Takrif Melayu

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 8

TAKRIF MELAYU

Istilah Melayu dapat ditakrifkan kepada dua, iaitu maksud berdasarkan istilah awal perkataan
tersebut dan maksud berdasarkan bangsa Melayu itu sendiri.

TAKRIF BERDASARKAN ISTILAH AWAL


Terdapat pelbagai pihak yang memberikan pendapat dan pandangan tentang takrif Melayu.
Antara pendapat tentang pengertian Melayu adalah pendapat daripada Zuber Osman. Beliau
menyatakan perkataan tersebut dikatakan berasal daripada perkataan Himalaya yang bermaksud
salji atau salju (hima) dan tempat (alaya). Perkataan Himalaya yang bermaksud tempat yang
sejuk itu kemudiannya disingkatkan menjadi Malaya. Perkataan yang disingkatkan itulah
dikatakan sebagai asal perkataan Melayu.

Selain itu, perkataan Melayu dikatakan berasal daripada perkataan Malaiyur-pura. Perkataan
Malaiyur-pura yang membawa maksud kota malaiyur atau kota gunung merupakan salah satu
perkataan yang terpahat pada prasasti Bukit Gombak I di Sumatera Barat. Perkataan Melayu
dikatakan berasal daripada perkataan Malaiyur-pura apabila perkataan tersebut disingkatkan
menjadi malaiyu, kemudian menjadi malayu dan akhir sekali menjadi Melayu.

Pengertian Melayu turut dikaitkan dengan peristiwa serangan yang berlaku di Hulu Jambi, iaitu
sempadan Sumatera Barat oleh Raja Kertanegara dari Singhasari Jawa Timur. Sebuah prasasti,
iaitu prasasti Amoghapasa telah dibina di kawasan tersebut sebagai tanda peringatan untuk
peristiwa ekspedisi perang dari Jawa Timur ke daerah Melayu pada tahun 1286. Serangan dan
penguasaan terhadap negeri Melayu itu dikenali sebagai Pamalayu yang bermaksud ekspedisi
Malayu.

Melayu berasal daripada perkataan Mlayu dalam perkataan Jawa Kuno dan Jawa Baru
membawa pengertian berlari atau mengembara. Pendapat ini dikaitkan dengan pergerakan orang
Indo-Melayu, iaitu orang Austronesia yang bergerak dari Yunan.

Sebuah kerajaan yang berpusat di Muara Jambi pada abad ketujuh, iaitu 644M dinamakan
sebagai Kerajaan Mo-lo-yeu yang diambil namanya bersempena dengan nama sebatang sungai
yang terletak di sekitar kerajaan itu. Sungai tersebut dikenali sebagai Sungai Malayu dan
dipercayai daripada nama itulah wujudnya perkataan Melayu yang disebut-sebut sehingga hari

ini. Kerajaan tersebut pernah dilawati oleh rahib Buddha yang bernama I-Tsing pada 671M.
Catatan orang China turut mencatatkan bahawa sebuah kerajaan, iaitu Kerajaan Mo-lo-yeu telah
mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644M hingga 645M.
Di samping itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan perkataan Melayu berasal daripada
perkataan Malaju. Perkataan tersebut dikatakan berasal daripada kata dasar laju yang bermaksud
cepat, deras dan tangkas. Melalui perkataan Malaju itu dapat digambarkan cirri-ciri orang
Melayu yang bersifat tangkas, cergas dan segala tindak-tanduknya cepat dan deras.

TAKRIF BERDASARKAN BANGSA


Takrif Melayu berdasarkan bangsa bermaksud seseorang itu mestilah berketurunan suku Melayu
dari segi darah dagingnya, bertutur bahasa atau dialek Melayu, berkebudayaan dan mengamalkan
adat resam Melayu. Pengertian mengikut bangsa dapat dibahagikan kepada dua, iaitu pengertian
luas dan pengertian sempit. Pengertian luas bermaksud konsep yang tidak terbatas dan tidak
sempit. Pengertian sempit pula merupakan konsep yang tidak luas liputan atau tafsirannya.

Pengertian luas bagi istilah Melayu adalah bangsa Austronesia yang terdapat di Semenanjung
Tanah Melayu dan kawasan gugusan Kepulauan Melayu. Selain itu, konsep Melayu turut
merujuk kepada suku bangsa di Semenanjung Tanah Melayu, termasuklah orang-orang Melayu
di Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar (The Malay Culture Study Project, 1972). Jadi,
Melayu yang didefinisikan dalam pengertian yang luas bermaksud bangsa yang berbahasa
Melayu dan mendiami kawasan Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera dan
beberapa tempat lain di Nusantara. Pengertian luas ini juga merujuk kepada etnik-etnik seperti
etnik Minangkabau, Jawa, Bugis dan Banjar.

Pengertian sempit istilah Melayu pula merupakan maksud Melayu yang telah didefinisikan
dalam Perlembagaan Malaysia. Pengertian tersebut termaktub dalam Perkara 160 (2) yang
menyatakan bahawa seseorang itu dapat ditakrifkan sebagai orang Melayu apabila memiliki ciriciri lazim seperti berbahasa Melayu, mengamalkan budaya Melayu dan beragama Islam. Selain
itu, pengertian sempit bagi Melayu turut dirujuk mengikut sesebuah daerah atau negeri.
Contohnya, orang Melayu Johor, orang Melayu Kelantan dan orang Melayu Kedah.

Menurut United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), Melayu
merupakan satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama, bentuk
fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut lurus dan mempunyai

tinggi yang sederhana. Pengertian yang diberikan oleh pihak UNESCO merujuk kepada bangsa
yang dikenali sebagai Malayo-Polynesia (Melayu-Polinesia) atau Austronesia pada suatu ketika
dahulu.

Bangsa Melayu yang dinyatakan itu merupakan penduduk asli di suatu kawasan yang sangat
besar, iaitu dari Madagaskar yang terletak di pantai timur benua Afrika di barat hingga ke Pulau
Paskah (Easter Islands) di Lautan Pasifik berhampiran dengan Republik Chile di timur, dari
Kepulauan Hawaii dan Taiwan di utara hingga ke Pulau New Zealand di selatan. Taburan bangsa
Melayu di seluruh kawasan tersebut merangkumi pelbagai suku kaum seperti kaum Aceh, Batak,
Jawa, Bugis, Sunda dan Filipino.

ETIMOLOGI / ASAL USUL MELAYU


Etimologi merupakan cabang ilmu linguistik yang mengkaji tentang asal usul dan perkembangan
sesuatu kata (kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 402). Jadi, perbincangan tentang asal usul
bangsa Melayu akan dikupas berdasarkan pendapat-pendapat para sarjana sama ada ahli sarjana
Barat atau ahli sarjana tempatan.

PENDAPAT SARJANA BARAT


Pendapat tentang asal usul bangsa Melayu sering dibahaskan dan terdapat pelbagai pendapat
tentang perkara tersebut. Terdapat tiga pendapat utama yang dikemukakan oleh para sarjana
Barat berkaitan dengan asal usul bangsa Melayu. Pendapat pertama menyatakan orang Melayu
berasal dari Champa, iaitu dari bahagian tengah Vietnam. Pendapat kedua pula menyatakan
orang Melayu berasal dari Tonkin, China. Selain itu, orang Melayu juga dikatakan berasal dari
Yunan dan ia merupakan pendapat yang paling popular dalam menyatakan tentang etimologi
bangsa Melayu.

(i) BANGSA MELAYU BERASAL DARI CHAMPA


Vietnam dan Kemboja terdiri daripada penduduk yang kebanyakannya bertutur keluarga bahasa
yang dinamakan sebagai Austro-Asiatic. Kedua-dua buah negara ini pada suatu ketika dahulu
merupakan wilayah orang Melayu yang sangat luas kawasannya. Wilayah Champa ini
menonjolkan ciri-ciri ketamadunan Melayu dari segi budaya dan negeri-negeri yang terdapat
dalam wilayah tersebut.

Kerajaan Melayu Champa merupakan sebuah kerajaan yang besar dan ternama yang dibina di
pesisir pantai bahagian tengah negara Vietnam. Kerajaan tersebut dipercayai telah wujud dari
awal abad kedua Masihi atau mungkin lebih awal dari itu. Kerajaan tersebut telah wujud lebih
daripada seribu tahun.

Seorang sarjana Barat, Peter Bellwood menyatakan bahawa masyarakat Melayu telah pun
mendiami rantau Indochina, iaitu di negara Vietnam dan Kemboja seawal tahun 1200 Sebelum
Masihi (SM). Pendapat tersebut adalah berasaskan kepada bukti-bukti arkeologi yang ditemui di
negara Vietnam. Bukti-bukti arkeologi yang ditemui itu juga menunjukkan kewujudan satu lagi
tamadun yang lebih awal daripada Kerajaan Melayu Champa. Tamadun yang dinamakan sebagai
tamadun Sa Huynh itu merupakan pemula (predecessor) kepada tamadun Melayu Champa.
Masyarakat ketika tamadun Sa Huynh dipercayai turut bertutur dan menggunakan bahasa
Melayu. Bukti-bukti arkeologi yang ditemui ketika tamadun Sa Huynh terdiri daripada bahanbahan peninggalan, iaitu artifak besi buatan tempatan dan manik-manik.

Masyarakat Melayu masih mendiami kawasan-kawasan di tanah besar Asia sehingga ke hari ini.
Contohnya seperti etnik Melayu Rhade dan Jarai yang tinggal di tengah negara Vietnam,
masyarakat Melayu Cham di Kemboja dan masyrakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu
dari selatan ke utara sehinggalah ke Kepulauan Mergui, iaitu sebahagian daripada negara
Myanmar.

(ii) BANGSA MELAYU BERASAL DARI TONKIN, CHINA


Bangsa Melayu dikatakan berasal daripada sebuah pulau, iaitu Pulau Hainan yang terletak di
Teluk Tonkin, China. Pulau tersebut didiami oleh masyarakat Melayu yang dikenali sebagai
orang Utsal atau orang Cham-Hainan di bahagian pantai sebelah selatan Pulau Hainan.
Masyarakat tersebut dipercayai telah mendiami kepulauan tersebut tidak kurang daripada 2000
tahun lalu.

Pada awalnya, pulau tersebut hanya didiami oleh orang Melayu sahaja tetapi satu kumpulan
bangsa lain, iaitu bangsa Li yang datang dari tanah besar China telah memasuki dan mendiami
kepulauan tersebut. Hal ini adalah berikutan daripada tekanan daripada orang Cina sendiri yang
meluaskan negeri mereka. Keadaan tersebut telah menyebabkan bangsa Li mendominasi
kepulauan tersebut dan jumlah mereka mengatasi jumlah masyarakat Melayu peribumi di pulau
itu.

Selain bangsa Li, peneroka dan pendatang Cina juga mula sampai dan membuka petempatan di
kawasan pantai dan bahagian utara Pulau Hainan dari tahun 1100. Kemasukan pendatang Cina
yang ramai memaksa orang Li berpindah ke kawasan bukit dan bahagian selatan pulau tersebut.
Keadaan tersebut memberi kesan kepada orang Melayu yang mendiami di bahagian selatan.
Orang Li mula memberontak akibat tekanan tersebut dan hal itu menyebabkan orang Cina
membawa masuk sekumpulan bangsa yang dikenali sebagai bangsa Miao untuk membantu
mereka menewaskan orang Li. Sejak daripada peristiwa itu, orang Miao terus menetap di Pulau
Hainan.

Bangsa Melayu turut dikatakan berasal dari Tonkin, China berdasarkan daripada bukti penemuan
artifak seperti gendang. Gendang-gendang yang dijumpai di Tembeling, Jawa dan Bali
mempunyai ciri-ciri persamaan dengan bahan artifak yang ditemui di kepulauan Hainan, Tonkin.
Persamaan yang dapat dilihat adalah dari segi lukisan pada gendang tersebut. Contohnya seperti
lukisan perahu, lukisan orang menumbuk padi, lukisan orang meniup alat muzikmdan lukisan
burung-burung.

Masyarakat Melayu yang mendiami kepulauan tersebut kini berjumlah lebih kurang enam ribu
orang sahaja, iaitu hanya 0.7 peratus sahaja daripada jumlah keseluruhan penduduk Pulau
Hainan. Mereka masih bertutur dalam bahasa Melayu yang dikenali sebagai bahasa Tsat. Bahasa
yang digunakan pada masa kini telah menagalami perubahan dari segi sifatnya akibat daripada
pengaruh bahasa Cina.

(iii) BANGSA MELAYU BERASAL DARI YUNAN


Penduduk Kepulauan Asia Tenggara dikatakan berasal dari tanah besar Asia Tenggara.
Kemudian, mereka berpindah menuju ke selatan melalui pelbagai laluan dan perpindahan
tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat. Teori yang menyatakan bangsa Melayu berasal
dari Yunan merupakan teori yang paling popular.

Menurut pendapat Asmah Haji Omar, sebelum dua gelombang penghijrahan berlaku, Kepulauan
Melayu telah pun mempunyai masyarakat yang mendiaminya. Masyarakat tersebut dikenali
sebagai orang asli dan dinamakan dengan nama Negrito. Orang Negrito merupakan penduduk
paling awal di situ dan dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Mereka
dikatakan telah berada di sini sejak 1000 tahun sebelum Masihi berdasarkan bukti penerokaan

arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Orang Negrito digambarkan mempunyai ciri-ciri fizikal seperti
berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh dan saiz
badannya pula kecil dan pendek. Masyarakat orang asli ini tinggal di dalam gua dan mereka
menjalankan aktiviti perburuan bagi mendapatkan mata pencarian. Aktiviti perburuan binatang
dijalankan dengan hanya menggunakan batu sebagai alat untuk memburu. Pada masa kini,
masyarakat orang asli masih wujud di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan orang
Batak di Sumatera, Indonesia.

Dua gelombang penghijrahan yang berlaku adalah perpindahan bangsa Melayu Proto yang
merupakan penutur bahasa Austroasia dan perpindahan bangsa Melayu Deutro yang merupakan
penutur bahasa Austronesia. Melayu Proto dipercayai merupakan nenek moyang Orang Asli
manakala bangsa Melayu Deutro dikatakan nenek moyang orang Melayu yang wujud sehingga
hari ini.
Perpindahan pertama adalah perpindahan bangsa Melayu Proto yang berlaku pada 3000 SM
hingga 1500 SM dari tanah Yunan yang terletak di barat daya negeri China. Masyarakat Melayu
Proto berpindah dari kawasan pergunungan melalui beberapa laluan dan sebab perpindahan tidak
dinyatakan dengan jelas.

Laluan perpindahan yang pertama adalah dari hulu sungai di Myanmar ke selatan. Kemudian,
mereka melalui pulau-pulau Nicobar dan ke hujung utara pulau Sumatera yang kini dikenali
sebagai negeri Aceh. Dari negeri Aceh itulah mereka menuju ke selatan dan ke pulau-pulau lain
di sekitar Asia Tenggara. Laluan kedua pula bermula dari hulu sungai di utara Thailand. Mereka
bergerak menuju ke selatan sehingga ke Segenting Kra. Kemudian, perjalanan mereka diteruskan
ke Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa dan pulau-pulau lain.

Perpindahan melalui laluan ketiga adalah dari hulu-hulu sungai di Vietnam dan Laos ke arah
selatan. Kemudian, dari situ mereka menyeberang ke Kalimantan dan ke pulau-pula lain. Laluan
keempat pula meliputi pergerakan dari Formosa atau Taiwan ke kepulauan-kepulauan di Filipina.
Mereka kemudiannya bergerak terus ke selatan dan pulau-pulau lain.

Bangsa Melayu Deutro pula merupakan bangsa yang melakukann penghijrahan sekitar 1500
tahun sebelum Masihi sehingga 300 tahun selepas Masihi. Penghijrahan itu dikenali sebagai
penghijrahan gelombang kedua dan sebab-sebab penghijrahan tidak dapat dipastikan. Melayu
Deutro dikatakan berhijrah atau berpindah ke bahagian selatan melalui jalan yang telah dilalui
oleh bangsa Melayu Proto. Perpindahan ke bahagian selatan itu telah mendesak bangsa Melayu

Proto untuk berpindah ke kawasan-kawasan terpencil seperti kawasan hulu sungai dan kawasan
pergunungan. Bangsa Melayu Deutro yang lebih maju dan lebih tinggi tamadunnya mendiami
kawasan tanah pamah yang rendah, kawasan lembah sungai dan di tepi laut.
Pendapat tentang bangsa Melayu berasal dari Yunan, China juga dibuktikan dengan penemuan
serpihan alat gangsa yang dinamakan sebagai Gangsa Dongsong. Serpihan-serpihan logam itulah
dijadikan sebagai bukti yang nyata untuk menunjukkan penghijrahan bangsa Melayu pada suatu
ketika dahulu.

PENDAPAT SARJANA TEMPATAN


Bangsa Melayu dikatakan berasal dari rantau Nusantara menurut pandangan para sarjana
tempatan. Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J. Crawfurd, K. Himly dan Gorys
Keraf. Teori ini dijelaskan dengan alasan-alasan sebagai bukti penghujahan bagi pendapat
tersebut.

Antara alasan yang digunakan adalah bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun
yang tinggi pada abad ke-19. Tahap ketamadunan yang dicapai oleh kedua-dua bangsa tersebut
menunjukkan mereka sememangnya berasal dari Nusantara. Pendapat ini dikemukakakn oleh J.
Crawfurd yang telah membuat kajian dalam perbandingan bahasa di Sumatera, Jawa dan
kawasan Polinesia. Hasil kajian tersebut, beliau mendapati bahawa bahasa asal yang tersebar di
seluruh Nusantara adalah berasal daripada bahasa di Pulau Jawa, iaitu bahasa Jawa dan bahasa
yang berasal dari Pulau Sumatera, iaitu bahasa Melayu.
Kedua-dua bahasa tersebut merupakan bahasa induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di
kawasan Nusantara. Beliau turut mendapati bahawa orang Melayu tidak berasal dari mana-mana
kerana bangsa tersebut merupakan induk yang tersebar ke tempat lain. Selain itu, beliau
menyatakan bahawa bahasa Jawa merupakan bahasa yang tertua dan menjadi bahasa induk bagi
bahasa-bahasa lain.

Seorang sarjana tempatan yang bernama K. Himly sama sekali tidak bersetuju dengan pendapat
yang mengatakan bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Champa. Beliau melakukan kajian
terhadap perbandingan bunyi dan bentuk kata bahasa Champa dengan pelbagai bahasa di Asia
Tenggara ini. Beliau telah menyangkal pendapat tersebut dan ia disokong oleh P.W. Schmidt
yang turut mendapati bahawa persamaan yang berlaku dalam bahasa-bahasa tersebut merupakan
suatu fenomena ambilan sahaja.

Pendapat daripada Gorys Keraf dalam bukunya yang bertajuk Linguistik Bandingan Historis
(1984) telah mengemukakan teori Leksikostatistik dan teori Migrasi yang mengkaji tentang asal
usul bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Kebanyakan hujah tentang asal usul bangsa Melayu
yang telah dikemukakan oleh para sarjana terdahulu ditolak oleh beliau. Beliau berpendapat
bahawa negara Indonesia dan Filipina merupakan negeri asal bagi nenek moyang bangsa
Austronesia dengan menyatakan bahawa negeri asal (tanah air, homeland) nenek moyang
bangsa Austronesia haruslah daerah Indonesia dan Filipina (termsuk daerah-daerah yang
sekarang merupakan laut dan selat), yang dulunya merupakan kesatuan geografis.

Selain itu, terdapat juga pendapat lain tentang asal usul bangsa Melayu. Ada pendapat
menyatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu telah berpisah dan berpecah akibat daripada
pencairan ais secara perlahan-lahan ketika zaman Kuarters atau Kala Wurn kira-kira dua juta
sehingga 500 ribu tahun lalu. Pencairan ais yang berlaku telah menyebabkan air laut melimpah
ke kawasan yang lebih rendah. Fenomena tersebut menjadikan kawasan dataran tinggi menjadi
pulau yang dikenali sebagai Pulau Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Kalimantan dan pulau-pulau lain
di sekitar Indonesia. Kawasan dataran yang berpecah dan terpisah juga berlaku akibat letusan
gunung berapi dan gempa bumi.

Berdasarkan beberapa pendapat yang telah dikemukakan didapati bahawa kebanyakan ahli
sarjana mengeluarkan pendapat sebegitu berdasarkan bukti geografi. Selain itu, penggunaan
bahasa Melayu pada masa kini berasal daripada rumpun Austronesia. Kajian arkeologi yang
dilakukan terhadap tengkorak manusia mendapati tengkorak manusia di Nusantara lebih tua
berbanding tengkorak manusia yang terdapat di Asia Tengah. Alasan lain yang turut
dikemukakan bagi mengukuhkan lagi teori ini adalah penemuan manusia kuno, iaitu Homo
Soloinensis dan Homo Wajakensis yang terdapat di Pulau Jawa. Kewujudan bukti tersebut jelas
menunjukkan terdapat kemungkian bahawa orang Melayu berasal dari Jawa dan telah
mewujudkan tamadunnya sendiri di kawasan tersebut.

Penemuan tengkorak dan tulang rangka manusia purba di Pulau Jawa telah menunjukkan bahawa
terdapat manusia yang mendiami daerah yang sangat luas yang tersebar hampir sebahagian
daripada dunia. Masyarakat manusia yang mendiami kawasan itulah dikenali sebagai the Malay
Stock atau Rumpun Melayu.

You might also like