H) Pembelajaran Berpusatkan Pelajar Di IPT-1

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 9

STRATEGI PENGAJARAN PEMBELAJARAN DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI: SATU

ANJAKAN PARADIGMA
Oleh
Maria Chong Abdullah
Samsilah Roslan
Tajularipin Sulaiman
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia, Selangor
PENDAHULUAN
Secara umum, mengajar bermaksud menyampaikan pengetahuan, kemahiran, sikap, dan nilai yang dijangka
akan membawa perubahan dalam diri pelajar. Pengajaran boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara, iaitu
dengan memberi penerangan, bercerita, menunjuk ajar, mengadakan perbincangan, dan memberi bimbingan
terhadap proses pembelajaran pelajar atau gabungan cara-cara di atas. Justeru, Reigeluth dan Carr-Chellman
(2009) menjelaskan bahawa pengajaran merupakan proses bagi membantu pelajar membina pengetahuan dan
juga apa sahaja aktiviti yang bertujuan untuk menjana pembelajaran. Pengajaran juga melibatkan sumber
daripada guru atau pensyarah seperti pengetahuan, kemahiran, bahan-bahan yang tersedia secara profesional
seperti filem, perisian komputer, sumber manusia atau bakat, dan kemahiran dan pengetahuan yang sedia wujud
dalam diri pelajar.
Secara umum terdapat dua jenis strategi utama yang dipraktikkan di dalam bilik darjah ataupun bilik kuliah.
Dua strategi ini ialah strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berpusatkan guru dan strategi P&P
berpusatkan pelajar. Strategi P&P berpusatkan guru yang juga dikenali sebagai strategi/kaedah tradisional
merupakan strategi yang telah lama diamalkan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah atau
kuliah. Ciri utama strategi berpusatkan guru ialah guru/pengajar memainkan peranan utama dalam menentukan
dan mengawal segala aktiviti pengajaran pembelajaran yang berlangsung dalam bilik darjah (Shahabuddin
Hashim, RohizaniYaakub, & Mohd Zohir Ahmad, 2003). Pola interaksi lebih bersifat satu hala dan guru
mendominasi keseluruhan aktiviti P&P. Strategi ini lazimnya menggunakan kaedah ekspositori dan berasaskan
kuliah. Pelajar tidak kelihatan memainkan peranan yang aktif, dan lebih bertindak mendengar serta menuruti
pengajaran guru. Meskipun mendapat kritikan daripada aliran kognitif konstruktivism, kaedah ini sesuai
digunakan untuk pembelajaran peringkat asas sesuatu konsep atau perkara serta didapati membantu pelajar
lemah dan berpencapaian rendah yang perlukan banyak bimbingan daripada guru.
Perkembangan dalam ilmu pendidikan khususnya dalam bidang pedagogi dan psikologi telah menyebabkan
berlakunya satu anjakan paradigma dalam strategi pengajaran dan pembelajaran. Menurut Santrock (2008), apa
yang penting dalam pengajaran di bilik darjah/kuliah adalah memberi peluang kepada pelajar untuk
menggunakan bakat dan kecerdasan mereka dalam proses pembelajaran. Justeru, satu pendekatan yang memberi
keutamaan kepada peranan pelajar dalam melaksanakan sesi pengajaran pembelajaran telah dicadangkan.
Strategi ini ialah pembelajaran berpusatkan pelajar. Dalam strategi ini, pelajar diberi peluang melibatkan diri
secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran dibantu oleh pengajar yang berperanan sebagai fasilitator
(Shahabuddin Hashim et al, 2003). Corak komunikasi yang digunakan adalah bercirikan interaksi pelbagai arah
iaitu antara pengajar dengan pelajar, dan pelajar dengan pelajar. Dalam pengajaran dan pembelajaran
berpusatkan pelajar, pensyarah yang berperanan sebagai fasilitator harus dapat menggunakan kedua-dua corak
komunikasi ini sebagai asas dalam merancang aktiviti pengajaran pembelajaran.
KONSEP PEMBELAJARAN BERPUSATKAN PELAJAR

2
Pembelajaran berpusatkan pelajar merupakan suatu istilah yang luas digunakan pada masa kini bagi
menghuraikan dan memahami proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam dan di luar kelas.
Pendekatan pembelajaran ini menekankan penglibatan aktif pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran
(Shuell, 1986). Menurut Meyers dan Jones (1993), pembelajaran berpusatkan pelajar yang dapat dijalankan
dengan baik akan memberikan kesan terhadap peningkatan dalam motivasi untuk belajar, penguasaan isi
pelajaran yang lebih mendalam dan bermakna, serta sikap yang lebih positif terhadap mata pelajaran atau kursus
yang diikuti.
Melalui pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar, pelajar akan lebih bertanggungjawab dan bersungguhsungguh dalam menguasai pelajaran mereka. Pelajar mempunyai peranan yang penting dalam merancang
pembelajaran, membuat kajian mendalam, menilai hasil kerja, serta berinteraksi dengan pengajar, pelajar dan
sumber maklumat lain dalam proses pembelajaran mereka. Dalam hal ini, pensyarah hanya berperanan sebagai
mentor atau fasilitator dalam proses pembelajaran tersebut. Justeru, suasana pembelajaran sebegini akan dapat
membentuk peribadi pelajar yang bermotivasi tinggi, sentiasa mempunyai naluri ingin tahu yang tinggi,
berupaya mengurus masa dengan bijak, serta mahir dalam mencari maklumat. Justeru, pembelajaran
berpusatkan pelajar merupakan strategi pengajaran pembelajaran yang paling sesuai dan berkesan untuk
memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
Konsep pembelajaran berpusatkan pelajar dapat diperjelaskan lagi melalui satu perbandingan paradigma antara
pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar dengan pengajaran berpusatkan guru daripada aspek peranan
pelajar dan guru, serta ciri pengajaran pembelajaran yang melibatkan penggunaan pendekatan, kaedah dan
teknik pengajaran pembelajaran yang memberi tumpuan kepada pembelajaran dan individu pelajar dalam bilik
darjah. Perubahan perspektif yang disarankan di sini ialah tumpuan harus diberi terhadap pembelajaran dan
bukan pada pengajaran untuk memperluaskan pengalaman pelajar sama ada yang sedang belajar di kolej
ataupun di universiti. Secara ringkas, maklumat yang tercatat dalam Rajah 1 dapat menjelaskan perbezaan
antara pendekatan pengajaran berpusatkan guru dengan pengajaran berpusatkan pelajar daripada beberapa aspek
pengajaran dan pembelajaran seperti penerokaan pengetahuan dan maklumat, peranan pensyarah, penilaian
pembelajaran, jenis motivasi yang dimiliki oleh pelajar dalam proses pembelajaran, dan jenis perspektif
pembelajaran bagi pelajar.
Jadual 1: Perbandingan Paradigma Pengajaran Berpusatkan Guru dengan Paradigma Pembelajaran
Berpusatkan Pelajar
Pengajaran Berpusatkan Guru
Pengetahuan disalur kepada pelajar melalui
pensyarah.

Pembelajaran Berpusatkan Pelajar

Pelajar mencari dan menguasai


pengetahuan melalui pengumpulan
dan sintesis maklumat yang disepadukan dengan kemahiran
inkuiri, komunikasi, pemikiran kritikal, penyelesaian
masalah, dan sebagainya.
___________________________________________________________________________
Pelajar menerima maklumat secara pasif.
Pelajar memainkan peranan yang aktif.
dan bertanggungjawab dalam merancang pembelajaran diri,
berinteraksi dengan pensyarah dan pelajar
lain, menyelidik, dan menilai.
___________________________________________________________________________

3
Penekanan adalah terhadap pemerolehan
Penekanan adalah terhadap penggunaan pengetahuan di luar
konteks yang
pengetahuan secara berkesan untuk akan dihadapi pada masa akan datang.
untuk menghadapi isu dan masalah
dalam konteks kehidupan sebenar.
___________________________________________________________________________
Pensyarah memainkan peranan utama sebagai
Pensyarah memainkan peranan sebagai
penyampai maklumat dan penilai utama
juru latih, mentor dan fasilitator. Pensyarah menilai
pembelajaran bersama-sama dengan pelajar.
___________________________________________________________________________
Pengajaran dan penilaian dijalankan secara
Pengajaran dan penilaian
terpisah.
digabungjalinkan.
___________________________________________________________________________
Hasil pembelajaran dinilai melalui pengujian
Hasil pembelajaran dinilai melalui
yang diukur secara objektif.
kertas kerja, projek, folio dan sebagainya
___________________________________________________________________________
Penekanan dalam penilaian adalah terhadap
Penekanan dalam penilaian adalah
jawapan yang betul.
terhadap penghasilan soalan yang lebih baik dan
pembelajaran melalui kesilapan
___________________________________________________________________________
Motivasi ekstrinsik
Motivasi intrinsik
___________________________________________________________________________
Persepktif pembelajaran jangka
Perspektif pembelajaran jangka
pendek: penekanan pada penyempurnaan
panjang: Lifelong learning
kerja tugasan untuk tujuan peperiksaan.
Sumber: Diubah suai dari Huba dan Freed (2000, hlm. 5) dan Cannon dan Newble (2000, hlm. 17)
ELEMEN PEMBELAJARAN BERPUSATKAN PELAJAR DALAM KAEDAH PENGAJARAN DI
INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
Terdapat pelbagai kaedah pengajaran yang boleh digunakan oleh pensyarah untuk menyampaikan ilmu dalam
bilik kuliah. Lazimnya seseorang pensyarah tidak menggunakan satu kaedah atau teknik pengajaran sahaja,
tetapi menggabungkan dua atau tiga jenis kaedah atau teknik pengajaran secara serentak bagi menyesuaikan
pengajarannya dengan kesediaan dan keperluan pelajar yang pelbagai dalam bilik kuliah. Kaedah pengajaran
yang lazimnya digunakan oleh pensyarah di institusi pengajian tinggi seperti kolej dan universiti adalah terdiri
daripada kaedah kuliah atau syarahan, kaedah perbincangan, kaedah tunjuk cara, kaedah seminar, kaedah
tutorial, kaedah projek, kaedah lawatan, kaedah pembezaan pembelajaran, dan kaedah penyelesaian masalah
atau lebih dikenali sebagai Pembelajaran Berasaskan Masalah atau Problem-Based Learning (PBL).
Perbincangan dalam bahagian yang seterusnya adalah tertumpu kepada beberapa kaedah pengajaran yang
mengandungi elemen pembelajaran berpusatkan pelajar yang sesuai diamalkan di kolej atau universiti. Selain
itu, perbincangan juga memberi tumpuan yang khusus terhadap kaedah pembezaan pembelajaran sebagai satu
kaedah pengajaran yang komtemporari yang masih baru dalam bidang pedagogi.
Kaedah Pembezaan Pembelajaran (Differentiated Learning)
Tumpuan yang diberikan kepada kepelbagaian pelajar mutakhir ini merupakan antara faktor yang
menjustifikasikan keperluan kepada pendekatan yang boleh meraikan pelbagai perbezaan ciri pelajar.
Sehubungan itu, muncul pendekatan pembezaan pembelajaran yang dipercayai boleh disesuaikan dengan
keperlbagaian pelajar daripada segi minat, gaya pembelajaran, kebolehan serta kecenderungan. Pembezaan
pembelajaran dikenali juga dengan pembezaan pengajaran (differentiated instruction) atau pengajaran pelbagai
tingkat (multi-level instruction).

4
Menurut Tomlinson (2000), pendekatan pembezaan pembelajaran merupakan respons seorang pengajar
terhadap keperluan pelajar yang dipandu oleh beberapa prinsip umum seperti tugasan yang mengambil kira
keperluan dan minat pelajar, pengelompokan yang fleksibel dan penilaian berterusan. Pengajar boleh melakukan
pembezaan daripada segi kandungan, proses dan produk mengikut kesediaan, minat dan profil pelajar, menerusi
pelbagai strategi pengajaran dan pengurusan. Fokusnya adalah mengenal pasti dan menyesuaikan rentak dan
kandungan pengajaran dengan keperluan pelajar yang berbeza, serta menyediakan peluang untuk pelajar
berlatih menggunakan pemikiran tahap tinggi (Treffinger, Nassab & Selby, 2009).
Pendekatan pembezaan pembelajaran ini memerlukan pengajar merancang dan melaksanakan pengajarannya
berdasarkan prinsip bahawa pelajar adalah berbeza antara satu sama lain. Langkah utama dalam melaksanakan
pembezaan pembelajaran ialah perancangan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang cukup fleksibel
dan akomodatif. Dalam konteks ini, pengajar memerlukan sedikit maklumat tentang latar belakang pelajar
seperti perbezaan daripada segi pengetahuan sedia ada, minat serta kecenderungan mereka. Ini bukan sahaja
bertujuan meraikan keperluan yang berbeza bagi setiap pelajar, tetapi juga bermatlamatkan ke arah
memperkembangkan setiap potensi pelajar ke tahap yang paling maksimum. Pengajar juga perlu merancang
aktiviti P&P yang boleh merangsang pelajar untuk bangkit dan mengenal pasti keunikan masing-masing serta
menggunakan kelebihan tersebut untuk menerima dan memproses maklumat serta idea. Pelajar juga harus
digalakkan untuk memupuk dan melatih kelebihan yang ada pada diri masing-masing dan kemudian
menggunakannya untuk menghasilkan sesuatu yang menjadi bukti kepada pensyarah bahawa pembelajaran
telah berlaku dengan jayanya. Justeru, pensyarah perlu merancang dan menyediakan pelbagai bahan bantu
mengajar yang menjadi pemangkin dan sumber rujukan kepada pelajar dalam melaksanakan tugasan yang
dipilih oleh mereka. Pembezaan pembelajaran boleh dilakukan dalam tiga bentuk, iaitu pembezaan isi
kandungan pelajaran, pembezaan proses pembelajaran dan pembezaan kaedah penilaian.
Pembezaan isi kandungan pelajaran
Prinsip di sebalik pembezaan isi kandungan pelajaran adalah selari dengan prinsip pengayaan di mana pelajar
boleh meneroka isi kandungan yang diajarkan pada pelbagai tahap dan peringkat yang berbeza. Di sini latihan
pemikiran tahap tinggi serta pemupukan kemahiran pemindahan pembelajaran berlaku apabila pelajar diminta
mengenal pasti pola atau trend tertentu yang muncul dalam sesuatu isi pelajaran, sama ada berlaku dalam
bentuk rentas disiplin, kebarangkalian generalisasi, perkara yang berkaitan dengan isu etika atau moral dan
pelbagai lagi. Pengajar juga boleh meminta pelajar mencadangkan pelbagai tajuk, teks atau bidang yang berkait
dengan apa yang sedang dipelajari oleh pelajar. Dengan cara ini, pelajar akan memperkayakan pembelajaran
mereka dan menajamkan kemahiran pemikiran tahap tinggi seperti pemikiran kritis (membuat analisis, aplikasi)
serta pemikiran kreatif (membuat perkaitan dan melihat perhubungan). Pelajar tidak lagi rasa terkongkong
dengan sukatan pelajaran yang menetapkan apa dan pada tahap mana yang perlu dipelajari oleh mereka. Bagi
pelajar pintar cerdas, mereka boleh meneroka kebolehan mereka dengan lebih jauh, manakala pelajar yang
mempunyai bakat atau minat yang berbeza pula boleh mengaitkan apa yang dipelajari dengan sesuatu yang
lebih bermakna bagi mereka. Sekiranya pengajar memberikan peneguhan kepada pelajar yang mampu
mengembangkan lagi isi kandungan pelajaran, secara tidak langsung, pelajar akan lebih terangsang untuk
membuka minda dan menjadi pemikir aktif sepanjang proses P&P.
Pembezaan proses pembelajaran
Seterusnya pembezaan pembelajaran juga boleh berlaku daripada segi proses pembelajaran itu sendiri. Oleh
kerana pelajar mempunyai gaya dan kecenderungan belajar yang pelbagai dan berbeza-beza antara satu sama
lain, mereka boleh membentuk kumpulan yang mempunyai persamaan daripada segi gaya pembelajaran dan
memilih untuk belajar sesuatu perkara dengan cara yang paling disukai oleh mereka. Antara kepelbagaian dan
pembezaan dalam proses pembelajaran yang boleh berlaku ialah pengajar boleh membenarkan pelajar memilih
gaya belajar yang lebih dekat dengan jenis kecerdasan pelbagai yang mereka miliki seperti logik-matematik
(belajar dengan membuat eksperimen), visual-ruang (belajar dengan memerhati atau membuat model),

5
kinestetik (belajar dengan mengalami dan melakukan sendiri) atau muzik (belajar berasaskan not muzik atau
lagu). Kepelbagaian dalam proses pembelajaran juga boleh bermaksud pelajar diberikan tugasan bertingkat
(tiered assignment) sebagai aktiviti P&P, di mana mereka boleh memilih tahap untuk mempelajari sesuatu
subjek tersebut. Sebagai contoh, mengikut taksonomi Bloom, mereka boleh belajar pada tahap pengetahuan
dan kefahaman, atau pergi lebih jauh sehingga tahap sintesis dan penilaian. Pelajar juga boleh memilih untuk
belajar secara bersendirian atau berkumpulan, secara kolaboratif atau mencari sendiri maklumat dengan
menggunakan pelbagai cara seperti membuat kajian kepustakaan seperti merujuk kepada buku dan literatur,
internet, pangkalan data, pakar, atau mengumpul data secara deskriptif.
Pembezaan kaedah penilaian
Pembezaan pembelajaran juga boleh dilakukan daripada aspek penilaian. Ini bermakna pengajar memberikan
ruang kepada pelajar untuk mencadangkan kaedah yang sesuai untuk menilai pembelajaran mereka. Antara
kaedah penilaian yang boleh dilakukan adalah melihat produk/perkara yang dihasilkan oleh pelajar sebagai
bukti bahawa mereka telah mempelajari dan menguasai sesuatu pengetahuan atau kemahiran. Untuk penilaian
formatif, antara pilihan yang ada ialah pelajar boleh membuat sketsa, pembentangan secara pusingan mengikut
stesyen (carousel sessions), menyiapkan jawapan untuk mendapatkan pas keluar (exit card), menggambarkan
apa yang dipelajari dalam bentuk visual dua atau tiga dimensi, serta menjawab soalan berdasarkan bahan bacaan
mengikut format Penerokaan Bacaan Mewah atau Deluxe Reading Tour di mana pelajar diminta memberi
tajuk sendiri kepada petikan, memilih petikan yang paling digemari serta membuat justifikasi, membuat
ringkasan petikan serta menggambarkan isi petikan dalam bentuk ilustrasi beserta huraian. Penilaian sumatif
mungkin memerlukan pelajar menghasilkan satu projek atau produk mengikut bakat atau kecenderungan
mereka, tetapi masih menggambarkan bahawa pembelajaran yang dikehendaki oleh pensyarah.
Berdasarkan penerangan ringkas tentang pendekatan pembezaan pembelajaran, ternyata bahawa terdapat
beberapa perbezaan antara kelas yang menggunakan pendekatan ini dengan kelas yang dilaksanakan secara
tradisional. Antaranya ialah, dalam pendekatan tradisional perbezaan pelajar kurang diberi perhatian dan kurang
diraikan, sedangkan dalam pendekatan pembezaan, perbezaan dan keunikan pelajar dikenalpasti, ditonjolkan
dan dipupuk sewajarnya. Pendekatan tradisional juga lazimnya mendefinisikan pencapaian dan kecemerlangan
dengan hanya satu definisi yang eksklusif. Pendekatan pembezaan, sebaliknya, mendefinisikan pencapaian dan
kecemerlangan daripada aspek (saiz atau jumlah) perkembangan yang ditunjukkan oleh setiap pelajar daripada
awal sehingga akhir sesi atau tahun pengajian/pembelajaran. Dalam pendekatan tradisional, profil pelajar
kurang menekankan kepelbagaian dimensi dan ciri keunikan pada pelajar, sedangkan pendekatan pembezaan
cuba mencungkil dan mengenengahkan keunikan ini dalam profil setiap pelajar. Satu lagi perbezaan antara
kedua-dua pendekatan ini adalah, dalam pendekatan tradisional, lazimnya pengajaran ditujukan kepada seluruh
kelas, manakala dalam pendekatan pembezaan, pengajaran dan arahan dipelbagaikan mengikut kumpulan kecil.
Ciri-ciri pembezaan pembelajaran yang dibincangkan menunjukkan bahawa pengajaran yang berlaku dalam
pendekatan ini adalah gabungan pengajaran dan arahan antara keseluruhan kelas, kumpulan kecil dan individu.
Pendekatan ini dikatakan bersifat organik kerana matlamatnya ialah memupuk potensi yang sedia ada dalam
setiap pelajar ke tahap yang paling optimum dan bukannya menetapkan satu tahap piawai untuk semua pelajar.
Justeru, fokusnya adalah lebih kepada proses perkembangan, bimbingan (scaffolding) dan penerimaan diri
setiap individu dengan selayaknya. Ini boleh membantu mengurangkan risiko keciciran yang amat tinggi bagi
kelompok pelajar yang berbeza daripada yang lain, termasuk pelajar pintar cerdas, pelajar berbakat, dan
pelajar kreatif.
Oleh yang demikian, di peringkat awal dan di setiap peringkat pembelajaran seterusnya, adalah amat penting
bagi pensyarah mengenali dan memahami setiap pelajar. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan oleh
pensyarah untuk mengenal pasti profil, minat dan gaya pembelajaran pelajar serta memantau perkembangannya.
Antara aktiviti yang biasa dicadangkan adalah seperti Learner Profile Card, Graph Me, Brown Bag It,
What I Love To Do dan Multiple Intelligence Profile Indicator.

6
Secara keseluruhannya, pendekatan pembezaan pembelajaran ini mempunyai potensi yang amat besar sebagai
satu pendekatan yang boleh membantu mengatasi beberapa masalah yang dihadapi oleh sesetengah pelajar yang
mungkin agak berbeza daripada kebanyakan pelajar yang lain. Namun, pensyarah memerlukan pengetahuan dan
kemahiran khusus bagi pelaksanaan pendekatan pembezaan pembelajaran yang berkesan di samping proses
perancangan yang memerlukan usaha yang teliti dan inisiatif yang kreatif daripada pihak pensyarah.
Pembelajaran Berasaskan Masalah
Pembelajaran Berasaskan Masalah atau Problem-Based Learning (PBL) mula digunakan di fakulti perubatan di
McMaster University, Kanada, 25 tahun yang lalu. Kini, PBL digunakan secara meluas dalam pelbagai disiplin
seperti kejuruteraan, undang-undang, pertanian, dan pengurusan. Selain itu, PBL juga boleh digunakan untuk
mengajar di sekolah rendah dan menengah. Walau bagaimanapun, PBL sering disalahertikan oleh para
pendidikan sebagai pengajaran yang menggunakan aktiviti penyelesaian masalah, sedangkan PBL lebih
merupakan satu cara merancang dan memyampaikan satu kursus atau mata pelajaran yang berorientasikan
masalah dalam amalan profesional atau kehidupan yang sebenar (real life) sebagai rangsangan kepada
pembelajaran (Canon & Newble, 2000). PBL juga berbeza dengan pendekatan tradisional kerana PBL
merupakan satu strategi yang bertujuan membentuk budaya inkuiri yang tidak menggalakkan pembelajaran
secara hafalan, serta memerlukan individu pelajar memberi definisi kepada masalah, mencari jalan penyelesaian
masalah, dan berkolaborasi dengan pelajar lain untuk menyelesaikan masalah (Jordan & Porath, 2006).
PBL merupakan satu pendekatan pengajaran yang berpusatkan pelajar. Juteru, PBL memerlukan pelajar
melakukan aktiviti pembelajaran sama ada secara individu atau secara berkumpulan berdasarkan masalah yang
dibina oleh pengajar berasaskan kandungan atau sukatan pelajaran dalam kursus atau mata pelajaran yang
diajar. Masalah yang dikemukakan hendaklah bersifat authentik, iaitu masalah yang sebenar yang wujud dalam
situasi profesion atau kehidupan sebenar. Berikut merupakan ciri PBL menurut Savoie dan Hughes (1998):

Pembelajaran bermula dengan masalah.


Pastikan masalah berkait dengan dunia pelajar.
Isi kandungan hendaklah diolah berdasarkan masalah dan bukan berdasarkan disiplin.
Pelajar harus diberi tanggungjawab utama bagi membentuk dan menentukan arah pembelajaran mereka.
Pelajar belajar dalam kumpulan yang kecil.
Pelajar mempamerkan hasil pembelajaran sama ada dalam bentuk produk ataupun prestasi yang
ditunjukkan

Canon dan Newble (2000) telah menjalankan PBL pada sekumpulan pelajar tahun pertama dari jurusan
perubatan, dan strategi PBL yang telah dijalankan merangkumi elemen berikut:
1. Penerangan tentang masalah klinikal (contoh: sakit di bahagian dada yang dialami oleh seorang pemain
skuasy) diberi kepada keseluruhan kelas yang terdiri daripada 130-140 orang pelajar.
2. Pelajar diminta menganalisis masalah tersebut dalam kumpulan 4 hinga 5 orang.
3. Wakil setiap kumpulan menyampaian idea hasil daripada latihan yang analitis.
4. Pelajar meneruskan usaha mencari penyelesaian kepada masalah.
5. Pelajar boleh menyelesaian masalah dalam satu sesi pengajaran (dibantu oleh seorang pakar) atau
beberapa sesi pengajaran (proses PBL yang sepenuhnya).
Kaedah PBL mempunyai banyak keistimewaan jika dibandingkan dengan kaedah pengajaran lain. Antaranya,
pelajar dilatih untuk memupuk rasa tanggungjawab yang sepenuhnya terhadap pembelajaran yang dialami serta
menghargai ilmu yang dipelajari dalam konteks sumbangan terhadap masyarakat dan negara. Melalui PBL
pelajar dapat menikmati keseronokan belajar kerana PBL dapat memberikan kepuasan belajar yang tinggi
kepada pelajar yang seterusnya dapat meningkat lagi motivasi instrinsik pelajar untuk belajar.

7
Kaedah Perbincangan
Kaedah perbincangan merupakan satu kaedah pengajaran alternatif yang amat digemari oleh para pengajar tidak
kira sama ada di sekolah mahupun di kolej dan universiti. Kaedah ini merupakan pendekatan pengajaran yang
mengandungi banyak elemen pembelajaran berpusatkan pelajar. Penggunaan kaedah ini dapat menggalakkan
interaksi pelbagai hala dalam bilik kuliah iaitu interaksi di antara pelajar dengan pensyarah, dan di antara
pelajar dengan pelajar. Justeru, kaedah perbincangan merupakan kaedah yang paling sesuai untuk
melaksanakan pengajaran secara berpusatkan pelajar. Umumnya, terdapat dua bentuk aktiviti perbincangan
yang boleh dilaksanakan, iaitu perbincangan secara kelas, iaitu antara pensyarah dengan pelajar, dan
perbincangan di antara pelajar dengan pelajar dalam kumpulan kecil. Bagi aktiviti perbincangan yang pertama,
pensyarah mengemukakan soalan yang memberi fokus terhadap isi kuliah, manakala pelajar memberi respons
terhadap soalan pensyarah sama ada dalam bentuk jawapan ataupun pendapat. Proses ini berterusan sehingga
tamat kuliah. Perbincangan antara pelajar dengan pelajar pula dilaksanakan secara berkumpulan. Untuk tujuan
itu, pensyarah akan membahagikan kelas kepada beberapa kumpulan, dan setiap kumpulan dikehendaki
berbincang tentang sesuatu isu yang dikemukakan oleh pensyarah. Lazimnya, sesi perbincangan akan berakhir
dengan aktiviti pembentangan oleh wakil kumpulan diikuti oleh maklum balas oleh pensyarah dan pelajar yang
lain. Untuk menjamin kejayaan aktiviti perbincangan ini, pensyarah harus memastikan pelajar mempunyai
pengetahuan sedia ada berkaitan dengan isi kuliah atau isu yang akan dibincangkan. Pensyarah juga boleh
membantu dengan menyediakan bahan perbincangan sebagai bahan rangsangan untuk diberi kepada pelajar
ketika sesi perbincangan berlangsung. Untuk memperjelaskan lagi pelaksanaan kaedah perbincangan dalam
bilik kuliah, perbincangan yang seterusnya bertumpu pada beberapa teknik perbincangan yang telah disarankan
oleh Cannon dan Newble (2000) yang antaranya, perbincangan secara berpasangan atau one-to-one discussion,
teknik sumbangsaran (brainstorming), dan sesi plenari. Sedikit penyesuaian turut dilakukan pada teknik
perbincangan yang disarankan oleh Cannon dan Newble (2000).
Perbincangan secara berpasangan
Perbincangan secara berpasangan sesuai digunakan sebagai aktiviti ice-breakingr apabila pelajar bertemu buat
pertama kali dan amat berguna untuk meningkatkan kemahiran mendengar dalam kalangan pelajar. Teknik ini
memerlukan pelajar mendengar pandangan pasangannya dan kemudian disampaikan kepada semua ahli
kumpulan pada akhir sesi. Prosedur pelaksanaan perbincangan secara berpasangan mengikut Cannon dan
Newble (2000) adalah seperti berikut:
Langkah
1. Pelajar A diminta berbincang dengan pelajar B yang duduk bersebelahan dengannya tentang satu topik
atau isu yang diberi oleh pensyarah.
2. Pelajar A bercakap dan pelajar B mendengar (masa: 3-5 minit). Pelajar B tidak dibenarkan menganggu
percakapan pelajar A
3. Pelajar B pula diberi giliran untuk bercakap dengan pelajar A.
4. Setelah masa tamat, semua ahli kumpulan berkumpul semula.
5. Setiap pelajar dikehendaki memperkenalkan diri dan rakannya kepada kelas, dan menyatakan semula
apa yang diperkatakan oleh rakannya.
6. Ahli kumpulan lain diminta memberi respons dan mengemukakan soalan kepada pelajar yang
menyampaikan pendapat rakannya tadi.
7. Aktiviti ini diteruskan dengan pasangan lain hingga semua pelajar telah mengambil bahagian atau
melaporkan hasil perbincangan.
Sungguhpun perbincangan secara berpasangan bukan satu teknik pengajaran yang baru, teknik tersebut
mungkin tidak dilaksanakan secara sistematik sebelum ini. Justeru, langkah pengajaran yang disarankan di atas

8
boleh dijadikan panduan untuk pelaksanaan teknik perbincangan secara berpasangan yang lebih teratur dan
sistematik.
Tenik Sumbangsaran
Teknik ini dapat menggalakkan pemikiran yang luas, kritis dan kreatif. Kunci kejayaan tenik sumbangsaran
terletak pada peraturan yang ditetapkan yang dapat memisahkan proses penjanaan idea atau kemungkinan
penyelesaian masalah daripada proses penilaian terhadap idea dan penyelesaian yang dikemukakan oleh setiap
ahli. Langkah melaksanakan sesi sumbangansaran yang dicadangkan oleh Cannon dan Newble (2000) adalah
seperti berikut:
Langkah
1. Jelaskan peraturan sumbangsaran kepada ahli kumpulan, iaitu:
- Tidak boleh mengkritik idea yang diberi oleh ahli kumpulan.
- Semua pelajar hendaklah menyumbangkan idea.
- Fokus utama aktiviti ialah terhadap kuantiti idea (untuk meningkatkan peluang mendapatkan idea
yang baik dan bernas).
- Kombinasi dan penambahbaikan idea dilakukan setelah semua idea baru telah dikemukakan.
2.
Berikan masalah kepada semua ahli kumpulan.
3.
Pelajar dibenarkan berfikir sejenak ketika mereka mencatatkan masalah.
4.
Idea dikumpul mengikut arah pusingan jam (adalah disarankan supaya pelajar duduk dalam satu
bulatan) dan direkodkan di papan tulis atau di transparensi supaya dapat dilihat oleh semua pelajar.
5.
Setelah semua idea dikumpulan, kombinasi dan penambahbaikan idea dilakukan.
6.
Perbincang dan penilaian dalam bentuk komen dilaksanakan pada akhir sesi sumbangasan.
Kelebihan teknik sumbangsaran berbanding dengan teknik perbincangan yang lain ialah teknik sumbangsaran
amat sesuai untuk melatih kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar. Selain belajar cara mengemukakan
pandangan secara berhemah, pelajar juga belajar menerima pandangan orang lain yang mungkin tidak selaras
dengan pandangannya. Secara tidak langsung, cara ini dapat memperluaskan lagi perspektif pelajar terhadap
banyak perkara khususnya terhadap ilmu dan kehidupan pelajar.
Sesi Plenari
Perbincangan dalam kumpulan kecil lazimnya berakhir dengan sesi pembentangan hasil perbincangan yang
dilakukan oleh wakil kumpulan. Laporan hasil perbincangan ini kekadang membosankan dan apa yang
dibentangkan pula mungkin menyimpang daripada hasil perbincangan yang telah dijalankan. Masalah ini
dapat diatasi melalui sesi plenari yang mempunyai format yang amat berbeza dengan aktiviti pembentangan
yang biasa dilakukan. Prosedur sesi plenari yang disarankan oleh Cannon dan Newble (2000) adalah seperti
berikut:
Langkah
1. Ahli kumpulan kecil duduk bersama-sama dan mengadap kumpulan kecil yang lain.
2. Ketua kumpulan A menjemput ketua kumpulan B untuk memberi laporan ringkas tentang hasil
perbincangan kumpulan B.
3. Ketua kumpulan A mempelawa ahli kumpulan A, C, dan D untuk menyoal mana-mana ahli kumpulan B.
4. Selepas 10 minit, ketua kumpulan C pula menjemput ketua kumpulan A melaporkan hasil perbincangan
kumpulannya, dan proses yang sama diulangi sehingga semua ketua kumpulan telah melaporkan hasil
perbincangan.
5. Tempoh masa aktiviti laporan dan soal jawab hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
Sesi plenari mempunyai sedikit kelainan jika dibandingakan dengan aktiviti pembentangan yang sering
digunakan dalam kaedah perbincangan secara berkumpulan. Berbeza dengan aktiviti pembentangan yang
sering tertumpu pada laporan hasil perbincangan oleh ketua atau wakil kumpulan, dalam sesi plenari seperti

9
yang disarankan di atas, setiap ketua kumpulan juga berperanan sebagai pengerusi atau moderator selain
sebagai pembentang bagi aktiviti pembentangan yang dijalankan. Selain itu, semua ahli kumpulan dalam sesi
plenari turut dilibatkan untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh audien. Dengan itu, semua ahli
kumpulan perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti perbincangan yang dijalankan dan ini akan
memantapkan lagi elemen pembelajaran berpusatkan pelajar yang dilaksanakan.

You might also like