Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

Sejak dua dekad kebelakangan ini, isu-isu yang berkaitan dengan masalah-masalah wanita

telah menjadi bahan perbincangan yang cukup serius di kalangan masyarakat. Bermula
dengan masalah hak-hak wanita yang dikatakan terpinggirkan (marginalized), sampai
kepada masalah kebebasan wanita Muslim dalam hal berpakaian iaitu penggunaan jilbab
atau hijab. Di Malaysia, isu-isu tentang wanita semakin menonjol yang ditandai dengan
lahirnya beberapa pertubuhan bukan kerajaan atau non-governmental organizations
(NGO)(1) yang cukup giat menyuarakan kepentingan kaum hawa ini.(2) Perkembangan ini
memunculkan satu fenomena baru yang dikenali dengan gerakan feminisme. Fahaman ini
menuntut berlakunya struktur sosial ekonomi yang seimbang antara golongan lelaki dengan
wanita dalam segala bidang aspek kehidupan.
Fahaman feminisme bertolak dari satu persepsi mengenai wujudnya ketidakadilan
kedudukan wanita berbanding lelaki di masyarakat. Oleh itu, muncul pelbagai usaha untuk
mengkaji dan menyelidiki punca daripada amalan ketidakadilan yang berlaku di kalangan
masyarakat tersebut. Tujuan utama dari penyelidikan itu ialah untuk memansuhkan cara
pandang yang tidak betul dan mencari usaha penyelesaian yang berteraskan kepada prinsip
kesetaraan hak antara lelaki dan wanita dalam segala bidang kehidupan, sesuai dengan
potensi dan qadar mereka sebagai manusia. Dalam kehidupan harian serta dalam semua
bentuk kajian, para feminis berpandangan bahawa pengalaman wanita adalah berbeza
secara sistematik daripada lelaki, walaupun dengan lelaki dalam keluarga masing-masing.
Secara etimologi atau bahasa, feminisme berasal daripada bahasa Latin, femina, iaitu
memiliki sifat kewanitaan.(3)Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mengistilahkan feminisme
sebagai gerakan atau faham yang menuntut hak persamaan wanita sepertimana yang
dinikmati oleh kaum lelaki.(4)
Istilah feminisme pertama kali digunapakai di Perancis pada tahun 1880-an oleh Hubertine
Auclert. Menerusi jurnal La Citoyenne yang diterajuinya, beliau memakai perkataan
feminisme untuk memperjuangkan hak-hak wanita dan menggalakkan emansipasi wanita
serta mengkritik amalan masyarakat yang berkaitan dengan peranan lelaki yang terlalu
dominan terhadap wanita. Pada ketika itu pemikiran dan gagasan beliau banyak
diinspirasikan oleh semangat revolusi Perancis yang membawa perubahan drastik terhadap
sistem sosial masyarakat negara itu.(5)
Mengikut Humm, feminisme digunakan sebagai istilah yang diperlukan untuk memahami
keadaan yang meletakkan lelaki sebagai jantina unggul (superior) berbanding wanita.
Sebagai satu ideologi, feminisme merupakan penggabungan doktrin (ajaran) hak-hak yang
sama bagi wanita dan satu ideologi bagi tujuan transformasi (perubahan) sosial untuk
menciptakan suatu keadaan yang sama antara lelaki dan wanita. Manakala Mansour Fakih
mentakrif feminisme sebagai satu gerakan perjuangan untuk mentransformasikan sistem
dan struktur yang tidak adil, menuju kepada sistem yang lebih adil bagi wanita mahupun
lelaki. Justeru, dengan pengertian ini, hakikat sebenar gerakan feminisme tidak melulu
untuk memperjuangkan masalah wanita sahaja. Maka dengan demikian, perjuangan
feminisme tidak lagi hanya untuk sekedar memenuhi keperluan-keperluan peribadi kaum
wanita atau hanya untuk meminimumkan bentuk eksploitasi terhadap wanita, mengakhiri
kekerasan di dalam rumah tangga atau pengabaian hak-hak wanita, akan tetapi dalam
jangka panjang ia juga mewujud dalam bentuk perjuangan transformasi sosial ke arah
terciptanya sistem yang secara fundamental relatif baru dan lebih baik daripada yang sedia
ada.(6)
Dari perspektif politik, Rashila mendefinisikan feminisme sebagai satu kesedaran terhadap
wujudnya ketidakseimbangan buatan / ciptaan manusia di antara wanita dan lelaki dalam

masyarakat, dan keinginan untuk melakukan sesuatu bagi meminimakan seterusnya


menghapuskan ketakseimbangan yang sedia ada. Hasil dari wujudnya faham ini ialah usaha
untuk menyelidiki amalan ketakseimbangan yang berlaku di masyarakat. Pada mulanya, ia
adalah untuk mengenalpasti kedudukan wanita dalam bidang apapun, bagi tujuan
mengenengahkan wanita (to make women visible), sama ada dalam pemerintahan
kerajaan, proses pembuatan keputusan, pekerjaan di bandar dan di kampung ataupun
dalam arena negara dan antarabangsa.(7)
Menurut Bahsin dan Nighat Said Khan, kepelbagaian takrif feminisme ini kerana asas teori
atau konsep feminisme bukannya hasil daripada satu rumusan teori. Justeru itu tidak ada
satu definisi abstrak yang khusus bagi feminisme yang dapat dirujuk kepada wanita dalam
semua zaman. Oleh itu, takrifnya boleh berubah kerana feminisme adalah berlandaskan
kepada realiti sejarah dan kebudayaan yang teguh dan kepada tahap kesedaran, persepsi
dan tindakan-tindakan.(8) Ini bermakna feminisme membawa pengertian yang berlainan
dalam abad ke-17 berbanding masa sekarang. Ianya juga boleh dipandang dan diterima
secara berbeza di tempat yang berbeza di dunia ini, dan ianya juga berbeza menurut
perbezaan latar belakang kelas, tahap pendidikan dan kesedaran mereka.
Sebagai satu gerakan kesedaran wanita, feminisme dikenali berasal daripada proses sejarah
masyarakat Barat. Idea-idea feminisme yang menuntut hak dan kesamaan wanita dalam
masyarakat telah memikat kalangan aktivis wanita di negara-negara Islam untuk dijadikan
platform dan model perjuangan di negara mereka. Bahkan tidak berlebihan kalau dikatakan
di sini bahawa gerakan wanita di dunia Islam banyak diinspirasikan dan dipengaruhi oleh
gerakan feminisme di dunia Barat.(9) Isu feminisme telah menjadi wacana yang cukup
penting dalam perkembangan masyarakat berkenaan sama halnya dengan isu politik dan
negara Islam yang terlebih dahulu menjadi wacana akademik.
Walau bagaimanapun, secara konseptual idea kesamaan lelaki dan wanita telah ada dalam
sistem etika Islam. Bahkan lebih jauh gerakan wanita telah muncul pada masa awal
kedatangan Islam. Pada masa itu, golongan wanita dapat melakukan aktivitinya secara
bebas dan tidak berbeza dengan apa yang dilakukan oleh golongan lelaki. Menurut Ruth
Roded, aktiviti wanita pada masa awal Islam tidak hanya terbatas dilakukan isteri-isteri
Nabi sebagaimana yang ditulis kebanyakan penulis Islam, akan tetapi ia juga membabitkan
seribu dua ratus wanita dari beribu-ribu sahabat yang berhubungan langsung dengan Nabi.
Pada zaman Nabi inilah kehidupan yang ideal bagi wanita.
Pada masa setelah Nabi s.a.w, perlakuan terhadap wanita mengalami perubahan. Pada
masa Umar bin Khattab (634-644 M), wanita mulai terpinggirkan dengan keputusankeputusan Umar yang berkaitan dengan kaum wanita. Umar mengeluarkan perintah
bahawa wanita mesti berada di dalam rumah dan melarang mereka untuk beraktiviti di luar
rumah, meskipun untuk pergi ke masjid. Dikatakan juga bahawa para mantan isteri Nabi
s.a.w dilarang untuk melakukan ibadah haji. Selanjutnya pada masa Uthman bin Affan
(644-656 M), bekas isteri-isteri Nabi s.a.w diizinkan kembali untuk melakukan ibadah haji
dan para wanita diperbolehkan kembali pergi ke masjid bersama-sama dengan lelaki
meskipun mereka diletakkan di tempat tersendiri di belakang lelaki. Selanjutnya pada masa
dinasti Abasiyah, kaum wanita kembali mengalami kemunduran. Mereka tidak lagi dapat
beraktivi di luar rumah, tidak ikut dalam peperangan, bahkan kaum wanita sama sekali
tidak dapat berperanan dalam kehidupan budaya dan masyarakat.(10)
Pada perkembangan selanjutnya, iaitu pada akhir kurun ke-18 kaum wanita telah
mengalami kemajuan. Mereka dapat bersekolah dan boleh hadir dalam kuttab, iaitu
pembelajaran membaca dan menulis al-Quran yang dilaksanakan di dalam masjid yang

sebelumnya hanya dihadiri oleh kaum lelaki. Di antara mereka ada juga yang kemudian
melanjutkan pembelajarannya sehingga menjadi seorang ulama. Di antaranya adalah Umi
Hani (w.1466 M) seorang wanita Mesir yang dikenali kuat dalam bidang hafalan dan
menguasai bidang ilmu hadith dan fiqh. Beliau dikatakan satu-satunya sarjana wanita yang
menonjol pada zamannya. Nama-nama lain antara lain adalah Hajar (w.1388 M), Bayram
dan masih banyak lagi.(11)
Di dalam dunia Islam, gerakan feminisme muncul pada akhir kurun ke-19 di kawasan Timur
Tengah seperti Mesir, Syria dan Turki, yang dikenali dengan istilah tahrirul
marah (pembebasan wanita). Namun gerakan wanita sebagai wacana dan gagasan
perjuangan wanita di dunia Islam berasal dan berkembang daripada Mesir. Secara
umumnya, tokoh-tokoh pembentuk wacana tentang gerakan feminisme Islam pernah
belajar di Eropah.(12) Pada abad ini untuk pertama kali, isu-isu yang berkenaan dengan
wanita seperti poligami dan pengasingan peranan wanita, diperbincangkan secara terbuka.
Perkembangan ini membawa impak kepada terbitnya karya-karya penting yang berkaitan
dengan topik masalah wanita yang dihasilkan tokoh-tokoh intelektual Muslim ketika itu.
Rifaah Tantawi merupakan seorang pemikir moden Mesir yang pertama kalinya
mencurahkan waktu, tenaga dan pemikirannya untuk kaum wanita. Beliau merupakan
pelopor gerakan pembaharuan Mesir dalam pelbagai kehidupan keagamaan, budaya dan
sosial. Di antaranya adalah pembaharuan terhadap kondisi kaum wanita dan memberikan
hak-hak mereka sebagaimana yang ditetapkan dalam syariat Islam. Beliau berpandangan
bahawa pembaharuan terhadap kondisi kaum wanita merupakan sesuatu keperluan yang
mustahak. Beliau merupakan tokoh pertama yang kali menaungkan gerakan tahrir almarah khususnya di Mesir. Namun pembaharuan yang dikehendaki oleh Rifaah bukan
sebagaimana yang diperjuangkan oleh gerakan pembebasan Barat. Gerakan pembebasan
yang dikehendaki Rifaah adalah pembebasan yang masih dalam aturan ajaran Islam.(13)
Feminisme Islam sebagai satu wacana dan gerakan pertama kali berkembang di Mesir
bersamaan
dengan
tumbuhnya
reformasi
pemikiran
Islam
dan
gerakan
nasionalisme.(14) Mereka menuntut dan membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan
isu-isu tentang hak-hak wanita dalam dunia pendidikan, peluang yang sama dalam
memperoleh pekerjaan, hak-hak politik, persoalan hak asasi manusia, kesamaan gender
dan keadilan sosial yang semua itu merupakan intipati daripada ajaran Islam yang sebenar.
Bagaimanapun, tidak berbeza dengan pendekatan-pendekatan lain dalam hal memahami
dan interpretasi terhadap sebarang isu atau wacana yang berkembang, maka dalam dunia
Islam termasuk yang berkaitan dengan masalah wanita mengalami perkara seumpama.
Terdapat dua golongan Islam yang telah menjadi arus utama (mainstream) sama ada dari
segi praktikal mahupun wacana iaitu golongan yang disebut kaum konservatif dan golongan
moderat.(15)
Golongan konservatif memperjuangkan hak-hak wanita dengan terus merujuk kepada alQuran, hadis dan pendapat ulama. Kelompok ini biasanya mengkritik gerakan wanita model
Barat yang dianggap tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam. Golongan ini menyatakan bahawa
tidak ada kesamaan antara lelaki dan wanita. Bagi mereka, adalah satu kebodohan yang
amat sangat apabila menyamakan di antara dua jenis jantina iaitu lelaki dan wanita kerana
keduanya sudah berbeza dari segi keupayaan berfikirnya dan kapasiti tubuhya. Mencari-cari
kesamaan sama ertinya dengan menyalahi hukum alam dan kehidupan. Sedangkan
golongan sederhana atau moderat adalah golongan yang secara metodologi dan teoritikal
banyak mengambil dan dipengaruhi oleh gerakan wanita yang berlaku di Barat.(16) Namun
demikian, kelompok ini berteraskan kepada dua sumber utama hukum Islam, iaitu al-Quran

dan hadis sebagai landasan gerakannya. Misalnya, tentang isu kesamaan antara lelaki dan
wanita yang mana golongan ini memperkenalkan konsep Barat tentang kesetaraan lelaki
dan wanita. Kesamaan hanya dibezakan oleh hal-hal yang bersifat biologi dan ini tidak
mengurangi nilai persamaan di antara mereka. Kemudian hal ini dijustifikasi dengan hujah
dan dalil-dalil yang bersumber daripada al-Quran dan hadis.
Oleh kerana feminisme merupakan sebuah golongan yang bergiat dalam dunia wanita,
maka feminisme sangat berkait hubung dengan gender. Gender iaitu satu sifat yang
melekat pada kaum lelaki mahupun wanita yang dibina secara sosial mahupun budaya.
Misalnya bahawa wanita itu dikenali lemah lembut, cantik, emosional, atau keibuan.
Sedangkan lelaki dianggap sosok manusia yang kuat, rasional, perkasa. Ciri dan sifat ini
merupakan sifat-sifat yang dapat dipertukarkan. Terdapat lelaki yang emosional, lemah
lembut, dan ada wanita yang kuat, rasional, perkasa. Perubahan ciri dan sifat-sifat ini dapat
terjadi dari satu masa ke masa yang akan datang dan dari satu tempat ke tempat yang lain.
Misalnya, pada zaman dahulu terdapat satu kaum yang wanitanya lebih kuat berbanding
lelaki, namun di tempat lain dan masa yang berbeza lelaki lebih kuat daripada wanita.(17)
Menurut kalangan feminis, sejarah perbezaan gender antara manusia jenis lelaki dan wanita
terjadi melalui proses yang sangat panjang. Dan terbentuknya perbezaan-perbezaan gender
tersebut kerana pelbagai hal misalnya dibina, disosialisasikan, dikukuhkan bahkan
dijustifikasi melalui ajaran keagamaan mahupun negara. Melalui proses yang panjang, pada
akhirnya perbezaan gender tersebut dianggap sebagai ketentuan Tuhan yang seakan-akan
bersifat biologi yang tidak dapat diubah lagi, sehingga perbezaan gender dianggap dan
difahami sebagai ketentuan lelaki dan wanita.
Salah satu idea asas pemikiran feminisme ialah konsep mengenai kesetaraan gender iaitu
secara gender lelaki dan wanita adalah sama. Menurut mereka, meskipun secara biologi
lelaki dan wanita berbeza, perbezaan tersebut tidak boleh berimplikasi kepada perbezaan
gender kerana perbezaan gender hanya akan memunculkan ketidakadilan secara terancang
terhadap golongan wanita. Persepsi ini kemudian mencetuskan premis bahawa gender
merupakan satu produk budaya (nurture) bukannya semula jadi (nature) yang berimplikasi
kepada pandangan bahawa peranan jenis lelaki dan wanita adalah satu ketentuan Tuhan.
Oleh kerana merupakan produk budaya, maka gender dapat ditukarganti dan bersifat tidak
kekal iaitu dapat berubah selari dengan perubahan paradigma berfikir yang menjadi asas
budaya masyarakat tersebut.
Dalam perspektif feminisme, wujudnya ketidaksamaan gender dianggap sangat merugikan
wanita, kerana ketidaksamaan ini yang mengakibatkan munculnya pelbagai ketidakadilan
secara terancang terhadap wanita. Misalnya amalan eksploitasi wanita di pelbagai bidang
(politik, sosial, ekonomi dan budaya), label negatif, keganasan terhadap wanita dan lainlain. Mereka melihat selama ini kesalahan persepsi tentang gender yang dipengaruhi
budaya patriarki ini, telah begitu berpengaruh dalam interaksi antara lelaki dan wanita
terutama berkaitan peranan mereka di dalam masyarakat. Lelaki diletakkan lebih tinggi
berbanding wanita, sementara kaum wanita diletakkan dalam keadaan yang daif, serba
salah, lemah dan bahkan terpaksa hidup dengan kadar kebergantungan yang tinggi kepada
lelaki sehingga patut dilayan dengan semena-mena dan menjadi pihak yang menjadi
mangsa.(18)
Pada intinya gender dan feminisme sangat berkait rapat bagi mengkaji permasalahanpermasalah yang berkaitan dengan hubungan lelaki dan wanita. Pada perkembangan
selanjutnya, gender ini kemudian menarik minat daripada para pengkaji termasuk pengkaji
yang menggunakan pendekatan disiplin keIslaman yang menjadikan gender sebagai alat

analisis untuk lebih memahami masalah-masalah yang muncul. Ia termasuk meneliti dan
menyelidiki sumber-sumber utama umat Islam, iaitu al-Quran dan hadis dari sudut pandang
gender. Dengan menggunakan pendekatan ini, ia terlepas daripada interpretasi yang
cenderung bias gender dan bebas daripada kepentingan-kepentingan berdasarkan jantina
tertentu seperti mengekalkan sistem patriarki.

You might also like