Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

1.

PENGENALAN

Sejak akhir-akhir ini sering kali kita mendengar mengenai pelbagai isu salah laku etika
keguruan dalam kalangan guru. Antara isu yang sering diperkatakan ialah guru bekerja
sambilan. Dalam keratan akhbar Utusan (2011) Prof. Dr. Anuar Ahmad ada mengatakan
bahawa antara kerja luar yang sinonim dengan guru adalah mengajar di kelas tuisyen berbayar,
terlibat dengan perniagaan skim piramid (MLM), menjadi ejen insurans serta pelbagai produk
seperti pakaian, aksesori perhiasan dan barangan kecantikan.
Dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (1993) ada
dinyatakan dalam peraturan 5 bahawasanya pegawai awam tidak dibenarkan melakukan kerja
luar kecuali dengan kebenaran daripada ketua jabatan ataupun pekerjaan tersebut memberi
faedah kepada diri atau saudara mara dengan syarat pekerjaan tersebut dilakukan di luar waktu
pejabat atau tugas rasmi, tidak menjejaskan kebergunaannya sebagai pegawai awam dan tidak
bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam. Berdasarkan peraturan ini jelas bahawa
tidak menjadi kesalahan bagi seseorang guru yang merupakan pegawai awam melakukan kerja
luar tetapi perlulah mendapat kebenaran dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Namun begitu, sejak akhir-akhir ini fenomena guru bekerja luar semakin menjadi-jadi.
Perkara ini disokong dengan penyataan Betts (2002) dalam Mohd Suhaimi dan Norasmah
(2014) yang menyebut golongan guru bekerja sampingan telah wujud di mana-mana sahaja
sekaligus dianggap sebagai fenomena antarabangsa yang telah berlaku sejak sekian lama.
Oleh itu, penulisan ini akan membincangkan mengenai punca-punca yang menyebabkan guruguru perlu bekerja sampingan serta apakah implikasi yang berlaku terhadap profesion keguruan
sekiranya isu ini tidak dibendung dengan sebaiknya.

2.0

PUNCA ISU BERLAKU


Isu guru bekerja sampingan ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor antaranya

seperti bebanan tanggungan hutang atau pinjaman yang perlu diselesaikan. Azanza (2000)
dalam Mohd Suhaimi dan Norasmah (2014) berpendapat kerja sampingan merupakan salah
satu cara bagi memperoleh pendapatan walaupun seseorang itu mempunyai pekerjaan tetap.
Berdasarkan pernyataan di atas kerja sampingan dipilih sebagai jalan keluar bagi kebanyakkan
individu untuk membantu mereka keluar daripada kemelut masalah kewangan yang disebabkan
oleh bebanan hutang atau pinjaman.
Menurut keratan akhbar Berita Harian (2011), Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan
1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.
Berdasarkan kenyataan ini jelas dapat kita lihat betapa ramai penjawat awam yang telah
diisyitiharkan muflis akibat tidak dapat menguruskan hutang mereka dengan baik. Kebanyakan
penjawat awam ini membuat pinjaman peribadi adalah bertujuan bagi memiliki aset-aset seperti
rumah dan kereta yang tidak mampu dibeli secara tunai. Justeru itu, bagi mengelakkan diri
mereka berdepan dengan masalah diisytihar muflis mereka perlulah bekerja keras mencari
pendapat sampingan bagi membantu mereka menyelesaikan bebanan hutang pinjaman
mereka.
Selain itu, kebanyakkan guru-guru juga bekerja sampingan dengan tujuan meningkatkan
taraf hidup. Berdasarkan Laporan Penyiasatan Perbelanjaan Isi Rumah (HES) yang dijalankan
oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) purata perbelanjaan isi rumah meningkat 12.1
peratus daripada RM 1953 pada tahun 2004/2005 kepada RM 2190 pada tahun 2009/2010.
Berdasarkan kenyataan ini jelas dapat kita lihat kos sara hidup sesebuah keluarga pada masa
kini semakin meningkat. Dengan pendapatan seseorang guru sebanyak lebih kurang RM 3000
sebulan kos sara hidup ini dilihat sekadar memenuhi keperluan asas hidup yang utama sematamata. Keadaan ini memberi tekanan kepada mereka memandangkan mereka harus begitu
berhati-hati

dalam

mengurus

kewangan

dan

terpaksa

mengetepikan

kehendak

diri

memandangkan faktor ekonomi yang kurang berkemampuan.


Keadaan menjadi lebih memberi tekanan apabila bilangan ahli keluarga semakin
bertambah terutamanya kepada guru lelaki yang sudah berkahwin. Keperluan anak-anak dan
isteri perlu dipenuhi sebaiknya. Oleh itu, bagi membantu mereka menangani situasi ini
pekerjaan sampingan seperti mengajar di pusat tuisyen, menjual insurans dan macam-macam
lagi menjadi pilihan mereka bagi menambah pendapatan. Memandangkan waktu bekerja

seorang guru tidaklah begitu panjang seperti pekerjaan lain kebanyakkan guru-guru mampu
untuk melakukan kerja sampingan di luar waktu bekerja.
Di samping faktor ekonomi yang dilihat sebagai punca utama seseorang guru
melaksanakan kerja sampingan sesetengah guru pula bekerja sampingan untuk memenuhi
minat dan hobi mereka. Menurut kajian yang dilakukan oleh Pearson et al. (2001) dalam Mohd
Suhaimi dan Norasmah (2014) mendapati sesetengah guru akan masih tetap melakukan
pekerjaan sampingan walaupun tangga gaji mereka sebagai guru dinaikkan. Hal ini kerana
menurut Renna dan Oaxaca (2009) mereka sememangnya menyukai dan gembira dengan
kerja sampingan yang dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan masa lapang di luar waktu
bekerja. Keadaan ini tidak mustahil memandangkan tidak semua guru memilih kerjaya sebagai
seorang guru semata-mata kerana minat. Terdapat sesetengah guru yang meminati bidang
perniagaan tetapi memilih profesion guru kerana dilihat lebih menjamin masa depan.
Selain daripada punca-punca yang dinyatakan dalam penulisan ini terdapat banyak lagi
punca lain yang menjadi penyebab guru-guru berkerja sampingan. Namun begitu, dapat
disimpulkan di sini bahawa ekonomi boleh dilihat sebagai punca utama seseorang individu
bekerja sambilan.

3.0

IMPLIKASI GURU BEKERJA SAMPINGAN KEPADA PROFESION KEGURUAN

Umumnya, bekerja sampingan memberikan manfaat kepada golongan yang terlibat. Namun
begitu menurut Parham dan Gordon (2011), pekerjaan sampingan dapat memberi pelbagai
kesan kepada guru. Antara implikasi yang berlaku ialah seseorang guru itu mula tidak
mengutamakan tanggungjawab ke atas tugas hakiki yang disandang tetapi lebih memfokuskan
kepada kerja sampingan yang dilakukan. Misalnya, guru itu bekerja sampingan menjual produkproduk tertentu. Terdapat sesetengah guru yang mengambil kesempatan mempromosikan
produk jualannya semasa waktu PdP dijalankan. Keadaan ini menyebabkan masa PdP tidak
digunakan sepenuhnya. Kemungkinan guru ini hanya mengajar perkara-perkara asas sahaja
dan masa PdP selebihnya digunakan untuk bercakap mengenai produk yang dijualnya.
Bukan itu sahaja, berlaku juga situasi di mana disebabkan kerja sampingan yang
dilakukan guru itu cenderung untuk mengelak daripada diberikan tugas-tugas lain selain
mengajar. Sebagai seorang guru selain mengajar ketika sesi PdP guru juga bertanggungjawab
untuk memberi latihan dari sudut kokurikulum. Misalnya seperti menjadi jurulatih bagi
menyediakan murid untuk menyertai pertandingan tertentu. Kebiasaannya masa latihan akan
diadakan di luar waktu persekolahan seperti di waktu petang. Namun begitu, bagi guru yang
memiliki kerja sampingan lain mereka akan menghadapi masalah memandangkan waktu luar
persekolahan telah diperuntukkan untuk kerja sampingan mereka. Keadaan ini menyebabkan
pihak sekolah sukar mendapatkan kerjasama dengan baik daripada mereka terutamanya jika
melibatkan

tugasan

luar

waktu

(Mohd

Suhaimi

dan

Norasmah,

2014).

Malahan,

memandangkan tugas-tugas melatih murid ini tidak memberikan pendapatan yang lumayan
mereka lebih cenderung mengutamakan kerja sampingan mereka seperti mengajar tuisyen.
Keadaan ini menyebabkan fokus guru tersebut sudah terganggu untuk memberikan komitmen
yang sepenuhnya terhadap kerjaya perguruan yang disandang.
Selain itu, pekerjaan sampingan juga boleh memberikan gangguan terhadap prestasi
seseorang guru dalam pekerjaan utamanya. Menurut Prof. Dr. Anuar Ahmad yang merupakan
Pensyarah Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam keratan akhbar Utusan
(2011) disebabkan komitmen pemikiran, masa dan tenaga lebih terarah kepada kerja luar, ada
guru yang mengabaikan tugasan hakiki iaitu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Akibatnya guru-guru ini secara fizikalnya akan menjadi letih dan tiada masa untuk membuat
persediaan pengajaran. Hal ini kerana, apabila guru sibuk melakukan kerja sampingan masa
rehat mereka semakin berkurang. Keadaan ini menyebabkan guru kurang bersemangat dan

bertenaga dalam mengendalikan kelas. Seperti kita sedia maklum tugas sebagai seorang guru
memerlukan kecerdasan yang tinggi memandangkan mereka berurusan dengan kanak-kanak
yang sedang aktif. Sekiranya guru lemah dan tidak bertenaga beliau lebih cenderung untuk
mengajar dengan sambil lewa. Keadaan ini juga boleh menyebabkan guru lebih cepat marah
dan hilang kawalan emosi apabila berlaku situasi murid melakukan kesalahan. Situasi ini yang
menyebabkan timbulnya pelbagai isu guru memukul murid seperti yang berlaku di Sekolah
Kebangsaan Sanai, Padang Terap, Kedah di mana seorang guru Bahasa Inggeris memukul
seorang murid dengan kasut tumit tinggi. Isu ini dilihat telah menyebabkan masyarakat mula
hilang kepercayaan kepada guru sendiri.
Di samping itu, sebagai seorang guru persediaan yang rapi untuk mengajar adalah
sangat penting. Guru perlulah menyediakan alat bantu mengajar yang sesuai dan merancang
pengajaran mereka sebelum kelas bermula. Hal ini bagi memastikan PdP yang dijalankan lebih
berkualiti dan mampu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang. Namun begitu, disebabkan
kesuntukan masa akibat kerja sampingan guru cenderung mengabaikan persediaan sebelum
kelas bermula. Keadaan ini menyebabkan kualiti PdP guru semakin merosot. Apabila situasi ini
berlaku prestasi murid juga semakin menurun. Ramai murid tidak dapat menguasai topik
pembelajaran dengan baik. Justeru itu, dapat kita lihat bahawa kerja sampingan yang dilakukan
oleh guru menjadi salah satu punca prestasi murid-murid di Malaysia semakin lemah.
Guru merupakan satu profesion yang dipandang tinggi oleh masyarakat. Guru
merupakan individu yang sangat dihormati kerana jasanya mendidik dan mengajar sehingga
berjaya melahirkan ramai individu yang mampu mencapai kejayaan yang gah di sana sini.
Kebanyakkan masyarakat begitu menyanjung guru atas pengorbanan mereka mendidik
sehingga pepatah melayu ada mengatakan guru umpama lilin yang membakar diri demi
menerangi orang lain. Pengorbanan guru dilihat begitu besar sehingga mereka sangat dihormati
dalam kalangan masyarakat.
Namun begitu, sejak akhir-akhir ini pandangan positif dan mulia terhadap guru dalam
kalangan masyarakat semakin menipis ekoran sikap guru yang sering melanggar etika
keguruan. Masyarakat mula merasakan kebanyakan guru masa kini begitu berkira terhadap
ilmu yang mereka berikan. Hal ini kerana, semakin ramai guru yang bekerja sampingan dengan
mengajar di pusat-pusat tuisyen berbayar. Malahan, berlaku juga isu di mana guru tersebut
mengajar sambil lewa di sekolah hingga menyebabkan murid lemah dan mencadangkan
mereka supaya menyertai tuisyen berbayar yang dianjurkannya. Keikhlasan guru mengajar

sudah tidak dapat dirasai oleh masyarakat. Bukan itu sahaja, malah akibat bekerja sampingan
guru juga begitu berkira apabila diminta mengadakan kelas-kelas diluar waktu persekolahan
bagi membantu murid lemah secara percuma. Situasi-situasi ini telah menyebabkan
kepercayaan ibu bapa terhadap guru juga semakin hilang. Murid-murid juga sudah tidak
merasai pengorbanan seorang guru sehingga menyebabkan mereka hilang rasa hormat dan
percaya kepada guru. Keadaan menjadi lebih parah lagi apabila murid bertindak tidak mahu
mendengar arahan dan nasihat guru kerana sudah hilang hormat. Lama kelamaan murid-murid
yang mempunyai personaliti yang baik juga gagal dilahirkan ekoran masalah ini.
Oleh itu, dapat kita lihat di sini walaupun bekerja sampingan dibenarkan dalam
Peraturan-peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib tetapi banyak implikasi negatif
yang berlaku kepada profesion seseorang guru apabila beliau bekerja sampingan. Fokus guru
tersebut sudah tidak bertumpu kepada pekerjaan utamanya. Mereka sudah tidak menjalankan
tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan jujur. Keadaan ini yang menyebabkan
pekerjaan sampingan menjadi sesuatu yang memberikan implikasi buruk terhadap profesion
mereka.

4.0

RUMUSAN

Secara keseluruhannya dapat kita lihat di sini betapa guru merupakan seorang insan yang
memainkan peranan sangat besar dalam institusi pendidikan sesebuah negara. Seorang guru
yang komited dan amanah dalam menjalankan tugasnya sangat diperlukan bagi melahirkan
lebih ramai lagi insan yang cemerlang bagi memacu negara mencapai kejayaan demi kejayaan
yang membanggakan.
Namun begitu, isu-isu etika keguruan yang sering berlaku ini akan menjadi punca utama
usaha kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan negara setaraf dengan negara maju lain
gagal. Malah persepsi masyarakat yang memandang tinggi kepada guru selama ini juga akan
berubah hingga menyebabkan hilang kepercayaan daripada masyarakat terhadap guru. Apabila
keadaan ini terjadi, ini memberi ruang kepada banyak pihak untuk bebas mengkritik guru atas
sebarang perkara secara meluas sehingga ke media massa di mana situasi ini dapat memberi
tekanan dan gangguan emosi kepada sebahagian guru akibat dipandang negatif oleh
masyarakat hingga mempengaruhi tugas sekaligus menjejaskan prestasinya (Cozze, 2012).
Jelaslah dapat kita lihat di sini isu etika keguruan seperti guru bekerja sampingan tidak
dilakukan oleh semua guru. Namun isu ini dilihat seperti nila setitik merosakkan susu
sebelanga.
Kesimpulannya, seseorang guru perlulah sedar akan tanggungjawabnya sebagai
seorang guru dan memegang amanah itu dengan sebaik mungkin. Guru perlulah menjiwai
profesionnya dan bersikap amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya bagi menjamin
kecemerlangan pendidikan sesebuah negara.

You might also like