Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 12

PENGGUNAAN PETAK KETINGTING DALAM MEMBANTU MURID

LEMAH TAHUN 5 MENAMBAH DUA PECAHAN WAJAR DENGAN


PENYEBUT YANG BERBEZA SEHINGGA 10
Oleh:
Nursyafiqah bt Zulfaker, Mazlan b Ibrahim
Jabatan Matematik, IPG Kampus Dato Razali Ismail
syafiqahzulfaker@gmail.com , ibmazlan@ipgmkdri.edu.my
ABSTRAK
Refleksi terhadap PdP mendapati bahawa sebahagian murid menghadapi kesukaran
untuk menambah dua pecahan wajar yang berbeza penyebut. Pelbagai jenis kesilapan
dapat dikesan melalui pemerhatian, temu bual serta analisis dokumen seperti lembaran
kerja, buku latihan dan ujian diagnostik. Oleh itu, kajian tindakan ini dijalankan
bertujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran murid lemah Tahun 5 dalam
menambah dua pecahan wajar yang berbeza penyebut sehingga 10. Peserta kajian
dibimbing untuk menguasai kemahiran menambah pecahan dengan menggunakan Petak
Ketingting. Peserta kajian terdiri daripada empat orang murid lelaki yang dipilih
berdasarkan ujian diagnostik. Pengumpulan data menggunakan instrumen ujian,
analisis dokumen dan temu bual. Data kualitatif di analisis secara deskriptif mengikut
peserta kajian. Kajian mendapati intervensi yang digunakan berjaya membantu semua
peserta kajian menguasai kemahiran penambahan pecahan wajar dengan penyebut yang
berbeza. Ciri bahan konkrit dan mesra pengguna adalah kekuatan utama Petak
Ketingting. Di samping itu, masih terdapat beberapa kelemahan yang boleh ditambah
baik untuk kajian akan datang.
Kata kunci: Petak Ketingting, Penambahan dua pecahan wajar dengan penyebut
berbeza.

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang efektif dapat dilaksanakan sekiranya seseorang guru
bijak merancang suatu aktiviti yang boleh menarik minat murid mengikuti sesi PdP di dalam bilik
darjah. Berdasarkan pengalaman ketika menjalani praktikum fasa pertama di Sekolah Kebangsaan
Felda Kerteh (1), pengkaji telah mendapati bahawa timbul masalah dalam menguasai kemahiran
penambahan dua nombor pecahan wajar yang tidak sama penyebut. Pengkaji berpendapat bahawa
masalah ini mungkin berpunca daripada kelemahan pengkaji dalam menerangkan konsep penambahan
pecahan wajar secara jelas dan terperinci. Walau bagaimanapun, tempoh masa yang terhad selama
sebulan mengekang pengkaji untuk mengenalpasti masalah sebenar murid-murid dengan lebih
mendalam.
Tambahan pula, masalah yang sama telah dapat dikenalpasti apabila pengkaji mula menjalani
praktikum fasa ketiga di Sekolah Kebangsaan Durian Mas, Manir dalam tempoh masa selama tiga
bulan. Pengkaji telah ditugaskan oleh pihak pentadbir untuk mengajar subjek Matematik bagi Tahun 5
Cerdas dimana kelas ini merupakan kelas yang terakhir daripada dua kelas aliran Tahun 5. Majoriti
murid kelas ini berasal dari keluarga bertaraf sederhana dan berpencapaian rendah dalam matematik
dimana mereka agak lemah dalam tajuk penambahan pecahan. Sepanjang melaksanakan proses PdP,
pengkaji telah dapat mengenalpasti kesilapan yang sering dilakukan oleh murid-murid dalam
menambah pecahan. Berdasarkan analisis skrip jawapan ujian diagnostik dan lembaran kerja, didapati
bahawa murid telah salah faham konsep penambahan dua pecahan wajar dengan penyebut berbeza.
Rajah berikut menunjukkan antara contoh kesilapan yang dilakukan oleh murid:

Rajah 1: Antara Kesilapan Murid dalam Item 4 Ujian Diagnostik dan Item 2 Lembaran Kerja.
Berdasarkan rajah diatas, didapati bahawa murid telah menambah pengangka dengan
pengangka dan penyebut dengan penyebut. Masalah ini turut disokong oleh Amar Sadi (2007) yang
mengatakan bahawa pelajar kerap melakukan kesilapan dengan menambah pengangka dengan
pengangka dan penyebut dengan penyebut. Hal ini adalah kerana murid telah menyamakan
pemahaman tentang penambahan pecahan dengan penambahan nombor bulat. Jadi, mereka hanya
menambah pecahan mengikut pemahaman mereka dalam menambah nombor bulat. Selain itu,
terdapat juga murid yang telah melakukan kesilapan algoritma dalam menambah pecahan seperti rajah
berikut:

Rajah 2 : Contoh Kesilapan Algoritma Murid dalam Item 1 Lembaran Kerja.


Berdasarkan Rajah 2, pengkaji mendapati bahawa murid telah mempunyai sedikit
pengetahuan tentang penambahan pecahan dimana dapat dilihat murid cuba untuk samakan penyebut
dengan mendarab silang. Namun begitu, murid hanya mendarabkan penyebut sahaja tanpa
mendarabkan pengangka dengan nilai yang sama. Selain itu, terdapat juga murid yang menjalankan
operasi darab untuk menyamakan penyebut tetapi murid mendarabkan nilai pecahan dengan
pengangka yang sama di mana sepatutnya mendarabkan nilai pecahan dengan penyebut yang sama
secara bersilang. Hal ini dapat dilihat melalui Rajah 3 seperti berikut:

Rajah 3: Contoh Kesilapan Algoritma Murid dalam Item 2 Lembaran Kerja.


Bagi mengatasi masalah ini, pengkaji telah menjalankan satu kajian tindakan bagi meningkatkan
kemahiran murid lemah dalam menambah dua pecahan wajar yang berbeza penyebut dengan
berbantukan Petak Ketingting.

SOROTAN LITERATUR
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan pecahan bermaksud nombor yang mewakili
sebahagian daripada keseluruhan dimana nombor ditulis dalam bentuk p/q dengan p ialah pengangka
dan q ialah penyebut. Pengertian ini disokong oleh Kaufmann & Schwitters (2000) dimana pecahan
ditakrifkan sebagai nombor nyata yang berbentuk a/b, dengan a dan b adalah nombor integer, dan b
ialah bukan sifar. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1998) dalam buku Konsep dan Aktiviti
PdP untuk Sekolah Rendah, konsep penambahan pecahan ialah dimana hanya pecahan yang
penyebutnya sama boleh ditambah dan penambahan itu terhad kepada pengangka sahaja. Maka dapat
disimpulkan bahawa penambahan pecahan wajar yang berbeza penyebut memerlukan untuk
menyamakan penyebut terlebih dahulu sebelum melakukan operasi tambah kepada pengangka.
Satu masalah yang dihadapi oleh guru matematik ialah bagaimana untuk memudahkan murid
memahami penambahan pecahan dan bagaimana hasil tambahnya dapat digambarkan. Kenyataan ini
disokong oleh Tajuddin (2002) dalam kajiannya mendapati bahawa murid didapati banyak melakukan
kesilapan yang melibatkan penambahan pecahan dengan pecahan jika dibandingkan dengan kesilapan
yang melibatkan penambahan pecahan dengan nombor bulat. Selain itu, menurut Amar Sadi (2007)
pelajar kerap melakukan kesilapan dengan menambah pengangka dengan pengangka dan penyebut
dengan penyebut dimana ini merupakan antara kesilapan utama yang telah dikenalpasti dalam kajian
ini.
Bagi mengatasi masalah ini, guru harus mengembangkan pengajarannya daripada peringkat
konkrit kepada separa konkrit dan akhirnya kepada peringkat abstrak. Pernyataan ini disokong oleh
teori yang ditegaskan oleh Gagne,1970 iaitu pembelajaran konsep matematik ialah konsep konkrit dan
konsep abstrak (Nor Hasnida & Nik Noralhuda, 2010). Menurut Kamaluddin (1996), murid perlu
dibimbing membina kefahaman tentang konsep dan kemahiran matematik melalui manipulasi objek
konkrit dan gambar rajah serta pemikiran yang bersistem sebelum diperkenalkan kepada simbol dan
algoritma yang merupakan perwakilan secara abstrak. Pernyataan ini turut disokong oleh Sousa
(2007) yang menyatakan bahawa hasil yang optimum akan dapat dicapai sekiranya pendekatan
konkrit, piktorial dan abstrak digunakan dalam Matematik.
Kajian lepas berkaitan dengan inovasi sedia ada bagi tajuk penambahan pecahan wajar yang
berbeza penyebut ini dapat dilihat melalui kajian Ridzuan (2013) yang menggunakan Cross Ticking
Method dan juga Suzieyana (2012) yang menggunakan kaedah Trans 100 di mana kaedah ini
menggabungkan penggunaan transperansi dan petak seratus. Kedua-dua kaedah ini dapat mengatasi
masalah pendaraban dan dapat membantu dalam mencari nilai setara untuk menyamakan penyebut.
Namun begitu, kelemahan kedua-dua kaedah ini ialah murid cenderung untuk melakukan kecuaian
dalam menyamakan penyebut serta memerlukan penelitian dalam menanda simpang atau membina
petak sifir. Oleh itu, satu kaedah alternatif menggunakan Petak Ketingting telah direka bagi
membantu meningkatkan kemahiran penambahan pecahan dimana menurut Bas Braams (2003),
kaedah alternatif untuk setiap operasi perlu dikenalpasti untuk dijadikan satu algoritma bagi
meningkatkan kemahiran asas.

TUJUAN KAJIAN
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kemahiran murid lemah
Tahun 5 Cerdas Sekolah Kebangsaan Durian Mas, Manir dalam menambah dua pecahan wajar yang
berbeza penyebut sehingga 10 dengan menggunakan Petak Ketingting.
Objektif
Menentukan bagaimana penggunaan Petak Ketingting dapat meningkatkan kemahiran murid lemah 5
Cerdas dalam menyelesaikan operasi penambahan dua pecahan wajar dengan penyebut yang berbeza
sehingga 10.
Persoalan Kajian
Bagaimanakah penggunaan Petak Ketingting dapat membantu murid lemah 5 Cerdas menyelesaikan
operasi penambahan dua pecahan wajar dengan penyebut yang berbeza sehingga 10?

METODOLOGI KAJIAN
Kajian tindakan ini melibatkan murid lemah tahun 5 yang terdiri daripada empat orang murid lelaki.
Semua peserta kajian dipilih berdasarkan kepada pencapaian dalam ujian diagnostik. Pengumpulan
data menggunakan instrumen ujian, analisis dokumen dan temu bual. Data kualitatif dianalisis secara
deskriptif mengikut peserta kajian. Proses pengumpulan data melalui temu bual terlibat dalam dua
sesi dimana sesi pertama telah dilaksanakan selepas Ujian Pra diambil dan sesi temu bual kedua
dilakukan setelah peserta kajian menduduki Ujian Pasca. Hal ini bagi mengetahui pendapat dan
penilaian mereka terhadap intervensi yang dijalankan serta kaedah yang telah diajarkan kepada
mereka. Di samping itu, sesi temu bual ini juga telah dijalankan secara individu terhadap keempatempat peserta kajian di tempat yang ditetapkan bagi mendapatkan pendapat mereka serta perasaan
yang mereka alami sebelum dan selepas kaedah yang diperkenalkan pengkaji digunakan oleh mereka.
Selain itu, pengkaji telah menganalisis menggunakan pelbagai jenis dokumen seperti video
rakaman dan gambar sebagai bukti kajian sepanjang sesi intervensi sehingga tamat proses kajian.
Terdapat dua ujian yang dilaksanakan oleh pengkaji bagi memperoleh maklumat untuk mengetahui
bagaimana kaedah yang diperkenalkan dapat membantu mereka menyelesaikan soalan operasi
penambahan pecahan wajar yang melibatkan penyebut yang berbeza. Ujian yang telah dilaksanakan
ialah Ujian Pra dan Ujian Pasca. Ujian Pra bertujuan untuk mengenalpasti tahap pencapaian awal
peserta kajian terhadap tajuk penambahan pecahan dan mengenalpasti pengetahuan sedia ada peserta
kajian. Ujian Pra telah diberikan kepada peserta kajian yang telah dipilih sebelum penggunaan Petak
Ketingting diperkenalkan kepada mereka. Peserta kajian telah menjawab 6 soalan dan diberikan masa
selama 30 minit untuk menyelesaikan ujian terbabit.
Setelah semua peserta kajian menjalani Intervensi pada setiap sesi tersebut, peserta kajian
diuji semula melalui Ujian Pasca. Ujian ini dilaksanakan setelah para peserta kajian diperkenalkan
dengan penggunaan Petak Ketingting. Sesi ujian ini masih lagi mengekalkan bilangan soalan dan
peruntukan masa yang sama. Pengkaji juga menggunakan set soalan yang sama bagi kedua-dua ujian,
cuma kedudukan soalan sahaja diubah. Selain itu, Ujian Pasca ini bertujuan untuk mengenalpasti
sebarang kekuatan dan kelemahan serta penambahbaikan yang boleh dilakukan pada kajian-kajian
seterusnya. Kedua-dua ujian ini dilaksanakan bagi melihat perkembangan peserta kajian dalam
menguasai kemahiran yang difokuskan setelah menggunakan kaedah yang diperkenalkan oleh
pengkaji.

SPESIFIKASI INTERVENSI
Bagi membantu peserta-peserta kajian dalam menyelesaikan soalan penambahan pecahan wajar yang
tidak sama penyebut, penggunaan Petak Ketingting telah diperkenalkan. Alat ini merupakan inovasi
daripada kaedah tradisional iaitu kaedah darab silang tetapi diubahsuai kepada bentuk Petak
Ketingting agar murid mudah untuk mengingati algoritma kemahiran menambah pecahan.

Rajah 4 : Petak Ketingting


Berikut merupakan langkah-langkah penggunaan Petak Ketingting yang diperkenalkan oleh pengkaji.

Jadual 1
Langkah-langkah penggunaan Petak Ketingting
LANGKAH

PENGGUNAAN

PENERANGAN

1.
1

Contoh soalan : + = ____________

+
1
2

1
3

2.
1

Contoh soalan : + = ____________

Peserta kajian dikehendaki untuk


mengisi lukisan segiempat dalam
Petak Ketingting ini dengan
soalan penambahan pecahan
wajar yang tidak sama penyebut
seperti berikut.

Seterusnya,
peserta
kajian
dikehendaki
untuk
mengisi
bulatan yang kosong dengan hasil
darab silang mengikut kod warna
yang sama.

3.
1

Contoh soalan : + = ____________

3+ 2
1

2
3

Kemudian,
peserta
kajian
dikehendaki
untuk
mengisi
separa bulatan yang kosong
dengan hasil darab dua nombor di
atas bentuk separa bulatan
tersebut
bagi
mendapatkan
penyebut yang sama.

6
4.
1

Contoh soalan : + = ____________


3

2
1

3+2

2 3

Seterusnya,
peserta
kajian
menyelesaikan
operasi
penambahan pecahan wajar yang
tidak sama penyebut dengan
menambah
nombor
dalam
bulatan sebagai pengangka dan
nombor di dalam separa bulatan
sebagai penyebut dan
ditulis
seperti berikut.

5.
1

Contoh soalan : + = ____________

3+2

Peserta kajian melaksanakan


operasi penambahan pecahan
seperti biasa.

Berdasarkan kajian tindakan ini, pengkaji telah melaksanakan 3 sesi intervensi bagi membantu peserta
kajian menguasai kemahiran menambah pecahan wajar dengan penyebut yang berbeza dimana pada
Intervensi 1, pengkaji telah memperkenalkan penggunaan Petak Ketingting kepada peserta kajian dan
pada Intervensi 2 peserta kajian perlu melukis kembali Petak Ketingting dan menjawab 4 soalan. Pada
Intervensi 3, peserta kajian perlu menjawab 6 item soalan tanpa menggunakan alat Petak Ketingting.

DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan kajian tindakan ini, Hakim (bukan nama sebenar) merupakan seorang murid yang rajin
membantu guru dimana dia merupakan murid pertama yang akan menawarkan diri apabila guru
meminta bantuan. Selain itu, Hakim gemar melukis dimana dia sering melukis dan menconteng bukubuku dan lembaran dengan pelbagai lukisan.

Rajah 5 : Contoh buku latihan Matematik yang dilukis oleh Hakim.


Berdasarkan rajah diatas, dapat dilihat bahawa Hakim merupakan seorang murid yang kreatif
dan berimaginasi tinggi. Sewaktu sesi PdP, Hakim merupakan antara murid yang agak lambat dan

sering ketinggalan dalam memahami pembelajaran yang dilaksanakan. Hal ini kerana Hakim suka
berkhayal dan suka menconteng dan melukis di buku latihan menyebabkan Hakim cepat hilang
tumpuan di dalam kelas dan memerlukan perhatian yang lebih sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran di kelas. Hakim juga kurang keyakinan diri dimana Hakim sering meniru hasil kerja
murid lain semasa latihan diberikan. Pernyataan ini dapat dibuktikan melalui rajah berikut:

Rajah 6 : Hakim Meniru Hasil Kerja Murid Lain dan Tidak Menumpukan Perhatian Semasa PdP.
Setelah melaksanakan Ujian Pra ke atas Hakim, pengkaji telah menganalisis keenam-enam
item yang dijawab oleh Hakim bagi mengenalpasti kesilapan yang dilakukan semasa menyelesaikan
penambahan dua pecahan wajar dengan penyebut yang berbeza sehingga 10. Semasa menganalisis
setiap item, pengkaji mendapati bahawa Hakim telah salah menjawab semua soalan dimana kesilapan
utama yang sering dilakukan oleh Hakim dapat dilihat pada keenam-enam item dimana Hakim telah
menambah pecahan wajar tanpa menyamakan penyebut terlebih dahulu. Berikut merupakan antara
kesilapan yang dilakukan oleh Hakim sewaktu menjawab Ujian Pra.

Rajah 7 : Contoh Kesilapan Hakim dalam Item 2 dan 6 Ujian Pra.


Berdasarkan rajah diatas, pengkaji dapat menyimpulkan bahawa Hakim telah salah faham
konsep penambahan pecahan dimana Hakim menambah pecahan seperti menambah nombor bulat di
mana Hakim telah menambah terus pengangka dengan pengangka dan penyebut dengan penyebut
tanpa menyamakan penyebut terlebih dahulu. Hakim juga tidak menunjukkan sebarang jalan
pengiraan bagi menyelesaikan soalan-soalan tersebut. Pernyataan ini disokong oleh temu bual
bersama Hakim dimana pengkaji menanyakan bagaimana Hakim mendapatkan jawapan bagi soalansoalan tersebut. Hakim menjawab,Mula-mula saya tambah. Saya tambah nombor atas dengan yang
atas dan nombor bawah dengan nombor bawah. (PK02-TB01-B14)
Ini menunjukkan bahawa Hakim telah salah faham konsep penambahan pecahan wajar
dengan melakukan operasi penambahan seperti nombor bulat. Begitu juga apabila ditanya mengapa
Hakim telah salah semua soalan, sewaktu sesi temu bual dijalankan, Hakim menyatakan, Tak tahu,
tak ingat nak buat macamana. (PK02-TB01-B06). Bagi menangani masalah yang dikesan melalui
hasil analisis Ujian Pra tersebut, pengkaji telah menjalankan tiga sesi Intervensi bagi membantu
Hakim meningkatkan kemahiran menambah dua pecahan wajar yang tidak sama penyebut.
Sesi Intervensi yang pertama merupakan sesi pengenalan kepada alat yang diperkenalkan oleh
pengkaji iaitu Petak Ketingting. Sewaktu sesi Intervensi yang pertama ini, pengkaji dapat melihat
perubahan Hakim sewaktu pengkaji memperkenalkan alat Petak Ketingting dan menerangkan caracara penggunaanya. Pada pemerhatian pengkaji, Hakim telah menunjukkan minatnya tehadap alat ini
dan mula menawarkan diri untuk mencuba beberapa soalan yang diberikan oleh pengkaji.

Rajah 8: Hakim Menggunakan Petak Ketingting.


Berdasarkan rajah diatas, Hakim telah memberi tumpuan dan fokus yang baik semasa
menggunakan Petak Ketingting. Hal ini telah menunjukkan satu peningkatan yang baik dimana
Hakim telah mula berminat untuk mengikuti pembelajaran. Hakim juga kelihatan seronok
menyelesaikan soalan yang diberikan dan menyatakan bahawa, Seronok la cikgu, jawab soalan guna
alat ini. Berikut merupakan contoh item soalan serta jalan pengiraan yang ditunjukkan oleh Hakim
yang dianalisis oleh pengkaji bagi sesi Intervensi pertama ini.

Rajah 9 : Item 3 Sesi Intervensi 1 Hakim


Berdasarkan Rajah 9, didapati bahawa Hakim telah menunjukkan peningkatan dalam
kemahiran menambah pecahan wajar dimana Hakim telah menunjukkan langkah pengiraan dengan
betul. Hakim juga mengatakan bahawa, Dulu susah cikgu, tapi sekarang rasa senang pulak. yang
membawa maksud soalan yang diberikan dapat dijawab dengan mudah oleh Hakim. Hal ini
menunjukkan bahawa cara atau teknik yang digunakan oleh pengkaji telah dapat meningkatkan
kemahiran Hakim bagi menjawab soalan penambahan dua pecahan wajar yang tidak sama penyebut.
Pada sesi Intervensi 2 ini, Hakim telah diberikan sehelai kertas A4 kosong dan diminta untuk
melukis kembali alat Petak Ketingting yang digunakan semasa sesi Intervensi pertama bagi menguji
sama ada Hakim masih mengingati hasil pembelajaran yang dilaksanakan pada sesi Intervensi 1.
Berdasarkan pemerhatian pengkaji semasa sesi Intervensi ini dilaksanakan, Hakim telah menunjukkan
sikap yang positif apabila Hakim cuba bersaing dengan peserta kajian lain untuk melukis Petak
Ketingting dengan cepat. Hakim merupakan seorang murid yang suka melukis dan melalui intervensi
ini pengkaji telah dapat melihat bakat Hakim dimana Hakim telah dapat melukis 5 Petak Ketingting
dalam hanya beberapa saat sahaja. Berikut merupakan contoh Petak Ketingting yang dilukis oleh
Hakim.

.
Rajah 10: Petak Ketingting yang Dilukis oleh Hakim.

Seterusnya, Hakim telah diberikan 4 soalan penambahan dua pecahan wajar yang berbeza penyebut
dan perlu menyelesaikan soalan tersebut menggunakan Petak Ketingting yang telah dilukis bagi
mengetahui penguasaan Hakim terhadap kemahiran tersebut.

Rajah 11: Item 3 dan 4 Sesi Intervensi 2 Hakim.


Rajah 11 menunjukkan algoritma yang ditunjukkan oleh Hakim semasa menjawab soalan
yang diberikan oleh pengkaji pada akhir sesi Intervensi 2. Pengkaji telah mendapati bahawa Hakim
telah dapat menunjukkan langkah-langkah pengiraan mengikut urutan yang betul. Hakim juga telah
menunjukkan peningkatan dimana Hakim sudah mula yakin untuk menjawab soalan tanpa bantuan
pengkaji dan peserta kajian lain dengan mengatakan, Kita nak cuba buat sendiri lah cikgu, yang
bermaksud Hakim cuba untuk menjawab item berikutnya tanpa bantuan pengkaji.
Pada Intervensi 3, pengkaji telah memberikan beberapa contoh soalan bagi membimbing
peserta kajian menyelesaikan soalan penambahan dua pecahan wajar yang tidak sama penyebut
menggunakan Petak Ketingting yang dilukis serta menyatakan jawapan akhir dalam bentuk pecahan
termudah. Bagi menguji kemahiran yang dikuasai oleh Hakim, pengkaji telah memberikan soalan
dalam lembaran kerja pada akhir sesi intervensi.

Rajah 12: Item 3 dan 4 Sesi Intervensi 3 Hakim.


Berdasarkan analisis skrip jawapan Hakim, pengkaji mendapati Hakim telah dapat menjawab
keenam-enam soalan dengan betul. Berdasarkan Rajah 12, didapati bahawa Hakim lebih fokus dan
berhati-hati dalam membuat pengiraan dan telah menunjukkan langkah pengiraan satu-persatu dengan
lebih tersusun dan sistematik. Tambahan pula, Hakim telah menunjukkan peningkatan yang sangat
baik apabila Hakim telah menyatakan jawapan akhir bagi soalan tersebut dalam bentuk pecahan
termudah. Hakim juga mengatakan bahawa, Dulu susah cikgu, tapi sekarang rasa senang pulak.
yang bermaksud soalan yang diberikan dapat dijawab dengan mudah oleh Hakim.
Setelah sesi Intervensi sebanyak tiga kali diadakan untuk setiap peserta kajian, pengkaji
mendapati bahawa Ujian Pasca perlu diadakan bagi menentukan keberkesanan sesi-sesi Intervensi
yang telah diadakan tersebut. Ujian Pasca ini terdiri daripada 6 item dan diberikan masa selama 30
minit. Setelah menganalisis skrip jawapan item daripada Ujian Pasca ini, pengkaji mendapati Hakim
telah mengaplikasikan kaedah dari alat Petak Ketingting yang telah diperkenalkan oleh pengkaji

dengan baik. Contoh item-item yang telah dijawab dengan betul oleh Hakim boleh dilihat pada rajah
dibawah.

Rajah 13: Item 5 dan 6 Ujian Pasca Hakim.


Pengkaji mendapati bahawa Hakim telah dapat menunjukkan langkah algoritma dengan betul
serta dapat menyatakan jawapan akhir dalam bentuk pecahan termudah dengan tepat pada item
1,3,4,5, dan 6. Bagi jawapan item 2, Hakim telah cuai dalam mempermudahkan pecahan dimana
Hakim telah melakukan kesilapan mencari pecahan yang setara bagi menyatakan jawapan akhir yang
teringkas.

Rajah 14: Item 2 Ujian Pasca Hakim.


Walau bagaimanapun, peningkatan sebanyak 97% ini telah membuktikan bahawa
penggunaan kaedah Petak Ketingting yang diperkenalkan oleh pengkaji telah dapat meningkatkan
kemahiran Hakim dalam menambah dua pecahan wajar yang tidak sama penyebut. Pencapaian ini
turut disokong melalui temu bual yang dijalankan oleh pengkaji dimana Hakim telah dapat
menyatakan algoritma yang betul dalam menjawab soalan Item 3 (TB02-PK02-B8). Selain itu, Hakim
juga menyatakan bahawa Hakim berminat untuk mempelajari Matematik apabila diberikan kaedah
yang mudah seperti Petak Ketingting. Kenyataan ini dapat dilihat melalui temu bual dimana Hakim
mengatakan Suka belajar Matematik..tapi kalau cikgu ajar cara senang macam ni. (TB02-PK02B18).
Secara keseluruhannya, keempat-empat peserta kajian telah menunjukkan peningkatan dari
segi penguasaan kemahiran menambah dua pecahan wajar dengan penyebut yang berbeza sehingga 10
dengan baik. Para peserta kajian telah menunjukkan algoritma dengan lebih tersusun dan sistematik.
Tambahan pula, kesemua peserta kajian telah menunjukkan perubahan tingkah laku yang positif
dimana mereka menunjukkan minat mempelajari Matematik dengan memberikan fokus yang baik
sepanjang sesi-sesi Intervensi di laksanakan.

KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, penggunaan Petak Ketingting telah dapat membantu murid lemah Tahun 5
dalam kemahiran menambah dua pecahan wajar dengan penyebut yang berbeza sehingga 10. Sesi-sesi
intervensi yang telah dilaksanakan telah berjaya membantu peserta kajian menguasai kemahiran
menambah pecahan. Hal ini adalah kerana pengkaji telah mengaplikasikan pembelajaran bermula
daripada peringkat konkrit, piktorial dan seterusnya kepada peringkat abstrak dimana menurut Sousa
(2007) hasil yang optimum akan dapat dicapai sekiranya pendekatan konkrit, piktorial dan abstrak
digunakan dalam Matematik. Selain itu, pengkaji mendapati penggunaan bentuk Petak Ketingting
yang terdiri daripada bentuk segi empat sama, bulatan dan separa bulatan itu sendiri telah dapat
membantu peserta kajian mengingati algoritma dengan mudah sebagai salah satu cara alternatif.
Tambahan pula, penggunaan bahan bantu mengajar yang menggunakan pendekatan bentuk permainan
dan warna yang digunakan telah dapat menarik minat murid untuk mempelajari Matematik. Hal ini
disokong oleh A.Zanzali (2010) yang mengatakan bahawa penggunaan BBM dapat meningkatkan
kefahaman dan menarik perhatian pelajar untuk lebih fokus dan memahami konsep yang diajar.
Kajian tindakan ini telah dapat meningkatkan tahap profesionalisme pengkaji sebagai seorang
bakal guru terlatih dimana melalui kajian ini, pengkaji telah menyedari akan kepentingan seseorang
guru itu menyiasat dan mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh murid dalam sesuatu
pembelajaran serta menambah baik amalan dalam proses PdP. Dalam samping itu, kajian tindakan ini
telah memberi peluang kepada pengkaji untuk menjana idea yang kreatif dan efektif untuk digunakan
dalam pedagogi dengan membuat analisis serta rujukan ilmiah dimana hal ini selaras dengan hasrat
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang ingin membentuk guru yang
kreatif dan inovatif dalam menghasilkan pembelajaran yang berkualiti.
Kaedah Petak Ketingting ini merupakan suatu kaedah yang mudah dan menarik dimana murid
hanya perlu mengingat bentuk petak ketingting yang dilukis bagi menyamakan penyebut dan
melakukan operasi penambahan pecahan. Tambahan pula, kaedah ini dapat meminimakan kesilapan
murid dimana kebarangkalian untuk murid cuai dalam algoritma adalah rendah. Namun begitu, kajian
ini terbatas kepada penambahan dua pecahan wajar sahaja serta memerlukan inovasi lain untuk
menerangkan konsep pecahan dalam konteks kehidupan sebenar. Sebagai penambahbaikan, pengkaji
mencadangkan untuk mengaplikasikan kaedah Petak Ketingting ini dalam perisian ICT untuk
mewujudkan suasana interaktif serta mengembangkan penggunaan kaedah ini dalam topik
penambahan dan penolakan nombor bercampur. Tuntasnya, murid-murid perlulah diajar dan
didedahkan dengan suatu teknik yang dapat membantu mereka menyelesaikan sesuatu masalah
dengan cara yang mudah diingati.

RUJUKAN
Amar Sadi.(2007). Misconceptions in Numbers. UGRU Journal, 5, 1-7. Diakses dari
http://www.ugru.uaeu.ac.ae/ugrujournal/ugrujournal_files/sr5/min.pdf
A. Zanzali. (2010). Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Di Kalangan Guru Pelatih Utm yang
Mengajar Matapelajaran Matematik. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (1998). Konsep dan Aktiviti
Pengajaran Pembelajaran Matematik: Pecahan untuk Sekolah Rendah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bas Braams. (2003). The Many Ways of Arithmetic in UCSMP Everyday Mathematics. New
York University. Diakses dari http://www.nychold.com/em-arith.html.
Hajah Noresah et. al. (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kaufmann & Schwitters. (2000). Algebra For College Students (Worksheets and Study Guide for
Kaufmann and Schwitters) Paperback January 1, 2000. USA: Brooks Cole.
Mohd Ridzuan. (2013). Cross Ticking Method Membantu Murid Tahun 4 Menyelesaikan
Penambahan dan Penolakan Pecahan Tidak Sama Penyebut. Terengganu: Institut Pendidikan
Guru Kampus Dato Razali Ismail.
Nor Hasnida Che Md Ghazali & Nik Noralhuda Nik Mohamed (2010). Pemahaman Konseptual dan
Prosedural Matematik Pelajar . Diakses dari
http://www.academia.edu/1470543/PEMAHAMAN_KONSEPTUAL_DAN
PROSDURAL_MATEMATIK_PELAJAR. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Sousa, D.A. (2007). How the Brain Learns Mathematics. Thousand Oaks, CA: Corwin Press.
Suzieyana. (2012). Keberkesanan Penggunaan Trans100 Dalam Membantu Murid Menyelesaikan
Masalah Penambahan Pecahan Tidak Sama Penyebut Bagi Murid Lemah Tahun 5 Pintar.
Terengganu: Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail.
Tajuddin Salleh.(2002). Perbandingan Analisis Kesilapan Semasa Menambah Nombor Bulat Dengan
Pecahan dan Pecahan Dengan Pecahan. Prosiding Penyelidikan Kebangsaan IPTA, (hlm. 4456).

You might also like