Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

ciri-ciri pelajar cemerlang menjadi dambaan semua pihak sama

ada pihak berkuasa pendidikan, masyarakat dan para pemimpin


semua peringkat. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik,
campak ke laut menjadi pulau.
Ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi
pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan sentiasa
mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik
darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya
di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng
segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi
memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka
menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan
berusaha untuk mencapainya. Dengan itu, pelajar cemerlang
akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan.
Semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi
tumpuan terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru.
Pelajar cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran
yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang
tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan
negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri, apatah
lagi daripada pendapat yang bersifat songsang. Pelajar cemerlang
tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran
supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat
sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang
sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka
mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.
Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan,
mahupun menyertai kumpulan belajar, pelajar cemerlang
menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak terlalu
menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin
memiliki banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan

sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba berlagak menguasai


perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh
dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang
mencukupi, bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran
pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti pembelajaran
berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan
sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi
tidak disuruh.
Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel
sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan
pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya
bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di
bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi
pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang
menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi
menggilap bakat kepimpinan, memupuk semangat suka rela
dalam perkhidmatan sosial dan mendekati aktiviti kebajikan.
Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada
sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab,
persatuan, unit pakaian seragam, permainan dan sukan. Mereka
sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan sikap
ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan
sebarang aktiviti kokurikulum.
Kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti
diri yang tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin dan
sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas
pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara.
Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing
negara di pentas antarabangsa. Pelajar cemerlang tidak
menganggap bahawa diri mereka serba sempurna, sebaliknya
sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan. Maka, wajar

sekali ciri-ciri pelajar cemerlang dijadikan slogan dan tema untuk


semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan.

You might also like