Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 4

PERMASALAHAN DAN HALANGAN MEMUPUK PERPADUAN DI NEGARA

MALAYSIA
Pengenalan
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya terdiri daripada
berbilang kaum dan agama seperti kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain. Oleh disebabkan
masyarakat di Malaysia berbilang bangsa, masalah perpaduan dan integrasi merupakan satu
masalah besar. Perubahan yang wujud di antara kaum dari segi pemikiran, tingkahlaku telah
menimbulkan pertelingkahan atau ketegangan dalam negara. Ini dapat dilihat melalui peristiwa
13 Mei 1969 yang mengugat keselamatan dan keharmonian negara. Persoalannnya, apakah
permasalahan dan halangan untuk memupuk perpaduan kaum dan etnik di negara kita?
Cuba kita bayangkan jika perpaduan kaum di negara kita berada pada tahap yang
memberangsangkan. Sudah tentu negara kita dapat mempertahankan kedaulatannya dan menjadi
negara maju setanding negara-negara maju lain seperti China, Jepun dan Amerika Syarikat.
Faktor dan kesan permasalahan dan halangan memupuk perpaduan kaum di Malaysia
Terdapat beberapa faktor permasalahan dan halangan memupuk perpaduan kaum di
Malaysia. Pertama ialah dasar pecah dan perintah. British menjalankan dasar pecah dan
perintah agar dapat memerintah dan mengeksploitasi ekonomi negara. Dasar ini juga telah
memisahkan kaum-kaum utama di negara ini mengikut bidang ekonomi yang dijalankan.
Oleh itu, masyarakat Melayu yang mengendalikan pertanian tradisional ditempatkan di kawasan
luar bandar iaitu di kampung-kampung. Masyarakat Cina ditempatkan di lombong-lombong bijih
timah dan bandar-bandar kerana aktiviti perlombongan dan perdagangan yang dijalankan oleh
mereka. Manakala masyarakat India pula ditempatkan di ladang-ladang getah. Kesan daripada
dasar pecah perintah ialah ketiga-tiga kaum ini terpisah dan tidak wujud interaksi antara satu
sama lain. Selain itu, melalui dasar British ini, perasaan buruk prasangka dapat dipupuk dan
setiap kaum dapat memperkukuhkan keperibadian mereka mengikut kaum sendiri. Oleh
itu, dasar pecah perintah dapat menjarakkan jurang perpaduan antara kaum di Malaysia.
Selain itu, pengasingan sistem pendidikan merupakan faktor kepada halangan
menyemai perpaduan kaum di malaysia. Pada zaman penjajahan, Tanah Melayu tidak mempunyai
dasar pendidikan yang jelas. Semasa pemerintahan British, sistem pendidikan yang dilaksanakan
oleh pihak British tidak menunjukkan keseimbangan. Sistem pendidikan British telah bersifat
perkauman. British mewujudkan empat jenis persekolahan iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina

dan Tamil. Keempat-empat aliran ini mempunyai perbezaan yang ketara dari segi matlamat,
sukatan pelajaran, bahasa pengantar dan pendidikan guru. Perbezaan sistem pendidikan ini telah
menyebabkan perpaduan di antara rakyat tidak berlaku. Kesan langsung wujudnya sistem
pendidikan zaman British ini menyukarkan semangat perpaduan dicapai. Pelajar langsung tidak
berpeluang untuk bergaul dengan pelajar atau etnik lain ini menyulitkan pembentukan
persefahaman antara etnik. Melalui pendidikan ini juga pengaruh daripada kehidupan dan adat
resam membuat setiap masyarakat merasakan kaum mereka lebih cemerlang. Keadaan ini
menyebabkan sesetengah masyarakat dalam kaum yang berbeza ini memandang rendah
terhadap kaum lain.
Seterusnya, kemiskinan merupakan faktor halangan memupuk perpaduan kaum di
Malaysia. Kadar kemiskinan di kalangan penduduk pada zaman penjajahan adalah tinggi
kerana fungsi ekonomi yang berbeza. Terdapat jurang perbezaan pendapatan yang ketara di
antara penduduk di bandar dan di luar bandar. Kemiskinan ini telah menyebabkan berlakunya
masalah sosial di kalangan rakyat. Keadaan ini telah menjadi salah satu faktor yang menyebabkan
berlakunya masalah perpaduan dan seterusnya gagal mencapai integrasi nasional. Kesan kepada
masalah kemiskinan telah menyebabkan berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Oleh
itu, kerajaan telah melancar Dasar Ekonomi Baru (DEB). Terdapat dua matlamat utama
dalam pelancaran DEB, iaitu iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum dan kedua
penyusunan semula masyarakat Malaysia bertujuan untuk menghapuskan pengenalan kaum
berdasarkan fungsi ekonomi. Selain itu, DEB berfungsi untuk memulihkan hubungan dan
ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum.
Cara mengatasi masalah perpaduan kaum pada peringkat masyarakat, sekolah dan
kerajaan di Malaysia
Terdapat beberapa cara mengatasi masalah perpaduan kaum. Pertama, perpaduan kaum dapat
dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan masyarakat setiap kaum
mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat memupuk semangat
kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap
mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Sebagai contoh ialah aktiviti
gotong royong yang memerlukan sumbangan setiap pihak dalam satu komuniti. Seterusnya, satu
daripada cara mencapai perpaduan di antara kaum ialah menjaga budi bahasa dan akhlak
dalam kalangan masyarakat tidak berbilang kaum. Perbezaan agama serta kepercayaan tidak
menjadi penghalang untuk setiap kaum berkawan. Setiap masyarakat harus menghormati setiap

adat istiadat yang diamalkan oleh setiap kaum. Contohnya, pada hari perayaan 31 Ogos, Hari
Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Raya, Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. Jika setiap
masyarakat di Malaysia menjaga budi bahasa dan menghormati agama dan adat istiadat setiap
kaum, tidak mustahil negara kita menjadi negara paling aman di muka bumi ini.
Kedua, perpaduan kaum dapat disemai dalam kalangan pelajar di sekolah melalui
kokurikulum. Peranan utama kokurikulum ialah untuk memupuk dan mengeratkan hubungan
dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Guru kokurikulum boleh menganjurkan Program anak
angkat. Program anak angkat boleh dijalankan oleh pihak sekolah contohnya ke Sabah atau
Sarawak agar seseorang pelajar dapat mengenali ciri-ciri kehidupan dan kebudayaan sesuatu
tempat. Dengan ini, wujudlah persefahaman dan perpaduan di antara pelajar dan penduduk
sesuatu tempat. Seterusnya, perkhemahan merupakan satu aktiviti yang dijalankan oleh badanbadan beruniform seperti pengakap, pandu puteri dan sebagainya. Tujuan utama aktiviti-aktiviti
perkhemahan ini dianjurkan adalah untuk memupuk perpaduan dan semangat kekitaan dalam
kalangan peserta-peserta perkhemahan. Perpaduan antara kaum dapat dipupuk melalui
kokurikulum dan program-program di sekolah.
Ketiga, pihak kerajaan haruslah meletakkan matlamat perpaduan negara sebagai agenda
utamanya. Matlamat ini hanya boleh dicapai melalui pembangunan sosioekonomi yang
melibatkan pertumbuhan ekonomi, pengagihan pendapatan, kestabilan dan kesejahteraan umum.
Usaha ini perlu dijalankan secara berterusan kerana untuk mencapainya bukanlah mudah dan
cepat. Oleh yang demikian, antara cara mengukuhkan perpaduan ialah pihak kerajaan boleh
melaksanakan beberapa kempen dan program seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memantapkan
perpaduan kaum di negara ini. Pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam memupuk
perpaduan kaum di Malaysia.
Kesimpulan
Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana terdapat pelbagai kaum dengan tradisi,
kebudayaan dan agama yang berbeza menetap bersama. Walau bagaimanapun keunikan ini boleh
membawa kepada persengketaan andai tidak dijaga dengan betul. Sebarang kesilapan kecil boleh
menggugat hubungan yang sedia terjalin dan sejarah silam mungkin berlaku kembali jika kita
tidak menjaga keamanan negara. Aspek perpaduan kaum perlu diberi perhatian serius dan
penekanan yang menyeluruh oleh semua pihak. Oleh itu, pelbagai pihak seperti kerajaan, sekolah

dan masyarakat harus berkerjasama dan mengambil berat dalam pemupukan perpaduan kaum di
Malaysia.

You might also like