Objektif 1M1S Dan Bagaimana Ianya Boleh Dicapai Di Sekolah

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

SITI SUKAINAH CHE MAT

860321-38-5600
KUMPULAN 6


1 MURID 1 SUKAN
Soalan: Nyatakan SATU daripada objektif 1Murid 1Sukan? Bagaimanakah objektif tersebut
boleh dicapai di sekolah anda ?

Pengenalan

Dasar 1murid 1Sukan adalah satu dasar yang mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-
kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Mereka dikehendaki terlibat secara aktif dengan
menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini menyokong pelaksanaan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani Dasar ini diwujudkan bertujuan untuk member
akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan
khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif.

Selain itu, dasar ini diwujudkan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah
meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di
sekolah dan juga memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi
untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Hal ini adalah dilihat sebagai sebuah
kesinambungan daripada usaha menggilap bakat atlet dari kalangan pelajar sekolah rendah
dan menengah dengan penubuhan sekolah sukan Malaysia yang bertempat di Bukit Jalil,
Selangor. Dasar 1Murid 1Sukan diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah
rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau
bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini
berdasarkan kemampuan sekolah

Objektif 1Murid 1Sukan

Kementerian telah menggariskan beberapa objektif kepada dasar 1Murid 1Sukan yang
menjadi asas kepada setiap aktiviti kesukanan di negara ini ke arah memupuk bangsa
Malaysia yang mempunyai bakat dan terlibat aktif dalam bidang sukan. Antara objektif
tersebut adalah:

a) Meningkatkan kecergasan jasmani
b) Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin atau nilai murni
c) Memupuk perpaduan di antara kaum
d) Membentuk budaya sukan di kalangan murid
e) Memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal
f) Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal, dan
g) Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan

Satu daripada objektif yang akan dikupas dengan lebih lanjut di dalam penulisan ilmiah ini
adalah objektif yang kedua iaitu membentuk sahsiah, jati diri, disiplin atau nilai murni. Selaku
seorang guru yang mengajar di sekolah rendah, pada umumnya saya berpendapat bahawa
nilai murni, pembentukan sahsiah terpuji serta jati diri dan disiplin yang tinggi di kalangan
pelajar dapat dipupuk melalui minat dan kecenderungan di dalam bidang sukan di kalangan
pelajar seawal usia pelajar menginjak tujuh tahun. Minat dan kecenderungan terhadap
aktiviti sukan dapat dipupuk dan diterapkan lebih awal apabila murid di sekolah rendah
sudah terlibat dengan aktiviti sukan semasa di pra sekolah lagi.

Kegiatan sukan seperti permainan, kejohanan olahraga serta pertandingan sukan di
antara sekolah, daerah dan negeri menuntut pelajar untuk memberikan komitmen yang
tinggi dalam aktiviti yang diceburi, mempamerkan disiplin diri yang teguh dalam menepati
masa pertandingan dan latihan yang diadakan, serta memupuk nilai murni seperti saling
menghormati pihak lawan, bertolak ansur dan menerima adat kemenangan serta kekalahan
dengan hati yang terbuka dan bermain secara adil dan jujur. Nilai-nilai ini dapat dipupuk
melalui perlawanan persahabatan di antara sekolah, perlawanan di antara rumah sukan
serta semasa di kejohanan olahraga daerah. Semasa terlibat dengan aktiviti sukan seperti
ini, murid berpeluang untuk berkenalan dengan pesaing-pesaing dari sekolah mereka sendiri
serta dari sekolah yang berlainan. Melalui interaksi sosial semasa aktiviti sukan seperti inilah
murid dapat mengasah bakat sosial mereka dan membentuk personaliti yang jauh lebih baik
dari segi kematangan emosi dan fikiran serta tingkah laku berbanding dengan murid yang
hanya tinggal di sekolah dan bertungkus-lumus untuk maju dalam bidang akademik.
Pemerhatian murid ke atas rakan sebaya dari segi penggunaan bahasa, cara pembawaan
diri di tempat orang lain dapat meningkatkan tahap keyakinan diri pelajar dan seterusnya
dapat membantu pelajar dalam usaha mereka untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat
yang berbilang budaya.

Kepimpinan dalam diri seseorang pelajar juga dapat digilap apabila pelajar dilantik
untuk menggalas tugas sebagai wakil sekolah, ketua rumah sukan, ketua perbarisan, ketua
kumpulan bola sepak dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum, tugas-tugas
melibatkan kepimpinan di dalam kawasan sekolah adalah terhad dan kebiasaannya
dimonopoli oleh pelajar bijak pandai. Pelajar yang kurang menyerlah dalam bidang
akademik sering dipandang dengan sebelah mata sahaja. Maka, dengan penglibatan murid
yang kurang menyerlah dalam bidang akademik di dalam bidang sukan, guru dapat
mengasah bakat kepimpinan mereka untuk mengetuai rakan sepasukan mereka.


Bagaimana objektif ini boleh dicapai di sekolah?

Objektif ini boleh dicapai oleh pihak sekolah dengan penganjuran aktiviti sukan yang
memberikan faedah kepada semua pelajar yang terlibat secara aktif. Hal ini boleh dicapai
apabila sekolah mengadakan aktiviti larian dan senamrobik beramai-ramai yang melibatkan
penyertaan semua pelajar secara aktif. Selain daripada itu, aktiviti permainan di sekolah
misalnya bola jaring, bola sepak dan bola baling, merentas desa, jalan kaki dan sebagainya
yang dianjurkan perlu turut melibatkan jumlah murid seramai yang mungkin. Di sekolah
tempat saya mengajar, semua pelajar adalah diwajibkan untuk mengambil bahagian dalam
aktiviti yang dijalankan dan hanya dikecualikan sekiranya mempunyai masalah kesihatan.
Selain itu, demi memastikan segala aktiviti sukan berjalan lancar, mesyuarat berkaitan
aktiviti sukan dan jadual aktiviti sukan sepanjang tahun ada disediakan bertujuan untuk
menjayakan dasar ini. Pengagihan dan pendaftaran rumah sukan dan kelab sukan di
sekolah diselenggarakan pada awal tahun dan pertengahan tahun untuk memastikan
keseimbangan bilangan ahli, jantina dan pelbagai kaum.

Pihak sekolah boleh mengadakan pertandingan badminton, bola sepak, takraw, bola jaring
dan bola baling di antara kelas, rumah sukan dan kelab sukan sekolah. Melalui pemilihan
wakil untuk setiap pertandingan yang diadakan, murid dapat dipupuk dengan nilai murni
seperti bekerjasama dalam satu kumpulan, tidak mudah berputus asa, saling menghormati
rakan yang lain, dan saling menyokong satu sama lain. Selain daripada itu, melalui latihan
yang diadakan sebelum pertandingan, murid juga dapat didedahkan dengan konsep
menghargai masa, menghormati orang lain, bersemangat kesukanan yang tinggi dan cekal
dalam menempuhi cabaran. Sikap terpuji seperti ini akan dapat melahirkan insan yang
bersahsiah tinggi di kalangan pelajar.

Di dalam kelab permainan itu sendiri, peranan murid sebagai ketua, penolong dan
lain-lain perlu didedahkan kepada murid supaya mereka belajar untuk mengenal nilai-nilai
kepimpinan dalam bersukan dan seterusnya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian.
Pihak sekolah perlu memberikan ruang yang mencukupi untuk pelajar menggalas tugas
sebagai pemimpin supaya bakat ini dapat digilap dari awal. Melalui kejohanan sukan
sekolah, contohnya, ketua rumah sukan di sekolah boleh diamanahkan untuk menguruskan
pelajar di bawahnya semasa membuat latihan sukan, mengawasi disiplin mereka dan
mengadakan perbincangan mengenai hiasan rumah sukan dan formasi kawad kaki yang
ingin mereka lakukan.

Guru-guru di sekolah juga sepatutnya memberikan kepercayaan kepada ketua
rumah sukan untuk menguruskan hal ini supaya mereka lebih bertanggungjawab ke atas
ahli rumah sukan mereka. Selain itu, bendahari rumah sukan juga boleh diamanahkan untuk
mengutip duit yuran rumah sukan untuk jamuan semasa hari sukan sekolah dan merancang
makanan yang ingin dibeli. Tugasan seperti ini dapat melatih pelajar untuk menjadi seorang
yang amanah dan bertanggungjawab. Ia juga menuntut pelajar untuk memiliki kemahiran
sosial yang tinggi dalam melaksanakan amanah yang diberi. Melalui pembahagian tugas
dan tanggungjawab kepada pelajar dalam aktiviti sukan, ia dapat membentuk sahsiah, jati
diri, disiplin atau nilai murni.

Pada peringkat yang lebih tinggi, penyertaan murid dalam kejohanan Majlis Sukan
Sekolah Daerah (MSSD)/Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN)/Majlis Sukan Sekolah
Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa adalah merupakan aktiviti 1Murid 1Sukan
yang perlu diketengahkan oleh pihak sekolah. Di dalam aktiviti serta perjumpaan sosial
seperti ini, bakat dan jati diri murid dapat diteguhkan. Murid juga dapat dipupuk untuk
mencintai sekolah mereka dan berbangga dengan kejayaan sekolah di peringkat yang lebih
tinggi.

Dalam pada itu, pihak sekolah juga haruslah melaksanakan Dasar 1Murid 1 Sukan
dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak
sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan batuk di tangga. Namun
begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk menjayakan dasar ini . Secara
kesimpulannya, aktiviti sukan yang dianjurkan oleh sekolah serta penglibatan murid di dalam
dan luar sekolah dalam bidang sukan dilihat mampu mencapai objektif 1Murid 1Sukan.

Lampiran
Berikut adalah gambar-gambar yang menunjukkan bagaimana objektif 1Murid 1Sukan dapat
dicapai.














Sekian. Terima Kasih.

You might also like