Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 12

1

PENDAHULUAN

Perkahwinan merupakan salah satu perkara yang disyariatkan oleh Allah Taala
kepada manusia. Antara objektif disyariatkan perkahwinan adalah untuk mewujudkan
kerjasama antara suami dan isteri dalam mendidik dan menjaga keturunan mereka.
Perkahwinan juga memelihara kehormatan pasangan suami isteri daripada terjebak
dalam perkara yang dilarang oleh Allah seperti berzina. Namun begitu, disebalik
keindahan perkahwinan, terdapat juga masalah-masalah

yang timbul pada

kemudiannya yang menyebabkan perkahwinan tersebut tergugat.


Kesan daripada masalah ini pada akhirnya akan menyebabkan terbubarnya
ikatan perkahwinan antara si suami dan si isteri. Pembubaran perkahwinan terjadi
disebabkan pelbagai perkara. Antaranya ialah talaq, khuluq, fasakh, dan lian. Dalam
artikel ini, penulis akan menyatakan serba sedikit mengenai pembubaran perkahwinan
yang disebabkan oleh lian.

PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN LIAN

Definisi Lian
Perkataan lian berasal daripada kalimah arab iaitu al-lanu yang bermaksud jauh atau
laknat. Dalam erti yang lain, lian juga bermaksud jauh daripada rahmat Allah. Hal ini
demikian kerana suami dan isteri yang saling berlian akan menyebabkan mereka
terpisah untuk selama-lamanya dan diharamkan kembali sebagai pasangan suami
isteri.
Secara terminologi, lian merupakan suatu ucapan sumpah yang dilakukan
oleh seorang suami kepada isterinya dengan lima kali sumpah dan pada sumpah yang
terakhir si suami mengucapkan sumpah yang diikuti dengan laknat Allah ke atasnya
sekiranya dia berdusta.
Dari segi istilah pula, lian ialah sumpah laknat kerana berlakunya tuduhan
qazaf oleh suami terhadap isterinya, sama ada untuk menafikan nasab anak yang
dikandung oleh isteri ataupun menuduh isterinya melakukan zina.
Sebagaimana takrif tersebut, dapat difahami bahawa lian terjadi dalam dua
keadaan (Abd al-Fattah Ibrahim, 1995 :143) :
1. Si suami menuduh isterinya melakukan zina sedangkan dia tidak mampu untuk
membawa empat orang saksi.
2. Si suami menafikan nasab anak yang dikandung oleh isterinya kerana
wujudnya kesamaran dalam proses kehamilan isterinya. Dalam Islam, si suami
dapat menafikan nasab anak yang dikandung atau dilahirkan oleh isterinya
selagi mana dia dapat membuktikan bahawa :
a. Suami belum pernah bersetubuh dengan isterinya akan tetapi secara
tiba-tiba si isteri mengandung.
b. Anak tersebut lahir kurang dari enam bulan selepas hubungan
persetubuhan dilakukan sedangkan anak tersebut lahir dengan sifat
yang sempurna.
c. Anak tersebut lahir selepas melebihi tempoh setahun isteri dijimak oleh
suami.

Dalil Pensyariatan Lian


Pensyariatan lian sabit melalui al-quran dan juga al-sunnah. Firman Allah dalam
surah al-Nur ayat 6 hingga 9 :


Maksudnya :
Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada
saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka
persaksian (sah pada Syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia
bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari
orang-orang yang benar(6). Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata):
Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang
dusta(7). Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena
tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa
suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang
berdusta(8). Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); bahawa
kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang
benar.
Sebab nuzul ayat di atas adalah berdasarkan kepada peristiwa sebagaimana
yang telah diriwayatkan oleh Ibn Abbas bahawa :
Hilal bin Umaiyah telah pulang dari kebunnya pada lewat malam, tiba-tiba
dia terlihat seorang lelaki di sisi isterinya. Beliau melihat dengan mata kepala
dan mendengar dengan kedua-dua belah telinganya, namun tidak memaki
hamun lelaki tersebut sehingga pagi. Lalu beliau bergegas menemui Rasulullah
sambil berkata : Wahai Rasulullah, aku mendatangi keluargaku pada suatu
malam, tiba-tiba aku mendapati disisi mereka ada seorang lelaki. Aku amati
dia dengan mataku dan mendengar dengan kedua-dua belah telingaku sendiri.
Setelah mendengar berita tersebut, Rasulullah menunjukkan reaksi yang
kurang memuaskan, lalu turunlah ayat di atas.
Menurut jumhur ulama, peristiwa lian yang melibatkan Hilal bin Umayyah
adalah peristiwa yang pertama berlaku dalam Islam. (al-Zuhayli, 1996:560)

Rukun-rukun Lian
Menurut jumhur fuqaha selain Hanafi, rukun lian terbahagi kepada empat bahagian
(Basri Ibrahim, 1997:209) :
i.

Pihak yang melian (Suami)


Suami hendaklah merupakan suami yang sah dari segi syarak kepada isteri
yang hendak dilian. Suami juga hendaklah seorang yang berakal waras. Oleh
itu, tidak sah lian yang dilakukan oleh suami orang lain.

ii.

Pihak yang dilian (Isteri)


Isteri yang dilian hendaklah merupakan isteri yang sah kepada suami yang
melian serta tidak gila. Oleh itu tidak sah lian yang dilakukan terhadap isteri
orang lain dan terhadap orang gila.

iii.

Sebab lian
Sebagaimana yang dibincangkan sebelum ini, sebab berlakunya lian adalah
sama ada si suami menuduh isterinya melakukan zina atau si suami ingin
menafikan nasab anak yang dikandung oleh isterinya.

iv.

Lafaz lian
Lafaz lian hendaklah mengikut tertib. Jumhur berpendapat lian sah sama ada
menggunakan bahasa arab atau bahasa yang lain. Menurut mazhab Hanbali,
suami isteri yang mengetahui bahasa arab hendaklah berlian dalam bahasa
arab sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.

Hukum yang berkaitan dengan Lian


Terdapat beberapa hukum yang berkaitan dengan lian yang harus diberi perhatian,
antaranya:
1.

Harus bagi seseorang suami melakukan Lian apabila melihat isterinya


melakukan zina atau dia benar-benar pasti bahawa anak yang dikandung oleh
isterinya bukan daripada hubungan yang sah dengannya.

2. Disunatkan kepada suami untuk menyembunyikan rahsia isterinya melakukan


perbuatan zina tersebut. Tindakan selanjutnya, cukuplah sekadar dia
menceraikan isterinya itu, jika dia mampu berbuat demikian. Jika sebaliknya,
bolehlah dia membuat pengaduan kepada hakim bagi memutuskan hukum
antara dia dan isterinya sebagaimana hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh
Allah.
3. Wajib bagi hakim melakukan lian antara suami dan isteri sebagaimana yang
telah ditetapkan.

Syarat-syarat Lian
Para ulama membahagikan syarat lian kepada dua bahagian iaitu syarat wajibnya
lian dan syarat sahnya melakukan lian (al-Zuhayli, 1996:562). Syarat wajibnya lian
adalah seperti berikut :
i.

Pasangan tersebut masih berstatus suami isteri, sekalipun isteri tersebut belum
disetubuhi atau isteri masih dalam iddah talak raji berdasarkan pandangan
Hanafiah. Menurut jumhur pula, suami juga boleh melian isteri dalam talak
bain.

ii.

Hendaklah akad perkahwinan tersebut akad yang sah. Oleh itu, terkeluar
daripada lian perkahwinan yang bersandarkan pada akad yang fasad
berdasarkan pandangan mazhab Hanafi.

iii.

Suami yang melakukan lian hendaklah seorang yang muslim

iv.

Adanya tuduhan qazaf daripada suami terhadap isteri.

Menurut al-Shafiiyyah dan al-Hanabilah, lian juga berlaku kepada orang


kafir dan tidak disyaratkan si suami itu seorang yang adil. Maka sah lian yang
dilemparkan oleh suami yang fasid (al-Zuhayli, 1996:563).
Seterusnya, syarat sah proses lian adalah seperti berikut :
i.

Lian dilakukan dihadapan hakim atau wakilnya.

ii.

Lian dilakukan oleh suami setelah diminta oleh hakim untuk berbuat
demikian.

iii.

Hendaklah sempurna kelima-lima lafaz lian yang diungkapkan.

iv.

Lafaz yang digunakan oleh kedua-dua pasangan suami isteri menunjukkan


atau memberi maksud lian selari dengan tuntutan al-Quran.

v.

Hendaklah lafaz lian itu mengikut tertib yang telah ditetapkan.

vi.

Sekiranya pasangan suani dan isteri itu hadir dalam prosiding lian, maka
cukuplah kedua-dua pihak sekadar menunjukkan ke arah masing-masing
semasa melakukan lian. Namun begitu, sekiranya salah satu pihak tidak hadir,
maka hendaklah digunakan nama dan identiti yang lengkap untuk memastikan
bahawa individu yang dilian adalah betul.

Tempoh Menafikan Nasab Anak


Dalam menafikan hak nasab anak yang dikandung atau dilahirkan oleh isteri, si suami
hendaklah menafikannya di hadapan hakim dengan ungkapan anak ini atau
kehamilan ini bukan daripada saya. Namun demikian, para ulama berselisih
pendapat mengenai waktu atau masa penafian terhadap anak tersebut. Jumhur ulama
berpendapat seorang suami tidak boleh menafikan nasab anak yang dikandung oleh
isterinya selepas anak tersebut lahir ke dunia. Manakala mazhab Syafie
membolehkan penafian dilakuakn sepanjang tempoh kehamilan sehingga anak
tersebut dilahirkan.
Ulama mazhab Hanafi berpandangan apabila penafian dilakukan segera
setelah anak tersebut lahir atau pada masa proses kelahirannya, maka lian tersebut
adalah sah. Sebaliknya, apabila lian dilakukan setelah itu, maka tuduhan atau
penafian tidak diterima. Hal ini demikian kerana sikap diam suami sebelum ini
membuktikan bahawa dia redha akan anak tersebut.
Seterusnya, pandangan mazhab Maliki pula adalah sama dengan mazhab
Hanafi kecuali ditambah dengan dua syarat. Pertamanya, si suami tidak melakukan
persetubuhan dengan isterinya dalam tempoh yang dianggap mampu menyebabkan
kehamilan. Kedua, penafian anak tersebut hendaklah dilakukan sebelum anak itu lahir.
Apabila suami diam sahaja tanpa sebarang alasan sehingga anak itu lahir, walaupun
satu hari, maka lian tersebut tidak sah dan suami boleh dikenakan hukuman had qazaf
kerana menuduh isteri melakukan zina (Basri Ibrahim, 1997 : 212).

Prosedur Penceraian kerana Lian


Terdapat beberapa prosedur yang mesti diikuti semasa berlakunya proses lian.
Proses-proses itu dapat ringkaskan seperti yang berikut :
1. Suami berdiri di hadapan hakim dan di hadapan khalayak yang ramai. Mereka
disunatkan terdiri daripada orang yang adil dan soleh. Tempat yang sesuai
adalah di masjid atau tempat yang agak tinggi seperti mimbar dan sebagainya.
2. Lian dimulakan selepas mendapat perintah daripada hakim selepas beliau
mengajar cara menyebut lafaz lian. Sekiranya si suami melakukan lian tanpa
kebenaran daripada hakim, maka hukumnya tidak sah. Lian daripada pihak
isteri pula hendaklah dilakukan sebaik sahaja selesai lian daripada suami.
Tidak sah sekiranya lian dimulakan dahulu oleh pihak isteri.
3. Setelah selesai segala urusan yang berkaitan, suami hendaklah berkata : Aku
bersaksi dengan nama Allah, sesungguhnya aku termasuk dalam golongan
mereka yang benar terhadap tuduhan zina yang dilakukan ke atas isteriku dan
sesungguhnya anak ini(sekiranya isteri mengandung) adalah anak daripada
hasil penzinaan bukannya hasil hubungan yang sah denganku.
4. Suami hendaklah mengulangi ucapannya sebanyak empat kali, sambil
menunjukkan ke arah isterinya (jika isteri hadir dalam majlis) setiap kali
ucapan tersebut dilafazkan. Seandainya isteri tidak hadir, cukuplah sekadar
menyebut nama dan keturunannya sahaja untuk membezakan dengan wanita
yang lain.
5. Kemudian, suami berkata lagi untuk kali kelima setelah diberi nasihat oleh
hakim tentang dosa akibat berdusta : Dan ke atasku laknat Allah sekiranya
aku dari golongan mereka yang berdusta.
Seandainya suami boleh terlepas daripada hukuman had qazaf dengan berlian,
begitu juga dengan isteri. Lian yang dibuat oleh isteri dapat menghindarkannya
daripada hukuman had zina. Ucapan lian isteri adalah seperti berikut : Aku bersaksi
dengan nama Allah, si fulan itu termasuk dalam orang yang berdusta dalam
tuduhannya terhadapku. Ucapan ini hendaklah dilafazkan sebanyak empat kali.
Seterusnya, dia mengucapkan untuk kali kelima dan di atasku kemurkaan Allah
sekiranya dia (suami yang membuat tuduhan) termasuk dalam golongan mereka yang
benar.

Hukum bagi Suami dan Isteri yang Enggan Melakukan Lian


Menurut jumhur, seorang suami yang tidak mahu melakukan lian selepas dia
menuduh isterinya berzina, setelah diperintahkan oleh hakim, maka hendaklah
dikenakan hukuman had qazaf ke atasnya dengan 80 kali sebatan. Hal ini selari
dengan firman Allah dalam surah al-Nur ayat 4 iaitu :



Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan
yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang
saksi, maka sebatlah mereka dengan lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu
menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang
yang fasik.
Bagi si isteri yang enggan melakukan lian setelah dituduh oleh suaminya,
maka hendaklah dikenakan ke atasnya hukuman had zina iaitu direjam sehingga mati.

10

Kesan Lian
Rentetan daripada berlakunya lian antara suami dan isteri di hadapan hakim adalah
seperti berikut (al-Zuhayli, 1996:580) :
i.

Gugurnya had qazaf atau tazir terhadap suami dan gugurnya had zina
terhadap isteri. Sekiranya si lelaki tidak berlian, maka hendaklah dikenakan
ke atasnya had qazaf sekiranya wanita tersebut muhsan dan dikenakan tazir
sekiranya wanita tersebut bukan muhsan menurut pandangan jumhur selain alHanafiah. Sekiranya wanita tidak berlian apabila dituduh, maka wajib
dikenakan ke atasnya had zina iaitu 100 sebatan seandainya bukan muhsan dan
rejam seandainya muhsan menurut pandangan al-Shafiiyyah dan alMalikiyyah.

ii.

Diharamkan persetubuhan dan berseronok antara kedua-dua suami dan isteri


walaupun sebelum dipisahkan oleh hakim.

iii.

Wajib dipisahkan antara kedua-duanya.

iv.

Perpisahan disebabkan lian menyebabkan haram selama-lamanya untuk


pasangan tersebut kembali semula menurut pandangan jumhur.

v.

Sekiranya lian tersebut adalah untuk menafikan nasab anak, maka terputuslah
tanggungjawab suami terhadap anak tersebut. Maka, tidak wajib untuk si
suami memberi nafkah terhadap anak dan isteri tersebut sebagaimana tiadanya
pewarisan antara kedua-duanya.

11

KESIMPULAN

Lian merupakan ucapan tertentu yang digunakan untuk menuduh isteri yang telah
melakukan perbuatan yang mengotori dirinya sendiri iaitu berzina. Lian merupakan
satu alternatif yang ditawarkan oleh Islam kepada umatnya seandainya di tengahtengah perkahwinan wujudnya satu kejanggalan berkaitan anak yang dikandung oleh
isteri.
Pensyariatan lian dilihat dapat menjamin kesahihan nasab dan keturunan
manusia serta menyelamatkan maruah suami dan isteri. Lian juga menghindar suami
dan isteri daripada dikenakan hukuman had qazaf dan had zina.
Diharapkan dengan selesainya artikel ini, semua pihak dapat memahami isu
berkaitan lian dengan lebih mendalam dan dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan
umat Islam pada masa kini serta generasi yang akan datang.

12

RUJUKAN

Al-Quran.
Abd al-Fattah Ibrahim. 1995. Ahkam al-Usrah fi al-Shariah al-Islamiah. Mesir.
Maktabah al-Ishaa.
Abd al-Karim al-Umari. 1995. Al-Labab fi al-Fiqh al-Shafie. Madinah alMunawwarah. Dar al-Bukhari
Basri Ibrahim. 1997. Pemantapan Sistem Kekeluargaan. Kuala Lumpur. Darul
Numan.
Muhammad al-Khatib al-Sharbaini. 1978. Mughni al-Muhtaj : ila marifat alfaz
al-Minhaj. Qahirah. Dar al-Fikr.
Muhammad al-Khatib al-Sharbini. 2004. Al-Iqna fi Hal Alfaz Abi Syuja. Cet. 3
. Beirut Lubnan. Dar al-Kutub al-Ilmiah.
Muhyi al-Din Abi Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi. 2005. Minhaj al-Talibin wa
Umdat al-Muftin. Jeddah. Dar al-Minhaj.
Wahbah al-Zuhaily. 1997. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Beirut Lubnan.
Dar al-Fikr.

You might also like