Bon Ukur Rujuk Islam... Hujah Mps

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

BON UKUR RUJUK ISLAM

KEPUTUSAN
Majlis Penasihat Syariah (MPS) telah membincangkan isu ini dalam beberapa siri mesyuaratnya,
dan dalam mesyuarat kelapan pada 9 Jun 1997, MPS bersetuju terhadap pengstrukturan bon
ukur rujuk Islam yang juga dikenali sebagai Bon Khazanah. Bon Khazanah ini distruktur berasas
kepada prinsip murabahah.
PENGENALAN
Fungsi utama mewujudkan bon ukur rujuk Islam bukanlah untuk meningkatkan modal atau
membiayai sesuatu projek tertentu tetapi ia direka khusus untuk dijadikan sebagai ukur rujuk
kepada bon korporat yang akan diterbitkan. Bagi menstruktur bon ukur rujuk Islam, prinsip
murabahah digunakan. Prinsip ini dapat diterapkan kerana ia memenuhi ciri-ciri sesuatu bon
ukur rujuk.
terdapat beberapa ciri utama yang perlu wujud pada bon ukur rujuk Islam yang akan
diterbitkan:
(a) Bon mempunyai sifat kecairan iaitu boleh didagangkan secara aktif di pasaran sekunder;
(b) Bon akan diterbitkan secara bersiri dan kerap;
(c) Pulangan bon mestilah diketahui; dan
(d) Pulangan bon ditentukan oleh pasaran.
Dalam konteks ini, Khazanah Nasional Bhd (KNB) didapati sesuai sebagai institusi korporat yang
akan menerbitkan bon tersebut. Ia merupakan sebuah syarikat kerajaan yang berfungsi
mengurus aset milik kerajaan Malaysia. Menurut konsep ini, KNB akan menjual asetnya yang
patuh Syariah kepada pelabur secara tunai dan membelinya kembali dengan harga lebih tinggi
secara bertangguh. Apa yang menarik dalam penerbitan bon ukur rujuk Islam ialah harga belian
kembali aset secara murabahah telah ditentukan lebih awal oleh KNB, tetapi harga tunai atau
harga jualan (kos kepada pelabur) hanya diketahui melalui
proses tender secara bida dengan menggunakan prinsip bai` muzayadah (proses bida atau
tawar menawar). Selepas proses pembidaan selesai, maka harga jualan tunai dan belian
kembali secara murabahah bagi urus niaga aset KNB dimeterai setelah kedua-dua pihak
bersetuju. Keadaan persetujuan
ini dipanggil ittifaq dhimni. Yang pastinya, harga jualan tunai adalah lebih rendah daripada
harga belian kembali kerana harga belian kembali telah dimasukkan keuntungan kepada
pelabur. Contohnya, jika harga jualan tunai kepada pelabur ialah RM90 juta dan harga belian
kembali daripada pelabur lima tahun kemudian ialah RM100 juta, bermakna keuntungan
pelabur ialah RM10 juta. Urus niaga ini kemudiannya distrukturkan dalam bentuk sekuriti untuk
membolehkannya menjadi instrumen pasaran modal.
HUJAH MENGHARUSKAN BON UKUR RUJUK ISLAM
Bon ukur rujuk Islam diharuskan berasaskan hujah-hujah yang berikut:
Prinsip Siyasah Iqtisodiyyah
MPS memutuskan bahawa kewujudan suatu ukur rujuk sebagai panduan dalam menentukan
harga tidak bertentangan dengan Syariah berasaskan kepada siyasah iqtisodiyyah iaitu siasah
ekonomi. Ia dapat berfungsi sebagai rujukan kepada penentuan paras harga yang lebih
sistematik dan selaras dengan kedudukan pasaran semasa. Suatu paras harga yang sesuai
sangat penting kerana ia merupakan ciri penting pasaran dalam Islam yang telah menggariskan
prinsip istiqrar ta`amul. Prinsip ini secara amnya bermaksud perlunya sebuah pasaran yang
berjalan lancar atas dasar reda meredai hasil daripada suatu sistem yang telus, adil, cekap serta
wujudnya kepercayaan pasaran. Individu yang terlibat dalam pasaran tidak terdedah kepada
kejahilan pasaran untuk membolehkan urus niaga yang berlaku dapat memuaskan peserta
pasaran. Demi mencapai tujuan ini, Islam memberi garis panduan berhubung prinsip ghalat
dan mencegah berlakunya gharar. Dengan adanya ukur rujuk, soal kejahilan harga dapat
diminimumkan dan menjadikan pasaran lebih telus dan cekap.


Prinsip Murabahah
Prinsip murabahah melibatkan akad jual beli aset yang harganya, termasuk margin keuntungan,
telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak (pembeli dan penjual). Konsep ini sesuai untuk
penstrukturan bon ukur rujuk Islam kerana keuntungan bagi aset yang dijual beli telah
ditentukan daripada awal. Harga bon yang diterbitkan dan keuntungan yang bakal diperoleh
akan diselaraskan berdasarkan jumlah jual beli aset dan keuntungan murabahah tersebut.
Prinsip Bai` Dayn
Setelah penjualan dan pembelian aset dilakukan secara murabahah, sekuriti hutang Islam dapat
dibentuk dan dijual di pasaran sekunder dengan menggunakan prinsip bai` dayn. MPS, dalam
mesyuarat kedua pada 21 Ogos 1996, telah bersetuju untuk menerima prinsip bai` dayn sebagai
instrument dalam pasaran modal Islam.
Dalam konteks bon ukur rujuk Islam, KNB akan menjual asetnya secara tunai kepada peniaga
utama (principal dealer atau PD) dan membeli kembali secara murabahah. Harga murabahah
yang dibayar secara tertangguh adalah hak hutang kepada PD. Hak ini merupakan haq maliy
atau hak harta yang boleh dijual beli. Hak hutang yang berbentuk syahadah dayn (sijil hutang)
dapat digunakan untuk mendapatkan wang dengan menebusnya daripada penghutang apabila
sampai tempoh. Syahadah dayn ini menepati ciri mal
(harta) menurut sebahagian besar fukaha dan boleh dijual beli. Menurut Mazhab Syafi`i,
sesuatu hutang yang hendak dijual kepada pihak ketiga mestilah mematuhi beberapa peraturan
asas:
(a) Hutang tersebut mestilah wujud daripada aktiviti dagangan yang diharuskan dalam Islam
dan akad mestilah sah menurut prinsip Syariah
(b) Hutang yang dijual mestilah hutang yang berkualiti iaitu yang dijamin selamat dan
mempunyai risiko kegagalan pembayaran kembali yang rendah. Ini untuk melindungi
kepentingan pelabur. Dalam konteks ini, bon ukur rujuk Islam yang diterbitkan melalui KNB,
memenuhi kedua-dua kriteria di atas. Ini berasaskan sifat KNB memiliki kedudukan kepatutan
kredit yang disokong dan dijamin oleh kerajaan Malaysia.
Prinsip Bai` Muzayadah
Bon ukur rujuk Islam juga bertujuan untuk menjadi ukur rujuk kepada nilai semasa sesuatu aset
dan paras keuntungan. Dalam konteks ini prinsip bai` muzayadah boleh dipakai. Ia merujuk
kepada tindakan pihak penjual menawarkan barangan jualan di pasaran, kemudian diikuti
permintaan beberapa orang pembeli yang bersaing menawarkan bayaran yang lebih tinggi,
yang berakhir dengan penjual menjual barangan tersebut kepada sesiapa yang menawarkan
harga tertinggi. MPS telah memutuskan bahawa bai` muzayadah adalah diharuskan (sila rujuk
keputusan berhubung bai` muzayadah). Ini berasaskan kepada amalan yang pernah dilakukan
sendiri oleh Nabi s.a.w. Imam Bukhari telah meletakkan satu topik khusus yang menerangkan
keharusan berjual beli seperti ini. Prinsip ini membolehkan peserta pasaran mendapatkan nilai
pasaran sebenar terhadap aset yang dijual. Oleh kerana terdapat beberapa institusi kewangan
yang bersedia membeli aset secara tunai, pihak KNB akan membuka tender untuk pembelian
aset. KNB akan memilih harga pembelian terbaik yang ditawarkan, yang pada perkiraan KNB
kosnya adalah minimum, namun ia mendapat nilai kecairan yang tinggi.
Prinsip Ittifaq Dhimni
Ittifaq dhimni merujuk kepada suatu persetujuan tersirat yang wujud sebelum sesuatu kontrak
dimeterai. Penjual dan pembeli telah membuat persetujuan awal untuk menjual aset dengan
harga tertentu dan membeli semula dengan harga yang tertentu. Dalam konteks ini, PD yang
Berjaya dalam tender akan menjadi pembeli kepada aset yang telah dibida. Perkara ini
merupakan persetujuan tersirat dalam jual beli secara muzayadah. Mungkin dalam konteks
pembentukan bon ukur rujuk Islam, pembeli kepada aset yang berjaya adalah lebih daripada
satu PD. Dengan itu beberapa PD akan berkongsi sebagai pembeli kepada aset yang telah dibida
mengikut jumlah bahagian masing-masing.

You might also like