Seni Mengarang Wacana

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 25

PENGENALAN

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut.
Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam
pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara umumnya wacana dapat dikaitkan
dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat, penggunaan bahasa dan juga amalan sosial
yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa.
Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat,
keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri wacana yang telah
dikemukakan. Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana lisan dan
wacana tulisan. Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan iaitu
melibatkan hubungan pembicara dan pendengar manakala wacana tulisan pula ialah wacana
yang disampaikan secara bertulis yang mana melibatkan hubungan antara penulis dengan
pembicara.
Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana.
Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk
menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta
rumusan sesuatu wacana.
Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana tanpa penanda wacana
yang tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai
kesatuan dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya penanda wacana dalam bahasa
melayu terdiri daripada penanda leksikal, penanda rujukan, penanda penghubung, penanda
penggantian dan penanda elipsis atau pengguguran.

DEFINISI WACANA
Perkataan Wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris. Perkataan
discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran dengan kata-kata,
ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan. Hubungan secara umum, terutama
sebagai suatu subjek kajian atau pokok bahasan, risalah tulisan, disertasi formal, kuliah,
ceramah serta khutbah.Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993 : 1484
bermaksud ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu
kesatuan.
Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen
yang penting bagi wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan cerita dengan bahasa yang
mudah dan kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan maklumat. Dalam bidang pendidikan
Bahasa Melayu pula telah diperkenalkan beberapa definisi wacana. Dari segi hierarki
tatabahasa , wacana terletak pada heirarki yang tertinggi selepas ayat, seperti yang tergambar
dalam rajah berikut
Perkataan --> Ayat --> Klausa --> Frasa --> Wacana
Keseluruhan terbitan atau hasil karya dalam sesuatu bahasa. Berdasarkan erti
perkataan wacana di atas dapat disimpulkan bahawa perkataan wacana itu sama dengan
perkataan ucapan yang utuh untuk wacana lisan, dan karangan yang utuh untuk wacana
tulisan dalam pengajaran bahasa Melayu sebelum ini. Wacana ialah satu unit bahasa yang
lengkap . Ia melebihi tingkat ayat. Oleh kerana sifatnya yang lengkap wacana mempunyai
tubuh teks seperti berikut:
a. Pendahuluan
b. Tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik (tanda bacaan,
cetakan tebal, miring, garis tebal)
c. Penutup
d. graf, jadual, peta dan statistik.
Wacana boleh ditulis dalam pelbagai bentuk penulisan, iaitu sama ada naratif
(pemerian), deskriptif (pengambaran), eksposisi (pendedahan) atau penghujahan. Untuk
memperoleh gambaran yang lebih jelas, definisi wacana telah dihurai serta diterangkan oleh
beberapa tokoh bahasa di bawah ini, antaranya ialah
Asmah Haji Omar (1982)3 menegaskan bahawa wacana ialah unit bahasa yang
melebihi batas ayat, yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan
perkembangan fikiran yang berurutan seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian, perenggan, bab,
buku, novel, cerpen, cerita, dialog, siri buku (cerita) dan sebagainya. Menurut beliau lagi,
wacana tidak mempunyai satu-satu jenis ayat yang terdiri dengan utuhnya tanpa dipengaruhi
oleh proses-proses kelahiran ayat. Ini bermaksud bahawa ayat yang selalu didapati dalam
struktur dan sistem secara teratur. Asmah telah membezakan ayat sistem daripada ayat
wacana. Ayat sistem adalah ayat atau tutur yang dikeluarkan dan diasingkan dari konteks
wacana, sedangkan ayat wacana yang juga disebut ayat teks adalah ayat yang betul-betul
terdapat dalam wacana teks dan wacana lisan.
Menurut Raminah Haji Sabran (1984:218) dalam bukunya yang bertajuk Kajian
Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang
melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab,
buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-
hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana
merupakan kesatuan bahasa yang lengkap.
Menurut Fokker (1951)4 pula, hubungan kesinambungan cerita itu dapat menunjukkan
secara nahuan, iaitu perujukan (verwijzing), kata-kata penghubung (verbindingswoorden) dan
pengguguran (ellips). Kesatuan makna dalam wacana seperti yang diterangkan di atas akan
dilihat dari segi makna logik dan makna tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep
semantik dan merujuk kepada perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang
membentuk wacana.
Stubbs, Michael menyatakan bahawa wacana merupakan kesatuan bahasa yang lebih
besar daripada ayat atau klausa. Dengan kata lain, wacana merupakan unit-unit linguistik
yang lebih besar daripada ayat atau klausa, seperti pertukaran-pertukaran percakapan atau
teks-teks tertulis. Secara ringkas, yang disebut teks bagi wacana adalah ayat bagi ujaran.
Harimurti Kridalaksana (1984:204)1 menyatakan bahawa wacana adalah satuan
bahasa terlengkap; dalam hierarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa tertinggi atau
terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku,
ensiklopedia, dan sebagainya, paragraf, ayat atau kata yang membawa amanat yang lengkap.
Anton M.Moeliono (1995:407)2 mendefinisikan wacana adalah rentetan kalimat yang
berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu.
Henry Guntur Tarigan menegaskan bahawa wacana adalah satuan bahasa yang
terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi
tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan
secara lisan atau tertulis.
Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa definisi mengenai wacana yang
diambil daripada berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa adanya persamaan dan juga
perbezaan pendapat mengenai dengan definisi wacana yang diperolehi dari ahli-ahli linguistik
ataupun penulis.
Secara tuntasnya, wacana letaknya lebih tinggi daripada ayat pada skala tatatingkat
tatabahasa dan mempunyai keteraturan fikiran logik (coherence) dan juga tautan (cohesion)
dalam strukturnya. Wacana dicirikan oleh kesinambungan maklumat. Makna kesinambungan
di sini adalah diertikan sebagai kesatuan makna. Terdapat lapan unsur-unsur penting dalam
wacana iaitu satuan bahasa, terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi,
berkesinambungan, kohesi, lisan atau tulisan awal dan juga akhir yang nyata.

KONSEP WACANA
Wacana berasal daripada perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa wocono. Wocono
pula daripada woco yang bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris, discourse berasal daripada
bahasa Latin discursus yang bermakna larian ke dan dari. Menurut Chafe, wacana
digunakan dengan pelbagai maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya wacana
dilihat sebagai sesuatu yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks
digunakan saling bertukar ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih
besar daripada ayat. Wacana, menurut beliau lagi, merujuk kepada kajian tentang unit
tersebut, cabang linguistik yang setara dengan cabang yang lain seperti morfologi atau
sintaksis.
Menurut Trask, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh seorang
penutur atau lebih. Crystal menyatakan wacana dalam linguistik merujuk kepada jujuhan
bahasa (biasanya lisan) yang lebih besar daripada ayat. Crystal juga mendefinisikan wacana
sebagai unit perlakuan. Unit ini mempunyai status prateori dalam linguistik, iaitu seberkas
ujaran yang terdiri daripada peristiwa bahasa seperti perbualan, khutbah dan temu duga. Cook
mendefinisikan wacana sebagai bahasa dalam penggunaan dan untuk perhubungan (Sanat,
2002:35-36). Dijk (1997: 1-34) menyatakan konsep wacana kabur kerana tentang fenomena
yang rencam. Namun, wacana menurut beliau suatu bentuk penggunaan bahasa yang
melibatkan komunikasi dan interaksi. Werth (1999: 1) pula melihat wacana sebagai suatu
peristiwa bahasa yang sempurna yang mempunyai awal dan akhir.
Selain itu, menurut Johnstone, B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh sebenar
komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola
kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk kepada
idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi. Menurut Schiffrin et.
al (2003:1), wacana mempunyai makna yang berbeza kepada pakar yang berbeza bidang.
Kepada ahli bahasa, wacana biasanya didefinisikan sebagai apa sahaja yang melampaui ayat.
Malah, definisi wacana itu dapat dirangkumkan kepada tiga kategori besar, iaitu yang
melampaui ayat, penggunaan bahasa, dan amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan
bukan tentu bahasa. Mereka melihat wacana dan analisis wacana sebagai sama.
Dapat disimpulkan di sini bahawa wacana sebagai unit tertinggi bahasa yang
melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut. Sebagai unit bahasa yang tertinggi, wacana
dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Sebagai
kajian, wacana memfokuskan pada unit tertinggi bahasa itu sehingga meliputi amalan sosial.
Analisis wacana menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses
memecahkan wacana kepada bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria tertentu dan melihat
ciri setiap bahagian itu. Selain melihat ciri struktur bahagian itu, analisis wacana juga melihat
fungsi bahagian itu. Menurut beliau, analisis wacana sekadar metodologi.
Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat analisis wacana peringkat kritis se-
bagai sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada cara penyalahgunaan kuasa sosial,
penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan, ditampilkan dan dipertahankan melalui wacana
dalam konteks sosial dan politik. Penganalisis wacana kritis mengambil pendirian yang jelas
untuk memahami ketidaksetaraan sosial sehingga sanggup mendedahkan dan memeranginya.
Wacana sebagai unit bahasa yang terbesar dianalisis melalui analisis wacana. Analisis
wacana pula berkait dengan pandangan bahasa (Sanat,2005a:131-132). Ada tiga pandangan
bahasa pada umumnya: Pandangan positivisme-empiris yang melihat bahasa sebagai jambatan
antara manusia dengan objek di luar dirinya. Analisis wacana dalam konteks pandangan ini
tidak melihat makna subjektif atau nilai yang mendasari penyataan. Sebaliknya, makna
penyataan dilihat sebagai kebenaran atau ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi aturan
tatabahasa, seperti tautan dan runtutan.
Pandangan konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang
memisahkan subjek dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam kegiatan
wacana serta hubungan sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk men guasai maksud
tertentu dalam setiap wacana. Oleh itu, analisis wacana dimaksudkan sebagai suatu analisis
untuk membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek.
Pandangan kritis membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif kepada
proses produksi dan reproduksi makna yang terjadi secara historis dan institusional. Bahasa
dalam pandangan kritis difahami sebagai representasi yang berpe-ranan dalam membentuk
subjek tertentu, topik wacana tertentu, mahupun strategi di dalamnya. Oleh itu, analisis
wacana dipakai untuk membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa.
Di sini, jelas analisis wacana bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama ada
makna penyataan sebagai kebenaran atau ketidakbenaran wacana, membongkar maksud dan
makna tertentu daripada penyataan subjek, atau membongkar kuasa dan ketidaksetaraan sosial
yang ada dalam setiap proses bahasa.
Konsep tatabahasa wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang
mencakupi unit tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas penggunaan bahasa
yang mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas sehingga memungkinkan pengguna
peka teks, koteks, dan konteks amalan sosial dan amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa
seperti ini dikenali sebagai tatabahasa wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006).
Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan pada
wacana tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi. Metodologi analisis wacana
sekadar menganalisis yang menurut Johns-tone, B. (2002:2-4) merujuk kepada proses analisis
secara eksplisit, sama ada mental atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada
bahagian kecil.

LATAR BELAKANG WACANA
Menurut Sanat Md. Nasir (2002:1-8 dan12-18), wacana sebagai bidang kajian mempunyai
sumber sejarahnya yang panjang, iaitu bermula dengan peradaban keagamaan yang mengkaji
kitab agama, seperti teks Veda sejak 1200-1000 S.M. Malah, jika disorot lagi, zaman suhuf-
suhuf dan risalah nabi-nabi Allah jauh lebih awal, seawal Nabi Adam.
Dalam tradisi Barat pula, wacana mendapat sumber sejarahnya daripada retorik klasik
seawal abad kelima sebelum Masihi. Bidang ini mendapat tumpuan dalam aliran linguistik
awal oleh Aristotle (384-322 S.M.) melalui retorik dan seterusnya, aliran Stoik oleh Zeno
pada 300 S.M.
Retorik klasik mula malap dengan munculnya linguistik sejarah dan perbandingan
pada awal abad ke-19. Pada awal abad ke-20 lahir aliran struktural yang mempengaruhi
formalis Rusia dan strukturalis aliran Praha seperti pada Morphology of the Folktale oleh
Propp (1928) dan tentang perspektif ayat tugasan oleh Mathesius (1939). Daripada beliaulah
lahir konsep struktur tema dan struktur maklumat yang menjadi asas runtutan teks.
Di Great Britain, telah berkembang aliran Firth (1935) yang menghubungkan bahasa
dengan sekitarannya melalui konsep keperihalan keadaan Malinowski. Di Amerika Syarikat
pula terdapat tulisan yang menggunakan ungkapan analisis wacana oleh Harris (1952). Beliau
menggunakan prosedur formal tentang penyebaran struktur kelas keserupaan yang melebihi
ayat.
Analisis wacana moden bermula pada pertengahan 1960-an dengan terbitnya analisis
struktural wacana di Perancis. Di Amerika Syarikat terdapat aliran tagmemik yang dipelopori
oleh Pike, etnografi pertuturan oleh Hymes dan aliran tatabahasa stratifikasi oleh Lamb. Di
Jerman pula, muncul aliran linguistik teks oleh Hartmann. Dan di Great Britain, wujud aliran
tatabahasa fungsional oleh Halliday yang seterusnya dikenali dengan linguistik sistemik.
Halliday (1962) dalam artikelnya, Descriptive Linguistics in Literary Studies, dikatakan
telah membuat penyataan awal tentang tautan yang seterusnya kepada pemahaman struktur
wacana. Ruqaiya Hassan (1964) dalam tesis Ph.Dnya memperkukuh konsep tautan Halliday
tersebut. Pemuka aliran stratifikasi.
Gleason (1968), berpendapat dalam struktur wacana terdapat dua konstituen semologi,
iaitu jalur peristiwa dan jalur peserta. Menurut beliau, tautan berada dalam jalur peserta.
Dekad 1960-an ini menandakan perkembangan awal analisis wacana moden yang lebih
bersifat deskriptif dan struktural terhadap genre wacana popular atau peribumi. Aliran ini
bergerak bebas dan bertentangan dengan aliran linguistik semasa, iaitu tatabahasa
transformasi generatif.
Analisis wacana pada dekad 1970-an merupakan analisis secara sistematis dalam
disiplin yang sama atau antara disiplin. Perkembangan ini merupakan tentangan terhadap
tatabahasa formal dan bebas konteks transformasi generatif. Antara terbitan yang besar dalam
tempoh itu ialah Halliday dan Hasan (1976). Mereka menghasilkan Cohesion in English yang
oleh Brown dan Yule (1983:190) dikatakan paling komprehensif dan piawai dalam bidang
tautan. Malah, dalam Sanat (2002:18) terdapat kesimpulan bahawa daripada 17 buah disertasi
Ph.D di luar negara tentang tautan sehingga 1993, 15 buah daripadanya menggunakan
kerangka sistemik Cohesion in English.
Dekad 1980-an dan awal 1990-an menjadikan analisis wacana lebih padu dan
berkembang, dan pada waktu yang sama merencam dan mengkhusus. Antara terbitan yang
besar dalam tempoh tersebut ialah Beugrande dan Dressler (1981), Introduction to Text
Linguistics, Longacre (1983), The Grammar of Discourse, Halliday (1985), An Introduction
to Functional Grammar, Martin (1992), English Text: System and Structure, dan Cook (1994),
Discourse.
Jika dilihat perkembangan pada dekad pertengahan 90-an dan awal abad ke-21,
didapati analisis wacana memasuki tahap kritis seperti dalam Fairclough (1995,2001 dan
2003). Malah, beliau telah menghasilkan karya lebih awal daripada itu seperti Discourse and
Social Change pada 1992. Seperti yang dinyatakan di atas, analisis wacana ini lebih
menumpukan pada usaha membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa kerana
bahasa dilihat sebagai representasi yang memproduksi dan mereproduksi makna

Latar belakang wacana bahasa Melayu
Menurut Sanat Md. Nasir (2002: 9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru. Ada
pendapat yang mengatakan Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan perintis analisis
wacana dalam bahasa Melayu dengan menggunakan teknik keperihalan keadaan untuk
menerangkan penggunaan ganti nama.
Setakat yang terkumpul, Harimurti Kridalaksana (1970: 1), menulis makalah beliau
NYA sebagai penanda anafora. Pada tahun 1978, beliau telah menulis kertas kerja yang
bertajuk Keutuhan Wacana dan diterbitkan sebagai artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa.
Artikel itu membahaskan keutuhan wacana sebagai salah satu aspek analisis wacana.
Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan aliran tagmemik dan linguistik teks.
Demikianlah juga aliran tagmemik digunakan dalam Ph.D. Aja-miseba (1978).
Kerancakan penyelidikan tentang wacana bahasa Melayu berlaku dalam tahun 1980-
an, iaitu sepuluh tahun selepas wacana sebagai satu disiplin rancak di Eropah dan di Amerika
Syarikat. Pemaparan penyelidikan itu berupa artikel, disertasi dan buku. Asmah (1980a dan
1980b) telah menulis dua buah artikel dalam Jurnal Dewan Bahasa, yang masing-masing
bertajuk Analisis Wacana dan Pengajaran Bahasa untuk Kemahiran Berkomunikasi:
Pendekatan Wacana. Dalam artikel yang pertama itu, beliau telah menunjukkan penggunaan
tiga jenis analisis wacana, iaitu kaedah Harris, kaedah Becker, dan kaedah Sinclair dan
Coulthard. Artikel lain seperti Lufti Abas (1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985).
Selain yang berbentuk artikel, penyelidikan wacana juga telah dilakukan secara serius
di peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada bibliografi latihan ilmiah yang
diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga 1994, didapati latihan ilmiah yang
berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun 1984. Terdapat 14 buah latihan ilmiah
tentang kajian wacana sejak tahun tersebut hinggalah tahun 1989. Penelitian di peringkat
sarjana sepanjang tempoh tahun 1980-an setakat yang terkumpul ialah Sucipto (1987) dan
Wong (1988). Sucipto melihat unsur tautan manakala Wong, kesinambungan topik.
Di peringkat disertasi kedoktoran pula, termasuklah Abdul Aziz Idris (1982), Farrerty
(1982), Azhar M. Simin (1983), dan Tallei (1988). Abdul Aziz berfokus pada aspek struktur
tema dan sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan bahasa Melayu dan Inggeris.
Rafferty pula melihat struktur wacana bahasa Indonesia yang dituturkan oleh orang Cina di
Malang, Indonesia. Azhar pula meneliti sintaksis wacana yang dalam bahasa Malaysia
sedangkan Tallie, dengan menggunakan pendekatan analisis wacana, cuba mengkaji
keterpaduan, keruntutan, dan keterbacaan wacana buku pelajaran bahasa Indonesia di
peringkat sekolah dasar.
Penelitian wacana sepanjang tahun 1980-an dalam bentuk buku dan sebahagian
daripada buku dapat dilihat seperti dalam Asmah (1987: 108-127) tentang teks saintifik,
Tarigan (1987) Pengajaran Wacana dan Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia (1988: 334-360).
Dekad awal 1990-an diperteguh dengan kerancakan penelitian tentang wacana bahasa
Melayu seperti yang ditunjukkan oleh peneliti berikut. Sato (1991) menghasilkan tesis Ph.D.
dengan tajuk Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang
Tuah. Tumpuan beliau pada hubungan antara susunan ayat yang logikal dengan susunan
maklumat. Perhatian juga diberikan terhadap analisis tetenunan dalam ayat yang berkaitan
dengan hubungan tersebut.
Soeseno (1992) dalam syarahan perdana sempena pengukuhan beliau sebagai profesor
telah memilih tajuk Analisis Wacana dan Penerapannya. Dalam syarahan itu, beliau secara
meluas menyentuh topik-topik seperti analisis wacana sebagai cabang ilmu bahasa, perbezaan
antara wacana lisan dengan tulisan, konteks situasional, prinsip interpretasi lokal dan analogi,
implikatur, presuposisi, inferensi, referensi, pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan
tentang dunia. Di hujung syarahan beliau itu, ada dimuatkan contoh-contoh analisis wacana.
Manakala peneliti lain yang menghasilkan artikel atau kertas kerja, seperti Samsuri
(1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992;1993), Sanat (1992;1994;1995a dan
1995b;1996a dan 1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail (1993;1994) dan Zahrah (1995). Jika
ditinjau dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam bidang ini bagi tempoh 1990 hingga 1994
di Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan
Malaysia, dan dua buah dari Rancangan Bahasa Melayu, Universiti Malaya. Dua buah latihan
ilmiah itu terdiri daripada Hasnah (1994), Analisis Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu
dan Tan (1994), Tautan dalam Bahasa Melayu. Kedua-dua latihan ilmiah tersebut
menggunakan kerangka Halliday dan Ruqaiya Hasan (1976).
Seperti yang telah dinyatakan di atas, wacana sebagai bidang kajian dalam penelitian
bahasa Melayu masih baru. Hal ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya, wacana
sebagai satu disiplin hanya berlaku pada tahun 1970-an di Eropah dan di Amerika Syarikat.
Biasanya, kesannya akan memakan waktu antara 5 hingga 10 tahun untuk sampai ke sini.
Pada waktu yang sama, aliran transformasi generatif yang dipelopori Chomsky masih kuat
bertapak sehingga kebanyakan ahli bahasa kita yang belajar di peringkat kedoktoran dalam
tempoh itu telah terpengaruh dengan aliran tersebut.
Selain itu, kajian wacana sebagai mata kursus peringkat sarjana muda di universiti
tempatan masih belum menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi (1985) telah membuat tinjauan
tentang pengajaran linguistik di Malaysia dari segi konsep dan aliran, dan didapati hanya
Jabatan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia yang ada menawarkan kursus tersebut.
Bahkan, kursus itu pun dianggap umum sebab sekadar menyatakan topik tentang teori
sintaksis yang boleh dilihat daripada aliran lain yang bukan wacana, seperti tranformasi
generatif.
Pada awal tahun 1990 diberitahu bahawa di IKIP Malang, Unika Atma Jaya dan di
Universitas Indonesia di Indonesia masih belum ada kursus seumpama itu di peringkat ijazah
pertama. Demikian juga di Jabatan Pengajian Melayu, National University of Singapore.
Sebaliknya, Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains
Malaysia sudah menawarkan kursus Analisis Wacana di peringkat ijazah dasar bagi sesi
1989/90. Di Rancangan Bahasa Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya kursus
tersebut hanya dapat dimulakan pada sesi 1993/94 dengan tajuk Tatabahasa Wacana Bahasa
Melayu. Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Pertanian Malaysia
belum lagi menawarkan kursus yang seumpama itu pada sesi 1995/

CIRI CIRI WACANA
Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu
dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan,
maklumat, keadaan dan interteks.
Namun menurut Asmah Haji Omar dalam artikel Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk
Analisis Wacana pula terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu :
I. satuan bahasa
II. Terlengkap
III. mengatasi ayat atau klausa
IV. teratur atau tersusun rapi
V. berkesinambungan
VI. Kohesi
VII. lisan atau tulisan
VIII. awal dan akhir yang nyata.
Menurut Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat dua ciri
utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren (atau runtutan).
Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu wacana,
penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang
mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacanawacana lain yang membantu
pendengar atau pembaca memahami apa yang didengar atau dibaca.



Tautan atau kohesi
Tautan atau kohesi ialah keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur
linguistik yang lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap.
Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa
atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana tersebut. Tautan
penting kerana tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang
lain sehingga membentuk suatu kesatuan. Kohesi juga merujuk kepada idea atau esei yang
dijalin rapi hingga menjadi bersepadu.
Kohesi juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-ayat
yang disusun secara padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah hubungan di
antara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal mahupun
strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan kohesi yang begitu baik akan dapat
menghasilkan wacana yang baik.
Tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk
menjadikan suatu teks itu berkesatuan
(Halliday dan Hasan:1976)
Halliday dan Hasan telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan nahuan
dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu,
kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau
konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Kohesi juga
dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan sebagainya.
Contohnya:

1. Syazwani, Siti dan Faiznur ke perpustakaan.
2. Mereka ke sana untuk meminjam buku.
Dalam contoh di atas, terdapat tautan antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan
mereka dalam ayat kedua merujuk kepada Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara sana
merujuk kepada perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai tautan ini dianggap
sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini bermakna dan difahami.

6.1.1 Jenis-jenis kohesi
6.1.1.1 Kohesi Leksikal
Kohesi Leksikal diperoleh dengan cara memilih kosa kata yang serasi. Ada dua cara bagi
mencapai aspek kohesi leksikel ini, iaitu reiterasi dan kolokasi.

i) Reiterasi (Pernyataan Semula)
Reiterasi atau pernyataan semula berlaku melalui tiga cara, iaitu pengulangan kata, sinonim,
superordinat dan kata-kata umum.
a) Pengulangan Kata
Pengulangan kata ini dikenali juga sebagai repetition. Kata yang sering kali diulang ini
adalah dari 'kata isi' (content word). Ini bermakna kata itu adalah kata yang amat penting bagi
sesuatu ayat yang dibentuk dan dibina bagi teks ataupun wacana. Kata isi ini boleh dikenal
pasti melalui dua cara. Cara yang pertama ialah kata itu atau 'kata isi' tersebut akan dijadikan
sebagai unsur yang tidak boleh ditinggalkan ataupun tidak digunakan jika diperkatakan di
dalam intipati teks. Manakala cara yang kedua ialah jika kata tersebut tidak diulang maka
berkemungkinan teks itu akan terganggu sifat kesatuannya.
Dalam bahasa Melayu, kata yang akan diulang itu boleh berubah bentuk dari segi
ataupun sudut morfologi. Ini dapat dikategorikan di dalam pengulangan kata ini, jika kelas
kata yang diulang itu tidak berubah.

b) Sinonim
Sinonim ialah suatu kata yang mempunyai makna yang sama dengan 'kata seerti'. Sinonim ini
digunakan kerana ianya untuk mengelakkan kebosanan bagi pengulangan kata yang sama di
dalam teks dan juga sinonim ini memberikan variasi kepada sesuatu teks. Sesetengah kata
dikatakan sinonim adalah disebabkan kedua-duanya merujuk kepada perkara yang sama.

c) Superordinat
Superordinat ialah penggunaan kata yang lebih khusus atau 'hiponim' kepada kata yang lebih
umum atau dikenali sebagai 'hiperonim'.
Contoh :
Semua yang ada di desa seperti kambing, biri-biri, kerbau, lembu dan ayam, harus dibuatkan
kandangnya secara teratur. Ketua Kampung mengarahkan penduduk desa membuat kandang
ternakan masing-masing.
(Tarigan, H.G. 1995: 146)
Superordinat bagi contoh di atas ialah kata umum yang merujuk 'kambing, kerbau, biri-biri,
ayam', iaitu 'ternakan'. Kata 'kambing, kerbau, ayam' adalah kata khusus yang juga dikenali
hiponim.

d) Kata-kata Umum
Kata-kata umum ialah kata-kata yang tidak tentu kelasnya.
Contoh :Bagi Awang Semaun, jika ia beroleh sesuatu hasil perburuan atau berkarang,
sebelum perolehan itu dibawanya balik ke rumahnya
(Harun Aminurrashid. 2001:25)

ii) Kolokasi
Bagi mengenal kolokasi adalah melihat dari dua sudut, iaitu
a) dari sudut sintaksis
b) dari sudut semantik.

a) Dari Sudut Sintaksis
Contoh :
Ketika itu nama Brunei dikenali sebagai Puni, kerana ibu kotanya bernama Puni.
Pada zaman Sultan Muhyiddin iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah Kerajaan
Brunei itu dipindahkan ke tempat yang ada sekarang.
(Harun Aminurrashid. 2001:19)
b) Dari Sudut Semantik
Contoh :
Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah air
kita, iaitu perhubungan darat, laut dan udara. Dalam bidang perhubungan darat telah
digalakkan pemanfaatan kereta api dan kenderaan bermotor. Kenderaan ini meliputi
kereta, motosikal dan lain-lain.
(Tarigan, H.G. 1995: 136)

6.2 Runtutan atau koheren
Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah
wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas
dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut
mempunyai makna.
Contohnya:
Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu.
Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains
dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.

Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala,
penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut
di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana
mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak
semestinya runtut.

Contohnya:
Wanita itu membeli baju baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran
muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah sosial.

Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak
merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks
tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk
menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau runtutan.


6.3 Tujuan
Setiap wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu
mempunyai tujuan. Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut
sama ada penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk
menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana yang
digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat yang sering
digunakan ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin menyatakan atau menerangkan
sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.

6.4 Penerimaan
Sesuatau wacana sama ada lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau
pembaca. Pendengar dan pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan
seseorang itu tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang
diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah tinggi
apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.

6.5 Maklumat
Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu
maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan
terdahulu. Maklumat baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan
andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.

Contohnya:
(1) Puan Rita mengajar di sekolah menengah.
(2) Sekolah itu sekolah berasrama penuh.

Sekolah itu dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam
ayat sebelumnya. Sekolah berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan
dalam ayat itu.

6.6 Keadaan
Ciri seterusnya ialah keadaan. Keadaan ialah latar sewaktu bahasa itu digunakan, dan
membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Ungkapan Sila masuk,
misalnya, difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain
masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis
latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar
berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan wacana
tersendiri.
Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara
amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya
formal, contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah,
murid atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal adalah gaya yang wujud dalam
hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan kesan dialek sosial dalam
pertuturan.
Wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan
penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang terbentuk ialah ayat
perintah. Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang
terbentuk ialah ayat Tanya.
Sesuatu wacana mesti berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar dalam
bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap wacana tidak boleh
dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat
sebelumnya.

Contohnya:
Kelmarin dia tidur sehari suntuk. Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.

Dalam wacana perlu ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu,
keutamaan dan sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait
rapat. Misalnya:
Cikgu Shafie mengajar dengan penuh dedikasi. ia mendapat pujian daripada guru
besar.Setiap wacana harus mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam
wacana digelar andaian manakala maklumat berikutnya disebut inferensi. Dalam tatabahasa
tradisional, andaian digelar judul dan inferensi disebut ulasan. Inferensi manambah maklumat
kepada andaian dan lazimnya bahagian ini diberi tekanan suara yang tinggi.
6.7 Interteks
Interteks bermaksud sesuatu wacana itu bergantung kepada wacana yang lain. Hal ini
beerti wacana-wacana lain juga memainkan peranan penting untuk membantu seseorang
memahami sesuatu wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan mudah. Dengan
kata lain, kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada
pengetahuannya terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya itu.

7.0 Jenis-jenis wacana
Umumnya wacana dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu wacana lisan dan wacana tulisan.

Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan, iaitu melibatkan
pembicara dan pendengar. Komunikasi yang terlibat dalam wacana lisan ini ialah komunikasi
interaktif, iaitu komunikasi yang melibatkan hubungan pembicara dan pendengar secara
langsung. Dalam wacana lisan, pembicara biasanya akan menggunakan ekspresi wajah,
intonasi suara, gerak badan dan sebagainya untuk menyampaikan sesuatu maklumat kepada
pendengar. Biasanya dalam wacana lisan, pembicara akan mendapat respon daripada
pendengar pada ketika itu juga. Antara contoh wacana lisan adalah menerusi perbualan, temu
ramah, ceramah, khutbah, pidato dan siaran televisyen atau radio.
Wacana tulisan pula ialah wacana yang disampaikan secara bertulis. Wacana tulisan
melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.komunikasi yang terlibat ialah
komunikasi tidak langsung, iaitu komunikasi satu arah. Penulis tidak berhadapan dengan
pembaca sewaktu wacana tersebut dihasilkan. Oleh itu, penulis tidak mendapat respon secara
langsung daripada pembaca. Wacana tulisan seringkali disunting terlebih dahulu bagi
menghasilkan tulisan yang berkualiti dan tepat. Dalam wacana tulisan, pembaca perlu
membaca teks yang ditulis untuk memahami maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang
pengarang atau penulis.
Antara contoh wacana tulisan ialah tulisan-tulisan yang terdapat di dalam akhbar,
majalah dan buku. Rencana di bawah adalah merupakan salah satu contoh wacana tulisan.
Contoh wacana tulisan : Rencana

Tajuk : Masalah-masalah yang Dihadapi Akibat Kemasukan Pekerja Asing.
Oleh : Siti Aminah bt Kasim

Perkembangan ekonomi dalam tahun 80-an dan tahun 90-an menyediakan peluang
pekerjaan yang amat banyak hingga negara tidak mempunyai tenaga buruh yang mencukupi.
Fenomena ini menyebabkan negara mengimport tenaga dari negara jiran. Sebaliknya,
kemasukan tenaga buruh asing menimbulkan pelbagai masalah sosial.
Kedatangan buruh asing secara beramai-ramai yang tidak disaring latar belakang
mereka membenarkan kemasukan penjenayah yang datang untuk mencari kesempatan.
Sungguhpun, sebahagian besar daripada buruh asing ini datang untuk mencari rezeki terdapat
pula mereka yang berniat jahat. Justeru itu, berlakulah jenayah seperti pencurian, rompakan,
dan penipuan. Golongan jahat ini datang untuk mencari kesenangan dengan cepat. Oleh itu,
kejadian rompakan dan kecurian kerapkali berlaku di mana buruh asing ramai didapati.
Rancangan menerima buruh asing digunakan oleh sesetengah pihak untuk lari dari
kampung halaman mereka. Mereka lari dari tempat mereka kerana mereka melakukan
jenayah. Apabila mereka datang ke sini mereka mungkin bertemu dengan seteru lama mereka.
Justeru itu, kita kerapkali dikejutkan oleh pergaduhan dan pembunuhan di kalangan buruh
asing terutama sekali yang datang dari Indonesia dan Filipina.
Selain itu, di kalangan buruh asing itu terdapat juga mereka yang datang bukan untuk
makan gaji tetapi untuk berniaga. Walaupun pada mulanya mereka bekerja tetapi setelah
beberapa lama mereka berniaga dengan membuka gerai. Mereka berniaga tanpa lesen dan
kadang-kadang bersaing dengan peniaga tempatqan. Oleh sebab overhed mereka rendah,
mereka berupaya menjual barang-barang mereka dengan murah. Kegiatan ini menimbulkan
pelbagai masalah kepada peniaga tempatan. Di samping itu, peniaga tempatan yang tidak
boleh bersaing meninggalkan tempat perniagaan mereka. Tindakan ini menambah pula
peniaga saing seperti di Chow Kit pada suatu ketika dahulu.
Di samping itu, terdapat pula golongan buruh asing yang cuba menganut budaya
tempatan sehingga mereka menjadi seperti penduduk tempatan. Kebanyakan daripada mereka
berkahwin dengan gadis-gadis tempatan. Setelah mengumpulkan wang dengan banyak
mereka balik ke negara asal mereka dan meninggalkan anak-anak dan isteri mereka.
Fenomena ini jika tidak dikawal sudah pasti menimbulkan masalah sosial dan membebankan
negara.
Rancangan jangka pendek untuk mengisi kekosongan di kilang, tapak pembinaan,
ladang-ladang, hotel, dan restoran rupa-rupanya membawa masalah yang berat. Andainya,
pengambilan buruh asing berlanjutan maka kawalan yang ketat dan saringan yang teliti
perlulah diambil oleh pihak yang berwajib.

(+348 patah perkataan)

8.0 PENANDA WACANA

Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi
mempertalikan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun
berucap. Penanda wacana amat penting dalam sesebuah teks kerana penanda wacana dapat
mewujudkan pertautan atau kesinambungan antara sebahagian teks dengan yang lain sehingga
membentuk kesatuan.
Penanda wacana juga merupakan unsur-unsur bahasa yang mewujudkan kohesi dan
koheran antara satu teks dengan teks yang lain sehingga membentuk kesatuan. Terdapat
banyak jenis penanda wacana dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu terdapat lima
jenis penanda wacana, iaitu

8.1 Penanda Leksikal
Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan antara perkataan atau frasa
secara semantik (makna) dalam sesebuah wacana. Penanda leksikal melibatkan unsur
pengulangan kata dan kebiasaannya pengulangan kata yang terlibat ialah pengulangan unsur
yang sama, pengulangan sinonim, hiponim dan kolokasi. Pengulangan unsur yang sama
bermaksud setiap kata diulang secara penuh tanpa melakukan sebarang perubahan. Contohnya
seperti:
Ibu amat menyayangi Ahmad.
Kami juga amat menyayanginya.
Dalam ayat di atas, berlaku pengulangan secara penuh bagi perkataan menyayangi.
Pengulangan sinonim pula merujuk kepada pengulangan kata yang mempunyai makna
yang hampir sama seperti:
Suatu ketika dahulu wanita itu amat dikaguminya. Tetapi kini, wanita itu
dianggapnya sebagai perempuan murahan.
Perkataan wanita dan perempuan merupakan pengulangan kata yang sinonim iaitu
sama makna.
Pengulangan hiponim pula ialah pengulangan yang melibatkan hubungan antara
makna khusus dan makna yang umum yang mana merangkumi makna yang khusus. Makna
yang umum disebut sebagai superordinat manakala makna khusus disebut sebagai hiponim.
Contohnya ikan merangkumi makna yang khusus seperti tenggiri, bawal, cencaru, selar dan
kembung.
Contohnya:
Malaysia telah mengimport pelbagai jenis kereta dari luar negara. Antaranya Honda,
Nissan, Toyota dan Volvo.
Pengulangan kolokasi melibatkan kehadiran sekumpulan kata yang saling berkait
dengan sesuatu idea, topik, situasi atau konteks. Lazimnya pengulangan kolokasi melibatkan
hubungan leksikal selingkungan seperti perkataan almari, meja dan kerusi dikatakan sebagai
perkataan yang berkolokasi kerana perkataan-perkataan ini mempunyai lingkungan yang sama
iaitu perabot. Selain itu pula, apabila kita mendengar ungkapan tendangan percuma, kita akan
menggambarkan situasi permainan bola sepak, dengan kata lain tendangan percuma
berkolokasi dengan permainan bola sepak.
Contohnya:
Pembuangan sisa-sisa toksik ke dalam sungai telah menyebabkan pencemaran air.
Oleh itu, banyak ikan dan udang yang mati.
Dalam ayat di atas, ikan dan udang merupakan perkataan yang berkolokasi kerana
mempunyai lingkungan yang sama iaitu hidupan air.

8.2 Penanda rujukan
Penanda rujukan melibatkan rujukan terhadap ganti nama diri dang anti nama tunjuk.
Rujukan ganti nama diri melibatkan ganti nama diri orang pertama, kedua dan ketiga. Contoh
rujukan ganti nama diri adalah seperti yang berikut:
Aku, Sani dan Udin akan ke Kuala Lumpur. Kami bertolak pada pukul empat petang.

Perkataan kami merupakan kata ganti nama diri bagi aku, Sani dan Udin.
Kata ganti nama tunjuk ialah perkataan yang membawa maksud menunjukkan benda
atau perkara. Dalam bahasa Melayu, penanda penunjuk terdiri daripada perkataan ini, itu, sini
dan situ. Contohnya:
Di manakah awak tinggal?
Saya tinggal di sana.

8.3 Penanda penghubung
Penanda penghubung berfungsi sebagai penjalin unsur-unsur linguistik seperti
perkataan, frasa atau ayat yang terdapat dalam sesebuah wacana. Penanda penghubung terdiri
daripada penghubung tambahan, tentangan, musabab dan tempoh.
Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat
tambahan terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya. Antara penghubung
tambahan dalam bahasa Melayu ialah dan, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di
samping itu dan selanjutnya. Contohnya :
Tugasnya sebagai wartawan di salah sebuah syarikat penyiaran benar-benar member
pengalaman kepadanya kerana dia sering diberikan tugasan di luar Bandar. Malahan dia
juga berpeluang melawat negara-negara luar seperti Thailand dan juga India untuk
menjayakan rancangan dokumentari itu.\
Penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat
antara suatu ayat yang baru diperkatakan dengan ayat sebelumnya dalam sesebuah wacana.
Antara contoh penanda penghubung tentangan ialah tetapi, sebaliknya, namun dan walau
bagaimanapun.
Contohnya :
Penghuni benua Amerika suatu ketika dahulu bukanlah kaum kulit putih dan berambut
perang. Sebaliknya, mereka merupakan kaum yang berambut panjang dan hitam.
Penanda penghubung musabab ialah penanda yang merupakan sebab berlakunya
sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab dan oleh itu.
Contohnya:
Dia kesuntukan masa. Oleh sebab itu, dia perlu menyiapkan tugasannya secepat
mungkin.
Penanda penghubung tempoh ialah penanda penghubung yang menunjukkan urutan
masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda penghubung tempoh ialah pertama, kedua,
ketiga, kemudian, selanjutnya dan sebagainya.
Contohnya:
Pada peringkat awal pendakian, ramai di kalangan ahli kami yang kepenatan.
Kemudian, kami berhenti rehat untuk jangka waktu yang panjang dan selepas itu, kami
teruskan pendakian. Akhirnya, berbekalkan semangat juang yang tinggi kami berjaya sampai
ke puncak Gunung Kinabalu tepat jam 6.30 pagi.
1. Tambahan
dan, serta, lagi, tambahan lagi, tambahan pula, selanjutnya, seterusnya, di samping.
2. Urutan
Pertama, kedua, seterusnya, selepas itu, kemudian, kemudian daripada itu, akhirnya.
3. Penyataan semula
iaitu, yakni, dengan kata lain, seperti yang diterangkan.
4. Contoh
contohnya, seperti, ibarat, laksana, macam, umpama, bagai, bak kata, sebagai.
5. Rumusan
rumusannya, kesimpulannya, sebagai kesimpulan, akhir kata, sebagai penyimpul kata
6. Tempat
berhampiran dengan, bersebelahan dengan, bertentangan dengan.
7. Waktu
apabila, ketika, semasa, kemudian, selepas, pada mulanya, lama-kelamaan, lambat-laun,
akhirnya.
8. Sebab dan kesan
oleh itu, sebab itu, justeru itu, fasal, lantaran, jadi, dengan itu.
9. Bandingan
seperti juga, serupa dengan, sesuai dengan, sama juga dengan.
10. Pertentangan
tetapi, sebaliknya, sungguhpun, walau bagaimanapun, namun begitu, bertentangan dengan.
11. Pengesahan
sebenarnya, sesungguhnya, sewajarnya, tentulah, pastilah, sememangnya.

8.4 Penanda penggantian.
Penggantian ini dikenali sebagai Substitution. Penggantian adalah pengambilan alihan
atau pertukaran bagi sesuatu segmen kata, frasa atau klausa oleh kata ganti yang lainnya.
Penanda penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan klausal.
Penggantian nominal ialah penggantian yang dilakukan terhadap kata nama tau frasa nama,
manakala penggantian verbal melibatkan penggantian terhadap kata atau frasa kerja dan
penggantian klausa pula melibatkan penggantian sebahagian daripada ayat. Contohnya :
Saya sengaja tidak mahu menebang pokok durian itu.
Nanti baru saya lakukan.
Dalam contoh di atas, perkataan lakukan menggantikan sebahagian ayat sebelumnya,
iaitu menebang pokok durian itu. Penggantian seperti ini merupakan penggantian klausa.
8.5 Elipsis
Elipsis melibatkan pengguguran kata atau frasa yang telah dinyatakan dalam ayat
sebelumnya. Ini beerti pengguguran kata atau frasa melibatkan maklumat yang telah diketahui
oleh pembaca atau pendengar berdasarkan konteksnya.
Contoh 1 :
Pemuda itu kelihatan resah. Tidak tahu arah mana yang harus ditujunya.
Dalam contoh di atas, frasa pemuda itu tidak diulang dalam ayat kedua. Walaupun
ayat kedua tidak menyatakan unsur yang sama seperti ayat pertama, tetapi ayat kedua ini
masih difahami.
Contoh 2 :
Ah Meng suka baju berwarna merah. Adiknya suka baju putih.
Dalam ayat (1) di atas perkataan tidak diulang dalam ayat (2). Walaupun dalam ayat
pertama dan kedua menyatakan unsur yang sama iaitu unsur warna tetapi kedua-dua ayat
tersebut masih boleh difahami.

8.5.1 Jenis elipsis.
Terdapat tiga jenis elipsis , iaitu
a) Pengguguran nomina
Contoh :
A: " Kita ini perlu anak. Tau anak! Adanya anak akan lebih bererti hidup "
B: "Kenapa diungkit-ungkit juga soal ^ itu?"
(Leman Ahmad. 1984: 24)
b) Pengguguran verbal
Contoh :
A: "Pernahkah kamu menaiki beca dan basikal?"
B: "ya, pernah "
(Tarigan, H.G. 1995:166)
c) Pengguguran klausa
Contoh :
Guru: "Apakah kamu mahu mendapat biasiswa dari kerajaan?"
Pelajar: "Ya tentu"
(Tarigan, H.G. 1995:147)

11.0 KESIMPULAN
Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat. Wacana mempunyai ciri-ciri yang
terdiri daripada tujuh tahap ketekstualan, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan,
maklumat, keadaan dan juga interteks. Selain itu, penanda wacana pula terdiri daripada lima
jenis yang disebut sebagai penanda leksikal, rujukan, penghubung, penggantian dan juga
ellips.
Wacana juga terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana jenis lisan dan wacana jenis
tulisan. Wacana jenis lisan merupakan wacana yang melibatkan antara penutur dan juga
pendengar. Sebagai contohnya ialah seorang guru yang bertanya kepada muridnya kenapa
tidak hadir ke kelas. Manakala wacana tulisan pula ialah wacana yang melibatkan bidang
penulisan. Sebagai contohnya ialah surat rasmi yang ditulis kepada kerajaan, laporan, memo
dan sebagainya.
Wacana bukan sekadar diperingkat ayat, malahan meliputi perenggang, bab, buku dan
siri buku. Tujuh ciri ketekstualan perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang baik sama
ada dalam penghasilan penulisan atau pengucapan. Sesebuah wacana yang baik perlu
memperlihatkan pertautan dan kesinambungan idea. Pertautan dan kesinambungan idea ini
bukan sekadar antara ayat dengan ayat atau antara satu perenggang dengan satu perenggang,
bahkan dari satu bab dengan bab yang lain. Hal ini penting untuk memperlihatkan kesatuan
bagi menghasilkan wacana yang utuh.
Wacana juga penting bagi menghasilkan kerja yang bermutu selain daripada boleh
menyempurnakan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, dengan menggunakan wacana yang
betul melalui percakapan seseorang itu akan menyebabkan seseorang itu akan dihormati oleh
orang lain. Hal ini kerana seseorang itu mampu mempamerkan kesungguhannya
menggunakan bahasa dengan betul ketika bercakap.

You might also like