Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Malaysia, Truly Asia.

Itulah yang diungkapkan oleh Tourism Malaysia untuk


menggambarkan satu keistimewaan yang tiada di negara-negara Asia yang lain tetapi ada
di Malaysia. Keistimewaan yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan tiga kaum utama
iaitu Melayu, Cina dan India di samping kumpulan-kumpulan kaum yang lain hidup
bersama dalam suasana yang majmuk di dalam sebuah negara dan mewujudkan
kepelbagaian budaya serta adat resam.
Rasanya kita semua mengakui bahawa keharmonian kehidupan masyarakat berbilang
kaum - yang kemudiannya dijadikan sebagai satu ciri penting kepada industri
pelancongan negara - adalah berpunca daripada sikap tolak ansur yang ditunjukkan oleh
kaum-kaum yang ada di Malaysia sehingga menjadi kita antara negara yang terkehadapan
dalam pembangunan di rantau Asia. Sekira dibandingkan dengan negara-negara di Afrika
mahupun Amerika Latin, kita adalah jauh lebih baik.
Persoalannya sejauh mana sikap tolak ansur ini dapat bertahan? Ini kerana tolak ansur itu
sendiri mencerminkan kewujudan unsur "tidak rela tetapi terpaksa" bagi mewujudkan
satu suasana menang-menang yang ada kalanya menyebabkan satu pihak perlu membuat
pengorbanan yang lebih besar berbanding pihak yang satu lagi. Justeru perpaduan antara
kaum yang ada pada hari ini bukanlah satu bentuk perpaduan yang kukuh yang terbina
hasil keluhuran hati dan sikap saling mempercayai antara satu sama lain.
Buktinya apabila disebut berkenaan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera
atau Dasar Ekonomi Baru, mahupun peri cadangan pengwujudan satu sistem pendidikan
berteraskan kebangsaan, maka ada pihak-pihak yang tertentu akan tidak senang duduk.
Hatta perkara-perkara yang hanya ada menyentuh sesuatu kaum atau penganut agama
tertentu sahaja, ada kaum / penganut agama lain yang dilihat melatah tanpa sebab yang
munasabah.
Jadi kita perlu mengakui dan menerima kenyataan bahawa perpaduan kaum di Malaysia
yang wujud pada hari ini tertegak di atas asas yang tidak begitu kuat dan mantap.
Semuanya berpunca daripada kegagalan kita memahami dan menghormati hak, budaya
dan adat resam antara satu sama lain.
Ini diburukkan lagi oleh kewujudan kumpulan-kumpulan siasah yang bersifat perkauman
dan sikap para pemimpin siasah itu sendiri yang tidak bersungguh-sungguh untuk melihat
masyarakat yang ada di Malaysia hidup dalam suasana yang majmuk. Dalam banyak
keadaan, para pemimpin siasah sebenarnya lebih banyak merosakkan perpaduan yang
sedia dengan menimbulkan pelbagai persoalan yang mencetuskan keresahan kaum.
Semuanya dilakukan bagi meraih sokongan kumpulan yang mereka wakili.
Selain itu sistem pendidikan kita yang sering bertukar hala tuju dan berbagai-bagai aliran
merumitkan lagi usaha membentuk perpaduan kaum. Kita boleh berbangga dengan
sistem pendidikan yang kononnya dikatakan antara yang terbaik di kalangan negara
sedang membangun, akan tetapi adakah sistem pendidikan kita telah melahirkan satu
kelompok pelajar yang mempunyai asas perpaduan kaum yang kukuh?

Jawapannya tentulah tidak kerana daripada peringkat rendah hinggalah ke institusi


pengajian tinggi, unsur perpaduan bukanlah agenda utama yang tersirat di sebalik sukatan
pelajaran yang diajar kepada para pelajar. Pendidikan di Malaysia lebih tertumpu kepada
kecemerlangan menjawab soalan peperiksaan.
Keadaan yang ada sekarang juga sebenarnya tidak selari dengan matlamat utama Penyata
Razak di mana di dalam penyata tersebut antara lain dinyatakan bahawa hasrat utama
sistem pendidikan negara ialah menjurus ke arah perpaduan nasional. Tapi apa yang
berlaku adalah sebaliknya kerana sekolah hanya mengejar kejayaan akademik dan
mengenepikan unsur perpaduan.
Jadi untuk mengatasi masalah kerapuhan perpaduan ini, pencetus-pencetus kepada
masalah tadi perlu dilenyapkan atau diperbaiki agar ia tidak berterusan menjadi asas
kepada ketidakstabilan kehidupan bermasyarakat di negara kita.
Pertamanya perlu ada persefahaman di antara satu sama lain. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa adalah sukar untuk membentuk satu persefahaman yang jitu kerana ia
ada kalanya akan melibatkan pengorbanan kepentingan oleh satu kaum demi kaum lain.
Tapi hakikatnya, dalam satu-satu etnik itu sendiri, masalah perpaduan ada kalanya sukar
untuk dibentuk, apatah lagi dalam satu negara yang mempunyai berbilang bangsa seperti
Malaysia ini. Apapun kita perlu cuba untuk hidup dalam satu suasana yang majmuk dan
cuba menjaga perasaan serta menghormati antara satu sama lain.
Di sini ahli-ahli siasah tidak seharusnya melihat permasalahan-pemasalahan tertentu
sebagai satu peluang bagi meraih kepentingan siasah masing-masing. Sebaliknya mereka
perlu mengutamakan kebajikan dan kemaslahatan umum berbanding kepentingan
peribadi. Malah ini sebenarnya yang disyariatkan oleh Islam. Mereka perlu sedar, kerjaya
siasah mereka mungkin tidak akan ke mana jika berteraskan kepada pemahaman siasah
perkauman yang sempit. Lihat apa yang terjadi kepada Pauline Hanson yang
memperjuangkan segelintir hak kaum kulit putih Australia mahupun P.W Bortha yang
mengamalkan sistem apartheid di Afrika Selatan. Kerjaya siasah mereka berkesudahan
dengan kehinaan.
Begitu juga dengan sistem pendidikan negara. Di Malaysia kita ada pelbagai jenis
sekolah. Ada sekolah kebangsaan, ada jenis kebangsaaan, ada aliran agama mahupun
sekolah antarabangsa. Memang tak salah untuk mempunyai pelbagai jenis sekolah dan
memang tak salah kalau kita hendak hantar anak kita bersekolah di mana-mana.
Akan tetapi di sini penulis menyokong cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan
berteraskan kebangsaan. Pada pandangan penulis apabila pelajar berbilang kaum di
peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di peringkat rendah
lagi, usaha untuk membentuk satu masyarakat berbilang kaum yang berpadu dapat
dilakukan dengan lebih berkesan. Malah unsur ini perlu ditanam seawal yang mungkin
kerana apabila dewasa baru hendak disemai dengan benih-benih perpaduan, penulis
merasakan ia agak terlambat kerana pada tahap tersebut para pelajar sudah ada tanggapan
tersendiri terhadap orang lain.

Memang tidak dapat dinafikan perpaduan merupakan pemangkin kepada kemajuan


negara. Tanpa unsur perpaduan yang utuh, keharmonian bermasyarakat dalam pelbagai
bidang kehidupan tidak dapat dinikmati. Dalam hal ini kita semua tidak mahu pepatah
yang mengatakan yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran berlaku ke atas kita.
Jika pun kita tidak berjaya mencari satu rumusan yang berkesan kepada masalah ini,
memadailah jika kita berusaha memperkukuhkan tahap perpaduan yang sedia ada agar ia
tidak terus menjadi lemah atau terhakis.

You might also like