Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

Fakta: Cara-cara membasmi

pembiakan nyamuk Aedes



Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. Demam
denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. Peyakit ini sudah menjadi
masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini terus meningkat
dari tahun ke tahun.

Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Antara cara untuk
membasmi nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan yang boleh
membiakkan nyamuk. Tempat-tempat tersebut seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga, dan
kolam mandi. Pastikan nyamuk tidak membiak di dalam tempat-tempat ini dengan menyalinkan
airnya pada setiap minggu dan dibasuh sehingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk.

Selain itu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk
daripada bertelur. Bekas yang tidak digunakan pula hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam
tong sampah atau ditanam.

Saluran bumbung juga boleh menakungkan air yang akan menjadi tempat pembiakan
nyamuk. Oleh itu, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang
menyekat air daripada mengalir.

Di samping itu, jika menggunakan takungan air untuk memerangkap semut daripada naik ke
meja atau almari, air takungan itu perlulah dimasukkan garam sebanyak 2 sudu teh untuk mencegah
pembiakan nyamuk.

Ikan peliharan juga boleh membantu membasmi nyamuk Aedes kerana ikan seperti ikan gapi
dan puyu akan memakan jentik-jentik. Oleh itu, peliharalah ikan-ikan ini dalam tangki-tangki besar
bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes ini. Jika tidak, masukkan ubat pembunuh jentik-jentik
dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali.

Kesimpulannya, kita mestilah bekerjasama bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes.
Justeru, setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan
nyamuk. Ambillah tindakan yang sewajarnya jika mendapati tempat tersebut boleh menjadi tempat
pembiakan nyamuk Aedes.

Cara-cara Menggembirakan Ibu Bapa
Ibu bapa merupakan orang yang banyak berjasa kepada kita. Tulis karangan cara-cara kamu
menggembirakan ibu bapa.

______________________________________________________


Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita tidak akan lahir
ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga sanggup berkorban
harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita sentiasa berusaha untuk
menggembirakan hati mereka.

Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan
menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain, bertanggunjawab,
berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan sentiasa menjaga nama baik
ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan menggembirakan hati ibu bapa.

Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh.
Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam
pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta memperoleh masa
depan yang lebih cerah.

Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka dengan
melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan
itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan hati mereka.

Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap dengan
sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat, mengucapkan salam dan
senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita menghormati ibu bapa. Amalkan
sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-anak.

Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita sentiasa gembira.
Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa agar
hidup kita lebih diberkati.

Persediaan menghadapi UPSR
Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda
lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

No. 74, Taman Seri Merapoh,
27210 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang. Darul Makmur.

26 Januari 2011

Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga
dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi
peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara,
saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan
yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam
setiap hari.

Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap
pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya
saya terus dapat mengikuti pengajarannya.

Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak
dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih
atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan
harapan kedua-dua ibu bapa saya.

Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam
Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam
Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang
dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita
akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa
agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya
melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.

Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali,
sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

Sahabatmu,


.............................
(Khairi bin Zaideen )
Banjir

Banjir adalah bencana alam yang sering melanda negara kita
terutamanya di negeri -negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia.
Kebiasaannya negeri-negeri ini akan mengalami musim tengkujuh pada
setiap akhir tahun. Hujan lebat yang kerap berlaku pada musim itu
menyebabkan banjir di kawasan tersebut.

Banjir kerap melanda kawasan-kawasan yang rendah seperti kawasan
berhampiran sungai. Banyak harta benda yang musnah serta binatang
ternakan dan tanaman mati. Mereka yang terlibat seperti para petani akan
mengalami kerugian besar.

Banjir juga boleh mengancam nyawa. Ramai yang lemas kerana
bermain dengan air banjir yang alirannya deras dan dalam. Apatah lagi jika
mereka tidak tahu berenang.

Air banjir yang keruh menghanyutkan pelbagai benda yang
berbahaya seperti kayu tajam, tali dan sebagainya. Ada yang nahas kerana
terlanggar atau terperangkap dengan benda-benda yang dihanyutkan air
deras ini. Air banjir juga tercemar dengan pelbagai kotoran daripada air
kumbahan, bangkai binatang dan sebagainya. Keadaan ini boleh
menyebarkan penyakit. Justeru, janganlah mengambil air banjir untuk
diminum, apatah lagi jika tidak dimasak.

Oleh itu, apabila tiba musim hujan kita mestilah berhati -hati. Adalah
lebih baik jika kita berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum air naik.
Kamu telah menyertai satu lawatan sambil belajar. Tulis sepucuk surat kepada kawan kamu dan
ceritakan pengalaman kamu semasa lawatan tersebut.
---------------------------------------------------------------------------------------

No. 07, TJ 1/8,
Taman Temerloh Jaya,
28000 Temerloh,
Pahang.

27 Jun 2012

Assalamualaikum, menemui sahabatku Fatimah yang ku rindui selalu. Diharapkan saudari sihat seisi
keluarga. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk bertanya khabar dan menceritakan pengalaman
saya semasa lawatan ke Melaka.

Pada 20 Jun 2012, saya telah menyertai lawatan ke Melaka, Bandaraya Bersejarah. Lawatan ini
dianjurkan oleh Kelab Bahasa Melayu sekolah saya. Rombongan itu disertai oleh 40 orang murid dan
5 orang guru pengiring. Kami pergi ke sana dengan menaiki sebuah bas yang disewa khas.

Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada murid melihat sendiri kesan-kesan sejarah
negeri Melaka di samping melawat beberapa tempat menarik di negeri tersebut.

Sebelum bertolak ke sana, kami diminta berkumpul di dataran sekolah seawal pukul 7.30 pagi.
Setelah diberi taklimat ringkas, kami mula bertolak ke sana kira-kira pukul 8.00 pagi dan tiba di
Bandar Melaka sekitar pukul 12.00 tengah hari.

Semasa perjalanan, kami berhenti di pekan Bahau untuk bersarapan. Saya sungguh gembira melihat
pemandangan yang indah sepanjang perjalanan tersebut. Tempat pertama yang kami singgah
setelah tiba di Melaka ialah Zoo Melaka. Di situ kami dapat melihat pelbagai jenis hidupan liar seperti
harimau, gajah, singa, rusa, kijang, zirafah dan lain-lain lagi. Kami berasa amat gembira kerana dapat
melihat sendiri gelagat haiwan liar itu.

Selepas itu, kami pergi pula ke Taman Buaya yang terletak berhampiran dengan zoo tersebut.
Pelbagai jenis buaya terdapat di sini seperti buaya tembaga, buaya katak dan lain-lain lagi. Saya
berasa sungguh ngeri apabila melihat seekor buaya tembaga menyambar bangkai ayam yang
dicampakkan oleh seorang pengawal kolam buaya di situ.

Kemudian, pada pukul 1.30 petang, kami pergi ke Taman Rekreasi Air Keroh untuk makan tengah
hari. Selepas itu kami pergi pula ke Tugu A Famosa. Di situ, kami melihat kesan-kesan tinggalan
sejarah di Zaman Penjajahan Portugis di Melaka. Ramai murid dan guru tidak melepaskan peluang
untuk membeli pelbagai cenderamata di gerai-gerai yang banyak terdapat di situ.

Di situ juga kami diberi peluang untuk masuk dan melihat sendiri Model Kapal Perang Portugis yang
pernah menyerang Melaka pada suatu masa dahulu. Selain itu, saya juga dapat menaiki Menara
Taming Sari. Walaupun berasa takut tetapi saya gembira kerana dapat melihat hampir seluruh
Bandaraya Melaka dari menara tersebut.

Sebelum bertolak balik, kami singgah pula di sebuah pasar raya besar di bandaraya ini. Kemudian,
kira-kira pada pukul 6.00 petang, kami singgah di Masjid Negeri Melaka untuk sembahyang dan
makan malam. Kami tiba di sekolah semula kira-kira pukul 12.00 tengah malam. Saya amat gembira
kerana turut meyertai lawatan tersebut.

Akhir sekali, jika saudari ada cerita-cerita yang menarik, sudilah ceritakan kepada saya di sini kerana
saya selalu menunggu-nunggu khabar daripada saudari. Sekian sahaja untuk kali ini. Di harap
saudari sudi membalas surat saya.

Sahabatmu
Amirull
No. 07,
Kampung Sungai Siput,
55000 Lubuk China,
Alor Gajah, Melaka.

27 Ogos 2012

Assalamualaikum, menemui sahabatku Farhan yang diingati selalu. Semoga saudara sihat seisi
keluarga. Apa khabar saudara? Di kesempatan ini ingin saya ceritakan sedikit pengalaman saya
semasa menyertai sambutan Hari Keluarga anjuran tempat ibu saya bekerja.

Sambutan itu diadakan di pantai peranginan Pengkalan Balak pada 12 Ogos yang lalu. Antara
tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan antara rakan sepejabat ibu saya.

Semua peserta diminta berkumpul di pantai tersebut sebelum pukul 7.30 pagi untuk pendaftaran
serta mendapatkan nombor bagi acara cabutan bertuah.

Selepas itu, kami dijemput bersarapan dengan nasi lemak bungkus, air teh serta kuih-muih sebelum
acara sukaneka dimulakan. Antara aktiviti dalam acara tersebut ialah pertandingan tarik tali,
pertandingan bola baling dan pertandingan mencari harta karun. Saya sungguh gembira kerana turut
menyertai dalam setiap aktiviti yang diadakan. Apatah lagi apabila keluarga kami mendapat tempat
pertama dalam pertandingan mencari harta karun.

Setelah semua aktiviti sukaneka selesai dijalankan, kami berehat selama setengah jam sambil
menikmati minuman dan kuih-muih. Pada masa itu, saya berpeluang bergambar bersama keluarga
dengan berlatarbelakangkan pemandangan yang indah di pantai tersebut.

Kemudian, kami berpeluang bermandi-manda di pantai yang bersih itu. Ramai peserta yang
menyewa kayak dan jet ski untuk merasai pengalaman baharu. Saya sungguh seronok kerana ayah
telah menyewa sebuah perahu untuk kami bersiar-siar di sekitar pantai.

Kira-kira pukul 11.40 pagi, semua peserta diminta berkumpul untuk acara kemuncak iaitu acara
cabutan nombor bertuah dan penyampaian hadiah. Saya sungguh gembira kerana keluarga kami
juga bernasib baik dalam cabutan nombor bertuah tersebut, di samping menerima beberapa lagi
hadiah lain.

Sebelum pulang , kami dijemput makan tengah hari dengan pelbagai masakan laut yang sungguh
menyelerakan seperti sotong bakar dan kepah goreng.

Sesungguhnya pengalaman ini amat menyeronokkan dan saya berharap akan berpeluang menyertai
lagi aktiviti seperti ini pada masa akan datang.

Akhir sekali, jika saudara ada pengalaman yang menarik, sudilah dikongsi bersama saya kerana saya
sentiasa menunggu khabar daripada saudara. Diharap saudara sudi membalas surat saya ini.

Sahabatmu,
Amiruddin

Cerita: Langgar lari
Pada suatu petang, aku dan dan jiranku Amin bermain layang-layang di tengah padang di hadapan
rumahku. Aku ingin mencuba layang-layang yang baru dibeli oleh ayah semalam. Kebetulan pula
masa itu cuaca cerah dengan angin bertiup kencang tentu amat sesuai untuk bermain layang-layang.

Sedang kami leka berusaha menaikkan layang-layang tersebut, tiba-tiba kedengaran satu jeritan di
jalan raya. Aku menoleh dan mendapati seorang nenek jatuh terjelepok di tepi jalan. Manakala,
sebuah motosikal pula memecut laju meninggalkannya.

Tanpa berlengah, aku berlari mendapatkan nenek tersebut. Setibanya di situ, kami segera
membantunya bangun tetapi dihalang olehnya. Beberapa tompok darah kelihatan di atas jalan raya.
Kasihan sungguh melihatnya, apatah lagi apabila medengar dia mengerang kesakitan.

Aku meminta Amin mengutip barang-barang nenek yang bertaburan sementara aku pulang ke rumah
untuk memberitahu keluargaku tentang kejadian tersebut. Setelah melihat keadaan nenek itu, ayahku
segera menelefon ambulan bagi membawanya ke hospital.

Kira-kira 20 minit selepas itu, ambulan pun tiba. Sebelum bertolak ke hospital, nenek itu sempat
mengucapkan terima kasih kepada kami semua.

Selepas itu, aku bermain layang-layang semula dengan perasaan bangga kerana dapat menolong
nenek itu. Walau bagaimanapun, terdetik juga kesedihan di hatiku daripada peristiwa ini. Janganlah
bertindak zalim serta bertanggungjawablah atas kesalahan yang kita lakukan

Cerita: Lembaga itu, Hantu?
Pada petang itu, aku terpaksa berjalan kaki untuk pulang ke rumahku kerana basikalku hilang. Tiba-
tiba, aku ternampak sebuah bas yang dipandu perlahan. Aku menahan bas itu lalu menaikinya.

Di pertengahan jalan, salah satu tayar bas itu pancit. Aku terpaksa turun dari bas itu lalu berjalan
kaki. Aku berjalan seorang diri ketika hujan renyai-renyai mulai turun. Hatiku ingin mengikut jalan
pintas untuk lebih cepat sampai ke rumah tetapi aku berasa takut. Bagaimanapun aku terus
memberanikan diri melalui jalan pintas tersebut walaupun aku tahu laluan itu amat sunyi dan gelap.
Di kiri dan kanan jalan pintas itu terdapat pokok-pokok getah. Kedengaran pelbagai bunyi seranggan
dan unggas yang menakutkan aku semasa melalui jalan itu .

Tiba-tiba aku terdengar suara seseorang memanggil-manggil namaku. Aku fikir suara itu khayalan
sahaja. Namun, aku menoleh juga ke belakang. Alangkah terkejutnya aku apabila terlihat satu
lembaga melambai-lambai ke arahku. Apa lagi, aku pun terus berlari langkah seribu untuk
menyelamatkan diri. Apabila sudah berasa selamat, aku bersandar di sebatang pokok dengan nafas
yang tercungap-cungap.

Tiba-tiba lembaga itu muncul di hadapanku sambil memanggil namaku. Aku amat takut lantas berlari
untuk menyelamatkan diri. Malang sekali kerana lembaga itu sempat memelukku dengan kuat hingga
aku tidak berdaya lagi melepaskan diri. Kemudian, kedengaran suara lelaki menyuruh aku bertenang.
Dalam cahaya yang samar, aku memberanikan diri, melihat lembaga itu. Alangkah terkejutnya aku
kerana rupa-rupanya dia ialah abangku sendiri.

Katanya dia datang untuk mencari aku yang telah terlalu lewat pulang ke rumah. Aku menceritakan
segala peristiwa yang aku alami pada petang itu kepadanya. Setibanya di rumah, aku segera
memberitahu ayahku tentang peristiwa itu. Ayah ketawa sambil mengingatkan aku supaya jangan
selalu menonton cerita hantu kerana akibatnya kita akan menjadi penakut seperti yang telah aku
alami ini.






Melengkapkan Cerita
Tulis sebuah cerita dan akhiri cerita kamu dengan ayat-ayat di bawah.


.......... aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku terus memelukku sambil menitiskan air
mata.


Aku sungguh kecewa dengan keputusan peperiksaan yang aku peroleh baru-baru ini. Begitu juga
dengan kedua-dua rakan karibku iaitu Azlan dan Mahir. Kami kecewa dengan keputusan peperiksaan
tersebut kerana kurang baik, bahkan merosot daripada sebelumnya.

Setelah berbincang bagi membaiki keadaan tersebut, akhirnya kami membuat keputusan untuk
belajar bersama-sama dengan menubuhkan kumpulan belajar.

Kemudian, kami berbincang untuk menentukan masa dan tempat yang sesuai untuk kami berkumpul.
Akhirnya kami bersetuju berkumpul pada setiap petang Ahad di rumah kami secara bergilir-gilir. Kami
belajar bermula pada pukul 4 petang hingga pukul 6 petang. Jika ada kelapangan pula, kami akan
pergi ke perpustakaan untuk membuat rujukan dan sebagainya.

Aku sangat seronok belajar secara berkumpulan kerana melalui cara ini kami dapat berbincang untuk
menyiapkan kerja rumah atau membuat latihan. Kami juga dapat bertukar-tukar nota. Aku berasa
lebih bersemangat untuk belajar kerana banyak masalah pelajaran sebelum ini berjaya di atasi
setelah kami belajar bersama-sama.

Tibalah masanya keputusan akhir tahun diumumkan. Akhirnya kami berjaya mendapat keputusan
yang sungguh cemerlang. Aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku terus memelukku
sambil menitiskan air mata.

Melengkapkan cerita: Kunci basikalku
hilang
Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak
basikal. Tiba-tiba .....
*** *** *** *** ***

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak
basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikalku hilang. Aku berasa sungguh bimbang.

Aku cuba mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya, masih tidak jumpai. Jam
tanganku sudah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Aku berasa sangat takut kerana kawasan
itu mulai sunyi.

Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran. Mujurlah aku mempunyai wang syiling. Aku
terus menelefon ibuku untuk memberitahu hal tersebut. Dengan tenang, ibuku memintaku jangan ke
mana-mana sementara menunggu beliau datang menjemputku.

Tidak lama kemudian, ibuku pun tiba. Tanpa berlengah, aku menolong ibuku mengangkat basikal
untuk dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian, beliau memandu keretanya ke kedai membuat kunci
untuk menempah kunci baru basikalku.

Aku berasa gembira setelah kunci basikal dibaiki semula. Namun, aku juga berasa sungguh sedih
kerana semenjak kejadian itu, aku tidak lagi berbasikal bersama rakan-rakanku ke kelas tambahan.
Ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke kelas tambahan kerana bimbang akan
keselamatanku jika peristiwa seperti tersebut berulang. Sebaliknya, aku akan dihantar oleh ayah
setiap kali ada kelas tambahan. Inilah akibatnya seorang yang cuai.



Autobiografi: Aku Sehelai Baju
Aku sehelai baju.

Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada
sebuah patung dan diletakkan di dalam almari cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku
menunjukkan RM 350.00.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadis bernama Linda. Linda
memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku, mereka
semua memuji kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku
berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga
terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas. Aku cuba menahan keperitan tetapi
akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku
terbakar.

Apabila terhidu bau badanku terbakar, Linda tergesa -gesa mendapatkanku. Namun sudah
terlambat kerana sebahagian badanku telahpun hangus. Kini aku hanya menjadi penghuni setia
almari usang.

Baru-baru ini, keluarga kamu bercuti di satu tempat menarik. Tulis satu catatan tentang percutian itu.

Sabtu, 2 Februari 2014
6.00 pagi -Kami bersiap-siap untuk pergi bercuti ke Melaka. Selepas solat Subuh, kami bergotong-
royong mengangkat barang-barang ke dalam kereta. Kami akan menginap di sebuah 'homestay' yang
saya cadangkan kepada keluarga setelah saya membaca iklannya di laman web
http://hasidihomestay.blogspot.com/.

7.00 pagi -Mula bertolak dari rumah kami di Temerloh ke Melaka dengan menaiki kereta Exora ayah.
Ayah memandu dengan tenang menuju ke lebuh Raya Pantai Timur. Kami menikmati keindahan
alam sepanjang perjalanan tersebut sambil berbual-bual bersama keluarga.

8.30 pagi -Singgah di Genting Sempah untuk bersarapan pagi. Cuaca di sini cerah tetapi masih
kelihatan kabus berada di lereng-lereng bukit. Gembira rasanya bersarapan di sini dengan udaranya
yang agak sejuk, segar dan nyaman.

9.15 pagi -Meneruskan perjalanan ke Melaka dengan melalui Kota Raya Kuala Lumpur. Seronok
melihat bangunan tinggi mencakar langit dan jalan raya yang bersimpang-siur.

11.30 pagi -Singgah di RnR Seremban untuk makan tengah hari. Keadaan lebih sibuk di sini kerana
ramai yang berhenti rehat dan sebagainya. Kami terpaksa beratur panjang untuk membeli makanan.

01.00 petang -Tiba di Rumah Rehat Hasidi tempat penginapan kami. Rumah rehat ini bersih, kemas
dan selesa untuk keluarga kami yang seramai 7 orang bercuti. Antara kemudahan yang disediakan di
rumah rehat ini ialah televisyen dengan siaran astro, 3 buah bilik berpendingin hawa, peti sejuk, meja
makan, seterika dan lain-lain lagi. Saya gembira dapat menginap di rumah rehat ini.

3.30 petang -Setelah berehat dan solat Zohor, ayah mengajak kami ke 'Melaka Cruise River' di
Bandar Raya Melaka. Saya sungguh teruja dan gembira kerana pertama kali menaiki 'Cruise River'
yang menyusuri Sungai Melaka yang bersejarah.

5.00 petang -Ayah memandu kereta ke Bandar Hilir Melaka. Saya sungguh tertarik melihat reka
bentuk bangunan lama di bandar itu. Kemudian, kami singgah sebentar di Tugu A-famosa untuk
melihat peninggalan sejarah. Kami mengambil beberapa keping gambar di situ sebagai kenang-
kenangan.

7.00 malam -Kami singgah di sebuah restoran untuk makan malam. Ayah memesan beberapa jenis
makanan yang lazat untuk kami sekeluarga pada malam itu.

8.00 malam -Kami balik semula ke Rumah Rehat Hasidi untuk berehat. Setelah mandi dan solat,
kami berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen dan berbual-bual.

10.00 malam -Masuk ke bilik masing-masing untuk tidur kerana keletihan. Udara yang sejuk dan
segar daripada pendingin hawa serta tilam yang empuk di bilik tersebut menyebabkan saya tidur
dengan lena hingga ke pagi.

Ahad, 3 Februari 2014
6.00 pagi -Bangun tidur, solat Subuh dan menyiapkan diri. Ibu telah menyediakan hidangan sarapan
pagi yang dimasaknya sendiri di rumah rehat tersebut. Kelengkapan dapur yang agak sempurna di
rumah rehat ini membolehkan ibu memasak sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan.

9.00 pagi -Menuju ke 'Afamosa Resort' untuk mandi-manda. Saya berasa tidak sabar untuk mandi-
manda bersama keluarga di sana. Setibanya di situ, saya berasa sungguh kagum melihat kolam
renangnya yang dilengkapi dengan pelbagai gelunsur air yang pelbagai rupa. Tanpa berlengah, kami
terus mandi sambil mencuba beberapa gelunsur air di kolam renang tersebut.

1.00 petang -Kami makan tengah hari di sebuah restoran di bandar Tampin, Negeri Sembilan. Saya
sungguh berselera makan nasi berlaukkan gulai lemak ikan sembilan di restoran tersebut.

2.00 petang -Bertolak dari bandar Tampin untuk balik ke Temerloh melalui jalan raya biasa.
Sepanjang perjalanan, kami melalui beberapa buah kampung, hutan, ladang kelapa sawit dan ladang
getah. Saya tertidur dalam perjalanan tersebut kerana keletihan.

4.30 petang -Solat di Masjid Bandar Kerayong sebelum minum petang di sebuah restoran di bandar
tersebut.

6.00 petang -Tiba di rumah di Temerloh. Bergotong-royong mengangkat dan mengemas barang-
barang sebelum mandi. Percutian kali ini sangat menyeronokkan kerana saya telah berpeluang
melancong ke beberapa tempat yang belum pernah saya kunjungi bersama keluarga tersayang


Catatan: Sambutan Hari Guru

Sekolah kamu telah mengadakan sambutan Hari Guru. Tulis catatan tentang sambutan Hari Guru
tersebut.
__________________________________________________________

RABU, 16 MEI 2012

7.30 pagi
Semua guru dan murid berkumpul di dewan sekolah untuk meraikan majlis sambutan Hari Guru
2012. Lagu Negaraku, lagu negeri dan lagu rasmi sekolah dinyanyikan sebelum bacaan Ikrar oleh
Mohd Rafiq bin Sabaruddin, selaku Ketua Pengawas. Kemudian, bacaan doa dibacakan oleh Ustaz
Azril.

7.40 pagi
Acara dimulakan dengan ucapan GPK 1 iaitu Pn. Hajah Puspa Dewi, sebelum beliau membacakan
perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Kemudian Tuan Guru Besar, En. Awang Satip bin
Md. Salleh menyampaikan ucapan dan seterusnya membacakan perutusan Yang Berhormat Menteri
Pelajaran.

8.40 pagi
Semua guru dan murid berkumpul di padang sekolah untuk acara sukaneka. Guru dan murid
dibahagikan kepada beberapa kumpulan tetapi tidak semua murid terlibat, sebaliknya mereka hanya
menjadi penonton. Seterusnya, sukaneka dijalankan dengan beberapa acara yang menarik. Aktiviti
berjalan lancar dan semua kelihatan gembira dan mengambil bahagian.

10.00 pagi
Majlis berhenti rehat. Murid-murid dan para guru menikmati ais krim dan pelbagai jenis kuih-muih
yang disediakan di kantin sekolah.

10.40 pagi
Acara persembahan diadakan di dewan sekolah. Beberapa orang murid dan guru mengambil
bahagian dalam acara nyanyian dan lakonan. Setiap persembahan mendapat tepukan gemuruh
daripada semua murid.

12.00 tengah hari
Upacara penyampaian hadiah bagi acara sukaneka . Kumpulan 5 telah menjadi johan bagi
keseluruhan acara. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Abu Kasim bin
Kamat.

12.40 tengah hari
Murid yang berminat beratur untuk menyampaikan hadiah masing-masing kepada guru-guru mereka.
Kemudian, semua murid beratur untuk bersalaman dengan para guru secara bergilir-gilir.

01.10 tengah hari
Semua murid dibenarkan balik . Para guru diraikan pula dalam satu jamuan makan tengah hari
sempena Hari Guru.

You might also like