Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 1

Gurauan Yang Dituntut Oleh Islam

SELAIN mengumpat, satu daripada bencana yang dilakukan oleh lidah manusia ialah
gurauan. Termasuk dalam istilah gurauan ini ialah kelakar, melawak, olok-olok dan
berjenaka. Abdus Samad Falembani dalam kitab Hidayatus Salikin menyebut gurauan sebagai
'al-mizah'. Beliau membawa hadis Rasulullah yang bermaksud; "Jangan engkau bantahi
saudaramu dan jangan engkau perguraukan dia." (Hidayatus Salikin: 170). Menurut Imam al-
Ghazali, bergurau itu ditegah syarak kerana ia membawa kepada banyak tertawa.

Banyak tertawa itu mematikan hati dan boleh 'menanggalkan' hati. Paling dahsyat, menurut
beliau, ia boleh membawa atau mendorong kepada perbuatan derhaka. Ini berdasarkan hadis
Rasulullah yang bermaksud; "Seseorang lelaki yang berkata dengan suatu perkataan supaya
rakannya tertawa maka dia dijatuhkan ke dalam neraka selama 70 tahun." Imam Ghazali
menasihatkan supaya manusia menjaga lidahnya daripada berkata-kata untuk menimbulkan
gelak ketawa.

Kata-kata gurau senda sebenarnya boleh menghilangkan malu seseorang. Ini kerana dalam
mencari bahan ketawa, manusia sanggup membuat cerita bohong dan tidak munasabah. Untuk
mereka-reka bahan lucu, mereka membuat cerita yang ganjil dan tidak masuk akal dan
kebanyakannya cerita dusta. Inilah puncanya orang yang membuat kelakar boleh hilang malu.
Pada hakikatnya malu senjata orang beriman. Malu adalah alamat atau tanda orang yang
beriman.

Yang paling mengaibkan, sebahagian daripada kita suka membawa cerita lucah atau separuh
lucah dalam perkataan semata-mata untuk menimbulkan gelak ketawa orang lain. Rasulullah
bersabda bermaksud; "Malu adalah cabang daripada iman." Dalam sabda lain, baginda
menyatakan; "Malu dan iman seganding. Apabila terangkat salah satu daripadanya maka
terangkatlah kedua-duanya." Dapat difahami daripada hadis ini, jika seseorang itu hilang
perasaan malu daripada dirinya maka hilang jugalah imannya.

Namun begitu, bergurau ala kadar dibolehkan. Bagi sesetengah orang yang tidak tahan
bergurau mungkin menimbulkan persengketaan atau perkelahian. Maka ini bertentangan
dengan kehendak Islam. Firman Allah bermaksud; "Sesungguhnya orang beriman itu adalah
bersaudara maka perbaikilah hubungan antara kedua-duanya." (al-Hujurat: 11). Justeru,
elakkanlah bergurau, bersenda melampaui batas perasaan atau pemikiran rasional supaya
ukhuwah sesama kita tetap terpelihara.

You might also like