Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

Contoh Penulisan Penuh

Ibu bapa ialah tonggak sesebuah keluarga. Peranan mereka umpama nakhoda sebuah bahtera yang
sedang merentasi sebuah samudera yang penuh cabaran. Budaya membaca sebagai penanda aras
penting sesebuah masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan dan kemajuan patut bermula dari
rumah. Di tangan ibu bapalah asas pembentukan tingkah laku dan tabiat anak-anak dapat disemai.
Peribahasa menyebut bahawa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa hendaklah
memainkan peranan utama bagi memupuk budaya membaca di rumah. Penentu kejayaan peranan ibu
bapa termasuklah keupayaan kepimpinan, kewangan dan dorongan yang berterusan.

Kepimpinan ibu bapa dalam konteks pemupukan budaya membaca bermaksud proses mempengaruhi
anggota keluarga supaya sentiasa aktiviti pembacaan semasa berada di rumah. Untuk itu, ibu bapa
terlebih dahulu hendaklah memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan budaya
membaca. Kesedaran itu kemudian dipanjangkan kepada anak-anak supaya mereka juga memiliki tahap
kesedaran yang sama dengan ibu bapa mereka. Kesedaran tentang budaya membaca dizahirkan
menerusi minat ibu bapa terhadap bahan bacaan menerusi percakapan dan juga perbuatan. Pendek
kata, kesedaran ibu bapa adalah asas pemupukan budaya membaca di rumah.

Cogan kata 'kepimpinan menerusi teladan' sudah biasa kita baca dan dengar. Sebagai pemimpin
keluarga, ibu bapa ialah suri teladan terdekat kepada anak-anak. Ibu bapa dan anak-anak bukan sahaja
memiliki hubungan biologi yang jelas, bahkan sebahagian besar pembawaan dan tabiat ibu bapa turut
diwarisi oleh anak-anak. Peranan ibu bapa dalam proses pemupukan budaya membaca ialah
pengukuhan pengaruh positif secara konsisten. Ibu bapa bukan hanya menggesa anak-anak supaya
membaca, sebaliknya mereka sendiri menunjukkan teladan amalan membaca yang ketara.

Sebagai pemimpin keluarga, ibu bapa berperanan merancang jadual kegiatan keluarga, termasuk
peruntukan waktu membaca bagi seisi keluarga. Ibu bapa mungkin sibuk dengan pekerjaan dan urusan
rumah tangga yang lain, tetapi tiada sebarang sebab yang munasabah mengizinkan berlakunya
pengabaian kegiatan seisi keluarga termasuk pembacaan. Misalnya, ibu bapa mengumpulkan seisi
keluarga di ruang tamu sambil memegang bahan bacaan yang bermanfaat seperti buku dan majalah.
Sebarang gangguan terhadap tumpuan pembacaan seperti siaran radio dan televisyen dihentikan.
Peruntukan waktu senyap di rumah akan membuka laluan supaya tabiat membaca berkembang dan
menjadi kebiasaan di rumah.

Ibu bapa juga mesti meluangkan masa bersama anak-anak untuk berkunjung ke perpustakaan awam
yang berdekatan. Misalnya, pada pada hujung minggu, selepas sarapan pagi, seisi keluarga bergerak
menuju perpustakaan dan berada di sana mungkin dalam tempoh satu atau dua jam. Ibu bapa harus
menemani anak-anak yang masih kecil untuk memberi galakan ke arah pengukuhan tabiat membaca
yang didambakan. Ibu bapa juga boleh membantu anak-anak untuk memahami bahan bacaan pilihan
masing-masing. Ibu bapa mesti sanggup menurunkan tahap komunikasi supaya setara dengan anak-anak
supaya aktiviti pembacaan tidak bersifat beban yang berat atau membosankan. Kunjungan ke
perpustakaan awam hendaklah dijadualkan, manakala anak-anak diberi pengukuhan supaya memiliki
tahap kesediaan yang tinggi untuk terus bersama mereka ke perpustakaan awam.

Belanjawan keluarga memang perlu dirancang dengan berhemah bagi memenuhi semua keperluan,
walaupun pendapatan ibu bapa mungkin tidak sebanyak mana. Di samping melangsaikan segala
perbelanjaan asas rumah tangga, peruntukan untuk membeli bahan bacaan harus ada walaupun sedikit
Misalnya, setiap orang anak dihadiahkan senaskhah buku setiap bulan. Kini, buku dan bacaan bacaan
yang bermutu tidak hanya dijual di toko buku yang besar, bahkan di gerai pasar malam dan pasar tani,
terutama buku terpakai yang masih baharu. Penerbit buku juga mungkin mengadakan pameran buku
bergerak dengan tawaran potongan harga yang menarik. Ibu bapa boleh membeli bahan bacaan yang
bersesuaian sambil dapat berjimat.

Kegiatan bacaan di rumah juga menjadi lebih selesa jika terdapat suasana fizikal rumah yang
sesuai. Ibu bapa boleh mengatur susunan perabot yang menyokong aktiviti pembacaan. Ruang tamu
tidak hanya dipenuhi dengan rak cakera padat hiburan, tetapi didominasi oleh bacaan bacaan yang
menarik. Berdekatan dengan set televisyen juga tertera slogan seperti 'baca buku dahulu, kemudian
baharu menonton'. Minda seisi keluarga sudah dibiasakan dengan keutamaan amalan membaca. Disiplin
dalam pembacaan juga diterapkan dalam kalangan anak-anak. Seisi keluarga menghormati tempoh
waktu membaca tanpa sesiapa pun yang cuba membuat kecoh. Tiada sebarang bacaan yang dibiarkan
berselerak usai aktiviti membaca. Pendek kata, ibu bapa berperanan besar dalam menyediakan suasana
membaca di rumah.

Di negara maju seperti Jepun dan Jerman terdapat pasar raya buku yang khusus. Di Malaysia,
walaupun gedung besar seumpama itu belum wujud, sekurang-kurang terdapat kedai buku di lot kedai
atau pasar raya utama. Ibu bapa boleh memainkan peranan memupuk budaya membaca di rumah
dengan mengajak anak-anak mengunjungi premis kedai buku yang berkenaan. Kunjungan ke kedai buku
bukan bererti untuk membuat belian bahan bahan bacaan dalam kuantiti yang banyak. Sebaliknya ibu
bapa menetapkan senaskhah buku bagi setiap orang anak. Tujuan sampingan ke kedai buku adalah
untuk membuat tinjuan judul buku terkini. Ibu bapa boleh memberitahu anak-anak supaya merujuk
buku-buku yang berharga mahal di perpustakaan sahaja.

Anak-anak yang masih mentah mungkin sekali tidak konsisten dalam amalan bacaan mereka.
Umpama bunga yang mudah layu, siraman air akan mengembalikan kesegarannya. Maka, demikian juga
dengan anak-anak yang mungkin tergoda dengan aktiviti lain yang lebih santai dan ringan hingga
melanggar peruntukan waktu untuk pembacaan. Maka, ibu bapa berperanan untuk memberi
pengukuhan, peringatan, dorongan dan galakan, sama berbentuk lisan dan hadiah yang munasabah
Pujian yang dihamburkan oleh ibu bapa hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan
suci hati. Bahasa mesra yang digunakan untuk menggalakkan anak-anak untuk terus membaca bakal
menyumbang terhadap proses pemupukan budaya membaca di rumah.

Aktiviti pembacaan yang sihat tidak berakhir dengan begitu sahaja tanpa sebarang susulan yang
konkrit. Ibu bapa berperanan untuk memastikan bahawa setiap sesi pembacaan seisi keluarga memberi
manfaat yang berpanjangan. Caranya adalah dengan melakukan perbincangan ringan tentang perkara
yang dibaca. Ibu bapa dan anak-anak saling bersoal jawab tentang pengalaman pembacaan yang telah
dilalui. Input bacaan dikongsi bersama dalam bentuk aplikasi alam nyata. Anak-anak juga diberi
peluang meluahkan pendapat samada setuju atau membantah saranan yang ditemui dalam bahan
bacaan masing-masing.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca di rumah begitu
menyumbang terhadap pembinaan sebuah masyarakat yang mencintai ilmu dan kemajuan dalam segala
bidang. Ibu bapa bukan sekadar memainkan peranan yang pasif dengan hanya tahu menyuruh anak-
anak membaca, sebaliknya mempamerkan contoh teladan yang terbaik. Amalan membaca bukan suatu
pilihan, tetapi ialah suatu kewajipan sebagaimana yang disarankan lewat surah al-Alaq. Tanggungjawab
yang dipikul oleh pemimpin keluarga untuk menyemarakkan amalan membaca di rumah tidak boleh
dibuat secara sambil lewa. Peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca di rumah sebenarnya
sangat kritikal.





Soalan:Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya membaca
dalam diri anak-anak.
Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya memberikan bukti yang jelas akan peranan
utama ibu bapa dalam aspek pembacaan anak-anak. Ibu bapalah yang harus menjadi tunggak
atau pendorong utama dalam memupuk sikap membaca generasi muda kita kelak. Sebagai
persoalannya, apakah peranan-peranan yang dimainkan oleh ibu bapa agar amalan membaca ini
mampu dipupuk dalam jiwa anak-anak mereka ini?
Salah satunya ialah, ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam
aspek ini. Dalam konteks ini, mereka perlulah sendiri mengamalkan sikap membaca dengan jelas
seperti membaca semua bahan-bahan penting seperti akhbar atau bersama-sama membaca
bersama anak mereka. Buktinya, luang masa membaca bersama-sama anak-anak mereka pada
musim cuti atau hujung minggu dengan berkunjung ke perpustakaan. Fokusnya, contoh yang
diberikan oleh ibu bapa ini sudah pasti akan tertanam dalam dalam sanubari anak-anak kerana ke
mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasinya?
Selain itu, ibu bapa boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat
umur anak mereka. Secara umumnya, bahan bacaan ini tidak semestinya merupakan bahan
bacaan sekolah sahaja tetapi mungkin bacaan umum. Misalnya, jangan bersikap kedekut untuk
mendapatkan bahan-bahan bacaan secara berkala, bukannya hanya melepaskan batuk di tangga.
Kepelbagaian bahan bacaan ini mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada
anak selain memupuk sikap membaca mereka.
Seterusnya, didikan dari kecil harus diutamakan dalam memupuk amalan membaca.
Sesungguhnya, minat dan bakat boleh diasah sejak kecil kerana ketika ini, mereka mudah
dibentuk dan lebih mendengar kata. Sebagai contoh, bacalah buku-buku cerita sebelum anak-
anak ini tidur kerana dengan cara ini, mereka akan terdedah dengan amalan membaca. Fokusnya,
tabiat sedemikian akan menjadi amalan harian anak-anak dan mereka sendiri juga akan
mewariskan perbuatan sama pada pewaris mereka pula suatu hari nanti.
Konklusinya, amalan membaca membolehkan pelbagai jenis ilmu diperoleh oleh generasi muda
kita. Peranan dan sikap ibu bapa amat penting dalam memupuk sikap membaca ini kerana
merekalah yang menjadi teladan kepada anak-anak kerana anak-anak ibarat kain putih, ibu
bapalah yang mencorakkannya. Sikap membaca yang tinggi juga mampu menjadikan warga
masyarakat kita satu kelompok masyarakat yang berilmu tinggi kerana membaca jambat
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan
Pengetua sekolah SMK Dato Bentara Dalam , barisan kehakiman yang intelektual berkarisma , para
penjaga masa yang sentiasa berpegang prinsip al-Asr dan para hadirin rupawan penyeri
dewan. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera saya ucapkan . Berdirinya
saya di sini bukanlah untuk menjadi seorang peguam bicara yang hebat melontarkan hujahnya bagi
menegakkan keadilan di mata masyarakat tetapi berdirinya saya di sini untuk menegakkan kebenaran
yang hakiki bahawa Ibu bapa pendorong anak anak dalam merealisasikan budaya membaca untuk
dijadikan pedoman bagi para hadirin sekalian .
Sidang saksi yang saya hormati ,
Iqra merupakan ayat pertama yang diajarkan oleh jibril kepada junjungan Nabi Muhammad
mengikut sejarah Islam . Perkataan Iqra bermaksud bacalah menjadi penghias di hati baginda SAW.
Dari titik permulaan itulah Malaysia mahukan sebuah negara yang mengamalkan budaya membaca .
Meniti dari bibir ke bibir menyatakan lakaran suram yang masih terpalit di hatik rakyat Malaysia
dengan mengabaikan budaya membaca . Mengapa fenomena ini berlaku ? Siapa yang harus
bertanggungjawab dengan permasalahan ini? Persoalan inilah yang datang bertubi-tubi dalam benak
fikiran rakyat Malaysia. Mengikut falsafah yang ditinta oleh Alex Osborh , lampu Alladdin tidak akan
berkilau jika tiada sesiapa menggosoknya terlebih dahulu . Dalam konteks ini ibu bapa merupakan
tonggak bagi sesebuah keluarga . Maka , di tangan ibu bapalah asas pembentukan tingkah laku dan tabiat
anak-anak untuk mengamalkan budaya membaca disemai.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
Persoalan ibu mengapa kita perlu membaca ? sering bermain di minda anak-anak kecil yang
masih girang dengan alam fantasinya . Justeru , ibu bapa haruslah bijak untuk merungkai persoalan
tersebut dengan memberikan input yang positif dalam mengajar anak-anak mengamalkan budaya
membaca . Hal ini demikian kerana , mengikut teori para cendiakawan kanak-kanak yang masih kecil
akan mengikut setiap nasihat yang diberkan oleh orang tua mereka seperti kata pepatah jika merah ,
merahlah warnanya , jika biru , birulah warnanya . Tamsilannya ,ibu dan bapa haruslah sentiasa
memberikan penerangan tentang kelebihan ketika membaca serta padah yang akan diterima jika tidak
membaca. Ibu bapa haruslah mengaplikasikan setiap cerita dongeng yang dicoret di buku-buku cerita
kepada anak-anak dengan menambahkan ilmu dan pengajaran di horizon pemikiran anak-anak.
Izharlah , nilai murni yang diterapkan dalam diri anak-anak mampu membawa mereka ke dalam dunia
Mari Membaca.
Hadirin yang dihormati sekalian ,
Tiada permasalahan yang tiada jalan keluarnya selain mati . Ayat tersebut sangat popular
dalam kalangan ulama terkemuka . Ibu bapa haruslah mmenyediakan sebuah tempat yang dikhaskan
untuk anak-anak menuntut ilmu dan membaca . Dalam erti kata lain menyediakan prasarana seperti
perpustakaan mini dirumah . Nescaya , anak-anak lebih selesa dan gembira jika mereka mempunyai
ruang yang cukup untuk membaca . Ibu bapa juga boleh mendekorasi ruang tersebut agar jantung hati
mereka berasa riang ketika membaca buku . Mengikut saintis barat kanak-kanak cenderung
melakukan sesuatu aktiviti ketika mereka berada di tempat yang mampu memukau pandangan
mereka . Jelaslah , kanak-kanak tersebut boleh membaca buku dalam keadaan yang sangat gembira
disamping meluaskan ilmu pengetahuan .Mereka juga akan merasai diri mereka sedang berada di
teratak ilmu atau gedung buku . Benarlah , perpustakaan mini menyumbang kepada anak-anak untuk
mengamalkan tabiat membaca .
Sejajar dengan itu , ibu bapa juga sewajarnya meluangkan sedikit masa untuk membawa anak-
anak ke pameran buku . Hal ini demikian kerana kanak-kanak akan berasa rimas jika sentiasa berada di
rumah . Hal ini boleh diredakan dengan membawa mereka ke carnival buku mahupun pameran buku
yang dianjurkan julung-julung kali dari kerajaan mahupun syarikat-syarikat buku tertentu . Melalui
fenomena ini anak-anak akan rambang mata untuk memilih bahan bacaan begitu juga ibu bapa sendiri
. Secara tidak langsung anak-anak akan rambang mata untuk memilih bahan bacaan begitu juga ibu
bapa sendiri . Secara tidak langsung anak-anak akan bertemu rakan sebaya mereka dalam memilih
bahan bacaan yang bersesuaian dan menimbulkan rasa persaingan secara sihat untuk membaca .
Selain itu , anak-anak juga dapat melihat ciptaan Ilahi yang ada di tempat tersebut sambil
menambahkan ilmu di dada . Justeru mereka tidak layak diibaratkan seperti katak di bawah
tempurung kerana mereka juga mengetahui bahawa jauh perjalanan luas pandangan . Ironinya ,
ibu bapa haruslah membawa permata hati mereka ke pameran buku agar Malaysia mampu membuat
anjakan paradigma dengan melahirkan rakyat membaca.
Sidang saksi yang saya muliakan ,
Ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak untuk menyertai pertandingan-pertandingan
tertentu yang berkaitan dengan amalan membaca. Pertandingan seperti bercerita , pengucapan
awam dan berpidato yang dianjurkan oleh perbadanan tertentu harus diterapkan dalam diri anak-
anak . Ibu bapa haruslah menyokong serta membantu anak-anak ketika sesi latihan mereka . Hal ini
akan menimbulkan rasa semangat yang kental dalam diri anak-anak . Mereka juga berasa diri mereka
datang bagai minyak yang penuh oleh orang tua mereka. Ibu bapa juga sewajarnya mampu
memberikan idea yang bernas kepada anak mereka agar anak-anak dapat beraksi di atas panggung
dengan lebih berkeyakinan. Galakkan untuk membaca pelbagai bahan bacaan merupakan wadah
yang paling sesuai untuk merungkai kemelut yang ada dalam diri anak-anak . Tamsilannya ibu bapa
melanggan majalah-majalah pendidikan merupakan sinergi drastik dalam menerapkan amalan
membaca kerana di majalah tersebut terselitnya coretan seloka untuk pembaca selain menambahkan
ilmu pengetahuan . Benarlah kata pepatah sambil menyelam minum air . Implikasinya dorongan ibu
bapa kepada anak untuk membaca sangat penting dalam melahirkan pewaris negara yang celik ilmu .
Hadirin sekalian ,
Peribahasa jangan menjadi seperti ketam yang mengajarakan anaknya berjalan betul
sangat masyhur dalam kalangan rakyat Malaysia . Hal ini demikian kerana , ibu bapa wajib
menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak agar mereka mampu mengikut jejak langkah
orang tuanya persis srikandi dan arjuna negara yang mengamalkan budaya membaca . Sesuailah
dengan kata pujangga bapa borek , anak rintik . Sebagai contoh , ibu bapa haruslah sentiasa
membaca setiap bahan bacaan di rumah mahupun di tempat awam pada kesenggangan waktu .
Dengan itu anak-anak juga cenderung untuk melakukan setiap aktiviti yang dilakukan oleh ibu bapa
mereka kerana ibu bapa merupakan suri teladan yang terbaik dalam kehidupan anak-anak . Bukan
bersuluh batang pisang , bersuluh bulan matahari , ibu bapa haruslah mempraktikkan budaya
membaca dalam diri sekali gus mampu membawa anak-anak ke kayangan ilmu dengan membaca .
Tidak hairanlah para falsafah terkemuka menyatakan bahawa ilmu itu pelita hidup. Deduksinya ibu
dan bapa seharusnya mengaplikasikan konsep tanpa minyak tidak akan bergerak sesebuah jentera
tersebut tanpa holistik. Justeru ibu bapalah yang menjadi minyak pelincir terbaikuntuk anak-anak
dengan menjadi suri teladan dalam diri mereka . Tuntasnya , peranan ibu bapa untuk mengalakkan
minat membaca dalam diri anak-anak sangat penting agar Malaysia mampu melahirkan modal insane
yang berwawasan.
Rakan-rakan dan hadirin sekalian,
Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini. Secara vitalnya pelbagai peranan ibu bapa
yang harus dilakukan untuk mengalakkan minat membaca dalam diri anak-anak . Namun , sikap
menunding jari tidak sewajarnya dilakukan malah strata masyarakat haruslah berfikiran dinamik
untuk mengamalkan budaya membaca dalam diri anak-anak . Benarlah kata saintis barat bimbinglah
anak-anak kamu sejak umur mereka setahun jagung lagi kerana dada mereka masih suci dan bersih
menunggu corak yang cantik atau hodoh dilakukan dalam hati mereka.Justeru sebagai ibu bapa yang
kamil dan soleh , mereka lebih mengetahui untuk memberikan impak yang positif mahupun negatif
kepada anak-anak mereka.Harapan saya setinggi gunung Everest dan sedalam Mariana untuk melihat
Malaysia menjadi negara yang mengamalkan tabiat membaca seperti negara matahari terbit , Jepun
pada masa akan datang .Saya percaya Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan negara yang gah di mata dunia . Akhirul kalam , kepada ibu bapa ingatlah melentur buluh
biarlah dari rebungnya . Biarlah pepohon terus menghijau biarlah sang suria terus memancarkan
cahaya teranganya dan biarlah Malaysia terus cemerlang , gemilang , terbilang dengan budaya
membacanya . Ayuh bangsa teruskan membaca , wahai insan yang mulia janganlah alpa , budaya
membaca jangan dilupa.Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahiwabarakatuh.

You might also like