Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 13

Fungsi Pantun dalam Masyarakat Melayu Tradisional

Oleh Mohd Khairi bin Ariffin (PISMP-BM, IPG-KKB)

1.0

PENGENALAN

Sejarah telah membuktikan betapa sesungguhnya corak hidup masyarakat dan bangsa
Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama seperti pantun dan
peribahasa. Zaba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965: 219),
mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal
kepunyaan masyarakat Melayu. Oleh itu, umum telah menerima bahawa pantun adalah
ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India
atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat
Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989:
122).

Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam semulajadi seperti alam


tumbuhan, haiwan dan cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa
tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di
laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989: 115)
menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang dan simbol-simbol daripada alam
perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Lantaran itulah pantun dikaitkan
dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi
sebagai sumber pengajaran dan nasihat.
Pantun dapat berfungsi dalam hampir setiap aktiviti kehidupan masyarakat
Melayu (Jamilah Hj. Ahmad, 1993: 114). Terdapat pelbagai jenis pantun yang
mempunyai tema tertentu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang, pujipujian, nasihat, agama, adat, telatah dan corak hidup masyarakat. Tema yang ingin
diketengahkan, disisipkan dengan latar alam. Oleh sebab alam itu indah, maka unsurunsur alam diaplikasikan di dalam setiap rangkap pantun yang disampaikan atau
dicipta. Segala pengalaman hidup, pandangan hidup dan falsafah yang ingin
dikemukakan di dalam pantun menggunakan latar alam sebagai pembayang. Unsur-

unsur sedemikian secara tidak langsung memperlihatkan keakraban masyarakat


Melayu lama dengan alam semulajadi.
2.0

DEFINISI PANTUN

Pantun merupakan puisi melayu yang paling popular jika berdasarkan daripada penggunaannya
yang paling meluas. Puisi ini juga yang paling mendapat perhatian para pengkaji untuk diteliti,
tidak kira pengkaji tempatan ataupun pengkaji luar. Pantun juga merupakan puisi melayu yang
tidak diragui sifat keasliannya.

Dalam bahasa Jawa, pantun dikenali sebagai parikan

dan dalam bahasa Sunda dikenali sebagai paparikan. Lazimnya pantun terdiri atas empat larik
(atau empat baris bila dituliskan), bersajak akhir dengan pola a-b-a-b (tidak boleh a-a-a-a, a-a-bb, atau a-b-b-a). Pantun pada mulanya merupakan sastera lisan dan sekarang telah dapat dijumpai
pantun yang bertulis hasil nukilan atau karya seseorang.
Harun Mat Piah (1989) telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan
luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetika dan isi (tema dan
persoalan). Unsur estetika pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan
penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan
pandangan dunia masyarakat Melayu, dan yang kedua, berdasarkan hubungan makna antara
pasangan pembayang dengan pembayang maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.
Berdasarkan pada aspek isi (tema dan persoalan) pantun biasanya menyentuh hampir
seluruh kehidupan masyarakat melayu. Daripada penelitian terhadap isi juga telah membawa
kepada pengelompokan pantun yang lebih sistemetik. (Harun Mat Piah, 1989:63), seperti pantun
kanak- kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat, pantun tekateki, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat dan pendidikan, pantun agama dan
kepercayaan, pantun adat, pantun peribahasa, pantun naratif atau cerita dan sebagainya.
3.0

FUNGSI PANTUN DALAM MASYARAKAT MELAYU

3.1

Menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih

Seseorang yang berbudi ialah seorang yang membuat jasa dan berjasa kepada orang
yang menerima budi baktinya. Begitu juga budi yang baik begitu tinggi nilai estetikanya

ibarat emas dan oleh sebab tidak ternilai inilah budi itu dikenang sehingga dibawa mati.
Namun begitu, oleh sebab terlalu menerima budi, seseorang itu seharusnya tidak
termakan budi sehingga ia berjiwa hamba, terikat kepada orang yang telah banyak
menabur budi, terlalu mudah tidak tahu berkata tidak dan tidak tahu batas dan
sempadan. Berikut merupakan dua contoh pantun budi yang menzahirkan penghargaan
dan ucapan terima kasih :
1) Pisang emas di bawa belajar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Berdasarkan pada pantun di atas, dapat dilihat secara luas tentang nilai budi
yang berlaku terhadap masyarakat kita pada zaman dahulu kala. Hutang emas
walaupun banyak dan melimpah ruah dapat juga dijelaskan walaupun secara beransuransur sehinggalah jumlah hutang itu mengecil dan selesai dibayar. Keadaan ini berbeza
dengan budi, hutang budi seseorang manusia tidak dapat dinilai dengan emas atau
intan berlian hatta permata sekalipun. Kesudahannya, hutang budi tidak dapat dibayar
sehingga kita meninggal dunia sekali pun.
Budi pula tidak terhad kepada pemberian sesuatu benda sahaja bahkan tenaga
dan bahasa yang lemah lembut itu juga dianggap sebagai budi yang tidak ada nilai
komersilnya.
Budi yang dizahirkan ini akan dikenang oleh orang yang menerimanya. Misalnya
sekiranya kita menyelamatkan nyawa seseorang daripada menimpa kecelakaan atau
kemalangan terutama yang melibatkan nyawa, maka budi kita akan diingati selamanya
selagi hayat dikandung badan. Nilai keluhuran budi itu lebih memberi kesan kepada
penerimanya sekiranya kita mengambil contoh pemberian sedekah, bantuan berbentuk
wang tunai atau kerja buat, cederahati kenang-kenangan kepada orang-orang miskin
atau mereka yang memerlukan dalam meringankan beban kerja atau kos sara hidup
yang perlu ditanggung dalam meniti kehidupan di dunia ini disebabkan faktor
kesempitan hidup, masalah kesihatan dan tidak berpendidikan.

2) Bunga melati bunga di darat,


Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Berdasarkan pantun di atas, dapat dilihat betapa perlunya seseorang itu berbudi
kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat pada zaman dahulu kala amat
mementingkan nilai budi dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat zaman dahulu
kala amat menganggungkan budi kerana sekiranya seseorang pemuda ingin berkahwin
dengan seorang pemudi, perkara pertama yang akan dilihat oleh ibu bapa pemudi itu
ialah bakal menantunya berbudi atau tidak, begitu juga sebaliknya ibu bapa pemuda
yang memasuk meminang untuk anak mereka akan menilai dahulu sama ada bakal
menantunya berbudi atau tidak. Sekiranya didapati tidak berbudi secara langsung
ikatan yang terjalin akan terbatal.
Kesimpulanya, pantun budi sudah digunakan oleh masyarakat dahulu sejak
turun-temurun dalam kehidupan seharian mereka. Masyarakat Melayu zaman dahulu
memandang tinggi orang yang berbudi lebih daripada segalanya . Selain itu juga,
kebanyakan perbuatan seharian dibuat dengan pantun dengan tujuan menzahirkan
penghargaan dan ucapan terima kasih, memberi nasihat dalam adat berkahwin dan
lain-lain lagi. Hal ini demikian kerana pantun menjadi wadah dan wahana yang
digunakan untuk menyampaikan dan menjelaskan sesuatu yang penting kepada
masyarakat dan mudah difahami oleh masyarakat tradisional Melayu.
3.2

Tujuan adat istiadat

Pantun adat yang diamalkan sejak dari dulu lagi masih diteruskan sehingga ke dewasa
ini. Antaranya ialah adat perkahwinan, adat pusaka, adat manusia, dan sebagainya.
Antara fungsi pantun adat ini ialah sebagai alat untuk mendidik dan mengajar
masyarakat tentang kehidupan ke alam berumah tangga. Selain itu, pantun juga
digunakan sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan nasihat. Berikut disertakan
dua contoh pantun adat dan huraiannya :

3) Ikan berenang di dalam lubuk,


Ikan belida dadanya panjang;
Adat pinang pulang ke tampuk,
Adat sireh pulang ke gagang.
Berdasarkan pantun di atas, ianya jelas menggambarkan tentang adat
perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi dan diamalkan
sehingga ke hari ini. Pantun ini dipertahankan dan menjadi kebanggaan orang Melayu.
Pantun ini menceritakan tentang sudah menjadi lumrah atau menjadi kebiasaannya
pinang akan pulang ke gagang begitu juga dengan manusia akan memilih pasangan
hidupnya apabila sudah sampai serunya. Setiap lelaki akan mencari seorang
perempuan untuk menjadi pasangan hidupnya. Pada kebiasaannya, pihak lelaki akan
menghantar rombongan untuk merisik perempuan yang ingin dikahwininya itu. Di dalam
pantun adat ini, seorang lelaki akan bertindak sebagai ketua yakni selalunya bapa
kepada anak lelaki dan rombongannya ke rumah pihak perempuan dan merisik tentang
latar belakang gadis tersebut dan menyatakan tujuan mereka berkenaan hasrat
pemuda yang ingin mengahwini gadis itu.
4) Buah berangan di rumpun pinang,
Limau kasturi berdaun muda;
Kalau berkenan masuklah meminang,
Tanda diri beradat budaya.
Pantun di atas pula menghuraikan tentang adat meminang. Dalam pantun
tersebut menerangkan bahawa jika seseorang itu terpikat atau jatuh hati kepada
seseorang, beliau haruslah mengikut adat, iaitu meminang supaya kita dikenali oleh
masyarakat seoarang yang beradat. Dalam konteks ini, adat meminang sangat
dititikberatkan oleh masyarakat Melayu untuk membolehkan pasangan mengenali latar
belakang diri masing-masing. Dalam masyarakat Melayu, adat meminang sangat
penting kerana pada masa itulah ibu bapa kedua-dua belah pihak dapat berbincang
mengenai tarikh perkahwinan yang akan dilangsungkan, belanja perkahwinan dan

sebagainya. Adat meminang juga sangat penting untuk memberitahu bahawa gadis
tersebut sudah berpunya. Sebelum adat meminang dilangsungkan, pihak lelaki
haruslah merisik terlebih dahulu perempuan tersebut untuk memastikan perempuan
tersebut bukan milik orang lain.
Kesimpulannya, pantun adat adalah bertujuan untuk memartabatkan adat
sesebuah masyarakat terutamanya masyarakat Melayu. Ini kerana, masyarakat Melayu
sangat berpegang pada adat. Dalam konteks ini juga, terdapat banyak pepatah serta
ungkapan yang merujuk kepada perlaksanaan sesuatu adat itu, tetapi kebanyakan adat
adalah merujuk kepada peraturan kehidupan masyarakat tersebut. Dalam hal ini, dapat
dirumuskan bahawa pantun bukan sahaja berfungsi menyampaikan mesej sematamata, tetapi ia menerangkan tentang kehidupan sesebuah masyarakat itu bagaimana ia
berlaku dan berkesudahan.
3.3

Meluahkan rasa kasih sayang dan kerinduan.

Pantun Melayu juga digunakan untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam
kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira batasan umur, sama ada rasa sayang
teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantunpantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, pujipujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam.
Berdasarkan pantun kasih sayang, nasihat yang cuba disampaikan oleh
pengkarya ialah mengenai kasih sayang. Kasih sayang merupakan satu perasaan cinta,
kasih dan sayang kepada seseorang. Erti kata kasih sayang boleh dibahagikan kepada
tiga bahagian iaitu cinta antara manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan dan
manusia dengan alam. Perasaan sayang selalunya akan disampaikan melalui pantun
oleh masyarakat tradisional dalam menyampaikan hasrat mereka. Hal ini telah
memperlihatkan bahawa masyarakat tradisional sangat mementingkan kesopanan dan
kesantunan terutamanya dalam berkasih sayang. Perasaan kasih sayang merupakan
hukum alam yang tidak dapat dihalang oleh manusia daripada terus belaku kerana

ianya sudah ditakdirkan oleh Ilahi. Berikut merupakan dua contoh pantun kasih sayang
dan penerangannya :
5) Bunga melur di atas titi,
Mari dibungkus di dalam kertas;
Dalam telur lagi dinanti,
Inikan pula sudah menetas.
Pada rangkap pertama pantun kasih sayang di atas memaparkan mengenai
ajaran tentang kesetiaan iaitu kepatuhan dan ketaatan seseorang dalam melakukan
sesebuah perhubungan seperti dalam persahabatan, percintaan, dan sebagainya.
Kesetiaan dalam perhubungan perlulah berpegang teguh kepada janji bagi memastikan
perhubungan dapat berjalan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan dan kejujuran.
Rangkap pertama cuba menceritakan mengenai kesetiaan seorang jejaka menunggu
kekasihnya tanpa mengira waktu. Dalam perhubungan, kesetiaan perlu wujud bagi
memupuk nilai kasih sayang antara insan. Secara tidak langsung dapat mendisiplinkan
diri serta mematangkan seseorang dalam melakukan perhubungan. Seandainya ajaran
ini tidak diamalkan nescaya sesebuah hubungan itu tidak akan dapat bertahan lama
malah masyarakat juga akan turut berpecah belah kerana konsep kesetiaan dan
ketaatan tidak dilaksanakan dalam perhubungan.
6) Lama sudah tidak ke ladang,
Padi sudah dililit kangkung;
Selama tuan tidak kupandang,
Putus hati pengarang jantung.
Rangkap kedua pula mengutarakan ajaran mengenai keprihatinan iaitu
masyarakat mestilah mempunyai sifat timbang rasa dalam perhubungan. Sifat ini hanya
boleh dimiliki oleh mereka yang meletakkan dirinya di tempat orang yang hendak
diambil perhatian. Ajaran ini sangat sesuai bagi mereka yang sedang bercinta. Di
samping itu, dapat menguntungkan seseorang dan mengukuhkan lagi perhubungan

agar aman dan harmoni. Sikap keprihatinan ini ama jelas pada rangkap terakhir ketika
si gadis tidak memandang lelaki lain selain daripada kekasihnya. Keprihatinan ini wajar
diikuti oleh masyarakat agar dapat mewujudkan satu perhubungan yang kukuh
seterusnya dapat memupuk sikap keprihatinan terhadap keluaraga, kekasih mahupun
masyarakat. Sekiranya sikap keprihatinan tidak diamalkan dalam perhubungan maka
ianya tidak akan bertahan dengan lama kerana wujud sikap pentingkan diri sendiri.
Oleh sebab itu, sikap ini sangat penting dalam perhubungan dan seharusnya
dilaksanakan oleh masyarakat setempat dinihari.
Kesimpulannya, pantun kasih sayang menggambarkan identiti kehidupan masyarakat
Melayu. Pantun ini juga amat memainkan peranan dalam mempengaruhi gaya hidup
masyarakat baik dari peringkat kanak-kanak mahupun dewasa. Pengaruh pantun
merangkumi aspek daya fikir, beradat, berbahasa dan juga menggambarkan kehidupan
masyarakat Melayu. Oleh itu, masyarakat kini perlu sedar itu mereka mesti
mempertahankan pantun kasih sayang agar boleh bertahan hingga ke generasi akan
datang dan tidak ditelan perubahan zaman.
3.4

Untuk sindiran dan tempelak

Mengapakah orang Melayu tidak suka berterus terang? Menurut Fatimah Busu,
(1922:22) kesopanan yang terbit daripada rasa malu dan segan dalam kalangan
masyarakat Melayu telah menimbulkan satu cara hidup yang tidak suka berterus
terang. Selalu ada pengertian-pengertian yang lain di sebalik rangkai kata-rangkai kata
yang dituturkan. Dalam membuat teguran ini, maka lahirlah pelbagai bentuk bahasa
kiasan bagi menggambarkan sikap rendah diri dan sifat kesopanan. Sindir- menyindir
juga memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar mesej yang cuba
disampaikan itu berkesan dan indah. Berikut merupakan dua contoh pantun kias ibarat
dan penerangannya :
7) Pondok robek makan api,
Anak Cina main teropong;
Katak bertingkir besar hati,
Dapat dunia bawah tempurung.

Dalam pantun tersebut, karikatur katak memberi satu kiasan terhadap sifat
manusia yang tiada pegangan atau pendirian. Manusia sebegini tidak akan berusaha
untuk memajukan diri sendiri tetapi hanya menerima takdir yang telah ditetapkan
kepadanya dengan rasa gembira. Sudah pasti kehidupan bawah tempurungnya itu tidak
akan membawanya ke mana-mana kerana sifat ingin mengetahui dan ingin maju tidak
ada padanya. Dalam kiasan ini, ada pelajaran iaitu pendengar mengambil sesuatu
episod yang diceritakan sebagai situasi yang dapat dipelajari dan cuba mengandaikan
atau mengaplikasikan dirinya dengan situasi tersebut. Ibarat dan kias menjadi jambatan
untuk makna atau maksud sosial dan moral sastera.
8) Ayam dikepuk dipanggil pulang,
Kain tercarik tersangkut duri;
Usah ditepuk air di dulang,
Kelak terpercik muka sendiri.
Pantun tersebut membawa peringatan yang amat berguna kepada kita supaya
tidak memburuk-burukkan saudara atau orang yang rapat dengan kita. Umpama
menepuk air di dalam dulang, perbuatan mengumpat, mengata saudara mara atau
sahabat handai akan mengundang keburukan kepada diri sendiri kelak. Segala
kekurangan yang dimiliki oleh saudara mara atau sahabat handai hendaklah
disembunyikan tanpa pengetahuan orang luar.
Sebagai kesimpulan, penggunaan kias ibarat ini sudah pasti menjadi perhiasan
bagi mencantikkan bahasa kerana bahasa kiasan banyak menggambarkan keindahan
alam dan pemilihan lambang atau simbol itu pula begitu cantik. Apa yang lebih penting
ialah penggunaan kias ibarat berperanan menjadi pelindung sesuatu perkara yang tidak
ingin dinyatakan secara terang-terangan. Dengan adanya bahasa kiasan, perasaan
malu atau takut kerana tidak manis didengar orang dapatlah disembunyikan.
3.5

Menyampaikan mesej berunsur keagamaan

Pantun agama ialah pantun yang mengandungi aqidah, hukum, dan keimanan kepada
Allah. Pantun agama menerangkan tentang ketuhanan, pahala, dosa, akhirat, hidup,
mati, dan lain-lain lagi. Pantun ini juga menyeru umat Islam supaya taat dan sentiasa
melakukan perkara yang disuruh oleh Allah dan meninggal segala larangan-Nya. Selain
itu, pantun ini memberitahu umat Islam tentang setiap perbuatan yang dilakukan akan
mendapat balasan sama ada baik atau buruk. Berikut merupakan dua contoh pantun
agama dan penerangannya :
9) Redup bulan nampak nak hujan.
Pasang pelita sampai berjelaga;
Hidup mati di tangan tuhan,
Tiada siapa dapat menduga.

Rangkap pantun di atas menjelaskan maksud redup bulan nampak nak hujan
ialah sesuatu perkara yang hendak berlaku mesti ada petandanya. Contohnya, bulan
yang redup menandakan hujan akan turun. Baris kedua pula, pasang pelita sampai
berjelaga bermakna hidup manusia ada peraturannya hidup dan mati manusia tidak
dapat diduga kerana segalanya hanya Allah yang menentukan. Setiap manusia tidak
tahu ajalnya bila akan tiba dan Allah sahaja yang mengetahuinya serta Allah yang telah
menentukan takdir untuk setiap manusia sejak azali lagi. Selain itu, Allah
mengkehendaki apa yang Dia kehendaki iaitu akan terjadi sesuatu itu atas
kemahuannya. Contohnya, bayi yang baru lahir dalam tempoh sehari boleh mati
dengan kehendak-Nya tidak lebih atau kurang walaupun sesaat.
10) Sayang-sayang buah kepayang,
Buah kepayang hendak dimakan;
Manusia hanya mampu merancang,
Kuasa Allah yang menentukan.
Rangkap kedua pantun agama menceritakan mengenai sayang-sayang buah
kepayang iaitu maksudnya walaupun manusia cuba merancang atau menentukan

sesuatu seperti manusia suka akan buah kepayang tetapi kuasa Allah yang
menentukan segalanya. Selain itu, buah kepayang hendak dimakan seperti manusia
yang mahu makan buah kepayang tetapi hanya Allah yang berhak atas manusia yang
diciptanya. Manusia boleh merancang berbagai perkara dan berharap akan terlaksana
seperti mana yang dirancang walaupun mengetahui yang menentukan takdir hanyalah
Allah S.W.T. kuasa Allah tiada siapa hanyalah hambanya.
Kesimpulannya, pantun agama merupakan sebuah pantun yang berunsurkan
nilai keagamaan. Dalam pantun agama terselit unsur-unsur nasihat serta pengajaran
yang berguna bagi dijadikan panduan kepada seluruh genap masyarakat. Pantun
agama dapat membentuk serta membina nilai-nilai murni dalam diri seseorang kerana
di dalamnya terkandung makna-makna tersirat dan dapat dijadikan pedoman. Tidak
dapat dinafikan pantun agama memang terdapat pengajaran yang berguna kerana
melalui pantun tersebut sekali gus dapat mendidik dan mengajar kita berkaitan ilmu
agama sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi.
4.0

KESIMPULAN

Sejak daripada zaman purba lagi pantun telah wujud dalam kehidupan masyarakat
Melayu. Pantun ialah puisi tradisional Melayu turun-temurun yang tertua di dalam
budaya Melayu. Pantun berbeza berbanding dengan syair. gurindam, seloka, rubai,
ghazal dan sebagainya kerana mempunyai kedudukan tersendiri sebagai alat untuk
menyatakan hajat, pembayang niat, bunga istiadat, pembuka kata, penamat bicara,
pengucapan rindu dagang yang merantau. Karya klasik Melayu ini mempunyai nilai
estetikanya yang tersendiri. Di sebalik nilai tersebut terdapat pula maksud yang tersirat
atau abstrak dan memerlukan kajian yang mendalam untuk memahami maksud di
sebaliknya. Sebagai generasi baru, kita hendaklah sentiasa melakukan kajian tersebut
agar nilai-nilai yang terdapat dalam karya klasik Melayu tidak pupus di telan zaman.
Pengaruh pantun dalam masyarakat melayu sangat luas kerana telah dijadikan
sebagai alat berkomunikasi untuk menyampaikan isi hati dan hajat seperti sanjungan,
pemujaan dan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seseorang

dalam sesuatu keadaan, upacara atau majlis rasmi atau hal-hal yang tidak rasmi. Selain
itu, pantun juga dianggap sebagai alat hiburan, alat pendidikan dan alat menguji
ketajaman akal dan kehalusan perasaan serta sebagai alat untuk mendapatkan
gambaran masyarakat. Pantun juga menjadi medium untuk menyampaikan mesejmesej atau pesanan berbentuk keagamaan. Di samping itu juga, pantun berpontensi
menjadi sindiran atau tempelak yang ditujukan kepada seseorang dengan niat untuk
mendidik dan membetulkan jati diri atau sahsiah individu atau mereka yang berkenaan
supaya mereka mampu memperbaiki diri dan berubah ke arah yang lebih baik.
Justeru, marilah kita bersama-sama mengembang dan menyuburkan pusaka
lama ini agar kesusasteraan Melayu bangsa kita akan bertambah maju dan kekal
umpama tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan. Pantun merupakan puisi yang
begitu diminati oleh orang-orang Melayu hinggalah ke dewasa ini. Dengan mempelajari
pantun Melayu, kita dapat mengenali masyarakat Melayu yang melahirkan pantun. Kita
dapat mengenali masyarakat Melayu melalui pantun dan kita akan mengenali pantun
melalui kenalnya kita dengan masyarakat Melayu kerana kedua-dua ini mempunyai
perkaitan yang sangat rapat dan akrab. Inilah peninggalan pusaka nenek moyang
mewariskan kepada kita dari pujangga tak bernama, khazanah yang memperkayakan
perbendaharaan sastera kita.
RUJUKAN
Ab. Rahman Ab. Rashid, Rosli Saludin, Zakaria Perngis. (2005). Mutiara Sastera
Melayu Tradisional. Selangor : Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Annas Haji Ahmad. (1998). Sastera Melayu Lama dan Baru. Selangor : Masa
Enterprise.
Awang Sariyan. (2007). Falsafah dan Logika Melayu. Selangor : Synergymate
Bhd.

Sdn.

Hashim Hj. Musa. (2001). Falsafah, Logik, Teori Nilai Dan Etika Melayu. Kuala
Lumpur : Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan
Fungsi . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham, Abdul
Rahman Kaeh dan Jamilah Hj. Ahmad. (2000). Kesusasteraan Melayu

Tradisional.

Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.


Tenas Effendy. (2007). Khazanah Pantun Melayu Riau. Kuala Lumpur : Dawama
Sdn.Bhd.
Zainal Abidin Ahmad. (1965). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Media elektronik
Pantun Melayu. Diperoleh Ogos 21, 2010 dari
http://melasayang.4t.com/pantun.htm
http://dpmp238.blogspot.com/2011/05/indahnya-bahasa-dalam-pantun-melayu.html
http://hairiebmtutor.wordpress.com/koleksi-pantun-kini/

You might also like