Pembentukan Malaysia

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 9

PENGENALAN

Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Selepas merdeka, Tunku
Abdul Rahman telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan British supaya Brunei, Sabah dan
Sarawak digabungkan dengan Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Namun, Kerajaan
British menolak cadangan itu kerana Singapura diketepikan. Sementara itu, Lee Kuan Yew, Ketua
Menteri Singapura pada masa itu juga menyarankan percantuman Singapura dengan Persekutuan
Tanah Melayu. Cadangan Lee Kuan Yew ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Namun begitu, senario
politik yang berlaku di Singapura mengubah sikapnya terhadap saranan Lee Kuan Yew. Pada 27 Mei
1961, Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya di Persidangan Wartawan-wartawan Luar Negeri di
Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura mencadangkan supaya Brunei, Sabah, Sarawak dan
Singapura digabungkan dengan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia. Cadangan ini
menimbulkan pelbagai reaksi. Pada 23 Julai 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia
(JPPM) ditubuhkan. JPPM memberi peluang kepada pemimpin di Sabah dan Sarawak untuk
mengemukakan pandangan memandangkan mereka masih menentang gagasan. Akhirnya Sabah dan
Sarawak menerima gagasan ini dan menyusun satu memorandun untuk dihantar kepada
Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya ini kemudian menjalankan tugasnya iaitu meninjau pandangan
rakyat Sabah dan Sarawak dan membuat syor perlembagaan baru. Kemudian pada Ogos 1962,
Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan bagi merangka Perlembagaan Malaysia. JAK
mengeluarkan laporannya pada 27 Februari 1963. Laporan ini diterima dan diluluskan. Berdasarkan
laporan ini, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai1963. Pada 16 September
1963, Malaysia diisytiharkan.

SEBAB PEMBENTUKAN MALAYSIA
1. Senario politik di Singapura
Sebab utama penubuhan Malaysia ialah untuk menentang kegiatan komunis yang kian bertambah di
Singapura pada tahun 1950-an. Ejen-ejen komunis telah meresap masuk ke sekolah Cina dan
kesatuan sekerja. Pada tahun 1954, komunis telah menganjurkan satu permogokan di sebuah
syarikat bas. Mogok ini merebak menjadi rusuhan. Selain itu, komunis juga merampas pucuk
pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PETIR) yang sejak tahun 1959 menguasai Kerajaan Singapura di
bawah pimpinan Lee Kuan Yew. Mereka menjadi ahli PETIR sehingga menubuhkan satu kumpulan
berhaluan kiri dalam PETIR. Pada mulanya, Lee Kuan Yew berbaik-baik dengan mereka tetapi
akhirnya pertelingkahan telah berlaku. Pertelingkahan ini menyebabkan PETIR kalah dalam
pilihanraya kecil pada tahun 1961 iaitu Pilihanraya Hong Lim dan Pilihanraya Anson. Kekalahan PETIR
menunjukkan pengaruh komunis bertambah kuat. Akibatnya, Lee Kuan Yew mengusir golongan
berhaluan kiri ini dari PETIR. Pengaruh komunis turut berkembang sehingga satu parti berhaluan
komunis iaitu Barisan Sosialis dibawah pimpinan Lim Chin Siong ditubuhkan. Tunku Abdul Rahman
bimbang komunis meresap masuk Tanah Melayu. Diharapkan melalui gagasan Malaysia, hasrat
komunis menguasai Singapura gagal yang seterusnya dapat menyekat kemaraan mereka.

2. Senario politik di Sarawak
Pada tahun 1951, Liga Belia Demokratik Cina Seberang Laut yang berhaluan komunis ditubuhkan
tetapi dibubarkan semasa Darurat. Walau bagaimanapun, satu pertubuhan komunis sulit iaitu
Persatuan Belia Maju Sarawak telah bergerak di kalangan kesatuan sekerja, pelajar dan petani.
Mereka menghasut masyarakat Cina menentang British. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) telah
dipengaruhi oleh komunis. Lalu, Kerajaan British melancarkan operasi pisang untuk menyekat
pengaruh komunis dalam SUPP tetapi gagal. Diharap melalui gagasan ini, kestabilan politik yang
diperolehi dapat menentang ancaman komunis.

3. Mengimbangi penduduk
Penubuhan Malaysia juga bertujuan mengimbangi jumlah penduduk. Tunku Abdul Rahman
menjangkakan Sabah, Sarawak dan Brunei kalau digabungkan dengan Tanah Melayu akan membawa
kepada faedah sosial. Penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura menimbulkan masalah
ketidakseimbangan kaum. Hal ini disebabkan daripada penduduk Singapura berbangsa Cina.
Kemasukan Sabah, Sarawak dan Brunei akan mengimbangi kadar kaum-kaum kerana 70% daripada
penduduk Borneo Utara ialah bumiputera.

4. Kemajuan ekonomi bersama
Pembentukan Malaysia membolehkan kelima-lima buah kawasan menikmati kemajuan ekonomi
bersama. Singapura, Brunei dan Tanah Melayu telah mencapai kemajuan ekonomi yang amat
memuaskan, manakala Sabah dan Sarawak ialah negeri yang masih mundur. Penubuhan
Persekutuan Malaysia membolehkan Sabah dan Sarawak dimajukan. Hal ini bermaksud kekayaan
dari kawasan maju akan dipindah ke kawasan mundur untuk membiayai projek pembangunan.

5. Mempercepatkan proses kemerdekaan
Penubuhan gagasan Malaysia bertujuan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Sabah,
Sarawak, Brunei dan Singapura. British berjanji akan memberi kemerdekaan yang lebih awal
sekiranya Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura bergabung dengan Tanah Melayu bagi membentuk
Malaysia. Penggabungan ini juga akan menamatkan penjajahan British di rantau ini dan menjamin
kedaulatan dan keselamatan wilayah-wilayah itu daripada ancaman kuasa luar.

REAKSI-REAKSI NEGERI TERLIBAT
1. Singapura
Lee Kuan Yew selaku Ketua Mentei Singapura menyokong gagasan ini kerana PETIR dapat
meneruskan kekuasaannya di Singapura, ancaman komunis dapat dikawal, perkembangan ekonomi
Singapura menjadi lebih pesat dan Singapura dapat merdeka dengan lebih awal. Namun demikian,
Barisan Sosialis dan Parti Buruh menentang gagasan ini. Pada 1 September 1962, Lee Kuan Yew telah
mengadakan satu pungutan suara bagi mendapatkan persetujuan rakyat Singapura mengenai
penyertaan Singapura dalam Malaysia. Mengikut keputusan, 71.1% daripada rakyat Singapura
menyokong penubuhan Malaysia. Melalui gagasan Malaysia, taraf pelabuhan bebasnya dikekalkan,
Singapura mempunyai kuasa autonomi dalam bidang kewangan, pendidikan dan perburuhan dan
Singapura akan mendapat 15 kerusi dalam Parlimen Malaysia.

2. Sabah dan Sarawak
Pemimpin di kedua-dua negeri ini amat terperanjat dengan penubuhan Malaysia. Pemimpin-
pemimpin di kedua-dua negeri ini membentuk Barisan Bersatu pada 9 Julai 1961 bagi menentang
gagasan Malaysia. Pemimpin-pemimpin itu termasuk Ong Kee Hui (Pengerusi SUPP), Temenggung
Jugah Anak Berieng (Yang Dipertua Parti Negara Sarawak PANAS), Dato Mustapha bin Dato Harun
dan Donald Stephen (ahli tak rasmi Majlis Undangan Sabah). Mereka menentang gagasan kerana
takut Sabah dan Sarawak akan dikuasai oleh Tanah Melayu. Mereka takut kedudukan politik mereka
terjejas. Mereka juga bimbang keperibadian negeri masing-masing akan hilang. Golongan peniaga
Cina pula bimbang kuasa ekonomi akan dirampas oleh Tanah Melayu dan Singapura. Selain itu,
mereka juga berpendapat Sabah dan Sarawak perlu diberi kemerdekaan dahulu sebelum menyertai
Malaysia. Kaum bumiputera bukan Islam turut menentang gagasan Malaysia. Bantahan mereka
disuarakan melalui Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu
(UNKO) dan sebagainya. Pemimpin di kesua-dua negeri menganggap gagasan Malaysia merupakan
satu helah untuk meluaskan kuasa Tanah Melayu dan menggantikan penjajahan British. Pada bulan
Jun 1961, Tunku Abdul Rahman berangkat ke Sabah dan Sarawak dan mendapati rakyat di sana telah
salah faham mengenai gagasan Malaysia. Oleh itu, sebuah persidangan Persatuan Parlimen
Komanwel diadakan di Singapura pada Julai 1961. Beberapa orang daripada Barisan Bersatu telah
dihantar oleh British ke persidangan ini. Mereka membincangkan tentang gagasan Malaysia.
Akhirnya, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM) ditubuhkan untuk mengumpulkan
pendapat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan ini. Pada bulan Ogos 1961, Abang Haji Mustapha
(Pengerusi PANAS) menyokong gagasan Malaysia. Kemudian, Donald Stephen dan Dato Mustapha
turut menyokong gagasan ini selepas melawat ke Tanah Melayu dan berunding dengan Tunku Abdul
Rahman.

3. Brunei
Sultan Omar Ali Saifudin menyokong gagasan ini tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh
A.M. Azahari menentangnya. A.M. Azahari menentang gagasan ini kerana Brunei akan menjadi
jajahan Malaysia. Beliau mahukan Brunei merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia. Beliau juga
merancang menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak menjadi Persekutuan Borneo Utara di
bawah pimpinan Sultan Brunei. PRB menang dalam pilihanraya Majlis Daerah dan Majlis Undangan
yang diadakan pada Ogos dan September 1962. Kemenangan ini menyakinkan Azahari bahawa
rakyat Brunei turut menentang gagasan Malaysia. Selain itu, Azahari juga merasa dirinya kuat kerana
Filipina dan Indonesia menyokongnya. Dengan keyakinan bahawa gagasan ini akan gagal, PRB
melancarkan pemberontakan bersenjata pada 7 Disember 1962. Pemberontakannya ditumpaskan
oleh Kerajaan Brunei dengan bantuan tentera dari British dan Tanah Melayu. Azahari melarikan diri
ke Filipina dan mengisytiharkan dirinya sebagai Perdana Menteri dan Sultan Omar Ali Saifudin
sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan Borneo Utara. Walaupun pada mulanya Sultan Brunei
menyokong gagasan ini tetapi baginda telah menarik diri pada Julai 1963 kerana baginda tidak mahu
membayar cukai hasil daripada pengeluaran minyaknya kepada kerajaan pusat Malaysia dalam
tempoh 10 tahun. Selain itu, baginda juga tidak berpuas hati kerana diberi kedudukan yang paling
rendah dalam senarai nama Sultan-sultan. Tambahan pula, rakyat Brunei juga tidak bersetuju
menyertai Malaysia.

PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA
1. Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (JPPM)
JPPM ditubuhkan pada 23 Julai 1961. Ia dipengerusikan oleh Donald Stephen (anggota Majlis
Undangan Sabah). Anggotanya ialah Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Lee Kuan Yew
(Singapura), Dato Mustapha Dato Harun (Sabah), Temenggung Jugah Anak Berieng (Sarawak) dan
Dato Setia Pangeran Ali (Brunei). Tujuan JPPM ialah:
a. Memberitahu orang ramai mengenai Malaysia.
b. Mengumpulkan sambutan mereka terhadap Malaysia.
c. Menyediakan memorandum mengenai cara pembentukan Malaysia.
JPPM telah memberi peluang kepada pemimpin Sabah dan Sarawak mengemukakan pandangan
mengenai gagasan Malaysia. JPPM telah mengadakan 4 mesyuarat di Kota Kinabalu (21 Ogos 1961),
Kuching (18 Disember 1961), Kuala Lumpur (6 Januari 1962) dan Singapura (1 Februari 1962). Hasil
daripada rundingan yang dijalankan. Sarawak mengeluarkan kertas putih mengenai Malaysia pada 4
Januari 1962 dan Sabah pada 31 Januari 1962. Kemudian, satu memorandum disusun semula dan
dihantar kepada Suruhanjaya Cobbold pada 23 Februari 1962. Kandungan memorandum ini ialah:
a. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas perlembagaan Malaysia.
b. Kerajaan Persekutuan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan.
c. Islam agama rasmi tetapi rakyat bebas beragama.
d. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan tetapi bahasa lain masih boleh digunakan.
e. Hak istimewa seperti orang Melayu diberi kepada rakyat pribumi Sabah dan Sarawak.
f. Sabah, Sarawak berhak mengawal imigrasennya sendiri.
g. Perwakilan Parlimen berasaskan jumlah penduduk dan jumlah luas kawasan.
Memorandum ini disokong oleh rakyat Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.

2. Suruhanjaya Cobbold
Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada Januari 1962. Ia dipengerusikan oleh Lord Cobbold (bekas
Gabenor Bank of England). Ahli-ahlinya terdiri daripada Sir Anthony Abel dan Sir David Watherston
iaitu wakil British dan Muhammad Ghazalie Shafie dan Dato Wong Pow Nee iaitu wakil Tanah
Melayu. Tugas utama suruhanjaya ini ialah:
a. Meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia.
b. Membuat syor-syor perlembagaan.

Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya dari 19 Februari sehingga 18 April 1962. Sebanyak 50
perjumpaan dengan 690 kumpulan orang ramai diadakan. Selain itu, 2000 atau lebih memorandum
telah diterima. Pada 18 April 1962, laporan disiapkan dan diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu
dan British pada Jun 1962. Pada 1 Ogos 1962, laporan ini diumumkan mengenai pandangan rakyat
Sabah dan Sarawak:
a. 1/3 menyokong kuat Malaysia
b. 1/3 menyokong dengan syarat
c. 1/3 hendak merdeka dahulu sebelum menyertai Malaysia

Dengan itu, suruhanjaya ini turut menyokong gagasan Malaysia dan mengesyorkan syor-syor
Perlembagaan Malaysia seperti dibawah:
a. Nama persekutuan baru Malaysia.
b. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 menjadi asas Perlembagaan Malaysia.
c. Kedudukan istimewa kaum pribumi Sabah dan Sarawak dijamin.
d. Sabah dan Sarawak berhak memilih Ketua Negeri sendiri.
e. Penduduk pribumi Sabah dan Sarawak dibenarkan berkhidmat dalam perkhidmatan awam
secepat mungkin.
f. Dasar pendidikan, ugama, imigresen, perwakilan Parlimen, kedudukan bumiputera,
kewangan, kewarganegaraan dan perlembagaan negeri di Sabah dan Sarawak ditentukan oleh
Majlis Undangan Negeri masing-masing.
g. Bahasa Melayu bahasa kebangsaan. Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa rasmi sehingga DUN masing-masing membuat keputusan.
Hampir semua syor diterima oleh British dan diumumkan pada 1 Ogos 1962, Malaysia akan
ditubuhkan pada 31 Ogos 1963. Jawatankuasa Antara Kerajaan akan ditubuhkan bagi merangka
Perlembagaan Malaysia.

3. Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK)
JAK ditubuhkan pada Ogos 1962 untuk merangka Perlembagaan Malaysia. Pengerusinya ialah Lord
Landsdowne dan Timbalan Pengerusinya ialah Tun Abdul Razak. Anggotanya terdiri daripada wakil
British, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Wakil Sabah telah mengemukakan memorandum yang
mengandungi 20 perkara. Antaranya ialah:
a. Agama Islam agama rasmi persekutuan. Tiada agama rasmi di Sabah.
b. Bahasa Inggeris bahasa rasmi Sabah; Bahasa Melayu bahasa kebangsaan.
c. Imigresen orang asing Sabah di bawah kuasa negeri Sabah.
d. Sistem pendidikan Sabah dikekalkan.
e. Perwakilan Parlimen harus mengambil kira keluasan kawasan dan bilangan penduduk.

Pemimpin Sarawak tidak mengemukakan memorandum tetapi bersetuju dengan memorandum yang
dikeluarkan oleh Sabah.
27 Februari 1963 JAK mengeluarkan laporan
8 Mac 1963 Dibentangkan di Majlis Negeri Sarawak
13 Mac 1963 Dibentangkan di Sabah.

Kedua-dua negeri menerima laporan ini dan laporan ini seterusnya diluluskan oleh Parlimen Tanah
Melayu dan menjadi Akta Malaysia 1963. Kandungannya ialah:
a. Agama Islam agama rasmi kecuali Sabah dan Sarawak.
b. Bahasa Melayu bahasa rasmi persekutuan.
Bahasa Inggeris bahasa rasmi Sabah dan Sarawak sehingga 10 tahun selepas Hari Malaysia
apabila Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak membuat pindaan.
c. Imigresen Sabah dan Sarawak dibenarkan mengawal sendiri.
d. Sistem pendidikan Sabah dan Sarawak dikekalkan di bawah kerajaan negeri sehingga Dewan
Undangan Negeri kedua-dua negeri ini membuat pindaan.
e. Perwakilan Parlimen Sabah 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 kerusi.

Berdasarkan laporan JAK, Perjanjian Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963. Pada
masa ini Brunei menarik diri secara rasminya.

4. Pengisytiharaan Malaysia
Berkenaan dengan penubuhan Malaysia, Filipina dan Indonesia menentang kuat. Beberapa
rundingan telah diadakan antara kedua-dua negara dengan Tanah Melayu. Akhirnya, MAPHILINDO
ditubuhkan. Pemimpin ketiga-tiga negeri bersetuju meminta Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu (PBB) untuk meninjau kembali pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai
penyertaan mereka ke Malaysia. Suruhanjaya PBB yang diketuai oleh Lawrence Michaelmore
menjalankan tugasnya dari 16 Ogos 5 September 1963. Oleh itu, tarikh penubuhan yang
ditetapkan terpaksa ditunda. Mengikut laporan PBB, lebih 70% rakyat Sabah dan Sarawak
menyokong Malaysia. Maka pada 16 September 1963, penubuhan Malaysia diisytiharkan secara
rasminya.

PENENTANGAN GAGASAN MALAYSIA
1. Filipina
Apabila JPPM dan Suruhanjaya Cobbold menunjukkan sokongan kepada penubuhan Malaysia,
Filipina telah menuntut hak ke atas Sabah bagi waris Sultan Sulu pada 22 Jun 1962. Filipina
mendakwa Sabah dipajak dan bukan diserahkan kepada Baron Overbeck dan Alfred Dent pada tahun
1874. Pajakan ini telah dibatalkan pada tahun 1958. Kerajaan British enggan mengakui kedaulatan
Filipina ke atas Sabah. Kerajaan Filipina juga mengemukakan tuntutan yang sama kepada Tanah
Melayu tetapi ditolak. Hubungan diplomatik Filipina-Tanah Melayu menjadi genting. Walau
bagaimanapun, usaha-usaha dijalankan untuk menyelesaikan persengketaan. Akhirnya, Filipina juga
mengiktiraf Persekutuan Malaysia pada Jun 1966.

2. Indonesia
Pada mulanya, Indonesia mengalu-alukan pembentukan Malaysia. Namun, PKI di bawah D.N. Aidit
menyifatkan ia merupakan satu penjajahan baru yang mengancam Indonesia. Setelah tercetusnya
pemberontakan Brunei, Presiden Indonesia, Sukarno menerima tekanan hebat dari PKI dan
mengubah sikap serta menentang gagasan Malaysia. Aidit telah melawat ke Tanah Melayu dan
menghasut rakyat dan tentera memberontak. Hubungan Tanah Melayu dengan Indonesia menjadi
renggang. Pada 20 Januari 1963, Dr. Subandrio mengumumkan dasar konfrontasi terhadap gagasan
Malaysia. Kemudian, Indonesia bersetuju meminta Suruhanjaya PBB bagi meninjau semula
pandangan penduduk Sabah dan Sarawak mengenai Malaysia. Laporan PBB menunjukkan rakyat
Sabah dan Sarawak menyokong Malaysia tetapi Indonesia enggan mengakui.

16 September 1963, Malaysia diisytiharkan secara rasminya. Pada hari ini, Indonesia melancarkan
konfrontasi dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu. Sebab Indonesia
melancarkan konfrontasi ialah:
a. Tekanan PKI ke atas Kerajaan Indonesia.
b. Penubuhan Malaysia menghalang cita-cita Sukarno untuk menubuhkan Indonesia Raya yang
termasuk Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.
c. Sukarno merasa tersinggung kerana tidak diajak berunding mengenai penubuhan Malaysia.
Pada bulan November 1963, serangan gerila dilancarkan. Tentera Indonesia mendarat di
Pontian, Labis, Muar dan Kota Tinggi. Pengintip-pengintip juga dihantar. Akibatnya:
a. Dato Dr. Ismail Abdul Rahman telah meminta bantuan dari PBB dan membuat bantahan
mengenai serangan Indonesia.
b. Pasukan pertahanan tempatan atau askar wataniah ditubuhkan.
c. Britain memberi bantuan tentera.
d. Australia, New Zealand, Canada memberi bantuan senjata.
e. Rundingan sulit dengan pegawai Indonesia bukan komunis diadakan.
f. Dato Abdul Razak melawat ke negara Afro-Asia dan Dunia Ketiga untuk mengikis propaganda
Indonesia yang memburuk-burukkan nama Malaysia.

Pada 30 September 1965, gerakan komunis untuk merampas kuasa gagal. Konfrontasi menjadi
berkurangan. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik berusaha menamatkan konfrontasi dan
mewujudkan persefahaman dengan Malaysia. Hasrat menamatkan konfrontasi wujud apabila
Suharto menggantikan Sukarno sebagai Presiden Republik Indonesia. Hasilnya, perjanjian damai
ditandatangani di Jakarta pada 11 Ogos 1966 selepas Tun Abdul Razak berunding dengan Adam
Malik di Bangkok.

You might also like