Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Sejarah awal yang mengharuskan pendermaan organ di negara kita bermula apabila fatwa

berkenaannya dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 6 November 1965 iaitu berkenaan
pendermaan organ mata iaitu kornea, manakala Majlis Fatwa Kebangsaan pula sejak 23 Jun 1970 lagi
telah menetapkan garis panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan organ dilakukan. Biarpun
fatwa berkenaan pendermaan organ telah lama wujud di negara kita, namun tahap kesedaran dan
kesediaan mendermanya masih lagi rendah dan perlu ditingkatkan dari masa ke semasa.
Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan di mana pemindahan organ hanya boleh dilakukan
selepas tiada pilihan atau jalan akhir untuk menyelamatkan seseorang yang organnya tidak lagi
berfungsi. Penderma atau pengikrar organ mestilah telah disahkan meninggal dunia dan kebenaran
diperoleh daripada ahli keluarga si mati terlebih dahulu sebelum organnya diambil. Namun apa yang
pang paling penting ialah tiada unsur perdagangan atau jual beli bagi terhadap organ tersebut berlaku.
Oleh yang demikian, umat Islam tidak harus ragu-ragu untuk menderma organ bagi membantu golongan
yang malang dan memerlukan kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan adalah diharuskan
serta amat digalakkan.
Di samping fatwa pendermaan organ, Akta Tisu Manusia (Akta 130) telah diperkenalkan pada tahun
1974 di mana mungkin tidak ramai di kalangan kita tahu mengenai kewujudan akta tersebut di mana
akta berkenaan menjadi antara statut utama sebagai rujukan berkenaan pendermaan organ di negara
kita. Akta yang mengandungi lima seksyen itu meliputi semua negeri di Malaysia yang mana antara lain
Seksyen 1 dan 2 (1) menyentuh berkenaan wasiat yang dibuat oleh seseorang sama ada secara bertulis
atau lisan di hadapan dua saksi atau lebih ketika beliau akan menghembuskan nafas terakhir di mana
wasiat tersebut berkenaan pendermaan tubuhnya atau mana-mana anggota untuk digunakan sesudah
kematiannya bagi maksud terapeutik, pelajaran atau penyelidikan perubatan.
Dalam usaha penambahbaikan akta berkenaan dan memastikan pendermagaan organ di negara ini
berjalan lebih lancar dan selamat, maka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menggubal
undang-undang pendermaan organ yang komprehensif meliputi pelbagai aspek bagi memastikan organ
manusia tidak dijadikan bahan dagangan seperti yang berlaku di beberapa buah negara. Melalui undangundang itu, segala aktiviti pendermaan organ, sama ada di luar mahupun dalam negara, dapat dipantau
dengan lebih efisien dan ia juga bertujuan mengelakkan penderma menderma organ di tempat yang
tidak sepatutnya atau dilakukan oleh pihak yang tidak berkelayakan.
Kesedaran terhadap pendermaan organ di negara ini semakin meningkat di mana pada tahun 1997,
jumlah mereka yang berikrar sebagai penderma organ hanya 2,566 orang sahaja, tetapi kini jumlah itu
meningkat kepada 149,315 orang. Bilangan mereka yang menderma organ selepas meninggal dunia juga
terus meningkat dari setahun ke setahun, misalnya pada tahun 2005 mencatatkan bilangan penderma
hanya 13 orang sahaja dan pada 2006, bilangannya meningkat kepada 25 orang. Begitu juga pada tahun
2009, bilangan penderma meningkat kepada 39 orang dan sehingga November 2010, jumlah penderma
organ di Malaysia adalah seramai 307 orang.
Ketika ini buah pinggang merupakan antara organ yang begitu diperlukan kerana terdapat lebih 11,000

pesakit yang kini dalam tempoh menunggu untuk mendapatkan buah pinggang baru dan kira-kira 25,000
orang sedang menunggu organ hati. Selain itu, enam pesakit memerlukan pemindahan jantung
manakala empat pesakit menanti pemindahan paru-paru. Biarpun begitu, menurut Pengerusi
Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, statistik terkini
menunjukkan hanya 320 daripada 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk melakukan
pendermaan organ dari 1997 hingga Mac lalu dapat menunaikan hasrat mereka berbuat demikian di
mana daripada jumlah tersebut, 187 penderma adalah orang Cina, 84 (India) dan 17 (Melayu) dan lainlain seramai 32 orang.
Statistik terkini juga menunjukkan terdapat sejumlah 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk
menderma organ jika diteliti masih lagi kecil iaitu hanya kira-kira 1.6 peratus daripada kira-kira 28 juta
rakyat Malaysia di mana daripada jumlah itu, pengikrar penderma organ dari kalangan orang Cina ialah
91,949, India (39,487), Melayu (26,648 orang) dan lain-lain seramai 4,540 orang. Daripada jumlah
keseluruhan pengikrar penderma organ itu, golongan muda dalam lingkungan umur 21 hingga 30
merupakan golongan yang paling ramai mendaftar iaitu seramai 59,593 orang. Penglibatan dan
kesedaran pendermaan organ di kalangan generasi muda adalah satu perkembangan yang menarik dan
perlu ditingkatkan lagi.
Bilangan pengikrar penderma organ orang Melayu juga semakin meningkat di mana dari Januari hingga
Mac lalu, jumlah yang sudah mendaftar ialah 2,642 orang berbanding 2,829 orang untuk sepanjang
tahun lalu. Pendekatan agama telah diaplikasikan melalui program kesedaran pendermaan organ yang
dilaksanakan dengan kerjasama badan-badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan beberapa agensi lain. Kajian ke atas kempen media yang
telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada 2009 menunjukkan 75 peratus daripada rakyat
Malaysia sedar akan kepentingan pendermaan organ di negara ini.
Menurut perspektif Islam, perbuatan mendermakan organ merupakan satu perbuatan yang terpuji dan
menurut ulama kontemporari terkenal, Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi, pendermaan organ merupakan
antara tiga amalan yang akan memberikan pahala berterusan selepas seseorang itu meninggal dunia.
Beliau mengkategorikan perbuatan menderma organ sebagai sedekah jariah dan ulama hebat
berkenaan juga berhujah mengenai keharusan pendermaan organ dengan mengatakan bahawa
daripada dibiarkan jasad dimamah tanah selepas kematian, adalah lebih baik organ yang boleh
digunakan itu didermakan bagi tujuan menyelamatkan nyawa orang lain.
Bagaimanapun menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, tidak dibenarkan menderma organ kepada tentera
bukan Islam yang memerangi orang Islam dan juga orang yang menganjurkan perang ke atas Islam.
Begitu juga tidak dibenarkan menderma kepada seorang yang murtad kerana dianggap seorang
pengkhianat kepada agama dan seluruh umat Islam. Selanjutnya jika terdapat orang Islam dan bukan
Islam yang kedua-duanya memerlukan derma organ atau darah, orang Islam tersebut mestilah diberi
keutamaan. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki
dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain... (atTaubah: 71)

RUJUKAN
Lee Lam Thye, 2011. Derma organ semakin meningkat, Utusan Malaysia, 1 Januari
Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh, 2009. Meningkatkan kesedaran derma organ sebagai
sedekah jariah. Utusan Malaysia, 23 Oktober
Hanya 320 penderma organ sejak 1997, Utusan Malaysia, 2 Mei 2011
Perundangan derma organ digubal, Utusan Malaysia, 18 Oktober 2010
Derma organ selamatkan nyawa, Utusan Malaysia, 5 Mei 2009
Akta pertama derma organ, Utusan Malaysia, 6 Oktober 2007

You might also like