupu-kupu merupakan

pendebunga yang penting buat sesetengah spesies tumbuhan, namun pada umumnya ia tidak membawa debunga yang sama banyak dengan lebah. Namun begitu, kupu-kupu mampu mengangkut debunga ke jarak yang lebih jauh. Kemalaran bunga telah diperhatikan bagi sekurang-kurangnya satu spesies kupu-kupu. Kupu-kupu hanya mengambil makanan cecair yang dihisap dengan probosis. Ia menyirup air dari kawasan lembap untuk berhidrasi serta memakan madu bunga dari bunga untuk mendapatkan gula demi tenaga di samping natrium dan mineral-mineral lain yang penting untuk pembiakan. Sesetengah spesies kupu-kupu memerlukan lebih banyak natrium daripada yang terdapat dalam madu bunga dan oleh itu tertarik oleh natrium dalam garam; kadang-kadang ia hinggap di atas manusia kerana tertarik oleh garam dalam peluh manusia. Ada juga kupu-kupu yang menghinggapi tahi, buah reput atau bangkai untuk memperoleh zat mineral dan nutrien. Bagi kebanyakan spesies, tabiat "mengedap lumpur" ini hanya dilakukan oleh yang jantan sahaja, apatah lagi kajian menunjukkan bahawa nutrien-nutrien yang dikumpulkan boleh dijadikan hadiah mengawan di samping spermatofor ketika mengawan. Kupu-kupu menggunakan sesungut untuk mengesan angin dan bau dalam udara. Sesungut ini ada pelbagai bentuk dan warnanya; kupu-kupu Hesperiidae mempunyai sudut atau cangkuk yang tajam pada sesungutnya, manakala kebanyakan famili lain mempunyai sesungut yang bergembul. Sesungut ini disaluti dengan banyak organ deria yang dipanggil sensilum. Deria rasa kupu-kupu yang 200 kali lebih kuat berbanding manusia, diselaraskan oleh kemoreseptor pada kakinya yang hanya berkesan ketika menyentuh, dan digunakan untuk menentukan sama ada zuriatnya boleh makan daun itu sebelum bertelur di atasnya. Kebanyakan kupu-kupu menggunakan isyarat kimia, feromon, dan sisik deria yang khusus (androkonia) manakala yang lain pula mengembangkan struktur-struktur lain (cth. korema atau "pensel bulu" bagi Danaidae). Kupu-kupu mempunyai deria penglihatan yang cukup terkembang dan kebanyakan spesiesnya peka kepada spektrum ultraungu. Kebanyakan spesies menunjukkan dimorfisme seks pada corak tompok-tompok yang mampu memantulkan ultraungu. Mungkin kebanyakan kupu-kupu boleh melihat aneka warna tetapi ini hanya dipastikan dalam sebilangan kecil spesies. Sesetengah kupu-kupu mempunyai organ pendengaran dan ada juga yang dikenali menghasilkan bunyi stridulasi dan berklik-klik. Sebilangan besar spesies kupu-kupu, misalnya kupu-kupu Monarch, merupakan serangga berpindah-randah yang mampu terbang dalam jarak jauh. Ia berpindah pada waktu

siang dan berpandukan matahari untuk arah. Ia juga mencerap cahaya terkutub dan menggunakannya untuk orientasi apabila matahari tidak kelihatan. Kebanyakan spesies kupu-kupu menjaga wilayah dan seringkali mengusir spesies atau individu lain yang dikhuatiri menceroboh. Ada juga spesies yang berjemur atau bertengger di atas tenggeran individu lain. Gaya penerbangan kupu-kupu selalunya tipikal dan sesetengah spesies mempunyai corak penerbangan mengawan. Kupu-kupu gemar berjemur pada waktu pagi yang lebih nyaman. Kebanyakan spesies mengorientasikan diri untuk mengumpulkan haba daripada matahari. Sesetengah spesies mengembangkan tapak kepak yang gelap untuk menyerap lebih banyak haba, khususnya yang tinggal di kawasan gunung. Penerbangan

Heteronympha merope berlepas

Seperti kebanyakan serangga yang lain, angkatan yang dijana oleh kupu-kupu adalah lebih daripada yang mampu diperhatikan oleh aerodinamik bukan sementara dalam keadaan tetap. Hasil penyelidikan yang menguji Vanessa atalanta dalam terowong angin menunjukkan bahawa ia menggunakan beraneka jenis mekanisme aerodinamik untuk menjana daya. Ini termasuk tangkapan keracak (wake capture), vorteks pada hujung kepak, mekanisme putaran dan mekanisme Weis-Fogh. Kupu-kupu ini juga mampu bertukar ragam dengan pantas sekali. Perpindahan

Kupu-kupu Monarch berpindah dengan jauh sekali

Kebanyakan kupu-kupu berpindah-randah sepanjang jarak jauh. Contohnya, kupukupu Monarch berpindah secara berduyun-duyun dari Mexico ke utara Amerika Syarikat dan selatan Kanada, iaitu jarak kira-kira 4000 hingga 4800 km (25003000 batu), begitu juga dengan Vanessa cardui dan beberapa kupu-kupu Danainae. Perpindahan besar-besaran yang berhubung kait dengan monsun kelihatan di semenanjung India. Perpindahan telah dikaji selidik akhir-akhir ini dengan menggunakan teg kepak dan juga isotop hidrogen yang stabil. Kupu-kupu didapati berpandu arah dengan menggunakan 'kompas matahari' yang terpampas waktu. Ia boleh melihat cahaya terkutub, dan oleh itu mampu menentukan arah dalam keadaan mendung juga. Cahaya terkutub dalam kawasan yang dekat dengan spektrum ultraungu dikatakan amat penting. Pernah diusulkan bahawa kebanyakan kupu-kupu berpindah-randah ini berasal dari kawasan separa gersang di mana musim membiaknya amat singkat. Sejarah hayat tumbuhan perumahnya juga mempengaruhi perancangan kupu-kupu berkenaan. Pertahanan

Kepak kupu-kupu (Cethosia cyane dalam contoh ini) menjadi semakin lusuh dan tidak terpulih apabila tua

Kupu-kupu dalam peringkat telur, beluncas mahupun kepompong berdepan dengan ancaman parasit dan juga pemangsa, serta penyakit dan faktor persekitaran di semua peringkat dalam kitaran hidup. Ia melindungi dirinya dengan pelbagai cara. Kupu-kupu biasa menggunakan pertahanan kimia yang lazimnya berasaskan bahan kimia yang berasal daripada tumbuhan. Selalunya, tumbuhan itu mengembangkan bahanbahan toksik ini sebagai perlindungan daripada haiwan maun. Kupu-kupu pula mengembangkan mekanisme untuk mengasingkan toksin-toksin tumbuhan ini lalu menggunakannya untuk pertahanan sendiri. Mekanisme pertahanan ini hanya berkesan jika ia

diperlihatkan dengan betul, maka ini membawa kepada evolusi warna-warna terang pada kupu-kupu yang tidak sedap dimakan. Isyarat ini boleh dimimik oleh kupu-kupu lain. Bentuk mengajuk ini lazimnya terhad kepada yang betina.

Bintik mata merupakan salah satu ciri pertahanan Papilio demodocus

Pewarnaan kripta juga terdapat pada kebanyakan kupu-kupu, misalnya kupu-kupu Kallima yang terkenal kerana meniru rupa daun. Kebanyakan spesies dalam bentuk beluncas mempertahankan diri dengan berhenti bergerak dan menyamar sebagai ranting atau dahan. Sesetengah beluncas Papilionidae menyerupai tahi burung pada instar-instar terawal. Sesetengah beluncas juga mempunyai bulu-bulu dan anggota kejur sebagai alat perlindungan, dan ada juga yang hidup secara berkelompok dan membentuk kumpulan besar. Sesetengah spesies beluncas juga bersekutu dengan semut demi perlindungan. Kupu-kupu mengamalkan pertahanan tabii seperti bertenggek dan menjaga posisi kepak supaya tidak mudah kelihatan. Sesetengah kupu-kupu Nymphalidae betina diketahui menjaga telurnya daripada ancaman penyengat parasit. Bintik mata dan ekor terdapat pada kebanyakan kupu-kupu Lycaenidae dan adalah disangka bahawa fungsinya adalah untuk mengalih perhatian pemangsa dari kepalanya. Juga diusulkan bahawa ciri-ciri ini menyebabkan pemangsa hendap seperti labah-labah untuk datang dekat dari hujung yang salah supaya mudah dikesan awal. Kepak belakang kupu-kupu juga membolehkannya untuk membuat belokan yang cepat dan kuat untuk melarikan diri dari pemangsa.

You might also like