Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Koleksi contoh teks ucapan berserta panduan

asas penulisan teks ucapan



Pendahuluan

Dalam sesuatu acara atau majlis pasti kita biasa mendengar ucapan daripada tuan
rumah dan ucapan tamu kehormat selain ucapan pengacara majlis. Pernahkah anda
terfikir bahawa suatu hari nanti anda yang perlu menyampaikan ucapan atau anda
ditugaskan untuk menulis teks ucapan untuk ketua anda atau tamu kehormat dalam
majlis yang dianjur oleh organisasi tempat anda bertugas? Apakah yang perlu anda
lakukan pada ketika itu? Adakah anda akan mencuba memberikan pelbagai alasan
untuk menolak? Kemungkinan kali pertama, kedua atau ketiga anda berjaya
melepaskan diri, tetapi kali yang seterusnya, anda mungkin akan perlu melakukannya
juga. Oleh itu, apa kata jika anda bersedia dari sekarang menyiapkan diri anda untuk
menulis teks ucapan yang berkesan untuk diri anda sendiri atau untuk ketua anda.

Lazimnya, terdapat banyak jenis ucapan; ada ucapan tahniah, ucapan penghargaan,
ucapan politik, ucapan perpisahan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, buku ini
hanya berfokus kepada teks ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian dan teks
ucapan perpisahan.

Jenis-jenis teks ucapan

Telah dinyatakan tadi bahawa buku ini hanya berfokus kepada tiga jenis teks ucapan.

Yang berikut merupakan ciri-ciri teks ucapan tersebut.

Teks ucapan alu-aluan ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tuan rumah dalam
sesuatu majlis. Teks ucapan ini selalunya ditulis dengan ringkas tetapi ada juga yang
panjang bergantung pada kehendak pihak penganjur majlis. Teks ucapan ini
mengandungi ucapan alu-aluan selamat datang dan ucapan terima kasih kepada tamu
kehormat dan para jemputan.

Selain itu, dalam teks ucapan alu-aluan juga akan disampaikan harapan pihak
penganjur, objektif majlis dan penghargaan kepada orang yang membantu
melaksanakan majlis. Kadangkala dalam teks ucapan alu-aluan juga turut dimasukkan
laporan kejayaan sesuatu organisasi atau institusi.

Teks ucapan perasmian ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tamu kehormat
bagi sesuatu majlis. Teks ucapan perasmian selalunya lebih panjang daripada teks
ucapan alu-aluan.

Teks ucapan perasmian mengandungi ucapan terima kasih kepada tuan rumah yang
mengundang, maklumat yang berkaitan dengan majlis, perkembangan institusi yang
mengundang dan harapan tetamu.

Teks ucapan perpisahan merupakan teks ucapan yang disampaikan dalam majlis
perpisahan. Teks ucapan perpisahan terbahagi kepada teks ucapan pihak yang
menganjurkan majlis dan teks ucapan yang dibalas oleh orang yang diraikan.

Teks ucapan perpisahan yang disampaikan oleh pihak penganjur selalunya
mengandungi ucapan terima kasih dan puji-pujian atas jasa yang disumbangkan oleh
orang yang diraikan. Selain itu, terdapat juga harapan penganjur kepada orang yang
diraikan.

Teks ucapan balas yang disampaikan oleh orang yang diraikan pula mengandungi
ucapan terima kasih kepada pihak penganjur dan puji-pujian terhadap rakan setugas
dan kaki-tangan bawahan.

Selain itu, dalam teks ini juga lazimnya dimasukkan permohonan maaf dan menyatakan
detik-detik indah atau manis ketika berkhidmat serta pelawaan kepada semua rakan
dan kakitangan untuk berkunjung ke rumah.

Isi kandungan buku sepintas lalu

Buku ini ditulis untuk memberi anda sedikit panduan tentang cara menulis teks ucapan
dan contoh teks ucapan. Terdapat lima bab dalam buku ini, iaitu:

Bab 1 Penulis teks ucapan
Bab 2 Panduan asas penulisan
Bab 3 Senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks ucapan
Bab 4 Pincang bahasa, pincanglah teks ucapan
Bab 5 Koleksi contoh teks ucapan

Bab 1 memperkenalkan penulis teks ucapan dan kriteria yang ada pada penulis teks
ucapan.

Dalam Bab 2, diberikan panduan asas penulisan teks ucapan termasuk cara
menyediakan teks ucapan dan isi kandungan teks ucapan. Dalam bahagian ini juga
diterangkan serba ringkas tentang format penulisan teks ucapan secara umum.

Dalam Bab 3, diberikan senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks
ucapan. Bahagian ini dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu:
1. Senarai panggilan hormat tamu kehormat
2. Senarai panggilan hormat audiens
3. Pantang larang dalam teks ucapan

Bab 4 pula menyentuh tentang kesalahan bahasa yang perlu dielakkan dalam teks
ucapan agar teks yang disediakan tidak pincang. Kesalahan bahasa yang disentuh
melibatkan kesalahan bahasa yang lazim dilakukan semasa bercakap dan menulis.

Akhir sekali, dalam Bab 5, dimuatkan 16 contoh teks ucapan yang berfokus kepada
teks ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian pelbagai majlis dan teks ucapan
perpisahan untuk bacaan dan rujukan anda. Hal ini bertujuan untuk membantu anda
menyediakan dan menulis teks ucapan dengan baik dan berkesan.

Di samping itu, cadangan majlis lain yang bersesuaian dengan setiap contoh teks
ucapan turut diberikan.

Petikan dari Bab 2: Panduan Asas Penulisan

Kita sering terpegun dan tertawan apabila mendengar ucapan daripada tetamu atau
tokoh-tokoh tertentu. Tahukah kita bahawa ada antara teks yang kita dengar dalam
majlis-majlis tertentu bukan ditulis sendiri oleh penyampai ucapan tetapi ditulis oleh
orang lain? Soalnya, siapakah yang menulis teks ucapan tersebut?

Anda telah pun mengenali penulis teks ucapan. Kini, tiba masa untuk anda mengetahui
cara penulisan teks ucapan.

Teks ucapan yang menarik dan berkesan bukan sesuatu yang mudah untuk dihasilkan
tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika setiap daripada kita
mengetahui cara menghasilkan dan menulis teks ucapan yang menarik dan berkesan.
Sebenarnya, tidak banyak daripada kita mengetahui cara menghasilkan teks ucapan
yang baik dan berkesan. Oleh itu, marilah kita mempelajari cara penulisan teks ucapan
yang betul dan mudah.

Prapersediaan dalam menyediakan teks ucapan

Sebagai penulis teks ucapan, anda harus mengetahui beberapa perkara sebelum
menyediakan teks ucapan. Perkara yang perlu anda ketahui ialah:

i. Untuk siapakah teks ucapan itu disediakan?

Sebagai penulis teks ucapan, anda perlu mengetahui orang yang akan membaca teks
tersebut. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis mesti selari dengan jawatan,
perawakan dan latar belakang pendidikan orang tersebut.

ii. Siapakah audiens yang mendengar ucapan tersebut?

Penulis teks ucapan perlu mengetahui audiens yang mendengar ucapan tersebut
sebelum mula menulis teks ucapan tertentu. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang
ditulis perlu juga sesuai dengan tahap pengetahuan audiens. Jika teks yang ditulis
untuk disampaikan kepada audiens yang dalam golongan pelajar sekolah menengah,
maka laras bahasa yang digunakan mestilah sesuai dengan tahap pemikiran pelajar
sekolah menengah. Dengan kata lain, penulis teks ucapan mestilah memastikan
bahawa teks yang ditulis sesuai dengan tahap pemikiran audiens yang akan mendengar
ucapan tersebut.

iii. Siapakah tetamu yang akan hadir?

Tetamu yang akan hadir juga perlu diambil tahu oleh penulis teks ucapan. Oleh itu,
penulis teks ucapan perlu mendapatkan nama tetamu dengan tepat berserta jawatan
dan kedudukan tetamu mengikut peringkat yang ditetap-kan oleh pihak penganjur.
Dengan mengetahui tetamu yang akan hadir, penulis teks ucapan dapat menyusun
bahagian kata alu-aluan tersebut mengikut protokol dan hal ini dapat memastikan tiada
pihak yang berkecil hati kerana nama mereka tidak disebut atau tersalah panggilan
hormatnya.

iv. Apakah tujuan majlis tersebut?

Tujuan majlis juga perlu diketahui oleh penulis teks ucapan. Tujuan majlis penting
dalam penulisan teks ucapan. Teks ucapan alu-aluan terutamanya perlu menyentuh
tujuan majlis tersebut diadakan. Jadi, jika penulis teks ucapan tidak mengetahui tujuan
majlis diadakan, maka longgarlah isi teks ucapan yang ditulis.

v. Berapa lamakah ucapan tersebut perlu berlangsung?

Setiap teks ucapan yang ditulis bergantung pada masa yang diperuntukkan oleh
penganjur. Teks ucapan yang baik ialah teks ucapan yang dapat mengikut masa yang
ditetapkan oleh pihak penganjur. Jadi, penulis teks ucapan perlu mengetahui masa
yang ditetapkan oleh penganjur bagi setiap teks ucapan yang diperlukan. Sebagai
contohnya, jika masa yang diperuntukkan selama lima minit untuk tamu kehormat
menyampaikan ucapan, maka teks yang ditulis hendaklah dalam lingkungan
10 muka surat bersaiz setengah A4 yang ditaip dengan tulisan bersaiz 16
dengan langkauan dua baris.

vi. Apakah bahan atau maklumat yang perlu dicari?

Bahan atau maklumat yang perlu dicari bergantung pada majlis. Jika majlis yang akan
dilangsungkan berkaitan dengan sambutan kemerdekaan, maka bahan atau maklumat
yang perlu dicari mestilah berkaitan dengan kemerdekaan atau semangat patriotisme.

You might also like