Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

MASALAH DISIPLIN SEKOLAH

Ibu bapa patut bantu sekolah atasi gejala sosial, Buli gugat semangat belajar dan Kerjasama
penting bagi banteras gangsterisme. Begitulah antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di
dada akhbar-akhbar tempatan pada masa kini. Berita-berita seperti ini
membayangkan kemerosotan disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa
kini memang amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan Walaupun pelajar
sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi nampaknya ini semua hanya retorika
semata-mata.

Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam negara dan bakal menjadi pemimpin negara
pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan negara
untuk mencapai Wawasan 2020. Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan
budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif
di kalangan remaja sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak
sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.


Masalah disiplin di sekolah kini telah menjadi lebih kompleks dengan kewujudan kes pelajar yang
terlibat dalam aktiviti pemujaan serta ajaran sesat yang dikenali Black Metal. Hakikatnya jelas dapat
dilihat dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-kes disiplin seperti ini serta
penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh pelajar-pelajar.

PONTENG SEKOLAH
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang
mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca
sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat bilangan yang
tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-
pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai cendawan tumbuh selepas hujan
walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini.
Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh
masalah keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa
menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah
dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri
seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng
sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan
pelajar . Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik
seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih
oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih
sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme
(Durkheim dan Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna
(disfungsi). Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan
rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.


KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH
Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700, Kongsi gelap
didefinisikan sebagai Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan
jenayah.
Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor,
En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal. Mengulas perkara
tersebut beliau berkata;
" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan
bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar
umbi." (Utusan Malaysia 20 Feb 97)


Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu
dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal
Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Laporan
akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea,
melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh negeri
Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut menggambarkan betapa
seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor.
Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang pembentukan
kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah:

Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan
tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang
lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional.
Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi sumber
utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut menjadikan remaja
merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat
mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan.
Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering digunakan untuk
mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh
adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli
secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber
dan keahlian kumpulan.
Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang lebih
berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan
pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas.
Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun remaja
menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993)
iaitu:
a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka.
b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging, dikagumi dan kekuasaan.
c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti.
d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai.
e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.



KESAN
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati bahawa
sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak
10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah
kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993).
Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah
kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya kegiatan
salah laku di sekolah.


Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat
peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah
pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat
lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat sekiranya wujud
kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka.
Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin di sekolah ialah:
a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan sebagainya.
b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka.
c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam.
d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.
e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.

Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani
permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi
menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur
pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan
pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif kepada
pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah,
pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang
berkesan serta menyeluruh.

CADANGAN
1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi menangani masalah ini.
2. Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk
meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini
dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis salah laku
pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru, bertumbuk dan sebagainya.
3. Perkhidmatan Bimbingan & Kaunseling Guru pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat
menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar mereka yang
terlibat dalam masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang
ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari sekolah-sekolah seluruh negara
mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini kerana mereka inilah yang akan membangunkan negara
pada masa akan datang.
4. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah wajar dan patut diberi sokongan
sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti ini yang
bertujuan untuk melatih dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah
dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya
sikap yang jujur.
5. Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini, namun yang
paling penting adalah peranan ibubapa. Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan
sentiasa mendorong mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.
PENUTUP
Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an
dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam
belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada
dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di
samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.


Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka
yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada
waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa
menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk
merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya.
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan
sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar
kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan,
menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak
ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk
memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak
berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk
para pelanggannya iaitu para pelajar.

You might also like