Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 15

NOTA PERLEMBAGAAN MALAYSIA

8.1

PENGENALAN

Tahukah anda apakah perlembagaan? Perlembagaan ialah suatu kumpulan undangundang yang tertinggi untuk menentukan bagaimana pemerintahan sebuah negara
itu mesti dijalankan. Perlembagaan sesebuah negara menerangkan dan
memperuntukkan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh pelbagai anggota negara itu,
seperti hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara
yang memerintah dengan yang diperintah.

Seperti negara lain yang berdaulat di dunia, Malaysia mempunyai suatu


Perlembagaan Persekutuan yang berfungsi sebagai undang-undang tertinggi
negara. Perlembagaan Persekutuan menentukan pelbagai perkara mengenai
kebebasan asasi, kewarganegaraan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri,
perundangan, peruntukan kewangan, pilihan raya, kehakiman, perkhidmatan awam
dan lain-lain. Dengan lain perkataan, bolehlah kita anggap bahawa Perlembagaan
Persekutuan yang mencorakkan sistem pemerintahan di Malaysia.

Perlembagaan Malaysia diasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan tanah Melayu


yang telah digubal dan dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord
Reid. Suruhanjaya ini memulakan tugasnya dalam bulan Jun 1956 dan telah
menyiapkan laporan perlembagaan menjelang bulan Februari 1957. Laporan ini
kemudiannya dibahaskan oleh parti politik utama negara ini dan diluluskan oleh
Majlis Perundangan dalam bulan Jun tahun yang sama. Perlembagaan Persekutuan
mula dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 apabila Tanah Melayu dikenali sebagai
Persekutuan Tanah Melayu dan mengandungi semua negeri-negeri Melayu, Pulau
Pinang, dan Melaka.

8.2

PERKEMBANGAN DAN PINDAAN PERLEMBAGAAN

Setiap perlembagaan bertulis mengalami perubahan atau boleh dipinda dari


semasa ke semasa. Pindaan perlembagaan dibuat kerana sikap, fahaman dan
kehendak rakyat telah berubah. Kadangkala keputusan mahkamah juga

menyebabkan perlembagaan dipinda. Sejak Perlembagaan Persekutuan tanah


Melayu digubal, ianya telah mengalami beberapa perubahan dan pindaan. Namun
begitu, pindaan dan perubahan yang dibuat itu, sehingga kini masih kekal dengan
sifat dalam lingkungan rangka perlembagaan asal yang telah diwujudkan itu.

Perubahan dan pindaan yang dilakukan dalam perlembagaan itu adalah didasarkan
kepada beberapa perubahan yang berlaku di negara kita. Ini merupakan suatu
perkara yang biasa, lebih-lebih lagi apabila terdapat sesuatu perkara dalam
perlembagaan yang dirasakan tidak begitu sesuai lagi. Contohnya, apabila
Persekutuan Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia dengan kemasukan Sabah
dan Sarawak, perlembagaan telah dipinda supaya dapat disesuaikan sesuatu
undang-undang itu dengan konsep Malaysia. Satu lagi peristiwa yang membawa
kepada pindaan perlembagaan ialah tragedi berdarah 13 Mei 1969. ianya berkaitan
dengan soal kebebasan hak asasi serta kesetiaan kepada Raja dan Perlembagaan.

Kebebasan asasi untuk bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan


sewengang-wenangnya tanpa kawalan mencetuskan perkara yang tidak diingini. Di
kalangan orang bukan Melayu misalnya, telah dengan lantangnya mempersoalkan
kedudukan raja-raja, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Kebangsaan.
Akibat daripada tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 itu, Parlimen pada
tahun 1967 telah meluluskan akta meminda Perkara 10 Perlembagaan Malaysia
mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan. Terdapat empat
perkara yang dilarang bagi perbincangan umum, iaitu perkara-perkara yang
dianggap sensitif, seperti soal kewarganegaraan, kedudukan orang Melayu dan
Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Perlembagaan Malaysia juga sentiasa dikaji dari semasa ke semasa. Jika perlu ianya
akan dipinda dan diubah mengikut kehendak pemimpin dan kerajaan yang
memerintah. Kali terakhir berlaku pindaan Perlembagaan ialah semasa Dewan
Rakyat bersidang pada bulan Ogos 1983 yang lalu. Dalam persidangan Dewan
Rakyat pada bulan Julai 1983, Dewan telah meluluskan beberapa rang undangundang yang kemudian diluluskan oleh Dewan Negara.
Perlembagaan Malaysia boleh dipinda melalui empat cara, iaitu

(i)

Dengan mendapat sokongan majoriti biasa.

(ii)
Dengan mendapat sokongan dua pertiga semasa dalam bacaan kedua dan
ketiga dikedua-dua majlis dewan.

(iii)
Mendapat sokongan dua pertiga semasa bacaan kedua dan ketiga di keduadua majlis Parlimen serta persetujuan Majlis Raja-raja.
(iv)
Dengan mendapat sokongan dua pertiga semasa semasa bacaan kedua dan
ketiga di kedua-dua majlis Parlimen serta mendapat persetujuan Yang Dipertuan
negeri Sabah atau Sarawak (iaitu bagi pindaan berkaitan dengan negeri-negeri
tersebut.) (lihat perbincangan dalam Bab 7, federalisme di Malaysia, Shaikh Mohd
Noor Alam Bin S.M.,Hussain, KL: DBP, 1988).

8.3

TUJUAN PERLEMBAGAAN

Kewujudan sebuah perlembagaan bagi sesebuah negara yang berdaulat sangat


penting. Ia akan menentukan perjalanan sesebuah negara berjalan dengan lancar
atau sebaliknya. Tujuannya ialah

1.

Menjamin Keutuhan dan Kedaulatan Negara

Perlembagaan boleh menjamin keutuhan dan kedaulatan sesebuah negara. Ia


merupakan undang-undang tertinggi yang perlu dipatuhi dalam menetuka hala tuju
sesebuah negara. Tanpa perlembagaan rakyat sesebuah negara tidak dapat
menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia mereka dalam mendirikan sebuah
negara yang makmur dan utuh. Semangat nasionalisme tidak akan wujud di
kalangan rakyat yang tidak memikirkan dan mencintai negara mereka. Apabila
semangat ini tidak terdapat di dalam diri seseorang rakyat, maka tidak akan wujud
semangat patriotisme di dalam jiwa mereka sebagai satu syarat untuk
menyumbangkan tenaga mereka terhadap negara. Justeru itu, negara menjadi
lemah. Apabila sesebuah negara tidak mempunyai kekuasaan yang utuh,
pemerintahan yang kuat, musuh dengan mudah mengambil alih kerajaan atau
tampuk pemerintahan negara. Jadi dengan adanya perlembagaan negara, rakyat
dapat berpegang kepada satu undang-undang yang diamalkan dan dihormati
bersama untuk memastikan kewujudan sebuah negara yang berdaulat.

2.

Sebagai Rujukan

Dengan adanya perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, pihakpihak yang bertentangan antara satu sama lain boleh menjadikan ia sebagai
sumber rujukan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Keadaan tegang akibat
daripada perasaan tidak puas hati dapat dielakkan jika rakyat diwajibkan menurut
dan menghormati apa yang tercatat di dalam perlembagaan. Masalah
ketidakfahaman boleh diselesaikan dengan tenang berdasarkan undang-undang
yang telah sedia ada di dalam perlembagaan. Apabila semua pihak yang
bertentangan duduk membincangkan masalah mereka secara bersama, maka
masalah yang mungkin timbul tidaklah begitu sukar diselesaikan. Justeru itu,
dengan adanya perlembagaan sebagai sumber rujukan utama dari segi
perundangan ia dapat menyesuaikan konflik yang berlaku di dalam sesebuah
negara dengan lebih mudah.

3.

Mewujudkan Kestabilan Negara

Walaupun pada dasarnya perlembagaan boleh dipinda, namun ia tidak boleh


dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Sebarang pindaan perlembagaan yang
dilakukan dalam mana-mana negara, ia mestilah berdasarkan perlembagaan juga.
Jika pindaan boleh dilakukan dengan mudah dan mengikut kehendak pemimpinpemimpin (penggubal), maka ini akan menghasilkan satu keadaan kucar-kacir di
mana pemimpin itu mungkin bertindak sesuka hatinya dan mengabaikan kemahuan
rakyat. Oleh itu, jelas betapa perlunya perlembagaan bagi mengekalkan keamanan
dalam sesebuah negara.

4.

Mengawal Perjalanan Kerajaan

Dengan adanya perlembagaan, segala tindakan para pemimpin dapat diketahui


atau dipastikan. Ini kerana segala tindak-tanduk mereka mestilah berdasarkan
kepada perlembagaan yang telah dicatatkan, bukan bertindak mengikut sesuka
hati. Oleh itu, pihak pemerintah tidak dapat melakukan sebarang perbuatan yang
boleh menyeleweng daripada perlembagaan. Ini bererti perlembagaan dapat
menjamin agar pihak pemerintah tidak berlaku curang atau menyalah guna kuasa
yang diperuntukkan kepada mereka.

5.

Mengekalkan Keamanan

Perubahan pucuk pimpinan yang berlaku selepas proses pilihan raya tidak akan
menyebabkan sebarang kesan ke atas negara mahupun corak pemerintahan. Ini
kerana setiap pemimpin dari parti politik yang menang mestilah mempunyai citacita atau konsep yang sama dalam mengendalikan negaranya. Mereka sepatutnya
memerintah negara dengan tujuan yang sama sebagaimana pemimpin-pemimpin
terdahulu yang memerintah. Oleh itu, walaupun terdapat pertukaran pemimpin,
tujuan pemerintahan tidak akan terkeluar daripada maksud berusaha memenuhi
kehendak dan aspirasi rakyat.

6.

Perlembagaan Menjamin Keamanan Sesebuah Negara

Dengan adanya perlembagaan rakyat mendapat jaminan undang-undang bahawa


tidak akan ada unsur-unsur diskriminasi di kalangan mereka. Pembahagian kuasa
dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan antara rakyat dengan pemerintah
serta badan perundangan telah memisahkan antara satu sama lain daripada
melakukan penindasan dan salah guna kuasa. Tidak ada pihak mendapat
keistimewaan dari segi undang-undang, sebaliknya semua orang harus
menghormati dan mematuhi perlembagaan negara. Sikap ini boleh membantu
mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat sebagai syarat untuk membolehkan
mereka hidup aman damai.

8.4

JENIS-JENIS PERLEMBAGAAN

Perlembagaan terdiri daripada beberapa jenis iaitu

1.

Perlembagaan Panjang dan Pendek

Perlembagaan yang diamalkan oleh sesebuah negara dengan negara lain tidak
sama. Panjang atau pendek sebuah perlembagaan itu bergantung kepada berapa
banyak perkara yang terkandung di dalam perlembagaan tersebut. Sebagai contoh
Perlembagaan India sangat panjang, manakala Perlembagaan negara Amerika

Syarikat adalah pendek di mana terdapat hanya tujuh perkara sahaja. Sementara di
Malaysia pula perlembagaannya sederhana panjang, mengandungi 183 perkara.

2.

Perlembagaan Bertulis dan Tidak Bertulis

Perlembagaan bertulis adalah perlembagaan yang terdapat dalam bentuk dokumen


yang nyata, seperti Perlembagaan Malaysia. Perlembagaan tidak bertulis
merupakan peruntukan yang berselerak dalam akta-akta yang lain tetapi tidak
dikodkan. Perlembagaan jenis ini terdapat di United Kingdom.

Dalam amalannya perlembagaan tidak bertulis menjadikan parlimen mempunyai


kuasa yang sangat tinggi sebagaimana yang wujud di United Kingdom. Sementara
di Malaysia yang mengamalkan perlembagaan bertulis, kedudukan parlimen
tertakluk kepada perlembagaan kerana dari segi statusnya perlembagaan adalah
yang tertinggi. Oleh itu, timbul tanggapan jika sebuah negara mengamalkan
perlembagaan bukan bertulis, maka parlimen berkuasa membuat dan meminda
undang-undang. Manakala dalam negara yang menggunakan perlembagaan
bertulis maka pindaan ke atas perlembagaan itu sendiri hanya boleh dibuat melalui
tatacara yang khusus yang berbeza dengan acara perundangan yang lain.

3.

Perlembagaan Berparlimen dan Perlembagaan Berpresiden

Dalam sistem perlembagaan berparlimen ia mempunyai hubungan antara institusi


perundangan dan institusi pemerintahan yang begitu rapat sekali. Dalam sistem
perlembagaan berpresiden, pengasingan kuasa agak jelas seperti yang diamalkan
di Amerika Syarikat dan Filipina.

4.

Perlembagaan Ketat (rigid) dan Perlembagaan Longgar (flexible)

Ketat (rigid) atau longgar (flexible) sesuatu perlembagaan dilihat kepada keadaan
bagaimana perlembagaan itu boleh dipinda. Perlembagaan itu dianggap sebagai
ketat sekiranya sukar dipinda kerana memerlukan majoriti sokongan yang sangat
tinggi. Sebaliknya perlembagaan itu dianggap longgar sekiranya ia boleh dipinda
dengan hanya memerlukan majoriti kecil sahaja. (simple majoriti).

5.

Perlembagaan Bersekutu dan Perlembagaan Tidak Bersekutu

Dalam perlembagaan bersekutu, kuasa pemerintahannya dibuat dengan cara


pengagihan kuasa. Perlembagaan dengan jelasnya membahagikan kuasa
pemerintahan antara kerajaan pusat dan negeri. Umpamanya di Malaysia, kuasa itu
diperuntukkan melalui Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
Lazimnya kuasa kepada persekutuan lebih banyak berbanding dengan kuasa yang
dimiliki oleh negeri.

8.5

CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN

Lazimnya semua perlembagaan mempunyai ciri-ciri yang sama dari segi konsep
dan dasar pelaksanaannya. Antara lain ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

1.

Kekal

Kestabilan dalam melaksanakan perkara-perkara yang menjadi kebiasaan umum


ataupun tatacara yang lazim. Ianya membolehkan rakyat mengetahui hak-hak
mereka, menggunakan hak-hak tersebut, dan membolehkan rakyat mengambil
bahagian dalam pembangunan negara.

2.

Unsur-Unsur Tanggungjawab

Pemerintah adalah bertanggungjawab ke atas rakyat. Segala permintaan adalah


sebagai panduan kepada tindakan-tindakan kerajaan. Rakyat adalah berhak
mengetahui segala perbelanjaan kerajaan dan berhak menyatakan perasaan tidak
puas hati mereka terhadap kerajaan.

3.

Pilihan Raya

Melalui pilihan raya rakyat boleh memilih wakil mereka dalam dewan parlimen.
Pemilihan ini menggambarkan kuasa sebenar pemerintahan terletak di tangan
rakyat.

4.

Pembahagian Kuasa

Perlembagaan memperuntukkan kuasa secara jelas supaya tidak timbul pertindihan


dan tidak ada pihak yang boleh menyalahgunakan kuasa. Kerajaan memainkan dua
peranan penting, iaitu sebagai pemerintah dan pembuat undang-undang. Badan
kehakiman pula menjadi badan yang melaksanakan undang-undang yang digubal di
parlimen.

5.

Terbuka

Perkara-perkara yang tidak dianggap sulit mestilah diumumkan agar rakyat tahu
dan menilai apa yang berlaku di dalam negara. Segala perbincangan yang
dijalankan di parlimen akan disebarkan kepada umum melalui media massa seperti
belanjawan tahunan negara dan pembuatan dasar baru.

8.6

CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Terdapat beberapa ciri perlembagaan, iaitu

(i)
Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan yang bertulis yang
dikanunkan dalam sebuah buku. Hal/keadaan ini berlainan daripada perlembagaan
United Kingdom yang mengamalkan perlembagaan tidak bertulis.
(ii)
Perlembagaan Malaysia mengandungi 183 Perkara dan 13 Jadual. Perkara
adalah untuk mentakrifkan hak dan kewajipan pemerintah atau warga negara
secara kasar. Manakala Jadual pula berfungsi menerangkan secara terperinci
mengenai sesuatu perkara itu.
(iii)
Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan beraja berasaskan
demokrasi berparlimen di mana Perkara 32 menjelaskan mengenai Kepala Utama
Negara bagi Persekutuan.

(iv)
Perlembagaan Malaysia bersifat ketat dan sukar dipinda. Pindaan yang
hendak dibuat tidak sama dengan pindaan akta-akta lain yang diluluskan oleh
Parlimen. Perkara 159 memperuntukkan bahawa beberapa peruntukan yang hendak
dipinda hendaklah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu dan lain-lain hendaklah
mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
(v)
Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang utama dan tertinggi.
Ia memperuntukkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang yang
berlawanan dengannya hendaklah terbatal dengan sendirinya.
(vi)
Dalam perlembagaan Malaysia terdapat idea pengasingan kuasa
sebagaimana doktrin itu diamalkan di England. Pembahagian itu dapat dibahagikan
kepada tiga bahagian yang berlainan dalam sistem pemerintahan negara, iaitu
kuasa menggubal undang-undang, pemerintah dan kuasa kehakiman.
(vii)
Selain menentukan tanggungjawab Persekutuan dan mengatur
perhubungan antara Persekutuan dan Negeri, perlembagaan Malaysia juga
menentukan kuasa-kuasa perundangan dan kuasa-kuasa pemerintahan antara
kerajaan pusat dan negeri melalui tiga senarai yang dipanggil Senarai Persekutuan,
Senarai Negeri dan Senarai Bersama.
(viii)
Perlembagaan turut memperuntukkan kebebasan asasi. Bahagianbahagian dalam perlembagaan Malaysia mengenai kebebasan asasi individu adalah
bahagian yang mustahak dalam perlembagaan Malaysia bertujuan menjamin hak
asasi seseorang warganegara yang sah dari segi undang-undang. Peruntukan ini
merupakan salah satu ciri perlembagaan bertulis iaitu menjelaskan dengan nyata
mengenai jaminan perlindungan yang diberikan kepada setiap warganegara dan
orang-orang lain dalam negara itu.

8.7

KANDUNGAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Bahagian 1

- Negeri-negeri, Ugama dan Undang-undang bagi Persekutuan

Bahagian 2

- Kebebasan Asasi

Bahagian 3

- Kewarganegaraan
Bab 1 -

Perolehan Kewarganegaraan

Bahagian 4

Bab 2 -

Penamatan Kewarganegaraan

Bab 3 -

Tambahan

- Persekutuan
Bab 1 -

Kepala Utama Negara

Bab 2 -

Majlis raja-raja

Bab 3 -

Pemerintah

Bab 4 -

Badan Perundangan Persekutuan

Bab 5 -

Acara Perundangan

Bab 6 - Keupayaan terhadap harta, kontrak dan guaman


Bahagian 5

- Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-negeri


Bab 1 - Pembahagian kuasa-kuasa perundangan
Bab 2 - Pembahagian kuasa-kuasa pemerintahan
Bab 3 - Pembahagian beban kewangan
Bab 4 - Tanah
Bab 5 - Pembangunan negara

Bab 6 - Tinjauan Persekutuan, nasihat Persekutuan kepada negeri dan


pemeriksaan Persekutuan mengenai kegiatan-kegiatan Negeri
Bab 7 - Masjlis Negara bagi Kerajaan Tempatan
Bab 8 - Pemakaian bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak
Bahagian 7

- Bab 1 -

Am

Bab 2 - Pemakaian bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak


Bahagian 8

- Pilihan raya

Bahagian 9

- Penghakiman

Bahagian 10

- Perkhidmatan Awam

Bahagian 11
- Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, dan Kuasakuasa Darurat
Bahagian 12

- Am dan Pelbagai

Bahagian 12A - Perlindungan Tambahan Bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak


Bahagian 13

- Peruntukan Sementara dan Peralihan

Bahagian 14

- Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-raja, dan sebagainya.

8.8

UNSUR-UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN

Pembentukan perlembagaan Malaysia telah melalui satu proses sejarah yang


panjang. Ia terdiri daripada adunan unsur-unsur yang terdapat dalam sistem
pemerintahan Melayu lama dan juga penjajah Inggeris. Inggeris yang pernah
memerintah lebih satu abad di Tanah Melayu telah meninggalkan banyak kesan ke
atas Tanah Melayu, antaranya ialah perlembagaan. Beberapa unsur pemerintahan
Inggeris yang pernah diamalkan telah diserap masuk ke dalam perlembagaan
seperti jentera Kerajaan, Parlimen, dan kewarganegaraan. Unsur-unsur baru bagi
orang Melayu ini dikenali sebagai unsur-unsur moden dalam perlembagaan.
Sementara beberapa unsur lama seperti institusi raja, bahasa Melayu, hak
istimewa, dan agama Islam dikekalkan. Unsur-unsur lama yang dikekalkan di dalam
perlembagaan ini digolongkan sebagai unsur-unsur tradisi iaitu amalan praBritish. Unsur-unsur tradisi di dalam perlembagaan ini sangat perlu dipelihara bagi
mewujudkan perpaduan kaum dan kestabilan politik sebagai syarat memajukan
negara. Empat unsur lama yang pernah diamalkan dalam sistem pemerintahan
Kerajaan Melayu lama yang dikekalkan di dalam perlembagaan negara kita, ialah

1.

Pemerintahan Beraja

Pemerintahan beraja sudah lama wujud dan menjadi amalan turun temurun di
negeri-negeri Melayu. Raja atau Sultan menjadi simbol kesetiaan orang Melayu.
Pemerintahan dan pentadbiran pada waktu itu berpusat kepada raja dan istana.
Kepentingan raja atau sultan ini dapat dilihat dalam kerajaan yang ditubuhkan.
Kerajaan itu dari perkataan raja sebagai pusat atau fokus segala sumber rujukan
dan kuasa yang membolehkan mereka memerintah secara mutlak. (Sila imbas
kembali pelajaran ini dalam Bab 2).

Kedudukan Raja-raja Melayu dikekalkan apabila Inggeris campur tangan dalam hal
ehwal negeri Melayu pada abad kesembilan belas. Seorang penasihat Inggeris akan
dilantik untuk menasihati sultan dalam segala hal ehwal perkara yang berkaitan
dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam (lihat Maxwell & Gibson, 1924).
Mereka menggunakan kedudukan raja Melayu sebagai simbol perpaduan dan
tempat orang Melayu menumpahkan taat setia mereka sebagai daya tarikan supaya
orang Melayu tidak menentang Inggeris. Sebarang usaha menentang Inggeris boleh
ditafsirkan sebagai menderhaka kepada sultan.

Malayan Union ditentang kerana beberapa perkara yang menyentuh kedudukan


orang Melayu dan kedaulatan kuasa raja Melayu, sebaliknya menguntungkan orang
bukan Melayu. Sultan sekarang kehilangan kuasa apabila Tanah Melayu ditadbir
oleh Sir Edward Gent sebagai Gabenor pertama yang berpusat di Kuala Lumpur.
Pemberian kerakyatan mengikut prinsip jus soli atau mengikut tempat lahir telah
menghapuskan hak turun temurun orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini.
Kerakyatan telah memberi orang bukan Melayu mempunyai hak yang sama dengan
orang Melayu. Persamaan ini telah menambahkan kebimbangan orang Melayu
terhadap bukan Melayu apabila mereka menguasai ekonomi perdagangan Tanah
Melayu dalam sektor getah dan bijih timah.

Bantahan segenap lapisan orang Melayu telah berjaya menggagalkan Malayan


Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengekalkan kedudukan raja dan
menggantikan jawatan gabenor kepada Pesuruhjaya Tinggi Inggeris ke Tanah
Melayu.

Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 telah menetapkan Raja Perlembagaan.


Yang Dipertuan Agong (YDA) sebagai Ketua Utama negara memerintah atas nasihat
Perdana Menteri dan kabinet. Sementara di peringkat negeri, Sultan dan Yam Tuan
Besar Negeri Sembilan memerintah dengan nasihat Menteri Besar dan majlis
mesyuarat negeri. YDA dan raja-raja Melayu kekal kebal dari segi undang-undang
dan sebarang perubahan yang hendak dibuat terhadap kedudukan YDA dan Rajaraja Melayu mestilah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

2.

Agama Islam

Islam dan orang Melayu bukan satu perkara baru. Dalam perlembagaan Malaysia,
orang Melayu didefinisikan sebagai orang beragama Islam dan mengamalkan cara
hidup dan budaya Melayu serta bertutur dalam bahasa Melayu. Sebenarnya orang
Melayu telah mengenali dan mengamalkan Islam sejak lebih 500 tahun yang lalu.
Antara faktor penting agama Islam cepat diterima oleh orang Melayu kerana sultan
pada waktu itu beragama Islam. Orang Melayu yang terkenal sebagai taat dan
pantang derhaka kepada Sultan begitu mudah menerima Islam sebagai agama baru
mereka, lebih-lebih lagi kedudukan sultan sebagai ketua agama.

Kedudukan Sultan sebagai ketua agama telah dikukuhkan lagi apabila Inggeris
campur tangan di negeri-negeri melayu pada tahun 1870-an. Bermula dengan
Perjanjian Pangkor 1874, kuasa Raja-Raja Melayu telah dihadkan dalam adat istiadat
dan agama Islam sahaja. Selain daripada itu, Sultan hendaklah menerima nasihat
daripada seorang penasihat Inggeris.
Setelah merdeka, Islam telah dijadikan agama persekutuan dan kerajaan. Sebagai
agama rasmi negara, kerajaan mempunyai kuasa untuk memperuntukkan
sebahagian daripada perbelanjaan untuk pembangunan dan kemajuan berkaitan
dengan agama Islam, seperti perbelanjaan mengurus, membina masjid, dan sekolah
agama. Bagaimanapun, sesuai dengan negara demokrasi, agama lain bebas untuk
diamalkan tetapi dilarang untuk menyebarkannya kepada penganut agama Islam.

3.

Bahasa Melayu

Seperti agama Islam, bahasa Melayu juga tidak asing bagi orang Melayu kerana
telah ditetapkan oleh perlembagaan bahawa orang Melayu ialah orang yang
berbahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu pada masa dahulu adalah penting
kerana penduduk yang tinggal di Tanah Melayu pada waktu itu tidak majmuk dari
segi bahasa dan budaya yang diamalkan seperti sekarang. Tanah Melayu dihuni
oleh sebahagian besar penduduknya orang Melayu. Di samping sebagai bahasa
utama di kalangan penduduknya bahasa Melayu juga mejadi Lingua Franca
(perantaraan) kepada pedagang yang dating berniaga di Melaka semasa zaman
kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Malah semasa Inggeris menjajah Tanah
Melayu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi. Segala minit mesyuarat telah ditulis dalam tulisan jawi.

Bermula pada tahun 1946, bahasa Melayu dan Inggeris boleh digunakan dalam
mesyuarat tetapi tulisan (minit mesyuarat) mestilah ditulis dalam bahasa Inggeris.
Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Malayan Union

masih mengekalkan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa rasmi.


Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan wujud kembali apabila
menyedari masalah perpaduan yang wujud di Tanah Melayu. Pada tahun 1956,
bahasa Melayu telah disyorkan oleh penyata Razak supaya diterima pakai dalam
sistem pendidikan negara. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan
dan sebagai tolak ansur antara kaum semasa mencapai kemerdekaan telah
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara pada tahun 1957 dan
bermula pada tahun 1961 - Akta Pelajaran mewajibkan bahasa Melayu sebagai
pengantar di sekolah-sekolah.

3.

Kedudukan Hak Istimewa Orang Melayu

Sama seperti agama dan bahasa bagi orang Melayu, hak istimewa juga bukan
perkara asing bagi orang Melayu. Tidak timbul soal diskriminasi, persaingan dan
konflik antara kaum pada waktu itu. Apabila Inggeris membawa masuk pekerja
dalam sektor getah dan bijih timah dengan jumlah yang ramai sebagai tenaga
kerja, maka soal yang tidak pernah dipersoalkan selama ini telah timbul.

Orang Melayu merasa terancam dan dianak tirikan apabila melihat jumlah
pendatang semakin ramai. Tambahan pula dengan kejayaan mereka menguasai
ekonomi negara telah memaksa kerajaan memikirkan supaya orang Melayu tidak
terlalu ketinggalan jauh dari kaum pendatang. Hak istimewa orang Melayu telah
diperkenalkan dalam perlembagaan supaya pembelaan dan Bantuan dapat
diberikan kepada orang Melayu sebagai penduduk peribumi. YDA telah diberi kuasa
untuk pelihara kedudukan hak istimewa orang Melayu di Semenanjung.

Sabah dan Sarawak bila menyertai Malaysia pada tahun 1963. Antara perkara yang
terkandung dalam hak istimewa orang Melayu ialah kuota kemasukan dalam sektor
awam dan kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi, biasiswa, kemudahan
mendapat lesen dan permit perniagaan. Bagaimanapun YDA tidak boleh
mengganggu atau menarik balik apa-apa keistimewaan kaum lain untuk diberi
kepada peribumi.

8.9

PERANAN UNSUR TRADISI DALAM PERLEMBAGAAN

Unsur-unsur tradisi yang terdapat di dalam perlembagaan negara unik kerana ia


menggabung unsur lama dan baru. Di samping keunikan itu, terdapat beberapa
faedah dan kebaikan yang boleh dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Unsur-unsur tradisi ini boleh menjadikan orang Melayu setanding dengan kaum lain.
Orang melayu yang ketinggalan dalam semua bidang jika disbanding dengan kaum
bukan Melayu. Peruntukan yang terkandung dalam hak istimewa orang Melayu
membolehkan kerajaan membantu orang Melayu supaya mereka tidak ketinggalan
terlalu jauh atau terpinggir di negara sendiri.

Hak istimewa ini juga dapat mengimbangi kedudukan mereka yang hilang semasa
penjajahan Inggeris. Orang Melayu dipinggirkan dari sektor ekonomi perdagangan
yang menguntungkan. Sebaliknya orang bukan Melayu telah dibawa masuk sebagai
tenaga kerja dalam sector tersebut. Dasar penjajah Inggeris ini seolah-olah
menafikan hak orang Melayu dan memberikan dasar ekonomi baru kepada
pendatang asing dalam tempoh yang lama.

Konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan sekarang bertujuan mengekalkan


ketuanan Melayu sesuai sebagai penduduk peribumi negara ini. Orang Melayu yang
menduduki negara ini sejak sekian lama memang telah sebati dengan sistem
pemerintahan beraja. Raja bagi orang Melayu adalah lambang tempat menumpahi
taat setia yang tidak berbelah bagi. Di sini raja boleh berfungsi sebagai unsur
penyatuan kepada orang Melayu dan penduduk Malaysia yang berbagai kaum
supaya bersatu-padu dengan memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi juga.

Semua unsur tradisi yang terdapat di dalam perlembagaan Malaysia sebenarnya


telah dipersetujui bersama oleh komponen parti Perikatan semasa merangka
perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. UMNO telah melonggarkan syarat
kerakyatan yang diberikan kepada kaum buka Melayu, sebagai ganti kepada
persetujuan M.C.A dan M.I.C untuk mengekalkan unsur tradisi di dalam
perlembagaan. Persetujuan dan tolak ansur ini dikenali sebagai pakatan murni atau
quid pro quo. Untuk memelihara keharmonian kaum di negara ini, orang ramai
dilarang mengungkit atau memperkatakan perkara yang telah dipersetujui melalui
Akta Hasutan 1948 yang dipinda. Pindaan itu melarang menggolongkan perkara
yang telah dipersetujui semasa mencapai kemerdekaan sebagai perkara sensitif.

You might also like