Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Sejarah Bendera Malaysia

Sejarah Bendera Malaysia bermula apabila Majlis Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu
menubuhkan satu Jawatankuasa pada tahun 1949 untuk menimbang serta membuat perakuan
berkenaan dengan Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Satu pertandingan merekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan
oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. 373 orang telah mengambil bahagian
didalam pertandingan ini dan tiga rekabentuk bendera telah dipilih ke peringkat akhir:

Reka bentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan


dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.

Reka bentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama kecuali 11


bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang
tersebut.

Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna
kuning di bahagian tepi kiri.

Sebelum memilih rekabentuk bendera yang menjadi juara, Majlis Perundangan Persekutuan
telah menjemput orang ramai untuk memberi pendapat masing-masing tentang rekebentuk yang
disukai oleh mereka. Pendapat umum ini telah disiarkan oleh The Malay Mail.
Pada 28 November 1949, keputusan telah dibuat berdasarkan suara majoriti orang ramai yang
memilih reka bentuk ketiga yang dicipta oleh seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik
Mohamad bin Hamzah.

Pada 22 dan 23 Februari 1950, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju dengan Reka bentuk
bendera tersebut dengan beberapa pindaan.
Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan
oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

Rekabentuk tersebut diubah dengan menukar warna putih pada bulan dan bintang kepada
warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan juga menambah
bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang ada dalam Persekutuan Tanah
Melayu.
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam majlis
menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950
di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-Raja Melayu dan
Pegawai-Pegawai King George VI.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah
melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan
Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor
dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah
memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera
Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah
14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Walaupun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan
bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang berpenjuru 14
melambangkan keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan
Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)
Maksud Rekabentuk Bendera Malaysia
Bendera Malaysia; dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih
(melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan
jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri
dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau
Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur
merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu
mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi Persekutuan (Malaysia seperti
yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara Malaysia).
Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning
pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.
Bagaimana Bendera Malaysia mendapat nama Jalur Gemilang
Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40, Perdana Menteri,
Tun Mahathir bin Mohamad telah mengistiyarkan nama bendera Malaysia sebagai Jalur
Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sebelum itu, pada tahun 1995, Datuk Hashim Mat Dris mencadangkan bendera Malaysia
diberikan nama rasmi seperti bendera kebangsaan Indonesia digelar Sang Saka Merah Putih,
United Kingdom Union Jack, Amerika Syarikat Star Spangled Banner dan bendera Perancis
digelar Tricolor.
Beliau memberi cadangan bendera Malaysia dinamakan sebagai "Si Tuah". Sempena nama
Hang Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa dan setia kepada raja.
Cadangan beliau itu kemudiannya telah diusulkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi
memilih nama yang sesuai untuk bendera Malaysia. Oleh itu, satu Jawatankuasa Induk
Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut
dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai
oleh wakil daripada beberapa kementerian dan agensi yang berkenaan.
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan mencipta nama bendera
Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama bendera Malaysia tidak perlu dibuat
melalui peraduan tetapi memadai dipilih daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli
jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan. Tun Dr.

Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan tersebut. Nama Jawatankuasa itu kemudiannya
ditukar menjadi, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta huraiannya. Setelah penelitian
dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia
Negara. Cadangan nama-nama tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang
sejarah dan perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk
terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Pada 11 September 1996, usul dikemukakan kepada jemaah menteri mengenai tiga nama
cadangan yang dipilih. Namun, kesemua nama-nama tersebut gagal memikat hati ahli-ahli
mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia tidak benar-benar melambangkan sifat dan
semangat yang diwakili oleh bendera Malaysia itu sendiri.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru dikemukakan.
Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera Malaysia bersidang semula
untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua
Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan nama dipertimbangkan. Setelah
membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih tiga nama mengikut keutamaan seperti
berikut: Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9 Julai 1997, jemaah menteri
telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama Jalur Gemilang.
Nama Jalur Gemilang di ilhamkan oleh Tuan Haji Md. Rebuan @Md. Redzuan Bin Tumin
Pegawai Dari Jabatan Muzium Antikuiti.
Maksud Nama Jalur Gemilang
JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh
itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju
yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah
dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian
Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu
melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa
bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan
dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat
petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Read more: http://www.malaysiancoin.com/2013/09/sejarah-bendera-malaysia-jalurgemilang.html#ixzz3itQGCtD3


Under Creative Commons License: Attribution

You might also like