Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 17

Asnaf Zakat

Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
yang bersidang pada 8 Okt 2007 telah membincangkan mengenai perincian tentang
Asnaf Lapan dan Kadar Zakat yang ditetapkan kepada setiap Asnaf. Mesyuarat telah
membuat keputusan fatwa seperti berikut:
1. Fakir
Orang Islam yang tidak mempunyai harta benda atau pekerjaan atau mempunyai pendapatan
tetapi tidak mencapai lima puluh peratus daripada had kifayahnya untuk keperluan diri dan
tanggungannya.
2. Miskin
Orang Islam yang mempunyai harta atau pendapatan yang hanya boleh menampung lima
puluh peratus untuk keperluan diri dan tanggungannya tetapi tidak mencapai had kifayah.
Bahagian Fakir dan Miskin ini tidak boleh diberikan kepada orang kaya dan kepada orang
yang mampu bekerja dan menghasilkan keperluan yang cukup untuk diri dan mereka yang di
bawah tanggunggannya.
3. Amil (pengurus zakat)
Dalam istilah sekarang di Malaysia, Amil ditakrifkan sebagai sebuah organisasi yang padanya
terdapat kakitangan yang terlibat dalam pentadbiran dan pengurusan zakat, begitu juga
pertubuhan atau individu yang dilantik oleh badan tersebut.
Di Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam Kelantan merupakan Amil Zakat dan berhak
mendapatkan 1/8 daripada jumlah kutipan wang zakat yang dipunggut sebagai salah satu
daripada asnaf penerima zakat. Peruntukan 1/8 ini hendaklah digunakan untuk membayar
upah amil-amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Kelantan terdiri daripada pegawaipegawai Majlis, pertubuhan dan orang-orang awam. Baki daripada peruntukan tersebut boleh
digunakan untuk pengurusan am Majlis Agama Islam Kelantan seperti pembayaran gaji
kepada kakitangan dan perbelanjaan menjalankan operasi-operasi lain.
4. Al-Muallafatu Qulubuhum
Asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum di bahagikan kepada 2 golongan, iaitu golongan Muslim
dan golongan Kafir.
Golongan Muslim meliputi :
a. Orang yang baru memeluk Agama Islam.
b. Ketua-ketua kumpulan Islam yang menpunyai hubungan baik dengan ketua-ketua
kumpulan bukan Islam yang sama taraf dengannya.
c. Ketua-ketua kumpulan Islam yang masih belum mantap Imannya tetapi masih
berpengaruh.
Golongan bukan Muslim (Kafir) pula meliputi :
a. Orang yang berkemungkinan menerima Islam.
b. Boleh dipujuk supaya tidak memusuhi orang Islam.
5. Fir Riqab
Pada dasarnya ia bererti membebaskan seseorang itu daripada perhambaan. Bahagian ini
adalah bertujuan untuk disumbangkan kepada usaha-usaha untuk menamatkan sistem atau

amalan perhambaan.
Apabila amalan perhambaan secara tradisi sudah terhapus sepenuhnya sekarang, Mesyuarat
bersetuju memfatwakan takrif Ar Riqab ini perlu diperluaskan lagi kepada pembebasan yang
mencangkupi segala bentuk perhambaan dan penindasan yang ada seperti pembebasan dari
belenggu kejahilan, pembebasan golongan lemah dari cengkaman orang-orang yang berkuasa
dan pembebasan dari perhambaan ekonomi, politik dan sebagainya.
6. Al- Gharimin (Orang-orang berhutang)
Orang-orang berhutang yang layak menerima zakat ialah orang yang berhutang untuk faedah
awam seperti untuk menghapuskan persengketaan dua pihak dan sebagainya.
Bagi individu yang berhutang untuk tujuan peribadi, mereka hanya boleh dimasukkan ke
dalam asnaf ini dengan syarat beliau mestilah tidak memiliki harta dalam kadar yang
mencukupi (haddul kifayah).
7. Fi Sabilillah
Ditafsirkan dalam konteks yang lebih luas iaitu segala bentuk usaha yang ikhlas bagi
mencapai keredhaan Allah.
Oleh itu ia merangkumi segala bentuk kebajikan seperti bantuan untuk peperangan
menentang musuh Islam, bantuan kepada pelajar dan apa sahaja bentuk ketaatan dan
pendekatan diri kepada Allah.
8. Ibnu Sabil
Iaitu orang-orang musafir yang dimaksudkan dengan musafir dalam konteks ini bukan sahaja
orang yang sedang dalam perjalanan tetapi juga orang yang berniat untuk bermusafir.
Begitupun, musafir itu mestilah dengan tujuan bukan untuk melakukan perkara-perkara yang
bertentangan dengan ajaran Islam atau maksiat.

FAQIR MISKIN DALAM ASNAF ZAKAT


MUKADDIMAH
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang perlu dilaksanakan oleh seseorang
mukallaf. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggandingkan kewajipan sembahyang dengan
kewajipan membayar zakat. Ia merupakan satu bentuk pengeluaran harta mengikut kadar,
nisab, dan syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.
Zakat diambil daripada perkataan ( ????) iaitu membersihkan sesuatu yang bererti
meanmbahkan dan menyuburkan.[1] Ini adalah kerana diantara hikmah pensyraiatan zakat
ialah untuk membersihkan harta-harta yang dicari.
Dalam perundangan Islam, harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat ialah naqdan ( mata
wang / emas & perak ), binatang ternakan, tanaman dan buah-buahan, perniagaan dan harta
rikaz ( harta karun ).[2]Manakala ulamak kontemporari pula berijtihad dengan meluaskan lagi
zakat kepada zakat pendapatan berdasarkan ijtihad sesetengah imam.
ORANG-ORANG YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT
Al-Quran telah menaskan secara qatie tentang orang-orang yang berhak menerima zakat.
Allah SWT berfirman mafhumnya;
Sesungguhnya sedekah-sedkah ( zakat ) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang
miskin, amil-amil yang menguruskannya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya
( kepada Islam ), untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri , orang-orang yang
berhutang, untuk (dibelanjakan ) pada jalan Allah, dan orang-orang musafir ( yang keputusan)
dalam perjalanan , ialah sebagai satu ketetapan dari Allah. Dan ( ingatlah ) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana ( At-Taubah : 60 )
Dalam ayat di atas jelas menunjukkan terdapat lapan asnaf mereka yang berhak dan layak
untuk menerima zakat.Dalam kertas kerja ini hanya akan membincangkan asnaf pertama dan
kedua iaitu orang-orang faqir dan miskin.
AYAT AL-QURAN DAN HADIS NABI SAW MENGENAI FAKIR DAN MISKIN
Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi SAW mengenai orang fakir dan miskin,
antaranya yang sempat kami turunkan (mafhumnya );
Zakat itu hanya diberikan kepada orang-orang fakir, yang terlantar pada jalan Allah; mereka
tidak kuasa berjalan di muka bumi. Orang-orang yang tak tahu mengira, bahawa mereka
orang kaya, iaitu orang yang berkecukupan, engkau kenal mereka dengan tanda-tanda
bahawa mereka tidak mahu mengemis kepada manusia dengan terus-terusan diketahui segala
yang engkau belanjakan dari kebaikan, sesungguhnya diketahui Allah. ( Al-Baqarah : 273 )
Dari Abdillah bin Adiy bin Al-Khiyar r.a.,; Bahawasanya dua orang lelaki mengkhabarkan
kepadanya bahawa mereka berdua telah datang kepada Rasulallah SAW untuk meminta
bahagian daripada zakat, maka baginda melihat mereka berulang-ulang dan ternyata bahawa
mereka itu adalah orang-orang gagah, maka baginda SAW bersabda : Kalau kamu mahu, aku

akan memberinya, tetapi orang yang mampu, dan yang kuat yang dapat berusaha tidak ada
hak menerima zakat. Riwayat Ahmad dan dikuatkan oleh Abu Daud dan Nasaie.
Dari Abu Hurairah r.a., Bahawasanya Nabi SAW bersabda : Bukanlah dinamakan miskin
orang-orang yang berkeliling mengemis kepada manusia, yang diberinya sesuap dua
makanan , sebiji atau dua biji tamar, tetapi dinamakan miskin ialah orang-orang yang tidak
mendapat kecukupan dan tidak diketahui orang pula tentang kemiskinannya itu, lalu orang
memberinya sedekah dan dia tidak keluar mengemis.- Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dari Sahl r.a.,beliau berkata : Telah bersabda Nabi SAW : Sesiapa yang mengemis dan di
sisinya ada makanan yang mencukupi keperluannya, maka sesungguhnya dia memperbanyak
bara api Jahannam. Seorang sahabat bertanya ; Ya Rasulallah ! Apa maksudnya makanan
yang mencukupi itu ? Rasulallah SAW menjawab; Iaitu makanan sekadar dapat
mengenyanginya untuk makan pagi dan petang. Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban.
Dari Qabisah bin Mukhariq Al-Hilali r.a., beliau berkata ; Rasulallah SAW bersabda ;
Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali bagi salah satu dari tiga orang ini; orang
yang menanggung hutang orang lain, maka hal baginya mengemis, sehingga dia dapat
membayar hutang itu. Kemudian dia hendaklah berhenti dari mengemis. Dan orang yang
kena bencana sehingga habis semua hartanya, maka halal baginya mengemis sehingga dia
mendapat penghidupan yang tetap. Dan orang yang tertimpa kesengsaraan sehingga tiga
orang yang berakal dari kaumnya berkata ; Sungguh si fulan telah ditimpa kesengsaraan,
maka halal baginya meminta-minta sehingga dia mendapatkan sandaran hidup yang tetap.
Adapun selain daripada itu hai Qabisah, adalah haram dan orang yang makan harta itu bererti
makan yang haram. Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.
FAKIR DAN MISKIN MENGIKUT PANDANGAN MAZHAB EMPAT
Oleh kerana Al-Quran menyebutkan fakir dan miskin secara berasingan, maka tentulah
kedua-dua golongan tidak sama sebagaimana yang difahami oleh kita. Dalam perundangan
Islam, setiap golongan mempunya takrif
masing-masing yang membezakan di antara mereka.
Para ulamak berbeza pendapat dalam mentakrifkan fakir dan miskin. Berikut diperturunkan
pendapat beberapa orang imam tentang takrif fakir dan miskin.
Imam Abu Hanifah menyatakan fakir ialah orang yang memiliki sedikit daripada nisab harta,
atau yang memiliki harta yang cukup nisab tetapi tidak cukup untuk memenuhi keperluannya,
ataupun nisab hartanya banyak tetapi tidak cukup untuk keperluannya, maka tidak wajib
baginya mengeluarkan zakat kerana dia adalah fakir , malah berhak pula untuk menerima
zakat. Manakala miskin pula ialah mereka yang tidak memiliki apa-apa.[3] Dengan erti kata
lain, fakir ialah yang mempunyai sebahagian keperluannya tetapi
tidak mempunyai sebahagian yang lain manakala orang miskin tidak punya apa-apa.[4]
Imam Malik pula menyatakan, fakir ialah mereka yang memiliki harta sedikit daripada
kecukupan umum.[5] Dan miskin ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.[6] Manakala
Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat fakir ialah mereka yang tidak memiliki apa-apa
ataupun tidak memiliki setengah
daripada keperluannya dan miskin ialah mereka yang memiliki setengah daripada
keperluannya ataupun lebih .[7]

Imam Syafie menyatakan , fakir ialah mereka yang tidak memiliki harta dan tiada kerjaya
yang halal atau mempunyai harta dan pekerjaan yang halal tetapi tidak mencukupi kerana
ianya sedikit daripada setengahkeperluan dan tidak ada orang yang memberinya nafkah yang
kecukupan. Miskin pula ialah mereka yang mempunyai harta atau kerjaya halal yang hanya
memenuhi setengah keperluan hidup atau lebih daripada sebahagian setengah ( tetapi masih
belum memenuhi keperluan penuh ). [8]
Secara ringkasnya, Faqir di sisi Abu Hanifah dan Malik ialah mereka yang mempunyai
sebahagian daripada keperluannya dan miskin pula ialah mereka yang tidak punya apa-apa
manakala Faqir di sisi Ahmad dan Syafie ialah mereka yang tidak punya apa-apa sedangkan
miskin ialah mereka yang memiliki sebahagian daripada keperluannya.[9]
Daripada huraian di atas, pendapat Imam Abu hanifah lebih kurang sama dengan pendapat
Imam Malik dan begitu juga pendapat Imam Ahmad bin Hanbal lebih kurang sama dengan
pendapat Imam Syafie . Pendapat Hanafi dan Maliki adalah kebalikan daripada pendapat
Hanbali dan Syafie yang mana fakir bagi Hanafi dan Maliki ialah miskin bagi Hanbali dan
Syafie dan begitulah sebaliknya.
KONSEP FAKIR DAN MISKIN MENGIKUT PANDANGAN MAZHAB SYAFIE
Al-Jaziri menukilkan pendapat Syafie tentang fakir dan miskin sebagaimana yang telah
disebutkan di atas sebagai berikut fakir ialah mereka yang tidak memiliki harta dan tiada
kerjaya yang halal atau mempunyai harta dan pekerjaan yang halal tetapi tidak mencukupi
kerana ianya sedikit daripada setengah keperluan dan tidak ada orang yang memberinya
nafkah yang kecukupan. Miskin pula ialah mereka yang mempunyai harta atau kerjaya halal
yang hanya memenuhi setengah keperluan hidup atau lebih daripada sebahagian setengah
( tetapi masih belum memenuhi keperluan penuh ).[10]
Dan status kefakiran dan kemiskinannya tidak terhapus dengan adanya rumah yang
selayaknya bagi mereka, atau mempunyai pakaian yang seumpamanya walaupun pakaian itu
untuk keanggunan. Demikian juga tidak terhapus status fakir dan miskin perempuan yang
memakai barang kemas sekadar keperluan perhiasan mengikut adat atau mereka mempunyai
kitab-kitab yang diperlukan untuk muzakarah dan rujukan. Begitu juga jika
mereka memiliki hasil usaha dari yang haram, atau harta yang berada jauh dua marhalah atau
lebih, atau piutang pada orang yang tertangguh.Semuanya ini tidaklah menghalang mereka
mendapat bahagian zakat atas sifat fakir dan miskin.[11]
Dalam Al-Majmuk, dinyatakan bahawa orang yang fakir ialah mereka yang tidak kuasa
bekerja untuk perbelanjaannya sehari-hari, tidak denganharta dan tidak pula dengan
usaha.Manakala miskin pula ialah mereka yang berupaya untuk bekerja mencari keperluan
hidup sehari-hari namun tidak cukup untuk memenuhi keperluannya.[12]
Dalam Al-Umm kitab induk mazhab Syafie, Imam Syafie menyatakan bahawa orang fakir
ialah dan Allah lebih mengetahui orang yang tiada berharta dan tiada pekerjaan yang
berhasil baginya pada suatu masa atau bukan pada suatu masa samada dia mengemis atau
tidak suka mengemis. Orang miskin pula ialah orang yang mempunyai harta atau pekerjaan
yang berhasil baginya dan tidak mencukupi samada ia mengemis atau tidak mengemis.[13]
Dalam Fathul Muin dinyatakan bahawa fakir itu ialah mereka yang tidak mempunyai harta
dan pekerjaan yang sepatutnya yang hasilnya dapat memenuhi keperluan dirinya dan orang

yang berada di bawah tanggungannya. Status kefakiran ( dan kemiskinan ) mereka tidak
terangkat walaupun mereka mempunyai tempat tinggal , beberapa helai pakaian sekalipun
pakaian cantik untuk hari-hari tertentu ( seperti Hari Raya ), mempunyai buku-buku yang
diperlukan, memiliki hamba yang diperlukan sebagai pelayan, mempunyai harta sejauh dua
marhalah, mempunyai harta di tempat yang dia tidak dapat mengambilnya kerana halangan
sesuatu, mempunyai harta piutang yang belum sampai masa pembayaran dan mempunyai
pekerjaan yang tidak selayaknya.[14]
Mengenai barang kemas yang dipakai seperlunya sebagai perhiasan untuk dipakai secara
biasa juga tidak mengangkat status kefakirannya menurut fatwa sebahagian ulama.[15]
Orang miskin pula ialah orang yang memiliki harta atau kerjaya yang dapat memenuhi
keperluannya tetapi masih belum cukup.Misalnya dia mempunyai keperluan 10 tetapi hanya
mempunyai 8 dan ia tidakmencukupi sekalipun dia memiliki harta lebih daripada satu nisab.
[16]
Dalam Fathul Qarib pula menjelaskan, fakir dalam bab zakat ialah mereka yang tidak
mempunyai harta dan tidak mempunyai penghasilan tertentu yang sekira-kira dapat
memenuhi keperluannya , manakala fakir araya ( ) ialah orang yang sama sekali tidak
mempunyai wang.
Manakala miskin pula ialah orang yang mempunyai harta atau penghasilan yang tidak cukup
untuk memenuhi keperluannya seperti orang yang memerlukan 10 dirham tetapi hanya
memiliki 7 dirham.[17]
CIRI -CIRI FAKIR DAN MISKIN
Berdasarkan kepada beberapa huraian dalam kitab-kitab mazhab Syafie di atas, dapatlah kita
simpulkan bahawa fakir dan miskin mempunyai beberapa ciri.
Ciri-ciri bagi seorang yang dikatakan faqir ialah;
Tidak mempunyai apa-apa harta yang dalam Fathul Qarib dikatakan faqir araya () .
Tidak mampu berkerjaya.
Jika ada harta atau hasil kerjayanya tidak cukup setengah dari keperluan hidup
Manakala ciri-ciri miskin pula ialah;
1. Ada harta dan kerjaya
2. Harta dan kerjayanya tidak memenuhi keperluan hidup
3. Harta atau kerjayanya hanya memenuhi setengah atau lebih dari keperluan hidup
FAKIR DAN MISKIN YANG TIDAK BERHAK MENERIMA ZAKAT
Walaupun fakir dan miskin adalah golongan yang disebut dalam nas qatie berhak atas zakat,
namun di sana terdapat beberapa golongan yang walaupun fakir tidak boleh menerima zakat.
Mereka ialah;
1. Orang kafir
Orang-orang kafir tidak berhak menerima zakat walaupun mereka itu fakir dan miskin dan
hal ini disepakati oleh para imam yang empat [18] sebagaimana dalilnya dari hadis nabi

SAW,
Serulah mereka untuk menyaksikan bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan akulah utusan
Allah.sekiranya mereka mematuhinya, beritahu kepada mereka bahawa Allah telah
meemfardukan zakat kepada mereka ; diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan
diserahkan kepada orang fakir di kalangan mereka, Riwayat Bukhari ( hadis no. 1331 ) dan
Muslim ( hadis no. 19 ).
Di sana terdapat pendapat Az-Zuhri dan Ibnu Syubrumah yang membolehkan zakat diberikan
kepada ahli Zimmah. Demikian juga menurut yang zahir dari mazhab Abu Hanifah harus
diberikan zakat fitrah dan kaffarah kepada ahli zimmah ( kafir zimmi ).[19]
2. Orang yang dibawah tanggungan
Orang yang di bawah tanggungan pembayar zakat juga tidak berhak menerima zakat atas
asnaf fakir dan miskin oleh pembayar zakat tersebut walaupun mereka itu miskin dan fakir
seperti anak-anak , cucu-cicit dan seterusnya, juga ibu, bapa, emak, datuk, nenek dan
seterusnya kerana keperluan mereka wajib dicukupkan oleh penanggung nafkah mereka.
Mereka berhak atas zakat atas asnaf lain jika mereka berkaitan.Namun, mereka boleh
menerima zakat dari orang lain jika nafkah yang diterima tidak mencukupi keperluan hidup
atas asnaf fakir dan miskin. [20] Demikian juga hamba yang dibawah tanggungan pembayar
zakat tidak boleh menerima zakat daripadanya.[21]
3. Keturunan Bani hashim dan Bani Abdul Mutalib berdasarkan hadis Nabi SAW,
Sesungguhnya sedekah ( zakat ) adalah kotoran manusia, tidak halal untuk Muhammad dan
keturunan Muhammad Riwayat Muslim
Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata : Hasan bin Ali r.a. mengambil sebiji kurma dari kurma
zakat lalu dimasukkan ke mulutnya, maka Nabi SAW bersabda; Ekh!Ekh! ( isyarat untuk
mengeluarkan dari mulut ) kemudia bersabda ; Ingat ! Kamu harus merasa bahawa kamu
tidak makan sedekah ( zakat )-Bukhari dan Muslim
Antara yang termasuk dalam Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib ialah keluarga Saidina
Ali, keluarga Abbas, keluarga Jaafar, keluarga Aqil dan keluarga Al-Haris bin Abdul Mutalib.
Demikian juga mawali Bani Hashim.[22]
Dalam al-Fiqhul Manhaji, mereka berijtihad bahawa pada hari ini Bani Hashim dan Bani
Abdul Mutalib boleh menerima zakat sekiranya mereka masuk dalam asnaf yang berhak
menerima zakat.[23]
KONSEP FAKIR DAN MISKIN KONTEMPORARI
Para ulamak hanya meletakkan ciri-ciri fakir dan miskin tanpa menentukan berapakah
nisabnya keperluan hidup seharian kerana ianya berubah mengikut keperluan semasa dan
sezaman. Dan nisab ini pula tidak sama antara satu tempat dengan satu tempat yang lain,
corak gaya hidup dan keperluan keperluan kontemporari.
Mengikut nisab sara hidup semasa kontemporari yang dikeluarkan oleh Konggres Kesatuan
Sekerja Malaysia ( MTUC ), had minimum bagi sara hidup semasa yang dikira cukup selesa
bagi sebuah keluarga 5 orang ialah RM 1,500.00 sebulan.[24] Manakala nisab yang

dikeluarkan oleh
Jabatan-jabatan Agama Islam adalah berbeza-beza mengikut negeri. Selalunya antara RM
500.00 sehingga RM 1000.00. Perbezaan ini adalah mengikut suasana setempat di negeri
masing-masing manakala pihak MTUC meletakkan had minimum kebangsaan sebagai asas
bagi tuntutan gaji minimum RM 1000.00 sebulan.
Selain daripada suasana tempat dan kos sara hidup, ia juga bergantung kepada saiz keluarga
dan tanggungannya. Seseorang yang berpendapatan RM 1000.00 sebulan dan hanya
menanggung diri sendiri atau seorang isteri tidak boleh dikatakan sebagai fakir atau miskin
walaupun hidup di kotaraya. Sebaliknya jika menanggung sehingga sepuluh orang dalam satu
keluarga yang tidak ada pendapatan lain melainkan ianya, maka bolehlah dia dikatakan
samada fakir atau miskin.
PENUTUP
Fakir dan miskin adalah hakikat kehidupan dalam komuniti sepanjang zaman. Kerana itulah
ia termasuk dalam asnaf golongan yang berhak untuk menerima zakat. Dan pemberian zakat
ini bukanlah untuk menjadikan orang yang fakir dan miskin tadi malas dan tidak mahu
berusaha untuk mencapai kejayaan hidup sebagaimana hadis-hadis sebelum ini yang
menunjukkan baginda SAW tidak gemar kepada mereka yang malas sedangkan dia ada
kemampuan, tetapi sebagai membantu kehidupan mereka sehingga mereka dapat berdikari
dengan kecukupan sara hidup.
Selain daripada bantuan ini hanya untuk memenuhkan keperluan hidup fakir dan miskin, ia
bolehlah dikembangkan kepada sumbangan yang mampu menjadikan golongan fakir dan
miskin ini memperbaiki kehidupan mereka sehingga mereka mampu pula membayar zakat.
WalLahu Alam.
BIBLIOGRAFI
1. Dr. Mustafa Al-Khin dkk, Al-Fiqhul Manhaji Ala Mazahib Al-Imam Asy-Syafie,
terj.Ridzuan Hashim, Pustaka Salam, K.L,1998,
2. Al-Jaziri, Abdul Rahman, Kitab Al-Fiqh Ala Al-Mazahib Al-Arbaah, Dar Arryan,
Kaherah, 1987
3. As-Siddiqy, Prof.Dr.T.M. Hasbi, Hukum-hukum Fiqih Islam, Bulan Bintang, Jakarta, 1983,
4. Ad-Dimasyqi, Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman, Rahmatul Ummah fi Ikhtilafi
Al-Aimmah, Darul Fikir, Beirut, 1996
5. H. Idris Ahmad S.H., Fiqh SyafiI, Pustaka Antara, K.Lumpur, 1989,Jl.1,
6. Imam Asy-Syafi, Al-Umm, terj; Prof.TK.H.Ismail Yakub, Victor Agencie,
K.Lumpur,1989, Jl.3
7. Drs. M. Aliy Asad, Terjemahan Fathul Muin,Klang Book Centre, Klang,1988
8. Qasim Asy-Syafie, Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin, Fathul Qarib, terj :
Drs.Imron Abu Amar, Klang Book Centre, Klang,1989
[1] Dr. Mustafa Al-Khin dkk, Al-Fiqhul Manhaji Ala Mazahib Al-Imam Asy-Syafie,
terj.Ridzuan Hashim, Pustaka Salam, K.L,1998, h. 278
[2] Ibid,hh.288-294
[3] Al-Jazari, Abdul Rahman, Kitab Al-Fiqh Ala Al-Mazahib Al-Arbaah, Dar Arryan,
Kaherah, 1987,h. 4
[4] As-Siddiqy, Prof.Dr.T.M. Hasbi, Hukum-hukum Fiqih Islam, Bulan Bintang, Jakarta,

1983,h.175
[5] Op.cit
[6] ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ad-Dimasyqi, Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman, Rahmatul Ummah fi Ikhtilafi
Al-Aimmah, Darul Fikir, Beirut, 1996,h.64
[10] Al-Jazari, Op.cit.
[11] Ibid
[12] H. Idris Ahmad S.H., Fiqh SyafiI, Pustaka Antara, K.Lumpur, 1989,Jl.1,h.401
[13] Imam Asy-Syafi, Al-Umm, terj; Prof.TK.H.Ismail Yakub, Victor Agencie,
K.Lumpur,1989, Jl.3,h.3
[14] Drs. M. Aliy Asad, Terjemahan Fathul Muin,Klang Book Centre, Klang,1988,hh.35-36
[15] ibid
[16] ibid
[17] Qasim Asy-Syafie, Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin, Fathul Qarib, terj :
Drs.Imron Abu Amar, Klang Book Centre, Klang,1989,175.
[18] Ad-Dimasyqi, op.cit.,64
[19] ibid
[20] Dr.Mustafa Al-Khin, op.cit.,324
[21] Ad-Dimasyqi, op.cit.,65
[22] Ibid.
[23] Dr.Mustafa Khin, op.cit.,326
[24] Laporan akhbar, BH & UM tahun 2000.
Pengagihan zakat

Eksekutif Komunikasi Korporat


Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
Bagi memastikan agihan zakat menyeluruh dan berkesan, Lembaga Zakat Selangor (LZS)
MAIS menyediakan lebih 70 jenis bantuan kepada asnaf zakat.
Bantuan zakat ini diberikan hanya kepada asnaf Fakir, Miskin, Amil, Mualaf, Fisabilillah,
Gharimin, Ibnisabil dan Riqab.
Antara bentuk bantuan yang disediakan bagi asnaf fakir ialah saguhati hari raya, rumah orang
tua, bantuan pendidikan anak-anak, bantuan perubatan, pengurusan jenazah fakir, pembinaan
rumah, baikpulih rumah, sewa rumah, kecemasan/runcit, kewangan bulanan, Plumbing &
wiring rumah, makanan bulanan, kursus/latihan dan sebagainya.
Manakala bantuan untuk asnaf miskin pula ialah sagu hati raya, penempatan di rumah
berkelompok, elaun penyelia rumah kelompok, bengkel jahitan, pusat komuniti/rumah transit,
bina dan baik pulih rumah, sewa rumah, caruman takaful berkelompok, sambutan hari
kebesaran Islam, pengurusan jenazah miskin, pendidikan anak-anak, bantuan modal
(perniagaan, perikanan, penternakan, pertanian), kewangan bulanan, bantuan makanan
bulanan, projek usahawan berkelompok, pengurusan dana amanah miskin,perbelanjaan

pengurusan pejabat Baitul Hasanah, elaun kelas pengajian/tusyen Baitul Hasanah, keperluan
asrama Baitul Hasanah, bantuan yuran sekolah ren/men, kursus/latihan dan sebagainya.
Bantuan untuk asnaf amil pula meliputi Pengurusan Intitusi Amil (belanja pentadbiran,
kajiand dan pembangunan, pemasaran & promosi, sumber manusia, prasana, komisen ejen
kutipan).
Bantuan untuk asnaf Mualaf pula ialah saguhati raya, pembinaan berkelompok,
percetakan/penerbitan, program/ceramah, bantuan kecemasan/runcit, pengurusan rumah
perlindungan, belanja pengurusan bahagian pembangunan Islam, asset mualaf, bantuan
berkhatan & perkahwinan, saguhati galakan saudara baru, sambutan hari kebesaran Islam,
pembinaan rumah individu, membaik pulih rumah, bantuan sewa rumah, pengurusan jenazah,
bantuan kewangan bulanan, bantuan modal, kursus/latihan, aktiviti/lawatan sambil belajar,
elaun kehadiran kelas agama dan guru kelas agama, bantuan umum pelajaran, dermasiswa
pelajaran dan juga bantuan perubatan.
Bantuan untuk asnaf Fisabilillah pula ialah ialah emolumen kakitangan MAIS, Baitul
Hasnah, Projek Asnaf Zakat, pengurusan & pentadbiran kakitangan projek asnaf, elaun
guru/penceramah bulanan, program forum/ceramah agama, program outreach, bantuan
persatuan/badan, kursus pegawai masjid, bantuan penyelidikan/penerbitan, program
penerapan nilai-nilai Islam, elaun bulanan pegawai masjid, imbuhan pendaftar nikah,saguhati
kaunselor sukarela, bantuan kecemasan (banjir, ribut, kebakaran), bantuan karpet
masjid/surau, bantuan bil utiliti intitusi masjid, pembinaan/baik pulih (masjid, surau, surau
sekolah,intitusi agama luar negara, sekolah agama) dan lain-lain.
Manakala bantuan untuk asnaf Gharimin pula ialah bantuan hutang kerana keperluan hidup
seperti hutang membiayai sakit kronik, hutang persatuan kerana permasalahan, pengurusan
jenazah tanpa waris dan sewa UKB- pusat rawatan dialisis.
Bantuan untuk asnaf Ibni Sabil pula berupa bantuan musafir, bantuan tiket pergi dan balik
pelajar yang belajar di luar Negara dan bantuan pelajar belajar di luar negara.
Bantuan untuk asnaf riqab pula berupa bantuan pemulihan akidah dan pemulihan akhlak.
Melalui bantuan ini LZS membantu rumah-rumah kebajikan, rumah orang tua, pemulihan
dadah dan sebagainya.
Walaubagaimanapun bantuan-bantuan yang disediakan adalah tertakluk kepada syarat-syarat
yang ditetapkan. Untuk maklumat lanjut berkenaan bantuan bolehlah menghubungi kaunter
zakat terdekat atau layari www.e-zakat.com.my.

Jenis bantuan kepada asnaf fakir miskin

LZS (MAIS) memberikan penekanan kepada lima program khusus iaitu:

Program Pembangunan Sosial


Program Pembangunan Ekonomi

Program Pembangunan Pendidikan

Program Pembangunan Institusi Agama

Program Pembangunan Insan

Melalui program tersebut, LZS (MAIS) telah merangka agenda dalam membentuk asnaf yang
bukan sahaja mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan, tetapi juga dapat
memenuhi keperluan rohani menjadi insan yang rabbani. Setiap program yang disusun ini
memberi keutamaan kepada tiga asnaf utama iaitu:

Fakir
Miskin

Mualaf

Pemilihan asnaf fakir/miskin ini dilaksanakan melalui jawatankuasa pemilihan yang


ditubuhkan dan kelayakan asnaf dinilai berdasarkan Haddul Kifayah (had kecukupan sara
hidup) yang ditetapkan.

Program Pembangunan Sosial


Bantuan Dialisis

Di bawah program ini, LZS bertanggungjawab memastikan tiada yang mengalami masalah
tempat tinggal dan nafkah sara hidup. Pelbagai bentuk bantuan telah disediakan bertujuan
untuk memenuhi keperluan asasi dan sekaligus membolehkan asnaf tersebut menjalani
kehidupan yang lebih seimbang. Antara bantuan-bantuan yang diberikan termasuklah:

Bantuan bina/baik pulih rumah.


Bantuan makanan dan kewangan bulanan.

Bantuan Ramadan dan hari raya.

Bantuan kecemasan/runcit.

Bantuan perubatan.

Bantuan rawatan hemodialisis.

Bantuan rawatan sakit kekal.

Bantuan pengurusan jenazah.

Bantuan kecemasan/bencana alam.

Bantuan musafir.

Bantuan pemurnian akidah.

Bantuan pemulihan akhlak.

Bantuan hutang kerana keperluan hidup.

Bantuan badan/persatuan untuk maslahah ummah.

Bantuan hutang perubatan/pendidikan dan kesihatan.

Bantuan untuk program sempena hari kebesaran Islam (Maulidur Rasul,


Maal Hijrah, Ramadan).

Program gotong-royong.

Program lawatan dan ziarah.

[ TONTON VIDEO "Program Pembangunan Sosial" DI SINI ]

Program Pembangunan Ekonomi


Program ini merupakan jalan keluar bagi menangani kemiskinan. Ibarat memberi pancing,
ia bukan sahaja memberikan asnaf fakir, miskin dan mualaf pendapatan lumayan, malah
mendidik mereka menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. LZS (MAIS) telah
mewujudkan dua program iaitu Program Keusahawanan dan Program Ekonomi
Berkelompok. Dalam hal ini, LZS (MAIS) telah mengambil pendekatan bagi menangani
permasalahan tersebut antaranya melalui:

Bantuan modal awal dan tambahan

Setiap asnaf akan diteliti latar belakang dan kecenderungan mereka. Proses pemilihan
adalah agak ketat kerana LZS (MAIS) mahu memastikan hanya mereka yang benarbenar layak sahaja dipilih. Layak dalam erti kata ada kebolehan, minat berniaga dan
keinginan untuk belajar serta kemampuan fizikal.
Bantuan modal akan diberi setelah jenis perniagaan (yang berpotensi) ditetapkan.
Bentuknya lebih berupa peralatan dan modal kerja seperti mesin, barang keperluan
perniagaan serta sewaan premis.
Bagi kategori modal di bawah RM5,000.00, adalah untuk asnaf fakir, miskin dan
mualaf yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga nasi lemak,
pisang goreng, mesin rumput dan sebagainya.
Manakala bantuan modal RM5,000.00 hingga RM50,000.00 adalah untuk asnaf fakir,
miskin dan mualaf yang menjalankan peniagaan berskala besar seperti restoran, kedai
dobi, makanan tradisional, bengkel kenderaan dan sebagainya.
Bantuan modal meliputi:

o
o

Bantuan Modal Perniagaan


Bantuan Modal Perikanan

Bantuan Modal Pertanian

Bantuan Modal Penternakan

Kursus Dan Latihan pembangunan Usahawan

Dalam membangunkan usahawan, LZS (MAIS) telah memberi peluang kepada asnaf
menjalani pelbagai latihan dan kursus dalam usaha membudayakan usahawan.
Antaranya ialah kursus perintis usahawan, kursus pemasaran dan kursus imej diri.
Selain daripada itu, LZS (MAIS) juga mengadakan kerjasama dengan agensi luar
seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Institut Latihan Islam Malaysia
(ILIM) dalam mempelbagaikan lagi ilmu usahawan untuk asnaf.
LZS (MAIS) juga telah menubuhkan Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ)
yang bersifat seperti sebuah konsortium atau komuniti usahawan asnaf bagi
mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih luas dan kukuh. Ahli-ahli terdiri
daripada asnaf yang telah menjadi usahawan di bawah LZS (MAIS) dan segala
aktiviti keusahawanan dilaksanakan melalui konsortium ini.

[ TONTON VIDEO "Program Pembangunan Ekonomi" DI SINI ]

Program Pembangunan Pendidikan


Program Pembangunan Pendidikan merupakan agenda utama LZS (MAIS) dalam membantu
anak asnaf maju dalam pendidikan. Pendidikan merupakan aset yang mampu mengubah
kehidupan asnaf agar tidak mewarisi kemiskinan keluarga dan mampu berjaya dalam
kehidupan.
Melalui program ini juga, membuka peluang kepada anak-anak asnaf terutamanya anak asnaf
fakir dan miskin untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang lebih tinggi serta
bebas daripada buta huruf.
Di bawah program ini, LZS (MAIS) menyediakan dua kategori bantuan iaitu:

Bantuan pendidikan Kepada Asnaf Fakir dan Miskin

Bantuan dermasiswa zakat

LZS (MAIS) menyediakan bantuan kepada asnaf fakir miskin di dalam dua jenis
bantuan, iaitu bantuan kewangan dan bantuan fizikal. Melalui bantuan kewangan,
LZS (MAIS) membiayai pembayaran yuran sekolah termasuklah yuran sekolah
agama dan kelas tambahan. Manakala bagi aspek fizikal, LZS (MAIS) menyediakan
bantuan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, beg, stoking dan kasut.
LZS (MAIS) turut membantu keperluan pengangkutan seperti basikal dan yuran bas
sekolah. Jumlah bantuan yang diberikan ialah pra sekolah sebanyak RM100.00,
Darjah 1 hingga 6 (RM150.00) dan Tingkatan1 hingga 6 (RM250.00). Bantuan ini
diberikan hanya sekali setahun.
Selain itu, LZS (MAIS) turut menyediakan asrama untuk anak asnaf fakir miskin
(Baitul Hasanah) agar tumpuan terhadap pembelajaran dapat dilaksanakan. Sehingga
kini terdapat tiga buah asrama Baitul Hasanah iaitu di Hulu Selangor, Kuala Selangor
dan yang terbesar di Perepat, Klang.
Bagi anak asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian
Tinggi
Awam/Swasta
(IPTA/S),
LZS
(MAIS)
menyediakan
bantuanpembiayaanyuranpengajian.LZS(MAIS)
jugamenyediakan
bayaran
pendahuluan persediaan pendaftaran dan peralatan keperluan pendidikan (antaranya
peralatan kelengkapan kepada pemohon merangkumi pendaftaran, buku rujukan,
pengangkutan, sewa penginapan, cermin mata, komputer riba, keperluan lain yang
diwajibkan oleh IPT dan Sumbangan Program Kelab mahasiswa asnaf).

Selain itu, LZS (MAIS) juga, membiayai perbelanjaan elaun sebanyak RM300.00
untuk sara hidup (wang saku) secara bulanan. LZS (MAIS) juga membantu
pembayaran yuran pengajian anak-anak asnaf yang melanjutkan pelajaran sepenuh
masa ke pusat latihan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan dan IPTA/S dalam
negara yang diiktiraf oleh MQA Malaysia.

Bantuan pendidikan peruntukkan Fisabililah

Pelajar Cemerlang

Bagi asnaf fisabilillah, LZS (MAIS) menyediakan dua jenis bantuan iaitu bantuan
umum pelajaran dan dermasiswa pelajar untuk pelajar yang menyambung pelajaran ke
Mesir, Jordan dan Morocco di dalam bidang Pengajian Islam dan perubatan.
Bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Mesir dan mengambil kursus Pengajian
Islam, bantuan adalah sebanyak RM7,500.00 untuk setahun. Bagi pelajar yang
mengikuti kursus perubatan pula mereka diberi bantuan sebanyak RM130,000.00
untuk 6 tahun. (Bantuan bergantung kepada kemampuan pemohon)
Bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Jordan yang mengambil kursus Pengajian
Islam, bantuan adalah sebanyak RM16,000.00 setahun. Bagi pelajar yang melajutkan
pelajaran ke Morocco yang mengikuti kursus Pengajian Islam, bantuan yang
diberikan adalah sebanyak RM13,000.00 untuk setahun.
Manakala bantuan umum pelajaran pula, bagi IPTA/S LZS (MAIS) memperuntukan
bantuan hanya sekali setahun bergantung pada kursus yang diambil pelajar iaitu
sebanyak RM500.00 (sijil), RM700.00 (diploma), RM1,000.00 (Ijazah Sarjana
Muda), Sarjana (RM1,500.00) dan Ijazah Doktor Falsafah sebanyak RM3,000.00.
Bagi pelajar sekolah rendah/menengah pula, LZS (MAIS) memperuntukkan bantuan
sekali setahun berbentuk wang tunai bagi menampung yuran persekolahan. (jumlah
bergantung kepada kadar yang ditentukan).

[ TONTON VIDEO "Program Pembangunan Pendidikan" DI SINI ]

Program Pembangunan Intitusi Agama

Salah sebuah surau yang menerima agihan zakat dari LZS

Sejumlah besar wang zakat telah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan institusi agama
seperti masjid, surau, sekolah agama dan surau sekolah di seluruh Selangor.
Ia bertujuan menjamin kebajikan dan keselesaan, di samping mengatasi masalah struktur
bangunan dan kerosakan agar pembinaan institusi agama dapat dilaksanakan dengan
sempurna. Bukan setakat itu sahaja, pembinaan dan baik pulih institusi agama ini juga, akan
dipantau supaya menepati spesifikasi pembinaan, agar kualiti pembinaan benar-benar
terjamin demi keselamatan dan keselesaan umat Islam.
Berikut adalah antara bentuk agihan zakat Program Pembangunan Institusi Agama:

Bantuan karpet masjid/surau.


Bantuan peralatan masjid/surau.

Bantuan pembinaan/baik pulih masjid.

Bantuan pembinaan/baik pulih surau.

Bantuan pembinaan/baik pulih surau sekolah.

Bantuan pembinaan/baik pulih institusi agama luar negara.

Bantuan pembinaan/baik pulih sekolah agama.

Bantuan keperluan/peralatan/perabot sekolah.

[ TONTON VIDEO " Program Pembangunan Institusi Agama" DI SINI ]

Program Pembangunan Insan

Kursus hijrah ilmu

Program ini diwujudkan khusus untuk merencana dan memperkasakan golongan asnaf fakir
dan miskin melalui program, kursus dan latihan kemahiran. Ini merupakan salah satu usaha
LZS (MAIS) melahirkan golongan asnaf yang berkeyakinan, berdaya saing, berkemahiran,

berilmu dan beriman sejajar dengan pembangunan modal insan yang diuar-uarkan oleh
negara.
Perlaksanaannya adalah selaras dengan pembangunan Modul Hijrah dan kursus yang direka
bentuk khusus untuk golongan ini merangkumi semua golongan sasar iaitu seisi rumah asnaf
fakir dan miskin. Modul Hijrah terdiri daripada Hijrahku (Bina Insan), Hijrah Ilmu, Hijrah
Institusi (belia, remaja dan keluarga) dan Hijrah ad-Dirosah. Selain itu, modul hijrah ini juga
disulami dengan Kursus Cemerlang Skor A, Kursus Kejiranan, Kursus Persiapan Menghadapi
Peperiksaan dan Kerjaya, Kursus Tahsinul Ibadah serta Kursus Tahsinul Quran.
Dengan kata lain, program ini diadakan khusus untuk membentuk diri umat Islam
(terutamanya asnaf) yang seimbang di dunia dan akhirat

You might also like