Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 21

Topik X Hubungan

10

Etnik dalam
Realiti
Masyarakat
Malaysia

HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1.

Membincangkan pengalaman seharian yang dilalui oleh rakyat


Malaysia di dalam sebuah negara yang berbilang etnik;

2.

Menganalisis realiti kehidupan masyarakat Malaysia dalam usaha


untuk membentuk kesepaduan sosial antara rakyat yang berbilang
etnik; dan

3.

Menjelaskan kejayaan Malaysia dalam mengurus hubungan etnik


sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini.

X PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik. Namun
begitu, kepelbagaian etnik ini tidak membawa konflik yang kronik sebagaimana
di Afrika atau di tempat lain di dunia. Walaupun sesetengah tempat terdiri
daripada satu etnik sahaja, mereka mengalami konflik etnik yang amat dahsyat
seperti di Rwanda, Somalia dan sebagainya. Apakah formula yang diguna
pakai oleh Malaysia? Bagaimanakah penerimaan masyarakat Malaysia kepada
kepelbagaian ini?

262

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

Oleh yang demikian, perbincangan dalam topik akhir ini berusaha mendekati
dan memberikan kefahaman kepada kita bagaimana Malaysia menguruskan
masyarakat yang pelbagai sifatnya. Apakah realiti yang terdapat dalam
masyarakat hingga Malaysia berjaya menguruskan rakyatnya? Kejayaan
Malaysia dilihat oleh pihak lain sebagai hal yang ajaib. Dalam konteks
perbincangan kita, topik ini adalah Kesepaduan Sosial. Ini kerana Malaysia
sebenarnya berjaya menguruskan kesepaduan sosial dan bukannya perpaduan.
Kita sebenarnya masih jauh untuk mencapai perpaduan yang sebenar. Apa yang
kita dapat capai adalah kesepaduan sosial. Perbincangan dalam topik ini adalah
dalam bentuk takrifan harian dan takrifan berautoriti. Rajah 10.1 menunjukkan
praktikal kesepaduan sosial dalam realiti masyarakat Malaysia.

Rajah 10.1: Praktikal kesepaduan sosial dalam realiti masyarakat Malaysia

TOPIK 10

10.1

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

263

PENGALAMAN MALAYSIA MENGURUS


MASYARAKAT

Setelah 50 tahun merdeka, Malaysia kini berjaya membangunkan negara dengan


acuannya sendiri tanpa perlu mengikut cara atau kaedah negara lain. Pengalaman
50 tahun dalam membangunkan sebuah negara sangat berharga buat Malaysia.
Bahkan, acuan Malaysia dalam membentuk masyarakat untuk hidup bercorakkan
kesepaduan dalam kepelbagaian kemungkinan menjadi model ikutan negara
yang masih dalam proses mencari penyelesaian untuk membina masyarakat di
negara masing-masing.
Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dan juga mempunyai
masyarakat pelbagai etnik. Di Semenanjung, etnik utamanya ialah Melayu, Cina
dan India, manakala di Sabah dan Sarawak pula etnik utamanya ialah Kadazan,
Bajau, Bidayuh, Iban, Kayan, Kenyah, Murut dan lain-lain. Kesemua etnik di
Semenanjung, Sabah dan Sarawak dikategorikan sama ada Bumiputera dan bukan
Bumiputera berdasarkan keturunan. Dalam hal menguruskan masyarakat
pelbagai etnik seperti Malaysia, negara lain menjadikan Malaysia sebagai contoh.
Ini dibuktikan apabila rakyat Malaysia masih mampu untuk hidup bersatu padu
dan dapat menyelesaikan masalah untuk mengelakkan konflik. Senario ini yang
dapat digambarkan tentang kewujudan persefahaman dan perpaduan yang erat
dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara kita.
Boleh dikatakan sebahagian besar kejayaan Malaysia dalam menguruskan
hubungan etnik merentasi bangsa ini ialah hasil usaha yang dilaksanakan oleh
pihak pemerintah dan disokong oleh sektor swasta dan badan bukan kerajaan
(NGO). Usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni
memerlukan proses yang berterusan dan begitu juga pemupukan perpaduan dan
hubungan etnik yang mantap dalam kalangan rakyat Malaysia haruslah bersifat
istiqamah. Usaha ini dipelopori oleh pihak pemerintah untuk memastikan
kestabilan politik dan keadilan sentiasa terpelihara.
Hubungan etnik yang kukuh adalah penting untuk negara seperti Malaysia.
Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan terdiri daripada pelbagai
etnik dan memiliki iltizam ke arah mewujudkan sebuah negara yang harmoni,
rakyat Malaysia perlu memiliki kemantapan semangat perpaduan, serta ikatan
integrasi erat antara etnik mahu pun wilayah. Hal ini penting bagi menjamin
kelangsungan negara Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai etnik dan
mempunyai wilayah yang terpisah iaitu Malaysia barat dan timur. Maka,
perpaduan, integrasi dan amalan toleransi merupakan perkara penting yang
perlu dihayati oleh setiap etnik yang hidup di Malaysia.

264

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

Negara kita memiliki keistimewaan yang boleh dikaitkan dengan ciri-ciri latar
belakang warganegaranya yang pelbagai etnik. Etnik-etnik ini berkomunikasi
dengan menggunakan Bahasa Melayu yang diletakkan sebagai bahasa
kebangsaan, serta menjadi medium untuk berinteraksi dalam pertuturan harian
sehingga membolehkan mereka berkomunikasi dengan fasih. Ini menunjukkan
masyarakat Malaysia mampu untuk hidup bersama-sama walaupun mempunyai
bahasa, agama dan kepercayaan yang berbeza. Situasi yang saling berkait antara
individu dengan individu dan antara kelompok dengan kelompok lain dalam
kehidupan seharian mereka memang tidak dapat dielakkan. Hal ini didorong
oleh situasi saling kebergantungan untuk kelangsungan hidup kerana tidak ada
individu atau kelompok yang sempurna kebolehan, keupayaan dan kehendak
naluri mereka dalam usaha untuk memenuhi keperluan hidup harian masingmasing. Tanpa kita sedari, tindakan saling kebergantungan ini terus dilakukan
dalam tempoh yang lama dan ianya menzahirkan hubungan berbentuk
kesepaduan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam masyarakat pelbagai etnik.
Dalam sebuah negara, kejayaan dari sudut pembinaan material yang bersifat
nampak atau tangible seperti membina pencakar langit sebagai tanda
kemegahan sesebuah negara itu kedengarannya mudah, namun bagaimana pula
untuk membina masyarakat di dalam negara tersebut? Membina masyarakat
ialah usaha yang bersifat tidak nampak atau intangible dan matlamat ini menjadi
bertambah rumit apabila masyarakat yang ingin dibentuk dalam negara tersebut
rencam dari segi etniknya. Bagi menangani situasi ini, Malaysia berjaya menemui
satu formula yang telah memandu masyarakat Malaysia selama 56 tahun.
Formula Malaysia membina masyarakat itu dipanggil kesepaduan sosial.
Kesepaduan dalam kepelbagaian (cohesion in diversity) merupakan situasi
yang paling sesuai digunakan untuk menggambarkan rakyat Malaysia yang
rencam. Ini berbeza dengan situasi perpaduan dalam kepelbagaian (unity in
diversity) yang digunakan oleh media tempatan, yakni situasi tersebut lebih
menggambarkan bahawa Malaysia sudah bersatu sepenuhnya dan tidak perlu
lagi melalui proses ke arah perpaduan. Untuk memahami hal ini dalam konteks
Malaysia, dapat diperincikan bahawa perkataan kesepaduan (cohesion) lebih
sesuai digunakan berbanding perkataan perpaduan (unity) kerana perkataan
kesepaduan itu merujuk pada sesuatu proses masyarakat yang sedang bersatu.
Dalam erti kata lain, masyarakat Malaysia masih belum lagi bersatu sepenuhnya,
namun masih dalam proses untuk bersatu. Justeru, apa yang kita nikmati
sepanjang 56 tahun negara mencapai kemerdekaan ialah situasi yang dipanggil
kesepaduan dalam kepelbagaian yang berasaskan formula kesepaduan
sosial.

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

265

Usaha untuk mengimplimentasikan formula kesepaduan sosial di Malaysia


bermula selepas berlakunya tragedi berdarah pada 13 Mei 1969. Sejak titik hitam
itu, pelbagai usaha cuba diketengahkan oleh pihak kerajaan agar air yang keruh
dapat dijernihkan kembali. Proses untuk menjernihkan air yang keruh dalam
kalangan rakyat melalui kesepaduan sosial bermula pada awal era 1970an
sehinggalah kini. Itulah formula Malaysia sepanjang tempoh selepas tragedi
13 Mei 1969 dalam membina masyarakat berbilang etnik. Peristiwa berdarah
13 Mei 1969 tidak mahu diulangi mahu pun disebut dalam lipatan sejarah
negara. Boleh dikatakan peristiwa ini terlalu sensitif untuk diungkit apa lagi
diperkatakan pada hari ini setelah hampir 40 tahun lebih berlaku peristiwa itu.
Namun di sebalik tragedi itu, lahirlah Rukun Negara yang diwujudkan sebagai
garis panduan kehidupan setiap rakyat Malaysia. Kesepaduan sosial dalam
kalangan masyarakat jarang-jarang dinikmati oleh masyarakat di lain-lain
negara, terutamanya negara dunia ketiga sejak mereka mengecapi kemerdekaan
sehinggalah hari ini. Itulah realiti masyarakat Malaysia kini dan model Malaysia
dalam membina masyarakat.
Konsep negara bangsa merupakan konsep yang penting dalam proses
pembangunan negara terutamanya ketika baru merdeka sehinggalah masa ini.
Walaupun idea untuk membentuk sebuah negara bangsa sudah muncul sejak
zaman kolonial British lagi, namun konsep negara bangsa yang cuba
diketengahkan ketika itu lebih menumpukan pada pembentukan negara bangsa
yang agak lemah dan pihak kolonial sebenarnya tidak memahami apa yang
diinginkan oleh rakyat.
Biasanya, hubungan baik berlaku secara semula jadi antara individu atau
masyarakat yang mempunyai perbezaan latar belakang bahasa, agama dan
budaya. Pengalaman harian yang wujud daripada hubungan tersebut pula terjadi
melalui bermacam-macam situasi dan ruang lingkup yang luas, contohnya seperti
melalui perkongsian dalam aspek ruang awam. Aspek tersebut sebenarnya
memainkan peranan penting dan memberikan kesan yang mendalam sama ada
secara sedar atau tidak dalam proses membina kesepaduan antara etnik di
Malaysia.

AKTIVITI 10.1
Dengan merujuk beberapa buah negara yang bergolak, bincangkan
penyebab pergolakan tersebut. Buat perbandingan dengan Malaysia
dan bentangkan di dalam kelas.

266

10.2

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

PENGALAMAN HARIAN

Tempoh 56 tahun untuk Malaysia dalam membina masyarakat sememangnya


merupakan tempoh yang agak lama. Dalam jangka masa itu, apa-apa pun boleh
terjadi. Namun begitu, untuk membangunkan negara dan membina masyarakat
dalam tempoh tersebut sebenarnya masih belum cukup terutamanya proses
membina masyarakat. Ini kerana proses untuk membina masyarakat dalam
sesebuah negara ialah suatu proses yang berterusan atau on-going process.
Lebih-lebih lagi bagi negara dunia ketiga yang pernah dijajah pada suatu masa
dahulu dan merdeka sekitar tahun 1940an, 1950an dan 1960an. Jika 56 tahun
dikaitkan dengan umur seorang individu, sudah pasti individu tersebut sudah
boleh berkira-kira untuk bersara daripada pekerjaan atau mungkin umur
tersebut sudah sampai tempoh untuk bersara wajib. Analoginya, usia Malaysia
kini hampir mencapai tempoh bersara wajib dalam pekerjaan. Dari sudut
pengalaman harian rakyat Malaysia, apakah yang rakyat Malaysia nikmati
sepanjang tempoh 56 tahun?
Pengalaman harian ialah hal yang boleh dikaitkan dengan pengalaman atau apa
yang dialami oleh seorang rakyat Malaysia dalam kehidupan sosial beliau seharihari yang mungkin melibatkan komunikasi dengan etnik yang lain. Topik
mengenai pengalaman harian ini juga boleh dikaitkan dengan idea yang
diketengahkan oleh Shamsul Amri Baharuddin menakrifkan pengalaman harian
sebagai takrifan harian atau everyday defined. Antonim untuk takrifan harian
pula ialah takrifan autoriti (authority defined).
Ringkasnya, takrifan autoriti bermaksud panduan atau peraturan yang
digariskan oleh pihak pemerintah yang perlu dipatuhi oleh rakyat. Manakala
takrifan harian pula bermaksud tidak semestinya panduan dan peraturan yang
digariskan oleh pihak pemerintah akan dipatuhi dan dituruti oleh rakyat biasa.
Dalam memahami hal ini, beliau menyatakan bahawa jika pihak pemerintah
(takrifan autoriti) telah menetapkan dalam Perlembagaan Negara yang
termaktub dalam Artikel 160 bahawa seseorang Melayu itu ialah individu yang
boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan
adat resam dan budaya Melayu. Namun dalam realiti masyarakat Malaysia
sebenar atau pengalaman harian seorang rakyat Malaysia, adakah individu
yang menggelarkan dirinya sebagai Melayu mempunyai ketiga-tiga ciri yang
dinyatakan tadi? Ada kemungkinannya tidak. Kini, terdapat individu Melayu
yang tidak fasih berbahasa Melayu dan kemungkinan ada yang tidak tahu
langsung berbahasa Melayu.

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

267

Selain itu, dari sudut agama pula, Islam diletakkan sebagai agama rasmi
persekutuan, namun agama lain bebas diamalkan tanpa sekatan (takrifan
autoriti). Namun di Malaysia, hanya Islam yang beraliran Ahli Sunnah wal
Jamaah daripada mazhab Shafie sahaja yang dibolehkan untuk diamalkan di
Malaysia. Dari sudut takrifan harian atau pengalaman harian, adakah semua
rakyat Malaysia yang beragama Islam tergolong dalam umat Islam yang
beraliran Sunnah wal Jamaah bermazhab Shafie? Itulah dua contoh mudah yang
berkaitan dengan Melayu dan Islam yang dapat dibincangkan mengenai
pengalaman harian rakyat Malaysia dalam menjalani kehidupan seharian di
negara bertuah ini.
Berbalik pada isu pengalaman harian rakyat Malaysia bersosial bersama rakanrakan daripada etnik yang berbeza dalam kehidupan seharian. Seperti yang telah
disebutkan sebelum ini, aspek seperti ruang sosial dan makanan merupakan dua
aspek penting yang memainkan peranan yang sangat kuat dalam memupuk
kesepaduan sosial di Malaysia. Sebagai contoh, kita ambil aspek ruang awam.
Contoh ruang awam ialah seperti restoran mamak yang tumbuh ibarat
cendawan selepas hujan di negara kita pada hari ini (lihat Rajah 10.2). Konsep
1Malaysia yang sering kita dengar di media sama ada yang bercetak mahu pun
elektronik memang jelas menyatakan bahawa restoran mamak merupakan ruang
sosial rakyat Malaysia.

Rajah 10.2: Restoran mamak merupakan salah satu ruang awam masyarakat Malaysia
Sumber: http://business.malaysia.my/en/featured/opportunities/mamakrestaurantsfrom-humble-beginningsto-billiondollar-business

268

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

Pada masa kini, restoran mamak atau restoran India Muslim merupakan tempat
makan yang sering menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk bersantai. Tambahan
pula restoran tersebut kini begitu cepat memahami kehendak rakyat Malaysia
dari segi menyediakan kemudahan di restoran tersebut seperti waktu perniagaan
selama 24 jam, kemudahan jalur lebar atau Wi-Fi, sering membuka rancangan
kegemaran di layar besar seperti perlawan bola sepak, menyediakan menu yang
terdiri daripada masakan Melayu, Cina, India, Arab, Barat dan macam-macam
lagi.
Selain itu, maklum balas daripada pengunjung yang sering ke restoran mamak
mengakui bahawa layanan yang mesra seperti pelayan restoran yang murah
senyuman, pengambilan dan penghantaran pesanan makanan dan minuman yang
pantas merupakan antara sebab mengapa mereka memilih untuk bersantai di
restoran mamak. Di restoran mamak jugalah tempat yang paling mudah untuk
melihat anak muda mahu pun yang berusia daripada kalangan etnik utama di
Malaysia duduk semeja dan bersantai bersama. Jika tidak duduk semeja pun,
restoran mamaklah ruang awam yang paling mudah untuk melihat masyarakat
dari pelbagai etnik duduk dan bersantai di dalam sebuah ruang yang sama.
Kadang kala, pengunjung ke restoran mamak bukannya kerana perut yang lapar,
namun hanya memesan secawan teh tarik dan bersembang bersama rakan-rakan
sehingga berjam-jam. Hal ini terjadi kerana suasana di restoran mamak tersebut
membuatkan pengunjung selesa untuk melepak. Kesepaduan sosial dapat dilihat
wujud di restoran mamak apabila semua etnik tanpa rasa prejudis dan tanpa
rasa takut datang, duduk, memesan makanan dan menikmati makanan.
Bayangkan, seorang individu Cina warganegara Malaysia, datang ke restoran
mamak (India Muslim), memesan nasi lemak (masakan Melayu) dan teh tarik
(minuman yang diperkenalkan oleh masyarakat India) lalu menikmatinya. Maka
makanan dan minuman tersebut melengkapkan kehidupan individu Cina
tersebut sebagai seorang rakyat Malaysia.
Selain konteks ruang awam seperti di restoran mamak, contoh lain yang dapat
digunakan ialah majlis perkahwinan dan jamuan rumah terbuka perayaan
agama tertentu yang turut dihadiri oleh masyarakat pelbagai etnik. Beraneka
hidangan disediakan supaya pengunjung dapat memilih hidangan yang mereka
mahukan dan hidangan yang dilarang berdasarkan kepercayaan agama mereka.
Dalam majlis berkenaan, contohnya hidangan yang berasaskan daging lembu
merupakan hidangan yang dilarang oleh agama Hindu dan penganut sesetengah
dewa Buddha yang tertentu. Oleh itu, mereka boleh memilih hidangan selain
daripada hidangan yang berasaskan daging lembu seperti ayam atau kambing.
Begitu juga sebaliknya. Jika pengunjung beragama Islam yang menjadi tetamu

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

269

dalam majlis yang diadakan oleh etnik lain, hidangan yang disediakan mestikan
halal sama ada dari segi makanannya atau pun cara hidangannya. Hal yang
diterangkan ini menggambarkan bahawa rakyat Malaysia sudah mempunyai
satu tahap kefahaman dan perasaan hormat-menghormati terhadap budaya dan
agama etnik lain. Ia berlaku secara semula jadi dan hal inilah yang mendorong
kesepaduan sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.

AKTIVITI 10.2
Berdasarkan pengalaman anda, bincangkan di manakah kamu selalu
berurusan dengan mereka yang berlainan etnik? Apakah perasaan anda
dalam mengadakan urusan tersebut?

10.3

KESEPADUAN DALAM REALITI


MASYARAKAT MALAYSIA

Berdasarkan penulisan Ting Chew Peh (1987), proses untuk mencapai sebuah
masyarakat yang berintegrasi bukanlah sesuatu yang mudah. Proses ini
merupakan proses yang agak kompleks. Pendapat beliau itu memang ada
kebenarannya. Kita dapat melihat setiap etnik di Malaysia membesar dan
membawa hal yang berkaitan dengan etnik masing-masing dari pelbagai sudut
contohnya seperti sejarah, pendidikan, sosial, politik dan ekonomi. Mungkin
boleh dikatakan bahawa kebanyakannya bersifat perkauman. Situasi ini bermula
sejak dahulu lagi iaitu sebelum, semasa dan selepas merdeka.
Usaha kerajaan memperkenalkan Rukun Negara pada tahun 1970 juga
merupakan satu langkah yang menunjukkan betapa seriusnya pihak pemerintah
untuk menangani hal yang berkaitan hubungan etnik ini. Rukun Negara dalam
konteks hubungan etnik jelas menyatakan cita-citanya untuk membina negara
bangsa, iaitu negara dan bangsa Malaysia yang rakyatnya bersatu padu,
mengamalkan cara hidup yang demokratik, melaksanakan keadilan sosial dan
berfikiran terbuka.
Rukun Negara ialah dokumen yang amat konprehensif dan menuntut dicipta
sebuah masyarakat demokratik, adil, saksama dan liberal. Ia merupakan
pedoman negara dan rakyat Malaysia yang berbilang etnik dalam menentukan
hidup masing-masing dan juga masa depan negara. Ia diibaratkan asas penting
untuk negara kita.

270

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

Rakyat Malaysia pada hari ini dapat menyaksikan kehidupan harmoni antara
etnik dan usaha untuk memperbaiki lagi tahap hubungan itu akan terus
digerakkan, terutamanya oleh pihak yang berwajib seperti pemerintah, badan
bukan kerajaan, swasta dan masyarakat. Etnik yang menjadi warganegara
Malaysia harus sama-sama berganding bahu dalam usaha memakmurkan negara
ini menerusi beberapa aspek seperti kesepakatan dalam sosial, politik dan
ekonomi. Konflik dan pergeseran antara etnik memang tidak dapat dinafikan
dan keadaan itu memang berlaku, tetapi ia perlu diatasi dengan tindakan yang
rasional dan menggunakan kematangan pemikiran dan pertimbangan.
Dalam realiti kehidupan rakyat Malaysia, kesepaduan antara etnik itu dapat
dilihat melalui penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti sosial dan
kemasyarakatan yang dianjurkan. Hal ini sangat penting kerana ia dapat
memastikan segala perancangan untuk memupuk perpaduan dapat dilaksanakan
dengan baik. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dimainkan oleh anggota
masyarakat bagi memastikan keharmonian terjalin erat. Aktiviti tersebut juga
menggambarkan bentuk kesepaduan yang wujud dalam kalangan rakyat
Malaysia. Antara aktiviti tersebut termasuklah Rukun Tetangga, rumah terbuka,
aktiviti sukan dan kesukarelawanan.
Aktiviti Rukun Tetangga merupakan contoh yang paling mudah untuk
menggambarkan wujudnya kesepaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini
dapat dilihat apabila anggota Rukun Tetangga yang terdiri daripada pelbagai
etnik di sesebuah kawasan perumahan. Kebanyakan kawasan perumahan
didiami oleh keluarga daripada pelbagai etnik, terutamanya kawasan
perumahan di sekitar bandar dan pekan. Rukun Tetangga telah diperkenalkan
pada tahun 1975. Penubuhan Rukun Tetangga ini bertujuan untuk memelihara,
meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat pelbagai etnik dan integrasi
nasional. Rukun Tetangga sejajar dengan dasar kerajaan yang berlandaskan
Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Aktiviti Rukun Tetangga
dijalankan bertujuan untuk menjaga keselamatan penduduk dan harta benda
mereka. Selain itu, Rukun Tetangga juga dapat meningkat dan mengukuhkan
perpaduan dan persefahaman antara etnik yang bersesuaian dengan konsep
integrasi nasional.
Selain daripada Rukun Tetangga, majlis rumah terbuka adalah satu lagi contoh
realiti kesepaduan sosial yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan
adanya aktiviti seperti rumah terbuka, ia dapat mengeratkan hubungan
silaturahim melalui penghayatan perayaan agama tertentu yang wujud di
Malaysia. Malah, mereka juga dapat bertukar-tukar pandangan mengenai agama
masing-masing. Apa yang pasti, majlis rumah terbuka itu disambut dan diraikan
oleh masyarakat berbilang etnik sambil menikmati bermacam-macam juadah

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

271

bersama-sama. Sebenarnya, aktiviti seperti rumah terbuka ini merupakan satusatunya peluang yang perlu digunakan oleh rakyat Malaysia untuk bersantai
bersama-sama sambil berkenalan dengan lebih rapat lagi (lihat Rajah 10.3). Ini
kerana masyarakat mempunyai masa yang terhad untuk bersosial bersama-sama.

Rajah 10.3: Majlis rumah terbuka mengeratkan perhubungan antara pelbagai etnik
Sumber: http://masjidas-salam.blogspot.com/2013/08/lagi-gambar-suasana-rumahterbuka-hari.html

Sebagai seorang rakyat Malaysia, perasaan bangga seharusnya wujud dalam diri
masing-masing kerana kita masih lagi mempunyai sikap yang sentiasa ingin
bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu perkara. Itulah yang membezakan
rakyat Malaysia dengan rakyat negara lain. Namun yang lebih penting, majlis
rumah terbuka di negara kita kini sudah menjadi identiti Malaysia di mata
dunia. Jika masyarakat luar berbincang mengenai rumah terbuka, nama Malaysia
pasti disebut sebagai sebuah negara yang sudah lama mengamalkannya.
Dalam aktiviti sukan pula, keterlibatan masyarakat daripada pelbagai etnik di
Malaysia dalam aktiviti kesukanan terutamanya sukan seperti bola sepak,
badminton dan hoki jelas melihatkan kesepaduan sosialnya. Tanyalah kepada
sesiapa sahaja, mengenai perkembangan ketiga-tiga sukan tersebut di Malaysia.
Pastinya setiap rakyat Malaysia mengikuti perkembangannya. Siapa yang tidak
kenal dengan pasukan bola sepak Harimau Malaya (lihat Rajah 10.4), pasukan
badminton dan pasukan hoki kebangsaan. Itu antara tiga contoh sukan yang
berjaya mengharumkan nama negara di peringkat rantau, benua mahu pun
antarabangsa.

272

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

Rajah 10.4: Pasukan bola sepak Harimau Malaya


Sumber: http://famiuefa.blogspot.com/

Namun apa yang lebih penting, ketiga-tiga pasukan tersebut diwakili oleh
rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik. Itulah sebenarnya yang menjadi
kunci kekuatan ketiga-tiga sukan tersebut. Apa yang dapat dilihat di sini ialah
penyertaan pemain yang terdiri daripada pelbagai etnik memeriahkan kegiatan
sukan, bukan sahaja cemerlang di peringkat negara tetapi juga mewakili negara
di peringkat antarabangsa. Sukan ialah kesepaduan sosial dalam realiti
masyarakat Malaysia yang jelas dapat dilihat pada hari ini.
Kesepaduan dalam realiti masyarakat Malaysia juga dapat dilihat melalui aktiviti
kesukarelawanan yang dijalankan. Dari segi kebajikan masyarakat, terdapat
banyak badan amal yang dianggotai oleh individu dari pelbagai etnik yang
mengadakan aktiviti seperti memberi sumbangan kepada mereka yang kurang
bernasib baik dan hidup dalam keadaan daif, membantu mangsa banjir,
melakukan kerja amal dan lawatan ke rumah orang tua.
Aktiviti kesukarelawanan seperti ini dapat memupuk perasaan bantu-membantu
antara rakyat pelbagai etnik, terutamanya generasi muda. Aktiviti ini juga
mendidik generasi muda agar dapat memahami betapa pentingnya semangat
kesepaduan antara sesama etnik. Ini kerana aktiviti kesukarelawanan dapat
mendedahkan generasi muda tentang kesepaduan.
Ringkasnya, hubungan etnik di Malaysia wajar dimantapkan dari semasa ke
semasa. Antara kaedah atau cara yang boleh digunakan untuk memantapkan
hubungan etnik di Malaysia ialah dengan aktiviti seperti Rukun Tetangga,

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

273

rumah terbuka, aktiviti sukan dan kesukarelawanan. Aktiviti-aktiviti ini ialah


contoh kesepaduan dalam realiti masyarakat Malaysia pada hari ini. Aktiviti
tersebut diharapkan dapat mencapai tahap integrasi sosial yang lebih bersepadu.
Aktiviti-aktiviti seperti ini wajar diperbanyakkan lagi dalam masyarakat
Malaysia hari ini. Apa yang penting semangat cintakan negara perlu disemai ke
dalam jiwa masyarakat kita semenjak kecil lagi bagi mewujudkan jalinan
integrasi yang utuh dan murni dalam kalangan masyarakat Malaysia yang kaya
dengan pelbagai kebudayaan dan keagamaan.

AKTIVITI 10.3
Pilih kawasan yang selesa dengan anda dan buat satu kajian
pemerhatian tentang bagaimana kesepaduan sosial terbina dalam
konteks hubungan etnik di kawasan mana yang anda pilih. Sediakan
laporan hasil pemerhatian tersebut untuk berkongsi dengan pelajar lain.

10.4

KEJAYAAN MALAYSIA DALAM


MENGURUSKAN HUBUNGAN ETNIK

Mengurus hubungan etnik bukan satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi
mengurus hubungan etnik di Malaysia. Ini kerana sebagai sebuah negara
berbilang etnik, rencam masyarakatnya membuatkan pengurusan hubungan
etnik di Malaysia menjadi agak rumit. Namun, sejak merdeka sehingga kini,
masalah yang berkaitan hubungan etnik di Malaysia masih mampu untuk
diselesaikan oleh pihak pemerintah. Itulah yang dikatakan kejayaan Malaysia
dalam mengurus hubungan etnik.
Dewasa ini, media tempatan sama ada media cetak, media elektronik mahupun
laman sosial sering berbicara mengenai konsep 1Malaysia. Usaha Malaysia
dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik nescaya tidak akan
membuahkan hasil tanpa berpegang teguh kepada konsep atau gagasan
1Malaysia. Jika diteliti konsep 1Malaysia tersebut secara mendalam, ia ibarat
rebranding kepada konsep perpaduan yang pernah diketengahkan oleh
pemerintah yang terdahulu. Konsep 1Malaysia lahir semasa tampuk
pemerintahan negara bertukar tangan kepada Perdana Menteri yang keenam,
iaitu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
Konsep 1Malaysia ini bertujuan membudayakan rakyat supaya bersikap
menerima keunikan kepelbagaian kaum agar dapat hidup bersama dan saling
hormat-menghormati. 1Malaysia adalah pendekatan serampang dua mata iaitu
untuk memberi keadilan sosial kepada semua lapisan kaum dan juga ke arah

274

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

pemantapan negara dan bangsa. Strategi ini diharapkan dapat membantu


kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengutamakan kepentingan
rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat dengan memastikan perkongsian
kemakmuran negara secara bersama tanpa ada rasa terpinggir.
Apa yang terkandung dalam konsep ini sehingga membolehkan Malaysia
berjaya menguruskan hubungan etnik ialah konsep ini mengutamakan keadilan
dan kesaksamaan dalam perkongsian kekayaan dan kemajuan negara tanpa
mengira kaum dan agama. Keutamaan terhadap kesaksamaan dan keadilan ini
ialah usaha untuk mewujudkan satu Bangsa Malaysia yang bersatu. Kebajikan
setiap etnik dijaga dan dipenuhi. Contohnya, dalam hal pendidikan, pelajar yang
layak dan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysa (SPM) akan
diberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi jika layak. Biasiswa akan diberikan
tanpa mengira warna kulit dan agama. Mereka yang dapat biasiswa tersebut
ialah mereka yang memohon dan layak memiliki biasiswa berkenaan. Dalam erti
kata yang mudah, kelayakan permohonan ialah mengikut meritokrasi.
Di samping itu, faktor lain yang menyebabkan Malaysia masih mampu untuk
mengurus hubungan etnik ialah pihak pemerintah sering menyeru rakyat agar
sentiasa bertolak ansur untuk mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan
faham. Rakyat Malaysia disemai dengan semangat kekitaan di bangku sekolah
lagi. Justeru, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik sering
dinasihati supaya menjaga adab sopan dan jangan bertindak keterlaluan untuk
mengkritik atau menghina etnik dan agama lain.
Dalam hal ini, kesedaran masyarakat masih kuat dan sedar bahawa
persefahaman antara etnik adalah asas perpaduan dan seharusnya dipraktikkan
dalam diri generasi muda, terutamanya di bangku sekolah lagi. Sekolah
berperanan sebagai medium perpaduan generasi muda yang terdiri daripada
pelbagai etnik, menyisipkan juga nilai-nilai murni dalam diri setiap pelajar.
Contohnya, nilai toleransi, nilai hidup bersama secara aman, nilai kasih sayang
dan sebagainya. Dengan adanya nilai-nilai murni ini dalam diri setiap generasi
muda Malaysia, mereka sedar bahawa mereka sebenarnya ibarat tinggal di
dalam rumah yang sama, namun berlainan bilik. Oleh itu, ia menjadi
tanggungjawab bersama untuk menjaga tempat tinggal kita agar keharmonian
dapat dilaksanakan. Di samping itu, mereka juga harus sedar akan kepentingan
untuk kenal mengenali antara satu sama lain.
Dalam konteks yang sama, kepentingan perpaduan juga diselitkan dalam mata
pelajaran Pendidikan Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan,
Pendidikan Agama Islam, kursus Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan
Tamadun Asia (TITAS) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam atau
swasta yang membantu dalam memupuk hubungan etnik yang harmonis.

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

275

Lantaran itu, pelajar didedahkan dengan kepentingan menjaga keharmonian


antara kaum dan tidak kurang juga menghormati agama, adat, kebiasaan dan
kepercayaan kaum lain. Penyertaan dalam aktiviti atau kelab juga merupakan
pemangkin perpaduan. Sesebuah organisasi kelab atau sukan yang disertai oleh
pelajar pelbagai etnik merupakan jalan permulaan ke arah menyatupadukan
warganegara Malaysia. Hal ini akan mendorong mereka untuk saling memahami
antara satu sama lain melalui interaksi di sekolah. Maka dengan ini akan
wujudlah generasi muda Malaysia yang mengutamakan kejayaan dengan
adanya semangat untuk bersaing, menghargai negara yang dicintai dan yang
paling penting semangat bersatu padu dan saling menghormati.
Dalam situasi yang lain, kejayaan Malaysia dalam menguruskan hubungan
etnik juga membuatkan kerajaan mengambil inisiatif yang proaktif dengan
menggalakkan rakyat saling mengambil berat dan mengunjungi antara satu
sama lain di peringkat sekolah rendah lagi. Hidup berjiran dengan etnik yang
lain terutamanya yang tinggal di bandar besar turut mengukuhkan perpaduan
antara satu sama lain. Semangat sentiasa bertegur sapa dan berkongsi pahit dan
manis bersama membuatkan hubungan antara jiran pasti akan bertambah erat.
Hal ini dikuatkan lagi semasa musim perayaan yang mana rakyat Malaysia
digalakkan saling kunjung mengunjungi rumah antara satu sama lain. Dengan
adanya majlis rumah terbuka semasa sambutan Hari Raya, Tahun Baru Cina,
Hari Deepavali, Hari Gawai dan sebagainya, rakyat Malaysia dapat merasai dan
memahami budaya yang berbeza daripada pelbagai etnik seperti budaya etnik
Cina yang tidak menyapu rumah mereka ketika perayaan kerana dikhuatiri akan
turut menyapu segala rezeki dan keuntungan yang ada. Di samping itu juga,
aktiviti kunjung-mengunjung akan memberi peluang merasai masakan
tradisional mengikut kaum seperti rendang, kari ayam, maruku, nasi ayam
Hainam dan sebagainya. Rakyat Malaysia sebenarnya berpeluang menyaksikan
keunikan pakaian tradisional etnik lain contohnya seperti baju kurung,
cheongsam, sari dan sebagainya. Ini juga akan meningkatkan interaksi sesama
etnik.
Selain itu, faktor lain yang mendorong Malaysia berjaya menguruskan hubungan
etnik ialah dengan menggunakan media massa. Media massa juga tidak
ketinggalan untuk memainkan peranannya yang signifikan dalam usaha
menyatupadukan masyarakat berbilang etnik. Media massa merupakan medium
yang utama untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat. Dalam hal ini, pihak
pemerintah memainkan peranan yang baik dalam menggunakan media massa
sebagai sumber maklumat perpaduan kepada rakyat jelata. Pesanan atau
makalah yang berkaitan dengan semangat perpaduan dan menggalakkan
perpaduan disampaikan melalui media cetak dan elektronik seperti laman
sesawang, media sosial, poster, iklan, majalah dan surat khabar. Lagu patriotik

276

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

juga sering dimainkan di corong radio dan di kaca televisyen untuk menaikkan
semangat patriotik rakyat. Hal ini menyuntik semangat kepada warganegara,
terutama generasi muda untuk terus memelihara perpaduan kaum kerana
mereka ialah generasi pelapis yang akan terus membangunkan negara. Bak kata
pepatah, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Tolak ansur budaya yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia juga
merupakan salah satu asas yang penting dalam mewujudkan perpaduan antara
etnik di Malaysia. Oleh sebab tolak ansur ini jugalah Malaysia berjaya dalam
mengurus hubungan etniknya. Ia dapat dilihat dari pelbagai aspek. Salah
satunya aspek bahasa. Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan sementara bahasa lain juga boleh digunakan secara meluas dalam
berbagai-bagai perkara seperti perniagaan dan pekerjaan. Begitu juga dengan
budaya Melayu, yang nampaknya jelas diamalkan dalam negara ini dan
dijadikan teras kebudayaan kebangsaan. Di samping itu, amalan tradisi budaya
lain masih boleh diamalkan terus oleh etnik masing-masing. Selain itu,
perkongsian nilai dan tindakan saling menyertai perayaan antara etnik
merapatkan lagi hubungan etnik di negara ini. Oleh yang demikian,
kepelbagaian budaya sebagai hakikat sebenar merupakan satu kekuatan dalam
memupuk perpaduan antara etnik di negara kita.
Ringkasnya, kejayaan Malaysia dalam mengurus hubungan etnik merupakan
kejayaan yang boleh dijadikan contoh kepada negara luar tentang kaedah
pengurusan hubungan etnik yang baik. Ia juga merupakan warisan dari generasi
masa kini kepada generasi akan datang yang akan mengambil alih tampuk
pemerintahan negara suatu masa nanti. Generasi muda perlu ingat bahawa
pergolakan dan perbalahan antara etnik akan menyebabkan negara menjadi
lemah dan tidak stabil. Sejarah telah membuktikan sebelum negara mencapai
kemerdekaan, etnik Melayu, Cina dan India hidup dalam kelompok mereka
sendiri dan tidak bercampur antara satu sama lain.
Lantas, generasi muda yang bakal menggantikan tampuk pemerintahan kini
perlu bersiap siaga dari segi ilmu pengetahuan agar bijak menguruskan negara
kita yang terdiri daripada pelbagai etnik. Pengetahuan mengenai sejarah negara
perlu dipelajari dan diketahui oleh semua generasi muda Malaysia bagi
membentuk generasi muda kelas pertama, mencapai wawasan negara untuk
menjadi negara maju pada tahun 2020 serta meneruskan agenda pembangunan
negara pada masa kini dan akan datang.

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

277

Namun harus diingat juga, bahawa kejayaan dalam mengurus hubungan etnik
yang kita kecapi pada hari ini berada pada peringkat permulaan. Masih banyak
lagi cabaran yang akan datang menimpa negara kita untuk sama-sama kita
hadapi. Justeru, sentiasalah bersedia wahai anak bangsa Malaysia untuk
menghadapinya dan kekalkanlah keamanan dan kestabilan negara. Hubungan
etnik yang baik adalah milik kita bersama.

SEMAK KENDIRI 10.1


Bagaimanakah Malaysia berjaya menguruskan hubungan etnik hingga
menjadi contoh kepada negara luar? Bincangkan.

10.5

KESIMPULAN

Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang etnik dan


perbezaan adalah identiti kita Malaysia. Kita dibentuk oleh perbezaan,
pertentangan dan ciri-ciri yang berlawanan. Oleh itu, menguruskan masyarakat
Malaysia memerlukan kemahiran tertentu. Ini tidak bermakna sesuatu yang
berbeza tidak boleh bekerjasama, malahan menurut Kementerian Pelancongan
kepelbagaian ini suatu kekayaan hingga mewujudkan slogan Malaysia Truly
Asia. Kekuatan Malaysia adalah power sharing (berkongsi kuasa) dengan
mempraktikkan prinsip agree to disagree (bersetuju untuk tidak bersetuju).
Justeru, senario ini perlu kita terangkan kepada anak-anak muda di Malaysia.
Masyarakat dunia juga perlu diberikan penjelasan. Cara dan kaedah terbaik
dalam perkara ini adalah melalui pelaksanaan kursus Hubungan Etnik. Kursus
Hubungan Etnik merupakan platform untuk kesepaduan sosial bertapak dalam
masyarakat. Kursus ini menyediakan para pemimpin masa depan untuk
mengenali budaya dan latar belakang etnik yang berbeza dan melihat perbezaan
ini dari dimensi yang positif. Kejayaan Malaysia menguruskan masyarakatnya
terbukti apabila kita adalah antara negara yang teraman iaitu berada di tempat
yang ke-19 teraman di dunia di belakang negara maju menurut Global Peace
Index 2011 walaupun kita terdiri daripada pelbagai etnik.

278

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

Ini merupakan kejayaan yang nyata dan membuktikan kerajaan Malaysia berjaya
menguruskan masyarakatnya menggunakan formula integrasi. Malaysia secara
jelasnya mempraktikkan unity in diversity (perpaduan dalam kepelbagaian) dan
juga cohesion in diversity (kesepaduan dalam kepelbagaian) dan ini merupakan
kunci kejayaan Malaysia menguruskan masyarakatnya. Hampir 60 tahun kita
mengejar perpaduan dan integrasi yang menjadi idaman sebuah negara bangsa
Malaysia. Dalam tempoh ini, kita sebenar berjaya dalam mewujudkan
kesepaduan sosial. Walaupun perpaduan dan integrasi yang diidamkan belum
sepenuhnya tercapai, tetapi kita telah mencapai keharmonian dan kestabilan
dalam masyarakat.

AKTIVITI 10.4
1.

Beri dan bincangkan contoh ruang awam yang biasa menjadi


tempat rakyat negara ini bersantai dan berehat selain dari contoh
yang telah diberikan.

2.

Bincangkan dalam kumpulan, pengalaman setiap ahli kumpulan


anda mengenai kesepaduan sosial antara etnik yang pernah
dilalui dalam realiti kehidupan anda sebagai seorang rakyat
Malaysia.

3.

Pilih salah seorang perdana menteri Malaysia dan bincangkan


kejayaan Malaysia dalam mengurus hubungan etnik semasa
perdana menteri tersebut memerintah. Bentangkan di dalam
kelas.

SEMAK KENDIRI 10.2


1.

Bincangkan usaha yang telah digarap oleh kerajaan Malaysia


untuk membina kesepaduan sosial dalam masyarakat.

2.

Melalui pengamatan anda sendiri, senaraikan tempat di mana


masyarakat pelbagai etnik dapat duduk bersama dan beraktiviti.

3.

Dengan memilih mana-mana negara luar, bincangkan bagaimana


kesepaduan sosial dibina dalam masyarakat mereka.

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

279

Malaysia merupakan sebuah negara membangun yang berjaya menguruskan


hubungan etnik dalam sebuah negara yang pelbagai etnik. Justeru, Malaysia
mempraktikkan konsep Kesepaduan dalam Kepelbagaian.

Malaysia mempunyai masyarakat yang pelbagai etnik sifatnya. Terdapat


pelbagai etnik di Semenanjung Malaysia, antaranya adalah Melayu, Cina,
India dan Orang Asli atau Orang Asal. Manakala, di Sabah dan Sarawak
pula, terdapat kaum peribumi seperti Kadazan, Bajau, Bidayuh, Iban,
Kenyah, Murut dan lain-lain.

Kunci kejayaan Malaysia menguruskan masyarakat adalah melalui usaha


yang telah dilaksanakan oleh kerajaan di samping wujud kesedaran dalam
kalangan masyarakat yang pelbagai etnik tentang kepentingan keharmonian
dalam masyarakat.

Konsep pengalaman harian yang dibawa oleh Shamsul Amri Baharuddin


yang sinonim dengan everyday define. Pengalaman harian adalah
berkaitan dengan pengalaman yang dialami oleh seseorang rakyat Malaysia
apabila berinteraksi atau bersosial dengan seseorang yang lain yang
melibatkan perbezaan etnik.

Interaksi sosial secara harian berlaku dengan kadar yang cukup tinggi seperti
di tempat atau ruang awam, antaranya kedai mamak, semasa perayaan,
majlis perkahwinan dan jamuan rumah terbuka.

Secara praktikalnya, masyarakat Malaysia bertemu tetapi mereka tidak


bersatu. Ini adalah antara cabaran besar yang terpaksa diterima dalam
konteks masyarakat plural. Walaupun kita tidak bersatu, tetapi kita berpadu.
Justeru, masyarakat Malaysia sebenarnya mempraktikkan kesepaduan sosial.

Kesepaduan sosial dapat dilihat melalui aktiviti kemasyarakatan antaranya


program seperti aktiviti sosial di kawasan Rukun Tetangga, rumah terbuka,
kesukanan dan aktiviti kesukarelawan.

Sejak akhir-akhir ini, konsep 1Malaysia di bawah kepimpinan Dato Sri Najib
Tun Razak diketengahkan dengan tujuan untuk menyatupadukan
masyarakat yang berbilang etnik. Konsep ini bertujuan membudayakan
rakyat supaya bersikap menerima keunikan pelbagai kaum dan dapat hidup
bersama, serta saling hormat menghormati.

280

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

1Malaysia

Perpaduan

Kesepaduan

Perpaduan dalam kepelbagaian

Kesepaduan dalam kepelbagaian

Restoran mamak

Kesepaduan sosial

Ruang awam

Malaysia Truly Asia

Rukun Negara

Negara bangsa

Rukun Tetangga

Pengalaman harian

Takrifan autoriti

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, & Roziya Abu. (2008). Rukun negara asas
pembentukan hubungan etnik yang jitu. Dalam Mat Zin Mat Kib, Worran
Hj. Kabul & S. Salahudin Suyurno (pnyt.). Hubungan etnik di Malaysia:
Sejarah, iltizam & cabaran baru, hlm. 161. Shah Alam, Malaysia: Pusat
Penerbitan Universiti Teknologi MARA.
Hasnah Hussiin. (2010). Isu-isu negara bangsa abad ke-21. Kuantan, Malaysia:
Penerbit Universiti Malaysia Pahang.
Hasnah Hussiin. (2010). Sejarah, isu dan dimensi. Kuantan, Malaysia: Penerbit
Universiti Malaysia Pahang.
Mohda Zamani Ismail, & Fatimi Hanafi (2008). Perpaduan politik asas integrasi
nasional di Malaysia. Dalam Mat Zin Mat Kib, Worran Hj. Kabul &
S. Salahudin Suyurno (pnyt.). Hubungan etnik di Malaysia: Sejarah, iltizam
& cabaran baru, hlm. 5969. Shah Alam, Malaysia: Pusat Penerbitan
Universiti Teknologi MARA.
Mohd. Sohaimi Esa, Dayu Sansalu, & Budi Anto Mohd. Tamring. (2011).
Hubungan etnik: Kelangsungan pembinaan negara bangsa. Puchong,
Malaysia: Penerbitan Multimedia.
Paimah Atoma, Mohd. Azmir Mohd. Nizah, & Latifah Abdul Latiff. (2011).
Hubungan etnik. Bandar Baru Nilai, Malaysia: Penerbit Universiti Sains
Islam Malaysia.

TOPIK 10

HUBUNGAN ETNIK DALAM REALITI MASYARAKAT MALAYSIA

281

S. Salahudin Suyurno, & Aini Faezah Ramlan (2008). Hubungan etnik dari
perspektif Islam. Dalam Mat Zin Mat Kib, Worran Hj. Kabul & S. Salahudin
Suyurno (pnyt.). Hubungan etnik di Malaysia: Sejarah, iltizam & cabaran
baru, hlm. 161. Shah Alam, Malaysia: Pusat Penerbitan Universiti Teknologi
MARA.
Shamsul Amri Baharuddin. (2012). Modul hubungan etnik. Ed. Ke-2. Bangi,
Malaysia: Institut Kajian Etnik, UKM.
Ting Chew Peh. (1987). Hubungan ras dan etnik: Suatu pengantar. Kuala
Lumpur, Malaysia: Pustaka Dimensi.

You might also like