Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 14

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.

Panjang
karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor
kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa
terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit
semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu
masalah darah tinggi dan kencing manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh
golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan.
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011,
angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang
pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan
masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana
berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1
Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan
rawatan kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang
tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada
ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan
mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?
Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata
kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap
pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai
perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang
bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi semua nutrien
dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk piramid
makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan
makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan
kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang
mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi
protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid
makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan
makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan
berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu
diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk
menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani
iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita
boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.
Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup
sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan
rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang,
merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad milenium

ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan sebagainya. Dengan
adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan
mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki
gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat
menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan
aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh
sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti
berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar
pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang
berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang
mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan
menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang
fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan
mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk
mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan
sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa
melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu
cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.
Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama
dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum,
remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan
usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1
Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah.
Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti
berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan.
Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih
belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti
berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk
pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui
akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat
akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat
mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke
dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses
respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron
otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk
menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan
mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan
pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir
daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan
melakukan aktiviti bersukan.
Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan
adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya.

Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan


Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan
kemudahan kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk
negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan
Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan
kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah
lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap
masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu
ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh
mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat
penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa
ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya
tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau
doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara
awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung
pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa
disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung.
Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman
akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit
mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal
paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik daripada merawat."
Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam
memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.
Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita
inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktivitiaktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang,
melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan
secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020,
kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir,
dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat
membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan
merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah,
kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.

Ciri-ciri pelajar cemerlang

1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan.
2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama,
bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.
3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.
4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian
bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. @}>-`-,}5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal
diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian
(peperiksaan yang sebenarnya).
6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku
latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.
7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah
dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar
menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka
mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti
kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas,
pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran,
atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau
sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru
yang memberikan kita ilmu.
10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli
falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata carilah ilmu pengetahuan
dengan cara bersoal-jawab.
11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan
cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami
pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran
pelajar.
12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya
dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi.
Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja
rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar
yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai
visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.
15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu
pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.
16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan
tambahan.
17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti
Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.
18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan
sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu
menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang
sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.
19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta
nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang
sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan
keyakinan diri.
21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik
menjawab soalan peperiksaan.
22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta
bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek
tertentu. Ingat pepatah Inggeris, Dont judge the book by its cover. Buku yang kelihatan cantik
menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku
rujukan.
23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar
dalam pelajaran.
24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.
25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan
menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.
26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu
penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar.
Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan,

amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak
pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.
27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat
mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun.
Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga
keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak junk-food. Hindari makan di geraigerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga
sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan
menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih
jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya
dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model
atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi
peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang
bakal menghadapi peperiksaan.
31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan
oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga
sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan,
berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih
berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang
lebih cemerlang.

USAHA-USAHA YANG TELAH DILAKSANAKAN BAGI MELAHIRKAN


MASYARAKAT PENYAYANG
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan
pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun di sebalik itu, kita acapkali
tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita
sendiri. Justeru, masalah sosial yang kian meruncing kini dapat dicegah jika kita berusaha
membentuk sebuah masyarakat penyayang. Masyarakat penyayang merupakan masyarakat
yang salingmemerlukan antara satu sama lain tidak kira umur, bangsa dan agama. Oleh itu,
terdapat beberapa usaha yang telah dilaksanakan bagi melahirkan masyarakat penyayang di
negara kita.

Antaranya, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita haruslah menunjukkan perasaan
simpati dan belas kasihan terhadap golongan yang hidup dalam serba kekurangan seperti
golongan kurang upaya. Hal ini demikian kerana mereka tidak akan berasa tersisih oleh
masyarakat bahkan mereka akan berasa lebih dihargai. Misalnya, kita membantu golongan
kurang upaya ini dengan memberikan sumbangan dari segi kewangan, tempat tinggal, atau
pendidikan. Bak kata peribahasa Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing . Dengan
berbuat demikian, kita akan dihormati dan kehidupan kita akan lebih diberkati kerana tidak
bersikap kedekut dalam menyumbangkan harta yang dimiliki.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa keluarga bahagia juga dapat
membentuk masyarakat penyayang. Ini disebabkan sikapahli keluarga yang saling mengambil
berat antara satu sama lain. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak
sejak kecil lagi. Hal ini sama dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungya .
Contohnya, ibu bapa haruslah bersikap terbuka dan bersedia mendengar segala masalah yang
dihadapi oleh anak-anak. Jelaslah bahawa sikap ibu bapa yang sebegini mampu mencegah
anak-anak mereka terlibat dalam gejala yang tidak sihat.
Seterusnya, pihak kerajaan juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan
masyarakat penyayang. Ini menggambarkan bahawa pihak kerajaan perlu peka akan situasi ini
dan mengambil tindakan bagi melahirkan masyarakat penyayang. Misalnya, menganjurkan
Kempen Masyarakat Penyayang di tempat-tempat yang sesuai agar ramai yang menyertai
kempen tersebut. Dengan itu, usaha kerajaan pasti tidak sia-sia malahan dapat melahirkan
kelompok masyarakat penyayang dalam kuantiti yang sangat membanggakan.
Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama
membimbing golongan masyarakat yang sememangnya mempunyai tanggungjawab yang
besar untuk menerajui pemerintahan negara, menjadi tenaga untuk memajukan negara dan
menjaga kedaulatan negara. Seyogia diharapkan golongan masyarakat akan memandang
serius akan segala perubahan yang berlaku dalam usaha melahirkan masyarakat penyayang.
Hal ini bertepatan dengan peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat
sagunya . Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu melahirkan masyarakat penyayang
agar Wawasan 1 Malaysia dapat direalisasikan seperti yang dijanjikan.

KEPENTINGAN DAN LANGKAH PEMUPUKAN AMALAN BUDI BAHASA

PENDAHULUAN

(T) Budi bahasa merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala tindakan mereka
terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Budi
bahasa ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional
negara ke arah Wawasan 2020. Iman al-Ghazali mengatakan, Apabila kamu hendak mengenali wajah

lihatlah pada cermin, tetapi apabila kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah. Kata-kata
tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali pengukur kepada setiap
individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. (I)
Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam
kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja
bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti
gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini
jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan
masyarakat. (A) Sebelum keadaan menjadi lebih parah, budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai
amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh.

(K1): Salah satu kepentingan amalan ini ialah amalan ini dapat mewujudkan perpaduan antara
masyarakat berbilang kaum di negara kita. (M)Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati
tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Bukan itu sahaja, amalan murni ini
akan mendidik masyarakat yang berlainan bangsa dan agama supaya sentiasa menjaga perasaan antara
satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau perlakuan. Kata orang, terlajak perahu boleh diundur,
terlajak laku atau kata buruk padahnya. (B) Cetusan gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan
oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam merupakan
langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik
yang berbeza. Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat
Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat
perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.
(K)Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni
dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam
pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat
dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan Perpaduan
Teras Kejayaan jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada
rencaman bangsa. Pepatah ada menyatakan bahawa bersatu teguh bercerai roboh justeru apabila
masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat
kestabilan negara dengan mudah. (P) Tegasnya, konsep perpaduan dapat dicapai dengan mudah sekiranya
amalan budi bahasa dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

(K2): Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang
lebih bertamadun. (M) Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat
yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah. Oleh
itu, masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun dan empayar yang kuat dan hebat seperti
tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun Hwang Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa itu
teknologi masih belum berkembang dengan sepenuhnya. (B) Untuk membina tamadun yang unggul, kita
tidak seharusnya bersikap biadap dan kasar seperti mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga

memilukan hati pihak lain bagai ditusuk sembilu. Perlakuan seumpama ini menggambarkan masyarakat
tersebut masih berada dalam Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa
tersebut adalah sangat rendah. (K) Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah pasti kita dapat
mempertahankan kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat memerlukan masyarakat yang berfikiran
matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing seperti kuasa Barat.
Secara tidak langsung, industri pelancongan juga turut meningkat. (P) Secara ringkasnya, masyarakat
yang bertamadun dapat dilahirkan melalui amalan budi bahasa.

(K3): Selain itu, masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti
memberikan layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing. (M) Hal ini
penting agar dapat meninggalkan imej yang positif tentang negara kita dalam diri pelancong. Pelancong
juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka ke
sini dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan. (B) Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam
Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah
memainkan peranan yang lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan
nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan
kerana masyarakatnya sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan irasshaimase yang
bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apaapa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat
Jepun. (K)Sekiranya amalan ini diikuti, sudah pasti keramahan dan kesantunan rakyat Malaysia akan
sentiasa meniti dari bibir ke bibir para pelancong dan sentiasa memilih Malaysia sebagai destinasi
pelancongan utama mereka. Senario ini secara tidak langsung akan menjana ekonomi negara melalui
industri pelancongan negara yang kian mendapat sambutan hangat. (P) Jadi, budaya yang murni ini amat
penting ketika berurusan dengan pelancong asing agar mereka dapat menikmati percutian di negara kita.

(K4): Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. (M) Pemimpin yang baik akan
dapat mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu daripada rakyat. Pemimpin
yang berbudi bahasa sentiasa menitikberatkan kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi.
Mereka akan bertindak dengan bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut
dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak. (B) Sehubungan dengan itu, golongan
remaja merupakan aset yang sangat bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang
bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa seperti menghormati orang tua,
bertutur dengan sopan, bertolak ansur dan amalan tolong-menolong perlulah dijadikan panduan dalam
kehidupan mereka supaya mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang berdedikasi dan berkarisma
dapat dilahirkan. (K) Pemimpin yang berbudi bahasa dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin
pemimpin dari negara lain akan kagum dan menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi
menjamin kemajuan dan keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu, negara kita
akan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggidengan negara lain. (P) Pendek kata, negara kita

akan terkenal di persada dunia kerana memiliki seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan budi
bahasa yang dipamerkan.

(L1): Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita haruslah mengambil langkah-langkah yang
pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap sanubari rakyat kita. Oleh
itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah bermula
dengan langkah yang pertama. Salah satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem
pendidikan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan.
(M) Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui pendidikan,
kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama ada dari aspek
jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu melahirkan insan yang berhemah
tinggi dan berbudi bahasa. (B) Hal ini juga turut disedari oleh Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu,
beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula.
Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-nilai murni yang berkaitan dengan amalan budi
bahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan
dari peringkat Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamed pernah menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara
mereka semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping
mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. (K) Mereka percaya bahawa dengan mengenali asal
usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat melahirkan rakyat yang tinggi
semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana
rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. (P) Jelaslah bahawa dalam usaha
untuk memupuk amalan budi bahasa, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu
dilaksanakan.

(L2): Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti kokurikulum
dengan lebih giat dan berkesan. (M) Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum merupakan wadah
yang paling berkesan dalam membentuk amalan budi bahasa seperti bertanggungjawab, bekerjasama dan
hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru pula dianggap sebagai arkitek pembangunan
manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai program bagi memupuk amalan budi bahasa ini kerana
pelajar ibarat pohon yang baru ditanam. Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya
matahari yang secukupnya. (B) Sebagai contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan
beruniform seperti Pengakap dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat berpasukan yang
tinggi dalam kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran
memasak dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh
persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar sekolah pula akan
menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam sekitar serta sekolah mereka bak
kata pepatah, tak kenal , maka tak cinta. (K) Justeru melalui program-program yang dijalankan, para
pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam diri mereka. Mereka akan lebih bersikap

membina daripada meruntuhkan atau membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih
bertanggungjawab terhadap segala kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui
pelaksanaan aktiviti kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam
yang dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan mata
memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-ansur,
umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter. Anak-anak muda
kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap budi bahasa dalam kalangan
masyarakat telah meningkat. (P) Pendek kata, amalan budi bahasa sememangnya dapat dipupuk melalui
aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.

(L3): Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil yang berbudi
bahasa tinggi. (M) Bagaimana acuan, begitulah kuihnya, begitulah peribahasa yang membawa
maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka.
Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam kehidupan anak-anak sejak
dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa merupakan ejen pembentukan karakter anakanak yang paling ampuh untuk melahirkan insan yang kaya budi bahasa. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu
perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar apabila anakanak memasuki alam persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab
sopan dan bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak
yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga diajar agar
menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama. Dalam hal ini, ibu bapa
tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu
sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling menghormati sesama mereka agar nilai positif ini
diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini, hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di
samping dapat mewujudkan baiti jannati. Malah yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan
berbudi bahasa yang akan mencerminkan maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan
bersikap biadab yang mampu menconteng arang ke mukakeluarga sendiri. (P) Sesungguhnya, peranan
ibu bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan budi bahasa
dalam diri anak-anak.

(L4) Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang berbudi bahasa adalah melalui kempen
yang berkesan. (M) Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang diadakan mampu
menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.
Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai dengan kempen-kempen yang diadakan.
(B) Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA)
melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali
tidak diwujudkan kalau masyarakat kita berbudi bahasa selayaknya. Kempen yang dicetuskan oleh Dr.
Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana
hidup sehingga sanggup merendahkan tahap budi bahasa kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers
Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala Lumpur
menjadi bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan memalukan kita. Oleh itu,
kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta giat dan bukannya sekadar melepaskan
batuk di tangga. (K) Dengan ini, diharapkan kempen yang bersungguh-sungguh ini dapat

menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat
Malaysia serta meletakkan budi pekerti sebagai satu asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara
implisitnya, negara akan menjadi agung jika warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya
murni. Tidak ada gunanya jika masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi
keperibadian. (P) Izharlah bahawa peranan kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini
dalam kehidupan seharian kita.

PENUTUP
(K) Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa amalan budi bahasa amat mustahak
untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara gergasi yang lain di dunia.
Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa, yang elok itu budi, demikianlah
ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita.
Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli.
(C) Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat
timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak
wajarlah bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masingmasing kayuh dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya
mengharapkan sebelah pihak sahaja untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia
kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah
diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. (H) Profesor DiRaja,
Ungku Aziz pernah berkata, Malaysia yang aman dan damai akan lenyap dalam sedikit masa jika
rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari jiwa mereka. Jadi, kita
mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar
sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan
terbilang. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia
terus disegani kerana ketinggian budi bahasa rakyatnya.

Kebaikan, keburukan teknologi maklumat


Teknologi maklumat merupakan teknologi yang telah banyak merubah hidup manusia.
Teknologi pada dasarnya dalah untuk memudahkan sesuatu. Jika teknologi ini digunakan
dengan niat yang betul maka akan membawa manfaat dan kesejahteraan hidup, tetapi jika
disalahgunakan maka akan membawa kepada perkara-perkara yang sia-sia dan yang
merugikan.
Tidak dinafikan teknologi maklumat dan komunikasi mempunyai banyak kelebihannya,
antaranya kita boleh memperolehi ilmu dan maklumat dengan mudah dan cepat. Selain itu, kita
juga boleh berhubung antara satu sama lain, melakukan tranksaksi perbankan, membuat
pembayaran seperti membayar bil-bil dan banyak lagi kemudahan yang boleh kita dapat melalui
internet. Melihat kepada manfaat teknologi maklumat, kita hendaklah celik dan peka terhadap
penggunaannya kerana kemudahan tersebut menawarkan maklumat dan ilmu yang sangat

banyak dan Islam sememangnya juga menghendaki umatnya untuk sentiasa menimba dan
meningkatkan ilmu pengetahuan.
Namun tidak dinafikan teknologi maklumat seperti internet juga mempunyai keburukan dan
kesan teknologi yang boleh mempengaruhi fikiran dan minda, boleh merosakkan moral dan
akhlak, boleh menjejaskan keselamatan awam dan negara dan lebih buruk lagi boleh
menggugat akidah umat Islam. Ini kerana melalui internet seseorang itu boleh sahaja
mendapatkan maklumat yang berkemungkinan tidak betul atau kurang tepat berkenan sesuatu
perkara. Selain itu, terdapat juga perisian atau laman web di internet itu mempunyai unsur
yang tidak beretika dan tidak bermoral seperti paparan gambar pornografi, penyebaran
fahaman yang bertentangan dengan agama Islam, perjudian dan sebagainya. Tidak kurang
juga terdapat pihak yang melakukan penipuan dalam urusan jual beli melalui internet.
Sudah menjadi trend pada masa ini ramai orang menggunakan laman sosial sebagai tempat
untuk berhubung. Ini kerana mereka dapat berkomunikasi dengan keluarga dan teman dengan
mudah dan secara tidak langsung dapat mengeratkan perhubungan yang baik sesama mereka,
bahkan penggunaan komunikasi melalui kemudahan tersebut juga adalah lebih senang dan
cepat. Selain itu, mereka juga dapat mencari kenalan sama ada dalam dan di luar negara.
Namun terdapat juga keburukan di sebalik kemudahan tersebut kerana tidak mustahil terdapat
di antara pengguna yang menjadikannya sebagai tempat untuk menyebarkan fitnah, mengutuk
dan menghina, mendedahkan rahsia dan keaiban diri sendiri dan orang lain dan sebagainya.
Semua perbuatan tersebut adalah berdosa dan dilarang oleh agama Islam. Ketahuilah juga
bahawa perbuatan memfitnah adalah lebih buruk dan dahsyat oleh agama Islam. Firman Allah
Subhanahu Wataala dalam Surah Al Baqarah, ayat 191 tafsir-Nya: Dan ingatlah bahawa

angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.


Ketahuilah bahawa kesan negatif akibat penyalahgunaan internet bukan sahaja membahayakan
pengguna yang terdiri dari orang dewasa, bahkan juga kepada kanak-kanak. Tidak dinafikan
kanak-kanak juga banyak menggunakan kemudahan internet untuk mendapatkan ilmu dan
maklumat, belajar secara interaktif, melayari laman sosial dan bermain game. Kemudahan ini
secara tidak langsung mendedahkan mereka kepada bahaya kerana tidak mustahil mereka juga
boleh melayari laman web yang tidak baik untuk mereka. Kita tahu dan sedar bahawa fikiran
anak-anak yang belum matang akan mudah percaya pada setiap maklumat yang diperolehinya
melalui internet dan lebih buruk lagi jika mereka terpengaruh untuk melakukan sesuatu yang
tidak elok dan tidak baik sehingga boleh menjejaskan minda, akhlak dan tingkah laku mereka.
Ini kerana mereka boleh melihat perkara yang tidak baik melalui internet seperti adegan yang
tidak senonoh, adegan ganas, black metal dan sebagainya.
Apa yang menakutkan kita ialah kanak-kanak juga boleh terdedah kepada bahaya yang boleh
menjejaskan keselamatan mereka. Perlu diketahui bahawa pada masa ini terdapat pemangsa
yang mencari mangsanya yang terdiri dari kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dengan
tujuan yang tidak baik seperti rogol, culik, perdagangan manusia dan sebagainya. Oleh itu,
sebagai ibu bapa kita hendaklah sentiasa memantau dan mengambil tahu aktiviti anak-anak

ketika melayari internet. Kita hendaklah mengetahui dengan siapa anak kita berkawan.
Sememangnya kita tidak akan dapat memantau sepenuhnya aktiviti anak-anak, lebih-lebih lagi
kemudahan intenet bukan sahaja boleh diperolehi melalui komputer di rumah, tetapi juga di
luar rumah kerana terdapat banyak tempat yang menawarkan kemudahan wi-fi terutamanya
caf dan kedai-kedai makan dan mereka juga mudah mengakses internet melalui telefon bimbit
dan sebagainya. Namun perlu ibu bapa hendaklah sentiasa berusaha mendekati anak-anak
mereka dengan memberi bimbingan dan kesedaran terhadap bahaya dan implikasi negatif
terhadap penyalahgunaan internet, memberi nasihat dan teguran secara berterusan, mengajar
cara-cara untuk membezakan antara yang benar dan salah yang bermanfaat dan sia-sia. Ibu
bapa hendaklah juga memberikan pendidikan agama dan menerapkan pembentukan akhlak
yang mulia ke dalam jiwa anak-anak. Anak-anak yang dididik dengan ajaran Islam akan dapat
memelihara diri mereka diri melakukan perkara yang berdosa dan melanggar hukum Islam.
Selain itu, ibu bapa juga perlu tegas mendidik anak-anak untuk menggunakan internet bagi
tujuan yang baik dan bermanfaat sahaja, mengatur masa dengan bijak kerana tidak dinafikan
mereka mudah terlalai dan leka ketika melayari internet sehingga tidak perasan bahawa mereka
telah melayari internet hingga bejam-jam lamanya. Bagi anak-anak yang masih bersekolah
sudah tentu perbuatan tersebut akan menjejaskan prestasi akademik kerana akibat leka
melayari internet boleh menjejaskan masa anak-anak untuk belajar bahkan juga boleh
menyebabkan kesihatan anak-anak terganggu. Tidak dinafikan juga terdapat anak-anak yang
lebih gemar menghabiskan masa untuk melayari internet berbanding melakukan aktiviti fizikal
di luar rumah seperti bersukan, memancing dan sebagainya. Perbuatan tersebut kurang sihat
bagi pertumbuhan fizikal dan mental anak.
Kita hidup di zaman ini merasa kagum dengan perkembangan internet sehingga maklumat dan
komunikasi dapat dilakukan dengan mudah, cepat dan jimat. Namun kita perlu sedar juga
bahawa perkembangan tersebut turut membawa perubahan kepada hidup kita, seperti cara
bersosial, berkomunikasi dan sebagainya. Selain itu, kita hendaklah juga sentiasa berwaspada
dan berhati- hati terdapat pihak yang sentiasa cuba untuk merosakkan akhlak dan minda serta
akidah umat Islam. Kita sebagai ibu bapa, penjaga, guru dan masyarakat wajib melindungi
kanak-kanak dengan sentiasa memberi bimbingan dan nasihat kepada mereka akan etika ketika
melayari internet.

You might also like