Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

PENDIDIKAN NON-FORMAL DI KAWASAN LUAR BANDAR DI MALAYSIA

Norazrine Abdul Tahar


Abdul Razaq Ahmad
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Kertas kerja ini membincangkan tentang teori-teori, konsep dan matlamat mengenai pendidikan
non-formal di Malaysia dalam konteks pembangunan insan berteraskan pendidikan sepanjang
hayat (life long learning). Kertas kerja ini juga menceritakan sejarah-sejarah pendidikan nonformal di Malaysia dan bentuk-bentuknya di kawasan luar bandar. Selain itu ia turut
membincangkan mengenai agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan pendidikan non-formal
di kawasan luar bandar yang berteraskan pendidikan sepanjang hayat. Kertas kerja ini juga turut
mengupas isu-isu yang melibatkan pendidikan non-formal di Malaysia. Perbincangan juga
memfokuskan langkah-langkah dan cabaran-cabaran yang dilalui dalam memperkasakan dan
membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat luar bandar.
Kata kunci : pendidikan non-formal, pendidikan sepanjang hayat, pembangunan insan, isu-isu
pendidikan non-formal.

NON-FORMAL EDUCATION IN RURAL AREAS IN MALAYSIA

Norazrine Abdul Tahar


Abdul Razaq Ahmad
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstract

This paper discusses the theories, concepts and goals of non-formal education in Malaysia in the
context of human development based on lifelong learning (life long learning). This paper also
tells the history-the history of non-formal education in Malaysia and its various forms in rural
areas. In addition, it also discusses the agencies involved in the success of non-formal education
in rural areas which based on lifelong learning. This paper also explores the issues involving
non-formal education in Malaysia. Discussion will also focus on the steps and challenges
experienced in empowering and help improve the quality of life in rural communities.

Keyword : non-formal education, lifelong education, human development, issues of non-formal


education

PENDAHULULAN
Sejak kebelakangan ini, terma pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan juga pembelajaran
masyarakat telah pun semakin popular. Berdasarkan petikan beberapa dokumen, faktor-faktor
seperti sosial, ekonomi, teknologi dan peribadi telah menggesa masyarakat untuk meneruskan
keperluan pembelajaran dalam masyarakat. Seperti di Malaysia, usaha memperkasakan program
pembelajaran sepanjang hayat melengkapkan ekosistem pendidikan negara bagi membangun dan
mengupayakan modal insan dalam kalangan rakyat dan petanda baik ke arah transisi menjadikan
Malaysia sebuah negara yang berasaskan ilmu pengetahuan.
Semenjak mencapai kemerdekaan, Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah
mengalami pelbagai perubahan dari sudut ekonomi, sosial, kebudayaan dan pendidikan. Ekoran
dari perubahan ini pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan rakyat negara ini
berilmu dan cemerlang melalui sistem pendidikan yang teratur dan moden. Menurut Mohd Yusop
(2003), pendidikan mampu mengubah nasib seseorang termasuk mobiliti sosial kehidupan
samada menurun atau menaik dalam sesebuah masyarakat dengan bantuan mekanisme sistem
pendidikan.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan Malaysia hari ini telah member perhatian yang serius
dalam bidang pembangunan insan yang berkaitan dengan keilmuan secara bersepadu, sama ada
melalui pendidikan formal atau non-formal. Dalam konteks ini, pendidikan non-formal yang
berkaitan dengan pendidikan dewasa adalah penting bagi melengkapkan dan mempercepatkan
Malaysia merealisasikan Wawasan 2020 bagi mencapai sebuah negara maju.

PENDIDIKAN NON-FORMAL (PNF) DAN MATLAMATNYA


Pendidikan non-formal (PNF) adalah semua bentuk aktiviti pendidikan yang dilakukan di luar
sistem pendidikan formal. Ianya dirancang dengan matlamat untuk memenuhi keperluan individu
dalam pelbagai bidang ilmu. Menurut Carton M. (1985) PNF ialah segala bentuk aktiviti
pendidikan yang tersusun dan sistematik untuk sesuatu golongan berdasarkan keperluan dan
aspirasi mereka. Nor Azizah Salleh (1991) dalam kajiannya mendefinisikan PNF adalah apa jua
pendidikan yang terancang tetapi di luar sistem pendidikan sekolah atau institusi pengajian
tinggi. Sebagaimana di terangkan juga oleh Jarvis (2001:21) bahawa PNF membawa maksud

any form of systematic learning conducted outside of a formal organization. Ianya bermatlamat
tersendiri mengikut pihak penganjur untuk peserta-peserta tertentu samada untuk memberi
pengetahuan, kemahiran, minat dan nilai tertentu yang membawa kepada keadaan positif kepada
peserta.
Sementara kajian yang dibuat oleh pasukan SEAMEO (1974: 2) telah memilih definisi
yang diutarakan oleh Coombs et al. (1973: 10-11) tentang PNF yang dihuraikan seperti berikut:
any organized educational activity outside the established formal system whether operating
separately or as an important feature of some broder activity that is intended to serve
identifiable learning clienteles and learning objectives
Setahun kemudian, Coombs dan Ahmed (1974: 8) telah mendefinasikan semula PNF sebagai:
...any organized, systematic, educational activity carried on outside the framework of the formal
system to provide selected types of learning to particular subgroups in the population, adults as
well as children. iaitu apa sahaja aktiviti pendidikan yang tersusun dan sistematik yang
dijalankan di luar rangka kerja sistem formal untuk memberi jenis-jenis pembelajaran yang
terpilih, untuk kumpulan tertentu dalam masyarakat, samada untuk orang dewasa atau kanakkanak.
Jenis-jenis pendidikan yang tergolong dalam PNF seperti yang dinyatakan oleh Sufean
Hussin (1993) ialah pendidikan berterusan (continuing education), pendidikan lanjutan (further
education), pendidikan dewasa (adult education) dan pendidikan berulang (recurrent education).
Fokus pendidikan non-formal bukanlah untuk mendapatkan sijil atau berjaya di dalam
peperiksaan semata-mata, sebaliknya matlamat asas adalah untuk member pendidikan berterusan
kepada setiap individu. Dengan ini mereka dapat meningkatkan diri di dalam bidang masingmasing.

SEJARAH PNF DI MALAYSIA


Perkembangan awal institusi pendidikan di Malaysia bermula dengan penyebaran agama Islam
pada abad ke-14 (Mazlan dan Mazanah, 2000). Sebelum kedatangan kuasa colonial di Tanah
Melayu, pendidikan dewasa hanya tertumpu kepada pengajian Al-Quran, pengetahuan moral dan
kerohanian, seni mempertahankan diri, pendidikan kemahiran dan ilmu bercucuk tanam (Yusof,
1977; Saedah, 1993).
Sebagai contoh, Hikayat Abdullah Munshi yang ditulis pada abad ke-19 yang
menceritakan mengenai pendidikan agama secara formal dan non-formal dalam kalangan orangorang Melayu di Melaka (Siti Hawa, 2002). Manakala Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu
(Siti Hawa, 2002) menceritakan tentang pengaruh pendidikan seni, budaya dan sastera yang
dijalankan di istana-istana raja pada zaman tersebut.
Ia dapat dilihat dengan lebih jelas apabila tertubuhnya Persatuan Pendidikan Dewasa
Pulau Pinang pada tahun 1951, Persatuan Dewasa Malaya pada tahun 1953 dan Skim Lanjutan
Pelajaran pada tahun 1958. Pada waktu ini, aktiviti pendidikan bagi orang dewasa hanya
melibatkan aspek literasi, teknikal dan komersial.
Bagi kawasan luar bandar pula, ianya bermula dengan lahirnya kempen Gerakan Lampu
Suluh yang bertujuan membasmi buta huruf dalam kalangan masyarakat luar bandar
(Kamarudin, 1989).
Berikutan usaha-usaha di atas , kelas-kelas literasi bagi membasmi buta huruf terus
dilancarkan di seluruh Malaya, dan selepas penubuhan Malaysia pada tahun

1963, ianya

diperkembangkan ke Sabah dan Sarawak (Mazanah & Associates, 2001). Era kepimpinan Tun
Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Persekutuan Malaysia, merupakan tempoh penting dalam
perkembangan pendidikan non-formal dan formal di negara ini (Sufean, 1993)
Menurut Norzaini Azman (2006), kesedaran pihak kerajaan, swasta dan masyarakat
terhadap peranan yang dimainkan oleh pendidikan sepanjang hayat ini adalah amat penting,
terutama sekali jika dilihat daripada sudut kepentingan dan sumbangannya terhadap
pembangunan masyarakat dan negara terutamanya luar bandar.

TEORI-TEORI PNF
Messick (1976) berpendapat bahawa terdapat hubungan dan perkaitan antara domain kognitif
dan afektif. Sebagai contoh, seseorang individu itu akan belajar dengan lebih afektif sekiranya
mempunyai motivasi instrinsik dan tidak mudah dipengaruhi oleh penguatkuasaan sosial.
Sementara itu, Zaharah (1996) pula menyenaraikan domain hasil pembelajaran mengikut
kategori dan hasil pembelajaran khusus domain tersebut. Menurut beliaau, domain kognitif
terdiri daripada beberapa kategori seperti pengetahuan, aplikasi, analisis, dan penilaian. Domain
afektif pula merangkumi kategori penerimaan, memberi respon dan pencirian melalui satu nilai
atau kompleks nilai. Seterusnya domain psikomotor pula mencakupi kategori persepsi, set,
mekanisme, penyesuaian dan asalan.
Oleh yang demikian, pelaksanaan pendidikan dewasa perlu mengambil kira teori-teori ini
kerana pengetahuan orang dewasa berbeza daripada kanak-kanak. Orang dewasa mempunyai
pemikiran mereka sendiri. Dengan itu, teori-teori tersebut dapat dijadikan panduan bagi
merancang dan merekabentuk program-program pendidikan dewasa berdasarkan model-model
bersesuaian.
AGENSI-AGENSI DAN PROGRAM-PROGRAM PNF DI KAWASAN LUAR BANDAR
DI MALAYSIA
Terdapat beberapa program yang disediakan oleh kerajaan dan swasta bagi menjayakan programprogram PNF di Malaysia terutama sekali di luar bandar. Yang terbaru ialah Strategi Lautan Biru
Kebangsaan 5 (NBOS 5) merupakan satu inisiatif merentas kementerian yang melibatkan pelajar
institusi pengajian tinggi (IPT) untuk melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada
masyarakat luar bandar. Salah satu program yang dijayakan di bawah NBOS 5 ialah Program
University Ambassador (UAP) yang diterajui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan
diselaraskan oleh Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).
Di bawah UAP terdapat empat inisiatif untuk dijayakan iaitu inovasi dan teknologi,
memupuk minat dalam matematik dan sains, pembelajaran sepanjang hayat dan usahawan mikro.
Terdapat tujuh program bermanfaat dilaksanakan di bawah UAP iaitu; C-Ways iaitu duta
university dari UTM membantu pengusaha labu saying memasarkan produk keluaran mereka

dengan member bantuan dari segi pembungkusan produk, penjenamaan semula, dan penempatan
semua labu sayong untuk menembusi pasaran yang lebih luas.
Selain itu ICT Village pula yang dari duta USM membantu mendedahkan kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada penduduk setempat di Felda Besout 2, Perak
dengan menggunakan kemudahan yang terdapat di Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Medan Info
Desa. Program SMARTORS dari duta UiTM bekerjasama dengan guru cemerlang untuk
memupuk dan mempertingkatkan minat subjek Matematik dan Sains di kalangan pelajar sekolah.
Program perintis diadakan di Sekolah Kebangsaan Trolak Utara, Perak dengan kerjasama
Kementerian Pelajaran.
Program Mobile Siswa dari UIAM menggunakan perpustakaan bergerak bagi
menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat setempat dengan berfokuskan kepada
niche area bagi kawasan berkenaan. Duta UiTM pula membantu program Agro Desa bagi
menyediakan petani dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi usahawan tani yang
berjaya. Program ini diadakan di Parit, Mukim Belanja, Perak melalui kerjasama FAMA dan
Jabatan Pengajian Kolej Komuniti.
Satu program perintis telah diadakan di Gopeng, duta dari university USIM dalam
program yang diberi nama ME Unilnterns akan membantu usahawan mikro memperbaiki
prestasi perniagaan mereka dengan menggunakan model SME Unilnterns daripada SME Corps.
Ia melibatkan produk kek tradisional dan juga makanan sejuk beku.
Program iParents dengan kerjasama duta daripada UPSI dan guru cemerlang telah
membantu ibu bapa di Felda Besout 1 yang mempunyai anak yang lemah dalam subjek Sains
dan Matematik.
Dengan adanya pelbagai program-program yang terbaru ini oleh pihak kerajaan dengan
bantuan pihak swasta, ia sekaligus dapat melonjakkan taraf hidup penduduk dan masyarakat luar
bandar.

ISU DAN CABARAN PNF MASYARAKAT LUAR BANDAR DI MALAYSIA


Isu ketertinggalan penduduk luar bandar dalam lapangan pendidikan bukanlah suatu perkara
yang asing. Coladarci (2007) menyatakan dalam kajiannya, kebanyakkan penduduk luar bandar
seringkali tertinggal dalam semua dimensi kehidupan berbanding penduduk bandar terutamanya
pembangunan insfrastruktur dan pendidikan yang berlaku disebabkan beberapa halangan
tertentu.
Aktiviti sosio-ekonomi masyarakat luar bandar adalah berasaskan usaha pertanian,
penternakan dan perikanan. Hampir semua aktiviti ini dilakukan secara sara diri atau dalam
pengertian lain bagi memenuhi keperluan asas keluarga (Hoogvelt, 1986; Dejene, 1980).
Pendidikan tidak dilihat sebagai satu faktor yang dapat mempertingkatkan produktiviti mereka
(Halsey, 1969: Cavanagh, 2002).
Kamarudin (1989) menyatakan taraf sosio-ekonomi masyarakat luar bandar boleh
dipertingkatkan melalui PNF bagi orang dewasa. Ibu bapa juga tidak memainkan peranan yang
penting dalam menggalakkan dan menghantar anak-anak mereka belajar untuk mendapatkan
pengetahuan dan kemahiran berkaitan kerjaya tradisi mereka dan seterusnya dapat membantu
meningkatkan ekonomi keluarga mereka (Coombs, 1985; Graham, 1991). Ini membuktikan
perkembangan pendidikan di luar bandar tidak seiring dengan perkembangan sosio-ekonomi
mereka.
Masyarakat luar bandar juga terikat dengan pelbagai adat dam resam. Walaupun
pendidikan moden telah dilaksanakan di luar bandar, namun masih terdapat elemen-elemen
tradisional yang mempengaruhi sistem pendidikan masyarakat luar bandar. Elemen pendidikan
moden yang bersifat objektif dan saintifik dilihat sebagai cabaran oleh penggiat pendidikan
tradisional (Morrish, 1986). Pergelutan di antara pemikiran tradisional dan moden dalam
kalangan masyarakat luar bandar ini, melambatkan proses perkembangan pendidikan mereka
(Baidya, 1980).
Suasana dan perkembangan pendidikan masyakarat luar bandar pada hari ini turut
dicorakkan oleh pengaruh kolonialisme. Dasar kolonialisme penjajah yang berasaskan ekonomi
kapitalis yang mementingkan pulangan segera telah meminggirkan pendidikan luar bandar
kebanyakkannya dihuni oleh penduduk pribumi. Mereka dilihat sebagai tidak produktif, terikat

dengan tradisi yang melampau dan tidak bergerak seiring dengan perkembangan sains dan
teknologi (Syed Husein Al-Attas,

1977). Kaum penjajah melihat usaha untuk mendidik

masyarakat luar bandar sebagai satu usaha yang melibatkan kos yang tinggi.
Pemerintah di negara-negara dunia ketiga yang telah terlepas dari penjajahan telah
melakukan pelbagai usaha untuk memperbaiki kemunduran pendidikan luar bandar. Kehadiran
sistem PNF sangat diperlukan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan dalam system
pendidikan formal (Draper, 1998; Nanda, 2003; Rohana, 2003) dalam mempertingkatkan
pembangunan pendidikan luar bandar, khususnya bagi negara-negara dunia ketiga termasuk
Malaysia.
LANGKAH-LANGKAH MEMPERKASAKAN PNF DI KAWASAN LUAR BANDAR DI
MALAYSIA
Dengan menggalakkan masyarakat meneruskan pembelajaran sepanjang hayat dalam kehidupan
mereka, ini membolehkan negara terus memajukan pembangunan sumber manusia di samping
menggunakan potensi sumber manusia sepenuhnya. Peluang-peluang belajar turut diperluaskan
terutama bagi menyediakan peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang tidak dapat memasuki
Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan menyediakan kaedah kolej-kolej komuniti di peringkat
daerah dan negeri di seluruh negara. Pendidikan juga boleh diikuti menerusi Pendidikan Jarak
Jauh, program Universiti Terbuka dan internet yang semakin luas penggunaannya.
Bagi mewujudkan pekerja berilmu, bermaklumat dan berpengetahuan dalam sektorsektor pembuatan dan perkhidmatan, dalam pembangunan ekonomi negara, maka menuntut ilmu
berterusan atau pembelajaran sepanjang hayat untuk mendapat pelbagai kemahiran atau
meningkatkan kemahiran amat diperlukan bagi pekerja sepenuh masa atau sementara melalui
PNF. Kesan globalisasi akan menjadikan ciri-ciri ini lebih penting untuk dimiliki oleh pekerja.
Bagaimanapun, perkara yang paling penting yang menentukan pekerja dan organisasi bertahan
dalam K-Ekonomi ialah tahap pengetahuan dan pembelajaran yang dimiliki pekerja dan syarikat.
Maka PNF memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja sentiasa berilmu,
bermaklumat dan berpengetahuan dengan kemahiran dan ilmu terkini.
Kemahiran mendidik anak-anak dan kemahiran keibubapaan (parenting skills) harus
diberi keutamaan dan diajar bukan sahaja di pusat komuniti dan tempat kerja yang bersifat non

formal tetapi di adakan dalam sistem persekolahan melalui aktiviti Ko-Kurikulum. Menerusi
program ini, kita dapat melahirkan satu generasi ibu bapa yang lebih bertanggungjawab dan
berdedikasi dalam mendidik anak-anak agar dapat menghasilkan generasi muda yang
bertanggungjawab, berwawasan serta berdisiplin.
Satu jaminan diberi di mana jika pelajar sains gagal untuk memasuki terus ke universiti
bagi mengikuti program Diploma atau Sarjana Muda, sebagai contohnya mereka diberi peluang
kedua melalui kursus seperti Pra-Sains yang dikendalikan oleh universiti dan politeknik, kolej
komuniti dan program latihan di Institut Latihan Perindustrian.
Dengan mewujudkan Insentif Latihan oleh sesebuah syarikat perlu digalakkan bagi
meningkatkan lagi latihan tenaga kerja dan pembangunan sumber manusia. Sistem percukaian
harus menyediakan insentif kepada majikan untuk lebih berbelanja ke atas latihan, seperti
membenarkan potongan cukai berganda (double-tax deduction) bagi perbelanjaan latihan.
Kerajaan juga perlulah menimbangkan memberi insentif kepada majikan yang memberi latihan
kepada wanita, terutama dalam sektor perkilangan.
Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia yang berasaskan tenaga kerja di sektor
swasta, sepatutnya lebih digunakan untuk membiayai pembangunan kemahiran keseluruhan dan
penyerapan berterusan kemahiran yang lebih tinggi oleh mereka yang masih bekerja.
Menyediakan kemudahan latihan dan modul yang bersesuaian dengan industri. Pihak
kontraktor atau syarikat bertanggungjawab menyediakan program latihan dan modul bagi
meningkatkan efisiensi pekerja ke arah industri yang berasaskan pengetahuan.
Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang positif dan berwawasan ke arah
mewujudkan Kerajaan Elektronik atau Electronic Organisasation (EO). EO merupakan satu
daripada flagship application MSC. INTAN memainkan peranan dalam mengenal pasti tahap
kemahiran dalam bidang teknologi maklumat peserta khusus dan personel perkhidmatan awam.
Sistem ujian yang dibangunkan oleh INTAN boleh digunakan bagi menentukan kursus atau
seminar yang perlu diikuti oleh seorang pegawai atau staf bagi meningkatkan kemahirannya.
Perlu adanya keseimbangan di antara pendidikan formal dan PNF. Ini disebabkan PNF
boleh memberikan latihan dan pengalaman yang tidak terdapat di dalam pendidikan formal.

Penekanan kepada PNF masih kurang kerana pendidikan formal masih dianggap sebagai
penyumbang utama kepada tenaga mahir.
Penyelarasan. Program PNF dilaksanakan secara compartmentalized iaitu setiap
kementerian melaksanakan program PNF bagi melatih tenaga manusia terlatih. Oleh itu,
dicadangkan agar satu badan induk sumber manusia diwujudkan untuk menyelaraskan kerjakerja latihan dan PNF.
Kesimpulannya pendidikan dan pembangunan sumber manusia adalah kunci peningkatan
daya saing negara. Bekalan tenaga kerja secukupnya yang terlatih, produktif dan komited adalah
keperluan utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan. Sistem
pendidikan negara harus memenuhi kehendak komersil dan industri, dan boleh menghasilkan
tenaga kerja yang berupaya, bersifat kompetitif, produktif dan berkemahiran. Maka di sinilah
PNF memainkan peranan dalam memenuhi keperluan tersebut dalam pembangunan negara
mencapai Wawasan 2020. Kepentingan PNF dalam pembelajaran sepanjang hayat tidak dapat
dinafikan selepas pendidikan formal di sekolah dan di IPT.
RUJUKAN
Coladarci, T. (2007). Improving the yield of rural education research: An editors swan song.
Journal of research in rural education, 22(3).
Coombs, P. H., Prosser, C., & Ahmed , M. (1973). New Paths to learning for rural education.
University of Manchaster.
Davies, J.A. (1971). Elementary survey analysis. Englewood, N.J: Prentice Hall.
Dajene, A. (1971). Non formal education as a strategy in development: Comparative analyi.s
Lanham, MD: University Press of America.
Halsey, A.H. (1969). Education, economy and society : a reader in the sociology of education.
New York : Collier Macmillan.
Jarvis, P. (2004). Adult education and lifelong learning. Theory and practice (3rd ed). London

and New York : Routledge/ Falmer Press.


Kamarudin Kanchar. (1989). Pendidikan dan masyarakat. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn
Bhd.
Mazlan Kamis & Mazanah Muhammad. (2000). Research priorities in adult and continuing
education in South East Asia dalam 41st AERC Conference:AERC 2000 The Right
Questing in Researching in the New Century. Di capai pada 2 Oktober, 2006 dari laman
web University of British Columbia, Vancouver, Canada: http://www.ala.asn.au/opal
Messick, S. (1976). Idividually in learning. San Francisco: Joseey-Bass.
Nor Azizah Mohd. Salleh (1991). Kajian aktiviti-aktiviti pendidikan dewasa di Malaysia, UKM:
Pembangunan Sumber Manusia
Nor Azizah Mohd. Salleh (1997). Pengajaran dan pembelajaran dewasa di Malaysia, UKM:
Pembangunan Sumber Manusia
Norzaini Azman. (2006). History, Trends and Significant Development of Adults Education in
Malaysia in HISTORIA: Journal of Hostorical Studies. Vol VII, No. 2. Bandung: Historia
Utama Press
Siti Hawa Salleh. (2000). Kesusasteraan Melayu Abad ke Sembilan belas. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Syed Hussin Al-Attas. (1997). Intellectuals in developing societies, Journal of education, 15, 77.

You might also like