Teori Realiti

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

TEORI REALITI

William Glasser merupakan pengasas Terapi Realiti merupakan seorang doktor


psikologi klinikal. Beliau dilahirkan di Cleveland Ohio, Carlifornia pada tahun 11 Mei 1925
dan merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik. Bapanya telah berhijrah ke
Amerika Syarikat untuk menyelamatkan kepercayaan agamanya dan bapa beliau hanya
bekerja sebagai seorang peniaga secara kecil-kecilan. Manakala ibunya merupakan
seorang yang berpendidikan dan sering menggalakkan anak-anaknya membaca. Bidang
muzik dan sukan adalah bidang yang amat diminati oleh William Glasser di samping
membaca. Sementelah itulah zaman kanak-kanaknya merupakan zaman yang amat
menggembirakan bagi William Glasser. Kakak dan abang sulungnya telah melanjutkan
pelajaran di kolej. Maka tidak mustahil William Glasser juga telah mengikut jejak langkah
mereka.
Bapanya telah menasihatinya bahawa bidang kejuruteraan adalah bidang yang baik
untuk diceburinya. Atas nasihat bapanya William Glasser telah melanjutkan pelajaran di
bidang kejuruteraan dan menerima Ijazah pertama Kejuruteraan Kimia dari Case Institute of
Technology pada tahun 1944 dan pada ketika itu beliau berusia 19 tahun. William Glasser
hanya menjawat jawatan jurutera selama beberapa tahun dan beliau telah menyambung
pelajarannya di bidang psikologi pada tahun 1948 dengan mendapat Ijazah Sarjana dalam
Clinical Psychology dari Case Western Reserve Universiti. Beliau telah membuat tesis
untuk phD pada tahun yang sama tetapi ditolak oleh pihak universiti. William Glasser telah
mendapat Ijazah perubatan di universiti yang sama pada tahun 1953. Beliau telah membuat
intenship di Veterans Administration Center di Los Angels dan kemudian bertukar ke UCLA.
Ketika ini beliau merasakan teori Sigmund Frued tidak bersesuaian dengan pandangannya.
G.Harrington telah menyelia Wiliam Glasser dan sependapat dengannya.
William Glasser telah menjadi ketua psikatarist di Ventura School for Girl pada tahun
1956. Ventura School for Girl merupakan sebuah institiut yang dikendalikan oleh kerajaan
California untuk merawat gadis-gadis yang rosak moral dan melanggar peraturan atau
undang-undang. Beliau telah berkhidmat di institiut tersebut selama 12 tahun dan
mempraktikkan konsep asal Terapi Realiti.
Bukunya yang pertama iaitu Mental Health or Mental Illness telah menjadi asas
kepada teknik dan konsep Terapi Realiti. Buku ini telah dihasilkan pada tahun 1961. Reality
Therapy: A Realistic Approach to the Young Offender ialah manuskrip William Glasser
yang telah menggunakan istilah Terapi Realiti buat kali pertama pada tahun 1964. Bukunya
yang terkenal bertajuk Reality Therapy: A New Approach to Psychiatry telah diterbitkan pada
tahun 1965.
Beliau telah mengaplikasikan idea-idea Teori Pilihan dan Terapi Realiti dalam sistem
pendidikan di California pada tahun 1966. William Glasser telah menerbitkan buku School
Without Failure pada tahun 1969 yang menerangkan interaksi guru dan murid serta
sumbangan sekolah terhadap identiti gagal pelajar.
Beliau telah menerbitkan buku The Identity Society pada tahun1972 yang berkaitan
tentang seseorang yang berfungsi sebagai individu secara psikologi dan fisiologi dalam
masyarakat. Antara buku-buku lain yang dihasilkan oleh William Glasser ialah Positive
Addiction (1976), Control Theory in the Classroom (1986), The Quality School (1990), The
Quality School Teacher (1998) dan Unhappy Teenagers: A Way for Parents and Teachers to
Reach Them (2002). Selain menulis buku beliau telah membuka dan menubuhkan institiut
Control Theory, Reality Therapy dan Quality Managment.
Pada pandangan William Glasser Teori Pilihan membincangkan seseorang individu
bertingkah laku dan mereka bertingkah laku berdasarkan perspektif psikologi kawalan
luaran, psikologi kawalan dalaman, dunia kualiti, keperluan asas, dunia pengertian, dunia
sebenar, nilai dan pengetahuan, skala, perimbangan, tingkah laku keseluruhan, sistem
tingkah laku, identiti berjaya dan identiti gagal.
Menurut kata William Glasser (2000) dengan tegas bahawa Teori Pilihan
menerangkan bahawa kita memilih tingkah laku dan individu bebas bertingkah laku
berdasarkan motivasi dalaman, pilihan kita sendiri, fleksibel, bermatlamat dan kreatif. Beliau
juga melihat masalah manusia berpunca daripada keperluan asas tidak dipenuhi. Tingkah
laku manusia berpandukan keperluan asas (Glasser 2001). Pengguna Terapi Realiti
hendaklah memahami keperluan asas individu yang merangkumi aspek fisiologi dan
psikologi (Glasser 2001).
Menurut Teori Pilihan kesemua tingkah laku manusia berdasarkan kepada keinginan
psikologi dan fisiologi individu. Keinginan psikologi merangkumi seseorang individu yang
menyayangi dan ingin disayangi oleh orang lain, ingin penghargaan daripada orang lain,
inginkan kebebasan dan inginkan kegembiraan (Glasser 1986, Ahmad Jasmin 2010).
Keperluan kasih sayang, rasa intim, rasa dipunyai oleh keluarga, rakan dan orang sekeliling
adalah merangkumi aspek menyayangi dan disayangi.
Keperluan ke arah pencapaian, berkemahiran, cekap, mempengaruhi orang lain,
ingin dihargai dan suka bersaing dengan orang lain adalah merangkumi aspek rasa ingin
penghargaan. Dalam Teori Pilihan rasa ingin bebas bermaksud individu mempunyai
keinginan untuk memilih kewajaran untuk dirinya dan cenderung membuat keputusan
tentang cita-cita kehidupan.
Keperluan untuk bermain, berehat, ketawa, gembira dan rekreasi adalah keperluan
keseronokan. Keperluan dari aspek psikologi seiring dengan aspek fisiologi yang mana
fisiologi merujuk kepada kelangsungan hidup yang merangkumi individu berani mengambil
risiko, mempunyai wang yang cukup, keselamatan, dilindungi dan seksual yang sihat.
Mengikut Teori Pilihan ia memberi penekanan kepada sifat tanggung jawab
individu. Beliau mendefinisikan tanggung jawab adalah keupayaan untuk memenuhi
sesuatu keperluan yang diingini (Glasser 1965). Beliau juga menolak konsep mimpi dan
angan-angan tanpa berpaksikan realiti (Glasser 1998).
Menurut pandangan William Glasser Terapi Realiti bermula apabila beliau telah mula
membuat pandangan tentang proses perubahan manusia yang merupakan permulaan
penting dalam psychologycal community. Ketika teori Pemusatan Klien, Existensial dan
Gestalt sedang berkembang, Terapi Realiti bermula.
Terapi Realiti menegaskan bahawa manusia mempunyai kebebasan, ada pilihan dan
bertanggung jawab terhadap pilihan tersebut. Di samping itu Terapi Realiti berorientasikan
tingkah laku secara total atau keseluruhannya yang melibatkan komponen doing,
thinking, feeling dan psychology. Selain itu Terapi Realiti juga menekankan aspek tingkah
laku dan pemikiran klien. Namun demikian Terapi Realiti menolak konsep mental illness
atau sakit jiwa.
Teori Pilihan Terapi Realiti menekankan sistem berfikir yang merupakan sistem
kawalan yang mengawal tingkah laku individu. Kehidupan seseorang itu ditentukan oleh
pilihan kita sendiri. Pilihan yang dibuat oleh diri sendiri biasanya datang daripada hati
sanubari kita. Pada hakikatnya kadang-kala kita suka tetapi kita juga mempunyai kehendak
untuk menentukan perkara yang terbaik untuk diri kita sendiri. Ilmu psikologi kaunseling
aliran kognitif membincangkan bahawa manusia bertingkah laku berdasarkan pilihan
masing-masing. Teori Pilihan Terapi Realiti telah membincangkan tentang pemikiran dan
tingkah laku.
Kesimpulan dalam Teori Pilihan adalah kita boleh mengawal tingkah laku kita. Kita
hanya mendapat maklumat daripada orang tetapi tidak semestinya apa yang kita inginkan
dan kebanyakan masalah psikologi berpunca daripada masalah hubungan yang mana
masalah hubungan adalah suatu proses yang sentiasa wujud. Masa sekarang sangat
penting berbanding dengan masa lepas dan risau pada masa akan datang. Kita mempunyai
keperluan asas iaitu ingin menyayangi dan ingin dimiliki, ingin penghargaan, ingin
kebebasan, ingin kegembiraan dan ingin terus hidup. Kita juga rasa puas setelah memilih
untuk memenuhi kehendak kita. Akhir sekali konflik dengan apa yang kita hendak akan
mempengaruhi tingkah laku, pemikiran, perasaan dan fisiologi.
Dalam pendidikan psikologi kaunseling Terapi Realiti adalah salah satu teori. Terapi
Realiti adalah sebahagian daripada pendekatan Kognitif. Teori Pilihan tidak dapat
dipisahkan daripada Terapi Realiti. Terapi Realiti membincangkan bagaimana kita dapat
membantu diri kita dan orang lain manakala Teori Pilihan membincangkan bagaimana
manusia bertingkah laku. Ia merupakan proses untuk memahami tingkah laku individu untuk
seseorang itu memilih dan membuat keputusan yang tepat dalam kehidupannya. Ia juga
berfokus kepada tingkah laku yang dipilih hendaklah sesuai dengan kehendak murid.
Terapi Realiti adalah merujuk kepada prosedur WDEP yang merupakan akronim
strategi dalam Terapi Realiti yang boleh digunakan oleh guru untuk menolong murid
berubah dari segi aspek tingkah laku yang sesuai dengan kehendak individu
tersebut. Menurut Wubbolding dan Brickell (1999) menyatakan W merujuk kepada wants,
needs and perceptions (kehendak, keperluan dan persepsi), D merujuk kepada directions
and doing (terarah dan lakukan), manakala E merujuk kepada evaluation (penilaian) dan P
merujuk kepada planning and commitment ( pelan bertindak dan komited). Strategi WDEP
merupakan langkah-langkah dalam Terapi Realiti yang boleh digunakan oleh guru untuk
menolong murid. Sebelum guru mengaplikasikan sepenuhnya aplikasi WDEP ini adalah
perlu untuk guru mewujudkan suasana kaunseling agar kepercayaan, penerimaan dan
proses membantu dapat dijalankan dengan lancar.
Guru mewujudkan suasana perbincangan konduksif iaitu pembinaan perhubungan
yang tulen, mesra, tidak menghukum, menerima dengan seadanya, menunjukkan empati,
fokus pada isu murid, berkongsi cerita, dan menggunakan sedikit humor adalah merupakan
suasana yang wajar diwujudkan sebelum sistem WDEP itu diterapkan. Guru hendaklah
mengelak daripada berhujah keterlaluan, menuduh, mengkritik, memaksa murid, tidak
menghargai murid, mewujudkan ketakutan dan mudah putus asa.
Guru meneroka kehendak, keperluan dan persepsi murid adalah penerapan strategi
dalam Terapi Realiti bermula di peringkat W (Wants, Needs & Perception) di mana guru
akan meneroka kehendak, keperluan dan persepsi murid tentang hidupnya. Harapan dan
keinginan murid perlu dikongsi oleh guru dari segi sejauh mana keperluan asas psikologi
dipenuhi mengikut Terapi Realiti iaitu keperluan untuk dsayangi dan menyayangi , keperluan
membuat pilihan di atas kebebasan yang diberi, kuasa untuk menghargai dan dihargai
olehorang lain, rasa kegembiraan yang wujud dalam diri dan sejauh mana kehidupan dapat
diteruskan hasil daripada keperluan-keperluan tadi dapat dipenuhi. Perkongsian di antara
guru dan murid akan melahirkan rasa komitmen di kalangan murid untuk meneruskan
pilihannya dengan mengadakan perbincangan dengan guru.
Guru meneroka arah tuju pelajar setelah penglibatan yang diperolehi oleh
murid di mana langkah yang seterusnya guru bertindak secara aktif, mengarah, didaktif dan
kognitif bersama murid meneroka hala tujunya. D (Doing & Direction) akan muncul apabila
guru perlu memfokus kepada tingkah laku semasa murid. Tingkah laku dan perasaan
saling berkait rapat, namun tumpuan guru adalah kepada tingkah laku semasa
murid. Tumpuan tingkah laku kerana ia merupakan perkara yang lebih mudah diperbetulkan
oleh murid. Pengalaman lampau tidak perlu dilihat sebagai asas penerokaan masalah murid
tetapi masa lampau hanya dibincangkan untuk membantu tingkah laku masa kini.
Murid membuat penilaian terhadap diri mereka setelah mendapat maklum balas
daripada guru tentang usaha yang ingin dilakukan oleh murid untuk mengubah tingkah
lakunya, penilaian secara spesifik dibuat terhadap perlakuan-perlakuan yang ingin
dijalankan. Penilaian tingkah laku yang wujud bukan sahaja dibuat oleh guru malah ianya
juga melibatkan persepsi, komitmen dan kesediaan murid untuk berubah. Guru akan
menilai secara berterusan termasuk perancangan murid untuk menunaikan segala
tindakannya.
Guru berbincang tentang pilihan murid membuat tindakan adalah merupakan
langkah terakhir dalam penggunaaan terapi ini dan guru menggunakan konsep P (Plan of
Action). Guru membantu murid membuat perancangan berasaskan persetujuan murid untuk
berubah. Guru perlu membuat perancangan yang mudah bersama murid agar boleh
tercapai, boleh diukur, segera dilakukan oleh murid, penglibatan murid, murid mengawal
setiap perancangannya, murid komited dengan perancangannya dan setiap perancangan
yang dirancang perlu konsisten dan berterusan. Perancangan dan pelan yang dibuat
adalah untuk membantu murid. Langkah-langkah dan alternatif dipilih untuk mencapai
objektif yang disenaraikan. Dari semasa ke semasa pelan ini dinilai dan disemak. Apabila
murid tidak mengikit perancangan dengan baik maka masalah akan timbul. Komitmen murid
penting dan murid perlu bersungguh-sungguh untuk berubah.
Matlamat Terapi Realiti adalah untuk membantu seseorang bagi mencapai
kebebasan atau autonomi dalam menentukan matlamat hidup tanpa bergantung kepada
orang lain. Selain itu matlamat Terapi Realiti menyediakan suatu suasana yang boleh
membantu klien bagi membina kekuatan psikologi untuk menilai dan menghargai tingkah
laku semasa. Klien dibimbing ke arah menerima realiti dan berusaha merancang strategi
untuk mencapai matlamat hidup yang lebih realistik. Klien juga dibantu untuk bertindak dan
bertingkah laku dengan penuh tanggung jawab secara realiti dalam mencapai matlamat
hidup klien perlu memperjelaskan cara-cara mereka menghambat kemajuan ke arah tujuan-
tujuan yang ditentukan oleh mereka sendiri. Namun matlamat Terapi Realiti juga membantu
klien menemukan alternatif-alternatif dalam mencapai tujuan-tujuan dengan syarat klien
sendiri yang menetapkan tujuan-tujuan itu.
Konsep utama Terapi Realiti telah mengemukakan alternatif ciri-ciri tertentu yang
boleh atau harus diperhatikan. Antara ciri-ciri tersebut ialah menolak konsep sakit jiwa dan
tidak memberi perhatian atau fokus kepada dianogsis jiwa. Menurut Terapi Realiti tingkah
laku tidak siuman adalah hasil daripada penolakan tanggung jawab. Individu yang
membelakangkan tanggung jawab akan menghasilkan tingkah laku tidak siuman. Apabila
tingkah laku berubah sikap dan perasaan turut berubah. Oleh itu Terapi Realiti tidak fokus
kepada tingkah laku, sikap dan perasaan. Sebaliknya Terapi Realiti menumpukan perhatian
kepada situasi masa kini. Sewaktu memberi perhatian kepada tingkah laku masa kini.
Terapi Realiti menekankan aspek-aspek positif seperti potensi individu, kejayaan-
kejayaannya, kelebihan dan kualiti positif yang ada padanya. Dalam pada itu Terapi Realiti
tidak mengabaikan harapan, kebimbangan dan nilai-nilai klien yang menekankan individu
yang mempunyai banyak potensi serta bukan sebagai pesakit yang mempunyai banyak
masalah.
Konsep Terapi Realiti juga menggalakkan klien meneliti dan menilai tingkah laku.
Selain itu Terapi Realiti menekankan kepada aspek sedar personaliti dan tidak menekankan
kepada aspek tidak sedar. Ia memberi tumpuan terhadap tingkah laku masa kini agar
dapat mencapai kejayaan melalui tindakan yang bertanggung jawab dan realistik.
Selain itu Terapi Realiti tidak menggunakan denda atau dera sebagai suatu alat
untuk mengawal atau mengubah tingkah laku kerana yakin bahawa denda atau dera
bukanlah alat yang berkesan. Sementelah denda atau dera hanya bertahan dalam jangka
masa yang pendek sahaja. Berdasarkan konsep Terapi Realiti belajar menjadi seorang
yang bertanggung jawab akan terus menerus berlaku di sepanjang hidup individu
itu. Bahagian yang paling penting dalam Terapi Realiti adalah aspek yang berkaitan dengn
moral, standard, nilai dan kebolehan menentukan tingkah laku yang betul daripada yang
salah. Akhir sekali semua peraturan, persetujuan dan keperluan yang ditetapkan oleh
kaunselor atau institusi hendaklah dipatuhi dengan ketat serta sebarang pelanggaran
peraturan adalah tidak diizinkan.
Terapi Realiti juga mempunyai konsep alternatif yang lain yang berkaitan dengan
keperluan asas manusia seperti keperluan perasaan mempunyai dan dipunyai kerana ianya
penting untuk mewujudkan hubungan kemanusiaan. Terdapat tiga lingkungan perasaan
mempunyai dan dipunyai iaitu keluarga, sosial dan tempat kerja. Namun demikian tidak
dinafikan bahawa setiap manusia perlukan kuasa dan pengiktirafan bagi mewujudkan
persaingan. Dalam pada itu untuk mencapai keperluan tersebut ianya memerlukan strategi
dan perancangan yang betul.
Selain itu secara lazimnya proses perkembangan manusia perlu bercirikan aktiviti
menggembirakan dan keperluan ini meliputi setiap perkembangan manusia. Demi
menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk dirinya kebebasan amat penting bagi setiap
individu. Setiap individu perlukan kebebasan untuk bergerak secara positif ke arah
kehidupan yang diingini. Oleh itu manusia sanggup berkorban untuk menuntut kebebasan
dan kemerdekaan.
Di samping itu keperluan selamat dan survival diperlukan juga oleh setiap individu
merangkumi makanan, penginapan, berkeluarga dan zuriat. Namun demikian konsep yang
berkaitan dengan kehendak manusia merupakan suatu desakan yang membawa manusia
bergerak dan bertindak ke arah memenuhi keperluan asas. Walaupun keperluan asas
manusia sama tetapi kehendak manusia bersifat unik, tersendiri, bertujuan untuk kepuasan
diri, mengandungi tanggapan dan jangkaan tertentu terhadap keperluan asas yang hendak
dicapai serta bersifat subjektif. Sebagai contoh, aku perlukan kasih sayang daripada
keluargaku sepatutunya begini.
Seterusnya konsep berkaitan rasa tanggung jawab di mana tindakan manusia untuk
memenuhi kehendak dan keperluan asas terdorong dengan rasa bertanggung
jawab. Setelah berlakunya penyesuaian akan wujud tingkah laku yang bersesuaian dengan
peraturan dan sistem masyarakat yang akhirnya akan melahirkan idenditi yang
berjaya. Begitu juga sebaliknya. Konsep berkaitan identiti pula berbeza di antara
individu. Matlamat hidup, kehendak, pemikiran, perasaan dan pelakuan adalah berbeza di
antara setiap individu. Ada dua jenis identiti utama dalam realiti iaitu identiti jaya dan identiti
gagal.
Identiti jaya merupakan individu yang berusaha sendiri untuk mempertingkatkan
dirinya sedaya upaya mungkin. Antara ciri-ciri individu yang memiliki identiti jaya adalah
konstruktif, tegas, altruistik, sentiasa berperasaan positif, gembira, penerimaan kendiri
positif, berfikir secara rasional, dekati masalah secara berpatutan, teliti, matang, bertumpu
kepada aktiviti sihat seperti berekreasi, memiliki rasa bebas, seronok, rasa disayangi dan
menyayangi, rasa cekap dan menghargai diri. Individu beridentiti jaya bertindak untuk
menghasilkan kepuasan, perasaan positif dan membentuk pemikiran, perasaan, tindakan,
keperluan dan matlamat yang positif.
Manakala individu yang beridentiti gagal pula tidak mengambil tanggung jawab untuk
menyelaras tingkah laku agar selari dengan harapan masyarakat umum, tinggalkan
tanggung jawab dengan menunjukkan kekecewaan, menunjukkan tingkah laku yang tidak
adaptasi, kecewa psikotik, mempamerkan simptom psikosomatik, bersifat terasing,
mengkritik diri tinggi, tidak bertanggung jawab, mengekalkan tingkah laku yang tegang dan
kaku. Individu yang beridentiti gagal ini mencapai kehendak dan keperluan asasnya dengan
cara tidak bertanggung jawab serta menghasilkan kepuasan, perasaan dan membentuk
pemikiran, perasaan, tindakan, keperluan serta matlamat yang negatif. Setiap individu yang
gagal perlu mencapai keperluan asas dan cenderung sama ada menolak atau menerima
realiti. Individu gagal yang menerima realiti akan mencapai kehendak dan keperluan asas
serta membentuk pemikiran, perasaan, tindakan, keperluan dan matlamat yang positif serta
akan lahirlah individu beridentiti jaya. Namun sebaliknya akan berlaku sekiranya individu
gagal yang mencapai kehendak dan keperluan asasnya menolak realiti serta tiada rasa
bertanggung jawab. Sikap tidak ada rasa tanggung jawab ini akan membentuk pemikiran,
perasaan, tindakan, keperluan dan matlamat yang negatif serta lahirlah individu yang
beridentiti gagal.
Berdasarkan Teori Pilihan individu bermasalah apabila keinginan mereka
tidak dipenuhi. Keperluan psikologi dan fisiologi (menyayangi dan disayangi, penghargaan,
kebebasan, kegembiraan dan kelangsungan hidup) mempengaruhi keinginan. Konflik timbul
apabila individu dapat apa yang mereka tidak hendak. Ia boleh mewujudkan keseronokan
atau kesakitan kepada diri individu tersebut. Tingkah laku, pemikiran, perasaan dan fisiologi
individu dipengaruhi oleh konflik. Oleh itu keseluruhan tingkah laku ini
akan menyumbangkan kepada identiti berjaya atau identiti gagal.
Individu gagal memenuhi kehendaknya dengan cara yang bertanggung jawab
merupakan personaliti gagal. Individu gagal biasanya kecewa dengan kehidupan dan
sentiasa menafikan kegagalan yang mereka hadapi. Mereka akan memilih simptom negatif
dan akhirnya mengalami tingkah laku yang tidak efektif. Personaliti gagal ini akan melarikan
diri daripada tanggung jawab setelah emosi dan pemikirannya terganggu.
Pilihan tingkah laku dalam kehidupan terbahagi kepada dua kategori iaitu tingkah
laku efektif dan tingkah laku tidak efektif. Antara tingkah laku yang efektif adalah sentiasa
menyokong orang lain, sentiasa mendapat galakan, kemahiran mendengar yang tinggi,
mudah menerima orang lain, mewujudkan kepercayaan terhadap orang lain, menghormati
orang lain dan selalu berunding.
Manakala individu yang gagal mempamerkan tingkah laku yang tidak efektif adalah
selalu mengkritik, selalu menuduh orang lain tanpa bukti, sentiasa tidak berpuas hati, selalu
berleter, rasa terancam, buat sesuatu kerana takutkan hukuman dan terlalu mengawal orang
lain.
Antara sumbangan Terapi Realiti jangka masa proses terapi yang berfokus kepada
janga masa pendek dan menangani masalah tingkah laku secara sedar. Kebanyakan
populasi yang berbeza seperti salah laku, penyalahgunaan bahan, kecelaruan personaliti
dan tingkah laku anti sosial yang mana pendekatan Terapi Realiti boleh diaplikasikan.
Setting kaunseling individu dengan kanak-kanak, remaja dewasa dan golongan berumur
adalah proses Terapi Realiti yang boleh diaplikasikan. Selain itu setting kaunseling
kelompok, kaunseling perkahwinan dan kaunseling keluarga turut ada dalam proses Terapi
Realiti. Proses Terapi Realiti juga diaplikasikan di hospital, klinik kesihatan mental,sekolah,
pusat tahanan (penjara), pusat pemuliahan dan pusat krisis (Glasser, 1986: Seligman 1997).
Namun Terapi Realiti sungguh konkrit serta memberi satu struktur klien dan terapi
boleh mengukur tahap dan bentuk perubahan terutamanya apabila kontrak berfokus
matlamat terbentuk. Fokus kepada tanggung jawab dan kebebasan adalah merupakan
pendekatan Terapi Realiti berlaku dalam kalangan individu tanpa mengkritik, menyalahkan
klien atau ada percubaan untuk membentuk semula personaliti secara menyeluruh.
Setiap individu bukan sebagai mangsa kemurungan atau tidak berkeupayaan
bertindak. Golongan ini memilih sendiri untuk berada dalam keadaan sedemikian. Mereka
bertanggung jawab ke atas diri sendiri atas perkara yang telah dibuat dan kedudukan
mereka. Ada kalanya manusia yang tidak diajar untuk bertanggung jawab terhadap tingkah
laku mereka atau mengambil tanggung jawab berkenaan. Memenuhi keperluan diri tanpa
menyusahkan orang lain adalah tindakan yang bertanggung jawab (Glasser, 1965/ m.s. 13).
Menurut Glasser (1984) Pendekatan Terapi Realiti ke arah penyelesaian konflik
yang terdiri daripada dua tahap iaitu benar atau salah. Konflik berkembang disebabkan
ketidaksetujuan interpersonal terhadap perubahan adalah di tahap benar. Manakala di
tahap konflik salah pula perubahan mungkin jika diri sendiri bersedia untuk mengambil
usaha membuat sesuatu untuk kebaikan dan tingkah laku bertanggung jawab. Ini boleh
membawa kepada hasil yang dikehendaki.
Menurut pendekatan Terapi Realiti aspek semulajadi tingkah laku seseorang
berdasarkan kepada keperluan asas individu berkenaan (penghidupan perasaan kepunyaan
dan kasih sayang, kekuasaan, keseronokan dan kebebasan). Perkembangan personaliti
individu ditentukan oleh persekitaran dan tanggapan seseorang individu serta memilih hala
tuju dalam lingkungan persekitarannya. Bagi memenuhi keperluan hidup dalam lingkungan
peluang-peluang yang diperolehi dalam persekitaran seseorang itu bertanggung jawab
terhadap pemilihan dan keputusan yang diambil. Pilihan-pilihan yang diambil menentukan
tingkah laku seseorang dipengaruhi oleh genetik dan persekitaran. Pendekatan Terapi
Realiti tidak menafikan pengaruh biologi dalam masalah psaikologi mental malah
pendekatan ini lebih pro kepada persekitaran. Penegasan pendekatan Terapi Realiti
bahawa faktor biologi (semulajadi) bukan penentu destinasi seseorang.
Menurut pendekatan Terapi Realiti penggunaan ubat-ubatan untuk masalah
pesakit mental adalah ditentang sekeras-kerasnya. Tingkah laku yang dipilih berpusatkan
kepada keinginan untuk memenuhi keperluan asas individu. Pada pendapat Glasser (2000)
tingkah laku seseorang itu dipilih sendiri oleh individu berkenaan maka rawatan
menggunakan ubat-ubatan berupaya menarik keluar sikap bertanggung jawab daripada
klien. Masalah kesihatan yang dihadapi dan dibuktikan dengan preskripsi ubat yang
diperolehi adalah merupakan alasan klien terhadap tingkah laku.
Berdasarkan pendekatan Terapi Realiti tidak banyak menghadapi masalah
disebabkan isu-isu budaya. Manusia memilih cara-cara tertentu untuk memenuhi keperluan
berdasarkan pilihan sistem kepercayaan keagamaan dan kebanyakan aspek-aspek Terapi
Realiti mempunyai persamaan dan berlandaskan pelbagai prinsip keagamaan yang
universal. Teknik Terapi Realiti adalah fleksibel dan berupaya menggabungjalinkan teknik-
teknik kaunseling dan pelbagai teknik teori dalam membantu klien memilih tingkah laku yang
lebih berkesan pada waktu semasa.
Sikap tanggung jawab merupakan sebagai tapak utama seseorang itu berubah
namun begitu Terapi Realiti tidak menyalahkan atau mengkritik seseorang disebabkan
kesukaran atau masalah yang dihadapi. Menurut Glasser (2000) seseorang itu tidak patut
dilabelkan berdasarkan sesuatu diagnostik. Kelemahan Terapi Realiti ialah unsur-unsur
masa lampau tidak diberi perhatian langsung. Menurut pengkritik Terapi Realiti menyatakan
unsur-unsur masa lampau amat penting untuk mengetahui latar belakang pemasalahan
yang dihadapi pada masa kini. Malah Terapi Realiti hanya cenderung memfokuskan kepada
tingkah laku semasa tetapi seseorang manusia adalah unik dan bertindak secara
menyeluruh termasuk emosi, perspektif, kognitif, sensasi dan sebagainya. Ini jelas
menunjukkan Terapi Realiti mempunyai keupayaan yang terbatas.
Status Terapi Realiti masa kini amat berkembang dengan pesatnya. William
Glasser masih meneruskan usahanya untuk mengembangkan terapi yang dibina melalui
ceramah, penulisan dan pengamalan secara sendirian.
Konsep Terapi Realiti diaplikasikan di sekolah-sekolah semakin pesat hasil usaha
isteri barunya Carleen. Isteri beliau merupakan pengarah urusan pusat Institiut Terapi
Realiti di Cincinati, Ohio. Hasil usaha William Glesser telah menubuhkan banyak institiut
Terapi Realiti bertujuan melatih dan pemberian sijil dalam terapi berkenaan. Satu jurnal juga
telah diwujudkan atas nama International Journal of Reality Therapy.
Kesimpulannya Terapi Realiti merupakan satu bentuk terapi yang berfokus pada masa kini
dan membantu seseorang membuat pilihan-pilihan yang berkesan dalam hidup. Seseorang
itu diajar mengadaptasikan tingkah laku baru yang lebih efektif dalam usaha memenuhi
keperluan asas jika pendekatan yang digunakan tidak berkesan. Berdasarkan kepada
prinsip-prinsip psikologi yang ditentukan dalam Teori Pilihan individu boleh memahami
tingkah laku dirinya dan orang lain manakala Terapi Realiti mempunyai strategi WDEP untuk
menolong individu.
Terapi Realiti dan Teori Pilihan sesuai dilaksanakan dan diaplikasikan di sekolah
kerana terapi ini memberi tumpuan kepada konsep tanggung jawab dan kesan kepada
perlakuan individu. Terapi Realiti memberi kebebasan kepada individu untuk berfikir secara
rasional, menilai, menentukan dan membuat keputusan sendiri.

You might also like