Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 21

Kewajaran Pengajaran Komsas Dalam Bahasa Melayu

Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir


Fakulti Bahasa
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Pengenalan
Komsas ialah akronim bagi perkataan-perkataan komponen dan kesusasteraan Melayu.
Komsas ialah komponen penting dalam subjek Bahasa Melayu. Bagi pengajaran dan
pembelajaran komsas dalam subjek Bahasa Melayu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Tingkatan I hingga V pascatahun 2003 telah
memperuntukkan dua waktu dalam seminggu.

Berdasarkan kepada beberapa penyelidikan yang dijalankan mendapati bahawa umumnya guru
Bahasa Melayu kurang memahami falsafah pengajaran dan pembelajaran komsas dalam subjek
Bahasa Melayu. Sememangnya, komsas yang juga lebih dikenali sebagai s kecil adalah amat
berbeza dengan S besar yang mewakili konsep kesusasteraan sebagai mata pelajaran atau yang
mewakili konsep pendidikan Kesusasteraan Melayu sebenar, khususnya daripada segi matlamat,
objektif pengajaran dan pembelajaran serta penilaian atau peperiksaan yang menggunakan
kaedah dan metodologi yang tersendiri. Ada beberapa perkara yang mengelirukan mereka
sehingga kajian yang dijalankan mendapati bahawa ada antara guru yang mengajar komsas
dalam subjek Bahasa Melayu mengajarnya sama seperti mereka mengajar mata pelajaran
Kesusasteraan Melayu tulen. Malah, penyelidikan yang dijalankan mendapati mereka juga
kurang yakin dan cekap dalam usaha mereka menjalankan tanggungjawab pengajaran komsas di
sekolah.

Pertimbangan Guru
Antaranya ialah:

i. Wujudnya karya kesusasteraan Melayu yang diklasifikasikan seperti yang berikut:
a). Sebagai karya pop, iaitu karya yang mengejar sensasi mahajana semata-mata;
b). Sebagai karya eotis, iaitu yang apabila dibaca boleh menghairah pembaca dan
mengkhayalkan darah muda); dan
c). Sebagai karya picisan, iaitu rendah mutu seninya. Karya yang sedemikian tidak sesuai untuk
bacaan pelajar sekolah.
ii. Teks deviasi, iaitu ada teks yang digelar sebagai teks kesusasteraan kerana keseluruhan atau
sebahagiannya terkandung unsur keindahan, iaitu estetik dan artistik. Hal ini kerana ada antara
pengarang yang berusaha dan terdorong untuk mendapatkan unsur-unsur estetik dan artistik itu,
lalu diusahakan apa sahaja seperti mengeksploitasikan dan memanipulasikan bahasa. Pengarang
sebegitu sanggup untuk melanggari hukum bahasa atau menjadikan ayat-ayat yang dibinanya itu
bersifat tidak gramatis serta menyimpang tatabahasa dan rumus-rumus bahasa. Sifat yang
sedemikian dalam bidang stilistik dikenali sebagai deviasi.
iii. Ada teks yang digolongkan sebagai karya kreatif memiliki sifat antimoral, antisosial,
antiagama, anticerita dan perbagai anti. Karya-karya yang dihasil itu bersifat avant-garde dan
sukar difahami oleh pembaca. Malahan, ada pembaca akan mendapati karya yang sedemikian
sukar untuk dihayati isinya.
iv. Ada teks yang bentuk dan gaya bahasanya tidak sesuai untuk teks kesusasteraan Melayu. Hal
ini kerana dalam penelitian stilistik yang telah dilakukan untuk melihat gaya individualisme, dan
indiosinkrasi pengarang, ada bahasa pengarang yang tidak sesuai untuk pengajaran kerana
adanya pengarang yang ingin mencapai individualisme itu sanggup melakukan deviasi sama ada
penyimpangan bahasa atau penyimpangan terhadap norma bahasa. Lantaran itu timbullah
polemik bahawa tidak semua bahasa pengarang itu sesuai untuk menghasilkan karya atau teks
kesusasteraan (Abd. Rahman Hanafiah, 1990).

Di samping itu, kesedaran akan pentingnya penggunaan bahan kesusasteraan Melayu dalam
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu kepada murid-murid sekolah dan pelajar IPT
memang sudah dirasakan sejak dari zaman sebelum perang lagi. Bahan-bahan kesusasteraan
Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sama ada sebelum atau selepas
semakan kurikulum Bahasa Melayu yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 itu, digunakan
untuk:

i. Membangkitkan minat dan kesedaran murid tentang bentuk bahasa yang komunikatif dengan
kepelbagaian kosa kata, frasa, ungkapan dan struktur ayat,
ii. Membentuk kepekaan murid tentang kelainan, keindahan, kekreatifan, kerasionalan,
keintelektualan, kesaintifikan, keunikan atau kebitaraan mutu dan gaya bahasa kesusasteraan
Melayu yang memiliki ciri menghibur atau sebagainya,
iii. Meningkatkan kesedaran dan menghayati nilai-nilai moral dan etika yang wujud dalam teks
kesusasteraan Melayu klasik dan moden waima yang berbentuk prosa mahupun puisi,
iv. Memupuk dan membangkitkan minat membaca karya-karya lain,
v. Memperlihatkan isi dan mesej yang sesuai dan mudah difahami,
vi. Menyedari kepentingan ilmu pengetahuan dan cerita tentang pelbagai aspek budaya dan
kehidupan masyarakat, dan
vii. Menguasai bahasa figuratif secara tersurat dan tersirat baik yang berhubungan dengan aspek
fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik dan selok-belok bahasa Melayu yang lain.

Selain itu, bahan kesusasteraan Melayu yang diketengahkan itu memiliki unsur-unsur:

i. Kemoralan, kemotivasian dan keaspirasian,
ii. Keindahan dan kekreatifan,
iii. Kerasionalan dan kesaintifikan,
iv. Kebitaraan dan keunikan,
v. Keintelektualan dan keterampilan,
vi. Keimanan dan kerohanian,
vii. Keharmonian dan realiti kehidupan,
viii. Keikhlasan dan bertanggungjawab, dan
ix. Kepotensian dan kesejahteraan diri.

Dengan demikian, segala unsur yang bersifat positif itu amat bersesuaian untuk melahirkan insan
yang seimbang dan harmonis, untuk pembinaan sahsiah dan memperkembang potensi murid-
murid secara menyeluruh dan bersepadu. Unsur-unsur kesusasteraan Melayu yang cuba
diserapkan dalam pendidikan Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam
membentuk budi pekerti yang mulia, jati diri, bertanggungjawab, dan berkeupayaan bagi
mencapai kesejahteraan dan citra diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Hal seumpama itu pernah dijelaskan oleh para
sarjana tempatan dan luar negara.

Selain itu, antara pandangan yang menarik tentang kepentingan kesusasteraan dalam pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Melayu ialah murid-murid berpeluang untuk membina nilai-nilai
murni dan pembinaan sahsiah yang mulia. Di samping itu, murid-murid yang gemar dan rajin
membaca karya kesusasteraan Melayu atau yang selalu terdedah dengannya didapati lebih
memahami maksud karya kesusasteraan Melayu yang dibacanya, khususnya tentang realiti
kehidupan. Malahan, dengan membaca karya kesusasteraan Melayu mereka dapat menghayati
dan menyelami perasaan insan lain secara kreatif dan kritis seperti yang digambarkan dalam
karya yang dibacanya itu, lebih-lebih lagi apabila bentuk, isi dan mesejnya ialah yang berkaitan
dengan perihal masyarakat dan nilai-nilai kehidupan. Bahkan, jika mereka selalu terdedah
dengannya, mereka akan memperoleh wadah pemikiran, dan erti sebenar sesuatu karya
kesusasteraan Melayu. Dengan demikian, individu yang membacanya akan timbul perasaan
seronok akan sesuatu karya itu. Kesukaan dan kecintaan yang mendalam terhadap karya
kesusasteraan Melayu menjadi punca utama baginya untuk membaca karya-karya kesusasteraan
Melayu lain seterusnya.

Kelebihan Komsas


Melalui pembacaan teks-teks atau bahan kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu, murid dapat meneladani dan menambahkan ilmu pengetahuan, menyuburkan emosi,
membina moral dan pengajaran, unsur kemasyarakatan dan nilai kemanusiaan, dan estetik. Hal
ini kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam
subjek Bahasa Melayu terdapat pelbagai gubahan yang menyingkapkan nilai budaya.
Bahan-bahan kesusasteraan Melayu yang bertemakan moral dapat membantu murid menghayati
nilai-nilai murni. Perkara ini disebabkan murid dapat belajar melalui peniruan watak-watak baik
yang ditonjolkan dalam sesebuah karya kesusasteraan Melayu. Keadaan ini secara tidak langsung
dapat mengurangkan masalah disiplin pada kalangan murid kerana murid tertarik dengan cerita
tersebut, mereka akan mendengarnya atau membacanya dengan teliti dan tidak mungkin akan
menimbulkan masalah disiplin.

Pertimbangan utama dalam kehidupan bermasyarakat ialah soal sejauh manakah seseorang itu
dapat mengutamakan nilai-nilai murni dalam tindak-tanduk, perancangan, dan keputusan-
keputusannya dalam kehidupan. Sebagai contoh seorang individu Muslim sentiasa dipandu oleh
nilai-nilai yang sesuai dengan kepercayaan akidah dan akhlak Islam. Demikianlah halnya dengan
yang lain yang sebahagian besar daripada mereka, terutama yang berpegang kepada agama akan
melihat nilai-nilai yang positif, seperti menghormati hak-hak manusia lain dan menghargai
sebarang hal yang secara universalnya diterima sebagai baik dan memberi kesejahteraan kepada
masyarakat. Malahan, Islam memaparkan nilai-nilai murni yang diterima sebagai bersesuaian
dengan semua agama di dunia.

Oleh itu, wajarlah karya-karya kesusasteraan Melayu yang terpilih perlu memancarkan nilai-nilai
murni yang dapat membentuk konsep-konsep kebaikan, keikhlasan dan kebenaran dalam
pemikiran dan perasaan murid-murid yang mempelajari kesusasteraan Melayu. Hal sedemikian
bersesuaianlah dengan dasar pendidikan kebangsaan, yang antara tujuan pentingnya adalah untuk
menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Kadang-kadang, proses pengajaran
dan pembelajaran unsur kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa Melayu sebelum
pelaksanaan pada tahun 2000 tidak mencapai objektifnya kepada murid. Hasil atau bahan
kesusasteraan Melayu yang dibaca oleh murid ada kalanya bukannya hasil kesusasteraan Melayu
yang sesuai dengan kebolehan, tahap atau keupayaan murid, tetapi lebih berupa cerita semata-
mata. Malah kajian yang dijalankan sebelum ini juga mendapati bahawa buku-buku bacaan
kesusasteraan Melayu yang disenaraikan oleh KPM itu sesetengah daripadanya kurang sesuai
untuk bacaan murid kerana berunsur negatif (Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir, 1997: 189). Oleh
yang demikian, kurikulum baru yang berorientasikan komponen kesusasteraan Melayu lebih
berupaya untuk mewujudkan individu yang berminat dengan karya-karya yang bermutu.
Selain itu, penggunaan kesusasteraan Melayu melalui pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu yang berkesan dapat membantu dan mempercepat proses itu, selari dengan dasarnya,
iaitu untuk membina dan mengukuhkan lagi pengetahuan asas kepada cita rasa warisan bangsa
Melayu supaya lahir kesedaran; rasa hormat kepada nilai-nilai Melayu, di samping menanamkan
bibit-bibit penghayatan yang dapat melahirkan rasa keinginan untuk menyumbang kepada
khazanah kesusasteraan kebangsaan yang dimiliki bersama itu.



Hubungan Vertikal
Kita mesti jelas bahawa Allah s.w.t. ialah empunya, pemilik, pencita dan penguasa alam dengan
segala isinya. Demikianlah juga dengan hasil kesusasteraan kerana setiap hasil kesusasteraan ada
empunya, pemilik dan penciptanya. Allah s.w.t. ialah empunya, penguasa, pemilik dan pencipta
kesusasteraan yang paling utama. Kitab suci al-Quran ialah hasil kesusasteraan yang terlalu
tinggi tarafnya kerana tidak ada satu pun karya kesusasteraan yang ada di dunia ini yang dapat
menyaingi kitab suci al-Quran. Ayat-ayat atau kalimat-kalimat dalam kitab suci al-Quran cantik
sekali. Cantiknya kerana bentuk, isi dan mesej yang melibatkan susunan bunyi, kata, ungkapan,
ayat, wacana, makna dan gaya bahasa. Tidak ada hidupan, makhluk dan seorang pun manusia
atau pengarang kesusasteraan waima yang dahulu, yang sekarang ini atau yang pada bila-bila
masa pun yang dapat menghasilkan kalimat atau menandingi keelokan bunyi, kata, ungkapan,
ayat, isi, makna, gaya bahasa, bentuk, mesej dan keindahan wacana al-Quran.
Al-Quran memaparkan ilmu, hikmat dan petunjuk berkenaan dengan kepercayaan, keibadatan,
kemasyarakatan, kepimpinan, hukum, cerita dan berita untuk pengajaran, pedoman dan
bimbingan serta kebenaran. Pendeknya, isi kitab suci al-Quran itu menyangkut seluruh aspek
kehidupan. Begitulah dari dahulu sampai kini, al-Quran dapat memberikan bimbingan kepada
insan ke arah kemajuan, peradaban dan budaya yang tinggi yang kini disebut-sebut semula
sebagai Islam Hadarah. Malah, kitab al-Quran berisi nilai pengajaran, petunjuk dan panduan
yang amat berguna untuk umat manusia sepanjang masa dalam menempuh kehidupan di muka
bumi. Sebarang perlakuan atau aktiviti manusia di atas dunia harus berpandu kepada al-Quran.
Pengarang atau pencipta sebuah karya kesusasteraan lain juga perlu berlandaskan al-Quran
kerana al-Quran ialah suatu petunjuk, bimbingan, pedoman dalam segala segi dan merupakan
panduan utama agar kegiatan manusia tidak terbabas, tergelincir, terpesong dan tersesat. Begitu
juga dengan kehidupan manusia, dan jika semua perlakuan, kerja dan kegiatan harian kita
berpandukan al-Quran sudah pasti tiada kepincangan dalam segala segi kehidupan.
Sehubungan dengan itu, selain al-Quran, hasil atau karya kesusasteraan yang ada sekarang yang
dicipta oleh manusia di atas dunia ini adalah kerana mendapat keizinan, keredaan, kehendak dan
kerestuan daripada Allah s.w.t. Melalui kehendak-Nya, maka karya-karya kesusasteraan lain
dapat kita hasilkan atau yang dapat dihasilkan oleh pencipta-pencipta karya kesusasteraan yang
dikenali sebagai pengarang karya. Seseorang pengarang karya menghasilkan sesebuah karya
bukan sahaja dipengaruhi oleh masyarakat tetapi juga sebaliknya. Pengaruh-mempengaruhi
mungkin berlaku secara sedar atau secara tidak sedar.

Berdasarkan pengalaman, pemikiran, daya cipta, imaginasi, dan realitinya yang kesemua
dipengaruhi oleh alam, persekitaran dan masyarakat sekeliling, seseorang pengarang akan
menggunakan teknik yang melambangkan keperibadian, dan menghasilkan kembali aspek alam,
persekitaran dan kehidupan masyarakatnya. Malah ada pengarang yang mempersembahkan
segala aspek kehidupan itu kepada masyarakatnya bukan untuk mencipta nama, bermegah-
megah, atau bukan untuk melalaikan dan mengkhayalkan masyarakat, tetapi semata-mata untuk
mencapai empat tujuan yang murni, iaitu: (1) Keimanan dan kesyukurannya terhadap Allah, (2)
Kesaintifikan dan kebenaran, (3) Kekreatifan dan keindahan, (4) Kemanfaatan dan kepuasan diri.
Selain itu, konsep pencipta juga dapat dikaitkan dengan pengarang karya teragung.
Kesusasteraan amat rapat dengan masyarakat. Malah, kesusasteraan perlu untuk melengkapkan
sesebuah masyarakat kerana kesusasteraan ialah salah satu unit kebudayaan dalam masyarakat,
terutamanya masyarakat Melayu. Dengan demikian, sewajarnya pengarang kesusasteraan
Melayu sedar bahawa dirinya memiliki dua wahana hubungan, iaitu hubungan dirinya dengan
Allah yang selalu disebut sebagai hubungan vertikal, dan hubungan dirinya dengan manusia dan
alam yang sering dinamai sebagai hubungan horizontal.

Hubungan Horizontal
Menyedari adanya hubungan yang sedemikian, maka pengarang kesusasteraan Melayu apabila
berkarya, maka karyanya seharusnya berseni, atau yang bertunggakkan Islam, sama sahaja
seperti beribadah atau berbakti kepada Allah. Dengan demikian, wajarlah setiap pengarang itu
apabila berkarya atau bersastera meletakkan dirinya mengikut pendekatan Islam, iaitu segala
yang dibuatnya itu wajib dilakukan kerana Allah. Secara singkatnya, tidak ada yang lain
melainkan Allah, tetapi sama seperti beribadah yang bermacam-macam corak, hikmahnya adalah
untuk mahajana. Kesusasteraan dicipta kerana Allah untuk manusia. Dua ungkapan kerana
Allah dan untuk manusia amat rapat kerana apabila bersastera kerana Allah, dengan sendirinya
kita yakin tanpa berbelah bagi bahawa setiap yang diperintahkan oleh Allah melalui al-Quran
dan al-sunnah adalah untuk kesejahteraan dan kebahagiaan hidup manusia.
Jika ditelusuri bukti-bukti lama bahawa lebih kurang 400 tahun sebelum masihi, sudah bermula
pemikiran tentang kesusasteraan apabila seorang ahli falsafah Yunani, membicarakannya. Tokoh
yang dimaksudkan itu tidak lain ialah sarjana agung yang dikenali sebagai Plato. Beliau yang
merupakan ahli falsafah Yunani membicarakan kesusasteraan sebagai hasil peniruan seniman
terhadap alam semesta. Pendapat Plato itu ada kebenarannya juga, lebih-lebih lagi jika dikaitkan
dengan hasil-hasil kesusasteraan Melayu, baik yang ada sekarang atau yang sebelumnya sama
ada yang berupa lisan mahupun yang bertulis kerana terdapat banyak hasil kesusasteraan Melayu
yang berkisar tentang alam semesta. Antaranya yang menggunakan unsur-unsur alam semesta
atau yang mengaitkan hal ehwal alam semesta secara langsung ataupun yang mengisahkan alam
semesta itu sendiri ialah hasil atau karya puisi seperti yang terdapat dalam pantun, syair dan
sajak. Yang berikut ialah contoh-contoh puisi lama dan baru menggunakan unsur-unsur alam
semesta atau yang mengaitkan dan mengisahkan alam semesta itu sendiri, iaitu:

Pantun Dua Kerat:

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Secupak padi setahil berangan,
Tersepak kaki terkehel tangan.
(Sehijau Warna Daun, 2000: 3)

Pantun Empat Kerat:

Ada kolam ada masjid,
Tempat orang sembahyang raya;
Tengah malam bulan terbit,
Bintang sebiji membawa cahaya.
(Sekalung Budi Sekalung Bahasa, 2002: 3)

Ayam sabung jangan dipaut,
Jika dipaut kalah laganya;
Asam di gunung ikan di laut,
Dalam belanga bertemu juga.
(Sekalung Budi Sekalung Bahasa, 2002: 38)

Pantun Enam Kerat:

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.
(Kerusi, 2002 : 3)

Syair Pembunuhan Angreni:

Setelah sampai ke tepi pantai,
Pasirnya putih sangat permai,
Batunya indah bagai dicanai,
Ombak memecah di tepi pantai.
(Anak Laut, 2002:5)

Sajak Anak Laut:

Segar angin laut
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dan sisik ikan
kulit ketam
kepala sotong
dan
kaki udang yang bersimpati.

Seperti kolek terdampar di pasir
menampak urat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada muara Pencipta.

Rahimidin Zahari
Kulesapkan Resah Sepi, 1988.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
(Anak Laut, 2002: 16)

Perkataan seperti udang, garam, padi, berangan, kolam, malam, bulan, bintang, cahaya, ayam,
asam, gunung, ikan, laut, seludang, pantai, pasir, batu, ombak, angin, buih, air, sisik ikan, kepala
sotong, kaki udang, dan muara dalam puisi tersebut ialah kata-kata yang mengisahkan atau yang
berunsurkan alam semesta. Selain yang berunsur alam semesta yang terdapat dalam puisi, latar
cerita dalam sesebuah hikayat juga ada memaparkan unsur alam yang luas dan tidak terbatas,
meliputi alam kayangan, di bumi, negeri dasar laut, hutan, desa dan gunung-ganang. Unsur-unsur
itu ialah yang meliputi segala macam makhluk alam lain selain manusia yang terdiri daripada
kalangan jin, dewa-dewi, raksasa, binatang dan sebagainya. Misalnya latar tempat dalam cerita
mitos berlaku di dunia luar, di dunia kayangan, dan di dasar laut. Latar tempat sejarah juga
terdapat dalam cerita mitos. Misalnya, mitos asal usul nama negeri Melaka sebagaimana yang
digambarkan dalam Sejarah Melayu mengambil latar tempat sejarah. Latar tempat di dasar laut
pula melalui mitos dinasti seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu, iaitu seorang
daripada anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain memasuki dan melawat negeri bawah laut bernama
negeri Dika. Beliau berkahwin dan mendapat tiga orang anak di negeri bawah laut itu.

Unsur alam semesta juga dapat dilihat daripada watak dalam cerita. Contohnya yang jelas ialah
watak-watak dalam cerita binatang, seperti watak Sang Kancil dan Pelanduk Jenaka. Watak-
watak itu diberi sifat manusia dan boleh berkata-kata, berfikir, serta bertindak seperti manusia.
Watak-watak yang digambarkan dalam karya juga merupakan unsur alam semesta. Umpamanya
watak orang biasa, dewa, dan raksasa. Watak-watak itu mempunyai kesaktian tertentu seperti
yang digambarkan dalam cerita Ramayana. Raja Rawana menjelmakan diri menjadi kijang emas
dan melarikan Sita ke Langka. Berdasarkan sedikit sinopsis atau ikhtisar Ramayana, dapat
diketahui terdapat banyak unsur alam semesta yang ditonjolkan dalam cerita tersebut. Jelaslah
bahawa kesusasteraan Melayu tidak dapat lari daripada unsur-unsur alam semesta kerana
penceritaannya mesti berdasarkan ciri-ciri tertentu seperti latar masa, latar tempat, dan watak-
watak. Dengan adanya ciri-ciri tersebut barulah karya kesusasteraan Melayu dikatakan lengkap.

Sudah banyak dikata orang bahawa kesusasteraan dengan masyarakat amat rapat sifatnya.
Malah, kesusasteraan ialah sebagai bahan yang perlu untuk melengkapkan sesebuah masyarakat
kerana bahan kesusasteraan merupakan salah satu unsur kebudayaan dalam masyarakat. Jadi,
apabila berbicara tentang kesusasteraan dan masyarakat, maka secara langsungnya kita meninjau
dua cabang utama, iaitu kesusasteraan yang dihasilkan oleh ahli masyarakat untuk masyarakat,
dan yang keduanya ialah kesusasteraan yang menjadikan masyarakat sebagai unsur di dalamnya.

Kesusasteraan yang dihasilkan oleh ahli masyarakat untuk masyarakat bermaksud sesuatu karya
atau bahan kesusasteraan yang dihasilkan itu mesti padan dengan peringkat, kemampuan dan
keupayaan penerimanya serta memiliki nilai yang tinggi bagi kegunaan mahajana dalam
masyarakat itu sendiri. Umpamanya, kesusasteraan Melayu sebagai salah satu aspek kebudayaan
dalam masyarakat Melayu wajarlah dijadikan bahan utama dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu. Oleh itu, patutlah apabila kerajaan bersetuju bahawa kesusasteraan Melayu
dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam subjek Bahasa Melayu kerana sebelum itu
telah ada cadangan dan saranan daripada pelbagai pihak agar pengajaran dan pembelajaran bahan
kesusasteraan Melayu digunakan dalam pendidikan di semua peringkat serta hendaklah
diwajibkan. Antaranya ialah Dr. Raja. Mukhtaruddin Raja Dain, matan atau bekas Pensyarah
Ilmu Linguistik di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, yang pada tahun 1982 telah
menyarankan supaya pengajaran kesusasteraan Melayu di semua peringkat diwajibkan (Berita
Harian, 11 Disember, 1982).
Selain itu, bahan-bahan kesusasteraan Melayu yang dipilih untuk pengajaran bagi setiap
tingkatan haruslah dapat dihayati dan bersesuaian dengan kebolehan, tahap atau keupayaan
murid. Kesesuaian bahan dengan murid telah terbukti apabila bahan kesusasteraan Melayu atau
komsas yang ditetapkan untuk murid tingkatan 1 adalah lebih mudah dan tidak menuntut murid
berfikir panjang berbanding dengan teks untuk murid tingkatan 4 dan 5. Contohnya, pemilihan
puisi tradisional yang mengandungi pantun dua kerat, pantun empat kerat dan syair. Puisi
tersebut dapat dihayati dan bersesuaian dengan kebolehan khalayak murid tingkatan 1. Sebagai
contoh di bawah ini diketengahkan pantun dua kerat, pantun budi, dan pantun kanak-kanak yang
dipetik daripada antologi Sehijau Warna Daun yang menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran
murid tingkatan satu.

Pantun Dua Kerat:

Siakap senohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

Mengaku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.

Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.

Mentimum bongkok di balik tiang,
Ayam berkokok alamat nak siang.

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Dahulu parang sekarang besi,
Dahulu sayang sekarang benci.

Tokok takal muka pintu,
Orang nakal memang begitu.

Keli masuk ruan keluar,
Matahari masuk bulan keluar.

Duduk inding enggag tap,
Senduk di dinding, panggang di atap.

Secupak padi, setahil berangan,
Tersepak kaki, terkehel tangan.

Kapal belayar dalam semak,
Perut lapar semua lemak.
(Sehijau Warna Daun, 2002: 3)

Pantun Budi:

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi sedikit rasa nak junjung.

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Tanam serai tanam halia,
Tanam juga pokok sengkuang;
Orang berbudi disanjung mulia,
Ke mana pergi tiada terbuang.

Kalau ada jarum patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
(Sehijau Warna Daun, 2002: 4)

Pantun Kanak-kanak:

Jangan gergaji pokok talas,
Nanti lesung dimakan pahat;
Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulan purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendaklah dicari,
Apa yang dapat jangan dilupa.

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pokok kelapa;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada saudara ibu dan bapa.
(Sehijau Warna Daun, 2002: 5)

Daripada segi pendidikan, baris-baris yang terdapat dalam pantun dua kerat itu dapat
menyumbang ke arah pembinaan peribadi yang baik. Demikian juga dengan Pantun Budi dan
Pantun Kanak-anak. Pantun-pantun tersebut ialah pantun empat kerat yang tidak juga
menimbulkan masalah pemahaman kepada murid tingkatan 1. Hal ini bermakna bahawa karya
kesusasteraan Melayu yang dihasilkan adalah untuk masyarakat kerana sesuai dengan tahap dan
keupayaan penggunanya. Selain itu, hasil kesusasteraan Melayu mempunyai nilai estetik yang
tinggi. Nilai estetik di sini bermaksud nilai keindahan dalam sesebuah karya kesusasteraan. Nilai
estetik ini subjektif sifatnya kerana berkaitan dengan perasaan manusia. Umpamanya, sajak-sajak
Jihaty Abadi sering diiktiraf oleh pembicara sastera sebagai mengandungi nilai estetik yang
tinggi. Contoh sajak beliau yang mempunyai nilai estetik yang tinggi ialah Merbah.

Di dingin pagi
kicauan burung di dahan perkarangan
menghantar pulang
usia remaja ke kampung pedalaman
berdenak dan bersiul
mematikan rimas bahang panas

Kubawa ke tepian kamar
merbah sepasang di dalam sangkar
sewaktu-waktu
suara membuka merdu
aku terlena dan hanyut mimpi
mereguk puas piala madu

Ketika terjaga
terasa semakin manis
hempedu pun menjadi gula
aku pun diterbangkan ke ruang lupa
(Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005 : 122)

Oleh itu, dalam sesebuah karya, aspek teknik serta gaya itulah yang menentukan nilai estetik.
Sesebuah karya yang menarik mampu menarik perhatian masyarakat dan setiap karya yang
dihasilkan bertujuan untuk dijadikan tatapan masyarakat. Demikianlah dengan kesusasteraan
Melayu tradisional yang mempunyai motif yang sama, iaitu untuk menghiburkan masyarakat
Melayu. Contohnya, fungsi cerita penglipur lara dan cerita binatang ialah sebagai alat hiburan,
selain dapat juga menjadi kias ibarat. Jelaslah bahawa bahan kesusasteraan Melayu yang
dihasilkan itu adalah untuk masyarakat dan mempunyai nilai yang tinggi bagi kegunaan
masyarakat itu sendiri.

Manakala kesusasteraan Melayu yang menjadikan masyarakat sebagai unsur di dalamnya adalah
kerana hubungannya dengan masyarakat. Hakikatnya disebabkan kesusasteraan Melayu
merupakan institusi masyarakat yang menggunakan bahan yang dipunyai oleh masyarakat
berkenaan, bukan perkaitannya dengan bahasa semata-mata yang menjadikan dekatnya
kesusasteraan dengan masyarakat. Pengkarya, penggubahan, dan bahan ialah sumber daripada
masyarakat manusia. Pengkarya memperoleh bahan yang sebahagian besarnya ialah unsur
kehidupan, hal-hal yang berlaku dalam masyarakat, dan persejarahan. Malah segala hal yang
berlaku dalam masyarakat seharian menjadi unsur kepada penciptaan kesusasteraan sebenarnya.
Hal ini jelas terbukti kerana pada zaman dahulu, pembelajaran yang berlaku pada kalangan
masyarakat berlangsung secara tidak rasmi, iaitu dikelolakan oleh masyarakat sendiri. Kanak-
kanak pula menerima pelajaran di rumah, surau atau sekolah pondok di kampung. Kurikulum
yang diajar merangkumi perihal adat resam, perubatan tradisional, ekonomi, khususnya
kemahiran mencari nafkah, bercucuk tanam, menangkap ikan, dan sebagainya serta hal-hal yang
berkaitan dengan kepahlawanan. Oleh itu, unsur-unsur kesusasteraan Melayu mempunyai
hubungan dengan kehidupan masyarakat.

Apabila dikaitkan dengan masyarakat, karya-karya kesusasteraan Melayu seperti novel, cerpen,
dan sajak seolah-olah mencatat perihal manusia atau perihal masyarakat. Karya kesusasteraan
Melayu juga cuba menggambar, meniru, dan yang paling utama ialah menganalisis masyarakat
itu sendiri. Karya kesusasteraan menganalisis segala pergerakan kehidupan masyarakat, segala
rintangan dan halangan, pendidikan, kemajuan, kemiskinan, kegigihan, dan kejayaan dalam
kehidupan. Contohnya dalam sajak Seorang Guru Tua, penyajak mencatat perihal seorang
guru, mengangkat keperibadian dan kegigihannya yang banyak berjasa mendidik murid-
muridnya sehingga berjaya dalam hidupnya sebagai menteri dan orang kenamaan, sedangkan
guru itu terus berbakti tanpa jemu:

Guruku yang baik
masih di situ
masih memandu kereta lama
masih menuju sekolah yang sama
tiada kelihatan jemu
dari air mukanya
tiada kedengaran bosan
dari suara bibirnya
dia gigih menggenggam
tanggungjawab yang diamanahkan.

(Sehijau Warna Daun, 2002: 12)

Demikian juga apabila kesusasteraan Melayu cuba menggambarkan realiti kehidupan masyarakat
waima kejayaan atau kemiskinan. Contohnya dalam cerpen Hadiah Hari Guru yang mengisahkan
perihal kemiskinan seorang murid bernama Ramli yang hanya mampu menghadiahi gurunya
pucuk gajus di majlis hari guru kerana tidak mampu memberi hadiah yang lebih istimewa
daripada itu. Perkaitan antara masyarakat dengan kesusasteraan Melayu dapat diperkuatkan lagi
dengan adanya cerita legenda yang mengisahkan kehidupan dalam masyarakat tidak kira waima
secara fantasi atau kejadian sebenar. Contohnya ialah cerita tentang Mahsuri, iaitu kisah hidup
masyarakatnya yang menyebarkan fitnah sehingga Mahsuri dijatuhkan hukuman mati. Hal ini
bermakna adanya unsur kemasyarakatan dalam kesusasteraan Melayu. Walau bagaimanapun,
cerita-cerita tentang masyarakat diceritakan dengan memasukkan unsur-unsur mitos dengan
tujuan untuk membesar-besarkan keistimewaannya sehingga mereka menjadi kebanggaan
masyarakat.
Cerita-cerita yang berkaitan dengan masyarakat tersebut mempunyai tujuan tersendiri. Antaranya
adalah untuk menguatkan kepercayaan anggota masyarakat terhadap sesuatu peristiwa yang
bercorak sejarah atau untuk berbangga, atau untuk dijadikan teladan dan panduan kepada
masyarakat tentang kepahlawanan dan kegagahan tokoh. Misalnya tokoh Hang Tuah menjadi
kebanggaan bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah, Tak Melayu hilang di dunia menjadi
sebutan masyarakat Melayu hingga sekarang.

Jika disimpulkan kembali, kesusasteraan Melayu amat rapat dengan masyarakat. Kesusasteraan
Melayu adalah perlu untuk melengkapkan sesebuah masyarakat kerana kesusasteraan Melayu
ialah salah satu unsur daripada kebudayaan, manakala kebudayaan ialah kebulatan daripada
pelbagai unsur. Jadi kebudayaan itu ialah keseluruhan perbuatan dan hasil usaha manusia yang
terbit daripada budi bicara serta fikiran seseorang untuk memenuhi keperluan hidup. Oleh itu,
unsur daripada kebudayaan masyarakat dalam penghasilan sesebuah karya kesusasteraan Melayu
amat penting. Hal ini kerana berasaskan tujuan sebenar sesebuah karya kesusasteraan Melayu itu
dicipta dan pengkaryanya. Malah, kesusasteraan Melayu secara keseluruhannya ialah perbuatan
dan hasil usaha manusia yang terbit daripada akal budi bicara serta fikiran individu untuk
memenuhi keperluan hidup. Motif atau fungsi penting penghasilan karya kesusasteraan Melayu
dalam masyarakat adalah untuk keseronokan, kebajikan, dan sumber pekerjaan. Dengan
demikian, masyarakat akan tetap menjadi pengguna hasil kesusasteraan Melayu buat selama-
lamanya dan kesusasteraan Melayu juga diterajui oleh masyarakat.

Sejarah kesusasteraan melihat karya kesusasteraan daripada sudut diakronik kronologi atau
perkembangan dari semasa ke semasa. Kemunculan sesebuah karya merupakan satu peristiwa
kesusasteraan. Karya kesusasteraan yang halus sifatnya dilihat sebagai memiliki permulaan, dan
kehidupan yang kuat dan bertenaga. Bagi karya yang sedemikian mungkin berlaku proses
transformasi, adaptasi, rombakan semula, ataupun kontroversi terhadap nilainya. Karya klasik
biasanya melalui proses ini. Oleh itu, amat bermaknalah apabila meletakkan karya sedemikian
atas sudut diakronik kronologi. Sudut diakronik kronologi digunakan bagi menghubungkan
peristiwa kesusasteraan dan perspektif kemajuan pada satu zaman yang panjang, waima bagi
sesebuah genre kesusasteraan, khususnya atau pada penciptaan kesusasteraan itu sendiri amnya.
Di samping itu, ada dua bidang khusus yang mempunyai panduan pengkajian yang tersendiri.
Kajian kesusasteraan rakyat (folklore) melihat fenomena kesusasteraan lisan yang terhasil dalam
masyarakat biasa yang memiliki kebudayaan kecil (little culture), serta mengkajinya berdasarkan
teori yang diterima. Manakala kajian kesusasteraan bandingan pula melihat karya kesusasteraan
daripada dua masyarakat yang berlainan, baik dalam aspek-aspek persamaannya atau
perbezaannya.

Walaupun seseorang pengarang itu tidak memerlukan bidang ilmu kajian kesusasteraan untuk
melahirkan karya yang baik, namun pengkaji memerlukan cabang-cabang ilmu untuk berbicara
tentang kesusasteraan secara ilmiah. Seseorang pengarang kesusasteraan boleh menentukan
dirinya untuk memilih dan mengkhusus satu-satu bidang waima yang berkaitan tentang teori,
sejarah, atau kritikan. Namun, bidang-bidang itu ada pertaliannya dengan yang lain. Walau
bagaimanapun, bidang-bidang itu kini menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran di sekolah
dan IPT. Dengan itu, semua pihak dapat menghayati kesusasteraan dengan lebih mendalam lagi.
Selain itu, kesusasteraan sebagai satu fenomena telah menampakkan dua kegiatan yang selari.
Pertama, kegiatan penghasilan, iaitu proses menghasilkan karya oleh penulis. Kedua, kegiatan
penghayatan, iaitu proses mendengar, atau membaca karya oleh anggota masyarakat. Dalam
konteks masyarakat lama, kedua-dua aktiviti ini berkaitan, dan tidak melibatkan banyak masalah.
Tetapi, setelah masyarakat berkembang timbul pula fikiran tentang fenomena ini. Persoalan yang
timbul adalah tentang sejarah penghasilan karya dan tujuan penghasilannya. Semuanya timbul
kerana pemikiran masyarakat.

Dalam usaha mentakrifkan kesusasteraan, kita juga mungkin menemui unsur-unsur dasar
sekiranya kita melihat tujuan sebenar karya-karya itu dikarang. Mukadimah Hikayat Isma Yatim
menjelaskan tujuan penghasilan karya itu. Setelah membaca hikayat itu pembaca akan
memperoleh manfaat. Karya ini memaparkan contoh dan tradisi kesusasteraan Islam, misalnya
tentang nilai-nilai kerukunan hidup. Akan tetapi karya-karya yang lebih awal juga tidak kurang
mementingkan unsur manfaat. Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan
berbagai-bagai kisah lain juga mementingkan sumbangan yang mungkin diberikan oleh
pujangga. Hanya cara penyampaiannya mungkin berlainan dan juga penekanannya berbeza-beza
antara satu sama lain. Di samping itu, kesusasteraan juga boleh dianggap sebagai gedung ilmu
sesuatu bangsa. Karya-karya lama Melayu mengumpul ilmu pengetahuan terbaik untuk pembaca.
Ilmu ini dikutip daripada berbagai-bagai pujangga, pemikir dan seniman lalu dibawa ke dalam
karya dengan tujuan supaya ilmu ini dapat membantu pembaca. Dengan itu, masyarakat hari ini
boleh membuat rujukan daripada karya-karya yang dihasilkan. Karya-karya yang telah
dihasilkan banyak memberi pengajaran kepada pembaca. Mesej yang ingin disampaikan adalah
berbeza-beza antara satu karya dengan karya yang lain. Oleh itu, masyarakat harus pandai
memilih karya sastera yang sesuai sebagai panduan dan penggunaan mereka.

Dari zaman awal sehinggalah sekarang, kita melihat banyak bukti yang menunjukkan bahawa
masyarakat Melayu menuntut pelajaran dan pengajaran daripada karya-karya kesusasteraan
Melayu. Dalam karya prosa misalnya, waima drama, novel mahupun cerpen terdapat nilai-nilai
murni yang ditonjolkan. Nilai-nilai tersebut dapat dijadikan panduan kepada pembaca novel atau
cerpen tersebut. Namun begitu, terdapat juga watak-watak yang menunjukkan perwatakan yang
tidak baik pada akhir penceritaan. Biasanya, watak-watak yang tidak baik ini akan mengalami
penyesalan. Oleh itu, masyarakat yang membacanya dapat menilai sesebuah watak dan
perwatakan waima baik atau sebaliknya. Melalui perwatakan tersebut, masyarakat boleh
menjadikannya sebagai satu pengajaran dan tidak akan mencontohinya dalam situasi kehidupan
mereka. Misalnya dalam novel Konserto Terakhir, watak Hilmi tidak disenangi oleh Datin
Salmah tetapi dia tabah menjalani kehidupan seharian walaupun terpaksa berdepan dengan
pelbagai hinaan daripada Datin Salmah. Pada akhir penceritaan, watak Datin Salmah mengalami
penyesalan kerana mengetahui keadaan Hilmi yang jatuh sakit yang juga anak tirinya. Implikasi
cerita itu sudah pasti pembaca akan mendapat pengajaran daripada sikap yang tidak baik yang
ditonjolkan dalam novel berkenaan. Pembaca mungkin akan menilai watak Datin Salmah yang
seharusnya tidak patut berkelakuan sedemikian kerana Hilmi ialah manusia biasa yang
mempunyai hati dan perasaan. Penilaian terhadap diri seseorang juga tidak harus dibuat
berasaskan rupa paras, darjat, kepercayaan, keturunan, pangkat, kedudukan, dan harta benda.
Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat sikap bantu-membantu mesti ada tidak kira waima
kepada orang miskin mahupun orang kaya.

Selain itu, sesebuah karya kesusasteraan waima novel, cerpen, atau sajak ialah lukisan kehidupan
masyarakat. Hal ini kerana karya kesusasteraan memaparkan penganalisisan aspek-aspek
kehidupan masyarakat dan kehidupan kita sendiri. Pengarang-pengarang karya yang mempunyai
pemikiran yang tajam dapat menganalisisnya sebelum menjadikannya sebagai sebuah karya.
Daripada ragam-ragam hidup masyarakat yang mengalami pelbagai rintangan dan dugaan hidup
inilah, maka pengarang karya dapat menjadikannya sebagai sebuah karya. Karya-karya yang
telah dihasilkan itu pula akan dibaca juga oleh masyarakat berkenaan. Maka, di sini dapat
dikatakan bahawa masyarakat membaca cerita mereka sendiri. Sebagai contoh ialah paparan
cerita dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan yang mencatat kisah kehidupan kaum tani yang serba
miskin. Oleh itu, sedikit sebanyak novel ini dapat memberi pengajaran dan keinsafan kepada
masyarakat. Seperkara lagi ialah sesebuah karya kesusasteraan mempunyai unsur pengajaran
yang dikenali sebagai dedaktisme yang menekankan aspek nasihat atau tunjuk ajar serta dapat
membentuk sahsiah murid di samping memantapkan penggunaan bahasa agar mereka berupaya
meningkatkan pemikiran kritis. Selain itu, karya kesusasteraan juga dapat dikaitkan dengan sifat
kreatif. Kekreatifannya dapat dilihat melalui penggunaan kepelbagaian teknik penceritaan, dan
penggunaan plot yang menarik. Contohnya, drama-drama karya Nordin Hassan seperti drama
Anak Tanjung dan drama Sirih Bertepuk Pinang Menari, plotnya amat menarik dan terdapat
unsur kreatif.

Apabila diteliti daripada sudut bahasa karya-karya kesusasteraanlah sumber yang paling ideal
kerana keluasan dan kepelbagaian gaya yang sering dilenturkan untuk menyatakan emosi yang
bermacam-macam. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan bahasa seluas mungkin
meliputi pemilihan ayat, gaya bahasa, ungkapan-ungkapan khusus, dan meluaskan penggunaan
bahasa-bahasa kiasan untuk mencapai kesan yang mendalam. Oleh itu, pemilihan karya-karya
kesusasteraan yang baik adalah perlu. Karya yang baik untuk murid ialah karya yang mempunyai
unsur pengajaran dan panduan yang boleh dicontohi. Melalui karya kesusasteraan, masyarakat
dapat menjadikannya sebagai panduan dan pengajaran hidup dalam menghadapi kehidupan yang
serba mencabar.

Unsur-unsur dalam Komsas
Dasar Pendidikan di Malaysia ialah dasar pendidikan yang berpaksikan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK), iaitu yang merupakan satu usaha yang berterusan dari peringkat awal
pendidikan hingga ke peringkat seterusnya, yang semata-mata ke arah memperkembang potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu agar kemudiannya akan tercapai matlamat untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha itu mempunyai tujuan yang
murni, iaitu untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara. Jika dihalusi secara umumnya, pernyataan yang terkandung dalam FPK itu
menggambarkan bahawa hasrat pendidikan negara adalah untuk mendidik setiap individu dalam
negara ke arah satu hala tuju, iaitu pembinaan individu yang mulia yang kemudiannya menjadi
rakyat Malaysia yang berkualiti. Malah dalam FPK juga menjelaskan bahawa pendidikan di
negara ini ialah pendidikan yang bersifat berterusan kerana adanya unsur-unsur kesinambungan
antara pengajaran dan pembelajaran daripada satu peringkat kepada peringkat yang seterusnya.
Selanjutnya, FPK itu juga bermakna bahawa pendidikan di Malaysia memiliki fungsi untuk
memperkembang bakat dan kemampuan murid waima daripada segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani secara menyeluruh dan bersepadu. Selain itu, FPK itu menegaskan bahawa kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan hendaklah dijadikan teras dalam pengembangan bakat dan
kemampuan murid, agar tercapai matlamat yang ditetapkan, iaitu membina murid yang
bersahsiah, yang seimbang, dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta
menjadi warganegara yang bersatu padu, berdisiplin, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkebolehan, berwawasan, dan terlatih untuk memberi sumbangan
terhadap kesejahteraan diri, masyarakat dan negara.
Asas kepada penggubalan Kurikulum Baru Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah ialah FPK. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan perkembangan individu
secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan,
keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji pelaksanaan dasar pengajaran telah diterbitkan
pada tahun 1979. Laporan itu telah menyentuh hal-hal yang berkaitan dengan prinsip, nilai dan
hala tuju pendidikan. Ekoran daripadanya, maka KPM mewujudkan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Selain itu, matlamat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) adalah
untuk memperkembang potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu meliputi
aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis
dan berakhlak mulia. Hal ini bermakna matlamat KBSM itu bertepatan dan selaras dengan
kehendak FPK.

Kesusasteraan Melayu yang diajar dalam subjek Bahasa Melayu yang dikenali sebagai komsas
atau s kecil dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah itu memenuhi cita-cita FPK kerana
matlamatnya juga mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, emosi,
rohani dan jasmani. Hal ini sesuai kerana kesusasteraan mencerminkan masyarakat dan budaya
serta merupakan manifestasi kesenian melalui media bahasa yang kreatif lagi indah. Justeru, cara
mengenal dan memahami karya kesusasteraan Melayu melalui pendidikan Bahasa Melayu itu
membolehkan murid dapat memahami manusia di sekitarnya dan membolehkan penyerapan
nilai-nilai murni serta seterusnya membantu matlamat ke arah usaha melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis. Di samping mendidik murid menikmati kehalusan dan keindahan gaya
bahasa dalam karya, komsas juga memberi peluang kepada mereka untuk menguasai sistem dan
tatabahasa Bahasa Melayu dengan baik. Unsur intelek dalam FPK mengandungi hikmah atau
ilmu yang bermatlamatkan kebenaran, iaitu yang menggambarkan pemikiran logik, analitik,
kreatif, kritis, imaginatif dan naratif untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Dalam sistem pendidikan di Malaysia, pengajaran kesusasteraan Melayu dalam Bahasa Melayu
ialah unsur yang paling sesuai bagi menerapkan kecerdasan jasmani. Perkembangan daripada
segi jasmani boleh diterapkan melalui teknik-teknik yang biasa digunakan oleh guru yang terlatih
seperti teknik penggunaan deria, main peranan, simulasi, bercerita, lakonan waima secara
spontan atau berskrip, pentomin, boneka, perbincangan, permainan bahasa kesusasteraan, dan
kuiz. Murid-murid yang didedahkan dengan pelbagai teknik dalam pengajaran kesusasteraan
Melayu secara tidak langsung berupaya dalam pergerakan. Malah mereka akan lebih aktif. Selain
itu, perkembangan daripada segi jasmani ini bukan sahaja melibatkan aktiviti di dalam bilik
darjah, malahan melalui pelbagai aktiviti di luar kelas. Contohnya apabila pihak sekolah
mengadakan aktiviti seperti pertandingan pementasan drama, teater atau sebagainya yang
melibatkan murid untuk bergiat secara aktif dalam sesuatu aktiviti yang telah dijalankan.



Daripada apa yang telah dibincangan sebelum ini, pendeknya, pendidikan Bahasa Melayu
sekolah menengah bukan sahaja mampu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang digariskan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan tetapi juga bertujuan untuk melahirkan murid yang memiliki
keterampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi negara. Di samping itu, pendidikan bahasa dipercayai dapat juga dijadikan sebagai wahana
ilmu, fikiran dan perasaan bagi pelbagai bangsa di Malaysia. Hal ini juga bermakna bahawa
Bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah
tidak bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan
1996. Malah, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan rakyat
di Malaysia serta sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi
bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan. Selain itu, bahasa Melayu yang mempunyai
potensi untuk dimartabatkan dan diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi teknologi
maklumat dan komunikasi itu berhasrat membina rasa bangga terhadap bahasa yang
mencerminkan kebitaraan, kerasionalan, keintelektualan, kekreatifan, kesaintifikan, dan
kerohanian rakyat.

Sejajar dengan itu, sesuailah fokus utama pendidikan Bahasa Melayu sekolah menengah adalah
untuk memenuhi hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Hasrat ini telah
digubal berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu untuk melahirkan insan yang
seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Lebih-lebih lagi hakikatnya, pendidikan Bahasa
Melayu KBSM yang meliputi tingkatan satu hingga lima menjanjikan hasrat untuk terus
meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur,
kemahiran membaca, dan kemahiran menulis pada kalangan remaja serta memupuk kepekaan
terhadap variasi bahasa dalam pelbagai keadaan, sistem bahasa dan gaya bahasa yang indah.
Malahan, pendidikan Bahasa Melayu KBSM juga menanam kesedaran terhadap unsur dan nilai
kemanusiaan secara menyeluruh melalui pembacaan bahan ilmu dan hasil kesusasteraan Melayu
(Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan V, 1992: vii). Bahkan, pendidikan
Bahasa Melayu KBSM sememangnya sudah lama menjadikan kesusasteraan Melayu sebagai
unsur atau komponen penting dalam programnya. Selain itu, kesusasteraan disifatkan berupaya
untuk menjadikan seseorang itu lebih peka, lebih prihatin terhadap pengolahan bahasa, di
samping membantunya untuk menghayati pengalaman, pengamatan, sensitiviti, tafsiran, aliran
perasaan dan daya intelek, dan pemikiran pengarang terhadap berbagai-bagai fenomena
kehidupan di sebalik struktur kata-kata yang indah itu.

Dalam perpektif tersebut jugalah ternyata bahawa fungsi bahasa Melayu yang semakin meluas,
sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi negara dan seperti yang terkandung dalam
pendidikan Bahasa Melayu KBSM menekankan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu
yang lebih bermutu. Murid-murid bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan
ketepatan berkomunikasi, tetapi juga perlu memahami sistem bahasa Melayu yang mampu
mengungkapkan segala bidang ilmu dan kegiatan harian selaras dengan peranannya sebagai
bahasa perpaduan rakyat, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu pengetahuan yang
mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat. Sehubungan dengan itu, kesusasteraan Melayu
disediakan bagi memenuhi keperluan murid dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Rentetan itu, kesusasteraan Melayu telah dijadikan sebagai komponen wajib dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu bagi menambahkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu. Pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa
Melayu mencakupi pendedahan apresiasi karya-karya kesusasteraan Melayu daripada pelbagai
genre seperti puisi tradisional, puisi moden, prosa klasik, drama, cerpen dan novel. Melalui
pendedahan dan penelitian karya-karya seperti itu, murid diharapkan dapat mengenal dan
menikmati karya-karya kesusasteraan Melayu negara. Selain menggalakkan lagi minat membaca
murid, karya tersebut dapat juga menjadi wahana bagi murid memahami budaya dan cita rasa
masyarakat negara ini. Murid diharapkan juga akan berminat untuk berkarya bagi melahirkan
idea dan cita rasa mereka sendiri. Justeru, dengan usaha yang demikian akan mempertingkatkan
kemahiran berbahasa murid.

Dengan yang demikian dan seperti yang telah dijelaskan, hasrat pendidikan yang ingin dicapai
melalui FPK ialah pembentukan individu yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh
dan bersepadu daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pengajaran dan pembelajaran
komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu diharapkan dapat
menyokong teras pembentukan individu ini, terutamanya daripada segi pemupukan ilmu,
kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan aspek intelek dan emosi. Penerapan elemen-elemen
ini dalam karya kesusasteraan Melayu yang terpilih mampu menjadikan murid insan yang
berfikir tentang kebaikan, kehalusan budi pekerti, kesantunan berbahasa, kecekalan hati,
keindahan seni dan kebenaran, dan seterusnya menghargai kehidupan dan nilai kemanusiaan.
Oleh itu, keistimewaan unsur atau komponen kesusasteraan Melayu dan manfaat daripada
penggunaannya dalam pendidikan Bahasa Melayu KBSM tidak dapat diragukan lagi.

Penutup


Bibliografi

Abd. Rahman Hanafiah, 1990. Kesusasteraan dalam Pembelajaran Bahasa dan Kesusasteraan
Sebagai Mata Pelajaran: satu Perbandingan. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam Seminar
Kebangsaan Kesusasteraan dalam Pendidikan Bahasa Malaysia pada 6 dan 7 Oktober, anjuran
Peserta Kursus 14 Minggu, IBKL.



Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2003. Teori Bahasa: Implikasinya Terhadap Pengajaran
Tatabahasa. Tg.Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.



Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005b. Stilistik Komsas. Tg. Malim: Penerbit Universiti
Pendidikan Sultan Idris.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2005c. Pengajaran Gaya Bahasa dalam Bahasa Melayu.
Jurnal Pengajian Melayu. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Komsas dan Tatabahasa Melayu Teras Pegangan Guru.
Kuala Lumpur : Icon Region Sdn Bhd.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Komsas Pegangan Teras Keterampilan. Kuala Lumpur :
Icon Region Sdn Bhd.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007. Pendekatan Pembelajaran Kontekstual dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3.
Tanjong Malim : Jabatan Bahasa Melayu, UPSI.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dan Nik Rubiah Nik Mustapha, 2007. Penggunaan ICT dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3.
Tanjong Malim : Jabatan Bahasa Melayu, UPSI.

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir dan Abdul Hamid Mahmood, 2007. Kemahiran Belajar Cara
Belajar. Mengajar dan Belajar Bahasa Melayu Jilid 3. Tanjong Malim : Jabatan Bahasa Melayu,
UPSI.

You might also like