Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 11

Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

PADA amnya, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau


pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini
dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik
dan logikal. Tujuan falsafah ialah mencari serta membuktikan kebenaran dan
memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam
kehidupan.

Berdasarkan huraian di atas, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai pedoman,


arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan
pendidikan. Maka, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah digubal daripada
usaha berfikir yang rasional dan kritis berlandaskan daripada ideologi negara
sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan,
termasuk Rukun Negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini akan menjadi suluh yang memberi pedoman
dan hala kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam institusi pendidikan
atau di luar institusi pendidikan. Sehubungan ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan
adalah digubal secara rapi dan teliti oleh pakar-pakar pendidikan yang mengambil
kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu,
masyarakat dan negara.

Berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan atas Laporan dan Akta


Pendidikan, Rukun Negara dan ciri-ciri kebudayaan masyarakat Malaysia, maka
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dinyatakan berikut digubal dan diumumkan
secara rasmi pada tahun 1988.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah


memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan keupayaan mencapai

kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan


kemakmuran masyarakat dan negara.

Berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dihuraikan diatas,


maka Matlamat Pendidikan Negara ialah bertujuan melahirkan insan yang baik dan
sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang berguna. Dengan perkataan
lain, Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang
sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut:

1. Percaya dan patuh kepada Tuhan.


2. Berilmu pengetahuan.
3. Berakhlak mulia.
4. Bertanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat, agama dan negara.
5. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
6. Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.

Peranan Sekolah Dalam Merealisasikan


Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Peranan sekolah begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan


(FPK). Sekolah merupakan institusi formal pertama di mana murid-murid
memperoleh ilmu dan kemahiran asas. Sekolah juga adalah tempat pemupukan
minat setiap murid untuk terus mencari ilmu dan selanjutnya memberi sumbangan
kepada khazanah ilmu yang sedia ada.

Untuk merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, aspek-aspek


kepemimpinan, budaya sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan disiplin
murid perlu diberi perhatian dan diaktifkan secara menyeluruh.

Aspek Kepemimpinan

Aspek pertama yang perlu diambil perhatian ialah kepemimpinan. Pemimpin


sekolah iaitu guru besar merupakan orang penting dalam memajukan institusi
pelajaran di Malaysia. Mereka perlu berfikiran kreatif dalam pengurusan dan
berhubungan dengan guru dan juga murid. Mereka bertanggungjawab menetapkan
falsafah sekolah, membentuk wawasan sekolah, membentuk visi dan misi sekolah
yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek-aspek seperti budaya
sekolah, aktiviti ko-kurikulum, peranan guru dan juga disiplin murid diberi
penekanan dan perhatian yang sewajarnya supaya hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dapat direalisasikan.

Perkembangan semasa memperlihatkan peningkatan peranan guru besar sebagai


peneraju utama di sekolah-sekolah. Penyelidikan oleh Morrisson (2005) mendapati
bahawa perubahan peranan pentadbir sekolah perlu berlaku dalam aspek-aspek
tertentu seperti kepemimpinan, tuntutan kerja, orientasi perniagaan,
tanggungjawab, pengurusan sumber manusia, membuat keputusan, komunikasi,
kuasa, dan perancangan. Peranan guru besar merupakan antara faktor utama yang
akan menentukan kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru besar yang
berkesan mampu mengubah keadaan sesebuah sekolah menjadi cemerlang.

Dalam melaksanakan amanah menyediakan sumber manusia menjelang tahun


2020, fungsi kepemimpinan, pengurusan, dan pentadbiran sekolah menjadi semakin
mencabar. Peranan kepemimpinan di peringkat sekolah mestilah dalam bentuk
instructional leader yang memainkan peranan tertentu pada tahap serta kedudukan
masing-masing untuk melaksanakan sesuatu progam pendidikan. Kepemimpinan
pendidikan juga haruslah berperanan sebagai transformational leader iaitu sebagai
agen transformasi perubahan.

Pemimpin sekolah yang proaktif akan sentiasa membuat jangkaan-jangkaan tentang


perubahan yang sedang dan bakal berlaku agar sentiasa berada dalam keadaan
bersedia. Pemimpin sekolah mestilah juga mampu dan berupaya membimbing guruguru di bawah pengawasannya untuk menjadi lebih berkesan.

Sekolah yang berkesan dapat dilihat berdasarkan stail kepemimpinan yang bukan
sekadar mampu bertindak sebagai pemimpin pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan tetapi juga harus mampu membawa perubahan. Justeru itu, di mana-

mana sekolah, guru besar merupakan individu yang paling berpengaruh dan
bertanggungjawab terhadap sesuatu perubahan.

Menurut kata Wilson dan Corcoran (1988), segala kejayaan dan kegagalan murid
terletak kepada pihak sekolah, iaitu guru besar dan guru. Kepemimpinan guru besar
pula dikenal pasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali, yang mempengaruhi
kualiti dan kuantiti hasil sekolah walaupun proses dalaman dan persekitaran sosial
(iklim), atau budaya sekolah juga merupakan pemboleh ubah yang mempengaruhi
dan menyebabkan perbezaan dalam pencapaian akademik murid (Rutter et al,
1979).

Aspek Budaya Sekolah

Aspek kedua yang perlu diberi penekanan ialah budaya sekolah. Budaya sekolah,
kadang kala dikenali sebagai iklim sekolah merupakan salah satu aspek yang
penting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Iklim sekolah yang
terbuka menggalakkan murid bebas berinteraksi di antara murid dengan murid,
murid dengan guru serta bebas melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sekolah.
Guru pula boleh bekerja dalam keadaan yang mesra, berasa tenteram serta
melaksanakan tugas dengan adil, dedikasi, gembira dan sempurna.

Iklim sekolah yang terbuka seperti ini merupakan iklim sekolah yang demokratik
dan iklim ini akan dapat membantu sekolah mencapai aspirasinya seperti
membentuk murid lebih berdedikasi, lebih berinisiatif, lebih rela bekerjasama, lebih
ramah dan mesra, lebih spontan dan berkreativiti serta lebih tinggi motivasinya.

Budaya sekolah atau iklim sekolah ini mengandungi empat aspek utama iaitu aspek
fizikal, aspek sosial, aspek perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.

Aspek fizikal merangkumi perkara-perkara seperti kebersihan kawasan sekolah,


keselamatan anggota-anggota sekolah, kemudahan-kemudahan sekolah yang
lengkap, keselesaan yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga
keindahan sekolah.

Dari aspek sosial pula, ia merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan


keharmonian di antara anggota-anggota sekolah seperti budaya hormatmenghormati dan mengucap salam, kerjasama, rasa tanggungjawab, perpaduan,
kemesraan dan keadilan.

Seterusnya aspek perkembangan intelek. Ia merangkumi aspek budaya ilmu seperti


semangat mahu belajar sama ada dalam bilik darjah atau di perpustakaan sekolah.
Sebagai contoh, sekolah memainkan peranannya melalui penganjuran programprogram akademik seperti Program NILAM dengan tujuan membudayakan aktiviti
membaca dalam diri murid-muridnya.

Program ini secara tidak langsung dapat mengembangkan daya pemikiran murid
sama ada kritis atau kreatif. Menurut Ee (1994), tamadun atau bangsa hanya dapat
dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina
budaya ilmu ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan.

Aspek yang terakhir ialah penggunaan bahasa. Aspek ini meliputi penggunaan
bahasa secara betul dan jitu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.
Untuk meningkatkan prestasi dalam aspek penggunaan bahasa, aktiviti
pertandingan, perbahasan, syarahan dan pidato boleh dianjurkan oleh pihak
sekolah sebagai galakan penggunaan bahasa. Penggunaan bahasa kedua Bahasa
Inggeris juga perlu diberi perhatian sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang ingin melahirkan modal insan yang mampu berdaya saing di
peringkat global.

Suasana sekolah yang ceria, kondusif dan meransang pembelajaran diwujudkan


bertujuan menghasilkan murid-murid yang berkembang secara harmonis dan
menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Aspek Ko-kurikulum

Aspek ketiga pula ialah ko-kurikulum. Untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan


Kebangsaan, sekolah juga perlu memainkan peranan yang berkesan dalam
melaksanakan gerak kerja ko-kurikulum. Gerak kerja ko-kurikulum merupakan gerak
kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar waktu sekolah.

Gerak kerja merupakan aktiviti-aktiviti kumpulan secara informal. Gerak kerja kokurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan
kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Walaupun aktiviti-aktiviti ko-kurikulum
lebih bercorak informal, tetapi gerak kerja yang dijalankan adalah terancang.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah diharapkan akan menyemai sifatsifat kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat di kalangan
murid. Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai
perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial,
jasmani dan rohani. Pelaksanaan ko-kurikulum cuba melihat minat dan bakat muridmurid. Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri
sendiri.

Sekolah ialah institusi yang bertanggungjawab dan boleh memainkan peranan


dalam mendidik murid-murid untuk mengembangkan minat dan bakat. Begitu juga
masyarakat yang bertanggungjawab boleh memainkan peranan mereka dalam
mendidik murid-murid. Ini disebabkan alam masyarakat di luar sekolah sebenarnya
amat kaya dengan ilmu pengetahuan yang boleh dimanfaatkan oleh murid-murid.

Aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan dalam gerak kerja ko-kurikulum ialah


pasukan unit beruniform, persatuan/kelab dan juga sukan. Pihak sekoalh perlu
memastikan semua murid melibatkan diri dalam ko-kurikulum ini kerana gerak kerja
ini dianggap sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah dan sebagai satu
bidang pendidikan.

Gerak kerja ko-kurikulum dilaksanakan di sekolah mempunyai beberapa matlamat


penting yang merangkumi aspek pendidikan, aspek pembelajaran, dan aspek
sosialisasi.

Dari aspek pendidikan, pelaksanaan gerak kerja ko-kurikulum di sekolah diharap


akan dapat membina dan menyuburkan sahsiah yang seimbang di kalangan murid;
memupuk nilai-nilai ahklak dan pendidikan yang diingini; memajukan kemahiran,
minat dan bakat murid; meningkatkan disiplin dan kepemimpinan diri;
mengukuhkan dan memperkayakan lagi pengetahuan dan kemahiran; menjadi asas

kerjaya pada masa akan datang dan mengisi masa lapang dengan aktiviti
berfaedah dan menyeronokkan.

Dari aspek pembelajaran pula, kegiatan ko-kurikulum bertujuan untuk mewujudkan


dan mempertingkatkan suasana sekolah yang lebih menarik dan menggembirakan
murid-murid. Selain itu, perhubungan antara guru dengan murid juga dapat
diwujudkan.

Dari aspek sosialisasi, gerak kerja ko-kurikulum ini dilihat mampu melahir dan
membentuk murid-murid yang mempunyai semangat kekitaan dan
kewarganegaraan serta mempunyai rasa dan tanggungjawab berkhidmat untuk
masyarakat.

Secara keseluruhannya, pihak sekolah perlu mempertingkatkan kualiti pengurusan


ko-kurikulum dan sukan dengan usaha memperkembangkan lagi potensi individu,
membentuk sahsiah, membantu pertumbuhan jiwa bermasyarakat, meningkatkan
mutu disiplin para murid bagi memperkukuhkan integrasi di kalangan mereka.
Selain itu, pihak sekolah juga harus memberi peluang secukupnya kepada muridmurid untuk menyertai pelbagai aktiviti terancang bagi memperkembangkan minat,
bakat serta kemahiran masing-masing.

Aspek Guru

Aspek yang seterusnya ialah guru. Peranan guru amat penting dalam
merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru bertanggungjawab
memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu yakni insan
yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga
bertambah lebih kompleks. Guru mula memainkan peranan sebagai pengajar,
pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai
inovator, iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan.

Seseorang guru menjalankan seperti menggerakkan, mengatur dan menilai prestasi


murid-murid. Sebelum memulakan satu-satu pelajaran, minat murid seharusnya
ditimbulkan terlebih dahulu terhadap topik yang akan disampaikan. Proses
pembelajaran berlaku dengan lebih cepat sekiranya murid-murid mempunyai minat
terhadap pelajaran itu.

Oleh itu, adalah penting bagi guru menggerakkan muridnya dengan berbagai-bagai
cara seperti menggunakan pelbagai jenis alat bantu mengajar, mengadakan main
peranan (role playing), mengadakan simulasi dan sebagainya.

Selain itu, guru juga mengelolakan semua aktiviti yang dijalankan di dalam
sesebuah bilik darjah. Dalam aktiviti pembelajaran mesti ada langkah pertama,
langkah kedua, langkah ketiga dan seterusnya. Tiap-tiap langkah pembelajaran
haruslah diatur supaya murid-murid mendapat faedah daripada setiap aktiviti
pembelajaran. Gurulah yang menjalankan tugas mengatur setiap langkah
pembelajaran.

Dalam mengatur langkah-langkah pembelajaran, guru akan merancang terlebih


dahulu. Apabila membuat sesuatu rancangan, keperluan-keperluan murid, objektifobjektif pelajaran, bahan-bahan dan alat-alat mengajar seharusnya
dipertimbangkan. Pengajaran yang dirancangkan dengan baik akan membawa
faedah yang besar kepada murid-murid.

Guru juga membimbing murid-murid supaya mereka memahami topik yang diajar.
Guru seharusnya mengaitkan tajuk yang diajar dengan pengalaman-pengalaman
murid untuk membolehkan mereka memahami konsep-konsep dengan lebih mudah
lagi. Perkataan-perkataan yang digunakan oleh guru sepatutnya mudah difahami
dan penerangannya padat serta jelas.

Penggunaan alat bantu mengajar seperti carta, gambar, perbandingan dan graf
dapat menjelaskan lagi sesuatu konsep yang disampaikan. Guru juga menolong
murid-murid mengatur fakta-fakta supaya menjadi konsep yang konkrit dan
bermakna. Idea yang abstrak boleh dijadikan konkrit dengan menggunakan carta
dan alat bantu mengajar lain.

Guru perlu juga menolong murid-murid mempraktikkan dan mengulangi aktiviti


sehingga pembelajaran itu menjadi berkesan. Guru juga menilai murid-muridnya
dengan menjalankan berbagai-bagai ujian. Penilaian ini akan dapat mengesani
sejauh manakah objektif pengajaran dan pembelajaran telah tercapai.

Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan
berilmu dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat
kenegaraan yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa
hadapan.

Aspek Disiplin

Aspek yang terakhir ialah disiplin. Sekolah sebagai agen sosialisasi utama
bertanggungjawab untuk membanteras masalah disiplin hingga ke peringkat akar
umbi. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif perlu diwujudkan bagi
merangsang perkembangan murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek
sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran telah cuba


mentakrifkan disiplin sebagai kesanggupan seseorang individu untuk menghormati
dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau
dengan kerelaan sendiri; juga kesanggupan seseorang bekerja atau membuat
sesuatu dengan cukup tertib, kesanggupan menghormati hak individu lain,
mengamalkan tingkah laku hormat-menghormati di antara satu dengan lain dan
mempunyai semangat tolong-menolong dan membaiki keadaan yang sedia ada
menerusi usaha yang membina serta sanggup berkhidmat untuk masyarakat.

Disiplin juga ada kaitannya dengan tatatertib, tatasusila, kesopanan dan ahklak.
Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam
membentuk disiplin murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan
tumpuan mereka terhadap pelajaran.

Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru
besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan
ibu bapa. Hal ini penting bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah.

Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan
sebuah jawatan kuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan
melantik beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran
dengan sekolah bagi memantau disiplin murid. Pihak sekolah juga hendaklah
memantau kawasan sekolah yang terdapat masalah disiplin.

Apa yang lebih penting, murid lemah dan berdisiplin memerlukan perhatian khas
daripada pihak sekolah. Semua ini perlu dilakukan dengan bijak supaya tidak
berlaku pengasingan dan perbezaan di antara mereka dengan murid lain di sekolah.

Peranan guru bimbingan dan kaunseling penting dalam membentuk dan membina
semula sahsiah dan disiplin murid yang bermasalah. Antara tugas utama guru
bimbingan dan kaunseling ialah menjalankan bimbingan dan kaunseling dengan
murid-murid yang mempunyai masalah disiplin dengan tujuan mewujudkan tingkah
laku yang diingini. Selain itu, guru bimbingan dan kaunseling juga berfungsi untuk
membina perhubungan dengan ibu bapa atau penjaga murid-murid yang
mempunyai masalah disiplin, pegawai kebajikan masyarakat atau pihak polis.

Disiplin yang baik membawa beberapa faedah kepada guru dan murid. Faedahfaedah tersebut adalah seperti berikut:

1. Pengajaran dapat dijalankan dengan licin dan teratur.


2. Pembelajaran dapat dilaksanakan dalam suasana yang tenang serta teratur.
3. Keberkesanan pengajaran-pembelajaran akan dapat ditingkatkan lagi.
4. Murid-murid menjadi lebih produktif jika mereka berdisiplin.
5. Keselamatan murid-murid dapat dijamin kerana setiap murid dapat mematuhi
peraturan-peraturan sekolah.
6. Kemalangan yang berlaku di makmal atau bilik darjah dapat dikurangkan.
7. Segala tugasan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Masalah disiplin perlu ditangani dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya


persekitaran sekolah yang kondusif dan selamat amat penting dalam membentuk
imej dan keyakinan diri murid ke arah kecemerlangan dan kegemilangan, selaras
dengan hasrat negara yang menekankan usaha pembentukan modal insan yang
cemerlang,gemilang dan terbilang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, berdasarkan kepada semua huraian di atas, maka ternyatalah


bahawa kejayaan sesebuah sekolah dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan adalah bergantung kepada aspek-aspek kepemimpinan, budaya
sekolah, ko-kurikulum, guru dan juga disiplin. Semua aspek ini akan menentukan
modal insan yang bakal dihasilkan sama ada memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan atau tidak.

Kejayaan sekolah dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga


secara tidak langsung mampu menjana dan membina modal insan yang berkualiti.
Merujuk kepada PIPP (2006), negara kita berhasrat untuk menghasilkan modal
insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berperibadi mulia,
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi perlu mampu untuk berfikir secara kritis
dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta
peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta berkebolehan untuk
berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah.

Sekali lagi dinyatakan bahawa, peranan sekolah amat penting dalam menyahut
cabaran yang terkandung di dalam FPK untuk melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia bertanggungjawab dan
keupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

You might also like