Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 7

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

495






Amaluddin Darus: Kepimpinan dan Sumbangan dalam Perkembangan PAS

Anwar Muttaqin & Roziah Sidik @ Mat Sidek

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor


Abstrak: Artikel ini bertujuan untuk membincangkan seorang tokoh pengasas dan penyebar Parti Islam Se-
Malaysia (PAS) di Kelantan dan juga sumbangan serta peranan beliau di dalam memperjuang dan
menerapkan ideologi PAS kepada masyarakat Kelantan khususnya dan Tanah Melayu umumnya. Tokoh
tesebut adalah Senator Amaluddin Darus yang merupakan Ahli Dewan Negara yang mewakili negeri
Kelantan selama 15 tahun. Dalam artikel ini mencatatkan sejarah penubuhan PAS di Kelantan, usaha-usaha
yang dilakukan oleh beliau, kepimpinan dan peranannya dalam PAS di peringkat cawangan, negeri juga
pusat, strategi pilihanraya dan penyusun kembali Dewan Pemuda PAS. Terdapat juga hasil-hasil karya beliau
sepanjang bergiat di dalam politk juga selepas tidak bergiat di dalam politk lagi.



PENGENALAN

Asal usul kemunculan PAS adalah sebahagian dari
ahli-ahli Biro Agama Umno yang mengisi
perjuangan Islam namun kegagalan Umno untuk
menjunjung nilai-nilai syariah dan matlamat Umno
sendiri yang tidak mempunyai keutamaan kepada
syariah menyebabkan timbul kesedaran kepada
ulama untuk mewujudkan suara mereka yang
tersendiri. Ulama merasakan suara mereka kurang
didengar oleh kepimpinan Umno dan ini
menyebabkan terjadinya persidangan ulama, badan-
badan dan pertubuhan-pertubuhan Islam pada 24
November 1951 yang bertempat di perkarangan
Kelab Melayu Bagan di Butterworth, Pulau Pinang
dan diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955.
Maka dalam persidangan ini, satu keputusan yang
mendapatkan sokongan ramai telah ditetapkan bagi
menubuhkan parti politik yang mana diberi nama
Parti Islam Se-Malaya (PAS).
Bermulanya dari tahun 1951, PAS mula
menjadi saingan baru kepada Umno. Persatuan Islam
Se-Malaya kemudiannya didaftarkan dengan
Pendaftar Persatuan sebagai Pan-Malayan Islamic
Party (PMIP) atau PAS sebelum Pilihan Raya
Pertama Persekutuan Tanah Melayu yang telah
berlangsung pada 27 Julai 1955. Nama Persatuan
Islam Se-Malaya kemudiannya ditukar dalam
persidangannya pada 25 Disember 1971 kepada
Parti Islam Se-Malaysia yang kekal ke hari ini
ekoran dari pembentukan Malaysia. Kesedaran
menubuhkan PAS ini adalah kerana tuntutan agama
itu sendiri iaitu menyeru kepada kebaikan dan
mencegah akan kemungkaran. Ia merupakan perkara
yang wajib dilaksanakan oleh seluruh penganut
agama Islam yang beriman. Dalam hal ini
mendirikan masyarakat yang berasaskan akidah dan
syariah Islamiyyah adalah wajib dan perkara ini
tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan
wujudnya jamaah atau pertubuhan. Dengan
matlamat dan misi yang jelas untuk menegakkan
Islam ini mencetuskan minat seorang tokoh
pengasas PAS Kelantan untuk mula berjuang demi
agama Islam dan Parti PAS. PAS juga mudah
tumbuh di kalangan mereka yang berlatar
belakangkan pendidikan Islam pada awal
penubuhannya dan sehingga ia makin merebak luas
menghimpunkan kekuatan dari pelbagai golongan
hingga ke hari ini.

Perkembangan Awal PAS di Kelantan: Pulau
Pinang merupakan negeri yang pertama ditubuhkan
PAS dimana Pejabat Agung Pas ialah di Madrasah
Agama, Seberang Perai dan berkembang pesat di
negeri Perak terutamanya kawasan Perak Utara. PAS
berkembang di persekitaran sekolah agama seperti
madrasah dan pondok dan halaqah-halaqah ilmu
malah pendokong-pendokongnya terdiri daripada
tokoh-tokoh pendidikan Islam. Ulama dan golongan
agama di situ adalah kekuatan utama kepada PAS
kerana sejak dahulu lagi dalam sistem orang
Melayu, Ulama dan agamawan ini diletakkan pada
kedudukan yang tinggi.
Perjuangan PAS terus berkembang dan muncul
di Kelantan sehingga menjadi kubu kuat PAS dari
awal penubuhannya sehinggalah ke hari ini. PAS di
Kelantan diasas dan dikembangkan oleh seorang ahli
bomba iaitu Amaluddin Darus yang berasal dari
Kedah. Beliau mula tertarik dengan dasar dan
matlamat PAS iaitu menegakkan sistem Islam sejak
awal penubuhan PAS di Pulau Pinang. Permulaanya
beliau mula meninjau pendapat kawan-kawannya
yang sefahaman dengan beliau terhadap perjuangan
PAS namun beliau gagal mendapatkan kawan-
Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara
disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, HakimZainal,
Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, MaheramAhmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin
J abatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
496

kawan yang mahu ikut serta dalam perjuangan parti
Islam tersebut di Kota Bharu. Selepas beliau
ditugaskan di Pasir Mas, beliau telah menemui
kawan-kawan yang sealirannya dengannya seperti
Ahmad Yatim dan Mohamad Nor Haji Senik yang
kemudiannya bersama-sama beliau melahirkan PAS
cawangan Pasir mas setelah cukup bilangan ahli-
ahlinya.
Sejak itu beliau mula menjalankan kegiatan
untuk memperkenalkan PAS kepada masyarakat
tempatan. Walau bagaimanapun di peringkat
awalnya beliau tidak terus memperkenalkan PAS
sebaliknya lebih membicarakan tentang persoalan
agama, kesedaran beragama dan kesedaran politik
Islam. Apabila PAS mengadakan mesyuarat
agungnya yang pertama di Kepala Batas dan
menegaskan tujuan penubuhan PAS juga adalah
memperjuangkan kemerdekaan, barulah beliau mula
memperkenalkan PAS kepada orang ramai di sekitar
Pasir Mas. Beliau sendiri juga menegaskan kepada
orang ramai bahawa hanya PAS satu-satunya parti
yang perlu diberi sokongan oleh orang-orang Islam.
Berikutan dengan itu, satu majlis penerangan
tentang garis perjuangan PAS telah diadakan di
Masjid Pasir Mas selepas sembahyang Jumaat.
Penerangan itu telah disampaikan oleh Naib Yang
Dipertua Agung PAS, Haji Hussain Cik Dol yang
kebetulan pada waktu itu berada di Kelantan.
Seterusnya Amaluddin Darus mengirimkan surat
kepada Pejabat Agung PAS untuk mendapatkan
salinan undang-undang tubuh beserta borang
keahlian dan pada 16 Disember 1952, segala yang
diminta telah dikirimkan kepada beliau. Setelah itu,
Amaluddin Darus mula bergerak mencari ahli untuk
PAS dari kedai kopi, kedai buku dan surat khabar.
Apabila ahli-ahli yang berdaftar mencapai lebih 60
orang, satu mesyuarat untuk menubuhkan cawangan
PAS di Pasir Mas telah diadakan di Masjid Pasir
Mas pada 23 Julai 1953. Omar bin Yusof telah
dilantik sebagai Yang Dipertua Cawangan dan
setiausahanya adalah Amaluddin Darus yang
memilih jawatan itu dari jawatan Yang Dipertua
kerana lebih baik untuk melaksanakan kerja-kerja
kepartian dan penolong setiausahanya ialah Ahmad
Yatim. Maka rasmilah PAS cawangan Pasir Mas
iaitu cawangan PAS yang pertama ditubuhkan di
negeri Kelantan dan di Pantai Timur.
Dengan tertubuhnya cawangan Pasir Mas, ia
menjadi rentetan kepada penubuhan kedua
cawangan PAS iaitu di Macang pada 21 September
1953. Amaluddin Darus menyatakan:

PAS adalah anak kecil yang baru dilahirkan. Ia adalah terlalu
baru. Tetapi ianya adalah sebagai satu alat penyatuan tenaga
gerakan untuk membuat contoh kegiatan-kegiatan menurut
pengajaran Islam. Sehingga dengan kekuatan ini akan melahirkan
kenyataan-kenyataan yang akan menarik perhatian manusia lain
di samping membangun dan menyuburkan rasa kasih sayang di
kalangan ahli-ahli-ahli atau anggota-anggotanya.

Dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pasir Mas
yang pertama, beliau menyampaikan garis-garis
kerja yang perlukan dilakukan oleh ahli-ahli iaitu
menghidupkan kembali ajaran Islam dari sekecil-
kecilnya yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.
antaranya ialah hak muslim terhadap muslim yang
lain iaitu memberi salam, mendoakan ketika bersin,
memberi nasihat, melawat orang sakit dan orang
mati dan memberi hadiah bantuan simpati. Slogan
PAS cawangan Pasir Mas ketika itu ialah hidupkan
ajaran Islam di dalam masyarakat dan tanamkan
keyakinan bahawa apabila membantu agama Allah,
Allah jua yang akan membantu kelak.
Berikut adalah antara catatan Amaluddin Darus
dalam usaha mengembangkan PAS di Kelantan:

Menerusi saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi
penerangan di Masjid Repek, kira-kira tiga batu dari Pasir Mas.
Saya pergi ke sana dan menemui imam, dan dibenarkan saya
memberi penerangan selepas sembahyang J umaat. Saya tidak tahu
siapakah yang meminta saya bersyarah di sana. Saya pergi
bersendirian, dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar
penerangan saya dan kemudian bersurai. Tidak ada seorang pun
pedulikan saya.Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman
dengan imamlalu menuju ke sebuah kedai kopi, kerana perut
telah terasa kosong benar. Saya meminta se cawan teh dan
memakan kueh, sambil tunduk memikirkan bagaimana sambutan
yang saya terima. Dalamhati saya mengatakan bahawa apa yang
terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba
Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan
tugas dan kewajiban saya. Se moga ini semua tidak akan disia-
siakan oleh Allah. Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara
mengejutkan saya. Suara itu dari seorang muda yang sedang
berdiri sambil menarik kerusi. "Huh! katanya, "Boleh saya tanya
sikit?". Saya merenung pemuda ini dan mempersilakan dia
membuat pertanyaan. "Demo yang bersyarah tadi. Demo ingat
bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?" Saya tersenyum
kepadanya. Dia mengulang lagi, "Bila PAS boleh perintah
Kelantan?".Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanampadi,
Kita membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas,
mencedung atau menanam, menaruh baja, menghalau burung dan
babi, itulah kerja kita, tetapi menggantung buah padi itu adalah
urusan Allah sendiri dan bukannya urusan saya. Bagaimanapun
pada hemat saya apabila sahaja Tok guru-tok guru di Kelantan
membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu
itulah PAS menang dan insya Allah akan memerintah negeri
Kelatan ini. Beliau mengucapkan terima kasih, dan mengatakan
tidak perlu bayar harga teh dan kueh itu. Dia adalah anak dari
tuan punya kedai itu barangkali. Beberapa hari setelah pilihan
raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30 kerusi negeri
Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah
bertemu dengan saya di J alan Sultanah Zainab, Kota Bharu.
Beliau memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengingatkan
kepada saya apa yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun
1953 dahulu. Katanya, "Apa yang ustaz kata dulu memang betul.
Saya masa itu adalah seorang pemuda UMNO dan mulai tahun
1958 saya telah menyokong PAS.

Begitulah kisah kemasukan PAS di Kelantan
oleh Amaluddin Darus. Beliau berusaha hari ke hari
menyampaikan syarahan dan penerangan berkenaan
PAS di masjid, surau dan rumah kepada masyarakat
Kelantan terutamanya Tok Guru-Tok Guru di
pondok-pondok di sekitar Kelantan. Usaha gigih
menyebarkan perjuangan PAS akhirnya mendapat
sokongan daripada golongan Tok Guru pondok yang
mempunyai pengaruh besar di kalangan masyarakat
negeri itu dan seterusnya dengan pantas berkembang
dalam sendi masyarakat Kelantan.
Antara faktor PAS diterima oleh rakyat Kelatan
adalah kerana unsur-unsur agama telah sedia ada

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
497

tertanam di dalam hati rakyat di Kelantan dan
peranan tok-tok guru yang dihormati oleh
masyarakat. Penglibatan beberapa orang ulama dan
tuan guru pada peringkat awal memberi impak yang
besar kepada politik Melayu. PAS mendapat tempat
dan sokongan di kawasan-kawasan yang terdapat
banyak institusi pengajian agama seperti pondok,
khususnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Penglibatan tuan-tuan guru menjadi modal kepada
PAS dalam kempen pilihan rayanya di samping
suasana agama di sekitarnya yang memudahkan
PAS memberi penerangan bahawa agama dan politik
tidak boleh dipisahkan. Kejayaan PAS menarik
golongan agama dan ulama menyebabkan mereka
terlibat dalam kepimpinan parti di semua peringkat
dan mereka menganggap bahawa penyertaan mereka
dalam politik adalah sebahagian daripada kehidupan
beragama.

Biografi Ringkas: Amaluddin Darus dilahirkan di
Kulim, Kedah pada hari Isnin, 1 Rejab 1346
bersamaan dengan 24 Disember 1927. Beliau
mendapat pendidikan awal pada zaman kanak-
kanaknya di Kulim dan seterusnya mendapat
pendidikan agama Islam di Madrasah al-Huda di
Pulau Pinang tetapi pelajarannya terganggu apabila
tentera jepun menyerang Tanah Melayu dan
Madrasah tersebut ditutup serta merta pada 1941.
Rancangan beliau untuk melanjutkan pelajaran ke
Mekah dan Indonesia terhalang disebabkan
pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Maka
hasratnya terhenti untuk menyambung pelajaran.
Pada Januari 1947 beliau menyertai pasukan
Bomba Malayan Union dan dipilih untuk dihantar ke
pusat latihan di Kuala Lumpur tetapi beliau telah
memilih Negeri Kelantan untuk berkhidmat.pada
mulanya beliau bertugas di Kota Bharu namun telah
ditukar ke Pasir Mas.Maka bermulalah pada awal
tahun 1950, beliau aktif memperkenalkan
perjuangan PAS pada masyarakat Kelantan
khususnya di Pasir Mas sedangkan beliau masih
dalam jawatan kerajaan sehinggalah beliau
meletakkan jawatan pada 20 April 1958 demi untuk
memberi seluruh perhatian kepada perjuangan PAS.
Sebagai seorang yang telah ikut serta
menyumbang dan membina parti PAS, beliau telah
menjawat jawatan-jawatan di peringkat nasional
sebagai Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, Ahli
Jawantankuasa Agong dan Pengarah Pilihanraya.
Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Dewan
Negara yang mewakili negeri Kelantan selama 15
tahun iaitu dari 1959 hingga 1974.

Sumbangan dan Kepimpinan Amaluddin Darus:
Sepanjang tahun 1953, syarahan penerangan PAS
dibuat oleh Amaluddin Darus di masjid-masjid,
surau-surau dan di rumah-rumah sahaja. Beliau juga
membuat kursus perjuangan dan politik Islam
seminggu sekali dan kehadiran peserta-peserta
bertambah dari hari ke hari. Kursus-kursus ini
menyebabkan PAS makin diterima oleh masyarakat
khususnya di kalangan Tok Guru.
Pada Ogos 1953, PAS mengadakan Mesyuarat
Agung yang kedua di Bagan Datok, Hilir Perak. Isu
yang diperbincangkan dalam mesyuarat itu sangat
penting dan berkaitan dengan persoalan nasional
sehingga membawa kepada satu Mesyuarat Agung
Khas pada 26 September 1953 yang diadakan di
Tanah Liat, Bukit Mertajam. Amaluddin Darus
menjadi Perwakilan Pasir Mas di dalam mesyuarat
yang dihadiri oleh perwakilan-perwakilan PAS di
Tanah Melayu. Persoalan yang timbul adalah apabila
Yang Dipertua Agong PAS yang pertama, Haji
Ahmad Fuad telah melibatkan diri dalam
Perhimpunan Kebangsaan yang dipelopori oleh
Datuk Onn Jaafar. Ada di antara ahli jawantankuasa
PAS yang menyokong dan membangkang usul ini
sehingga membawa kepada pedebatan di kalangan
perwakilan-perwakilan yang hadir. Ketika itu,
Amaluddin Darus mencadangkan bahawa PAS
cawangan Pasir Mas menyokong tuntutan National
Convention tetapi PAS tidak perlu menyertainya.
Cadangan ini membawa kepada perbahasan dan
diterima dengan pindaan. Namun Haji Ahmad Fuad
tetap bertegas untuk menyertai Perhimpunan
Kebangsaan tersebut dan akhirnya pindaan itu
diterima dan ditambah lagi seperti berikut: Bahawa
Mesyuarat Agung Khas yang bersidang pada hari ini
bersetuju menyokong tuntutan Perhimpunan
Kebangsaan dan ikut menyertai di dalamnya, dengan
syarat sekiranya didapati sesuatu yang bertentangan
dengan kepentingan cita-cita perjuangan PAS, maka
PAS hendaklah menarik diri daripadanya.
Menurut Amaluddin Darus, beliau mahukan
satu parti Islam yang tidak menjadi alat atau
diperalatkan oleh sesiapa jua. Cita-cita perjuangan
Islam adalah tidak bersamaan dengan cara
perjuangan Umno. Matlamat perjuangan dan cara
menyampaikan juga berlainan. Maka tiada tolak
ansur dalam perkara tersebut kerana boleh
merosakkan parti. Akhirnya PAS hanya hadir dalam
Perhimpunan Kebangsaan untuk dua persidangan
sahaja dan sesuai dengan keputusan Mesyuarat
Agung Khas, PAS telah pun mengundurkan diri
secara teratur.
Tahun 1954, cawangan PAS mula lahir selepas
Pasir Mas dan Macang iaitu cawangan Kota Bharu
dan Pasir Putih. Seterusnya diikuti dengan cawangan
kelima iaitu cawangan Tanah Merah dan penubuhan
cawangan Tanah Merah dapat memindahkan ahli-
ahli dan beberapa ranting yang dulunya dalam Pas
cawangan Pasir Mas ke dalam cawangan tersebut.
Ini adalah dasar yang direncanakan oleh Amaluddin
Darus iaitu satu cawangan PAS untuk satu jajahan di
negeri Kelantan.
Mesyuarat Agung PAS yang ketiga diadakan di
Titi Serong, Kerian Perak pada Ogos 1954 di mana
PAS Kelantan hanya diwakili oleh cawangan Pasir
Mas iaitu Amaluddin Darus sendiri. Agenda utama
mesyuarat itu adalah untuk membincangkan undang-

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
498

undang PAS yang baru dan antara cadangan
Amaluddin Darus yang diterima dan dipinda ialah:

Pegawai-pegawai Agung dan Ahli
Jawantankuasa PAS hendaklah dipilih dan
dilantik daripada ahli-ahli biasa PAS yang tidak
menjadi ahli atau anggota parti lain.
Dewan Ulama PAS hanya diadakan pada
peringkat negeri dan pusat sahaja.

Pada 1955, Mohammad Asri telah dilantik
menjadi Persuruhjaya PAS Kelantan dan Amaluddin
Darus menjadi Setiausaha Badan Perhubungan PAS
Kelantan juga Yang Dipertua PAS cawangan Kota
Bharu. Telah banyak kerja-kerja setiausaha dan
pentadbiran dilakukan oleh Amaluddin Darus
termasuklah kempen Pilihanraya Umum yang
pertama pada tahun yang sama bagi pihak
Mohammad Asri yang bertanding di mana PAS telah
meletakkan sebelas calon dan tiga calon di Kelantan
tetapi ketiga-tiga calon tersebut kalah. Kemenangan
PAS hanya di Kerian, Perak iaitu Tuan Haji Ahmad
Tuan Husain. Seterusnya Pejabat PAS Kelantan
ditubuhkan dan merupakan pusat kegiatan PAS dari
tahun 1955 hingga 1959 hasil derma ahli-ahli dan
penyokong-penyokong PAS.
PAS semakin berkembang pada tahun 1956
dari usaha Amaluddin Darus memberi penerangan di
seluruh Kelantan, menubuhkan dan mengaturkan
kerja ranting-ranting di dalam cawangan Kota Bharu
dan juga mengumpul derma untuk kegiatan PAS.
Persiapan untuk menerbitkan majalah Suara Islam
sebagai lidah rasmi PAS Malaya telah diusahakan
oleh Mohammad Asri dan Amaluddin Darus.
Bilangan pertama terbit pada 17 Disember 1957
yang memuatkan artikel-artikel ucapan Zulkifli
Mohamad pada Mesyuarat Agung PAS yang ketiga.
Lagu PAS juga telah dicipta oleh PAS
Kelantan dan pada 23 Disember 1956, lagu tersebut
diterima sebagai lagu rasmi PAS dalam Mesyuarat
Agung PAS di Kuala Lumpur. Senikata ataupun
liriknya adalah seperti berikut:

Bersatulah wahai kaummuslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaummuslimin
Walau kalah ataucapai kemenangan

Bersatulah wahai kaummuslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaummuslimin
Walau rebah atau tegak kejayaan

Berjuanglah wahai ansharullah
Dengan semangat waja yang tak kenal kalah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergerak ke gerbang jaya
Agar bebas dan kekal merdeka
Beramallah wahai roh suci
Hingga nyata benarnya janji Rabbi

Selamatlah persatuan Islam melangkah
Membimbing umat ke medan siasah
Berpedomankan Quran dan Sunnah
Suburlah hidupnya dan berbuah

Selain dari usaha-usaha yang dilakukan oleh
Amaluddin Darus berkenaan majalah dan lagu,
beliau juga membantu mengembangkan PAS di
Terengganu dengan memberikan penerangan
perjuangan PAS di Kuala Terengganu.

Pilihan Raya Umum 1959: Banyak usaha dan kerja
yang telah dijalankan oleh Amaluddin Darus dan
rakan-rakan pengerak PAS yang lain untuk memberi
penerangan kepada masyarakat mengenai PAS
kepada rakyat khusunya di Kelantan dan
Terengganu.segala usaha ini berhasil dengan
bertambagnya ahli dan cawangan-cawangan juga
ranting-ranting PAS di kedua-dua negeri tersebut.
Sehinggalah Mesyuarat Agung PAS pada 25
Disember 1958, beliau dilantik sebagai Ketua
Penerangan PAS dan Pengarah Pilihanraya. Ini
merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar
yang telah diserahkan oleh kepimpinan PAS yang di
pimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi di mana untuk
menghadapi piliharaya umum yang kedua pada
1959. Ketika umurnya baru menjangkau 31 tahun,
beliau bermula pada 1 Januari 1959 dengan
melakukan kerja-kerja pejabat Agung bagi seluruh
Tanah Melayu. Beliau pergi memberi kursus-kursus
mengenai cita-cita perjuangan PAS, cara-cara kerja
pilihanraya, taktik-taktik penerangan dan
menyampaikan pidato di rapat-rapat umum
sekurang-kurangnya tiga kali sehari bermula dari
bulan Februari hingga Mei ke serata Tanah Melayu.
Sebelum Pilihanraya 1959 satu peristiwa fitnah
besar telah berlaku di Perlis dan Kedah iaitu musuh
PAS telah menyebarkan surat layang kepada semua
masyarakat negeri tersebut yang menyatakan bukti
Ketua PAS iaitu Dr. Burhanuddin Helmi mempunyai
hubungan dengan Komunis dan sesiapa yang
menyokong PAS bermaksud mereka menyokong
Komunis. Dari fitnah tersebut, menjadi
tanggungjawab Amaluddin Darus sebagai Ketua
Penerangan Pas untuk menyusun jawapan-jawapan
kepada sebaran fitnah tersebut, Pemuda PAS Perlis
dan Kedah berusaha menyalin jawapan tersebut dan
menyebarkan kepada rakyat secepat mungkin.
Dengan sebaran fitnah itu, PAS mengalami
kekalahan yang teruk di Perlis dan Kedah.
Namun berbeza pula bagi negeri Kelantan dan
Terengganu, PAS memenangi kedua-dua negeri iaitu
Terengganu dengan 13 daripada 24 kawasan yang
dipertandingkan manakala kejayaan terbesar adalah
di negeri Kelantan dengan 28 dari 20 kawasan yang
dipertandingkan. Dengan kemenangan ini, beliau
mengutuskan telegram kepada Persuruhjaya PAS
Kelantan, Muhammad Asri iaitu seperti berikut:
Kemenangan tuan-tuan adalah kemenangan saya dan
kita, gembira sambil bersyukur.
Selesai pilihanraya bagi negeri-negeri maka
pada Julai 1959, urusan untuk menghadapi
Pilihanraya Parlimen semakin giat dilakukan. Antara

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
499

yang bertanding adalah Dr Burhanuddin (Besut),
Khadijah Sidek (Dungun), Hasan Adli (Kuala
Terengganu), Zulkifli Mohamad (Bachok), Othman
Abdullah (Tanah Merah), Datuk Raja Muhammad
Hanifah (Pasir Mas Hilir), Haji Ahmad Abdullah
(Kuala Kelantan dan Amaluddin Darus (Ulu
Kelantan). Semua calon-calon PAS memenangi
kawasan-kawasan yang ditandingi kecuali
Amaluddin Darus yang tewas dengan majoriti 464
undi dengan lawannya Yang Mulia Tengku
Indraputra yang mewakili perwakilan.Setelah
kekalahan tersebut beliau tidak berhenti begitu
sahaja tetapi pergerakan PAS terus bergerak aktif
dengan ceramah-ceramah dan pidato yang diberikan
kepada anggota-anggota PAS sehinggalah beliau
ditawarkan menjadi Ahli Dewan Negara bagi
mewakili negeri Kelantan pada Ogos 1959 dan pada
September beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli
Dewan Negara di Parlimen Persekutuan Tanah
Melayu yang dibuka rasmi oleh Yang Dipertuan
Agong.
Maka selepas Pilihan Raya Umum 1959, PAS
menjadi satu golongan pembangkang yang terbesar
di Parlimen. PAS memaikan peranan sebagai
pembangkang yang aktif dan adil iaitu anggota-
anggota PAS tidak membuat bangkangan semata-
mata, jika sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan ini
baik maka disokong dan jika kurang baik akan diberi
pandangan dan teguran membina sehingga tidak
akan ditentang habis-habisan. Setiap anggota
pembangkang juga mempunyai kebebasan untuk
berbicara dalam garis-garis yang telah ditetapkan
oleh PAS sendiri.
Menurut Amaluddin Darus, PAS telah
memenangi dan berkuasa di dua buah negeri dalam
Negara Persekutuan Tanah Melayu tetapi cita-cita
politik PAS sebagai sebuah parti yang
memperjuangkan perlaksanaan cara hidup dan
hukum-hukum Islam dalam diri individu,
masyarakat dan urusan pemerintahan negara tidaklah
dapat dilaksanakan dengan sempurna dalam keadaan
yang sedang wujud di mana perlembagaan negeri
tidak boleh digubal jika ia membatasi perlembagaan
persekutuan. Cita-cita politik PAS hanya dapat diisi
sedikit demi sedikit sekiranya PAS menguasai
kekuasaan di peringkat Persekutuan.

Dewan Pemuda PAS: Pada Disember 1959 iaitu
ketika kongres Dewan Pemuda PAS telah
memberikan kepimpinan Dewan Pemuda PAS
kepada Amaluddin Darus bagi memulihkan jentera
Dewan tersebut yang hampir lumpur. Manakala
Mesyuarat Agung PAS pula telah melantik beliau
menjadi Ahli Jawantakuasa Kerja Agung PAS.
Tugasan dan tanggungjawab ini amatlah berat
namun dipikul dengan penuh amanah. Pertukaran
kepimpinan yang berlaku pada tahun ini ternyata
memberikan kesan yang besar kepada Dewan
Pemuda Pas. Sebagai tokoh yang pernah bergiat
cergas dalam usaha mengembangkan PAS di
Kelantan dan menjadi Pengarah Pilihan Raya PAS
1959, Amaluddin Darus ternyata mempunyai
formula tersendiri untuk memulihkan organisasi
Dewan Pemuda PAS ini. Dua strategi asas yang
digunakan oleh beliau ialah:

Mengadakan usaha-usaha memperkemaskan
organisasi Dewan Pemuda PAS
memulakan usaha membina fikrah Islam di
kalangan ahli-ahli.

Beliau yang juga merupakan lulusan Madrasah
al-Huda, Pulau Pinang telah berjaya menyusun
usaha untuk mengemaskan pentadbiran Dewan
Pemuda PAS di cawangan-cawangan dengan
mendaftarkan cawangan, mengadakan lawatan kerja
ke cawangan, menyediakan kod pengurusan
cawangan, mengemaskan sistem keahlian dan
mewujudkan hubungan antara cawangan. Selain itu
Dewan Pemuda PAS negeri juga mula ditubuhkan
untuk menyelaraskan cawangan-cawangan sekain
mewujudkan beberapa jawatankuasa kecil di
peringkat pusat.
Pada tahun 1961, Dewan Pemuda PAS Pusat
telah meletakkan syarat iaitu perlunya 20 orang ahli
bagi membolehkan sesebuah cawangan Dewan
Pemuda PAS ditubuhkan dan menjelang
pertengahan 1966, 31 buah cawangan Dewan
Pemuda PAS yang aktif telah berjaya dibentuk.
Tempoh antara 1962 hingga 1965 ini boleh dianggap
sebagai tahap kedua organisasi Dewan Pemuda PAS
bergerak secara tersusun selepas penyusunan tahap
pertama yang dilakukan oleh Ustaz Hassan Adli.
Amaluddin Darus juga telah memulakan kursus-
kursus pembinaan kader-kader dan gerakan
pembinaan kefahaman Islam. Langkah pertama yang
diambil dengan mengarahkan semua ahli Dewan
Pemuda membaca dan memahami karya Hasan al-
Banna, Arahan dan Peraturan yang telah
diterjemahkan. Serentak dengan itu, buku Tata
Negara Islam, karya bekas Naib Ketua Dewan
Pemuda PAS Ustaz Budiman Radzi mula
dipasarkan. Seterusnya melatih kader-kader Dewan
Pemuda PAS berkenaan dengan kursus kepimpinan,
pentadbiran,politik dan pilihan raya, menerbitkan
risalah-risalah tentang politik Islam, demokrasi
Islam, masyarakat Islam, ekonomi Islam,
kebudayaan Islam, negara Islam dan undang-undang
Islam juga memberi kursus mengenai penyusunan
parti, menanam kesedaran berparti sambil
menunjukkan di mana titik-titik kelemahan yang
menyebabkan cita-cita PAS tidak dapat dilaksanakan
seperti konsep Islam yang menjadi dasar perjuangan
PAS.
Satu perkara yang penting ketika dewan ini
berada di bawah pimpinan Amaluddin Darus ialah
usaha mewujudkan semula gerakan mahasiswa
Islam sebagai ejen tarbiyah kepada Dewan Pemuda
PAS. Usaha dan idea ini secara tidak langsung telah
mencetuskan penubuhan Persatuan Kebangsaan

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
500

Pelajar Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) atau
kemudiannya dikenali sebagai PKPIM telah
memberi ruang kepada pelajar-pelajar Islam di
institusi pengajian tinggi untuk mendekati Islam
dengan lebih menyeluruh. Walaupun PKPIM tidak
mempunyai hubungna secara langsung dengan
Dewan Pemuda PAS tetapi PKPIM telah diasaskan
oleh tokoh-tokoh yang pernah ditarbiyahkan oleh
Dewan Pemuda PAS dan juga telah dipimpin oleh
tokoh-tokoh Dewan Pemuda PAS. Pencernaan
fikrah Islam yang berlaku pada era kepimpinan
Amaluddin Darus bukan sahaja sebagai fasa pertama
penerapan pemikiran Islam di kalangan generasi
muda oleh sebuah gerakan Islam tetapi juga
merupakan titik asas kepada kebangkitan Islam pada
dekad 1970 dan 1980.

Kerajaan Pas Kelantan: Pada tahun 1962,
sumbangan terhadap kerajaan PAS Kelantan juga
telah dilakukan apabila Amaluddin Darus mewakili
pejabat Agung PAS dalam menganggotai
Jawantankuasa Perancangan Dasar yang mana
berbagai perkara yang dibincangkan seperti
membaiki pentadbiran pejabat agama dan Majlis
Agama Islam dan Istiadat Melayu. Dalam mesyuarat
itu juga, beliau telah mencadangkan penubuhan
Kolej Islam di Kelantan yang bertujuan sebagai
pelopor untuk melahirkan para intelek muslimin
yang kaya dengan ilmu dan cita-cita Islam dan para
intelek mampu untuk berbakti di segala bidang dan
lapangan yang diperlukan oleh kehidupan
masyarakat. Cadangan ini di masukkan dalam
ucapan titah belanjawan tahun 1963 yang telah
disampaikan pada pembukaan sidang Dewan Negeri
tahun 1963 dan menjadi salah satu dasar yang
dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kelantan sehingga
tertubuhnya Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam
Puri sehingga ke hari ini.

Karya dan Pemikiran: Amaluddin Darus juga
adalah seorang tokoh yang sangat aktif dalam bidang
penulisan. Ia dapat dijadikan sebagai sumber
panduan kepada golongan pemikir ataupun umum
bagi membentuk pemikiran kritis dan terbuka
mengikut ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Beliau
telah menghasilkan buku-buku, penulisan dalam
artikel-artikel di dalam majalah dan surat khabar
berkaitan dengan politik,sosial dan agama. Antara
kertas kerja tersebut ialah:

Manusia di Langit dan Manusia di Bumi
Pintu Langit Mula Dibuka
Yakjuj dan Makjuj Bertarung di Malaysia
Lintasan Politik Malaysia
Satu Cabaran
Kenapa saya tinggalkan PAS
Mahu ke Mana Kita
Kembali ke Masjid
Di Balik Tabir
Menjelang Isa Turun ke Bumi
Adakah Imam Mahdi Telah Muncul
Israa dan Mikraj dan Percobaan Manusia Ke
Langit
Alim tetapi Jahil
Impian Yahudi Menjelang Ajalnya
Wasiat Zulkiflee Muhammad
Keruntuhan Arab dan Kebangkitan Islam
Pelawat dari Angkasa
Al-Quran dan Manusia di Bumi
Islam Agama Manusia Sejagat
Berkenalan dengan al-Quran
Serba Salah Melayu di Malaysia
Agama itu Ideologi Ideologi itu Agama
Demokrasi dan Diktator (Sepanjang Sejarah
Malaysia)

Beliau juga pernah menghadiri forum yang
dianjurkan oleh Univesiti Kebangsaan Malaysia
sebagai ahli panel pada tahun 1977. Antaranya
forum yang bertempat di Universiti tersebut adalah:

Politik Malaysia tahun 2000 iaitu pada 4
Februari 1977
Ke mana Politik Malaysia iaitu pada 1 Januari
1977

KESIMPULAN

Berdasarkan keterangan di atas dapatlah dirumuskan
bahawa Amaluddin Darus sememangnya
mempunyai peranan dan sumbangan yang besar
terhadap penubuhan dan pergerakan PAS hingga ke
hari ini. Hal ini dapat dibuktikan dengan peranan
dan sumbangan yang beliau miliki serta
ketokohannya yang tersendiri dalam politik dan ini
merupakan antara faktor beliau amat dikagumi dan
disegani oleh kawan mahupun musuh politik beliau.
Selain dari itu bakat kepimpinan yang ada pada
beliau telah terserlah sejak beliau masih muda lagi
iaitu usianya baru di awal 20 an. Komitmen serta
kesungguhan beliau terhadap sesuatu pekerjaan
membuatkan beliau telah diberikan kepercayaan
untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam
organisasi termasuklah di dalam parti PAS.
Sumbangan beliau berkaitan dengan politik,
ekonomi dan pendidikan di Kelantan telah
mewujudkan sistem yang baik pada hari ini. Banyak
lagi sumbangan beliau yang tidak dikemukakan
khususnya semasa beliau menjadi Ahli Dewan
Negara selama 15 tahun. Pemikiran beliau yang
menjangkaui zaman dan penuh realistik ini sangat
diperlukan oleh PAS khususnya dalam membina dan
melancarkan organisasi PAS disamping menjadi
tokoh yang sentiasa dikenang oleh generasi PAS
masa kini.
Oleh itu, sebagai generasi baru yang akan
menyambung perjuangan para perjuang PAS
terdahulu, semestinya generasi baru PAS mengambil
berat dan juga mengambil tahu terhadap perjuangan

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011
501

dan jasa-jasa yang telah ditaburkan, bukan sahaja
sebagai pewaris kepada ilmu-ilmu yang ditinggalkan
oleh para pejuang, malahan sepatutnya kita
hendaklah meneruskan perjuangan mereka agar
perjuangan parti yang berasaskan agama Islam
diterima oleh masyarakat moden sekarang.

RUJUKAN

Abdul Razak Mahmood. 1989. Berkenalan Dengan
Dato Mufti Kerajaan Negeri Kelantan,
Pengasuh, Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan
Adat Istiadat Melayu Kelantan, bil 498.
Alias Haji Mohd Noor. 2000. Tokoh-Tokoh Ulamak
Kelantan Darul Naim, Kota Bharu: Pustaka
Aman Press.
Amaluddin Darus. 1977. Kenapa Saya Tinggalkan
PAS. Harimau Press Sdn Bhd: Kuala Lumpur
Latihan Ilmiah: Paridah Ali. 1974/75. Sejarah Awal
Perkembangan Parti Islam Se Malaya (PAS) di
Kelantan 1953-1959. Jabatan Sejarah. UKM.
Ishak Saat. 2007. Sejarah Politik Melayu pelbagai
Aliran. Karisma Publications Sdn. Bhd:
Selangor.




































Mohammad Agus Yusoff. 1994. Politik Kelantan
selepas Pilihanraya 1990. Bangi: Institut Alam
dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Muhamad Husain. 1996. Perubahan dan cabaran
Kerajaan Angkatan Di Kelantan. Kota Bharu:
Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan.
Riduan Mohd. Nor. 2004. Pengaruh Pemikiran
Ikhwanul Muslimin terhadap Parti Islam Se-
Malaysia (PAS). Kuala Lumpur: Riduan Mohd
Nor.
Riduan Mohamad Nor. 2011. Menerjang Badai: 60
Tahun Mempersada Perjuangan. Kuala Lumpur:
Jundi Resources.
Yusri Yusoff. 1995. Kelantan penentu agenda
politik Malaysia. Kuala Lumpur: Daisini
Communications.

Temubual
Temuramah dengan Muttaqin Amaluddin anak
Amaluddin Darus di rumahnya di Port Dickson,
pada 10hb. November 2011

You might also like