Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

ULASAN

Surat pekeliling ikhtisas ini merupakan surat pekeliling bilangan yang kelima
pada tahun 2006. Surat pekeliling ini dikeluarkan pada 30 Mei 2006 berkaitan
Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah Di Semua Sekolah Rendah Dan Menengah
Kerajaan Dan Bantuan Kerajaan. Surat pekeliling ini dikeluarkan oleh Ketua
Pengarah Pelajaran Malaysia dan ditujukan kepada semua Pengarah Pelajaran
Negeri untuk diambil tindakan bagi menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah di
semua sekolah rendah dan menengah di semua negeri sama ada sekolah kerajaan
ataupun sekolah bantuan kerajaan.
Menurut isi kandungan surat ini, Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) telah
ditubuhkan sejak tahun 1999 lagi terutamanya dalam kawasan yang dikenal pasti
sebagai kawasan berisiko tinggi oleh pihak polis. Penubuhan kelab sebegini adalah
salah satu usaha berterusan pihak Kemeterian Pelajaran Malaysia bagi
meningkatkan kesedaran dan kepekaan murid-murid terhadap kemungkinan
berlakunya perbuatan jenayah dan langkah-langkah untuk mencegah jenayah
daripada berlaku. Di samping itu, hubungan kerjasama antara sekolah dengan pihak
polis dapat dieratkan dalam usaha untuk membanteras perbuatan jenayah sama ada
di dalam atau di luar kawasan sekolah dangan penubuhan kelab ini.
Surat pekeliling ini dikeluarkan kerana Kementerian Pelajaran berpendapat
bahawa Kelab Pencegahan Jenayah mampu memainkan peranannya sama ada di
sekolah menengah mahupun di sekolah rendah. Oleh itu, Kelab Pencegahan
Jenayah telah diperluaskan ke semua sekolah menengah dan sekolah rendah di
seluruh negara. Terdapat lima perkara yang perlu diberi perhatian dalam merancang
penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah tersebut iaitu penubuhannya hendaklah
mengikut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Sekolah) 1998, Akta
Pendidikan 1996 yang telah diwarta pada 21 Mei 1998 semua kelab dikehendaki
menggunakan Perlembagaan Kelab yang telah disediakan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia. Selain itu, perancangan dan pelaksanaan aktiviti hendaklah
memfokuskan kepentingan murid di samping aktiviti yang dilaksanakan mestilah
dalam batasan yang dibenarkan. Penasihat kelab juga dikehendaki bertindak
sebagai penggerak utama yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
pengurusan, perjalanan, dan pelaksanaan pelbagai kegiatan kelab.
Setelah surat pekeliling ini dikeluarkan, maka Surat Pekeliling Ikhtisas
Bil.7/1999 iaitu Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah Di Sekolah Menengah yang
bertarikh pada 10 Jun 1999 terbatal memandangkan terdapat Pekeliling terbaru
yang mengarahkan Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah menengah
dan juga di sekolah rendah. Tambahan pula, di bahagian lampiran terdapat sampel
Perlembagaan Kelab yang harus digunakan oleh semua kelab yang ditubuhkan di
sekolah-sekolah. Dalam Perlembagaan Kelab ini terkandung beberapa aspek
penting yang perlu diikuti oleh semua kelab di sekolah-sekolah termasuklah nama
kelab iaitu Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ), alamat sekolah, tujuan kelab, tempat
mesyuarat, perjumpaan, dan aktiviti, keahlian yang terbuka kepada semua pelajar
sekolah, jawatankuasa kelab yang dinaungi oleh Pengetua atau Guru Besar,
mesyuarat yang merangkumi mesyuarat agung dan mesyuarat jawatankuasa,
kewangan, serta batasan dan pembubaran.
Perlembagaan Kelab memberi garis panduan dalam menubuhkan kelab-kelab
di sekolah di mana para guru boleh merujuk perlembagaan ini dalam merangka
penubuhan kelab di sekolah serta membaca syarat-syarat dan perkara yang
termaktub dalam perlembagaan ini. Antara tujuan penubuhan Kelab Pencegahan
Jenayah ini adalah untuk memupuk rasa patuh kepada peraturan sekolah dan
undang-undang negara, melahirkan kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam
pencegahan jenayah, serta menanam nilai-nilai murni dalam kalangan murid
bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada memerangi jenayah. Selain itu,
penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah juga adalah bertujuan untuk menyediakan
garis panduan pengurusan pencegahan jenayah dan menggalakkan aktiviti-aktiviti
berfaedah serta melahirkan murid yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa,
dan negara.
Di samping itu, terdapat juga aspek batasan dan pembubaran dalam
Perlembagaan Kelab ini di mana aktiviti yang dijalankan oleh Kelab Pencegahan
Jenayah hendaklah bermanfaat kepada guru atau murid serta kelab ini tidak boleh
melibatkan diri dalam propaganda politik yang memudaratkan negara dan murid. Di
sini kita dapat lihat bahawa kelab ini tidak boleh melakukan sebarang aktiviti di luar
batasan yang boleh memberi kesan negatif kepada murid-murid. Kelab ini boleh
dibubarkan jika Pengetua atau Guru Besar mendapati ia melanggar peruntukan
batasan yang ditetapkan seperti yang tertulis dalam surat Pekeliling ini.
REFLEKSI
Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) adalah kelab yang ditubuhkan di semua
sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan merujuk
kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2006, Kementerian Pelajaran Malaysia. Moto
KPJ adalah Mencegah lebih baik daripada memerangi selaras dengan
matlamatnya iaitu membangkitkan kesedaran dan kepekaan murid-murid terhadap
kemungkinan wujudnya gejala antisosial di sekeliling mereka dan mewujudkan
kerjasama antara pihak sekolah dan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Selain itu, KPJ juga bertanggungjawab untuk membentuk komuniti murid yang
mempunyai kesedaran tinggi dalam usaha mencegah jenayah dan mempunyai
kefahaman tentang penguatkuasaan undang-undang.
Dewasa ini, dapat dilihat bahawa banyak gejala salah laku dan jenayah yang
dilakukan oleh remaja yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah
rendah dan menengah. Antara contoh tingkah laku jenayah yang sering dilakukan
oleh para pelajar adalah mencuri, membuli, gengsterisme, memukul, merogol, dan
membawa senjata berbahaya. Seperti yang kita tahu, jenayah rogol semakin
berleluasa dan sebahagian besar jenayah ini dilakukan oleh golongan remaja lelaki.
Mangsa rogol pula terdiri daripada remaja perempuan termasuklah kanak-kanak dan
yang lebih menakutkan terdapat mangsa rogol yang diliwat serta dibunuh dengan
kejam.
Di samping itu, para pelajar juga banyak yang terlibat dalam kes buli di
sekolah terutamanya di sekolah-sekolah berasrama. Punca terjadinya kes buli ini
adalah apabila terdapat segelintir pelajar yang mahu tunjuk hero ataupun mahu
menunjukkan kehebatan mereka kepada pelajar-pelajar lain. Golongan pelajar yang
sebegini cuba untuk menjadi dominan agar mereka digeruni oleh pelajar-pelajar lain
di sekolah. Terdapat pelajar yang dibuli dengan teruk dan tidak kurang juga yang
dibelasah hingga mati akibat kes buli. Selain itu, profil penagihan dadah di Malaysia
menunjukkan sebahagian besar daripada penagih dadah adalah remaja yang masih
belajar yang berumur dalam lingkungan 15 25 tahun. Masalah penagihan dadah ini
akan memberi banyak kesan negatif jika tidak dibendung seperti pelajar akan hilang
fokus terhadap pelajaran, berlakunya kecurian, dan pelajar akan menjadi seorang
yang tidak terurus serta bertanggungjawab.
Jadi, kita dapat dilihat bahawa kadar perlakuan jenayah dalam kalangan
pelajar sangat membimbangkan dan akan terus berleluasa jika tidak dibendung dari
sekarang. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud,
mengikut statistik pada tahun 2010, 1.43 peratus kes-kes disiplin direkodkan di
sekolah-sekolah di negara ini, termasuk 0.32 peratus kes jenayah seperti
pergaduhan dan kes kecurian. Oleh sebab itulah, semua sekolah di negara ini sama
ada sekolah rendah ataupun sekolah menengah dikehendaki menubuhkan Kelab
Pencegahan Jenayah bagi mencapai sasaran sifar peratus kadar perlakuan jenayah
di sekolah.
Kelab Pencegahan Jenayah yang ditubuhkan di sekolah-sekolah mendapat
kerjasama daripada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan
dianggarkan sehingga 5587 daripada hampir 10000 sekolah di seluruh negara telah
menubuhkan kelab tersebut yang melibatkan 611450 orang pelajar. Lagipun, Kelab
Pencegahan Jenayah dapat menganjurkan pelbagai aktiviti yang dapat memberi
motivasi kepada para pelajar seperti menganjurkan ceramah berkaitan penyalah
gunaan dadah, mengadakan kursus atau seminar, lawatan sambil belajar,
mengadakan kempen, perkhemahan, dan program jati diri. Jadi, pekeliling yang
dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang mengarahkan semua
sekolah di negara ini menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah dilihat sebagai satu
usaha yang bijak dalam membendung salah laku dan perlakuan jenayah dalam
kalangan pelajar. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah ini dilihat sangat
berkesan dan memberi kesan yang positif dalam mengurangkan dan mencegah
jenayah sama ada di dalam atau di luar kawasan sekolah.

You might also like